Tegar hadapi ketakutanTegar hadapi ketakutan

KARAKTER gila-gila dan kaki perempuan hasil lakonannya sebagai adiwira Human Torch/Johnny Storm menerusi filem Fantastic Four dan sekuelnya, Fantastic 4: Rise of the Silver Surfer begitu terserlah.
Namun, filem yang turut menampilkan lakonan aktres sensasi Jessica Alba itu belum cukup untuk mengangkat diri Chris Evans ke kemuncak kerjayanya sebagai aktor mega di Hollywood.
Malah, boleh dikatakan karakternya itu lebih kepada sokongan kepada karakter utama siri filem Fantastic Four iaitu Mr. Fantastic/Reed Richards lakonan Loan Gruffurd.
Namun, kemunculan aktor kacak yang genap usianya 30 tahun pada 13 Jun tahun ini menerusi filem Captain America: The First Avenger lain impaknya, malah tiba-tiba sukses memacu anak kelahiran Boston, Massachussets itu ke kemuncak kerjaya lakonannya.
Di Hollywood mungkin senang untuk bergelar artis gred A dari segi populariti tetapi dari segi kepercayaan untuk diberikan peluang keemasan sebagai teraju utama projek mega sesebuah filem yang menelan kos mencecah AS$100 juta (RM298 juta) ke atas, ternyata agak sukar di sana.
Begitu juga dengan Chris Evans yang memulakan karier lakonan sejak tahun 2000 menerusi filem The Newcomers.
Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai aktor terpilih untuk karakter Captain America/Steve Rogers untuk projek filem Captain America: The First Avenger, ada yang memandang sinis terhadap Chris kerana muncul sebagai seorang lagi adiwira di layar perak di sebalik lambakan adiwira-adiwira Hollywood sebelum ini.
Sementelah dia sendiri juga pernah melakonkan karakter adiwira menerusi siri Fantastic Four tersebut.
Malah, Chris sendiri dilanda keresahan ketika ditawarkan kontrak berlakon filem adaptasi komik popular terbitan Marvel Inc. yang sebelum ini banyak menampilkan adiwira ke layar perak termasuklah Batman, Superman, Thor dan Iron Man.

|
KARAKTER adiwira Captain America menaikkan status Chris Evans menjadi pelakon gred A mega Hollywood.
|
Ini kerana projek itu bukan sembarangan projek filem memandangkan ia adalah francais yang memperuntukkan sebanyak sembilan siri filem membabitkan karakter Captain America.
Malah percaya atau tidak, enam bulan usai penggambaran Captain America: The First Avenger , Chris sudah dipanggil ke lokasi penggambaran The Avengers - sebuah lagi produksi adaptasi komik Marvel yang kali ini menggabungkan banyak karakter adiwira termasuk Captain America, Thor dan Iron Man.
Ujian saintifik
Sudah tentulah Chris bergandingan dengan pelakon karakter Iron Man, Robert Downey, Jr. dan Thor, Chris Hemsworth dalam filem The Avengers yang dijadualkan untuk tayangan menjelang 4 Mei tahun depan itu.
Justeru, apa perasaan Chris meraih peluang yang jarang diraih ramai bintang Hollywood itu?
"Memanglah sangat bagus muncul dalam filem Captain America dan kemudiannya The Avengers, tapi apa yang membimbangkan saya adalah sambutan daripada penonton.
"Lagipun, filem dibikin untuk tontonan penonton, terutama sekali peminat fanatik adiwira-adiwira ciptaan Marvel - golongan inilah yang paling saya bimbangkan penerimaan mereka," ucapnya.
"Merekalah yang akan menentukan nasib filem The Avengers. Jika mereka menyukai Captain America maka The Avengers ada potensi besar untuk turut disukai tetapi jika sebaliknya mereka tidak menyukai Captain America, maka nasib The Avengers juga dalam persoalan."
Sebelum menjelma sebagai adiwira Captain America, karakter lakonan Chris sebagai Steve Rogers itu merupakan seorang pemuda yang begitu teruja untuk menjadi tentera tetapi didapati tidak layak kerana mempunyai badan yang kurus kering.
Namun, menerusi ujian saintifik pihak ketenteraan Amerika, Steve menjalani transformasi menjadi lelaki gagah dan seterusnya Captain America yang mengembeleng tenaga untuk menghapuskan setiap kejahatan di muka bumi ini.

CHRIS (kiri) bersama barisan pelakon Fantastic Four (dari kiri) Ioan Gruffurd dan Michael Chiklis.
Menurut Chris, biarpun Steve mengalami bentuk perubahan fizikal pada tubuhnya, namun di mindanya dia tetap Steve yang dulu.
"Bukankah kita semua merasakan begitu. Saya fikir tidak kira apa jua yang berlaku terhadap diri kita, kita mahu kekal untuk menjadi siapa diri kita yang sebenar," jelasnya.
Chris dalam pada itu mendedahkan dia melakukan percaturan sebelum bersetuju untuk menandatangani kontrak berlakon filem itu.
Katanya: "Saya pilih filem ini kerana ia adalah perkara yang paling saya takut untuk lakukan. Anda faham maksud saya bukan?
"Saya fikir karakter utama filem ini adalah perkara pertama yang membuatkan saya melarikan diri daripadanya kerana ia bukan apa yang saya cari selama ini."
Tambah Chris: "Dan tiba-tiba segalanya berubah. Kerana saya lantas berfikir, jika saya takutkan sesuatu, saya perlu memaksa diri saya untuk melakukan apa yang saya takutkan itu. Cuma perlu lakukannya.
"Saya fikir kita akan menyesal kalau kita tidak melakukannya. Jadi, saya terima tawaran berlakon filem ini kerana saya takutkannya."
Oleh itu adakah Chris dilanda ketakutan kerana melakonkan karakter adiwira lain selain Human Torch yang pernah dilakonkannya itu atau takut kerana perlu melakonkan adiwira Captain America?
"Bukan begitu. Saya tidak kisah melakonkan watak adiwira untuk sebuah filem dan saya tidak kisah melakonkan karakter sesuatu adiwira itu buat pertama kalinya.
"Sebab kenapa saya takut adalah karakter lakonan saya itu adalah diperuntukkan untuk francais sembilan buah filem, tetapi kemudian dikurangkan kepada enam buah filem," akuinya.
Dia menjelaskan: "Walaupun enam buah filem tetapi ia akan memakan tempoh selama 10 tahun untuk melakukannya.
"Maksud saya, saya akan melakonkan karakter Captain America sehingga umur saya mencecah 40 tahun.
"Sebelum bersetuju menandatangani kontrak berlakon francais filem ini, saya sukar sekali membuat keputusannya. Macam mana kalau saya tidak mahu lagi berlakon filem ini lagi di masa depan?
"Bagaimana pula kalau saya tiba-tiba mahu melakukan perkara lain seperti menulis skrip selain melakonkan karakter ini? Apa yang saya maksudkan, kebebasan saya sudah hilang kerana bersetuju berlakon francais filem ini."
Akui Chris: "Saya menandatangani kontrak berlakon francais filem ini tetapi saya sebenarnya tidak pasti 100 peratus apakah ia akan menjadikan saya bintang mega. Disebabkan tidak 100 peratus berkeyakinan, ini bermakna keputusan yang saya buat itu sangat menakutkan."
Dari LA ke Boston

THE AVENGERS menggabungkan karakter terkenal Marvel seperti Iron man, Captain America, Hulk, Thor dan Black Widow.
Dalam pada itu, Chris turut bercerita tentang kehidupan peribadinya.
Beritahunya: "Harapnya saya kekal menjadi diri saya seperti sebelum berlakon filem Captain America.
"Saya sebenarnya baharu berpindah dari Los Angeles (LA) ke bandar kelahiran saya, Boston dan ia suatu perubahan besar dalam hidup saya.
"Keadaan di Boston agak lain di Hollywood, LA, yang mana di LA, kalau ada yang tidak bekerja, anda masih rasa seperti bekerja."
Jelasnya: "Saya tak tahu apa ertinya tetapi yang pasti sesuatu tentang LA adalah ia jantung kepada industri perfileman di Hollywood. Siapa sahaja yang anda bersua dan bercakap di LA, semuanya mengingatkan saya kepada kerja.
"Tapi apabila saya kembali ke Boston, rakan-rakan baik saya kata dia tidak suka menonton filem-filem lakonan saya,
"Mereka fikir saya pelakon paling teruk di planet bumi ini. Jadi saya dengan cepatnya disedarkan tentang siapa diri saya yang sebenarnya.
"Boston merupakan persekitaran yang baik dan sihat buat saya. Saya berharap, dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya masih Chris Evans yang sama."
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.