Rabu, 13 Mac 2013

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Wakil luar negara sertai kursus UMT

Posted:

Wakil luar negara sertai kursus UMT

Wakil luar negara sertai kursus UMT


BARISAN wakil CCOP yang mengikuti kursus Pendek Berkaitan Geologi Pesisir Pantai dan Pengurusannya di UMT, Kuala Terengganu baru-baru ini.


KONGSI ILMU. Kira-kira 50 peserta dari 13 negara peserta Jawatankuasa Koordinasi Program Geosains Asia Timur dan Asia Tenggara (CCOP) mengikuti Kursus Pendek Berkaitan Geologi Pesisir Pantai dan Pengurusannya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Antara peserta terlibat ialah dari Thailand, Vietnam, China, Korea dan Singapura, Norway, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mereka membincangkan isu pesisir pantai melibatkan perubahan paras air laut, hakisan dan perkara berkaitan dengannya.

Turut hadir ialah Pengarah Institut Oseonografi dan Persekitaran UMT, Prof. Dr. Mohd. Lokman Husain, Pakar Geologi Pusat Kaji Selidik Jepun, Dr. Yoshiki Saito dan wakil CCOP, Dr. Nguyen Thi Minh.

Econsave anjur aktiviti menghargai warga tua

Posted:

Econsave anjur aktiviti menghargai warga tua

Econsave anjur aktiviti menghargai warga tua


YOKE FOONG (tiga dari kanan) dan pembantunya (kanan) menyerahkan barangan keperluan kepada Pengerusi Yayasan Maha Karuna, Ven. B. Sri Saranankara Nayaka (dua dari kanan) sebagai simbolik majlis penyerahan keperluan rumah oleh Econsave untuk warga tua di Kuala Lumpur kelmarin.


SIMBOLIK. Sempena dengan Kempen Penghargaan Warga Tua 2013, pasar raya runcit Econsave mengadakan majlis simbolik penyerahan barangan keperluan kepada Yayasan Maha Karuna di Kuala Lumpur kelmarin.

Pengurus Operasi Econsave, Lim Yoke Foong berkata, pihaknya telah menyediakan bakul di kaunter pembayaran bermula pada 12 Februari lalu sehingga kelmarin bagi memberi peluang kepada pelanggan memberi sumbangan barangan keperluan hasil pembelian di pasar raya tersebut.

"Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan di samping mengajak orang ramai menunjukkan rasa hormat dan terima kasih kepada golongan tua atas usaha mereka selama ini dalam membantu masyarakat," katanya.

Tambah Yoke Foong, pengagihan sumbangan tersebut akan diadakan pada 17 Mac ini kepada 1,500 orang-orang tua yang kurang upaya di Kuil Buddha Sri Lanka, Sentul, Kuala Lumpur.

JBPM Perlis hargai kakitangan cemerlang

Posted:

JBPM Perlis hargai kakitangan cemerlang

JBPM Perlis hargai kakitangan cemerlang


MOHD. FADZIL (duduk, tengah) bersama kakitangan JBPM pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2012 di Perlis baru-baru ini.


PENGHARGAAN. Seramai 70 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis diraikan dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2012 di Hotel Seri Malaysia, Perlis baru-baru ini.

Kesemua mereka terdiri daripada 17 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 20 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan 33 lagi menerima cenderamata penghargaan setelah 30 tahun perkhidmatan di jabatan tersebut.

Anugerah yang diberikan itu sebagai pembakar semangat kepada kakitangan JBPM Perlis untuk meningkatkan lagi kualiti di dalam perkhidmatan dan tanggungjawab mereka.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah JBPM negeri, Mohd. Fadzil Haroon dan pada majlis yang sama mereka turut melancarkan Tabung Bantuan Perwira bagi disumbangkan kepada ahli keluarga pasukan keselamatan yang terkorban di Sabah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Filipina tahan 35 pengganas Sulu

Posted:

Filipina tahan 35 pengganas Sulu

Filipina tahan 35 pengganas Sulu

DUA lelaki sedang disoal siasat oleh polis sebelum mereka ditahan di Fajar Harapan di Lahad Datu semalam.


MANILA – Tentera Laut Filipina mendakwa telah menangkap 35 pengganas Sulu termasuk seorang wanita semalam ketika mereka cuba kembali ke Filipina dari Sabah.

Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Leftenan Jeneral Rey Ardo berkata, mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki pengganas Sulu yang memasuki Lahad Datu.

"Mereka sudah pulang (ke tanah air), mereka bersenjata," kata Ardo kepada stesen televisyen ABS-CBN.

Menurutnya, ketika ditahan para pengikut pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III itu sedang menuju ke sebuah pulau di negara ini.

Jelasnya, salah seorang lelaki itu cedera kemungkinan akibat pertempuran yang berlaku di Sabah.

Ardo menyatakan, ketibaan pengikut-pengikut Jamalul itu menunjukkan mereka panik kerana pasukan keselamatan Malaysia meningkatkan usaha memburu kumpulan tersebut.

"Mereka takut dan kembali semula ke Filipina untuk mengelak ditangkap di Sabah," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Dua askar gugur naik pangkat

Posted:

Dua askar gugur naik pangkat

Dua askar gugur naik pangkat


NAJIB mengaminkan doa untuk jenazah Ahmad Hurairah Ismail di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang semalam.


SUBANG – Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan pangkat dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan pangkat tersebut merupakan penghargaan kepada kedua-dua wira itu selain mengenang jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Menurut beliau, Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, masing-masing dinaikkan pangkat sebagai Koperal.

"Ini bererti imbuhan untuk ibu bapa mereka akan diberikan melalui beberapa faedah perkhidmatan. Wang tidak boleh mengubati kesedihan dan kehilangan keluarga tetapi ini tanda prihatin kerajaan, kementerian dan warga tentera," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan kedua-dua jenazah yang diterbangkan dari Tawau dengan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM di sini semalam.

Jenazah yang tiba pukul 8 pagi itu turut diberi penghormatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pembangkang mahu gagalkan PRU-13

Posted:

Pembangkang mahu gagalkan PRU-13

Pembangkang mahu gagalkan PRU-13


MUHYIDDIN (tiga dari kiri) bersama dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor semalam.


HULU SELANGOR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan rancangan pakatan pembangkang untuk menggagalkan Pilihan Raya Umum (ke-13) akan datang dengan mewujudkan keadaan porak-peranda di negara ini.

Beliau berkata, daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk berbuat demikian kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang sudah mula meningkat.

"Macam (penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebut, kalau dalam pilihan raya ini dia kalah maka tentulah kekalahan itu (mengikut dakwaannya) disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat kerja kotor, tipu rakyat.

"Bila dia menang, dia tak pernah kata SPR tipu rakyat, tapi bila nak kalah, nampak-nampak nak tumbang dan impian untuk jadi Perdana Menteri tak akan menjadi, maka dia dah mula buat telahan," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Jangan heret KBS

Posted:

Jangan heret KBS

Jangan heret KBS

Oleh SHANIKA ABDULLLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

AHMAD SHABERY melekatkan replika bola pada poster perlawanan amal antarabangsa antara Malaysia dengan Palestin selepas majlis pengumuman perlawanan tersebut di Putrajaya semalam sambil disaksikan (dari kanan) Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong; Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal; KSU KBS, Datuk Mohid Mohamad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.


"JANGAN heret KBS dalam kemelut anda." Itu amaran daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai kelewatan pembayaran wang kemenangan kepada pelayar Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) serta Monsoon Cup oleh T-Best Events Sdn. Bhd. (T-Best).

Isu berkenaan timbul apabila pelayar negara, Jeremy Koo dari pasukan Koo Racing serta Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team) dan Harisfabillah Muhammad (Royal Malaysian Navy Match Racing Team) mendakwa masih belum menerima hadiah kemenangan mereka.

Selaku penganjur, T-Best mendakwa, mereka masih belum menerima peruntukan daripada KBS, namun selepas masalah itu didedahkan oleh media tempatan, Jeremy akhirnya menerima bayaran berjumlah RM8,000.

Hazwan pula menerima RM5,000 dan Harisfabillah yang mendapat tempat kedua dan ketiga, turut menerima hadiah kemenangan tersebut kelmarin.

Bagaimanapun, Jeremy yang layak ke siri penutup Jelajah Alpari World Match Racing iaitu Monsoon Cup, masih gagal menerima habuan bernilai RM50,000 sebagai bonus selepas terpilih beraksi dalam acara berprestij itu.

Mengikut prosedur, hadiah kemenangan yang diraih Jeremy pada MMRC dan Monsoon Cup tersebut sepatutnya diterima 45 hari selepas acara berakhir.

Mengikut rekod, MMRC berakhir 30 November tahun lalu manakala Monsoon Cup pula menutup tirainya pada 8 Disember.

Bukan itu saja, KBS juga berkemungkinan besar akan menilai semula pemberian dana tahunan bagi acara tersebut sekiranya terdapat bukti ia disalahgunakan.

Jelas Shabery lagi, KBS telah membuat 90 peratus bayaran kepada T-Best dan bakinya akan dibayar selepas kementerian tersebut mendapat laporan audit daripada T-Best.

"Ia satu jumlah yang besar dan sudah tentu kita mahu melihat laporan audit terlebih dulu sebelum membuat bayaran penuh, Perlu diingat, kita mempunyai prosedur tertentu dan ia perlu dipatuhi.

"Untuk maklumat, KBS telah membayar 90 peratus daripada jumlah dana tahunan itu yang bernilai RM20 juta. Jadi, jangan salahkan KBS dengan mengatakan kami tidak membuat bayaran," tegas Ahmad Shabery yang turut menjelaskan prosedur pembayaran tersebut sudah diamalkan sejak lima tahun lalu.

Ahmad Shabery juga memberitahu, apa yang berlaku kini adalah antara T-Best dan pelayar yang memenangi kejohanan tersebut.

"Mereka (T-Best) tidak boleh lepas tangan. Apabila kamu menganjurkan sesuatu, sudah tentu kamu mempunyai wang yang mencukupi untuk melakukannya termasuk menyediakan hadiah kemenangan," katanya selepas mengumumkan perlawanan bola sepak amal antara skuad negara dengan Palestin di Putrajaya semalam.

"Ini satu jumlah yang cukup besar, dan kita perlu bertanggungjawab ke mana wang itu disalurkan. Jika ada yang tidak kena, KBS akan melihat sama ada mahu meneruskan dana ke atas penganjuran acara tersebut serta kontrak ke atas T-Best atau sebaliknya," tambah Ahmad Shabery.

Fatehah tekad gegar dunia

Posted:

Fatehah tekad gegar dunia

Fatehah tekad gegar dunia

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my


ZOLKPLES (kiri) memerhati pingat yang dimenangi oleh Josiah (tengah) dan Fatehah pada ACC 2013 di New Delhi, India. Kedua-dua pelumba itu tiba di KLIA semalam.


RATU pecut negara, Fatehah Mustapa bertekad untuk menjadi pelumba bertaraf dunia.

Untuk merealisasikan hasratnya itu, dia akan terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya pada tahap tertinggi.

Fatehah melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas dalam acara pecut 200 meter pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 yang berakhir di New Delhi, India minggu lepas.

Ini merupakan pingat emas kedua bagi pelumba berusia 24 tahun itu di pentas Asia selepas dia berjaya melakukannya pada edisi 2012 di Kuala Lumpur dengan menjuarai acara keirin, sekali gus muncul pelumba wanita pertama negara menyumbang emas pada kejohanan tersebut.

Fatehah yang tiba di Kuala Lumpur pagi semalam memberitahu, sasarannya untuk memenangi emas pada Piala Dunia Klasik amat penting dalam misinya mengumpul mata kelayakan untuk beraksi pada Kejuaraan Trek Dunia di Cali, Columbia tahun depan.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk memenangi pingat emas pada Piala Dunia Klasik kerana sebelum ini, pencapaian terbaik saya hanyalah layak ke final sahaja (acara keirin) pada kejohanan tersebut.

"Lagi pun, penyertaan saya pada Piala Dunia Klasik ini bukan hanya sekadar untuk menambah koleksi emas, sebaliknya ia juga merupakan misi peribadi saya untuk mengumpul mata sebanyak mungkin untuk layak menyertai Kejohanan Dunia tahun depan dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," kata Fatehah ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.

Fatehah kini mula dilabel sebagai pelumba pecut wanita terbaik wanita ketika ini selepas melakar sejarah baharu dengan memenangi pingat emas acara keirin pada ACC 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur tahun lepas.

Pencapaian pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya dia sekali lagi membuktikan potensinya sebagai antara pelumba yang perlu diberi perhatian setelah memenangi satu lagi pingat emas pada ACC 2013 di New Delhi minggu lepas, kali ini dalam acara pecut.

Dia yang turut menyumbang pingat perak dalam acara keirin dan gangsa bagi acara 500m ujian masa, mengakui agak terkejut dengan pencapaiannya yang disifatkan ketua jurulatih, John Beasley sebagai kejayaan yang menakjubkan meskipun masih dihimpit kecederaan belakang sejak awal tahun lalu.

"Saya sendiri agak terkejut dengan kemenangan ini kerana saya tidak menjangkakannya langsung.

"Saya turun pada kejohanan ini dengan misi mempertahankan emas dalam acara keirin yang dimenangi di Kuala Lumpur tahun lepas tetapi kemenangan ini tetap sesuatu yang bermakna bagi saya," jelasnya lagi.

Mengenai perancangannya selepas ACC 2013 ini, Fatehah berkata: "Saya akan menyertai Kejohanan Grand Prix Malaysia pada April dan Julai depan sebelum beraksi dalam Piala Dunia Klasik.

"Bagaimanapun, sebelum itu saya akan pulang dahulu ke Melbourne pada 21 Mac ini bagi mendapatkan rawatan ke atas kecederaan belakang saya."

Wan Zack, Nazirul sertai Ryukyu

Posted:

Wan Zack, Nazirul sertai Ryukyu

Wan Zack, Nazirul sertai Ryukyu

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TEKA-TEKI dua pemain Harimau Muda yang bakal menyertai Ryukyu FC akhir- nya terjawab selepas Wan Zack Haikal Wan Noor (gambar) dan Nazirul Naim Che Hashim disahkan bakal menyertai kelab divisyen tiga Liga Bola Sepak Jepun (J League) itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh jurula- tih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang memberitahu bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan perbincangan dengan Pengurus Besar Ryukyu FC, Kaneko Tatsuhito yang sedang dalam lawatan kerja di ibu negara.

Menurut Kim Swee, wakil kelab Jepun itu sangat mengagumi persembahan yang ditonjolkan oleh dua pemain tersebut dalam satu sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Isnin lalu.

Kim Swee menambah, pemilihan kedua-dua pemain itu sangat tepat kerana beliau percaya gandingan mereka bakal memberi impak kepada skuad kebangsaan kelak.

"Mereka (Ryukyu FC) telah memaklumkan kepada kami bahawa mereka sedang mencari seorang pemain sayap dan pertahanan.

"Sebagaimana kita tahu, Wan Zack merupakan seorang pemain yang cukup berbakat. Saya percaya dia tidak akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri.

"Nazirul Naim, pula adalah seorang pemain pertahanan muda sering berusaha keras ketika beraksi di atas padang. Dia pantas dan mampu bermain di posisi pertahanan kiri atau sayap kiri.

"Kedua-dua pemain ini akan menyertai Ryukyu FC dan saya berharap mereka akan memberikan satu sumbangan besar kepada skuad negara selepas menyarungkan jersi kelab itu kelak," kata- nya kepada pemberita semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee menegaskan, beliau berharap pemergian barisan pemain pada kali ini akan memberikan seribu manfaat kepada negara terutama skuad kebangsaan.

Ini kerana pengendali kelahiran Melaka itu menyifatkan beliau tidak rela lagi untuk menyaksikan kepulangan pemain negara tanpa pengetahuannya sebagaimana yang dilakukan oleh bintang muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor sebelum ini.

Nazmi mengambil keputusan meninggalkan kelab Portugal, S.C. Beira-Mar untuk menyarung jersi Selangor PKNS tanpa perbincangan dengan FAM terlebih dahulu.

Jelasnya, ia dilihat satu pelaburan yang sangat tidak berbaloi selepas FAM bersusah payah merealisasikan impian pemain muda negara untuk menimba pengalaman di luar negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nubhan, Mila tidak berputus asa

Posted:

Nubhan, Mila tidak berputus asa

Nubhan, Mila tidak berputus asa

NUBHAN dan Mila mengharapkan tuah lagu Cinta Kasih kolaborasi mereka.


BAIK Nubhan mahupun Mila, mereka berdua sedar karier sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah biarpun sudah bertapak dalam industri seni suara sejak lima tahun lalu, iaitu sejak kedua-duanya keluar daripada program realiti Akademi Fantasia.

Jika ada pun, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 27, hanya popular menerusi beberapa buah lagu seperti Oh Juwita dan Seadanya Aku.

Begitu juga Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 26, yang hanya popular menerusi lagu Persis Mutiara.

Mengakui kurang menyerlah sebelum ini kerana tiada pihak pengurusan, Mila memberitahu, ia menjadi faktor kepada kekurangan untuk mempromosikan lagu-lagunya sendiri.

Sebaliknya bagi Nubhan, dia mendedahkan, dirinya yang mentah dan kurang matang dalam industri membuatkan dirinya dipergunakan oleh pihak pengurusannya terdahulu.

Nubhan dan Mila juga bercerita mengenai lagu duet baharu mereka iaitu Cinta Kasih yang merupakan lagu tuah buat mereka untuk menyerlah kembali dalam industri seni suara ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet terbaharu berjudul Cinta Kasih di Redbox, The Garden, Kuala Lumpur.

NUBHAN kini mempunyai syarikat pengurusan sendiri iaitu Nubhan Records & Productions.


Pengajaran buat saya - Nubhan

Sekitar bulan September tahun lalu, Nubhan pernah mencetuskan kontroversi apabila dia mendedahkan tidak pernah mendapat duit royalti dan hak-haknya sebagai seorang artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusannya, sebelum ini.

Enggan mengungkit dan mengingati kisah lalu, ungkap Nubhan, dia menganggap tempoh lima tahun di bawah pihak pengurusan itu merupakan pengalaman dan pengajaran yang boleh ditimba olehnya.

"Kalau boleh saya tidak mahu kenang lagi perkara lama. Mahu tutup buku lama dan buka buku baharu.

"Sebelum ini saya budak remaja yang tidak tahu ranjau dan liku berada dalam industri seni, tetapi sekarang saya sudah dewasa dan mampu bergerak serta berfikir secara matang," ujarnya yang menganggap kembalinya dia ke dunia seni sekarang bersama pihak pengurusan baharu adalah tempoh permulaan karier seninya.

Kini Nubhan bernaung di bawah pengurusan sendiri, Nubhan Records & Productions. Bagaimanapun, untuk penerbitan single, album mahupun urusan promosi, Nubhan bekerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music.

Mengakui kini lebih selesa dan bebas dalam membuat keputusan, Nubhan mendedahkan, dia tidak pernah berasa putus asa untuk terus bertahan bergelar sebagai penyanyi kerana peminat-peminatnya.

"Kekuatan saya adalah peminat-peminat yang sentiasa menyokong. Mereka juga sering bertanya khabar dan ingin melihat perkembangan terbaharu saya.

"Memang kontroversi yang berlaku sebelum ini begitu pahit buat saya. Masakan tidak, saya mengharapkan pihak pengurusan yang baik, tetapi sebaliknya yang berlaku," ujarnya yang kini begitu popular dengan lagu duetnya bersama Mila.

Dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk single terbaharunya di bawah Nova Music, Nubhan juga bersyukur kerana lagu Cinta Kasih ciptaan Nur Zaidi Abdul Rahman (pencipta lagu Ombak Rindu) itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik.

Melihat pada penampilan Nubhan yang kini kelihatan segak dan matang, ada khabar yang mengatakan perubahannya itu disebabkan sudah mempunyai kekasih.

Mengulas mengenai perkara itu, Nubhan mendedahkan, perubahan penampilannya bukan disebabkan seseorang yang bergelar kekasih. Tetapi, dia berubah seiring dengan usianya yang semakin meningkat.

"Cinta saya tolak tepi dulu. Sekarang, saya tidak mahu fikir soal cinta. Saya mahu fokus kepada karier. Saya juga tidak bercadang untuk mencari teman istimewa atau mengenali sesiapa buat masa ini.

"Begitupun, soal jodoh kita tidak boleh jangka. Jika sudah tertulis jodoh saya sampai dalam waktu terdekat ini, saya tidak akan menolak, " ujarnya lagi.

SELEPAS putus cinta dengan jejaka Rusia, Mila kini enggan menjalin hubungan cinta dalam masa terdekat.


Mila sedia bercinta

Bila ada mulut yang mengharapkan dirinya bercinta dengan Nubhan selepas mereka berduet bersama lagu Cinta Kasih, luah Mila, kalau boleh dia tidak mahu bercinta sesama artis atau orang dalam industri.

Ujar Mila yang pernah bercinta dengan seorang warga Rusia sebelum ini, dia mahukan kekasihnya itu tidak berbicara topik yang sama dengannya iaitu nyanyian atau lakonan.

"Kalau boleh saya tidak mahu bercinta dengan orang dalam industri. Sebab takut topik perbualan sama. Lagipun Nubhan terlalu tinggi untuk saya," ujarnya sambil ketawa.

Mengulas mengenai teman lelakinya sebelum ini, luah Mila, kerana jarak dan juga budaya, percintaannya bersama lelaki warga Rusia itu tidak berpanjangan.

Pernah juga bercinta dengan Ebi AF5 sebelum ini, Mila juga mendedahkan, bahawa kedua-dua ibu bapanya berharap agar dia segera bercinta dan berkahwin sebelum umurnya mencecah 30 tahun.

Berbicara pula mengenai lagu duetnya bersama Nubhan, Mila mengakui berasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pencipta lagu, Nur Zaidi dan juga pihak Nova Music untuk dirinya menyanyikan lagu tersebut.

"Lagu Cinta Kasih hadir pada saat saya mahu membuat kemunculan semula dalam bidang seni. Saya seronok dan bersyukur kerana dipilih pihak Nova Music untuk menyanyikan lagu ini," ujarnya kini bernaung di bawah Nova Music bersama Nubhan bagi pengurusan promosi dan juga menerbitkan single atau album baharu.

Cerita Mila, selain mempromosikan lagu tersebut, pihak Nova Music juga sedang merangka untuk menghasilkan single terbaharunya.

Mila bersyukur kerana dirinya kini mempunyai pihak pengurusan dan berharap perjalanan kariernya lebih menyinar selepas ini.

"Saya tiada kekuatan mahu mempromosikan lagu sendiri. Sebelum ini saya pernah buat sendiri dan ia tidak menjadi," ulasnya berhubung album keduanya yang pernah berdepan dengan kegagalan kerana lagu-lagunya langsung tidak diputarkan di corong-corong radio.

Berkongsi rasa, ujar Mila, walaupun kerjaya seninya kurang menyerlah dia tidak pernah berputus asa kerana menganggap nyanyian sudah sebati dalam dirinya.

Luahan rasa Eddie Hamid

Posted:

Luahan rasa Eddie Hamid

Luahan rasa Eddie Hamid

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

EDDIE HAMID menegaskan dia menghasilkan lagu Bo la Wei sejajar dengan kariernya sebagai komposer.


SIAPA tidak kenal dengan komposer terkenal, Eddie Hamid yang memang tidak dinafikan cukup dikenali menerusi lagu-lagu balada ciptaannya.

Karya nukilan Eddie sememangnya sering mendapat penerimaan serta tidak kurang juga kritikan dari peminat muzik tempatan.

Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya, komposer yang terkenal dengan lagu, Halimah Jongang ini telah melancarkan sebuah lagu yang berbeza daripada apa yang diciptanya sebelum ini.

Justeru, lagu yang berjudul, Bo La Wei ini telah mendapat kritikan hebat dari masyarakat khususnya penduduk Kelantan sendiri.

Lagu Bo La Wei yang bermaksud cukup-cukuplah sudah menjadi kontroversi kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur politik.

Namun, bagi Eddie yang turut menyanyikan lagu tersebut itu, ia merupakan pendapat dirinya sebagai salah seorang anak kelahiran Kelantan yang inginkan perubahan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Eddie Hamid ketika dihubungi baru-baru ini.

Kosmo! : Apabila dapat tahu dikecam oleh penduduk Kelantan, apa reaksi anda?

EDDIE: Tidak dinafikan setelah membaca komen-komen di laman YouTube dan Facebook saya, memang timbul rasa takut dan risau dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh terima keadaan tersebut dan keluarga saya juga telah memarahi saya. Saya juga tahu perkembangan cerita-cerita tentang perkara ini melalui rakan-rakan dan keluarga yang membacanya.

Saya mengambil keputusan untuk mengunci mulut dan berdiam diri. Semasa mengeluarkan lagu Halimah Jongang pun hentaman (kutukan) yang saya terima tidak seteruk ini. Bagaimanapun, kini saya sudah boleh terima kenyataan tersebut.

Adakah anda pernah terfikir akan perkara sebegini sebelum melakukannya?

Memang saya ada terfikir, tapi tidak sangka ia seteruk begini. Saya tahu akan timbul isu tetapi sebagai anak kelahiran Kelantan, saya ingin menyuarakan pendapat saya. Tidak sangka pula kerana lagu tersebut orang akan bergaduh. Namun, bukan semuanya yang menghentam lagu tersebut kerana ada juga yang puji seperti mengatakan ia mempunyai melodi yang sedap didengar dan sebagainya.

Berapa lamakah anda berfikir sebelum bersetuju untuk mengambil tawaran ini?

Saya tidak fikir lama dan terus mengambil peluang ini. Sebenarnya kami sudah banyak kali teliti tentang liriknya. Lirik dibuat oleh saya dan komposer Datuk Mohamad Supardi Md. Noor, yang mana ia telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sempena Himpunan Perdana Anak-Anak Kelantan di Bukit Jalil pada 17 Februari lalu.

Saya tidak takut kerana ia perkara yang benar. Saya rasa tidak salah untuk menyuarakan pendapat dan yang lain harus mengambil iktibar daripadanya.

Apakah yang membuatkan perkara ini menjadi titik permulaan untuk menyuarakan pendapat?

Saya sudah lama bekerja di luar negeri kelahiran saya kerana memang saya akui agak sukar untuk mendapat peluang pekerjaan di sana. Begitu juga dengan adik-adik saya. Memang tidak dinafikan ramai yang marah namun, ada juga yang turut bersetuju dengan saya. Ia merupakan seperti karya untuk memberi kesedaran kepada negeri kelahiran saya itu.

Saya tidak berniat untuk mempersendakan mana-mana parti politik namun berkarya dan membuat lagu memang merupakan periuk nasi dan merupakan kerjaya saya.

Ada kenyataan yang mengatakan anda ingin pulang ke Kelantan dan mahu melihat sendiri bagaimana penerimaan rakyat Kelantan terhadap lagu ini. Bilakah tarikhnya?

Memang benar. Saya bakal mengadakan persembahan secara langsung buat julung-julung lagu ini di Kelantan yang bakal dihadiri Perdana Menteri pada Jumaat, 15 Mac ini pada pukul 8 malam di Bangunan UMNO, Kota Bharu. Ia bersempena majlis pertemuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN), Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan.

Konsert Amal Lahad Datu

Posted:

Konsert Amal Lahad Datu

Konsert Amal Lahad Datu

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SYED ALI (kanan) bersama para artis yang bakal menjayakan Konsert Amal Artis Tabung Lahad Datu di Stadium Badminton, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 16 Mac ini.


RAMAI yang sedih dan terkejut mendengar cerita dan melihat gambar-gambar anggota pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu, Sabah. Paling menyayat hati apabila mengenangkan nasib isteri yang menjadi balu dan anak-anak yang menjadi anak yatim dalam sekelip mata.

Atas dasar prihatin, pihak Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Aman Palestin Berhad dan Cahaya Idaman Enterprise akan mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Amal Lahad Datu dan Tabung Amal Palestin serta Konsert Amal Artis pada 16 Mac ini.

Menurut Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, tujuan utama pelancaran tabung dan konsert amal itu diadakan adalah untuk membantu mangsa-mangsa di Lahad Datu dan Palestin.

"Diharap dengan penganjuran ini (tabung dan konsert) ia dapat mengumpul dana sekali gus menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa di Lahad Datu dan Palestin," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Tabung Amal Lahad Datu dan Palestin serta Konsert Amal Artis di Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Kuala Lumpur.

Jelasnya, majlis perasmian akan diadakan pada pukul 11.30 pagi manakala Konsert Amal Artis yang bertemakan Berhibur Sambil Beramal pula akan bermula pada pukul 2 hingga 6 petang bertempat di Stadium Badminton, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Antara artis yang terlibat ialah Tomok, Mawi, Ayu Damit, Elly dari kumpulan AXL, Isma (AF), Shiha (Mentor), Wanie, Band pengiring Rosewell dan penampilan istimewa model dan pelakon Cha Cha Maembong.

Orang ramai boleh membeli tiket Konsert Amal Artis ini di pejabat Yayasan Pendidikan Cheras, Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur, atau hubungi talian 03-9284 3603/03 9287 7371. Orang ramai juga boleh membeli tiket konsert secara terus melalui Rosmawati di talian 017 660 0203 atau Fadzlee di talian 017 3168819.

Tiket untuk orang dewasa dijual pada harga RM15 manakala tiket untuk pelajar pula berharga RM10. Orang ramai yang membeli tiket juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui cabutan nombor bertuah.

Sementara itu, penyanyi Ayu Damit, mengakui berasa risau dan takut akan keselamatan keluarganya di Sabah apabila mendengar berita mengenai pencerobohan dan kematian di Lahad Datu.

"Walaupun tempat tinggal keluarga Ayu di Kota Kinabalu dan ia agak jauh dari Lahad Datu, tetapi Ayu tetap risau dan takut akan keselamatan keluarga di sana," ungkapnya yang tinggal di Kuala Lumpur bersama dengan salah seorang adiknya.

Ujar anak sulung daripada lima beradik itu, dia berharap agar keluarganya dan penduduk di Sabah selamat serta berdoa agar pihak penceroboh berundur.

Ayu juga melahirkan rasa prihatin dan sedih mendengar dan membaca berita kematian anggota-anggota keselamatan di Lahad Datu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penginapan istimewa tingkat 17

Posted:

Penginapan istimewa tingkat 17

Penginapan istimewa tingkat 17

Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Selangor


TATKALA berada di kafe atau restoran hotel bertaraf lima bintang di negara ini, mata para tetamu lazimnya 'dijamu' dengan susunan botol-botol minuman keras yang disusun rapi pelbagai jenama.

Bahkan, pemandangan pelanggan menikmati minuman keras tersebut umpama satu pemandangan biasa di hotel-hotel berkenaan.

Bagaimanapun, hari ini industri perhotelan negara melangkah era baharu apabila terdapat hotel lima bintang yang menawarkan perkhidmatan berkonsepkan Islam.

"Saya menyambut baik usaha pihak hotel yang menawarkan perkhidmatan berkonsep Islam, tiada minuman keras manakala restoran-restoran menyajikan makanan halal.

"Sebagai seorang beragama Islam, saya pasti memilih hotel ini kerana kita dituntut mencari yang halal," kata Syahrull Nizam Perdan, 37.

Dia merupakan seorang jurutera ditemui Kosmo! ketika menginap di Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Hotel lima bintang yang terletak di Seksyen 14 itu menerima Anugerah Standard Kualiti Islam Untuk Rekabentuk Hotel oleh Universal Crescent Standard Center (UCSC) di Persidangan Antarabangsa Standard Pelancongan Islamik pertama yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada bulan Disember tahun lalu.

Persidangan itu dianjurkan bersama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan disokong oleh Caprice Group, Turki.

Pengiktirafan yang diperoleh Hotel Grand Bluewave Shah Alam itu setelah memenuhi beberapa kriteria seperti tiada minuman keras, menyajikan makanan halal dan petunjuk arah kiblat di bilik hotel.

Pengunjung juga dapat melihat perubahan yang berlaku di hotel berkenaan. Seiring dengan usaha menawarkan makanan halal di setiap restoran, khidmat hospitaliti menurut sistem Islam turut diterapkan dan tiada botol-botol minuman keras.

MOHD. GHAZALI gembira kerana Hotel Grand Bluewave Shah Alam menjadi perintis hotel lima bintang berkonsep Islam di negara ini.


Khas untuk wanita

Terdapat beberapa bingkai gambar yang tergantung di dinding termasuk di lobi hotel menunjukkan pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kesemua 341 bilik hotel juga dilengkapi dengan tanda arah kiblat dan sejadah. Al-Quran pula boleh dipesan pelanggan dan akan dihantar ke bilik. Surau untuk kegunaan pelanggan disediakan di tingkat 1A.

Lebih menarik, pelanggan wanita turut diberi keistimewaan untuk menginap di tingkat 17 yang dikhususkan kepada mereka. Selepas keluar dari lif di tingkat 17, para pelanggan yang hanya mempunyai kad akses khas boleh memasuki kaki lima di tingkat berkenaan.

Pihak hotel telah memasang satu pintu khas dengan sistem keselamatan tersendiri bagi mengelakkan lelaki memasuki aras berkenaan.

"Pekerja yang membersihkan bilik atau menghantar makanan juga merupakan kaum wanita, pendekatan ini memberikan lebih keselesaan kepada para pelanggan wanita. Paling penting, tahap keselamatan di tingkat 17 ini lebih ketat," kata pengurus hotel, Mohd. Ghazali Sayed Ibrahim.

Kemudahan tersebut kini mendapat sambutan terutama dalam kalangan wanita bekerjaya atau mereka yang datang secara kumpulan dan bebas daripada lelaki.

Pihak hotel juga menawarkan kemudahan kolam renang tertutup kepada wanita untuk beriadah. Bagi memudahkan pelanggan wanita, masa yang ditetapkan untuk menggunakan kemudahan itu ialah selama sejam setiap hari bermula dari pukul 2.30 petang.

PETUNJUK arah kiblat, al-Quran dan sejadah disediakan untuk kemudahan pelanggan beragama Islam.


Sokongan kakitangan

Pada waktu itu, pelanggan wanita boleh menggunakan kemudahan gimnasium yang dikhas untuk mereka sahaja.

"Kemudahan khas kepada wanita membuat mereka lebih selesa dan rasa selamat. Saya juga gembira disebabkan pihak hotel prihatin dengan keperluan umat Islam," kata Zulkifle Omar, 42, yang barasal dari Marang, Terengganu.

Menyingkap usaha ke arah hotel berkonsep Islam, ia dimulakan sendiri oleh kakitangan peringkat atasan sejak tujuh tahun lalu.

Usaha tersebut mendapat sokongan daripada kakitangan peringkat bawah yang melihatnya sebagai satu perubahan positif sekali gus memberikan lebih keberkatan terhadap rezeki mereka.

Menurut Mohd. Ghazali, dengan bilangan kakitangan beragama Islam yang ramai dan anggaran 80 peratus pelanggan beragama Islam, ia merupakan satu jihad bagi memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan keberkatan.

Meskipun hotel berkenaan dimiliki oleh orang Jepun, ia bukanlah satu masalah kerana usaha tersebut mendapat sokongan daripadanya.

Kedudukan Hotel Grand Bluewave di pusat bandar raya Shah Alam yang merupakan bandar raya Islamik memberikan satu kelebihan. Lokasi hotel dengan masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga hanya 1 atau 2 kilometer sahaja.

Sebelum ini, para pekerja hotel juga telah dididik melaksanakan tugas lebih islamik. Pemakaian tudung dalam kalangan pekerja tidak pernah dihalang.

"Pada peringkat awal tidak dinafikan banyak cabarannya, namun kita perlu yakin usaha ke arah memartabatkan agama akan mendapat keberkatan," kata Mohd. Ghazali yang telah berkhidmat selama 16 tahun di hotel berkenaan.

Chef Ng Choon Meng, 45, yang bertugas di Restoran Cina Tung Yuen di hotel tersebut mengakui berdepan tugas sukar pada peringkat awal apabila menyediakan masakan Cina tanpa menggunakan wain.

Terbabit selama 27 tahun dalam industri makanan dan minuman, kemampuan anak kelahiran Ipoh, Perak itu menyediakan masakan Cina tidak diragui.

Bagaimanapun, dia memerlukan masa sehingga enam bulan bagi memastikan masakan yang disediakan halal tanpa menggunakan bahan-bahan yang tidak diyakini.

"Sebelum ini, saya sering menggunakan wain dalam masakan dan langkah pihak majikan menjadikan hotel berkonsep Islam merupakan satu ujian besar kepada saya kerana penggunaan wain dalam masakan Cina memberikan aroma berbeza.

"Enam bulan kemudian barulah saya berpuas hati dengan masakan tersebut. Hidangan tetap sedap dan tiada pelanggan yang merungut malah pelanggan beragama Islam rasa lebih selesa serta tidak ragu-ragu untuk menjamu di restoran ini," katanya yang telah berkhidmat selama 11 tahun di hotel berkenaan.

Seorang lagi pekerja hotel itu, Nurzurida Dollah Taib, 36, berkata, langkah-langkah yang diambil pihak hotel dengan menawarkan perkhidmatan berkonsep Islam mendapat sambutan baik dalam kalangan pekerja.

Jelasnya, walaupun pengiktirafan tersebut diperoleh baru-baru ini, namun pihak hotel sebenarnya tidak pernah menghalang pekerja memakai tudung atau menunaikan solat.

"Tiada minuman keras dan restoran berstatus halal memberikan lebih keselesaan untuk pekerja beragama Islam melakukan tugas harian dan pendapatan yang diperoleh juga lebih diberkati," katanya.

Jenayah kejam simbah asid

Posted:

Jenayah kejam simbah asid

Jenayah kejam simbah asid


PAKAR Bedah Plastik, Dr. Hamid Hassan (kanan) berkata sesuatu kepada Naziran sebelum meneruskan prosedur memperbaiki struktur kelopak matanya.


TIDAK ramai yang mempunyai kepercayaan terhadap undang-undang dan ketelusan perbicaraan mahkamah di Pakistan.

Pada masa yang sama, pihak yang berkempen tentang kesedaran jenayah serangan asid baru-baru ini memberitahu, jenayah tersebut telah meningkat tiga kali ganda walaupun hukuman yang lebih berat telah dipersetujui sejak tahun 2011.

Beratus-ratus wanita, malah tidak ketinggalan lelaki dewasa dan kanak-kanak Pakistan menjadi cacat setiap tahun akibat keganasan rumah tangga.

Para aktivis turut memuji tindakan pemerintah Pakistan kerana menggubal undang-undang baharu demi menyokong hak asasi manusia, meskipun masih berdepan dengan cabaran pelaksanaan.

Pada tahun 2011, Parlimen Pakistan menetapkan hukuman penjara minimum 14 tahun dan denda sejuta rupee (RM31,000) bagi mereka yang didapati melakukan jenayah menyimbah asid.

Sabit jenayah

Menurut Pengerusi Yayasan Mangsa Asid, Pakistan, Valerie Khan Yusufzai, kadar sabitan kesalahan bagaimanapun meningkat dari enam peratus kepada 18 peratus pada tahun 2012.

Seorang Peguam, Sikander Naeem berkata: "Tugas peguam untuk menyabitkan penjenayah asid lebih mudah, malah kenyataan mangsa sahaja sudah mencukupi bagi menyabitkan kesalahan tertuduh," katanya.

Begitupun, bagi kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan kekal termasuk menjadi buta, hukuman yang dijatuhkan itu masih terlalu ringan.

Sidra Javed telah disimbah asid pada Jun 2011 kerana telah menolak anak pengurus di kilang yang cuba menguratnya. Sidra yang bekerja sebagai pembuat bekas air hanya mendapat gaji sebanyak RM46 sebulan.

Keluarganya telah berkorban segala-galanya dan akhirnya penyerang wanita itu dipenjara pada bulan Julai tahun lalu.

"Saya berasa lega dan gembira kerana usaha bapa selama ini berhasil, namun apabila memikirkan bagaimanakah untuk meneruskan kehidupan dengan keadaan cacat, saya fikir hukuman ke atas penyerang itu sepatutnya lebih berat," keluhnya.

Bapa Sidra yang bekerja membaiki televisyen terlalu sedih dan terganggu akibat kes tersebut. Perniagaannya juga terjejas.

"Kadangkala kami tidak mempunyai wang untuk membeli makanan," katanya.

Kini, Sidra sudah berusia 15 tahun. Keadaannya amat teruk apatah lagi kulit kepalanya terbakar termasuk separuh lengan, dada dan kaki. Apa yang lebih menyedihkan, mata kanannya telah buta dan dia bergantung kepada mata kiri.

Dalam pada itu, dia telah menjalani enam pembedahan untuk membaiki semula kulit-kulitnya di bahagian bibir, telinga selain menjalani rawatan penanaman rambut.

Sidra tidak gemar bertemu orang, benci untuk bercerita mengenai serangan tersebut dan berasa lemah.

Lantaran itulah, peguam dan aktivis wanita, mengakui cabaran hidup mangsa akibat kejadian seperti itu terlalu berat.

Naeem mendesak mahkamah khas ditubuhkan bagi menangani jenayah asid yang begitu dahsyat di Pakistan selain berharap agar proses undang-undang dapat dilaksanakan dengan mudah termasuk proses mendapat pampasan dan rawatan buat mangsa.


KEBANYAKAN mangsa asid di Pakistan adalah wanita dan kanak-kanak.


Kesedaran undang-undang

Ketua Hak Asasi Manusia di Pakistan berkata, hampir 1,000 wanita dan gadis dibunuh pada tahun 2011 selepas dituduh memalukan keluarga.

Naziran Bibi, ibu kepada dua orang anak merupakan antara wanita malang yang menjadi mangsa simbahan asid.

Dibesarkan di Bahawalpur di selatan Punjab, dia telah dijual ketika berusia 13 tahun untuk tujuan perkahwinan.

Bagaimanapun, selepas lebih lima tahun berkahwin, suaminya meninggal dunia. Hidup dengan dua orang anak dengan keluarga mertua, Naziran terpaksa menelan kata-kata cacian hampir setiap hari sebelum dipaksa berkahwin dengan adik lsuaminya.

Dia menolak kerana perkahwinan baharu itu menjadikan dia sebagai isteri kedua.

"Isteri pertama suami baharu saya benar-benar marah. Pernah dicaci dan dipukul, kemuncak kekejaman madu saya ialah simbahan asid," kata wanita berumur 26 tahun itu yang dibiarkan buta serta wajahnya mempunyai parut yang teruk.

Suaminya enggan untuk mendaftarkan isteri pertamanya sebagai pesalah dan akhirnya akibat tekanan keluarga, Naziran menerima penyelesaian luar mahkamah. Madunya itu bersetuju untuk membayar 400,000 rupee (RM12,700).

Dengan bayaran itu, Naziran kini mempunyai kedai runcit yang kecil. Hari ini, dia menghantar anak perempuannya ke sekolah dan masih bertegur sapa dengan suaminya tetapi tidak pernah lagi bercakap dengan isteri pertamanya.

"Satu-satunya cara untuk menjadikan hal ini benar-benar 'selesai', ialah dengan menyimbah asid kembali ke wajah madu saya," ujarnya. -AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Asah bakat di ChiliPadee Studio

Posted:

Asah bakat di ChiliPadee Studio

Asah bakat di ChiliPadee Studio

Oleh ADLAN JAAFAR

PARA pelajar ChiliPadee Studio berpeluang mempelajari teknik-teknik dalam penghasilan sesuatu animasi.


ANIMASI kegemaran Mohamed Uwais Mohamed Syairoz, 10, ialah SpongeBob SquarePants, Car dan Toy Story sama seperti rakan-rakan sebayanya. Namun, ibu bapanya dapat mengesan sesuatu yang lain dalam diri kanak-kanak itu.

Mohamed Uwais kelihatan sangat berminat dengan pergerakan dan emosi wajah setiap karakter berbanding kanak-kanak lain yang hanya terpesona pada jalan cerita yang kelakar serta penggunaan warna menarik.

Berikutan perkembangan tersebut, ayah Mohamed Uwais, Mohamed Syairoz Mohd. Odman, 35, mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak sulungnya itu ke kelas animasi kanak-kanak, ChiliPadee Studio (CPS) yang terletak di Batu Caves, Selangor.

CPS merupakan kelas animasi khusus untuk kanak-kanak yang pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada November 2011 dengan menawarkan dua sesi kelas.

Menyasarkan kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun, ia bertujuan untuk meneroka minat kanak-kanak terhadap animasi sekali gus mengasah kemahiran dan mengekalkan minat.

Bilangan pelajar setiap kelas dihadkan bagi memastikan hubungan murid dan guru lebih berkesan serta tidak berlaku sebarang tekanan kepada mereka.

"Kami mahu anak saya meneroka bakat yang ada dalam dirinya dan sebagai ibu bapa, kami perlu memberi sokongan sepenuhnya," kata Mohamed Syairoz ketika ditemui Taman Industri Bolton, Selangor.

Ketika ditanya mengenai cita-cita, Mohamed Uwais yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, pantas menjawab mahu menjadi juruterbang.


UWAIS (kanan) berminat untuk meneroka karakter animasi Toy Story di ChiliPadee Studio.


Skil sandaran

Walaupun berbeza dengan apa yang dipelajarinya, ibu kanak-kanak itu, Saidatul Ashikin optimistik bahawa setiap bakat yang ada dalam diri kanak-kanak itu boleh menjadi skil sandaran pada kemudian hari.

Pada awal Januari lalu, anaknya itu selesai menjalani upacara graduasi setelah tamat kelas peringkat pertama.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian peringkat pertama termasuk menyiapkan setiap tugasan yang ada akan dianugerahkan sijil pencapaian.

Mohamed Uwais seterusnya didaftarkan dalam kelas peringkat kedua. Menurut Mohamed Syairoz, anaknya itu seronok dapat bersama dengan kawan-kawan dalam kelas yang sama.

"Paling penting, Mohamed Uwais tidak pernah kelihatan tertekan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya.

"Penghayatan terhadap kartun juga semakin meningkat terutamanya dari segi mimik muka. Dia dapat memahami kesukaran dalam menghidupkan satu-satu karakter," terang Mohamed Syairoz yang bekerja sebagai pegawai bahagian perhubungan strategik sebuah syarikat swasta.

Antara muka mudah

Kelas animasi kanak-kanak di CPS setakat ini mempunyai dua peringkat yang menggunakan dua perisian yang berbeza iaitu Crazy Talk 6 (CT6) dan Crazy Talk Animator (CTA) masing-masing untuk peringkat yang berbeza.

Perisian CT6 adalah untuk peringkat pertama dengan memberi fokus pada ekspresi wajah dan pergerakan muka, manakala CTA pula, khusus pada pembinaan latar belakang serta pergerakan karakter.

Kedua-dua perisian itu sesuai untuk sistem operasi Microsoft dan merupakan animasi dua dimensi.

Sebenarnya, terdapat beberapa ciri pada perisian tersebut yang membolehkan kanak-kanak boleh mempelajarinya dengan mudah.

Hal itu bertentangan dengan tanggapan lazim yang sering terlintas dalam pemikiran orang ramai iaitu hampir semua perisian melibatkan animasi atau grafik terlalu sukar untuk dipelajari.

Menurut Pengarah CPS, Sazrul Zakri Zakariya, 36, kedua-dua perisian tersebut memberikan hasil akhir seperti karya juruanimasi profesional.

Namun, lelaki yang senang dipanggil Zack itu menambah, perisian tersebut dapat mempercepatkan masa pembikinan antara empat hingga lapan minggu.

Selalunya, bagi satu episod animasi berdurasi 30 minit memerlukan masa lebih kurang 35 minggu untuk disiapkan.

"Ciri jelas yang dapat dilihat ialah interface yang mudah digunakan sehingga kanak-kanak juga boleh menggunakannya," terang Zack yang berasal dari Pulau Pinang tetapi menetap di Seri Gombak, Selangor.

Interface (antara muka) bagi memilih ekspresi wajah dan pergerakan mulut agak senang dan prosesnya hampir berlaku secara automatik dengan suara yang dirakam.

Satu lagi ciri yang ada ialah tetapan (setting) yang telah dilaras lebih awal untuk pergerakan yang biasa dilakukan seperti berjalan, berlari atau menari.

Jadi, apabila pembikin animasi dua dimensi mahu karakter ciptaan mereka bergerak, watak yang sedia ada hanya perlu dimasukkan dan pilih pergerakan yang ada.

Pergerakan yang pelik seperti mahu menghasilkan tarian yang ada identiti seperti hip hop, juruanimasi harus menghasilkan gambar satu persatu.

Selain itu, banyak lagi ciri yang ada seperti watak yang dicipta boleh diberi dekorasi menarik. Contohnya, pakaian yang cantik berdasarkan kepada keinginan pereka.


PERISIAN CrazyTalk yang digunakan mudah untuk difahami oleh kanak-kanak.


Memupuk minat

Paling utama menerusi kelas bimbingan sebegitu adalah mencambahkan kreativiti anak-anak kecil. Melaluinya, minat kanak-kanak dapat dipupuk dan bakat mereka tidak disia-siakan malah dibentuk berdasarkan saluran yang betul.

Pendidikan awal dalam bidang animasi secara umumnya sangat penting dan untuk jangka masa panjang, ia dapat menyumbang kepada pembangunan negara sebagai persediaan sumber tenaga mahir dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Tambahan pula, dengan sokongan kerajaan yang memperkenalkan Dasar Industri Kreatif yang memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi pembangunan bidang tersebut, ia bakal merancakkan lagi industri.

Pada masa akan datang, industri tersebut bakal melonjak dan sudah pasti negara ini memerlukan ramai tenaga kerja kreatif mahir untuk mengisi permintaan dunia penerbitan filem, muzik, penyiaran dan juga animasi.

Kini, perkembangan dunia animasi Malaysia juga dilihat agak meriah dengan penerbitan kartun kegemaran ramai seperti Upin dan Ipin dan Boboiboy.

Selain industri kreatif dan hiburan, kata Zack, animasi juga sangat berkesan dalam proses pembelajaran di sekolah. Perisian itu sebenarnya sudah digunakan di sekolah-sekolah di Singapura sejak tahun 2010.

Para guru dilatih menggunakan perisian Crazy Talk supaya penyampaian ilmu dibuat dengan lebih kreatif dan menarik dan dalam masa yang sama ia mudah diselenggara.

"Ia boleh menjadi alat bantu mengajar sampingan bersama-sama peralatan sedia ada yang konvensional iaitu papan hitam.

"Kaedah tersebut (konvensional) sudah sangat lama diguna pakai dan barangkali boleh menyebabkan timbul rasa bosan sekali gus membantutkan pengajaran," kata Zack lagi.

Perancangan masa hadapan CPS adalah mahu memperkenalkan kelas untuk pelajar menengah yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Silibus kelas tersebut menggunakan perisian tiga dimensi, iClone. Kelas tersebut, untuk masa akan datang, turut menerima pelajar dewasa yang berminat untuk mengembangkan bakat dalam animasi.

Jepun bangkit selepas bencana terburuk

Posted:

Jepun bangkit selepas bencana terburuk

Jepun bangkit selepas bencana terburuk


KEROSAKAN yang berlaku di banyak bangunan reaktor nuklear (kiri) telah berjaya diperbetulkan.


GEMPA bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun berlaku di laut timur Jepun pada 11 Mac 2011 nyata membawa kemusnahan besar terhadap negara itu.

Apatah lagi, ekoran gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter itu turut mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Susulan daripada kejadian itu, seramai 23,000 orang terkorban dan hilang. Bencana alam itu memusnahkan bangunan serta infrastruktur bernilai 16.9 trilion yen (RM639 bilion).

Walau bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk kos kerosakan akibat kemalangan loji nuklear Fukushima Daiichi dan kos-kos lain seperti bayaran ganti rugi bagi mangsa bencana dan mangsa-mangsa yang dipindahkan.

Bencana berkembar itu juga telah menyebabkan kemusnahan kawasan perumahan, kedai, bangunan pejabat, kilang, lapangan terbang, sistem air, gas, tenaga elektrik dan rangkaian telekomunikasi.

Kesan dahsyat itu juga meliputi kawasan pelabuhan dan menjahanamkan sistem pembetungan, sektor pertanian, perhutanan serta perikanan.

Kerosakan teruk yang melanda negara itu menyebabkan ia lumpuh sehingga memaksa seramai 300,000 orang penduduk meninggalkan kawasan Tohoku utara iaitu kawasan yang paling teruk terjejas.

Selain Tohoku, kawasan lain yang terlibat ialah bandar Sendai, Iwate, Miyagi dan Aomori, Gunma, Ibaraki, Tochigi, Kanagawa, Saitama dan Chiba.

Lebih teruk, kerosakan sistem pendingin di loji nuklear Fukushima yang hampir mencetuskan bencana nuklear dunia sehingga telah diisytihar darurat nuklear.

Berdasarkan sejarah Jepun, itulah kali pertama darurat nuklear diisytiharkan. Lantaran itu, operator stesen loji tenaga nuklear tersebut, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengambil keputusan untuk menutup loji itu atas faktor keselamatan untuk jangka masa panjang.

Rata-rata penduduk di negara itu menyatakan bahawa mereka tidak pernah menyaksikan bencana alam seburuk itu. Dalam pada itu, episod malang itu nyata memberi kesan yang sangat mendalam kepada kehidupan mereka.

Pemulihan pantas

Bagaimanapun, pada hari ini penduduk di negara itu mampu menarik nafas lega dengan menikmati pembangunan yang pesat di negara itu.

Genap dua tahun peristiwa tragis itu melanda Jepun. Hari ini, negara Jepun telah bangkit memandangkan berjaya membaik pulih bangunan serta infrastruktur dalam tempoh yang singkat.

Difahamkan, kerajaan Jepun membelanjakan hampir RM50 billion untuk projek pembangunan semula.

Pemerhati dunia kini dapat melihat kawasan-kawasan terjejas seperti lapangan terbang Sendai, TEPCO, jalan raya sekitar Miyagi, dewan gimnastik, pelabuhan di Kesennuma, pelabuhan Otsuchi dan bangunan-bangunan sekitar kawasan yang terlibat telah kembali pulih seperti sediakala.

Jika sebelum ini, kawasan-kawasan tersebut dipenuhi dengan timbunan sampah, ia telahpun dibersihkan manakala rangkaian jalan raya dibaiki.

Hakikatnya, imej-imej pembangunan semula ini membuktikan bahawa semangat warga Jepun tidak mudah patah.

Bidang fotografi yang tidak didendang

Posted:

Bidang fotografi yang tidak didendang

Bidang fotografi yang tidak didendang

POSTER yang dihasilkan bagi tujuan promosi sesebuah filem bermula dengan gambar yang dihasilkan oleh jurugambar rakaman pegun sebelum diolah oleh artis grafik.


STILL photo atau imej pegun merujuk kepada gambar yang diambil jurufoto bagi sesuatu adegan filem. Ia merupakan sebahagian daripada kru produksi yang berperanan merakam semua aktiviti penggambaran filem.

Tugas mereka bermula daripada praproduksi sehinggalah semasa dan sesudah penggambaran filem berkenaan selesai.

Biasanya, jurufoto rakaman pegun itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu satu khusus untuk penggambaran luar dan sekumpulan lagi bertugas di dalam studio.

Gambar-gambar yang dirakam oleh jurufoto digunakan sebagai bahan publisiti seperti papan iklan, poster dan juga hiasan untuk cakera padat digital (DVD) produksi filem. Selain itu, ia turut menjadi rujukan buat pengarah filem dan pengarah fotografi.

Semua gambar yang dirakam akan disemak dan dinilai semasa atau selepas sesi penggambaran filem oleh pihak yang berkepentingan seperti produser, pengarah, pengarah fotografi, penyunting, jurusolek dan kontinuiti.

Tidak ada sebarang kelulusan akademik yang khusus diperlukan bagi tugas tersebut. Cukuplah sekadar mengetahui asas operasi kamera dan berminat serta sanggup bekerja keras seperti kru filem yang lain dalam industri filem itu sendiri.

Kebanyakan jurufoto rakaman pegun adegan filem bergerak secara persendirian dan bebas atau mengikat kontrak terus dengan produksi filem. Harga yang ditawarkan pula adalah mengikut harga pasaran dan juga pengalaman seseorang jurufoto tersebut.

Sebahagian besar mereka menganggap industri filem sebagai universiti yang paling praktikal. Mereka dapat menimba ilmu secara tidak langsung dengan pengarah fotografi termasuk pemilihan lensa, pencahayaan, pengiraan nilai cahaya dan komposisi subjek.

Ada juga sebilangan besar daripada mereka mengembangkan bakat dengan menjadi pengarah fotografi. Antara yang bermula dengan kerja jurufoto itu ialah Indera Che Muda.

Filem Panglima Badul keluaran Sabah Filem merupakan tawaran pertama yang diterima Indera sebagai jurufoto untuk merakam imej pegun filem tersebut. Walaupun sudah dikenali sebagai antara pengarah fotografi paling berjaya, namun beliau tidak melupakan dunia still photo.

Di luar negara, jurufoto rakaman pegun sudah ada kesatuan yang membela nasib ahli mereka dari segi tuntutan bayaran mengikut jam serta masa hari bekerja dan lain-lain lagi supaya sumbangan mereka adalah setimpal dengan karyawan filem yang lain.


SALAH satu imej pegun yang dirakam oleh jurugambar Sarif Huddin dalam sebuah babak filem.


Perlu dihargai

Tetapi, di negara ini setahu saya, Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (Porfima) ada menyenaraikan bidang itu sebagai salah satu bidang yang turut membantu menaikkan pembangunan industri filem.

Agak malang, Profima tidak pernah mengambil sebarang inisiatif terhadap golongan itu seperti mendapatkan maklumat serta mengumpul data terkini atau duduk berbincang bagaimana cara terbaik membantu mereka.

Justeru, ada cadangan daripada para jurufoto dalam bidang itu agar diwujudkan satu bentuk penghargaan yang sesuai sama ada di Festival Filem Malaysia (FFM) atau festival yang dianjurkan oleh pihak Profima sendiri.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Saya lihat sejak kebelakangan ini sebagai contoh dalam acara FFM, tidak ada satu pun anugerah khas untuk still photo terbaik diadakan.

Apa yang ada cuma anugerah Poster Terbaik. Sedangkan hakikatnya untuk menyediakan poster sebahagian besar daripada gambar yang dirakam oleh jurufoto terbabit diserahkan kepada pereka grafik yang kemudian menghasilkan rekaan terbaik. Bak kata pepatah, lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Apa pun, jangan ada yang terasa dengan isu yang dipaparkan ini. Ia sekadar luahan mengikut perspektif saya sepanjang pengalaman lebih dua dekad dalam arena fotografi negara.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved