Sabtu, 2 Mac 2013

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pengganas Sultan Sulu diberi kata dua

Posted:

Pengganas Sultan Sulu diberi kata dua

Pengganas Sultan Sulu diberi kata dua

NAJIB (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Zulkifli (keranda kiri)
dan Sabarudin di Pangkalan TUDM, Subang semalam.


SUBANG - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia.

Perdana Menteri berkata, masa untuk mempertimbangkan sebarang permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina itu sudah berakhir.

"Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius," katanya selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini semalam.

Dua anggota komando polis, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu kelmarin.

Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.

Pesawat Charlie C130 TUDM yang membawa jenazah kedua-dua wira negara tiba dari Tawau pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut perasaan sayu dan hiba oleh anggota keluarga serta mereka yang hadir.

Turut berangkat menziarahi jenazah wira negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang berkenan meluangkan masa bersama keluarga Zulkifli dan Sabarudin serta menyampaikan sumbangan peribadi baginda.

Dalam pada itu, menurut Najib, beliau telah menghubungi Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan memaklumkan pendirian kerajaan berhubung perkara tersebut.

"Kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"Mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya.

Najib bagaimanapun enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri.

Sementara itu, menurut Najib, kumpulan penceroboh telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih (sebagai tanda menyerah diri) untuk memerangkap anggota VAT 69.

Ujarnya, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata.

Najib memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerak-geri anggota polis tersebut dan melepaskan tembakan.

"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap dan ia adalah satu taktik pengecut," katanya.

Dua perajurit negara naik pangkat

Posted:

Dua perajurit negara naik pangkat

Dua perajurit negara naik pangkat


Zulkifli


SUBANG - Dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina dinaikkan pangkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dinaikkan pangkat kepada Asisten Superitendan Polis (ASP) dan Koperal Sabarudin Daud, 46, kepada Sarjan.


sabarudin


"Saya juga telah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa sebagai pertimbangan istimewa kedua-dua perwira kita akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang semalam.

Najib berkata, kerajaan dan pihak polis juga akan mempertimbangkan pemberian-pemberian yang lain selepas selesai urusan pengebumian.

Tidur peluk senjata tunggu serangan

Posted:

Tidur peluk senjata tunggu serangan

Tidur peluk senjata tunggu serangan


PASUKAN VAT 69 berada dalam keadaan siap sedia untuk bertindak menggempur penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Tiada apa yang diharapkan oleh anggota komando skuad VAT 69 Polis Diraja Malaysia selain menyelesaikan krisis pencerobohan kumpulan pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo dekat sini sekalipun jika terpaksa berkorban nyawa.

Tanpa mahu memikirkan soal kemanusiaan, ada anggota yang sudah tidak sabar menunggu arahan bertindak bagi menggempur kawasan kampung itu yang menempatkan lebih 100 orang ahli kumpulan penceroboh dari selatan Filipina.

Wartawan Kosmo! yang menjejakkan kaki ke kem sub-taktikal pasukan itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Tanduo semalam melihat sendiri pengorbanan besar yang dipikul pasukan itu.

Seorang anggota VAT 69 kelahiran Perak mengakui, mereka kini memberi fokus sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatan negara.

"Kamu mesti tahu kenapa kami ada di sini. Di mana ada musuh di situ kami ada. Kami mahu selesaikan semua ini dan balik ke rumah masing-masing," kata anggota berpangkat koperal yang berusia 40 tahun itu.

Seorang lagi anggota VAT 69 menyifatkan pencerobohan oleh kumpulan pengganas itu sebagai satu kerja bodoh.

"Mereka manusia yang hati kering, sanggup buat apa sahaja termasuk berperang.

"Saya sendiri sudah melihat wajah mereka dan saya hanya tunggu masa untuk bertindak," jelasnya.

Ditanya rutin harian seorang komando, dia hanya tergelak.

"Kerja kami ialah bersiap sedia sepanjang masa, tak perlu fikir soal makan atau tidur.

"Kalau tertidur sekalipun, kami peluk senapang," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua pelajar lelaki UiTM Machang mati lemas

Posted:

Dua pelajar lelaki UiTM Machang mati lemas

Dua pelajar lelaki UiTM Machang mati lemas

02/03/2013 10:28pm

KOTA BHARU – Dua pelajar lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, ditemui mati lemas ketika mandi bersama tujuh rakan di Pantai Sri Telong, Bachok, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam, selepas kedua-dua mangsa, Mohd Zuhairi Abas, 20 dan Mohd Mahfuz Ladin, 22, menjalani latihan Program Silat Gayung di pantai itu bersama sekumpulan pelatih lain.

Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria, yang mengetuai operasi menyelamat mangsa, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa yang terselamat pada pukul 8.32 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, Mohd Zuhairi berasal dari Tanah Merah, manakala Mohd Mahfuz dari Rantau Panjang, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dan enam anggota Pasukan Bantuan Penyelamat Di Air Bachok yang melancarkan gerakan mencari menemui mayat kedua-dua mangsa 100 meter dari tempat kejadian kira-kira sejam selepas dilapor hilang. – BERNAMA

Pemeriksaan kesihatan JPAM rumah ke rumah

Posted:

Pemeriksaan kesihatan JPAM rumah ke rumah

Pemeriksaan kesihatan JPAM rumah ke rumah

02/03/2013 9:01pm

KUALA LUMPUR – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hari ini melancarkan "Mobile Medic Team" yang memperluaskan skop bantuan kecemasannya menerusi pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sulaiman Keling berkata, JPAM akan mendapatkan maklumat mengenai tahap kesihatan penduduk daripada persatuan penduduk di kawasan tertentu sebelum pasukan berkenaan turun padang untuk membantu.

"Kita sangat prihatin kepada masyarakat yang kurang berkeupayaan dari segi kesihatan ini, jadi dengan adanya kita (JPAM) pergi ke rumah-rumah mampu memberi bantuan kepada mereka untuk menerima pemeriksaan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, gula dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Mobile Medic Team dan Khidmat Masyarakat di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Bangi dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai sukarelawan baharu yang mendaftar dengan JPAM, beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 209,972 anggota sukarela baharu berdaftar, menjadikan jumlah keseluruhan 664,967 orang di seluruh negara setakat ini. – BERNAMA

Laporan akhir PPPM 2013-2025 telah siap

Posted:

Laporan akhir PPPM 2013-2025 telah siap

Laporan akhir PPPM 2013-2025 telah siap

02/03/2013 8:59pm

KUALA LUMPUR – Laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini telah siap dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Abdul Ghafar berkata, pelan tersebut adalah hasil kaji selidik kementerian bermula September 2011 sehingga Mac lepas ke atas 8,000 responden terdiri daripada guru-guru, ibu bapa, murid-murid serta orang awam di seluruh negara.

"Kaji selidik itu diadakan bagi memperbaiki sistem pendidikan negara sehingga tahun 2025 sebagai inisiatif memperkasakan dan mengantarabangsakan sistem pendidikan negara.

"Laporan awal pelan tersebut telah diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kita telah mendapat maklum balas pelbagai pihak daripada laporan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Perdana Menteri telah mengumumkan laporan awal PPPM 11 September lepas, dan pelan tiga fasa itu akan berlangsung selama 13 tahun bermula dari 2012 hingga 2025 dan semakan semula juga akan dibuat lima tahun sekali mulai 2015 sementara laporan tahunan akan dikeluarkan bagi memantau perkembangan yang dicapai. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Sultan Sulu tidak diiktiraf

Posted:

Sultan Sulu tidak diiktiraf

Sultan Sulu tidak diiktiraf

GAMBAR pada 26 Februari lalu menunjukkan Jamalul Kiram III mendengar soalan pada sidang akhbar di Manila.


MANILA - Kesahihan arahan pemimpin yang dikenali sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menghantar pasukan 'tentera diraja' ke Sabah pada 12 Februari lalu dipertikai, menurut akhbar dalam talian ABN News.

Ia ekoran beberapa penyelidikan menunjukkan pemerintahannya sebagai Sultan Sulu tamat pada 1990.

Media asing dan beberapa sumber di internet sebaliknya menyatakan adiknya, Esmail Kiram II adalah Sultan Sulu yang sah.

Berusia 74 tahun, Kiram III mendakwa bahawa beliau ialah ketua kerajaan Kesultanan Islam Sulu sekarang.

Kesultanan Sulu mendapat perhatian umum apabila Kiram III menghantar pasukan 'tentera diraja' bagi menuntut Sabah pada 12 Februari lalu.

Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan pada satu sidang akhbar di Istana Malacanang di sini, Presiden Benigno Aquino III menyatakan terdapat kesangsian dalam keturunan kesultanan tersebut.

Menurutnya, selepas pemerintahan Sultan Jamalul Kiram II tamat pada 1936, baginda meninggal dunia tanpa seorang pewaris.

Justeru, Aquino berkata, beliau telah mengarahkan satu kajian dilakukan melibatkan aspek undang-undang berhubung tuntutan Kiram III ke atas negeri Sabah di Malaysia.

"Kajian ini agak menyeluruh," katanya.

Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf pemerintah Filipina ialah Ismael Kiram I pada 1974. Selepas kematiannya pemerintah Filipina enggan mengiktiraf sultan-sultan seterusnya walaupun mereka ditaati oleh penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Filipina menyatakan tiga orang termasuk dua anggota polis terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan kumpulan lelaki bersenjata Filipina tersebut berhubung pertikaian tuntutan ke atas Sabah.

Insiden itu berlaku selepas berpuluh-puluh pengikut Kiram III belayar dari selatan Filipina untuk menuntut Sabah.

Sebelum ini Kiram III memberitahu, Kesultanan Islam Sulu pernah menguasai sebahagian Pulau Borneo termasuk Sabah selain beberapa gugusan pulau di selatan Filipina.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jabatan Luar Filipina, Raul Hernandez yang memetik kenyataan Duta Malaysia berkata, turut terbunuh dalam pertempuran itu ialah pemilik rumah yang diduduki ketua kumpulan bersenjata tersebut.

Namun, katanya, kewarganegaraan pemilik rumah berkenaan tidak dapat dipastikan.

"Duta Malaysia juga menyatakan bahawa saki baki kumpulan pengikut Kiram III di Lahad Datu melarikan diri ke arah laut," katanya.

Menurutnya, 10 anggota kumpulan Kiram III turut ditangkap.

Tambah Hernandez, beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan seorang jurucakap di Manila bagi pihak kumpulan pengikut Kiram yang mendakwa pasukan keselamatan Malaysia menembak mati 10 anggota mereka dan mencederakan empat yang lain.

Jelasnya, Manila telah meminta maklum balas rasmi berhubung operasi keselamatan tersebut dari Kuala Lumpur.

Tambah jurucakap sama, Duta Malaysia menyatakan kepadanya bahawa konfrontasi itu sudah berakhir.

Sementara itu, jurucakap Kiram III, Abraham Idjirani mendakwa penembak-penembak tepat Malaysia telah membunuh 10 pengikut sultan tersebut dan mencederakan empat lagi anggota kumpulan berkenaan.

"Saya bercakap dengan ketua kumpulan Kiram melalui telefon sebentar tadi (semalam) dan bertanya berapa pengikutnya yang mati. Dia menjawab 10 orang. Saya menanyakan angka kecederaan dan dia berkata, empat orang," kata Idjirani dalam satu sidang media di kediaman Kiram di sini.

Idjirani menegaskan bahawa pengikut-pengikut Kiram III berikrar akan terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Sabah.

Ketua mereka, Raja Muda Agbimuddin Kiram iaitu adik Kiram III berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap dan masih berada di Sabah bersama beberapa pengikutnya untuk terus bertempur, jelas Idjirani.

"Ini (pertempuran) baru permulaan," ujarnya.

Kesultanan Islam Sulu memajak Borneo Utara (Sabah) kepada kuasa Eropah pada tahun 1870-an.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Malaysia menyatakan, 12 warga Filipina dan dua anggota polis Malaysia terbunuh dalam insiden semalam.

Selepas kekuasaan kesultanan itu beransur pudar ekoran kemasukan kuasa Barat di rantau berkenaan, ia masih menerima bayaran pajakan untuk Sabah.

Sabah yang merupakan bekas koloni British menjadi sebahagian persekutuan Malaysia pada 1963.

Berdasarkan perjanjian pajakan tersebut, kesultanan Sulu diberikan pampasan tahunan berjumlah sekitar AS$1,700 (RM5,264) menurut nilai semasa. - Agensi

Saintis guna teleskop rakam imej pembentukan planet

Posted:

Saintis guna teleskop rakam imej pembentukan planet

Saintis guna teleskop rakam imej pembentukan planet


IMEJ yang disiarkan oleh Balai Cerap Eropah di Chile menunjukkan formasi planet daripada gas dan debu di keliling bintang HD 100546.


SANTIAGO - Sepasukan ahli astronomi yang menggunakan teleskop berkuasa tinggi di selatan Chile kelmarin menemui imej pembentukan sebuah planet di sekeliling sebutir bintang.

Semasa imej tersebut dirakam, planet itu masih dalam bentuk gas dan debu tebal.

Pasukan penyelidik antarabangsa tersebut berkata, gugusan gas dan debu itu menyelubungi bintang dikenali sebagai HD 100546 yang berada pada jarak 335 juta tahun cahaya dari Bumi di Galaksi Bima Sakti.

"Sebelum ini, imej pembentukan planet hanya dilakarkan menerusi simulasi komputer," kata ketua pasukan saintis itu dari Universiti ETH Zurich, Sascha Quanz.

Menurutnya, beberapa ciri imej tersebut menyokong teori bahawa planet gergasi terbentuk dengan pemampatan saki baki gas dan debu selepas bintang terbentuk. - AFP

Hotel Panda pertama di dunia

Posted:

Hotel Panda pertama di dunia

Hotel Panda pertama di dunia


Gambar seorang penyambut tetamu berpakaian maskot beruang Panda menunjukkan suasana dalam hotel itu yang dipenuhi beruang Panda.


SICHUAN - Sebuah hotel bertemakan beruang Panda telah dibuka di bandar ini, di barat daya China pada minggu ini, lapor akhbar Huffington Post.

Hotel tersebut dibina untuk menarik kehadiran pelancong asing ke negara itu.

Menurut akhbar China Daily, hiasan dalam hotel tersebut dipenuhi dengan beraneka perhiasan yang berkaitan dengan beruang Panda.

Hotel tersebut merupakan hotel pertama di dunia menjadikan beruang Panda sebagai tema hiasan dalamannya.

"Saya harap semua hiasan dalaman bertemakan beruang Panda ini dapat membantu orang ramai untuk kembali merasai seperti berada di alam semula jadi dan membantu mencapai kebahagiaan yang mudah dan sebenar," kata pengurus hotel tersebut.

Hotel berkenaan terletak di kaki Gunung Emei.

Laman web Gbtimes.com melaporkan, setiap bilik di hotel itu mengandungi arca beruang Panda.

Harga bilik di hotel itu bermula dari 300 (RM182) sehingga 500 yuan (RM305) untuk penginapan selama satu malam. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Berpantang tidak bererti berhenti

Posted:

Berpantang tidak bererti berhenti

Berpantang tidak bererti berhenti

DUA bulan selepas melahirkan cahaya mata sulungnya yang diberi nama Alec Djuara Djoewarsa, Astrid enggan meletakkan dirinya dalam posisi terlalu selesa dan bersantai.

Kali terakhir membuat persembahan ketika usia kandungannya lapan bulan sekitar hujung tahun lalu, membuatkan Astrid benar-benar ghairah untuk kembali beraksi di lantai yang menguji keunggulan vokalnya.

Kata Astrid atau nama sebenarnya Astrid Sartiasari, 31, sepanjang tempoh kelahiran bayi lelakinya secara pembedahan (caesarean) pada tanggal 24 Disember 2012 lalu, dia mahu kembali ligat mengadakan promosi untuk albumnya yang akan muncul menjelang bulan Mei nanti.

"Saya pun kaget apabila sudah kuat untuk bekerja sekarang. Tempoh berpantang biasanya enam bulan. Mungkin kerana terlalu teruja untuk kembali bekerja setelah lama bercuti.

"Lagipun, komitmen ini saya harus lunaskan kerana proses pembikinan album ini sudah dibuat sebelum saya melahirkan Alec lagi jadi sekarang sudah sampai masa untuk saya beraksi semula," ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Astrid diterbangkan khas oleh Sony Music Entertainment Indonesia untuk sesi promosi single terbaharu berjudul Mendua selain dijemput khas untuk menerima Anugerah Lagu Pilihan Popular pusat karaoke RedBox menerusi lagu Tentang Rasa pada malam Rabu lalu.

Mendua

Mengulas lanjut mengenai keunikan lagu berentak balada berjudul Mendua yang dilancarkan terlebih dahulu di Indonesia, kata Astrid, pengertian lagu itu lebih menyakitkan berbanding Tentang Rasa. Ia mengenai situasi seorang wanita yang dikhianati dan dicurangi oleh kekasihnya. Dia memberikan cinta sepenuh hati tetapi lelaki itu menduakan dia akhirnya, kata Astrid yang merakamkan lagu tersebut awal tahun lalu.


HUBUNGAN cinta antara Astrid dan Arlan mulai tercetus hasil daripada helah seorang jurufoto yang pernah bekerjasama dengan mereka berdua.


Lagu Mendua dicipta oleh komposer sama yang menghasilkan lagu Tentang Rasa, Ade Govinda dan merupakan single pertama yang daripada album ketiga Astrid.

Lagu itu terpilih untuk menjadi lagu tema drama Diandra yang akan disiarkan di slot Lestary TV3 tidak lama lagi. Sebelum ini lagu Tentang Rasa digunakan sebagai lagu perdana drama Vanilla Coklat.

Sementara itu, Astrid mengakui dia perlu mencari formula baharu untuk turut kekal bersaing dalam industri yang semakin pantas berkembang.

"Saya tidak boleh berhenti berkarya untuk menjadi yang terbaik dan sekarang sudah banyak sekali persaingan. Saya harus melakukan sesuatu baharu dan mempertahankan yang sudah ada sekarang.

"Saya tidak akan berhenti bekerja keras. Kalau ditanya sampai bila, jawapan saya adalah selagi saya masih diinginkan dalam industri dan selagi ada peminat," tuturnya.

Keluarga

Selain itu, Astrid turut merakamkan sebuah lagu ciptaannya sendiri berjudul Lagu Untuk Anakku ketika mengandung lapan bulan.

"Ini lagu pertama yang saya hasilkan sendiri bersama suami untuk anak kami, Alec dan lagu ini saya cipta ketika saya sedang hamil empat bulan.

"Lagu ini mengenai kecintaan seorang ibu kepada anaknya yang sama sekali gembira dan teruja dengan adanya dia. Ia ibarat sebuah nasihat kepada anak supaya membesar menjadi insan berguna suatu hari kelak," jelas penyanyi kelahiran Surabaya, Indonesia itu.

Astrid tidak meletakkan sebarang halangan untuk anaknya memilih haluan hidup pada masa hadapan dan memberikan peluang sekiranya Alec meminati bidang seni.

"Kalau dia mahu jadi penyanyi saya tidak halang, apatah lagi ibunya juga penyanyi. Asalkan rezeki itu halal," tambah Astrid yang tidak keruan berpisah selama tiga hari dari Alec yang ditinggalkannya di Indonesia.


KEMBALI aktif untuk karier tidak bermakna Astrid melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.


Astrid bagaimanapun belum merancang untuk mendapatkan cahaya mata seterusnya dalam tempoh terdekat namun tetap memberikan prioriti kepada keluarga selain kerjaya.

"Kalau dulu, apabila keluar rumah saya tidak perlu bawa banyak barang tapi sekarang perlu pintar merancang perjalanan. Saya tidak boleh terlalu lama meninggalkan Alec kerana dia masih kecil," getus Astrid.

Que Haidar menangis dimarah Mamat

Posted:

Que Haidar menangis dimarah Mamat

Que Haidar menangis dimarah Mamat

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


MAMAT KHALID (tengah) di samping barisan pelakon utama filem Rock Oo (dari kiri), Sofi Jikan, Que Haidar, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim.


PENGARAH terkenal, Mamat Khalid yakin filem terbaharunya, Rock Oo: Rimba Bara Kembali (Rock Oo) yang merupakan kesinambungan filem Rock (2005) mampu pecah panggung berikutan kematangannya dalam berkarya dan juga barisan para pelakon yang memberikan persembahan yang mantap.

"Dengan izin Tuhan, saya yakin seperti mana filem Rock dahulu, Rock Oo ini juga akan pecah panggung sebab ia diadun dengan lebih serius. Penonton juga dapat saksikan kembali lakonan Que Haidar dan dapat melihat perubahan lakonan Que yang sebelum ini lebih cenderung membawa watak cinta dan ganas, " ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rock Oo yang diadakan di Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mengulas mengenai lakonan Que Haidar, dedah Mamat, pada mulanya dia terkejut dan kecewa dengan mutu lakonan pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 itu yang dilabelkannya seperti kayu.

Mengetahui lakonan Que Haidar sebelum ini begitu hebat dan berkesan, ulas Mamat, mungkin suami kepada koreografer Linda Jasmine itu menghadapi dilema lakonan kerana sudah dua tahun bersara dalam dunia lakonan.

Que Haidar sebelum ini membuat keputusan untuk bersara dari bidang lakonan secara mengejut pada tahun 2010 setelah berkahwin dengan Linda Jasmine. Biarpun terpaksa mengecewakan peminat-peminat dan pengkarya filem, Que Haidar nekad untuk beralih arah ke bidang perniagaan dan menjadi tenaga pengajar kelas lakonan.

Enggan membiarkan Que Haidar daripada terus larut dalam dilema lakonan, Mamat terpaksa memarahinya sehingga membuatkan pelakon itu menangis.

"Saya tertekan bila Mamat marah dan memanggil saya kayu. Saya tidak boleh kena marah. Jadi, akibat terlalu tertekan saya menangis. Dalam kalangan kesemua pelakon Rock Ooo, saya rapat dengan Khir dan saya mengadu padanya serta menyalahkannya kerana memaksa saya kembali berlakon dan menghadapi situasi ini," jelas Que Haidar yang kembali pada dunia lakonan kerana jatuh cinta dengan jalan cerita dan barisan pelakon filem Rock Oo.

Terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk peminat melihatnya muncul kembali dalam arena lakonan, membuatkan Que Haidar tertekan dan tidak mampu memberikan lakonan mantapnya sebelum ini dalam filem Rock Oo.

Ulas Mamat mengenai perkara itu pula, katanya, Que Haidar sebenarnya berasa rendah diri dan terlalu memikirkan mengenai lakonannya sehingga membuatkan dia tidak dapat menjiwai karakter lakonannya sebagai Amy Mat Piah.

"Mujur lakonan 'kayu' Que Haidar cuma bertahan selama beberapa hari sahaja sebelum dia kembali menjadi Que Haidar yang asal," jelas Mamat lagi.

Berhubung cabaran lain pula dalam menghasilkan filem Rock Oo, ujar Mamat lagi, dia perlu menjaga keseluruhan aspek seperti pakaian, dialog dan juga visual untuk menghasilkan zaman rock yang popular sekitar tahun 80-an.

Ditanya mengenai barisan pelakon-pelakon filem Rock Oo, ujar Mamat lagi, dua watak baharu ditampilkan dalam Rock Oo ialah Slash Haji Tapah, lakonan Pekin Ibrahim dan Mi Black, yang direalisasikan Azmi Black.

Kongsi Mamat, walaupun watak lakonan Pekin dan Azmi Black tidak mempunyai banyak dialog tetapi kedua-dua pelakon itu mampu memantapkan lagi jalan cerita filem tersebut bersama pelakon-pelakon yang sedia ada sebelum ini seperti Khir Rahman, Sofi Jikan dan Que Haidar sendiri.

Rock Oo mengisahkan mengenai Amy Mat Piah yang berhasrat ingin menyatukan kembali kumpulan rock Rimba Bara yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Begitupun, hasratnya untuk membuatkan Rimba Bara menyinar kembali bukan mudah kerana mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Filem terbitan bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Naga AVXS Sdn. Bhd. itu yang sudah ditayangkan di pawagam bermula 28 Februari lalu itu turut menampilkan lakonan aktres sensasi, Tasha Shilla.

Bunohan bakal monopoli FFM25

Posted:

Bunohan bakal monopoli FFM25

Bunohan bakal monopoli FFM25


FILEM Bunohan, pengarahnya, Dain Said (kanan) dan pelakon utama naskhah tersebut, Faizal Hussein berpeluang menang dalam kategori pencalonan masing-masing pada acara kemuncak FFM25 malam ini.


SETELAH tertangguh sekian lama, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) akhirnya berlangsung. Ia dicetuskan dengan majlis perasmian dan penyampaian sembilan Anugerah Cipta yang berlangsung di The Curve, Petaling Jaya pada 27 Februari lalu.

FFM25 bakal diakhiri dengan upacara kemuncaknya pada malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya, Selangor dengan menampilkan persaingan untuk merebut sembilan Anugerah Perdana dan empat Anugerah Cipta.

Berdasarkan kejayaan filem Bunohan menggondol tiga Anugerah Cipta yang dianggap mampu membantu kemenangan untuk pencalonan-pencalonan utama dalam Anugerah FFM25 iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, naskhah arahan Daid Said itu dijangka memonopoli Anugerah Perdana pada acara kemuncak FFM25 pada malam ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Selangor.

Ini kerana saingan terdekat Bunohan untuk merebut Anugerah Perdana, khususnya menerusi kategori Filem Terbaik iaitu Ombak Rindu, 29 Februari dan S.A.M sekadar memenangi beberapa Anugerah Cipta yang dianggap kurang kuat dalam membantu untuk menggapai kemenangan pada malam ini.

Sebuah lagi filem yang turut dianggap sebagai pencabar terdekat Bunohan iaitu Songlap pula langsung gagal meraih sebarang Anugerah Cipta - kalah menerusi ketiga-tiga kategori penting Anugerah Cipta yang dimenangi Bunohan tersebut.

Namun, apa sahaja boleh berlaku dan persoalannya mampukah Songlap tanpa sebarang kemenangan menerusi Anugerah Cipta mengalahkan Bunohan untuk Anugerah Perdana terutamanya bagi kategori utama yang menyaksikan persaingan hebat kedua-dua buah filem iaitu Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik?

Bagi kategori lakonan, persaingan paling sengit dilihat dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik antara Bunohan dengan Songlap yang menyaksikan tiga pelakon Bunohan iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim bersaing dengan Shaheizy Sam yang tercalon menerusi Songlap dan S.A.M. Namun, pilihan Kosmo! jatuh kepada Shaheizy Sam menerusi lakonan hebatnya dalam Songlap biarpun ketiga-tiga Faizal, Zahiril dan Pekin menunjukkan mutu lakonan yang tidak kurang kuat impaknya menerusi Bunohan.

Persaingan sengit antara Bunohan dan Songlap juga boleh dilihat dalam kategori-kategori lain untuk Anugerah Perdana iaitu Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik; serta bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Anugerah Cipta.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, persaingan sengit dlihat antara Maya Karin (Ombak Rindu) dan Nadiya Nisaa (Jiwa Taiko).

Biarpun pilihan Kosmo! lebih kepada Maya, namun Nadiya mampu membuat kejutan dengan memenangi kategori ini.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Kosmo! memilih Bront Palarae (Jiwa Taiko) dan Normah Damanhuri (Songlap) masing-masing sebagai pemenangnya.

Walau apa pun ramalannya, keputusan muktamad FFM25 hanya boleh diketahui pada malam ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nadi baharu penduduk Kuching

Posted:

Nadi baharu penduduk Kuching

Nadi baharu penduduk Kuching

SELEPAS dibuka pada 1 Januari 2013, Medan Niaga Satok (MNS) yang dibangunkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian para peniaga di bandar raya Kuching, Sarawak.

Berstatuskan medan niaga terbesar di Malaysia, maka seharusnya ia adalah syurga untuk mendapatkan pelbagai hasil-hasil pertanian serta barangan keperluan lain.

Selain sebanyak 1,444 ruang niaga tetap, pasar tani moden bernilai RM47 juta itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sistem pembuangan sisa dapur yang lebih sistematik.

Lebih menarik, MNS kini semakin digemari orang ramai bukan sahaja penduduk setempat, bahkan pelancong asing yang tertarik dengan persekitarannya yang bersih dan susun atur gerai-gerai yang kemas.

Sebanyak 1,444 ruang niaga tetap yang disediakan diberi keutamaan kepada peniaga sedia ada di Pasar Tamu Satok, termasuk 600 ruang untuk peniaga hasil hutan yang sebelum ini berniaga di Pasar Minggu Satok.

Lima blok

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke situ, MNS dibahagi kepada lima blok dengan blok pertama dikhaskan untuk menempatkan pusat khidmat sokongan FAMA.

Blok B pula menempatkan pasar tani kekal, Blok C menempatkan pasar tani separa basah dan kering, Blok D pula menempatkan plaza dan kafeteria manakala Blok E menempatkan gerai makanan.

Wakil peniaga Bujang Taha, 77, berkata, konsep pasar tani di medan niaga tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan pertanian yang segar pada harga berpatutan.

Menurutnya, dengan adanya MNS, petani atau pengeluar boleh memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada orang ramai tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

"Para pengguna juga tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan bekalan daging ayam, lembu dan sayur-sayuran.


BANGUNAN Medan Niaga Satok yang terletak di Jalan Matang merupakan medan niaga pasar tani moden dan terbesar di Malaysia menggantikan Pasar Tamu Satok yang telah beroperasi sejak 20 tahun.


"Di sini, semuanya ada. Orang ramai boleh mendapatkan apa yang tiada di pasar tani lain seperti ulam-ulaman, sayur kampung segar, ikan air tawar dan ayam kampung.

"Inilah satu keunikan medan itu yang menjadi lokasi di mana peniaga dan pengguna boleh berinteraksi dalam suasana meriah dan istimewa," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas jaguh bina badan negara menambah, pembinaan MNS dilihat mampu meningkatkan imej usahawan tani yang memasarkan sendiri hasil pertanian mereka kepada orang ramai.

Katanya, persekitaran perniagaan pasar tani yang berubah mengikut perkembangan dan keperluan sejajar dengan kemajuan serta peningkatan jualan setiap minggu menjadikan ia lebih kompetitif.

"Kami para peniaga tidak lagi mahu melihat pasar tani berada pada takuk lama dan beroperasi menggunakan payung di kawasan letak kereta, di tepi jalan atau di pinggir bandar.

"Sebaliknya kami mahu melihat pasar tani moden yang mempunyai imej tersendiri dengan bangunan tetap selain pelbagai kemudahan kepada para pelanggan seperti MNS ini," ujarnya.

Kenangan Pasar Tamu Satok

Mr. Asia tujuh kali itu bagaimanapun mengakui, berasa sebak apabila melihat Pasar Tamu Satok lama yang popular sejak dua dekad lalu dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja memulih dan memperindahkan kawasan berkenaan.


MEDAN Niaga Satok juga mempunyai gerai di bahagian luar pada hujung minggu.


Dia yang berniaga di situ sejak 20 tahun lalu memberitahu, Pasar Tamu Satok sememangnya memiliki nilai sentimental tersendiri kerana pernah menjadi lubuk dia mencari rezeki untuk menyara keluarga.

"Pada mulanya agak sukar untuk kami menerima keputusan pihak berkuasa merobohkan pasar ini, namun saya percaya mereka mempunyai perancangan lebih baik bagi membangunkan kawasan Satok.

"Sekarang kami berasa berpuas hati dengan suasana dan persekitaran MNS di Kubah Ria memandangkan ia memiliki prasarana serta kemudahan yang lebih lengkap," katanya lagi.

Sementara itu, rakannya Muliadi Jerawi, 42, pula berkata, MNS merupakan medan pertemuan antara pengeluar dengan pengguna kerana ia senang dituju selain menawarkan suasana perniagaan yang unik dan meriah.

Katanya, berbeza dengan Pasar Tamu Satok yang kian sesak, MNS lebih teratur dan terjamin kebersihannya kerana ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh FAMA.

Sesuai dengan gelaran medan niaga terbesar di negara ini, kehadiran hampir 2,000 peniaga di MNS pasti akan melengkapkan permintaan keperluan produk pertanian yang diinginkan oleh pelanggan.

Bagi dirinya, keistimewaan MNS adalah terletak kepada cirinya yang mudah alih dan lokasinya di kawasan petempatan penduduk yang ramai.

"Keadaan Pasar Tamu Satok lama sudah tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran dan berada di lokasi yang semakin sesak.

"Jadi, keputusan kerajaan memindahkan kami di sini (MNS) adalah tepat sekali, sekali gus memastikan kami menawarkan produk yang berkualiti, lebih kompetitif dan menjamin aspek kesihatan pengguna,'" katanya.

Dia yang menjual ayam daging sejak 18 tahun lalu memberitahu, rata-rata pengguna memberi maklum balas positif terhadap pembukaan MNS kerana ia menawarkan perkhidmatan terbaik yang dapat memenuhi kehendak secara menyeluruh.

Tempat pertemuan masyarakat

Menurutnya, MNS bukan sekadar tempat menjual beli sayur kerana sejak diperkenalkan dan dibuka secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Januari lalu, ia telah menjadi satu institusi pemasaran yang berkesan di negara ini.

Jelas Muliadi, pasar tani moden itu sememangnya telah berjaya mencapai matlamat utamanya iaitu sebagai platform petani memasarkan hasil keluaran mereka secara terus kepada pengguna.

"Pergilah ke mana juga di seluruh negara, satu tempat pertemuan masyarakat yang sering disaksikan ialah di pasar tani.

"Begitu juga di Sarawak, MNS ini merupakan hab komersial terbaharu yang menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Zaini Rahman, 48, yang senada dengan Muliadi memberitahu, MNS yang dibina di tebingan Sungai Sarawak akan memudahkan orang ramai mengunjunginya dengan menggunakan perkhidmatan teksi sungai.

Pengusaha ikan terubuk masin Sarawak itu menambah, meskipun jualan agak kurang memberangsangkan kini, namun ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk melipat-gandakan usaha mempromosikan MNS.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pemilik gerai ikan terubuk, Pendi Hamdan (kanan) selepas merasmikan Medan Niaga Satok hujung Januari lalu.


"Kami akui, perniagaan merosot 50 peratus. Sebelum ini, kami dapat menjual hampir 100 kilogram sehari, namun sekarang sekitar 50 hingga 60 kilogram sahaja. Tetapi, kami optimis keadaan ini akan berubah dalam masa lima hingga enam bulan akan datang selepas MNS ini dikenali ramai," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Warga USM sasar kerja tahap enam bintang

Posted:

Warga USM sasar kerja tahap enam bintang

Warga USM sasar kerja tahap enam bintang


OMAR (barisan hadapan tiga dari kiri) bersama kakitangan USM selepas menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Bulanan Pertama 2013 Naib Canselor bersama staf Bangunan Canselori di USM Pulau Pinang baru-baru ini.


CEMERLANG. Warga Universiti Sains Malaysia (USM) disaran memberikan komitmen tinggi terhadap bidang tugas harian bagi memastikan kualiti pentadbirannya mencapai kecemerlangan pada tahap enam bintang.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Omar Osman berkata, universiti itu telah diberi pelbagai tanggungjawab oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk merintis program jaringan industri.

Justeru katanya, tanggungjawab itu perlu digalas dengan sebaik mungkin dan ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kakitangan di pelbagai lapisan pentadbiran universiti.

"Komitmen kerja yang kita lakukan perlu melebihi dari kebiasaan atau dengan kata lain perlu melakukan tugas cemerlang setiap hari," katanya dalam majlis Perhimpunan Bulanan Pertama 2013 Naib Canselor bersama staf Bangunan Canselori di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur terima BB1M

Posted:

Pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur terima BB1M

Pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur terima BB1M


ZULHASNAN (tengah) dan Pengarah PMKL, Rusmina Ismail (barisan hadapan, tiga dari kiri) bersama pelajar-pelajar PMKL di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.


TERIMA KASIH. Seramai 202 pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur (PMKL) menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 setiap orang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Baucar tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique di politeknik berkenaan yang terletak di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Seorang pelajar jurusan Diploma Pengurusan Peruncitan, Sherol Rezza Mohd. Damanhuri, 20, berkata, pemberian tersebut dapat membantu meringankan beban perbelanjaan pelajarannya.

"Harga buku sekarang ini semakin meningkat dan secara langsung menambah belanja untuk pelajaran saya tapi dengan adanya pemberian ini, ia sangat membantu kurangkan beban perbelanjaan.

"Saya sangat berharap pemberian baucar ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kalau boleh akan ditambah nilai," katanya.

Pusat Islam UUM serah zakat kepada kakitangan UPSB

Posted:

Pusat Islam UUM serah zakat kepada kakitangan UPSB

Pusat Islam UUM serah zakat kepada kakitangan UPSB


ISMAIL (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima zakat di Dewan Seminar Pusat Islam, UUM Sintok, Kedah baru-baru ini.


RINGAN BEBAN. Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menyampaikan zakat kepada 100 kakitangan Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) yang kurang berkemampuan di Dewan Seminar Pusat Islam, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Sumbangan zakat sebanyak RM25,000 itu diagihkan kepada 100 orang dan masing-masing menerima RM250.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Ismail Ishak ketika berucap di majlis itu berkata, sumbangan duit zakat itu diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, kakitangan UPSB, Hanipah Hamzah, 61, yang menetap di Changlun melahirkan rasa terharu dengan pemberian itu dan akan menggunakannya untuk persekolahan anak dan cucunya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Dua komando maut bertempur

Posted:

Dua komando maut bertempur

Dua komando maut bertempur

ANGGOTA tentera berkawal di Kampung Tanduo, Lahad Datu selepas pertempuran tercetus semalam.


LAHAD DATU – Drama pencerobohan kumpulan penceroboh dari Filpina yang berkampung di Kampung Tanduo di sini sejak 18 hari lalu sampai ke kemuncaknya semalam apabila pasukan keselamatan negara bertempur dengan puak pengganas Sultan Sulu itu.

Pertempuran berdarah pada pukul 9.59 pagi yang berlaku di kawasan Kampung Tanduo menyebabkan dua komando VAT 69 terkorban, tiga yang lain cedera manakala 12 puak pengganas turut terbunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pertempuran itu berlaku selepas pasukan keselamatan menghampiri Kampung Tanduo untuk meningkatkan kawalan keselamatan sebelum terserempak dengan puak pengganas itu.

"Kita telah masuk ke kawasan itu beberapa hari lalu bagi meninjau kawasan yang dikepung dan pagi ini (semalam) pasukan kita sekali lagi membuat tinjauan sama sebelum terserempak dengan puak pengganas.

"Puak pengganas itu terus melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan menyebabkan kita terpaksa membalas serangan itu," kata beliau pada sesi taklimat kepada media di sini semalam.

Menurut beliau, pertempuran yang mengambil masa 20 hingga 30 minit itu menyebabkan dua anggota keselamatan negara terbunuh, tiga lagi cedera manakala 12 anggota puak pengganas terbunuh.

"Kita berjaya mengeluarkan anggota kita yang terbunuh dan cedera dalam pertempuran itu tetapi 12 pengganas yang terkorban masih berada di kawasan kampung," jelas beliau.

Hamza memberitahu, dalam pertempuran itu juga, pasukan keselamatan merampas pelbagai senjata dan barangan milik puak penceroboh itu.

Antara senjata yang dirampas masing-masing dua laras M16, dua laras raifal semi-auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket, kelongsong peluru dan beg pakaian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM beri mandat kepada Polis, ATM

Posted:

PM beri mandat kepada Polis, ATM

PM beri mandat kepada Polis, ATM


BEBERAPA anggota polis mengawasi salah satu pintu masuk selepas pertempuran tercetus di Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam.


PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan pengganas Sultan Sulu yang bersenjata di Lahad Datu, Sabah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah memberi mandat kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan Panglima Angkatan Tentera (ATM) untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan pengganas dari Filipina itu tanpa ada kompromi lagi.

Najib turut mengesahkan dua anggota polis terbunuh dan tiga lagi cedera manakala 10 hingga 12 anggota penceroboh turut maut.

"Mereka (polis dan tentera) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan apa saja mengikut budi bicara mereka tetapi kumpulan (pengganas) ini mesti ditumpaskan dan mereka mestilah diambil tindakan yang sepatutnya," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas yang diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram yang telah berkubu di Felda Sahabat 17 di Tungku, Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu sejak 9 Februari lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ibu rindu pelukan Inspektor Zulkifli, isteri pengsan dengar berita kematian

Posted:

Ibu rindu pelukan Inspektor Zulkifli, isteri pengsan dengar berita kematian

Ibu rindu pelukan Inspektor Zulkifli, isteri pengsan dengar berita kematian

BESUT - Khadijah Ismail akan merindui pelukan dan kemanjaan anaknya, Inspektor Zulkifli Mamat, 30, yang sering tidur diribanya setiap kali pulang ke kampung selepas pegawai polis itu terbunuh di Lahad Datu, Sabah semalam.

Khadijah, 64, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu adalah seorang penyayang dan sikapnya tidak pernah berubah walaupun sudah beristeri dan bakal mempunyai tiga orang anak.

Isteri Zulkifli ialah Nor Aziah Nor, 28.

"Setiap kali balik ke kampung, perkara pertama arwah buat ialah peluk saya, Perangai arwah tidak berubah dari sebelum kahwin hingga dia sudah memiliki anak," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dekat sini semalam.

Kata wanita itu, Zulkifli, 29, yang dipanggil Ngah dalam kalangan ahli keluarga berlepas ke Sabah pada Jumaat lalu dan sepanjang berada di Sabah dia ada menghubunginya dan memaklumkan akan pulang segera.

"Saya tidak sangka, genap seminggu berkhidmat di Sabah hanya jasad arwah yang pulang," katanya sambil memberitahu kali terakhir dia bertemu anaknya adalah ketika Zulkifli pulang ke kampung pada 21 Januari lalu bagi menziarahi neneknya yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, Khadijah memberitahu, dia reda dengan pemergian arwah yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam komando polis di Ulu Kinta, Perak.

Jenazah Zulkifli akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor pukul 11 pagi hari ini.

Sementara itu, di Ipoh, Nor Aziah pengsan selepas memaklumkan berita sedih itu kepada keluarganya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.

Nor Aziah yang hamil dua bulan merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan di sini.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved