Rabu, 12 Jun 2013

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Sambutan Hari Pendidik Mara 2013 meriah

Posted:

Sambutan Hari Pendidik Mara 2013 meriah

Sambutan Hari Pendidik Mara 2013 meriah

MOHD. SHAFIE (duduk, tengah) bergambar bersama para pemenang anugerah sempena Sambutan Hari Pendidik MARA 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SAMBUT. Seramai 1,000 warga pendidik Majlis Amanah Rakyat (Mara) memeriahkan sambutan Hari Pendidik Mara 2013 yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambutan tersebut yang bertemakan 'Hari Pendidik Mara Pendidik Berintegriti Pembina Insan Holistik' dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan anugerah Tokoh Pendidik Mara 2013 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Teknologi dan Profesional Perlis yang juga peneraju Pusat Latihan Giat Mara, Datuk Dr. Hashim Ahmad.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad memberitahu, pada masa ini, terdapat seramai 7,831 warga pendidik Mara berkhidmat di pelbagai institusi pendidikan Mara di seluruh negara.

SAM, Kuasa lepas penyu di Pantai Pasir Panjang

Posted:

SAM, Kuasa lepas penyu di Pantai Pasir Panjang

SAM, Kuasa lepas penyu di Pantai Pasir Panjang


PARA sukarelawan SAM dan Kuasa melepaskan anak-anak penyu di Pusat Pengurusan Penyu Segari, Lumut, Perak baru-baru ini.


BEBAS. Sukarelawan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) melepaskan anak-anak penyu di Pusat Pengurusan Penyu Segari, Pantai Pasir Panjang, Segari dekat Lumut baru-baru ini.

Program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2013 yang bertujuan untuk memelihara dan mengekalkan kehadiran penyu-penyu di Pantai Pasir Panjang.

Pusat Pengurusan Penyu Segari merupakan salah satu lokasi yang menjadi tumpuan para pelancong untuk melihat penyu.

161 pelajar sertai program Latihan 1Malaysia

Posted:

161 pelajar sertai program Latihan 1Malaysia

161 pelajar sertai program Latihan 1Malaysia


KHAIRY JAMALUDIN (empat dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada sebahagian daripada peserta yang menerima sijil Latihan 1Malaysia di Rembau baru-baru ini.


LATIH. Seramai 161 pelajar dari 31 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan menerima sijil Latihan 1Malaysia yang dianjurkan oleh Kelab Teknologi Bumiputera Giatmara (KTBG) di Rembau baru-baru ini.

Pelajar terlibat mengikuti kursus asas dalam pelbagai kursus kemahiran selama lima hari di beberapa buah Giat Mara di negeri itu.

Majlis penyampaian sijil tamat latihan tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Mereka merupakan kumpulan pertama menyertai program berkenaan yang bertujuan memasyarakatkan bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Maut disondol babi hutan

Posted:

Maut disondol babi hutan

Maut disondol babi hutan

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
berita@kosmo.com.my

LOKASI Syed Abdullah dikatakan disondol babi hutan ketika menaiki sebuah motosikal bersama isteri dan tiga anaknya di Rompin kelmarin.


KUANTAN – Hajat lima beranak yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss untuk membeli susu berkecai apabila salah seorangnya maut selepas kenderaan itu hilang kawalan setelah disondol seekor babi hutan di Kilometer 21.5 Jalan Ibam-Rompin dekat Rompin kelmarin.

Kejadian pukul 8 malam itu mengakibatkan Syed Abdullah Syed Ali, 32, dari Perumahan Mardi, Muadzam Shah meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Mangsa bekerja sebagai Pembantu Am.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian itu turut mengakibatkan isteri mangsa berumur 22 tahun dan tiga anaknya yang berusia antara satu hingga empat tahun cedera ringan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ibu cemas bayi diculik 5 jam

Posted:

Ibu cemas bayi diculik 5 jam

Ibu cemas bayi diculik 5 jam


BAYI lelaki yang hilang lima jam dijumpai seorang peniaga wanita di sebuah tandas di medan selera di Yong Peng, Batu Pahat kelmarin.


MUAR - Seorang wanita tidak menyangka kedatangan seorang lelaki yang kononnya mahu menghantar ikan dipesan bapa mertuanya mengundang peristiwa cemas selama lima jam apabila lelaki itu bertindak melarikan bayinya yang berusia setahun.

Sebelum kejadian pukul 10 pagi kelmarin itu, seorang lelaki datang dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona ke rumah mangsa di Jalan Bakariah di sini dan memberitahu mahu menghantar kotak kononnya berisi ikan yang dipesan bapa mertuanya.

Tanpa rasa curiga, wanita itu terus membuka pintu pagar rumahnya lalu mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumah. Bagaimanapun, sebaik berada di dalam rumah, lelaki itu terus menolak wanita itu menuju ke dapur rumah.

Suspek kemudian bertindak mengikat kedua-dua belah tangan dan mata wanita itu sebelum membawa lari anak lelaki bongsu mangsa yang berusia setahun.

Bagaimanapun, dua lagi anak mangsa tidak diapa-apakan. Semasa kejadian, suami wanita tersebut tiada di rumah kerana bekerja.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Meraung di sisi mayat kakak

Posted:

Meraung di sisi mayat kakak

Meraung di sisi mayat kakak


SEORANG pemuda menangis di sisi mayat Samsidar (gambar kecil) yang maut dalam nahas di Penampang semalam.


PENAMPANG - Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dengan otaknya bersepai di atas jalan selepas digilis sebuah lori kontena dalam kemalangan di Jalan Lok Kawi berdekatan simpang lampu isyarat Sabindo di sini semalam.

Kemalangan pukul 11 pagi itu mengakibatkan Samsidar Samarudin, 21, dari Kampung Andus, Papar meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, kejadian berlaku apabila mangsa membonceng motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang adik lelakinya dalam perjalanan dari Papar ke pusat bandar.

"Sebaik ingin memasuki jalan besar dari satu susur, motosikal yang mereka naiki telah bergesel dengan sebuah lori kontena menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

"Kepala mangsa kemudian digilis oleh tayar belakang lori berkenaan manakala adiknya tidak mengalami kecederaan," katanya di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Promosi hasil karya seni

Posted:

Promosi hasil karya seni

Promosi hasil karya seni

Oleh SUHANA VERU

ISMAIL bersama hasil karyanya di Pameran dan Jualan Karya Seni Arts For The World di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.


PAMERAN seni dan jualan karya seni yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay membawa suasana seakan-akan sebuah pasar raya seni.

Pameran yang diadakan pada 24 Mei lalu itu menawarkan lukisan asli hasil karya barisan artis tempatan. Namun, himpunan lukisan yang diilhamkan oleh 17 orang artis tempatan itu membawa inspirasi dan tema begitu unik.

Jika melihat karya mereka dengan teliti, pengunjung boleh menyaksikan kelainan hasil lukisan itu jelas terpapar menerusi penyampaian mesej, lakaran gambar dan olahan warna yang terang.

Walaupun kesemua artis itu mendukung tema yang berlainan dalam mengekspresi naluri masing-masing di atas sehelai kanvas putih, namun hasil karya mereka cukup memukau.

Seorang pelukis, Ismail Baba, 62, mengakui beliau gemar dalam bidang lukisan yang berbentuk naif.

Lukisan berkenaan menggambarkan tentang kejujuran yang dikaitkan dengan pemikiran serta perbuatan seseorang.

Menurut anak jati Kuala Selangor itu, kesemua karya naif beliau dihasilkan daripada imaginasi diri selain secara spontan.

"Tengok lukisan ini, ia ada bukit, pokok, kanak-kanak bermain dan rumah kampung. Ternyata, inspirasi boleh datang daripada pelbagai benda yang kita imaginasi dengan sendiri," katanya sambil menuding jari ke arah beberapa lukisan milik beliau.

Lukisan berwajah Malaysia

Ditanya mengenai lukisan mesej seni naif, beliau menjelaskan ia lebih bersifat keanak-anakan yang membolehkan sesiapa sahaja melukis kerana seni lukisan itu lahir di hati pelukis tanpa perlu berfikir.

Seni catan mempunyai pelbagai gaya, idea, pemikiran dan latar budaya setempat yang boleh diketengahkan melalui sesuatu karya.

"Kita kena ada lukisan yang berwajah Malaysia malah, seni ini banyak menyumbang ke arah itu," ujarnya.

Seorang pengunjung, Mohd. Anwar Abu Bakar, 34, mengakui dia teruja melihat karya-karya pelukis tempatan yang unik.

"Jarang dapat menyaksikan himpunan hasil karya pelukis tempatan di bawah satu bumbung. Sehubungan itu, saya berharap pameran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, buat pertama kali, pihaknya mengadakan pameran Arts For The World itu.

Penganjuran pameran berkenaan bukan sekadar mempamerkan hasil karya pelukis tempatan, malah memberi peluang kepada orang awam untuk mendapatkan hasil seni pada harga serendah RM10.

"Pada kebiasaan, kami menganjurkan barangan kraf sahaja tetapi kali ini, kami memberi ruang yang lebih kepada pelukis untuk memperkenalkan hasil seni mereka," katanya dalam majlis pelancaran Pameran dan Jualan Karya Seni Arts For The World di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Malaya pamer belang

Posted:

Harimau Malaya pamer belang

Harimau Malaya pamer belang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SAFIQ meledak gol sulung Harimau Malaya ketika menentang Sydney Olympic FC semalam.


"SUATU peningkatan yang bagus tetapi kita masih perlu mencari skuad yang kuat... itu yang mustahak."

Itu reaksi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Syukor Salleh ketika diminta mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya ketika membenam Sydney Olympic FC 4-0 pada aksi persahabatan di Padang Sukan Belmore, Australia semalam.

"Perlawanan persahabatan adalah untuk menguji pemain dan mendapatkan kombinasi pemain-pemain dalam setiap posisi.

"Jurulatih ada hak untuk menerapkan taktikal yang sesuai dan kunci kejayaan sesebuah pasukan adalah dapat mengawal bola dengan baik," jelas Shukor kepada Kosmo! semalam.

Pada aksi semalam, Harimau Malaya yang tewas 2-3 kepada Canberra FC dalam aksi sulung persahabatan Khamis lalu, membuka tirai jaringan menerusi perancang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim seawal minit kesembilan.

Penyerang gantian, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya dengan meledak hatrik pada minit ke-50, ke-73 dan ke-89.

"Kita tidak boleh terlalu cepat untuk mendabik dada dengan kemenangan ini kerana perjalanan kita masih jauh.

"Ini kerana kita akan berdepan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober depan.

"Saya berharap jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat mengambil kesempatan ini dengan membentuk skuad yang mantap," kata Syukor yang membuat 215 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustafa turut senada dengan pandangan Syukor.

Hashim berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan suntikan moral buat Harimau Malaya untuk terus memburu kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Ia akan menjadi satu motivasi yang bagus dengan kejayaan itu. Pada pendapat saya, menang atau kalah dalam perlawanan persahabatan itu bukan perkara utama.

"Sebaliknya, kita harus mencari satu formula untuk menguatkan skuad negara. Para pemain dipilih berdasarkan prestasi terbaik mereka dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Apa pun, saya percaya Safee (Sali) dan Safiq masih mampu memberikan sumbangan besar kepada skuad negara," katanya yang masih gah sebagai penjaring terbanyak Liga M edisi 1994 apabila meledak 29 gol.

'Tak perlu gantung-gantung'

Posted:

'Tak perlu gantung-gantung'

'Tak perlu gantung-gantung'


SHAHIDAN (kanan) berbual dengan Anuar selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.


BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecatnya daripada PFA jika FAM berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana terus mengkritik badan induk itu.

"Tak perlu gantung-gantung, pecat saja saya tetapi dengan syarat jangan bagi PFA kacau saya lagi (minta saya bayar gaji pemain Perlis).

"Saya tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi dalam persatuan itu," kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicara- kan lagi setelah terus menerus mengkritik badan induk kebangsaan itu biarpun digantung selama 30 bulan.

Sambil mempertahankan tindakannya, Shahidan turut melahirkan rasa terkilan apabila FAM hanya mengenakan hukuman ke atasnya sedangkan masih ramai pemimpin yang mengkritik badan induk itu.

"(Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) Tan Sri Annuar Musa keluarkan kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, mereka tidak kata apa-apa.

"(Jurulatih Harimau Malaya) Datuk K. Rajagobal pun tak kena gantung. Kalau saya, suka hati mahu hukum, ingat saya tiada kepentingan, senang-senang mahu denda," jelas Shahidan.

Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Perlis itu mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang telah menggantungnya tetapi tiada pegawai badan induk tersebut yang bertanya khabar PFA.

Shahidan juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden skuad Singa Utara dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Empat kerusi jadi rebutan

Posted:

Empat kerusi jadi rebutan

Empat kerusi jadi rebutan

PEMILIHAN pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2013 hingga 2015 sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 22 Jun ini bakal menyaksikan empat kerusi dipertandingkan dengan tiga daripadanya adalah persaingan satu lawan satu.

SHAHRIL NIZAM ABDULLAH melaporkan, jawatan Timbalan Presiden MOM yang disandang Presiden Persatuan Skuasy Malaysia, Datuk A. Sani Karim bakal dicabar oleh Naib Presiden MOM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Malaysia, Tan Sri Mohamad Noor Abd. Rahim.

Satu lagi kerusi panas - Setiausaha Kehormat - turut menyaksikan perebutan satu lawan satu apabila Penolong Setiausaha Kehormat sebelum ini, T. Kumar bakal mencabar penyandang jawatan berkenaan, Datuk Sieh Kok Chi.

Bagi jawatan lima Naib Presiden, empat muka baharu - Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif, Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar, Andrew Bryan Perera dan Datuk Tang See Hang bakal mencabar empat penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Low Beng Choo, Datuk Dr. Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Satu lagi kerusi yang menjanjikan persaingan satu lawan satu ialah jawatan Bendahari Kehormat apabila penyandangnya, Yong Choo Kong akan dicabar Ling Eng Chan.

Pengerusi panel bebas pemilihan, Datuk Norminshah Sabirin menjelaskan, sehingga tarikh tutup pencalonan petang semalam, hanya empat kerusi sahaja yang akan diumumkan menang tanpa bertanding pada 22 Jun ini.

"Sehingga tarikh tutup petang ini (semalam), hanya jawatan Presiden, Penolong Setiausaha Kehormat lelaki dan wanita serta Penolong Bendahari Kehormat yang menerima satu pencalonan.

"Ini bermakna jawatan presiden yang disandang Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta tiga jawatan lain ini akan diumumkan menang tanpa bertanding pada AGM penggal 2013-2015, 22 Jun ini," jelasnya pada sidang akhbar di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.

Norminshah akan mengetuai dua lagi ahli panel bebas pemilihan yang dilantik oleh MOM iaitu Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan dan Ong Leng Kok.

Pada penamaan semalam, Tan Sri Mohamad Noor dicalonkan oleh MTBC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Tinju Amatur Malaysia manakala Persatuan Skuasy Malaysia mencalonkan A. Sani.

T. Kumar pula dicalonkan oleh Persatuan Karate Malaysia dan Persatuan Bola Jaring Malaysia untuk merebut jawatan Setiausaha Kehormat yang disandang oleh Kok Chi sejak 1992.

"Pengundian melibatkan 35 persatuan sukan di Malaysia dan setiap persatuan tersebut boleh menghantar tiga wakil pada hari pengundian nanti yang bermakna jumlah keseluruhan ialah 105 undi.

"Saya sendiri tidak tahu siapa wakil yang akan dihantar oleh persatuan sukan masing-masing kerana ia terpulang kepada mereka untuk memilih wakil mereka," ujar Norminshah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ramlan kembali terajui ISN, Shapawi kini Pesuruhjaya Sukan

Posted:

Ramlan kembali terajui ISN, Shapawi kini Pesuruhjaya Sukan

Ramlan kembali terajui ISN, Shapawi kini Pesuruhjaya Sukan

12/06/2013 10:12pm

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelantikan semula Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu.

Unit Komunikasi Korporat KBS dalam kenyataan berkata, Dr. Ramlan, 53, sebelum ini dipinjamkan sebagai Penasihat Sains dan Perubatan Sukan kepada Menteri Belia dan Sukan sejak 16 Ogos tahun lepas.

Ahmad Shapawi Ismail, 50, yang menjawat jawatan CEO ISN pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan.

"Pelantikan kedua-dua pegawai kanan (KBS) itu berkuat kuasa 17 Jun," menurut kenyataan itu. - KOSMO!

Kayuhan Fatehah sukar dicabar, Josiah sambar dua emas

Posted:

Kayuhan Fatehah sukar dicabar, Josiah sambar dua emas

Kayuhan Fatehah sukar dicabar, Josiah sambar dua emas

12/06/2013 10:10pm

KUALA LUMPUR - Pelumba elit negara, Josiah Ng berjaya menyambar dua pingat emas pada hari pertama Kejohanan Trek Berbasikal Grand Prix (GP) Kebangsaan 2013 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Pelumba Sarawak itu meraih emas pertama menerusi acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) apabila mencatatkan masa 1 minit 07.927 saat (s).

Josiah meneruskan momentum apabila merangkul emas kedua peribadinya menerusi acara pecut selepas mengecewakan Edrus dalam saingan akhir.

Sementara itu, ratu trek negara, Fatehah Mustapa turut meraih dua pingat emas semalam apabila mengungguli acara 500 meter (m) ITT dan pecut.

Dalam acara 500m ITT, pelumba Terengganu itu men catatkan masa 37.510s untuk menewaskan rakan sene gerinya, Ummi Hamimah Mohammad (39.510s) dan Lauretta Eva Adrian dari Perlis (41.289s).

Fatehah juga tidak menghadapi sebarang masalah apabila menguasai pentas final pecut apabila mengecewakan Lauretta. - KOSMO!

Motosikal vintaj dijual pada harga AS$5,000 seunit

Posted:

Motosikal vintaj dijual pada harga AS$5,000 seunit

Motosikal vintaj dijual pada harga AS$5,000 seunit

12/06/2013 10:08pm

HANOI - Pameran basikal motosikal vintaj yang diadakan di sini nyata menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara.

Acara itu mengumpulkan banyak model motosikal yang dibuat pada era Soviet Union. Motosikal yang lengkap dengan tempat duduk penumpang di sebelah sebelum ini digunakan oleh pasukan polis dan tentera Vietnam.

Antara mekanik yang bertanggungjawab membaik pulih jentera tersebut ialah Tran Chi Cong yang memiliki pengalaman selama 20 tahun. Pakar dalam aspek baik pulih motosikal vintaj, dia mempunyai sebuah bengkel di pinggir bandar Hanoi. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan

Posted:

Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan

Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan

SEORANG penunjuk perasaan melindungi dirinya daripada tembakan meriam air.- REUTERS


ISTANBUL - Polis pencegah rusuhan Turki melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan bersenjatakan batu dan mercun selepas mereka cuba menawan Dataran Taksim yang menjadi pusat tunjuk perasaan antipemerintah di sini semalam.

Polis pencegah rusuhan dengan dibantu sejumlah kereta perisai memasuki dataran yang menjadi pusat tunjuk perasaan sejak lebih 10 hari lalu itu sejurus selepas subuh.

Beberapa jentolak digunakan untuk memusnahkan halangan yang dibina daripada bongkah batu dan besi.

Tindakan polis itu mengejutkan penunjuk perasaan yang kebanyakannya masih tidur di Taman Gezi.

Ia dilakukan sehari selepas Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdongan bersetuju untuk bertemu pemimpin-pemimpin tunjuk perasaan tersebut.

Asap tebal memenuhi Dataran Taksim selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Sebahagian penunjuk perasaan yang memakai topi keledar dan topeng gas bertindak balas dengan membaling bom api, mercun dan batu.

"Percayakah anda? Mereka (polis) menyerbu Dataran Taksim selepas bersetuju untuk berunding dengan kami. Pemimpin jenis apakah ini?" kata seorang penunjuk perasaan berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Yulmiz.

Polis juga bertindak membuka kain-kain rentang yang digantung oleh penunjuk perasaan di sebuah bangunan berdekatan Dataran Taksim.

Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, pihaknya tidak merancang untuk menyuraikan tunjuk perasaan itu yang diadakan secara aman.

"Tujuan kami cuma untuk membuang sepanduk dan gambar pada patung Kamal Ataturk dan Pusat Kebudayaan Ataturk.

"Kami tidak mempunyai tujuan lain," katanya.

Erdogan memberi amaran, beliau tidak lagi bertolak ansur dengan para penunjuk perasaan itu yang menentang pemerintahannya.

Protes antipemerintah itu bermula sebagai bantahan terhadap projek pembangunan semula Taman Gezi yang terletak berhampiran dataran tersebut.

Tunjuk perasaan itu kemudian menjadi anti-Erdogan selepas Perdana Menteri tersebut enggan menarik balik rancangan berkenaan.

Pembangunan semula itu akan melibatkan pembinaan berek tentera pada era pemerintahan Ottoman dan pusat kebudayaan.

Dalam pada itu, Erdogan menuduh tunjuk perasaan itu didalangi kumpulan samseng, elemen pengganas dan anasir luar yang tidak didedahkan.

Pada masa yang sama semalam, beliau menyatakan empat orang termasuk seorang anggota polis maut dalam protes tersebut.

Hampir 5,000 orang turut cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran itu. - Agensi

China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas

Posted:

China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas

China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas


YAPING (kiri), Xiaoguang dan Haisheng (kanan) melambaikan tangan sebelum mereka berlepas ke angkasa lepas.- REUTERS


BEIJING - China melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas semalam.

Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, wilayah Gansu.

Kapal angkasa itu yang telah berpisah dengan roket tersebut selepas dilancarkan akan berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1.

Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, seorang wanita yang menyertai misi itu, Wang Yaping, 33, akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas.

Dia merupakan wanita kedua China yang berlepas ke angkasa lepas.

Pemimpin Parti Komunis dan Presiden China, Xi Jinping menyaksikan pelancaran roket tersebut di pusat angkasa lepas itu.

Perdana Menteri, Li Keqiang dan beberapa pemimpin tentera dan awam berjabat tangan dengan para saintis dan juruteknik di pusat angkasa lepas tersebut selepas roket berkenaan berjaya dilancarkan.

Keqiang turut bercakap dengan ketiga-tiga angkasa itu.

"Anda menyebabkan penduduk China berasa bangga dengan diri mereka," kata Keqiang.

Selain Yaping, dua angkasawan lain yang menyertai misi tersebut ialah Nie Haisheng dan Zhang Xiaoguang.

Mereka akan berada di angkasa lepas selama 15 hari.

China menghantar manusia ke angkasa lepas buat kali pertama pada tahun 2003.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan China menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar angkasawan ke angkasa lepas selepas Rusia dan Amerika Syarikat.

China telah melancarkan lima misi ke angkasa lepas yang membawa manusia dengan menggunakan kapal angkasa tersebut. - Agensi

Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut

Posted:

Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut

Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut


PESAWAT itu diletakkan di atas sebuah tongkang.- AP


LONDON - Sebuah pesawat pengebom tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua dikeluarkan dari dasar laut dengan menggunakan kren di Selat Inggeris kelmarin.

Pesawat Dornier Do-17 itu ditembak jatuh di perairan Kent lebih 70 tahun lalu.

Pesawat itu tenggelam pada kedalaman 15 meter di dasar laut.

Ia kemudian diletakkan di atas sebuah tongkang.

Sepasukan pakar Muzium Tentera Udara Diraja Britain melakukan persiapan selama lima minggu untuk mengeluarkan kapal terbang pengebom tersebut dari dasar laut. -

Pesawat itu ditemui oleh sekumpulan penyelam pada tahun 2008.

Beberapa pegawai merancang untuk memulihkan semula pesawat tersebut dan dipamerkan di muzium itu.- Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Suami izin Liyana terus berlakon

Posted:

Suami izin Liyana terus berlakon

Suami izin Liyana terus berlakon

SELEPAS mendirikan rumah tangga pada bulan Februari lalu, cerita mengenai perkembangan kerjaya atau peribadi pelakon Liyana Jasmay agak kurang dipaparkan menerusi media.

Tidak dinafikan jarak menjadi punca utama sehingga agak sukar untuk mengatur pertemuan atau sesi fotografi dengan Liyana memandangkan dia kini mengikut suaminya menetap di Kota Kinabalu, Sabah.

Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran filem Sindiket baru-baru ini, pelakon itu sempat menceritakan tentang kehidupannya selepas berumah tangga.

Cerita Liyana, dalam tempoh awal perkahwinannya dengan Fathudin Mazlan, dia lebih banyak menghabiskan masanya di Sabah untuk berada di samping suaminya yang menjalankan perniagaan di negeri tersebut.

"Sebelum ini saya memang menetap bersama suami di Sabah kerana dia memiliki perniagaan sendiri di situ, tetapi sekarang ini saya akan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier seni saya.

"Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Sahabat untuk saluran Astro yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Kuala Lumpur," ujar pelakon berusia 25 tahun itu.

Luahnya, dia berasa sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang begitu memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak kisah sekiranya dia mahu terus berlakon.

Ujar Liyana lagi, dengan kembali aktif berlakon ia dapat mengisi masa terluangnya memandangkan suaminya kini sedang sibuk menguruskan restoran yang baru sahaja dibuka iaitu Restoran Dapur di Harbour City, Kota Kinabalu.

"Saya mula berkecimpung dalam bidang lakonan sejak berusia 17 tahun dan berlakon sudah menjadi sebahagian kehidupan saya. Jadi, saya rasa bertuah kerana suami memberi keizinan untuk meneruskan apa yang saya minat.

"Dengan keizinan yang diberikan oleh suami, sudah tentu saya akan gunakan sebaik-baiknya untuk memilih tawaran tertentu seperti membabitkan babak yang tidak melampau atau bersentuhan," jelasnya.

Menurut Liyana, apa yang dilakukannya itu bukan kerana mahu menjadi terlalu selektif, sebaliknya mahu menjaga status dirinya sebagai seorang isteri dan membalas segala kepercayaan yang diberikan oleh suaminya itu.

Ketika ditanya sama ada kesibukan dirinya dan suami mampu menangguhkan hasrat mereka untuk menimang cahaya mata, pelakon itu menyatakan ia semuanya terserah kepada ketentuan Allah.

Ujarnya, dia dan Fathudin memang tidak pernah merancang untuk mendapatkan anak, sebaliknya mereka bersedia untuk dikurniakan cahaya mata pada bila-bila masa sahaja.

"Meskipun saya dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing, rasanya ia tidak menghalang kami untuk mendapatkan cahaya mata. Cuma, pada masa ini belum masih ada lagi rezeki buat kami," ujarnya.

FIGURA ini menegaskan dia kini perlu menjaga status sebagai seorang isteri.


Toleransi

Berbalik kepada kisah kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga, Liyana menceritakan bahawa kini dia merasakan hidup yang lebih sempurna dan matang sejak bergelar seorang isteri.

Bagaimanapun, sekarang terdapat perbezaan yang ketara berbanding sebelum berkahwin dahulu apabila tidak boleh lagi terlalu bergantung dengan ibunya.

"Perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup membahagiakan, tetapi bukan mudah untuk memegang status sebagai isteri.

"Sehinggakan ayah saya sendiri pernah risau apabila saya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

"Selain itu, saya juga tidak boleh buat sesuka hati seperti sebelum berkahwin kerana banyak perkara yang dilakukan perlu diberitahu kepada suami terlebih dahulu," jelasnya.

Liyana juga berpandangan bahawa dalam menjalani kehidupan berumah tangga, perkara yang lebih diutamakan sudah tentulah sikap toleransi antara suami dan isteri.

"Sebagai isteri, paling penting saya perlulah menghormati suami. Namun, ia bukanlah penghalang untuk kami berbincang dan mengemukakan pendapat masing-masing dalam sesuatu perkara.

"Disebabkan itu, saya berasa lebih seronok dalam menjalani kehidupan sekarang kerana memiliki seorang suami yang senang bertolak ansur dan mudah diajak berbincang," ujarnya.

Bergurau

Berkenaan dengan perkembangan karier seninya pula, Liyana bakal membintangi sebuah filem baharu berjudul Sindiket yang diarahkan oleh Bade Azmi.

Dibintangi oleh ramai pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Rashidi Ishak, Daphne Iking, Sharifah Amani, Tony Eusoff, Soo Wincci dan Wangi Julianda, filem berkenaan mula menjalani penggambaran pada 6 Jun di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika ditanya tentang penglibatannya dalam filem tersebut, Liyana menyatakan semuanya terjadi secara kebetulan semasa dia menghubungi Bade beberapa minggu yang lalu.

"Ketika bercakap menerusi telefon dengan Bade, dia ada memberitahu akan mengarah sebuah filem aksi. Kemudian, saya secara bergurau menyatakan ingin turut berlakon dalam filem berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak sangka pula dia mengambil serius kata-kata saya itu. Beberapa hari kemudian saya telah dihubungi oleh Loyal Studios Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem berkenaan dan menawarkan saya watak sebagai Noreen," jelasnya.

Namun begitu, pelakon berkenaan menafikan bahawa dia menerima tawaran tersebut kerana lokasi penggambarannya di Sabah, sebaliknya ia disebabkan hubungan baiknya dengan Bade.

"Rasanya ramai yang sudah tahu filem pertama lakonan saya ialah Castello arahan Bade. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahannya ialah menerusi filem Maut pada tahun 2009.

"Jadi, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali berlakon dengan Bade. Dia merupakan seorang pengarah yang sangat bagus dan banyak memberi bimbingan ketika saya mula-mula berlakon filem dahulu," ujarnya.

Soo Wincci pinjam wang RM1 juta

Posted:

Soo Wincci pinjam wang RM1 juta

Soo Wincci pinjam wang RM1 juta

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM

SOO WINCCI mendedahkan ada individu kaya yang menawarkan mahu menaja dirinya dalam bentuk wang ringgit dengan nilai lebih RM1 juta.


BERBEKALKAN rupa paras yang cantik, anggun dan lemah-lembut, serta berbakat besar dalam bidang kulinari, Soo Wincci kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti yang serba boleh.

Sangat fasih berbahasa Melayu, ditambah sikap rendah dirinya itu membuatkan dia begitu istimewa pada pandangan mata para peminatnya.

Mesra disapa Wincci, gadis tinggi lampai ini mula dikenali secara meluas ekoran pembabitannya dalam program realiti TV, MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama.

Dia kemudian nekad untuk melebarkan sayap karier seninya ke Taiwan.

Bersua dengan Winccia pada majlis perasmian rangkaian kabel TV digital pertama di Malaysia dikenali sebagai ABNxcess di Kuala Lumpur baru-baru ini, terus sahaja diajukan persoalan tentang perkembangan terkini dirinya terutamanya di Taiwan.

Ujar Wincci: "Bukan senang untuk menempa nama di Taiwan. Namun, saya tetap mengambil risiko untuk terus belajar dan mencapai cita-cita saya di persada seni, sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Saya sanggup berusaha melakukan apa sahaja bagi menembusi pasaran Taiwan."

Menurutnya lagi, dia memilih Taiwan kerana negara itu dilihatnya sebagai titik permulaan buat dirinya untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di persada seni antarabangsa.

Dituduh gila

Terbaharu, Wincci mendedahkan bahawa dia telah mencabar dirinya untuk ke Taiwan dengan berbekalkan wang sebanyak RM1 juta.

Ia adalah bagi membuat pelaburan untuk membikin album nyanyiannya yang berjudul, Happiness di sana.

"Bagi saya, bara yang digenggam biar sampai jadi arang.

"Pinjaman wang sebanyak RM1 juta itu membuatkan saya terus kuat untuk berjuang demi menggapai kejayaan.

"RM1 juta bukanlah nilai yang sedikit bagi sesetengah artis untuk menghasilkan sebuah album.

"Namun di Taiwan, jumlah tersebut merupakan suatu kebiasaan bagi mereka yang ingin merakam dan mempromosikan album," jelas penyandang gelaran Miss World/Malaysia 2008 itu.

Ujarnya lagi: "Ramai orang cakap saya gila sebab membuat pinjaman sebanyak RM1 juta. Keluarga juga pada mulanya menentang hasrat saya untuk membuat pinjaman bank tersebut.

"Namun, saya berjaya meyakinkan mereka bahawa diri ini tetap akan berjuang dan satu hari nanti pasti menempa nama di pasaran luar Malaysia.

"Saya mencagarkan rumah dan menunggu selama enam bulan sebelum pihak bank meluluskan pinjaman sebanyak RM1 juta tersebut.

"Saya pujuk ayah supaya menjadi penjamin. Agak susah pada mulanya, tetapi setiap hari saya cuba meyakinkan ayah kerana saya tahu jumlah tersebut banyak," ujarnya.

Wincci juga memberitahu, dia kini boleh menarik nafas lega apabila dua single daripada albumnya itu iaitu yang berjudul I'll Be Orait dan Happiness berjaya memasuki carta lagu popular di stesen-stesen radio Taiwan.

Katanya: "Dalam tempoh sebulan, dua minggu saya berada di Malaysia dan baki dua minggu lagi di Taiwan.

"Saya lega sedikit apabila single I'll Be Orait dan Happiness sudah masuk carta lagu popular di stesen-stesen radio di Taiwan.

"Berbaloi juga pelaburan besar yang saya lakukan."

Dalam pada sibuk mempromosikan album sulungnya itu, Wincci memberitahu, dia bakal merakamkan album keduanya di Taiwan.

"Selain projek album kedua di Taiwan, saya turut berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti membuka kedai roti dan menghasilkan jenama kasut sendiri," ujarnya.

Enggan jual maruah

Dalam pada itu, Wincci mengakui dia pernah ditawarkan oleh sesetengah individu kaya untuk ditaja.

Namun, dia menolak tawaran itu kerana enggan menjual maruah dirinya semata-mata kerana wang.

"Bagi saya, maruah diri lagi penting. Saya tidak mahu jual maruah kerana duit.

"Selagi saya boleh berusaha untuk dapatkan duit, saya akan lakukan sendiri tanpa perlu ditaja. Sememangnya banyak pihak ingin taja saya lebih daripada jumlah RM1 juta.

"Namun untuk apa saya terima, sedangkan saya masih kuat untuk bekerja. Lebih baik saya tanggung hutang daripada menjual maruah diri," tegasnya.

Ditanya sama ada dia sudah mempunyai kekasih, Wincci hanya tersenyum.

Akuinya, dia masih solo dan belum mempunyai teman lelaki disebabkan kesibukan dirinya dengan kerjaya seni.

Sebenarnya Wincci sangat berani dan nekad dalam mempertaruhkan masa depannya.

"Ia terbukti apabila dia sanggup meninggalkan apa yang dimilikinya sebelum ini termasuk kekasih yang sudah menjalinkan hubungan cinta bersamanya selama tiga tahun.

"Hendak berjaya bukan senang, kadangkala kita perlu korbankan banyak benda. Saya korbankan cinta saya kerana cita-cita.

"Namun, saya bersyukur kerana dia sudah ada pengganti dan bakal berkahwin. Saya tumpang gembira," ujar Wincci.

Saya tetap sayangkan Nabila - Nas-T

Posted:

Saya tetap sayangkan Nabila - Nas-T

Saya tetap sayangkan Nabila - Nas-T

Oleh HARYATI KARIM

NAS-T menegaskan dia memahami dan boleh menerima hakikat Nabila yang sedang dilanda emosi sekarang ini.


HUBUNGAN cinta antara pelakon Nabila Huda dan Nas-T bulan lagi rahsia selepas mereka secara terbuka mengumumkan cinta yang terjalin pada April lalu.

Bahkan gambar-gambar mesra antara mereka boleh ditatap umum di laman Instagram masing-masing.

Bagaimanapun pagi semalam, Nabila menulis pengakuan yang mengejutkan di Instagram dengan memberitahu, hubungan cinta mereka telah berakhir.

Kata Nabila, mereka berdua lebih sesuai menjadi sahabat baik berbanding sebagai pasangan kekasih.

Sungguhpun begitu, ujar Nabila menerusi Instagram lagi, mereka berdua akan kekal sebagai sahabat baik walaupun sudah tidak bercinta. Itu luahan Nabila.

Bagaimanapun, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar ketika dihubungi Kosmo! di set penggambaram telefilem Anak Imam Argentina semalam mengakui dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.

Kosmo!: Adakah benar, Nas-T dan Nabila telah putus cinta?

NAS-T: Rasanya saya tidak perlu memberi komen tentang hal ini kerana sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, mungkin apa yang ditulis Nabila di Instagram disebabkan faktor emosi.

Kalian berdua sedang bergaduh?

Biasalah, pasangan bercinta pasti akan bergaduh. Begitu juga dengan kami berdua tetapi kami masih lagi berhubung dan bercakap seperti biasa. Biarlah keadaan reda dahulu, baru saya akan duduk berbincang dengannya. Sekarang ini kami berdua sibuk dengan kerja masing-masing, sebab itulah terjadinya hal seperti ini.

Apakah perasaan anda apabila Nabila menulis secara terbuka tentang hubungan kalian di Instagram yang boleh dibaca oleh orang ramai?

Terkejut juga tetapi saya sudah lama kenal dia sejak kami kecil lagi. Saya faham perangai dia, perempuan biasalah, bila tengah emosi, itulah yang akan berlaku. Jadi, saya tidak kisah, saya terima sahaja. Apapun saya masih sayangkan dia sama seperti dahulu.

Nabila ada menulis yang kalian lebih sesuai sebagai sahabat baik daripada pasangan kekasih. Komen?

Memang saya sayangkan dia sejak kami berkawan sehinggalah bercinta dan perkara itu tidak akan berubah sampai bila-bila walaupun apa jua status hubungan kami kelak. Kami akan kekal seperti dahulu, masih berjumpa dan meluahkan masalah masing-masing. Bagi pihak saya pula sebenarnya saya lebih suka dia menjadi seorang kekasih kerana dia melengkapi diri saya.

Apakah masa depan hubungan kalian di mata anda?

Saya sendiri tidak boleh ramal. Kami selesa bersama sebagai sahabat baik serta kekasih. Dia faham saya dan saya juga amat memahami dia. Jika jodoh antara kami kuat, mungkin kami berkahwin tetapi jika tidak, saya tetap akan ada dalam hidup Nabila sebagai sahabat baiknya sampai bila-bila.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved