Rabu, 9 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dibimbing hadapi cabaran hidup

Posted:

Dibimbing hadapi cabaran hidup

Dibimbing hadapi cabaran hidup

AKTIVITI berakit turut mendidik para peserta erti berusaha dan bekerjasama.


DEMI memastikan kedua-dua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik mendapat penjagaan, Siti Nur Syaffira Ruslan, 20, atau Angah sanggup meninggalkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada setahun lalu.

Ketika itu, anak kedua daripada empat beradik tersebut bakal menduduki peperiksaan akhir bagi program prauniversiti di UiTM Kampus Jengka, Bandar Tun Razak, Maran, Pahang.

Sebaik mendapat khabar mengenai ibunya, Rohana, Abdul Hamed, 44, yang tiba-tiba mendapat serangan jantung, Angah bingkas meninggalkan alam pengajian di kampus dan pulang ke Felda Jengka 8.

Gadis itu berbuat demikian kerana ibunya yang selama ini menjaga bapanya, Ruslan Mohd. Ismal, 45, yang menghidap kegagalan buah pinggang sudah tidak berdaya melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Saya tidak anggap menjaga ibu bapa yang sakit sebagai terpaksa. Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib saya pikul sebagai seorang anak.

"Emak dan ayah telah menjaga saya sejak kecil dengan penuh kasih sayang. Sekarang masa untuk saya menggembirakan hati emak dan ayah.

"Untuk menanggung perbelanjaan keluarga termasuk adik yang masih sekolah, saya membuka warung menjual buah di tapak niaga Masjid Felda Jengka 8," kata Angah sambil mengesat air mata sebelum meneruskan perbualan.

Menurut Angah, mereka enam sekeluarga tinggal menumpang di rumah milik peneroka di Felda Jengka 8 sejak beberapa tahun lalu.

Angah dan abangnya, Mohd. Shafie, 23, yang bekerja sebagai nelayan sungai dan menjual ikan sama-sama menanggung perbelanjaan keluarga.

Kepayahan hidup sedemikian tidak berputar ligat di sekeliling Siti Nur Syaffira seorang diri, kesulitan seperti itu turut dialami ramai remaja dalam kalangan keluarga miskin yang wajar dibantu oleh anggota masyarakat.


PARA peserta mendirikan khemah semasa mengikuti aktiviti luar.


"Sabar kakak...bertenang," kata Muazzam Jamil, 15, yang tiba-tiba menyampuk sambil menghulurkan kertas tisu kepada Angah sambil ditemu bual wartawan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Muazzam, yang berasal dari Jasin, Melaka tampak sangat memahami. Anak lelaki bongsu daripada empat beradik itu juga melalui dugaan hidup yang hampir sama seperti Angah.

Mereka bukan dilahirkan dalam keluarga kaya, tetapi memiliki jiwa yang kental, lasak, tidak manja atau mudah menyerah kalah terhadap segala kepayahan hidup.

Kasih sayang

Kesulitan hidup menjadikan jiwa mereka lebih tabah berbanding orang lain yang tidak pernah menempuhi kepayahan sedemikian rupa.

"Ibu lumpuh selepas melahirkan saya. Sejak itu, hidup kami empat beradik berubah. Ayah kuat bekerja sejak ibu terlantar sakit. Kemudian pada tahun 2007, ibu meninggal dunia.

"Saya membesar dalam keadaan ibu tidak berupaya mencurahkan kasih sayang dia kepada saya, tetapi saya tahu ibu sayang semua anak-anaknya.

"Setiap masa kami bersabar dan terus berusaha mendapatkan hidup yang lebih baik," sambung Muazzam sambil menundukkan wajah menyembunyikan kesayuannya daripada pandangan orang di sekeliling.

Syaffira dan Muazzam merupakan antara 31 remaja daripada latar belakang hampir sama yang mengikuti Kem Remaja Bersamamu 2014 di Nur Lembah Pangsun Eco Resort dekat Hulu Langat pada 25 hingga 29 Mac lalu.

Kumpulan remaja berumur 11 hingga 20 tahun tersebut merupakan anak-anak daripada keluarga kurang bernasib baik yang pernah dipapar menerusi program realiti kebajikan Bersamamu di sebuah stesen televisyen swasta. Bersamamu merupakan sebuah rancangan realiti televisyen berbentuk amal yang membawa penonton meninjau keadaan insan-insan istimewa serta mereka yang kurang berkemampuan dalam meneruskan cabaran hidup. Penonton juga boleh menderma kepada rancangan ini menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).


SEBELUM melakukan aktiviti berakit, para remaja diajar cara membina rakit.


Bantu ibu bapa

Kem tersebut dianjurkan bagi menjadikan remaja berkenaan lebih tabah menjalani hidup dan mendidik mereka supaya menjadi insan cemerlang pada masa hadapan.

Tidak seperti anak golongan berada yang berpeluang melancong bersama ibu bapa sehingga ke luar negara, kumpulan remaja berkenaan lazimnya lebih suka menghabiskan masa membantu ibu bapa semasa cuti sekolah.

Kem santai motivasi di kawasan peranginan yang diadakan khas untuk kumpulan remaja berkenaan menyediakan peluang bercuti dan memperbaiki sahsiah diri bersama rakan sebaya senasib dengan mereka.

"Kalau cuti sekolah, ramai kawan saya pergi makan angin dengan keluarga. Tapi keluarga saya tak mampu. Apabila ada kem macam ini, dapat juga makan angin sambil belajar.

"(Hubungan) kami di kem ini semua macam adik-beradik kandung, itu lebih seronok," ujar Muhammad Hazim Mazlan, 15, yang pada awalnya sedikit sukar untuk bersuara.

Ketika di rumah, Muhammad Hazim yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Negeri Sembilan, membantu keluarga menjaga kedua-dua abangnya berumur 20 dan 21 tahun yang menghidap masalah gangguan saraf akibat demam panas semasa kecil.

Keakraban para remaja berkenaan seperti saudara kandung sesama sendiri kerana menanggung kepayahan hidup yang hampir serupa boleh menjadikan sesiapa sahaja berasa kagum, namun kasih sayang mereka terhadap ibu bapa masing-masing lebih menakjubkan.

"Mula-mula, berat hati nak datang ke sini sebab tak sanggup tinggalkan emak di rumah. Biasanya, saya bangun pukul 4 pagi, tolong emak buat kuih untuk dijual.

"Selepas siap tolong emak dan solat Subuh, baru saya pergi sekolah. Itu pun masih tidak sampai hati tengok emak kerja kuat seorang diri," kata Nur Shahidah Ramli, 17, ketika ditanya pengalamannya mengikuti kem lima hari tersebut.


KERIANGAN semasa mengikuti kem tidak menjadikan mereka lupa untuk terus tabah dan berbakti kepada keluarga.


Nur Shahidah yang bersekolah di SMK Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan anak kedua daripada empat beradik menempuh kepayahan hidup selepas ketiadaan bapa.

Penganjuran kem tersebut juga menjadikan sikap dan nilai-nilai murni sedemikian bertambah utuh dalam diri para remaja berkenaan ketika sebilangan besar rakan-rakan sebaya mereka yang lebih bernasib baik menjalani hidup sempurna.

Menerusi kem tersebut, para remaja berkenaan dibimbing dan didedahkan kepada cabaran serta realiti hidup yang lebih hebat pada masa akan datang.

Baiki keyakinan diri

Bagi mempersiapkan mereka menempuh pelbagai rintangan hidup, para remaja berkenaan dibekalkan dengan bimbingan ibadat terutama solat dan fardu ain, memperbaiki keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi.

Selain itu, mereka juga diberi peluang merasai keseronokan yang tidak pernah dinikmati termasuk bermain luncur ais di Sunway Pyramid dekat Subang Jaya, menginap semalaman di hotel bertaraf lima bintang dan sebagainya.

Lebih utama, para remaja berkenaan diberi penekanan terhadap kepentingan ilmu dan pendidikan dalam menjalani hidup yang seiring dengan tanggungjawab mereka terhadap keluarga serta anggota masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, Kem Remaja Bersamamu bertujuan menghimpun anak-anak daripada keluarga yang pernah dibantu menerusi program tersebut.

"Kita sedaya upaya mahu memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi insan yang tabah menjalani hidup, cemerlang dalam akademik, berakhlak dan berbudi bahasa.

"Setiap sumbangan masyarakat serta korporat bukan sahaja membantu mengubah taraf hidup keluarga yang kurang bernasib baik, malah memberi semangat kepada anak-anak itu untuk meneruskan pelajaran," katanya.

Asuh jadi penyayang, bertanggungjawab

Posted:

Asuh jadi penyayang, bertanggungjawab

Asuh jadi penyayang, bertanggungjawab


SESI berkongsi kisah hidup pada hari pertama memberi peluang kepada para peserta untuk saling memahami kepayahan yang dilalui keluarga masing-masing.


PENGANJURAN Kem Remaja Bersamamu edisi kelima di Nur Lembah Pangsun Eco Resort dekat Hulu Langat, Selangor pada 25 hingga 29 Mac lalu berperanan membentuk jati diri dan memperkuat kasih sayang sesama manusia.

Penerbit Eksekutif Jabatan Majalah dan Dokumentari Primeworks Studios Sdn. Bhd., Mazlin Nordin berkata, para remaja pada peringkat umur tersebut wajar diasuh sebaik mungkin supaya menjadi masyarakat penyayang.

"Program Bersamamu lahir daripada perasaan kasih sayang terhadap sesama manusia dan kita juga mahu anak-anak ini menjadi orang yang menyayangi ibu bapa.

"Sejak sembilan tahun lalu, lebih 450 keluarga bukan sahaja dibantu ketika mereka memerlukan bantuan, tetapi sehingga mereka yakin menjalani hidup," kata Mazlin semasa ditemui di resort tersebut.

Ujar Mazlin, kehidupan semua keluarga yang pernah dibantu menerusi program Bersamamu akan terus dipantau dengan memberi kesedaran pengurusan kewangan dan beberapa pengetahuan lain yang berkaitan.

Menurut Mazlin, pengurusan kewangan yang cekap boleh membantu sesebuah keluarga mengelak daripada melakukan kesilapan menguruskan perbelanjaan.

"Anak-anak ini diberi pengetahuan yang sewajarnya sepanjang kem ini diadakan. Kita harap, mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.


MAZLIN


"Kami juga banyak belajar daripada mereka mengenal erti kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan dan kepayahan hidup menjadikan mereka cepat matang sebelum usia.

"Mereka tidak mementingkan diri atau orang lain melebihi ibu bapa. Kesusahan dan kepayahan hidup telah mengajar mereka erti kasih sayang dan ketabahan," ujar Mazlin.

Mengulas mengenai program serupa pada masa hadapan, Mazlin menjelaskan, pihaknya akan mengadakan kem yang sama di Pantai Timur Semenanjung.

Tambah beliau, ia bagi memudahkan para remaja dalam kalangan keluarga yang pernah dibantu menerusi program Bersamamu di Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat mengikuti kem tersebut.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk membawa mereka ke luar negara yang terdapat ramai masyarakat miskin seperti di Kemboja, Indonesia dan sebagainya.

"Ia supaya mereka bersyukur, terus tabah dan bersemangat untuk bangkit apabila melihat ada lagi orang yang lebih susah (miskin) daripada mereka di negara-negara itu.

"Jika mereka fikir hidup mereka susah, mereka akan lihat ada lagi orang yang lebih miskin daripada mereka, tetapi lebih tabah menjalani hidup," kata Mazlin.

Dalam pada itu, beliau menyeru anggota masyarakat supaya lebih ringan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik berbanding mempersoal tindakan beberapa pihak yang memberi pertolongan.

Peranti kurangkan pemandu bunyi hon

Posted:

Peranti kurangkan pemandu bunyi hon

Peranti kurangkan pemandu bunyi hon

SISTEM meter oren merupakan antara langkah bijak yang diperkenalkan bertujuan untuk mengurangkan pemandu membunyikan hon.


BUNYI hon tanpa henti merupakan perkara biasa di Mumbai, India. Sama ada pemandu bas, lori, kereta atau motosikal, semuanya gemar membunyikan hon yang seolah-olah menjadi suara pemandunya.

Ia diburukkan lagi dengan keadaan lalu lintas serta sikap segelintir pemandu yang mudah hilang sabar.

Bagaimanapun, bukan semua penduduk bandar ini suka dengan perangai pemandunya yang gemar membunyikan hon sesuka hati.

Justeru, wujud usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan bunyi hon dalam kalangan pemandu di Mumbai sekali gus menjamin ketenangan bandar itu daripada pencemaran bunyi.

Misalnya, seorang jurutera, Jayraj Salgaonkar membangunkan sistem meter hon oren bertujuan mendidik pemandu agar tidak menekan hon sesuka hati.

Beliau yang juga aktivis antipencemaran bunyi berkata, oren merupakan sebutan penduduk tempatan yang merujuk kepada perkataan hon.

"Fungsi sistem meter ini adalah mudah. Sekiranya pemandu menekan hon melebihi had tertentu, lampu belakang kenderaan akan berkelip-kelip dan pemandu boleh disaman oleh polis trafik," ujarnya.

Jayraj memberitahu, pemandu akan diberi amaran melalui elaun hon yang berupa kad berwarna hijau, kuning dan merah. Elaun hon ini boleh ditambah seperti fungsi telefon prabayar.

Beliau berharap agar pihak berkuasa menggunakan sistem tersebut. Kini, beliau sedang membangunkan projek keduanya iaitu Program Bleep bersama rakannya, Mayur Tekchandaney.

Butang kecil

Dalam pada itu, Tekchandaney memberitahu, komponen utama Program Bleep ialah butang kecil berwarna merah yang diletakkan pada papan pemuka kereta.

Butang itu akan mengeluarkan bunyi bip yang berkelip-kelip bermakna pemandu telah menekan hon berlebihan.

Sistem ini telahpun diuji selama enam bulan terhadap 30 pemandu dan berjaya mengurangkan kira-kira 61 peratus perlakuan menekan hon dalam kalangan pemandu.


SELAIN kesesakan jalan raya, bunyi hon kenderaan menjadi punca utama pencemaran bunyi di Mumbai saban hari.


"Ia memberi manfaat kepada pemandu lain di jalan raya dan masyarakat secara amnya. Bunyi hon juga mewujudkan gangguan kepada pemandu," jelasnya.

Matlamat projek-projek tersebut mungkin merupakan cita-cita tinggi di negara yang tabiat membunyikan hon adalah perkara biasa.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antipencemaran bunyi turut melakukan kempen menerusi pengedaran pelekat dengan mesej seperti Horn OK Please dan Blow Horn.

Mesej serupa turut dilukis berwarna-warni menggunakan cat di belakang trak dan lori.

Pencemaran bunyi bising makin ketara apabila jumlah kenderaan yang bertumpu di kawasan padat Mumbai meningkat.

Dianggarkan sebanyak 900,000 kereta, 10,000 bas dan dua juta motosikal berada di jalan raya bandar yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk itu.

Kesesakan perkhidmatan keretapi juga menjadi penyebab penduduk tidak memilih menggunakan pengangkutan awam.

Pakar pengangkutan, Ashok Datar memberitahu, bunyi hon bukan sahaja membuatkan orang ramai sakit hati tetapi juga mewujudkan masalah kesihatan akibat tekanan.

Penyakit

"Selain hon, gabungan projek pembinaan dan perayaan keagamaan yang disambut dengan dentuman bunyi bunga api dan mercun memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Difahamkan, bacaan tahap bunyi di kawasan yang sibuk di Mumbai melebihi 85 desibel (dB) dan ia melanggar had yang disyorkan oleh pakar-pakar kesihatan iaitu 45 hingga 55 dB.

Kesan ini dipercayai turut menyumbang kepada punca penyakit hipertensi, kehilangan pendengaran dan sakit jantung di bandar itu.

Selain Mumbai, penduduk di bandar lain di India turut berhadapan masalah sama.

Misalnya, terdapat kumpulan yang berkempen di jalan raya di New Delhi beberapa kali sebulan dengan menampal pelekat Jangan Hon pada kereta mereka.

Penduduk di Selatan Bangalore pula telah melancarkan Kempen Tidak Menekan Hon. Kempen itu turut mendapat sokongan seorang pemain kriket India, Rahul Dravid.

Melalui kempen itu, pemandu berikrar untuk tidak membunyikan hon. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Cari harta karun dalam kapal persiaran

Posted:

Cari harta karun dalam kapal persiaran

Cari harta karun dalam kapal persiaran

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

KAPAL persiaran CTP mampu memuatkan sehingga 120 penumpang dalam satu-satu masa.


SORAKAN semangat dan tawa girang sekumpulan kanak-kanak berkumandang di Marina Putrajaya ketika menanti giliran masing-masing menaiki kapal persiaran Cruise Tasik Putrajaya (CTP).

Keterujaan itu jelas terpancar di wajah 166 murid dari Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam apabila menyaksikan sendiri dua buah kapal persiaran iaitu Sebarau dan Kelah 'menunggu' kedatangan mereka.

Majoriti murid-murid berusia 11 tahun itu pernah menjejakkan kaki ke Putrajaya, bagaimanapun menyaksikan keindahan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut dengan menyusuri Tasik Putrajaya seluas 650 hektar itu merupakan satu pengalaman baharu.

Pelayaran selama kira-kira dua jam itu bukan sahaja sebuah pelayaran yang menjanjikan panorama seperti monumen di sekitar Putrajaya, malahan merupakan pelayaran ilmiah mengenai pusat pentadbiran negara yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Pendekatan CTP adalah melalui penganjuran Cruise&Hunt yang menawarkan aktiviti permainan cari harta karun membabitkan empat misi berkaitan sejarah Putrajaya dan negara secara amnya.

Atas faktor kapasiti, semua murid dibahagikan kepada dua kumpulan melibatkan kira-kira 80 murid untuk sebuah kapal persiaran.

Setiap kapal persiaran hanya mampu memuatkan seramai 120 orang dalam satu masa.

Selepas kesemua murid termasuk sembilan guru pengiring mengambil tempat duduk masing-masing, petugas CTP memulakan program dan bertindak sebagai fasilitator.


WAJAH keriangan jelas terpancar di setiap wajah peserta sepanjang mengikuti program Cruise&Hunt.


Mencipta identiti

Perkara pertama yang dilakukan fasilitator ialah pembahagian kumpulan melibatkan kira-kira lapan kumpulan yang diwajibkan mencipta identiti kumpulan menggunakan nama ikan air tawar.

Tanpa melengahkan masa jari-jemari setiap murid pantas mencari nama ikan air tawar melalui laman carian Google.

"Cepat cari nama kumpulan, nanti kita kalah," teriak Harris Syamil Ismail dari kelas 5 Bumi kepada ahli kumpulannya.

Sering berkunjung ke Putrajaya bersama keluarga, Harris Syamil berkata, kunjungannya dalam program tersebut bersama rakan-rakan menyuntik pengalaman yang berbeza.

"Program yang dianjurkan CTP ini sangat menarik dalam usaha memperkenalkan Putrajaya kepada kami semua. Aktiviti permainan dan cabaran yang disediakan juga mengujakan kami.

"Sebelum mengikuti program ini, apa yang terbayang di fikiran saya ialah seorang konduktor akan berdiri di hadapan dan menceritakan bangunan di sekitar tasik.

"Ia nyata meleset, malah setiap monumen yang terdapat di sekitar tasik diperkenalkan melalui kuiz dan misi," ceritanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pelayaran itu diisi dengan aktiviti berkumpulan dan individu sambil sesekali mereka dibenarkan menghayati panorama di Putrajaya.

Selain misi suai padan, terdapat juga misi mencari perkataan tersembunyi, misi pengetahuan sejarah Malaysia dan Putrajaya.

Antara monumen yang dapat disaksikan ialah Putra Perdana, Istana Darul Ehsan, Jambatan Putra, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.

Fasilitator turut bersama dengan murid dalam membantu melunaskan setiap misi dan bertindak sebagai pakar rujuk sepanjang aktiviti itu berlangsung.

Sebagai fasilitator, tugas mereka ialah memastikan setiap peserta menyempurnakan misi yang diberi selain menceritakan beberapa lokasi menarik di Putrajaya.

Malah fasilitator turut mengambil peluang untuk menerapkan unsur mencintai negara. Antara perkara yang dikongsi ialah cita-cita murid-murid dan tugas sebagai pemimpin negara.


KANAN: Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk merakamkan momen indah dari dek kapal persiaran ini.


Pengetahuan

Ia termasuk menguji para peserta mengenai pengetahuan am seperti isu terkini yang berlaku dalam negara.

Selepas 30 minit, murid-murid tiba di Monumen Alaf Baru bagi menyelesaikan misi melibatkan sejarah penting Malaysia bermula sebelum tahun 1957 sehingga tahun 2020.

Kesemua peserta bertempiaran lari bagi mengisi jawapan bagi setiap soalan. Tempoh yang diberikan hanyalah 15 minit membuatkan kesemua peserta tidak tentu arah.

Monumen tersebut yang turut dikenali sebagai Tugu Milenium mempunyai ketinggian 68 meter menjadi medan bertempur para murid ketika menghadapi cabaran.

Setelah kembali ke kapal persiaran, 80 murid diberikan peluang untuk berlegar di dek kapal persiaran.

Peluang yang jarang diperoleh itu dihabiskan sepenuhnya untuk merakamkan foto indah berlatarbelakangkan pemandangan Putrajaya.

Apatah lagi, suasana Putrajaya yang sedikit redup disambut pula dengan hembusan angin yang mendamaikan. Ia umpama sebuah pelayaran mewah yang penuh eksklusif.

Yasmin Alya Badrul Rezal, 11, sempat berseloroh berjanji untuk memaksa ibu bapanya berkunjung lagi di kapal persiaran itu.

"Selepas balik ke rumah nanti, saya akan 'paksa' mereka ke sini. Lagipun, jarak perjalanan antara Putrajaya dan Shah Alam tidak begitu jauh.

"Harga yang ditawarkan untuk mengikuti pakej atau menaiki kapal persiaran juga tidak begitu mahal" ujar murid kelas 5 Utarid itu.

Katanya, mempelajari Putrajaya melalui permainan dan misi seperti mencari harta karun adalah lebih menarik berbanding monumen tersebut diperkenalkan oleh pemandu pelancong.

"Banyak ilmu yang saya peroleh terutama melibatkan sejarah Malaysia dan Putrajaya. Saya mempunyai cita-cita untuk membina daerah seakan-akan Putrajaya sekiranya bergelar pemimpin kelak," katanya yang meminati mata pelajaran Sejarah.

Menyayangi

Sementara itu, Penyelaras Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Datin Nor Zaiton Hussein berkata, pemilihan Putrajaya bersesuaian dengan konsep lawatan sambil belajar.

Kesemua murid yang juga merupakan anak didik Program Menuju Puncak Tahun 5 perlu mengenali dan menyayangi Putrajaya sebagai pusat pemerintahan negara.

"Pada pendapat kami generasi muda perlu menghargai dan menyayangi Putrajaya sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Pusat.

"Putrajaya telah banyak memberikan sumbangan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana di sini mempunyai pelbagai kementerian yang menjaga kebajikan rakyat.

"Sebagai warga pendidik, ia adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka mengenali Putrajaya secara lebih dekat," katanya.

Ujarnya lagi, Cruise&Hunt dipilih kerana ia menawarkan pengetahuan mengenai Putrajaya dengan pendekatan yang menyeronokkan.

"Kaedah pengajian dalam kelas kadangkala membosankan. Oleh itu, program ini berbeza daripada kaedah pembelajaran dalam kelas," tuturnya.

Ritual kesyukuran di Pulau Sumba

Posted:

Ritual kesyukuran di Pulau Sumba

Ritual kesyukuran di Pulau Sumba


PERTARUNGAN antara penduduk dalam ritual Pasola pernah mengorbankan beberapa nyawa.



KUDA akan dimandikan di sungai berdekatan Kampung Ratenggaro sehari sebelum ritual Pasola.





DUA kumpulan dari puak yang sama sedang menunggang kuda. Kelihatan lembing yang diperbuat daripada buluh berada di genggaman tangan mereka. Ia merupakan rutin biasa dalam ritual yang diamalkan oleh penduduk di Kampung Ratenggaro, Pulau Sumba, Indonesia.

Ritual yang bertujuan untuk memohon kepada tuhan mereka agar mendapat kemakmuran dan kejayaan ketika menuai padi itu mendapat sorakan daripada penonton.

Pemain kemudiannya mencapai parang mereka dan menyambar pihak lawan dari jarak dekat. Akibat perbuatan itu, pengadil memberi amaran kepada pemain kerana bermain secara kotor.

Sambil menonton ritual itu, penonton mengunyah sireh sehingga mulut mereka kelihatan berwarna merah.

Masyarakat Sumba yang menganut kepercayaan Marapu atau ajaran para leluhur sentiasa melakukan upacara dan perayaan ritual.

Salah satu ritual dan acara tahunan mereka ialah Pasola yang bermaksud lembing dan dianjurkan pada bulan Februari dan Mac di Sumba Barat yang merupakan pulau yang terletak di tengah-tengah Kepulauan Indonesia.

Secara tradisional, ritual itu merupakan simbolik kepada pengorbanan manusia apabila puak tersebut berusaha untuk menumpahkan darah lawan mereka di kawasan padang.

Peserta yang terlibat dalam ritual yang melibatkan pertarungan olok-olok dan kebiasaannya mereka tidak mengalami kecederaan teruk. Namun, terdapat sebilangan kes kematian akibat kemalangan semasa ritual itu dijalankan.

Ritual yang berlangsung baru-baru ini telah menarik kehadiran seramai 10 orang pelancong asing ke Ratenggaro. Kebiasaannya, dianggarkan seramai 100 orang pelancong hadir dalam acara berskala lebih besar.

Pegawai-pegawai di kawasan tersebut berharap ritual tahunan itu berupaya meningkatkan ekonomi pulau yang didiami oleh penduduk miskin. Kebanyakan penduduk menyara kehidupan mereka dengan menanam padi, jagung dan menganyam rotan.

Tarikan utama

Menurut Lembaga Pelancongan Wilayah Nusa Tenggara Timur yang turut meliputi kawasan Sumba, Bona Fantura Rumat, ritual berkuda itu merupakan satu tarikan utama dan berpotensi besar untuk pembangunan kawasan itu.

Sumba terkenal kerana pantainya bersih, laut biru dan kampung-kampung tradisional. Dianggarkan seramai 2,500 pelancong berkunjung ke Sumba tahun lalu. Pusat pelancongan terkenal iaitu Pulau Bali yang berdekatan dengan Sumba pula berjaya menarik kunjungan kira-kira tiga juta pelancong.

Tambah Rumat, pihaknya sedang merangka cadangan untuk mempromosikan ritual Pasola. Selain itu, pihaknya juga akan meningkatkan kemudahan infrastruktur dengan membina jalan raya yang lebih baik.

Jelasnya, lebih banyak penerbangan ke pelbagai destinasi di Indonesia juga merupakan langkah terbaik untuk memudahkan pelancong mengunjungi Sumba. Usaha itu seperti yang dilakukan di Darwin yang terletak di Utara Australia.

Upacara ritual yang dijalankan telah disesuaikan untuk memudahkan penerimaan para pelawat yang menyaksikan acara itu.

Mengikut tradisi asal, ritual itu akan berakhir dengan pertumpahan darah manusia dan kuda. Ia merupakan satu penghormatan besar bagi penduduk tempatan yang mati semasa mengambil bahagian dalam ritual itu.

Dalam upacara ritual itu baru-baru ini, tiada insiden buruk yang melibatkan kecederaan fizikal dilaporkan. Penduduk kampung kini menggunakan darah haiwan yang dikorbankan. Mereka juga tidak lagi mencampurkan darah manusia dan haiwan untuk tujuan ritual itu seperti yang dilakukan pada masa lampau.

Sebelum upacara Pasola, lelaki yang tinggal di pondok gelap akan memenggal kepala ayam dan menyimpan darah haiwan itu dalam baldi dan dibacakan jampi serapah.

Anjing dan khinzir yang telah dikeringkan darahnya kemudiannya dipanggang. Selepas itu, haiwan itu dimakan beramai-ramai selepas perayaan. Lembing ditumpulkan dan pemegang besi ditanggalkan semasa acara itu.

Anggota polis di Ratenggaro lengkap bersenjatakan senapang untuk memastikan bahawa tiada yang maut semasa upacara itu dijalankan. Namun, masih berlaku pergaduhan.

Cacing

Terdapat juga perubahan dalam perancangan upacara itu. Mengikut tradisi, ritual itu akan dimulakan selepas beberapa jenis cacing laut berenang ke pantai. Ia merupakan simbolik yang menandakan tamatnya musim hujan dan permulaan penanaman untuk pertanian.

Namun, golongan tua dewasa ini memutuskan tarikh sehari lebih awal agar pelancong mempunyai masa yang cukup untuk merancang perjalanan mereka ke pulau itu.

Penduduk boleh mengutip cacing lebih banyak dan mereka percaya, sekiranya cacing masih hidup maka, semakin baik hasil tanaman mereka. Selain itu, cacing laut yang berwarna biru dan hijau berlendir itu turut dimasak bersama kek pai.

Walaupun berlaku perubahan, kebanyakan penduduk Sumba percaya upacara Pasola masih mempunyai pengisian rohani yang tinggi.

Ketua Kampung Ratenggaro, Agustinus Pandak memberitahu, sekiranya ada peserta yang mengambil bahagian dalam upacara Pasola dengan hati yang tidak bersih, nescaya ada keburukan akan menghantui mereka.

"Sekiranya terjatuh dari kuda, mereka pasti akan dipukul dengan lembing. Namun, itu tidak akan terjadi sekiranya penunggang lain datang secara aman dan bermain dengan hatinya penuh dengan kasih sayang," ujarnya yang memakai kain tenunan berwarna oren diikat di kepalanya.

Tambah Agustinus, dia amat gembira dengan langkah menarik kedatangan pelancong untuk menyaksikan upacara Pasola.

Bagi kebanyakan pelancong asing yang berkunjung ke Sumba, kemunduran industri pelancongan di pulau itu merupakan antara faktor yang menjadi kesukaan mereka.

Seorang backpakers dari Sweden, Christoffer Kullman, 26, berharap sekiranya industri pelancongan berkembang, cara hidup tradisional mereka dikekalkan.

Pengembaraan Christoffer ditemani rakannya, Linus Strandholm dan mereka merasai pengalaman menyertai upacara Pasola versi moden.

Bagaimanapun, Christoffer menerima nasib malang apabila terkena balingan lembing dan batu.

"Batu yang terkena kepala, saya simpan sebagai cenderamata untuk dibawa pulang," tambahnya. - AFP

Pukauan aksi Tony Hawk

Posted:

Pukauan aksi Tony Hawk

Pukauan aksi Tony Hawk

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


TONY HAWK turut berkongsi pengalamannya dalam arena sukan papan selaju kepada kanak-kanak MESA.


KETIBAAN Tony Hawk di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada pemain papan luncur tempatan.

Tanpa menunggu lama, legenda berusia 46 tahun itu terus beraksi di kawasan gelanggang papan luncur di kompleks itu. Kebanyakan aksi yang dilakukan pada bahagian palang dan tanjakan gelanggang itu ternyata berjaya memukau pandangan setiap penonton yang hadir.

Penonton dihidangkan dengan aksi Kickflip, Nosegrind dan Pop Shove-it yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Namun, aksi Mute Invert menjadi skil yang ditunggu-tunggu oleh penonton dan pengunjung.

"Melihat Tony Hawk beraksi di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Apatah lagi saya diberi peluang untuk beraksi di satu gelanggang dengan beliau," ujar Johary Fitry Khairudin, 41.


PELUANG menyaksikan Tony Hawk beraksi merupakan impian setiap pemain papan selaju tempatan.


Kagum

Johary atau lebih dikenali dengan nama Joe Ipoh dalam arena papan selaju tempatan dan antarabangsa merupakan antara individu yang bermain papan selaju bersama Tony Hawk.

Selain dapat melihat idolanya beraksi secara langsung, Johary juga ternyata kagum dengan stamina Tony Hawk sewaktu bermain papan selaju.

"Beliau terus bermain papan selaju dengan melakukan pelbagai aksi dengan sempurna walaupun tidak melakukan sesi memanaskan badan. Ia menunjukkan bahawa papan selaju sudah sebati dengan dirinya. Walaupun fokus ketika bermain, saya sempat berbicara dengannya mengenai sukan ini," ujarnya yang juga pengasas jenama produk papan selaju tempatan, The G Hard.

Kehadiran Tony Hawk yang terkenal sebagai pemain papan selaju pertama di dunia yang berjaya melakukan aksi akrobatik The 900 ke ibu negara baru-baru ini berikutan jemputan untuk menghadiri Anugerah Sukan Dunia Laureus ke-15.

Bersempena dengan acara itu, Tony Hawk sempat meluangkan masa untuk menghadiri klinik papan selaju bersama kanak-kanak daripada Persatuan Sukan Ekstreme Malaysia (MESA).

Selain bermain papan selaju bersama kanak-kanak, Tony Hawk juga menceritakan serba sedikit pengalamannya selama 37 tahun dalam arena sukan tersebut.

JOHARY


Berkongsi

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, beliau amat gembira kerana dapat bertemu dengan pemain papan selaju muda yang ternyata bersemangat dalam sukan tersebut.

"Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke Malaysia. Walaupun dalam jangka masa yang singkat, pelbagai perkara teori dan praktikal mengenai sukan papan selaju dapat dikongsi. Saya juga mempunyai anak-anak. Saya membesarkan mereka dengan sukan ini.

"Momen indah sepanjang kerjaya saya sebagai pemain papan selaju profesional ialah berada di sisi kanak-kanak dan berkongsi pengetahuan," ujarnya ketika ditanya oleh kanak-kanak dalam sesi soal jawab bersama mereka.

Beliau yang terkenal dengan gelaran The Birdman juga memberi kata-kata motivasi terutama tip latihan eksklusif kepada kanak-kanak agar tidak mudah patah semangat dalam sukan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi jaguh tempatan, Mohd. Fikry Zulkifly, 28, atau lebih dikenali dengan nama jolokan Usher berpendapat, aksi yang dilakukan Tony Hawk semasa bermain menjadi inspirasi kepada setiap pemain papan luncur di seluruh dunia.

"Dalam usia 46 tahun, beliau masih berjaya melakukan aksi persis yang saya tonton dalam internet dan permainan video sewaktu kanak-kanak. Bagi saya, masih tiada pemain papan selaju lain yang dapat menandingi beliau," ujarnya yang sudah bermain papan selaju sejak 20 tahun lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sah isyarat daripada kotak hitam

Posted:

Sah isyarat daripada kotak hitam

Sah isyarat daripada kotak hitam

HOUSTON (kiri) dan Leavy ketika bercakap pada sidang akhbar di Perth semalam.


PERTH - Pakar-pakar di Australia dan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa isyarat detik yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi merupakan peranti buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi lautan, demikian menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

Ketua Penyelarasnya, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata, pakar dari Pusat Analisis Akustik Bersama Australia (AJACC) di New South Wales dan pengeluar kotak hitam di Amerika Syarikat mengesahkan bahawa isyarat 33.31 kilohertz itu adalah daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang daripada kotak hitam pesawat MAS penerbangan MH370.

"Dua isyarat yang dikesan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield ialah pada pukul 4.27 petang dan 10.17 malam semalam," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan usaha menjejaki pesawat MAS MH370 di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Keluarga tunggu khabar sah MH370

Posted:

Keluarga tunggu khabar sah MH370

Keluarga tunggu khabar sah MH370

PUTRAJAYA - Ahli keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 berharap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjalankan penelitian secara berterusan terhadap isyarat 33.31 kilohertz (kHz) yang disahkan daripada kotak hitam penerbangan bagi merungkai misteri kehilangan MH370.

Mohamad Shahril Saari, 36, yang merupakan sepupu kepada Mohd. Razahan Zamani, 23, berkata, isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi itu penting dan berharap agar pasukan SAR berjaya menemui kotak hitam tersebut.

"Seluruh ahli keluarga tertunggu-tunggu dengan gelisah untuk mengetahui apa sebenarnya yang menimpa MH370 dan mahu mengetahui nasib penumpang di dalam pesawat itu.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat membuat pengesahan sama ada isyarat tersebut datang daripada kotak hitam MH370 atau sebaliknya," kata Mohamad Shahril ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam, pakar-pakar di Australia dan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa isyarat detik yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi datang daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa belum dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang daripada kotak hitam pesawat malang MH370.

Mohd. Razahan dan isterinya, Norli Akma Hamid, 33, adalah antara 239 penumpang MH370 yang hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada pukul 12.41 tengah malam.

Mohamad Shahril memberitahu, keluarganya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi dengan penemuan terbaharu itu sebaliknya mahu menunggu petunjuk yang lebih kukuh berkaitan pesawat MH370 itu.

Dalam pada itu, Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd. Khairul Amri, 29, pula memberitahu, pihaknya menerima takdir sekiranya isyarat tersebut sah milik pesawat MH370 yang sekali gus dapat menyelesaikan penantian mereka.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Maut dibelasah lelaki mabuk

Posted:

Maut dibelasah lelaki mabuk

Maut dibelasah lelaki mabuk

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


KEADAAN mayat Ameer yang ditemui di tepi laut berhampiran Ocean View, Sungai Pinang, George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Seorang remaja ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai dipukul dengan topi keledar oleh sekumpulan empat lelaki mabuk di tepi laut berhampiran Ocean View, Sungai Pinang di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Ameer Mustaqim Naharudin, 19, yang bekerja sebagai tukang cuci di Universiti Sains Malaysia (USM) meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di muka dan kepala.

Difahamkan, insiden berlaku apabila mangsa yang berada seorang diri di situ telah menegur kesemua suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketika kejadian, terdapat sekumpulan tiga lelaki lain yang turut berada berhampiran lokasi kejadian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif

Posted:

Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif

Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif

Oleh ZAKI SALLEH

USM-IWK berkolaborasi untuk mengajak masyarakat bersama-sama peka terhadap pemeliharaan alam sekitar.


TIDAK keterlaluan jika diberitahu program Pameran Pengiklanan Pemenang Anugerah (Adwave) anjuran pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memang cukup disegani.

Setiap tahun, Adwave mengangkat tema yang berbeza sebagai fokus kempen pengiklanannya. Sebagai contoh, revolusi media baharu, pelancongan domestik, silang budaya dan semangat cintakan tanahair.

Kali ini, Adwave berkolaborasi dengan Indah Water Konsortium (IWK) dengan misi untuk mengetengahkan idea paling kreatif tetapi sarat dengan mesej positif.

Memasuki penganjuran ke-17, Adwave edisi 2014 memilih isu alam sekitar iaitu kepentingan terhadap sumber air menerusi pertandingan video viral.

Buat julung- julung kali, pertandingan tersebut boleh disertai seluruh rakyat Malaysia dalam menzahirkan idea dan kreativiti mereka terhadap isu kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.

Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, penyertaan kempen Adwave kali ini tidak terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja tetapi turut dibuka kepada orang awam.

Pastinya juga hadiah keseluruhan wang tunai RM15,000 yang ditawarkan cukup lumayan beserta trofi dan sijil penghargaan kepada pemilik video viral yang dinobat sebagai pemenang.

Video terbaik

Setiap karya yang terpilih akan digunakan IWK dalam mempromosikan kempen pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Jamilah Ahmad berkata, matlamat kempen pengiklanan ini menepati dengan aspirasi USM yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Katanya, penganjuran dengan kerjasama penuh IWK adalah manifestasi terhadap fokus utama kedua-dua pihak dalam mewariskan alam sekitar yang lebih baik kepada generasi akan datang.

"USM menerusi Adwave komited dalam memberi kefahaman berkenaan usaha untuk meningkatkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Jika sebelum ini fokus kempen Adwave hanya kepada para pelajar IPT, kini ia telah berkembang kepada masyarakat dengan skop yang lebih meluas," ujarnya.


TINDAKAN tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai menyebabkan hayat sumber air ini kritikal.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Adwave 2014 di kampus universiti itu baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengurus Penjenamaan, Komunikasi Pemasaran dan Penerbitan IWK, Shebley Haslan Abdul Majid.

Pertandingan klip video viral bertemakan Perang Dunia Y: Generasi Y Meneruskan Usaha Generasi X dalam Memperjuangkan Kelestarian Alam Sekitar itu telahpun bermula Mac lalu.

Setiap peserta perlu menghasilkan video kreatif berdurasi antara tiga hingga lima minit berunsurkan elemen kelestarian dan peranan kritikal IWK dalam memelihara alam sekitar.

Selain pertandingan video viral, beberapa program sampingan lain akan turut diadakan termasuk jelajah kelestarian di beberapa lokasi tertentu dalam negara termasuk sekolah dan institusi pendidikan, seminar serta pameran.

Kolaborasi

Dalam pada itu, Shebley Haslan memberitahu, penglibatan IWK dalam kempen Adwave menjurus kepada usaha bersama dalam mendekati komuniti di seluruh Malaysia.

Katanya, IWK yang akan menyambut ulangtahun ke-20 turut melihat peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat, dalam masa yang sama memberi kesedaran menjaga khazanah semulajadi untuk generasi akan datang.

"Reputasi Adwave sebagai platform yang terbaik untuk mengangkat idea-idea kreatif ke tahap yang tinggi memang diakui.

"Justeru, kita memberi peluang untuk masyarakat berkarya dan menzahirkan apa yang ada di kotak fikiran mereka berkaitan isu pemeliharaan alam sekitar dan dalam masa inginkan masyarakat bekerjasama dengan IWK," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh diperoleh dengan melayari laman sosial www.facebook.com/adwave2014 atau hubungi Joanne Lim di talian 014-3230188 dan Teo Xsu Ting (016-4001525).

Salju Rindu terbit selepas 15 tahun

Posted:

Salju Rindu terbit selepas 15 tahun

Salju Rindu terbit selepas 15 tahun

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


NOVEL Salju Rindu disiapkan selepas 15 tahun disimpan oleh AC Jaffrie.


SELEPAS 15 tahun mengasingkan diri dari dunia penulisan, Jaffri Md. Yatim, 48, atau nama penanya, AC Jaffrie kembali dengan kemunculan novel terbaharu berjudul Salju Rindu.

Selama tempoh itu, AC Jaffrie bekerja sendiri di kampung halamannya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Kini, beliau sedang mengikuti kursus Penulisan Skrip Drama TV/Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur secara jarak jauh sejak bulan Mac lalu bagi mengembangkan bakatnya.

Sejak di bangku sekolah menengah, AC Jaffrie cukup meminati mata pelajaran bahasa Melayu dan gemar membaca buku cerita. Kemudian, bakatnya mula dikesan melalui penulisan puisi dan cerpen atas tujuan sekadar ingin mencuba.

"Apabila karya-karya saya mula tersiar di akhbar mingguan tabloid, Suara Melaka, Radio Melaka dan majalah universiti, minat dalam dunia penulisan semakin mendalam.

"Kemenangan dalam sayembara penulisan puisi dan cerpen di peringkat universiti pula terus menyemarakkan minat dalam bidang ini," ujarnya yang berjaya menghasilkan tiga novelet remaja dan satu set cerita kanak-kanak sepanjang empat tahun menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar lewat tahun 1980-an.

Latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan dan bukan sastera tidak menghalangnya untuk terus berkarya lebih-lebih lagi apabila mendapat dorongan daripada penulis tersohor negara iaitu Dr. Othman Puteh dan Raja Sabaruddin Abdullah.

Menyingkap kisah yang diangkat dalam novel Salju Rindu, tiga bab terawal sebenarnya dihasilkan kira-kira 15 tahun lalu dan AC Jaffrie mengambil masa enam bulan bagi menyambung semula pengakhiran novel ini. Ketika ditanya mengapa terlalu lama karya tersebut dipendam, beliau terpaksa mengorbankan minat disebabkan tanggungjawab untuk menjaga orang tuanya yang uzur.


ANTARA novelet terawal karya AC Jaffrie yang diterbitkan sekitar tahun 1990-an.


Tema

Novel setebal 749 muka surat itu mengupas tentang tema kekeluargaan yang disulam dengan kisah cinta sesama insan. Baginya, hidup manusia memang tidak boleh lari dengan falsafah cinta kerana hidup akan terasa kosong tanpa elemen kasih sayang.

Novel terbitan Karystos Creative Sdn. Bhd. tersebut mengisahkan sebuah keluarga yang berantakan angkara orang ketiga yang mahu mengambil kesempatan atas kesusahan yang dialami. Kehidupan yang dikuasai nafsu membuatkan manusia cenderung memilih wang sebagai paksi dalam kehidupan.

Pergolakan hidup Manissa berlaku apabila dia dihimpit masalah dari segenap penjuru. Gadis malang itu merupakan anak kepada Datuk Zulkiflie yang sudah berusia, namun menjalin hubungan dengan pekerja wanita di pejabat.

Manissa semakin hilang perhatian daripada kedua-dua orang tuanya selepas ibunya, Datin Sharifah Maimun pergi membawa diri ke tempat lahirnya jauh di Kota London.

Akhirnya, Manissa memilih jalan hitam bagi mencorakkan perjalanan hidupnya. Dia menyara hidup dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan di sebuah kelab malam namun tidak bertahan lama dan nekad untuk pergi jauh dari Kuala Lumpur demi mencari ketenangan.

Kehidupan Manissa yang terumbang-ambing seakan-akan kembali pulih selepas bertemu kembali dengan seorang wartawan akhbar, Luqman Adzlie yang pernah membongkar kes tidak bermoral gadis muda di kelab-kelab malam sekitar ibu kota.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang kesudahan novel ini, ia boleh dibeli di kedai-kedai buku utama negara pada harga RM30 (Semenanjung Malaysia) dan RM33 (Sabah/ Sarawak) senaskhah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Jokowi minta mandat rakyat Indonesia

Posted:

Jokowi minta mandat rakyat Indonesia

Jokowi minta mandat rakyat Indonesia

JOKOWI (tengah) dikelilingi oleh penyokongnya ketika berkempen di Cilegon, dalam wilayah Banten pada 28 Mac lalu.


JAKARTA - Gabenor bandar raya ini yang merupakan calon popular untuk memenangi pilihan raya Presiden Indonesia Julai depan, Joko Widodo menggesa rakyat negara itu memberi kemenangan besar kepada partinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P)

"Kenapa kami mahu menang besar?" kata pemimpin berusia 52 tahun itu yang meminati muzik heavy-metal di hadapan 2,000 penyokongnya semasa berkempen di Malang baru-baru ini.

"Kerana jika kita mempunyai Parlimen yang kuat, Presidennya akan juga kuat. Kurus tetapi kuat (dirinya).

Para pengundi di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu akan keluar mengundi pada pilihan raya umum Indonesia (Pemilu) yang diadakan hari ini bagi memilih anggota-anggota Parlimen.

Calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya Presiden, 9 Julai depan akan dipilih bergantung kepada keputusan Pemilu.

Dalam siri temu bual selama sebulan bersama beberapa pegawai dan ahli politik yang pernah bekerja dengan Joko, mereka menganggap beliau sebagai seorang pemimpin yang mahir berpolitik selain mempunyai reputasi bersih dalam sebuah negara yang dibelenggu gejala rasuah.

Di Indonesia gabenor berkenaan lebih dikenali dengan panggilan Jokowi

Jokowi juga disukai oleh rakyat kerana beliau kerap turun padang untuk meninjau dan berusaha menyelesaikan masalah warga kota raya ini.

Walaupun beliau disebut-sebut sebagai pemimpin yang bakal menggantikan Susilo, Jokowi masih belum mengumumkan dasar untuk mentadbir Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara.

"Jokowi perlu membentang buah fikiran, jalan penyelesaian atau dasar-dasar yang bakal dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah-masalah sukar yang dihadapi negara ini," kata Susilo dalam satu wawancara yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube Ahad lalu.

Jokowi, 52, yang dilihat sebagai antara pemimpin era baharu menawarkan corak kepimpinan berbeza daripada barisan muka lama yang mendominasi politik Indonesia selepas 16 tahun negara itu mengamalkan pemerintahan demokrasi susulan kejatuhan Presiden Suharto.

Mengulas gesaan Susilo, Jokowi dan PDI-P memberitahu bahawa pendedahan dasar-dasar berkenaan hanya akan dibuat selepas pemilu selesai.

Sebuah parti atau gabungan parti politik memerlukan 20 peratus kerusi daripada sejumlah 560 kerusi Dewan Rendah Parlimen atau 25 peratus undi nasional untuk layak sebagai calon pilihan raya Presiden Indonesia.

Antara parti politik utama yang menyertai pemilu kali ini termasuk Parti Golkar pimpinan Susilo, PDI-P, Parti Gerindra yang diterajui oleh Profesor Suhardi dan Parti Hanura yang diketuai Jeneral (Bersara) Wiranto.

Seramai 185 juta pengundi dijangka keluar mengundi pada pilihan raya berkenaan hari ini yang melibatkan pertandingan 12 parti politik dengan keputusan rasmi dijangka diketahui 15 April ini. - Agensi

Ukraine tuduh Rusia dalang perpecahan

Posted:

Ukraine tuduh Rusia dalang perpecahan

Ukraine tuduh Rusia dalang perpecahan


PENUNJUK perasaan pro-Moscow berkawal di sekatan yang dibina di bangunan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine di Donetsk kelmarin. - AFP


KIEV - Polis menahan 70 orang yang menawan sebuah bangunan pentadbiran wilayah di timur Ukraine tetapi sejumlah penunjuk perasaan pro-Moscow masih bertahan di dua bandar lain di negara itu.

Perkembangan membimbangkan itu mendorong kerajaan Ukraine menuduh Rusia mendalangi percubaan untuk memecahkan negara tersebut.

Kiev menyatakan, rampasan bangunan awam di kawasan yang dihuni majoriti penduduk berbahasa Rusia di timur Ukraine pada Ahad lalu itu mengimbau kembali peristiwa wilayah Crimea yang dirampas oleh Rusia pada bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov memberitahu semalam bahawa kira-kira 70 anggota pemisah ditahan di bandar Kharkiv kelmarin.

Namun, beliau tidak memberi butiran terperinci mengenai operasi antipengganas yang dilancarkan bagi menawan kembali bangunan di Kharkiv itu tetapi berkata, dua anggota polis cedera akibat terkena letupan grenad.

Dalam pada itu, Rusia menafikan dakwaan Ukraine bahawa ia terlibat dalam kekacauan di negara berkenaan.

Namun, Moscow memberi amaran kepada Kiev supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penduduk Ukraine yang berbahasa Rusia.

Terdahulu, pasukan tempur khas Ukraine yang berseragam dan lengkap bersenjata berkawal di hadapan bangunan kerajaan yang dirampas semula kelmarin.

Dalam pada itu, kumpulan penunjuk perasaan pro-Rusia yang menawan bangunan kerajaan di Luhansk dan Donetsk menuntut supaya satu pungutan suara seperti yang pernah berlangsung di Crimea diadakan di wilayah mereka.

Pungutan suara tersebut bertujuan untuk memberi pilihan kepada penduduk tempatan sama ada untuk berpisah daripada Ukraine dan menyertai Rusia.

"Satu komplot anti-Ukraine sedang dilancarkan disusuli oleh tindakan tentera asing (Rusia) menyeberangi sempadan dan merampas wilayah negara ini," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk ketika berucap di Parlimen.

"Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku," tambahnya.

Sementara itu, agensi berita Itar-Tass memetik Timbalan Perdana Mneteri Ukraine, Vitaly Yarema sebagai berkata, pihak berkuasa tidak akan menyerbu bangunan kerajaan yang ditawan oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas rundingan diadakan di Donetsk melibatkan kumpulan penunjuk perasaan itu dan ahli perniagaan tempatan Rinat Akhmetov. - Reuters

Bot berisi 1 tan dadah terdampar

Posted:

Bot berisi 1 tan dadah terdampar

Bot berisi 1 tan dadah terdampar


GAMBAR menunjukkan bot berisi bungkusan-bungkusan ganja seberat 1 tan yang terdampar di sebuah pantai popular di Malibu, Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES - Sebuah bot penyeludupan dadah berisi kira-kira satu tan ganja ditemui terdampar di sebuah pantai berhampiran lokasi luncur ombak popular di Malibu, California kelmarin, kata seorang jurucakap sherif wilayah Los Angeles.

Jurucakap berkenaan, Timbalan Sherif Joseph Baclawski berkata, kenderaan air yang dikenali sebagai bot panga itu ditemui di pantai Leo Carillo yang popular dalam kalangan peluncur ombak tempatan.

Menurut Baclawski, sebanyak tiga orang yang dikesan berada dalam lingkungan 800 meter dari bot itu telah ditahan untuk soal siasat.

"Pada kebiasaannya, mereka (penyeludup dadah) mendarat di pantai-pantai terpencil dan pada waktu malam," kata Baclawski.

"Penemuan ini bermakna sesuatu tidak kena berlaku sama ada enjin bot mereka rosak atau mereka kehabisan makanan dan air," tambahnya.

Sejak dua tahun lalu, pihak berkuasa telah menangkap kira-kira 1,300 orang dan merampas lebih 200 kenderaan air serta menemui lebih 61,235 kilogram dadah pelbagai jenis di sepanjang perairan di antara sempadan Mexico dan bandar Rancho Palos Verdes di sini. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pemilu 2014: PDI-P dahului parti lain setakat 6 petang ini

Posted:

Pemilu 2014: PDI-P dahului parti lain setakat 6 petang ini

Pemilu 2014: PDI-P dahului parti lain setakat 6 petang ini

09/04/2014 9:47pm

JAKARTA - Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului 11 parti nasional lain pada Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014 hari ini.

Berdasarkan pengiraan segera daripada beberapa institut kaji selidik mendapati setakat pukul 6 petang ini yang diperoleh agensi berita Antara

dengan kerjasama Radio Republik Indonesia bahawa PDI-P yang dipimpin bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri memperoleh undi sebanyak 17.13 peratus undi.

Parti Golongan Karya (Golkar) di tempat kedua dengan meraih 15.51 peratus undi manakala parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) menduduki posisi ketiga dengan 10.05 peratus.

Parti Demokrat yang dipimpin Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di tempat keempat setelah memperoleh 9.62 peratus dan diikuti Parti Kebangkitan Nasional (PKB - 9 peratus), Parti Persatuan Pembangunan (PPP - 8.15 peratus).

Parti Amanat Nasional (PAN - 7.53 peratus), Parti Nasional Demokrat (Nasdem

- 6.93 peratus), Parti Keadilan Sejahtera (PKS - 6.84 peratus) dan Parti Hati

Nurani Rakyat (Hanura - 6.72 peratus). - Bernama

Lebih 120,000 rakyat Malaysia muflis dari tahun 2007 hingga 2013

Posted:

Lebih 120,000 rakyat Malaysia muflis dari tahun 2007 hingga 2013

Lebih 120,000 rakyat Malaysia muflis dari tahun 2007 hingga 2013

09/04/2014 9:05pm

KUALA LUMPUR - Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan rekod daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, golongan muflis itu meningkat pada setiap tahun sejak 2007 hingga 2013.

Sejumlah 33,570 orang atau 26.54 peratus daripada golongan itu diisytihar muflis dalam tempoh tersebut kerana masalah sewa beli kenderaan.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nancy berkata, beliau mensasarkan pengurangan bilangan muflis di negara ini sebagai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI).

Kerajaan melalui MDI telah mengadakan beberapa program bagi mengawal peningkatan ini dengan memberi pendedahan dan mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan. - Bernama

Kerajaan cadang hutan FRIM dijadikan tapak warisan UNESCO

Posted:

Kerajaan cadang hutan FRIM dijadikan tapak warisan UNESCO

Kerajaan cadang hutan FRIM dijadikan tapak warisan UNESCO

09/04/2014 8:58pm

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang menjadikan hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai salah sebuah tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang tahun 2017.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel berkata, hutan

FRIM harus dipelihara dan dikekalkan sebagai kawasan pelancongan utama negara disebabkan ia merupakan hutan buatan manusia terbesar dan tertua di dunia

"Kawasan hutan berkeluasan lebih kurang 150 hektar ini adalah hutan buatan manusia terbesar dan tertua di dunia.

"Jadi matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan kawasan ini sebagai tapak warisan UNESCO pada tahun 2017 dan pada setiap tahun, seramai 600,000 pelancong mengunjungi kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat FRIM dan menyempurnakan Perasmian Galeri Buluh dan Rotan dengan menanam anak pokok buluh di sekitar galeri di institut itu, di sini hari ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Perkongsian emosi Afgan

Posted:

Perkongsian emosi Afgan

Perkongsian emosi Afgan

OBSESI peminat terhadap bintang pujaan bukanlah perkara yang luar biasa dalam dunia hiburan. Melihat kepada situasi terkini dan perkembangan pesat dunia teknologi, para peminat bebas mengikuti perkembangan artis kegemaran mereka menerusi beberapa platform media sosial dengan mudah walaupun tidak pernah bersua muka.

Bagaimanapun, tidak semua respons yang diberikan kepada selebriti-selebriti itu menerima balasan. Justeru, apabila berpeluang untuk mendekati bintang pujaan mereka dan beramah mesra dengan lebih dekat, kesempatan tersebut terus digunakan tanpa berfikir panjang.

Ketika dijemput untuk menonton konsert Live to Love yang menampilkan penyanyi dari seberang, Afgan baru-baru ini, reaksi peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan tersebut sungguh luar biasa.

Tatkala melihat sosok tubuh penyanyi itu muncul di atas pentas, sorakan dan pekikan peminat khususnya golongan wanita mula memecah sunyi Panggung Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu.

Kegilaan mereka terhadap tuan empunya nama, Afgan Syah Reza, 25, semakin memuncak apabila penyanyi yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu menjemput beberapa orang peminat untuk menyanyi dan menari bersamanya di atas pentas.

Lebih mengejutkan, Afgan rela dipeluk, malah dicium pada bahagian pipi oleh peminat-peminatnya usai menyanyi bersama.

Kongsi rasa

Sewaktu ditanya mengenai tindakan mesra para peminatnya itu pada sidang akhbar yang diadakan selepas tamatnya persembahan tersebut, reaksi Afgan kedengaran cukup positif.

Ujarnya, dia yang buat julung-julung kalinya mengadakan konsert di Malaysia mahu berkongsi rasa bahagia dan gembira bersama peminat-peminatnya di sini.

"Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menghiburkan peminat saya. Pada masa yang sama, saya mahu kongsikan rasa senang ketika sama-sama menyanyi dan menari dengan mereka.

"Lagipun, sepanjang bergelar penyanyi, mereka merupakan individu yang banyak memberikan sokongan dan dorongan dalam apa jua acara yang saya sertai.

"Tambahan, saya sering menganggap mereka sebagai kawan atau teman rapat," kata Afgan sambil menyifatkan reaksi seperti itu hanyalah perkara biasa baginya.

Selain kehadiran Afgan merebut tumpuan radar adrenalin para peminatnya, ruang pentas Istana Budaya turut menjadi saksi kepada kelincahan penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu mengemudi perjalanan konsert.

FIGURA ini yakin dengan kebolehannya untuk mengarahkan filem muzikal Gila Dan Jiwa.


Ternyata tidak puas dengan hanya satu hari persembahan, Afgan memberitahu, dia begitu terkejut dengan sambutan yang diterima daripada peminat-peminatnya di Malaysia.

"Sejujurnya, saya tidak puas dengan persembahan pada malam ini. Tempoh satu malam yang diberikan seperti tidak mencukupi kerana semangat untuk menghiburkan para penonton cukup tinggi.

"Saya berharap akan diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan persembahan di sini pada masa akan datang. Mungkin pada waktu itu saya akan menyuntik beberapa kelainan seperti memasukkan elemen orkestra," ujarnya sambil ketawa.

Seperti Bruno Mars

Melanjutkan perbualan mengenai gaya dan persembahannya ketika berada di atas pentas, kelincahan Afgan sewaktu menyanyi dan menari dilihat sama seperti gaya penyanyi R&B terkenal dari Amerika Syarikat, Bruno Mars.

Lebih-lebih lagi apabila dia mengenakan kemeja serba putih yang dipadankan dengan sut kelabu gelap sambil membawakan lagu Treasure.

Mengakui mengambil inspirasi daripada persembahan penyanyi itu ketika dia datang ke Indonesia, Afgan bagaimanapun mempunyai cara tersendiri dalam memberikan variasi kepada persembahannya untuk peminat di Kuala Lumpur.

"Ketika berpeluang menonton persembahan Bruno Mars di Jakarta baru-baru ini, saya begitu terpegun dengan gaya dan persembahannya yang sungguh bertenaga.

"Pada waktu itu, saya sudah menanamkan niat untuk memberikan persembahan seumpama Bruno Mars kepada peminat-peminat di sini. Kebetulan, saya juga baru selesai menjayakan persembahan sempena Festival Java Jazz 2014 di Jakarta.

"Justeru, saya menyuntik beberapa elemen baharu dan lama ke dalam konsert ini bagi disesuaikan dengan selera peminat di Kuala Lumpur," katanya.

Dedikasi MH370

Sebelum konsert ini berlangsung, beberapa persembahan pentas berskala besar yang sepatutnya dijalankan pada minggu yang sama telah dibatalkan penganjurannya bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Walaupun beberapa acara hiburan lain telah dibatalkan, namun persembahan di Istana Budaya tetap berjalan seperti yang dijadualkan. Turut sama menunjukkan rasa hormat, Afgan mendedikasikan lagu PadaMu Ku Bersujud.


WALAUPUN disamakan dengan persembahan Bruno Mars, namun Afgan mempunyai cara yang tersendiri mengemudi konsert Live to Love.


"Saya begitu terkesan dengan kejadian yang menimpa pesawat MAS MH370. Menerusi akaun twitter dan instagram, saya sering mendoakan agar penumpang serta anak-anak kapal yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

"Justeru, sebelum menyanyikan lagu PadaMu Ku Bersujud, saya ada meminta para penonton untuk sama-sama berdoa bagi memperingati keluarga dan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dengan nada sayu.

Jadi pengarah

Dalam perkembangan lain, Afgan yang juga merupakan alumni Universiti Monash, Bandar Sunway, Selangor berkata, dia bakal mengarahkan sebuah filem muzikal yang berjudul Gila dan Jiwa tidak lama lagi.

"Saya memang gemar mengarah filem pendek ketika masih belajar di bangku sekolah. Jadi, berbekalkan sedikit pengalaman dan cerita yang telah saya tulis, saya yakin mampu untuk menghasilkan sebuah filem yang baik," ujarnya.

Mengadaptasi beberapa kisah yang pernah berlaku pada dirinya ke dalam filem itu, Afgan mahu mengetengahkan isu buli yang kerap terjadi dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja.

"Saya pernah dibuli suatu ketika dahulu dan saya tahu bagaimana peritnya rasa melalui saat-saat hitam tersebut.

"Aktiviti buli merupakan suatu perkara yang sangat buruk dan ia perlu dihentikan," kata Afgan yang tidak menolak jika pelakon-pelakon yang bakal membintangi filemnya itu merupakan pelakon dari Malaysia.

Momen layar perak Swedish House Mafia

Posted:

Momen layar perak Swedish House Mafia

Momen layar perak Swedish House Mafia


MENERUSI Leave The World Behind, peminat mampu menyaksikan keletah Axwell, Steve dan Sebastian ketika membuat persiapan untuk konsert jelajah One Last Tour.


NAMA Swedish House Mafia pasti tidak asing bagi penggemar muzik tarian elektronik (EDM). Kumpulan yang terdiri daripada Axwell (atau Axel Christofer Hedfors), Steve Angello dan Sebastian Ingrosso ini pernah menggegarkan dunia EDM menerusi dua album studio dan beberapa konsert jelajah.

Namun, pada bulan Jun 2012, ketiga-tiga mereka mengumumkan bahawa konsert jelajah One Last Tour bakal menjadi konsert terakhir mereka sebelum membawa haluan masing-masing.

Menurut petikan temu bual yang dijalankan oleh portal berita Huffington Post bersama Steve, figura ini berkata, keputusan untuk ahli kumpulan itu bergerak secara solo diambil kerana mereka tidak lagi berasa gembira dengan apa yang telah dilakukan selama lapan tahun bersama.

"Saya rasa kami telah bertukar menjadi sebuah mesin yang sangat besar. Ia juga berkait rapat dengan tekanan yang datang seiring dengan kejayaan kami.

"Kami tidak berasa seronok dengan apa yang kami lakukan. Kami seperti sudah bertukar menjadi raksasa dan kami berasa sungguh penat. Kemunculan Swedish House Mafia tidak pernah dirancang. Jadi, secara santainya juga kami menamatkan perjalanan kami," ujarnya.

Selepas mengumumkan tentang pembubaran tersebut, mereka mula membuat persiapan untuk menjelajah dunia di samping menutup tirai karier yang dimulakan sejak tahun 2005 itu.

Dokumentari

Tertarik untuk menceritakan perjalanan kisah Axwell, Steve dan Sebastian dalam membuat persedian bagi persembahan konsert jelajah dunia mereka, pengarah Christian Larson mengambil kesempatan tersebut untuk merakam momen-momen akhir itu menerusi dokumentari muzikal berjudul Leave The World Behind.

Memaparkan sedutan-sedutan menarik sepanjang penganjuran konsert tersebut, filem ini turut menampilkan detik kegembiraan serta bibit-bibit kesedihan tiga rakan baik ini menghitung saat pembubaran kumpulan tersebut.


SELEPAS tamat menjelajah dunia, mereka mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.


Konsert jelajah itu juga merupakan acara jelajah elektronik antarabangsa terbesar dengan lebih satu juta keping tiket terjual dalam masa seminggu. Antara negara-negara yang dikunjungi oleh mereka termasuklah India, Republik Czech, Singapura, Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

Selain memaparkan kisah mereka mencari idea bagi menulis lagu, dokumentari ini turut menyelitkan kisah mereka sebagai bapa dan suami.

Jika tidak bekerja, mereka digambarkan sebagai individu biasa yang turut mempunyai masa bermesra dan bermain dengan anak-anak.

Dalam pada itu, filem dokumentari ini turut menyorot kisah pergaduhan mereka ketika ingin menulis lagu Don't Owrry Child di Australia.

Walaupun keadaan menjadi sedikit tegang, namun ketiga-tiga mereka bijak dalam menangani masalah dalaman.

Tayangan eksklusif

Selepas ditayangkan di seluruh dunia pada bulan Mac lalu, kini tiba giliran peminat di Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem dokumentari ini di layar perak.

Ditayangkan hanya pada 11 April ini sahaja, filem terbitan Jonas Akerlund ini hanya menemui peminat dalam satu slot tayangan iaitu pada pukul 9.30 malam di sembilan pawagam GSC yang mengambil bahagian.

Para peminat trio EDM ini boleh mendapatkan tiket-tiket menerusi GSC E-Pembayaran menerusi www.gsc.com.my, GSC Mobile App (untuk iOS dan Android) atau di kaunter tiket GSC yang turut serta.

Rafiena bukan syok sendiri

Posted:

Rafiena bukan syok sendiri

Rafiena bukan syok sendiri

Oleh IZWAN MOHD. ISA

SELEPAS kurang aktif berlakon, Rafiena lebih selesa bekerja
di belakang tabir.


NAMA Datuk Rafiena Ezanee Ramli mungkin tidak segah jika mahu dibandingkan dengan pelakon-pelakon yang seangkatan dengannya. Walaupun banyak membintangi drama tidak lama dahulu, kehadirannya di dalam industri seperti tidak diendahkan.

Namun, aktres berusia 31 tahun ini bijak dalam menyusun langkah bagi meneruskan hayatnya dalam industri lakonan. Membangunkan rumah produksi Darkwave Pictures sekitar tahun 2008, Rafiena mula menempa nama sebagai penerbit kepada beberapa buah drama bersiri dan juga telemovie.

Namun, apabila dia dilihat berlakon dalam drama terbaharu terbitannya, Perempuan Dalam Pasungan, banyak pihak mempersoalkan tentang pemilihan itu. Ada yang mengatakan dia enggan memberi peluang kepada pelakon lain dan kurang mempercayai kredibiliti mereka untuk menerajui watak utama dalam drama bersiri 28 episod tersebut.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui, pada mulanya dia enggan untuk menerima tawaran tersebut. Namun, setelah didesak oleh Datuk Eizlan Yusof selaku produser eksekutif syarikatnya, dia akhirnya bersetuju untuk membawakan watak Fariena.

Dalam temu bual berikut, Rafiena turut berkongsi mengenai satu nama besar yang turut memberikan sokongan kepadanya sewaktu mahu membuka rumah produksinya suatu ketika dahulu.

Kosmo!: Sebagai seorang penerbit, adakah anda tidak berasa janggal berlakon dalam drama terbitan anda sendiri?

RAFIENA: Sejujurnya, saya enggan menerima tawaran tersebut. Namun, setelah beberapa kali dipujuk oleh Eizlan, saya akhirnya akur.

Saya tahu, orang di luar pasti akan bercakap saya syok sendiri tetapi apa yang boleh saya pastikan ialah hasilnya mampu untuk memuaskan hati penonton.

Apakah fungsi Eizlan di dalam syarikat anda?

Dia menjawat jawatan sebagai produser eksekutif.

Mengapa anda memilih rakan artis untuk menjawat jawatan tersebut?

Saya mengenali Eizlan sudah agak lama. Jawatan tersebut pernah ditawarkan kepadanya beberapa kali tetapi dia menolak. Dia takut jika bekerja di bawah satu bumbung, kami akan bertelagah. Namun, setelah beberapa kali berbincang, akhirnya dia bersetuju untuk menyertai syarikat saya pada tahun lepas.

Siapakah yang banyak memberikan sokongan kepada anda sewaktu mula-mula membabitkan diri sebagai seorang produser?

Datuk Yusof Haslam banyak memberikan galakan kepada saya. Walaupun saya ada bertanya kepada rakan-rakan artis yang lain, namun nasihat yang diberikan olehnya yang paling ikhlas. Lagipun, saya bermula sebagai pelakon dengan Skop Production, justeru tidak salah saya bertanya pendapat dengan beliau.

RAFIENA dan Eizlan bekerjasama dalam membangunkan syarikat produksi Darkwave Pictures.


Jadi, adakah anda tidak mahu berlakon lagi selepas ini?

Sejak aktif menerbitkan drama, saya sudah jarang berlakon. Ini merupakan drama pertama saya setelah berehat panjang. Saya akan berlakon tetapi perlulah mengikut keadaan. Namun, saya tidak akan berlakon selain di bawah syarikat saya sendiri.

Mengapakah sidang akhbar ini dilakukan setelah drama ini disiarkan?

Kami merancang untuk melakukan sidang akhbar lebih awal. Namun, akibat kekangan masa yang dihadapi oleh pelakon dan pengarah, acara ini terpaksa ditunda. Zulhuzaimy selaku pengarah juga tidak dapat hadir pada hari ini.

Apakah kelebihan Zulhuzaimy berbanding dengan pengarah yang lain?

Saya suka cara dia mengarah. Lebih-lebih lagi naskhah yang pernah diarahkan olehnya sebelum ini sungguh bagus. Jadi, tidak salah rasanya saya meminta khidmatnya untuk mengarahkan Perempuan Dalam Pasungan.

Pelakon-pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada pelakon lama. Adakah anda tidak mempercayai bakat-bakat yang ada pada pelakon baharu?

Saya masih mempercayai kebolehan pelakon baharu, cuma buat masa ini, watak yang diketengahkan sesuai dengan barisan pelakon sedia ada. Lagipun, saya juga menampilkan seorang pelakon baharu iaitu Lia Natalia.

Apakah keistimewaan drama Perempuan Dalam Pasungan?

Cerita ini merupakan idea asal saya sendiri dan pemilihan pelakon turut dilakukan menerusi perbincangan bersama. Alhamdulillah, sejak ditayangkan kira-kira dua minggu lalu, rating bagi drama ini mula menunjukkan peningkatan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Beberapa buah drama terbitan saya iaitu Racun Menantu, Lai Katong dan Penunggu Bayang akan menemui penonton tidak lama lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved