Khamis, 13 September 2012

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Saham AirAsia susut RM667 juta

Posted:

Saham AirAsia susut RM667 juta

PENGANALISIS menjangkakan AirAsia akan berhadapan dengan saingan lebih sengit tahun depan berikutan operasi Malindo Airways. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga saham AirAsia Bhd. (AirAsia) di Bursa Malaysia terus menjunam buat hari kedua berturut-turut semalam ekoran pengumuman penubuhan syarikat penerbangan tambang murah baharu, Malindo Airways pada Selasa lalu.

Harga saham syarikat penerbangan tambang murah itu ditutup pada RM2.92 semalam, turun tujuh sen sesaham melibatkan 102.2 juta unit saham bertukar tangan.

Sehari selepas pengumuman pembentukan Malindo Airways, harga saham AirAsia jatuh 17 sen untuk ditutup pada harga RM3.02 dengan melibatkan volum 42.7 juta unit saham.

Kejatuhan harga saham itu telah menyebabkan syarikat yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mencatat kerugian sebanyak RM667.1 juta.

Selain itu, nilai pasaran AirAsia juga menurun selepas pengumuman pembentukan syarikat baharu itu iaitu kepada RM8.2 bilion berbanding RM9.1 bilion sehari sebelum pelancaran Malindo Airways.

Menurut penganalisis, penurunan ketara harga saham AirAsia yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2004 merupakan kesan daripada tindakan tergesa-gesa pelabur terhadap hala tuju AirAsia dan kesan negatif yang bakal dihadapi ekoran pembentukan Malindo Airways pada tahun depan.

"Pelabur sangat sensitif terhadap pengumuman-pengumuman baharu yang bakal memberi kesan kepada pasaran... mereka akan hanya memilih syarikat yang memberi keuntungan maksimum daripada pelaburan mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Para pemerhati pasaran sebelum ini menyifatkan penubuhan syarikat baharu itu bakal memberi persaingan dan tekanan khususnya buat AirAsia daripada aspek harga dan juga tempahan tempat duduk.

Mereka melihat kejatuhan setiap satu peratus perolehan AirAsia akan menyebabkan pendapatan syarikat jatuh antara tiga hingga empat peratus.

Kejatuhan setiap satu peratus tempahan tempat duduk pula akan mengurangkan keuntungan AirAsia sebanyak 2.8 peratus hingga 4.5 peratus.

Malindo Airways ditubuhkan melalui kerjasama antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dari Malaysia dengan PT Lion Grup dari Indonesia.

NADI akan menguasai 51 peratus dalam kepentingan syarikat itu yang bakal beroperasi bulan Mei tahun depan manakala bakinya oleh PT Lion Grup.

NADI merupakan syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri aeroangkasa dan pertahanan serta memiliki syarikat seperti Airod, Airod Techno Power dan Aerospace Technology Systems Corp.

Buat permulaan, sebanyak 12 pesawat Boeing 737 dijangka beroperasi dengan Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai pusat penerbangan ke negara-negara ASEAN dan Asia termasuk ke Thailand, China, India dan Filipina.

Lebih menarik lagi, Malindo Airways dijangka menawarkan kadar tambang yang lebih murah berbanding syarikat pesaing lain.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Bhd., Azrul Azwar Tajuddin berkata, AirAsia menerima tempias yang hebat daripada pembentukan syarikat baharu itu dan ia bakal mengubah skop industri penerbangan tambang murah tempatan.

"Trend penurunan ini boleh kembali meningkat atau merudum semula jika ada berita mengenai Malindo Airways," katanya.

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat

Posted:

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

ZAITON (kiri) dan Mohd. Farizal selepas dijatuhkan hukuman kerana berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas mengaku salah berkhalwat dengan seorang jurumekap yang masih berstatus isteri orang pada tahun lalu.

Selain Mohd. Farizal, 26, yang turut menjaga gawang Negeri Sembilan, turut dikenakan hukuman serupa ialah pasangannya, Zaiton Othman, 29, yang kini telah bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar turut mengarahkan kedua-duanya dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Pasangan itu yang datang berasingan membayar denda tersebut di kaunter mahkamah sejurus prosiding berakhir.

Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik di sebuah rumah milik rakan Zaiton di 3A-02, Blok A, Shang Villa Condo, No. 2A, Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.40 pagi 12 Oktober 2011.

Pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh, sewaktu pintu bilik dibuka, Zaiton berseluar panjang hitam dan baju T ketat warna merah jambu dalam keadaan meniarap manakala Farizal yang juga memakai baju T dan berseluar pendek berada dalam keadaan berselimut di atas katil.

Terdahulu, Mohd. Farizal mendakwa dirinya insaf dan kesal dengan kesilapan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

"Sejak kes ini keluar surat khabar, ia menjejaskan reputasi saya dan keluarga, orang ramai mula mencemuh, mungkin salah saya," katanya yang memberitahu sudah mempunyai perancangan untuk menikahi Zaiton kelak.

Sehubungan itu, anak kelima daripada tujuh beradik itu memohon hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung adik-beradik yang bersekolah serta ibu bapa pula sudah tidak bekerja.

"Saya juga hanya bekerja kontrak dan bukannya tetap. Selepas apa yang terjadi, saya bimbang sekiranya kontrak saya tidak disambung pada musim depan," katanya dalam nada perlahan.

Sementara itu, Zaiton yang kelihatan sebak turut insaf dan memohon hukuman ringan kerana sejak bergelar ibu tunggal, dia perlu menyara dua orang anak serta membayar pelbagai pinjaman peribadi dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Katanya lagi, dia masih trauma dengan perceraian yang berlaku hampir setahun lalu akibat kejadian tersebut.

Farizal diturunkan semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Vietnam Selasa lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan dibolosi 2-0.

Najib rai William, Kate Middleton

Posted:

Najib rai William, Kate Middleton

TUANKU Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah bergambar bersama Putera William (tiga dari kiri) dan Kate Middleton (tiga dari kanan) pada majlis santapan diraja di Istana Negara Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Najib dan Rosmah serta Muhyiddin (kiri) dan isteri, Noorainee (kanan).


PUTRAJAYA - Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Lawatan rasmi empat hari pasangan diraja Britain itu adalah bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Duke dan Duchess of Cambridge juga menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah serta menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara pada sebelah malam.

Pasangan diraja itu juga melawat Hospis Malaysia iaitu pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum yang merupakan hutan hujan tropika utama di Sabah. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Amaran buat Harimau Malaya

Posted:

Amaran buat Harimau Malaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika
menentang Vietnam di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


KEKALAHAN 0-2 kepada Vietnam malam kelmarin seharusnya menjadi amaran buat Harimau Malaya dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2012.

Sebelum turun menentang Vietnam pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam itu, skuad Harimau Malaya memiliki rekod cemerlang dalam lima aksi persahabatan berstatus A sebelum itu.

Dua kemenangan dan tiga kali seri berjaya direkodkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dalam lima pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, anak-anak buah Rajagobal gagal meneruskan momentum sedia ada apabila tewas mengejut di hadapan hampir 15,000 penyokong Harimau Malaya.

Kekalahan itu sekali gus ia menim- bulkan tanda tanya sama ada Harimau Malaya mampu mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki.

Kecenderungan Rajagobal yang sering melakukan eksperimen dalam skuad kendaliannya jelas tidak disenangi sesetengah pihak memandangkan kempen Piala AFF bakal berlangsung November depan.

Pada sidang media sejurus tamat perlawanan kelmarin, Rajagobal sekali lagi tampil dengan nada positif biarpun kelibat anak-anak buahnya lebih banyak dibayangi pasukan lawan.

"Kalah tetap kalah, tiada alasan yang mana Vietnam berhak meraih kemenangan itu memandangkan mereka bermain dengan penuh agresif.

"Namun, aksi persahabatan dan kejohanan sebenarnya berbeza. Kami masih berada di landasan terbaik dan tidak perlu panik dengan satu kekalahan ini," kata Rajagobal.

Beliau menambah, kekalahan itu juga akan memberikan suntikan motivasi kepada skuad kendaliannya supaya berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

"Jika tanya kepada saya, ia sangat bagus untuk kalah. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain, meskipun ketinggalan tetapi mereka masih memiliki mentaliti yang kuat untuk terus bersaing.

"Saya sudah nampak bayangan 35 pemain untuk saingan Piala AFF Suzuki nanti dan apa yang pasti, saya bersama barisan jurulatih yang lain harus memiliki keyakinan dalam usaha untuk mempertahankan status juara Piala AFF Suzuki.

"Dalam tempoh dua bulan ini, saya percaya kita masih berada di landa- san yang tepat," katanya.

Serangan Harimau Malaya harus lebih variasi

Posted:

Serangan Harimau Malaya harus lebih variasi

SAFEE masih
kemarau gol
di pentas
antarabangsa
sejak November
tahun lalu.


"PELBAGAIKAN lagi corak serangan kerana (pasukan) lawan sudah boleh baca gera- kan kita."

Itu saranan penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Safee selepas menyedari jentera serangan skuad negara agak tumpul ketika tewas 0-2 kepada Vitenam pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Beraksi di hadapan 15,000 penyokong sendiri, persembahan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dilihat hambar sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Sebaliknya, Vietnam lebih jelas mendomi- nasi perlawanan menerusi hantaran-hantaran pendek yang cukup kemas sehingga berjaya memperoleh dua gol menerusi Le Cong Vinh dan Phan Thanh Hung, masing- masing pada minit ke-32 dan 48.

Kekalahan itu sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Malaya da- lam lima aksi antarabangsa berstatus A se- belum ini.

Bagi Safee, Harimau Malaya harus bangkit memperkemas setiap kelemahan yang ada dalam misi mereka mempertahan kejuaraan Piala AFF Suzuki, November depan.

"Masih ada kira-kira dua bulan lagi sebe- lum Piala AFF Suzuki bermula. Disebabkan itu, kami harus segera memperbaiki setiap kelemahan yang timbul dalam tempoh tersebut.

"Apa yang saya lihat, pihak lawan sudah dapat membawa taktik pasukan negara, jadi kami harus mempelbagaikan lagi corak sera- ngan.

"Saya kecewa kerana gagal membantu pasukan negara meraih keputusan lebih baik malam ini (malam kelmarin) tetapi kami ha- rus melihat (kekalahan itu) daripada sudut positif yang mana kami harus memperbaiki kelemahan kami," kata Safee.

Dalam pada itu, Safee mengakui yang dia tidak tertekan apabila gagal mengakhiri kemarau jaringan di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan gol ialah ketika Harimau Malaya tewas 2-3 di tangan India pada perlawanan persahabatan, November tahun lalu.

Dalam perlawanan tersebut, kapten kelab Indonesia, Pelita Jaya itu menjaringkan kedua-dua gol Harimau Malaya.

"Apa yang lebih mustahak, saya dapat menunaikan tanggunjawab sebagai seorang pemain dengan membantu mencipta peluang jaringan kepada rakan sepasukan.

"Begitupun, saya akan cuba mencari sentu- han jaringan sebelum Piala AFF Suzuki ber- mula," jelasnya.

'Saya mahu caj semula bateri'

Posted:

'Saya mahu caj semula bateri'

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

PENGENDALI T-Team, Yunus Alif mula membayangkan hasrat untuk berehat buat sementara waktu biarpun kata putus mengenai nasib skuad bimbingannya musim depan masih belum ditentukan.

"Saya sudah bergelumang dengan dunia kejurulatihan hampir 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, pelbagai ca- baran telah dilalui. Buat masa ini, saya hanya ikut kon- trak saya (bersama T-Team).

"Soal bubar (T-Team) atau tidak, saya tak tahu. Bagaimanapun, saya berpuas hati sepanjang membimbing T-Team," kata Yunus semalam.

Yunus memberitahu, beliau sudah banyak mengharungi pengalaman suka duka apabila bergelar sebagai pemain dan jurulatih.

"Jadi, mungkin selepas ini, saya akan 'caj semula bateri' saya. Maklumlah, tekanan berlipat kali ganda," katanya.

Yunus, 54, mula membimbing T-Team selepas mengambil alih pasukan berstatus kelab itu daripada Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor pada penghujung tahun 2010.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong T-Team merayu agar pasukan tersebut tidak dibubarkan.

Naib Presiden kelab itu, Amir Amri Mohamad berkata, T-Team harus diberi peluang kerana mempunyai rekod baik pada awal penubuhannya sekitar tahun 2007.

"Mengikut rekod, pada tahun itu (2007), T-Team ber- ada di tangga kelima Liga FAM sebelum muncul juara liga berkenaan setahun kemudian. T-Team kemudiannya layak ke Liga Perdana, sekali gus muncul naib juara," katanya.

Pada 2010, T-Team melangkah ke Liga Super dan ber- jaya menempatkan diri dalam liga elit itu sehingga musim ini.

"Jadi, kami merayu kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) supaya jangan bubarkan T-Team. Bagai- manapun, kalau itu keputusan beliau, kami tetap akur," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Sifon pilihan Michael Shu

Posted:

Sifon pilihan Michael Shu

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

MICHAEL SHU (tengah) diapit bersama pelakon Rozita Che wan (lima dari kiri) dan barisan model yang memperagakan busana rekaannya.


MASIH belum terlambat bergaya sakan sewaktu menghadiri undangan majlis rumah terbuka atau keraian anjuran saudara-mara mahupun teman-teman.

Memandangkan kemeriahan bulan Syawal masih dirasakan, maka kebanyakan individu mengambil kesempatan mengadakan majlis perkahwinan. Justeru, kepada wanita yang runsing memikirkan busana ideal dan menawan untuk digayakan, Purnama by Michael Shu adalah antara pilihan tepat.

Koleksi yang menawarkan pakaian tradisional tersebut diilhamkan oleh Michael Shu, salah seorang pereka fesyen tempatan yang kreatif dan berbakat besar. Menarik mengenai himpunan terbaharu itu, Michael lebih cenderung menggunakan fabrik sifon.

Menurut Michael yang pernah memenangi tempat kedua pertandingan Piala Seri Endon 2004, penggunaan fabrik sifon yang bersifat lembut dan ringan membantu menyuntik siluet badan yang anggun.

Pada masa yang sama, kain sifon yang terdiri daripada palet warna lembut dan terang bersesuaian dengan cuaca di Malaysia yang panas serta lembap sepanjang tahun.

"Tahun ini genap dua tahun Purnama by Michael Shu berada di pasaran. Jenama ini memfokuskan pada pakaian Muslimah dan seleksi tudung yang turut diperbuat daripada kain sifon. Namun pada tahun ini, saya cuba mencipta kelainan dengan menghasilkan pakaian tradisional yang sesuai dipakai oleh wanita bertudung ataupun tidak.

"Saya mereka 20 pasang baju kurung potongan klasik, potongan moden, baju kurung pahang serta baju kurung Kedah. Secara asasnya, kesemua pakaian menggunakan kain sifon tetapi untuk kelainan saya padankan bersama renda Perancis bercorak ringkas," jelas Michael sambil menunjukkan dua pasang busana yang membaluti tubuh model Malaysia, Amber Chia dan pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Berbicara lanjut mengenai koleksi pakaian berkenaan, Michael sengaja memilih konsep rekaan dan perincian yang minimum. Dia cuba mengurangkan tatahan manik, batu permata dan labuci supaya penampilan wanita tidak kelihatan sarat.

Ironinya, bagi wanita yang kurang gemar memakai aksesori seperti rantai dan gelang anda masih kekal menawan dengan tatahan perincian yang sedia ada. Konsep perincian pilihan Michael tertumpu di bahagian leher, dada, pinggang, pergelangan tangan dan kaki baju.

Kain batik sarung

"Selain baju tradisional berasaskan kain sifon, saya turut mereka koleksi busana yang dipakai bersama kain sarung batik stail Baba dan Nyonya. Batik yang ditonjolkan ditempa dengan teknik blok batik yang mencerminkan ciri-ciri kemelayuan.

"Warna-warna yang diilhamkan untuk koleksi batik sarung ini sedikit kontra bagi menaikkan seri seni batik. Padanan antara tradisional dan moden seperti blaus labuh dan potongan longgar bersama kain sarung menambah variasi pakaian golongan wanita," ujar Michael yang menyatakan koleksi Purnama by Michael Shu dijual pada harga RM500 ke bawah.

Mengilham batik futuristik

Posted:

Mengilham batik futuristik

Oleh ALIF ABU BAKAR


KOLEKSI dres pendek bermotifkan batik hasil karya pelajar kolej SEGi yang kreatif dan inovatif.


MENGANGKAT batik sebagai pusat cerita, promosi mengagungkan kesenian kebanggaan nusantara itu oleh pelajar-pelajar SEGi wajar diberi pujian. Masih berpegang kepada gelaran mahasiswa, kelompok tersebut berjaya menghasilkan acara I Heart Batik dengan penuh gemilang.

Berlatarkan kumpulan multi etnik Malaysia, rekaan estetik dengan suntikan trendy hasil ciptaan beberapa pelajar tahun akhir jurusan Fesyen dan Tekstil dengan kerjasama fakulti Pengajian Komunikasi itu cuba memecahkan stereotaip pakaian bernuansa batik.

Meskipun ada pihak yang melihat beberapa kelemahan rekaan dari segi potongan, pemilihan palet dan beberapa aspek kecil lain, namun hasil kerja mereka sedikit sebanyak membuka mata penonton bahawasanya, batik mampu diolah membentuk busana moden yang elegan.

Tradisional urban

Setiap daripada mereka menampilkan kreativiti berbeza. Dres pendek dengan potongan skirt sedikit kembang menerapkan warna pastel sebagai asas. Elemen batik diserapkan pada skirt menukarkan gaya ringkas kepada tradisional urban.

Turut kelihatan ialah rekaan batik menerusi pakaian tradisional kaum Cina, ceongsam. Teknik dan kepelbagaian jenis batik diaplikasikan sebaik mungkin pelajar-pelajar tersebut.

Andrew Low, 21, memaparkan dua rekaan berseni dengan memberi penekanan kepada batik dengan cetakan kupu-kupu. Meminjam teknik ikat dan celup (tie and dye), penataan batik sentuhan Andrew memberikan imej segar kepada si pemakai.

"Idea batik kupu-kupu ini saya kembangkan daripada projek semester lepas. Beberapa lakaran dipilih bagi menghidupkannya dalam bentuk fizikal. Hasilnya, dua rekaan berjaya disiapkan khas untuk acara ini.

"Menjadikan batik sebagai fokus utama tidak mudah kerana ia memerlukan kajian menyeluruh dan aplikasi teknik yang betul. Saya cuba menjadikan rekaan saya bersifat futuristik agar seiring dengan peredaran zaman," jelas pelajar tahun akhir jurusan Fesyen dan Tekstil itu.

Tambah Andrew yang berasal dari Kuantan, Pahang, pensyarah mereka memang menggalakkan rekaan berkonsep tempatan dan tradisional yang dilihat berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat global.

Beliau sendiri melihat batik sebagai teknik yang mula dipandang serius industri fesyen antarabangsa. Berdasarkan pengetahuannya, sekolah-sekolah fesyen di dunia telahpun mengajar teknik batik kepada para pelajar mereka dan secara tidak langsung mengangkat nilai warisan tempatan itu.

"Kedua-dua rekaan saya ditumpukan kepada golongan muda dan sesuai disarungkan ke mana-mana sahaja. Saya mengambil masa kira-kira dua minggu bagi menyiapkan sepenuhnya dua pakaian tersebut," ujar Andrew yang menyanjungi hasil kerja Jendela KL.

I Heart Batik

Selain acara pertunjukan fesyen yang turut disertai barisan pereka tersohor tanah air di bawah Bumiputra Designers Association (BDA), kempen I Heart Batik juga melibatkan pameran mural berkonsep batik ciptaan pelukis-pelukis muda.

Kempen yang berlangsung bermula 28 Jun hingga 4 Julai itu bertujuan menimbulkan kesedaran dan rasa cinta golongan belia terhadap batik. Ia menjadi satu medium pembelajaran luar kelas melibatkan kerjasama pelajar dan pendidik.

"Program I Heart Batik ini diadakan bagi menukar persepsi anak-anak muda terhadap batik. Mereka yang tidak suka pakaian berkonsep batik pasti takjub dengan kebolehan warisan kebangsaan itu diolah menjadi pakaian moden yang selari dengan trend terkini.

"Sebagai permulaan, kami menggalakkan pelajar-pelajar di sini memakai baju T dan seluar Bermuda bermotif batik di dalam kampus sebagai tanda sokongan," demikian kata-kata Pengetua fakulti Pengajian Komunikasi, Faisal Ibrahim.

Kempen tersebut juga mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ditaja oleh Trendz Image, AKM Caterers, Citizenn Sound and Light Entertainment, Laila Florist, Baked Cookies, Cuppie Stuffie, Image Academy, Wanted Symphony dan Rhythm Nation.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Hotel Melia ceriakan Syawal

Posted:

Hotel Melia ceriakan Syawal

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

PENGHUNI Pondok Penyayang Raudhah dan kakitangan hotel bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.


SABAN tahun, kehadiran Syawal sememangnya dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga pada bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri lazimnya diraikan dengan penuh kegembiraan.

Itulah ketikanya semua sanak saudara berkumpul untuk memohon ampun dan maaf selain merapatkan hubungan sesama keluarga dan sahabat handai.

Golongan yang paling teruja pastinya kanak-kanak, selain dapat melaram dengan pakaian baharu, inilah ketikanya mereka menjadi 'orang kaya baharu' dengan mengumpul duit raya.

Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak bertuah sebegitu. Ada juga yang meraikan Adilfitri dalam tangisan disebabkan kesusahan hidup serta mengenangkan mereka yang sudah tiada.

Justeru kesedaran ingin membantu dan menceriakan golongan itu mendorong Hotel Melia Kuala Lumpur menganjurkan Hari Raya Cheer bersama 50 penghuni Pondok Penyayang Raudhah, Gombak, Selangor yang berlangsung di hotel itu baru-baru ini.

Pengurus Besar Hotel Melia Kuala Lumpur, Ruth Abellan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat untuk membantu dan menceriakan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini.

Ujar Abellan, pihaknya pernah mengadakan program yang sama pada Ramadan lalu bagi meraikan penghuni-penghuni dari Rumah Lambaian Kasih di Kampung Sungai Pencala.

ACARA permainan sukaneka yang diadakan turut memeriahkan sambutan Hari Raya Cheer.


"Ia sumbangan hotel kepada golongan ini yang diadakan setiap tahun. Selain perayaan Aidilfitri, kami juga turut meraikan mereka dalam setiap perayaan-perayaan utama di negara ini seperti Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali," katanya.

Libatkan kakitangan hotel

Tambah Abellan, program yang diadakan juga dapat dijadikan platform oleh kakitangan syarikat itu untuk mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat.

Katanya, beliau berbangga kerana keseluruhan program itu dikendalikan oleh kakitangan hotel dari setiap jabatan.

"Mereka telah bertungkus-lumus sejak seminggu yang lalu bagi merancang dan menjayakan program ini. Secara tidak langsung ia membuktikan keprihatinan kami terhadap mereka yang memerlukan," ujarnya.

Selain berpeluang menikmati pelbagai juadah raya yang enak dan menyelerakan, kesemua penghuni rumah kebajikan itu turut dihiburkan dengan aktiviti persembahan serta permainan.

Lebih menceriakan, mereka juga turut diberi hamper dan duit raya.

Sementara itu, seorang penghuni rumah kebajikan berkenaan, Elyias Erman, 16, melahirkan rasa kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan hotel kerana bermurah hati memberi sumbangan dan meraikan mereka.

"Bulan Ramadan dan Syawal sangat bermakna buat kami semua kerana ketika itu rezeki melimpah ruah. Saat paling gembira adalah ketika berbuka puasa beramai-ramai dengan tajaan makanan daripada pelbagai pihak," katanya yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Busu, Gombak.

WAJAH-WAJAH ceria jelas terpancar tatkala menerima sumbangan duit raya yang disumbangkan oleh Hotel Melia.


Menetap di rumah kebajikan itu kira-kira setahun lalu atas faktor kemiskinan keluarga, Elyias memberitahu pelbagai aktiviti yang diadakan pada hari itu sedikit-sebanyak menghiburkan mereka.

"Lazimnya, kami hanya dijemput menikmati hidangan di hotel semata-mata, namun kali ini agak berbeza kami berpeluang turut serta dalam acara permainan. Bahkan, kami melakukan persembahan bersama kakitangan hotel yang baik dan peramah," ujarnya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Bagi Norain Abd Hamid, 15, pula, dia dan rakan-rakannya di rumah kebajikan itu berbesar hati sekiranya ada pihak-pihak yang ingin tampil memberi sumbangan dan bantuan seperti yang dilakukan oleh Hotel Melia Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun sumbangan yang diberikan tidak sebesar mana, namun ia amat bermakna kepada mereka semua untuk meneruskan kehidupan.

Dia yang merupakan anak yatim selepas kematian bapanya beberapa tahun lalu berkata, program yang diadakan memberi suntikan semangat kepadanya untuk menjalani kehidupan yang lebih positif pada masa hadapan.

"Saya terharu kerana anak-anak yatim seperti saya tidak disisihkan masyarakat dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pelbagai pihak.

"Biarpun ada di antara kami yang tidak mendapat kasih sayang ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, namun kedukaan yang dilalui sedikit terubat apabila kami diraikan sepanjang program ini," katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Hanya 27 sen sehari

Posted:

Hanya 27 sen sehari

KOS pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi. - Gambar hiasan


BAYANGKAN keadaan ini - kawasan persekitaran dipenuhi najis dan air kotor akibat limpahan air kumbahan di lubang pembetungan dan tangki septik serta kerosakan loji rawatan kumbahan.

Sungai turut menerima nasib serupa jika dicemari limpahan air kumbahan dan sisa buangan berbau.

"Inilah yang akan berlaku sekiranya tiada perkhidmatan pembetungan. Air kumbahan yang tidak dirawat bukan sahaja berbau busuk malah mengandungi bakteria berbahaya yang akan membawa pelbagai penyakit serta menjejaskan alam sekitar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), Datuk Abdul Kadir Mohd. Din.

Katanya, kesedaran mengenai kepentingan perkhidmatan pembetungan sebenarnya kian meningkat berdasarkan kutipan pembayaran bil tahun ini sebanyak 83 peratus, jauh berbanding kutipan tahun 1997, yang hanya 54 peratus.

Namun, masih ada yang ambil mudah dan tidak peduli.

Tarif perkhidmatan pembetungan yang disediakan IWK adalah antara yang terendah di dunia, iaitu hanya 27 sen sehari, atau secara kasarnya RM8 sebulan untuk sistem pembetungan bersambung kepada loji rawatan kumbahan awam.

Kadar caj itu sebenarnya tidak pernah berubah selepas hampir dua dekad.

Kenapa minta percuma?

Namun begitu, hal yang menghairankan adalah masih ada yang mengharapkan ia diberi percuma sedangkan kos pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi, penyelenggaraan dan aplikasi teknologi terbaharu.

"Ada sesetengah pengguna masih merasakan perkhidmatan kami tidak penting buat mereka. Trend yang biasa kita lihat adalah mereka merasakan perkhidmatan lain seperti telekomunikasi, hiburan dan sebagainya adalah mustahak dan bukannya perkhidmatan pembetungan," kata Abdul Kadir lagi.

Antara puncanya mungkin pengurusan pembetungan ini merupakan faktor 'tidak nampak' ataupun mereka kurang faham dengan proses dan keperluannya.

Berbanding utiliti lain seperti jika bekalan elektrik terputus semua peralatan elektrik tidak boleh diguna, atau jika tiada bekalan air, sekejapan sahaja segala urusan harian terganggu, maka pengguna patuh membayar bil setiap bulan.

Antara yang dipersoal sebagai alasan untuk tidak membayar caj perkhidmatan pembetungan ialah pekerja IWK tidak pernah kelihatan di kawasan perumahan mereka dan pelanggan tidak nampak khidmat yang diberikan.

IWK menghantar bil untuk perkhidmatan pembetungan pelanggan domestiknya enam bulan sekali itu, tetapi mulai tahun ini, setiap tiga bulan sekali.

Pembayaran bil IWK amat penting bagi membiayai kos operasi dan penyelenggaraan hampir 6,000 buah loji dan 16,000 kilometer (km) saliran paip pembetungan bawah tanah dari premis-premis ke loji rawatan kumbahan.

Perkhidmatan efisien

Perkhidmatan 'tidak nampak' itu sebahagian besarnya melibatkan pengurusan sistem pembetungan (paip pembetungan yang berselirat di bawah tanah) yang menyambungkan premis ke loji rawatan kumbahan.

Ia juga melibatkan kerja teknikal seperti perancangan sistem pembetungan, perkhidmatan perakuan perancangan sistem pembetungan pemaju, penilaian persekitaran dan spesifikasi kejuruteraan sistem pembetungan.

Khidmat yang dilaksanakan di sebalik tabir dan tidak menarik perhatian segelintir masyarakat ini, sebenarnya menunjukkan perkhidmatan IWK dalam pengurusan air kumbahan negara adalah efisien.

Buktinya, kehadiran IWK hanya boleh dikesan dan dilihat diperlukan apabila timbulnya masalah pembetungan tersumbat.

Pembuangan sisa kumbahan

Jujurnya, berapa ramaikah antara kita pernah memikirkan ke manakah perginya air najis apabila sudah dipam dari tandas? Dengan adanya kemudahan tandas moden, sistem pembetungan disambung ke loji rawatan kumbahan. Najis dan sisa kumbahan itu seterusnya dilupus dan dirawat dengan betul. Ini harus dilakukan sebelum ia terlepas ke sungai atau persekitaran.

"Air sisa menerusi sistem paip penyambungan akan disalurkan ke loji untuk dirawat. Di situ, ia akan dirawat untuk jadikan air itu jernih dan selamat dilepaskan ke alam sekitar. Mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar air sisa itu harus hilang bau dan rupa. Inilah tanggungjawab IWK yang kurang difahami orang ramai.

"Kerjanya kotor, sukar dan berbahaya dan tidak semua orang boleh buat," kata Abdul Kadir sambil menambah, air kumbahan juga tidak boleh dibuang begitu sahaja kerana boleh menyebabkan berlakunya epidemik penyakit bawaan air seperti taun, demam kepialu, leptospirosis dan lain-lain penyakit berjangkit . - Bernama

Togok lambang kebebasan

Posted:

Togok lambang kebebasan

Oleh NIZHA PERIASWAMY

ERTI sebenar kebebasan yang diterjemah Effendi melalui siri Togok adalah berdasarkan metafora kiasan atau sindiran.


PERNAH terlibat dalam beberapa siri lukisan dan pameran, artis muda yang sedang membina nama dalam bidang seni lukis, Ahmad Effendi Zahari, 31, percaya bahawa imej haiwan boleh menjadi sinonim dengan personalitinya.

Buah tangannya yang terkini ialah koleksi lebih 50 buah lukisan yang menampilkan imej burung, dinamakan Togok. Jika sebelum ini, dia pernah cuba menampilkan beberapa siri lukisan dengan imej haiwan, Togok pada kali ini mengetengahkan kepelbagaian terjemahan rupa unggas.

Graduan dalam bidang seni halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun 2004 itu berkata, walaupun berpengalaman bereksperimen dengan imej haiwan lain seperti kuda, ayam dan ikan sebelum ini, Togok merupakan siri pertamanya yang memaparkan imej burung.

Menjelaskan secara lanjut sebab memilih burung, dia yang juga lebih mesra dengan panggilan Effendi, menceritakan tentang pengalamannya di Melaka yang telah mencetus ilhamnya.

"Burung adalah simbol kebebasan. Demikian saya menggambarkan imej itu dalam lukisan," terangnya.

Beberapa tahun dahulu, Effendi sempat meluangkan masa di Melaka. Dia tinggal di sebuah asrama di Durian Tunggal untuk menghadiri kursus berkenaan hiasan dalaman, satu lagi lapangan yang ingin diceburi anak muda itu.

Di tempat yang dilatari pemandangan alam yang menghijau, telah menjentik naluri Effendi sekali gus membuatkannya mula mengadaptasi erti sebenar kebebasan.

"Sewaktu saya berada di sana, saya seolah-olah putus komunikasi dengan dunia luar dan tempat tersebut agak terpencil. Jadi, saya mengenang semula pengalaman tersebut dan mengaplikasi kepada siri terbaharu saya ini," kata Effendi merujuk kepada pengalaman tiga tahun dahulu.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya erti sebenar Togok, Effendi sendiri tidak jelas.

"Saya secara peribadi tertarik dengan nama Togok dan menamakannya. Namun, saya percaya ia mampu memberi kaitan kepada siri ini," kongsinya yang memiliki studio sendiri yang dinamakan Bima Sakti di Seksyen 7, Shah Alam.

Apabila ditanya tentang tempoh masa yang diluang untuk siri tersebut, Effendi memberitahu, dia tidak terikat dengan tempoh masa tertentu malah lebih suka melukis apabila mempunyai masa dan keterujaan.

Melihat siri karya Togok yang dihasilkan menggunakan pelbagai medium seperti akrilik, cat, bitumen (tar), melilin, paster dinding dan krayon, tentunya memerlukan ketelitian dan kesabaran Effendi yang tinggi.

Metafora kiasan

Dalam siri tersebut juga, Effendi tidak mengehadkan kepada sejenis burung tertentu malah, katanya, beliau mahu bereksperimentasi dengan semua jenis haiwan yang berkepak dan berterbangan.

Dalam pada itu, erti sebenar kebebasan yang diterjemah Effendi melalui siri Togok secara tidak langsung adalah berdasarkan metafora kiasan atau sindiran.

"Saya mahu menyindir secara berkias betapa saya ketika tertekan dan bosan berada di Durian Tunggal," ujarnya.

Tambah Effendi, semua gambaran yang diberikan dalam Togok memperlihatkan imej burung menari di atas dahan dan terbang bebas.

"Sungguhpun mempunyai pengklasifikasian tersendiri, saya tidak mahu mengehadkan maksud di sebalik lukisan malah memberi kebebasan kepada para penggemar seni untuk menterjemahkan mengikut pemahaman masing-masing," ujarnya yang tidak mahu terikat dengan satu maksud khusus.

Sebelum ini, Effendi tampil dengan dua pameran solo iaitu TAFSIR pada tahun 2008 dan Persepsi pada tahun 20102. Di samping itu, Effendi juga pernah tampil engan siri Fobic dan Sekilas. Itu tidak termasuk tiga siri yang dihasilkan atas tempahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Rabu, 12 September 2012

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Suspek ragut, tetak pembantu klinik dicekup

Posted:

Suspek ragut, tetak pembantu klinik dicekup

DUA suspek kes tetak dan ragut seorang pembantu klinik dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bahru untuk mendapat perintah reman semalam.


KOTA BHARU - Polis yakin dapat menyelesaikan kejadian seorang wanita yang diragut dan tangankirinya ditetak oleh dua penyamun pada 29 Ogos lalu apabila menahan dua lelaki di dua buah rumah di kawasan Pintu Geng dan Bunut Payong, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, suspek berusia 32 dan 25 tahun itu ditahan dalam operasi selama enam jam bermula pukul 7.50 pagi oleh sepasukan polis di sini.

"Selain tangkapan, kita turut merampas sebilah pisau, pedang, sehelai jaket dan dua topeng. Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg mengandungi rantai tangan dan lima bentuk cincin.

"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar semalam.

Pada 30 Ogos lalu Kosmo! melaporkan, seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah (gambar kecil), 36, cedera parah selepas diragut dan ditetak ketika berjalan menuju ke sebuah kedai tudung di Jalan Sultanah Zainab, dekat sini.

Mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri selepas ditetak tujuh kali dengan parang oleh suspek.

Menurut Ismail, kedua-dua suspek juga positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah selain dipercayai terlibat dalam tiga lagi kes ragut di sekitar daerah ini.

Tambahnya, perancangan rapi Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman membolehkan anak buahnya menangkap suspek dalam tempoh dua minggu dan ia harus diberi pujian. Suspek kini direman selama tujuh hari.

Sementara itu, Rohairani ketika ditemui di rumahnya di Pintu Geng di sini berharap suspek dijatuhi hukuman setimpal jika terbukti bersalah.

"Saya masih trauma dengan kejadian itu walaupun saya sudah boleh menggerakkan jari-jari," luahnya.

Tambahnya, dia kini berteman jika hendak ke mana-mana dan tangannya mengambil masa beberapa bulan lagi untuk sembuh.

Isteri dibunuh angkara cemburu

Posted:

Isteri dibunuh angkara cemburu

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah tempat Novi dibunuh di Seksyen 26, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Perasaan cemburu yang meluap-luap oleh seorang lelaki sampai ke kemuncaknya apabila dia menetak kepala seorang wanita dipercayai isterinya dengan kapak hingga mati selepas hilang pertimbangan ketika bertengkar di rumah sewa mereka di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.15 malam itu mengakibatkan seorang suri rumah, Novi Aryani, 34, dari Jawa, Indonesia mati selepas ditetak sebanyak dua kali di belakang kepala selain dicekik.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai biliknya oleh seorang rakan penyewa rumah sama. Rumah setingkat yang memiliki lima bilik itu turut didiami oleh tujuh individu lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, pemeriksaan menemui sebilah kapak di sisi mayat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Katanya, siasatan mendapati, sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan telah bertengkar. Lelaki itu telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

"Kita percaya motif kejadian akibat cemburu buta namun masih menyiasat punca sebenar. Lelaki itu dipercayai suami mangsa," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pasangan itu tidak mempunyai permit namun mereka sudah menyertai Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui di mana Ahmad Syafi, 35, berada supaya menghubungi pihaknya di talian 03-5510 2220 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, rakan serumah mangsa, Ahmad Noer Lukman, 33, mendakwa, dia melihat suami mangsa bergelar Mat itu membawa beg dan menyangkut sehelai baju di bahu sebelum memecut laju dengan motosikal.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Wanita cemas kereta terbakar

Posted:

Wanita cemas kereta terbakar

REAKSI Umi selepas melihat kenderaannya terbakar ketika melalui jejambat Jalan Tun Razak dekat bulatan Loke Yew semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan jenis Mitsubishi Storm yang dipandunya terbakar di atas jejambat Jalan Tun Razak berhampiran bulatan Loke Yew di sini semalam.

Kejadian mencemaskan pukul 11 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Umi memberhentikan kenderaan berkenaan selepas enjinnya terhenti secara tiba-tiba.

Pekerja di sebuah syarikat swasta itu kemudian cuba menghidupkan kenderaannya tetapi gagal sebelum anggota polis yang tiba selepas menerima aduan kesesakan jalan membantunya untuk menolak kenderaan itu ke tepi.

Tanpa disangka, kenderaan itu terus disambar api di bahagian enjin sebelum wanita itu bergegas keluar sebaik melihat api tersebut.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras yang menerima maklumat pada pukul 11.08 pagi bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

Jurucakap bomba memberitahu, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk mengawal kebakaran itu namun kenderaan itu telah terbakar sepenuhnya ketika mereka tiba.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Kes pelajar dihalang duduki UPSR dijamin tidak berulang

Posted:

Kes pelajar dihalang duduki UPSR dijamin tidak berulang

12/09/2012 6:42pm

KOTA BHARU — Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan memberi jaminan tiada lagi kes pelajar yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti yang berlaku sebelum ini.

Pengarahnya, Che Hussain Awang berkata, semua guru besar di negeri itu telah diingatkan supaya memastikan insiden sedemikian tidak berulang seperti yang berlaku di sebuah sekolah di Kuala Krai tahun lepas.

"Saya telah mengarahkan semua guru besar dan memberi peringatan supaya kes pelajar atau calon ditahan daripada menduduki peperiksaan tidak berlaku di Kelantan.

"(Apa pun) saya yakin kes ini tidak berlaku lagi di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melawat 12 calon yang mengambil UPSR di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini.

Pada tahun lepas, seorang murid di Sekolah Kebangsaan Telekong, Kuala Krai mendakwa tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah atas arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Keluarga murid tersebut mendakwa, Wan Mohd. Fazlan Wan Ibrahim telah dihalang daripada menduduki UPSR kerana dia tergolong disleksia iaitu mereka yang menghadapi masalah membaca dan menulis.

Selain itu, kes yang sama juga dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan Bintangor, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah.

Pada tahun ini, seramai 35,895 calon UPSR mengambil peperiksaan itu di seluruh Kelantan.

— BERNAMA

JKM cari waris dua bayi yang ditinggalkan di HSJ

Posted:

JKM cari waris dua bayi yang ditinggalkan di HSJ

12/09/2012 6:40pm

BUKIT MERTAJAM — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Tengah (SPT) mencari waris dua bayi lelaki, masing-masing berusia dua dan tiga bulan yang ditinggalkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Pegawai JKM SPT, Noor Lela Saad berkata, bayi pertama yang didaftarkan sebagai Ahmad Firdaus berusia dua bulan ditinggalkan oleh ibunya yang dikenali sebagai Dewi Mustika dipercayai warga Indonesia dan beralamat Pangsapuri Limau Manis, Bukit tengah dekat sini di HSJ pada 1 Ogos lepas.

"Menurut pihak hospital, ibu bayi berkenaan meninggalkannya sehari selepas dilahirkan dan Ahmad Firdaus juga dilahirkan pramatang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Lela berkata, bayi kedua berusia tiga bulan dan masih belum didaftarkan namanya itu masih dirawat di HSJ berikutan menghadapi masalah kesihatan.

Katanya, bayi lelaki itu dilahirkan di Klinik Kesihatan Jelapang, Perak dan ditinggalkan oleh ibu angkatnya yang dikenali sebagai Ani juga warga Indonesia di HSJ pada 4 Ogos lepas.

Beliau meminta ibu kandung atau waris kedua-dua bayi berkenaan agar tampil mengambil anak mereka dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga bayi berkenaan boleh menghubungi Pegawai Pelindungan JKM SPT Wan Rohaiza Wan Ahmad di talian 04-5382524. — BERNAMA

Calon PAC yang gagal diberi peluang kedua

Posted:

Calon PAC yang gagal diberi peluang kedua

12/09/2012 6:39pm

PUTRAJAYA — Kira-kira 46,921 calon yang lulus dalam peperiksaan memasuki perkhidmatan awam dan program pusat penilaian (PAC) tetapi belum berjaya dilantik, masih berpeluang mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, daripada jumlah itu 40,424 ialah calon yang lulus peperiksaan dan selebihnya 6,501 calon lulus PAC.

"Calon-calon itu akan dipanggil semula untuk ditemu duga tanpa perlu menduduki peperiksaan atau PAC semula sekiranya terdapat kekosongan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa khas mengkaji penyertaan kaum Cina dalam perkhidmatan awam di sini hari ini.

Mahmood berkata, peluang itu hanya layak kepada mereka yang lulus peperiksaan dan PAC dari tahun 2008 hingga 2012 sahaja.

Sementara itu, Mahmood berkata, dua kumpulan terdiri daripada pegawai SPA akan dihantar ke China dan India untuk mendapatkan maklumat mengenai pelantikan penjawat awam di negara berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan SPA mencari kaedah lain bagaimana menarik minat lebih ramai kaum Cina dan India menyertai perkhidmatan awam.

Mengikut statistik untuk Julai dan Ogos 2012, berlaku peningkatan dalam permohonan daripada kaum Cina berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Pada Julai sebanyak 3,543 (2012) dan 1,447 (2011) manakala pada Ogos 2,930 (2012) dan 1,282 (2011); kaum India pula bulan Julai sebanyak 6,638(2012) dan 2,277 (2011),untuk Ogos sebanyak 4,830 (2012) dan 2,472 (2011). — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


William dan Catherine tiba di Singapura

Posted:

William dan Catherine tiba di Singapura

PUTERA William dan isteri melihat bunga orkid yang diberi nama sempena nama ibunya, Puteri Diana di Taman Botanikal Singapura semalam.


SINGAPURA - Putera William dan isterinya, Catherine tiba di negara ini semalam bagi memulakan lawatan ke Asia Tenggara dan Asia Pasifik sempena pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II.

Dalam lawatan selama sembilan hari itu, Duke dan Duchess of Cambridge akan singgah ke Malaysia, Kepulauan Solomon dan Tuvalu.

Catherine turut dijadual memberi ucapan pertamanya di luar negara sebagai tanggungjawab rasmi beliau dalam kerajaan monarki Britain.

Acara pertama pasangan popular itu adalah melawat Taman Botanikal Singapura di mana sekuntum bunga orkid akan dinamakan sempena nama mereka.

Taman orkid itu juga mempunyai bunga yang dinamakan sempena nama Ratu Elizabeth II yang kali terakhir melawat Singapura pada tahun 2006 dan nama ibu William, Puteri Diana yang maut pada tahun 1997 dalam satu kemalangan kereta di Paris.

"Tujuan lawatan ialah bagi meraikan sambutan pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II," kata Setiausaha Peribadi Duke and Duchess of Cambridge, Jamie Lowther-Pinkerton.

William dan Catherine yang berkahwin pada April tahun lalu akan berada di sini hingga Khamis. Mereka kemudian akan ke Malaysia dan melawat Kuala Lumpur serta Sabah bermula 13 hingga 15 September ini.

Di Malaysia, Catherine dijangka menyampaikan ucapan kepada kakitangan dan pesakit dalam satu program kesihatan. - AFP

Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut

Posted:

Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut

SANAA - Ketua nombor dua rangkaian Al-Qaeda di Yemen, Saeed Al-Shihri dan enam orang bersamanya di dalam sebuah kereta maut dalam satu serangan udara kelmarin, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Yemen.

Beberapa pegawai tentera berkata, Saeed yang merupakan warga Arab Saudi dan pernah berperang di Afghanistan sebelum dipenjarakan selama enam tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo mati terkena tembakan peluru berpandu di wilayah Hadramaut, selatan Yemen.

Peluru berpandu itu dipercayai ditembak oleh sebuah pesawat kawalan jauh AS atau dron. Kematian orang kanan Al-Qaeda itu disahkan oleh dua pegawai kanan AS. - AP

Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom

Posted:

Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom

SANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran.

Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan.

Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut.

"Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi berita Saba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan.

Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved