Ahad, 16 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


MAS di hati rakyat Malaysia

Posted:

MAS di hati rakyat Malaysia

MAS di hati rakyat Malaysia

SELAMAT datang ke Penerbangan Malaysia!!! Welcome to Malaysia Airlines!!! Sapaan penuh ramah dan mesra daripada pramugara serta pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) menyebabkan Vijaya Rani Sellapa, 30-an, berasa teruja dan dialu-alukan untuk menaiki pesawat tersebut.

Dengan langkah ceria, Pegawai Komunikasi Korporat sebuah syarikat penyiaran swasta tersebut memasuki ruang kabin sambil matanya ligat mencari tempat duduk mengikut nombor dan abjad yang tertera pada tiket penerbangannya.

Dalam keterujaan itu, tiba-tiba Vijaya berasa dirinya berdepan masalah untuk meletakkan beg di ruang simpanan bagasi yang jauh dari jangkauannya.

Belum sempat pun Vijaya memikirkan masalahnya itu, tanpa disedari datang seorang anak kapal menghampirinya lalu menghulurkan bantuan mengangkat beg yang agak berat itu ke ruang simpanan bagasi.

Kemudiannya dengan mesra dan senyuman, anak kapal itu memberi laluan bagi membolehkan Vijaya memasuki ruang tempat duduknya.

Layanan mesra dan kualiti perkhidmatan seumpama itu menyebabkan Vijaya sering memilih pesawat MAS untuk penerbangan ke luar negara.

"Penerbangan MAS mempunyai hospitaliti yang sangat bagus bahkan anak-anak kapalnya sentiasa bersopan santun, peka dan membantu para penumpang agar memperoleh keselesaan ketika berada dalam pesawat.

"Malah, mereka tidak pernah bermasam muka dengan pelbagai kerenah bahkan begitu ringan tangan untuk membantu para penumpang termasuk mengangkat bagasi yang berat," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Berpuas hati

Vijaya yang sering ke luar negara seperti India, Sri Lanka, Singapura, Jakarta dan Australia berkata, pengalamannya sejak kecil lagi bersama keluarganya menaiki MAS untuk penerbangan ke India menyebabkan dia terus memilih pesawat tersebut sehingga ke hari ini.


ANAK-ANAK kapal pesawat Malaysia Airlines mempunyai kredibiliti tersendiri daripada kaca mata rakyat Malaysia.


Katanya, meskipun menempuh perjalanan yang memakan masa panjang, dia berpuas hati dengan segala layanan yang diberikan dalam tempoh tersebut.

"Misalnya, selepas makan dalam pesawat, biasanya saya akan minum minuman panas dan saya kerap kali membuat permintaan daripada anak-anak kapal untuk minuman itu dan mereka tidak pernah merungut.

"Malah, ada dalam kalangan pramugari turut membantu membancuh air susu untuk penumpang bayi dalam penerbangan berkenaan jika ada ibu yang meminta bantuan," ujarnya.

Selain itu kata Vijaya, juruterbang MAS juga sentiasa memberi maklumat dan pengumuman dengan suara yang jelas dan berkeyakinan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris ketika penerbangan menyebabkan para penumpang berasa selamat menaiki pesawat tersebut.

Pada masa sama, sikap bertanggungjawab dan peka anak-anak kapal juga harus diberi pujian. Jika ada berlaku kes kecemasan semasa penerbangan, mereka akan bertindak dengan pantas tanpa menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penumpang.

"Pernah terjadi dalam satu penerbangan saya, seorang penumpang tiba-tiba diserang penyakit jantung, lalu dengan pantas anak-anak kapal mengalihkannya ke ruang kelas pertama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Meskipun dalam situasi berkenaan, anak-anak kapal masih mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang-penumpang yang lain walaupun terpaksa memberi tumpuan kepada pesakit tadi," ujarnya.

Bagi Ketua Komunikasi Korporat Menara Kuala Lumpur (MKL), Eliey Sahad, 39, dia berasa sangat selamat dan yakin dengan kemampuan penerbangan MAS untuk ke mana-mana destinasi sama ada di dalam atau ke luar negara.

Menurutnya, perasaan tersebut lahir secara semula jadi apabila melihat anak-anak kapal MAS yang cekap menjalankan tugas masing-masing memandangkan mereka begitu terlatih dan profesional.


SEBELUM bersara Dawek pernah menerbangkan pesawat Boeing 747dan berpengalaman membawa kapal terbang 20,000 jam.


Ikon penerbangan

"Anak-anak kapalnya terlatih malah mempunyai kelas tersendiri dan krew MAS adalah yang terbaik di dunia.

"MAS telah lama beroperasi di negara ini dan sudah menjadi ikon penerbangan bukan hanya dikenali di peringkat nasional sahaja bahkan antarabangsa," katanya yang sering berurusan di luar negara.

Perasaan bangga dan terharu turut terdetik di hati Eliey, apabila melihat pesawat yang tertera nama Malaysia mendarat di lapangan terbang negara asing.

"Setiap kali pesawat MAS mendarat di lapangan terbang di luar negara, semangat dan rasa patriotik itu hadir dalam diri meskipun jauh dari tanah air," ujarnya yang kali terakhir menaiki penerbangan MAS pada bulan lalu.

Sementara itu, bekas juruterbang MAS, Kapten Dawek Sabeli memberitahu, kepercayaan orang ramai terhadap penerbangan MAS tetap utuh walaupun dipalit misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu yang masih menjadi tanda tanya.

Dawek, 68, menegaskan, MAS cukup dikenali sebagai salah sebuah syarikat penerbangan yang berada dalam kelas tersendiri dan telah beroperasi sejak 1947.

Beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad sebagai juruterbang serta dua tahun sebagai pramugara MAS (dahulunya dikenali Malaysia-Singapore Airlines) sememangnya cukup masak dalam dunia penerbangan serta sangat mengenali bekas majikannya itu.

"MAS sangat menitikberatkan disiplin dalam kalangan kakitangannya terutama kepada para juruterbang.

"Para juruterbang MAS juga sangat dikenali di seluruh dunia, malah ramai juga bekas juruterbang syarikat itu dilamar syarikat penerbangan gergasi dunia yang lain seperti Etihad Airways, British Airways dan lain-lain," katanya.


JAKARTA salah satu destinasi yang pernah dikunjungi Vijaya dengan menaiki pesawat MAS.


Kata bapa kepada enam anak itu, memandu kapal terbang tidaklah sesukar memandu kenderaan lain kerana semua sistem di dalam kokpit kapal terbang sudah diselaraskan dengan komputer.

Dia yang berpengalaman membawa kapal terbang lebih 20,000 jam itu memberitahu, jika seseorang juruterbang mematuhi segala prosedur dan arahan, kejadian buruk tidak akan berlaku.

Dawek yang dilahirkan di Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak bermula dengan menerbangkan pesawat kecil Fokker Friendship 27. Sebelum bersara, dia membawa pesawat Boeing 747.

Selepas bersara, dia menyertai dunia penerbangan korporat dengan menjadi juruterbang di Hornbill Skyways dan membawa jet eksklusif, Cessna Citation X kemudian menjadi tenaga pengajar di GIFFA International College of Aviation.

Dalam pada itu, Dawek yang berkhidmat sebagai juruterbang MAS sejak tahun 1975 hingga 2005 itu memberitahu, kejadian kehilangan MH370 itu tidak menggugat kredibiliti MAS yang cukup terkenal di seluruh dunia terutama di Asia Timur.

"Syarikat penerbangan negara ini juga sangat tegas dan tiada peluang kedua buat juruterbangnya yang melakukan kesalahan dan akan terus memecat mereka.

"Cuma, akan timbul perasaan takut dalam hati para penumpang untuk menaiki kapal terbang selepas ini bukan sahaja menaiki MAS tetapi semua kapal terbang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Petra Jaya, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Permainan video untuk warga emas

Posted:

Permainan video untuk warga emas

Permainan video untuk warga emas


WANITA warga emas ini kelihatan gembira apabila bermain permainan video ini.


DI sebuah rumah kejururawatan di pinggir bandar Tokyo, jari Saburo Sakamoto yang berusia 88 tahun tangkas menangkap watak-watak yang muncul pada skrin sentuh di hadapannya.

Gelak tawa juga kedengaran dari sudut lain di dalam bilik dipenuhi warga tua itu apabila mereka berjaya membelasah buaya plastik yang muncul dari lubang-lubang kecil menggunakan pemukul selain menumpaskan katak.

"Wanita di sini sangat tangkas, hampir mustahil untuk saya menewaskan mereka," kata Sakamoto sambil menarik nafas panjang selepas melihat beberapa wanita memperoleh mata lebih tinggi dalam permainan tersebut berbanding dirinya.

Begitulah suasana rumah kejururawatan yang dikendalikan oleh anak syarikat di bawah Namco Bandai iaitu sebuah syarikat yang mencetuskan fenomena Arked Pacman pada 1980-an yang menampilkan aksi berani dan nakal menyebabkan permainan video tersebut popular dalam kalangan remaja.

Meskipun firma tersebut mengecil, namun ia semakin berkembang dalam membangunkan permainan video dan hiburan komputer rumah kepada golongan yang digelar generasi perak.

Golongan tua di Jepun mempunyai jangka hayat lebih lama dan sihat berbanding sebelum ini.

Populasi penduduk Jepun merosot sejak tahun 2007 dan negara itu semakin tua selepas mengalami kadar kelahiran paling rendah dan jangka hayat paling tinggi di dunia.

"Justeru, kami menawarkan hiburan supaya golongan tua menghabiskan waktu mereka dengan berseronok dan mendapat kepuasan sebelum kembali ke rumah," kata Yoshiaki Kawamura, Presiden Kaikaya Ltd., pemilik penuh unit Namco Bandai Holdings.

Sukarela

Pelawat harian, puratanya berusia 85 tahun mempunyai beberapa pilihan aktiviti di pusat yang diluluskan oleh pihak kerajaan itu. Antaranya bantuan mandi untuk golongan warga emas, fisioterapi, makan tengah hari, satu siri arked dan permainan video.

"Permainan video merupakan aktiviti sukarela di luar kokurikulum tetapi mereka kelihatan betul-betul gembira apabila bermain," kata Kawamura.

Sebenarnya, pekerja di pusat tersebut cuba menaikkan semangat daya saing golongan warga emas di pusat tersebut. Salah satu caranya ialah mempamerkan nama pemenang teratas pada papan notis di samping menganjurkan pertandingan pada setiap bulan bagi mengenal pasti individu paling bagus.

Antara pilihan permainan yang ditawarkan ialah Dokidoki Hebi Taiji II (Thrilling Snakebuster II), satu permainan yang dibangunkan oleh Namco Bandai dengan kerjasama Hospital Universiti Kyushu di barat Jepun.


KAWAMURA menunjukkan salah satu permainan yang popular di rumah kejururawatan yang terletak di pinggir bandar Tokyo, Jepun.


Seperti saiz sebenar Whack-a-Mole, seorang pemain akan duduk dan memukul kartun ular yang muncul secara tiba-tiba di sekeliling mereka.

Pencipta idea tersebut mengatakan bahawa permainan itu dapat menguatkan kaki dan otot pinggul manakala doktor menyatakan ia penting untuk membantu mengelakkan mereka terjatuh.

Pada masa sama, permainan itu juga mampu meningkatkan aliran darah serebrum ke otak yang berfungsi melambatkan kerosakan kognitif, kata doktor Universiti Kyushu, Shinichiro Takasugi.

"Secara praktikal, sangat sukar untuk mendapatkan bukti saintifik kesan positif permainan tersebut memandangkan ada faktor latihan lain turut mempengaruhinya.

"Tetapi kesan psikologikal tidak dapat dipertikaikan apabila wajah mereka berseri ketika bermain," kata Jururawat Kaikaya Muskuloskeletal, Miyuki Takahashi.

Takasugi bersetuju bahawa terdapat perubahan terhadap perasaan yang jelas selepas mereka bermain permainan tersebut berbanding keadaan biasa.

"Permainan ini adalah alat yang berkesan untuk mengubah minat golongan tua yang sebelum ini cenderung tinggal di rumah dan mengelak melakukan aktiviti sosial.

"Ia juga boleh membantu mengekalkan penglibatan mereka dalam aktiviti pemulihan yang sebelum ini agak membosankan," ujarnya.

Sejarah menunjukkan permainan video boleh menjadikan seseorang itu tidak aktif dan bersendirian, namun perkembangan teknologi terkini membolehkan kawalan ke atas karakter pada skrin tidak lagi diperlukan, sebaliknya hanya tekan atau menggoyangkan butang kawalan.

Kelengkapan tersebut sama dengan permainan komputer yang digunakan oleh golongan muda untuk menumbuk dan menyepak namun kini ia digunakan dalam proses pemulihan masalah kebosanan.

Perisian

Dengan menggunakan penderia gerakan Kinect yang dibangunkan oleh Microsoft dalam konsol permainan video Xbox, ahli terapi fizikal, Keizo Sato yang bekerja dengan kedua-dua syarikat telah membantu merangka perisian permainan khusus untuk meningkatkan kekuatan dan kelembutan.

Umpama perkataan rehact dalam bahasa Inggeris yang bermaksud pemulihan dan aktif bertujuan menyediakan latihan berkualiti tinggi kepada golongan tua di kawasan luar bandar yang jauh dari kemudahan perubatan.

"Kekurangan individu mahir dalam memberi latihan pemulihan untuk golongan tua di bandar-bandar kecil selain masalah kos merupakan cabaran utama kepada warga tua di Jepun," kata Sato ketika berucap di Universiti Fukushi Tohoku .

Dalam pada itu, terdapat empat permainan yang boleh dipilih, masing-masing mempunyai fungsi untuk otot-otot tertentu, kata Sato.

Namun, perisian itu bukan sahaja menawarkan motivasi untuk membantu manusia menikmati latihan tetapi ia juga menunjukkan cara yang betul untuk melakukan aktiviti tersebut tanpa memerlukan ahli terapi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Melawat Projek Pertanian Diraja

Posted:

Melawat Projek Pertanian Diraja

Melawat Projek Pertanian Diraja

KAKITANGAN Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli serta Risda Kelantan menanam padi ketika melawat Projek Pertanian Diraja di Bukit Kampung Jadih, Sukhirin, Narathiwat, Thailand baru-baru ini.


KUNJUNGAN. Seramai 16 peserta terdiri daripada kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kelantan melakukan lawatan ke Projek Pertanian Diraja di Bukit Kampung Jadih, Sukhirin, Narathiwat, Thailand baru-baru ini.

Rombongan itu diketuai oleh Ketua Jajahan Daerah Jeli, Manan Ali .

Manan berkata, Projek Pertanian Diraja itu merupakan model terbaik di Thailand yang boleh dicontohi kerajaan Malaysia bagi membangunkan sektor pertanian khususnya di Kelantan.

"Kita berhasrat menjalinkan hubungan baik dengan pihak berkuasa Thailand bagi membolehkan pertukaran maklumat serta teknologi pertanian dilakukan," katanya.

1,728 penduduk di Bandar Tenggara terima BR1M 3.0

Posted:

1,728 penduduk di Bandar Tenggara terima BR1M 3.0

1,728 penduduk di Bandar Tenggara terima BR1M 3.0


HALIMAH (depan, lima dari kiri) menunjukkan replika baucar BR1M 3.0 sempena majlis penyerahan BRIM 3.0 di Kota Tinggi, Johor Bahru baru-baru ini


BANTUAN. Seramai 1,728 penduduk di kawasan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 fasa pertama baru-baru ini.

Majlis penyerahan BR1M disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noor Azam Osman di Dewan Raya Felda Linggiu di Kota Tinggi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Seorang penerima bantuan itu dari Kampung Orang Asli Sayong Inang, Bandar Tenggara, Norsuliana Amat, 22, bersyukur dan gembira kerana pertama kali terpilih sebagai penerima bantuan itu dan menyifatkan sebagai rezeki keluarga.

Tinjau pos kawalan UPP di Padang Besar, Wang Kelian

Posted:

Tinjau pos kawalan UPP di Padang Besar, Wang Kelian

Tinjau pos kawalan UPP di Padang Besar, Wang Kelian


AB. RAHIM bersalaman dengan anggota UPP ketika mengadakan lawatan kerja di Kompleks UPP, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.


LAWATAN. Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Malaysia, Datuk Ab. Rahim Ismail mengadakan lawatan kerja selama sehari di Kompleks UPP Padang Besar, Perlis baru-baru ini.

Beliau yang disambut oleh Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali turut beramah mesra dengan kakitangan UPP Perlis.

Ab. Rahim turut meninjau keadaan semasa pos-pos kawalan UPP di Padang Besar dan Wang Kelian yang kedua-duanya terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


MH370 dicari 25 negara

Posted:

MH370 dicari 25 negara

MH370 dicari 25 negara

HISHAMMUDDIN menjawab soalan pemberita sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kiri) pada sidang media di Hotel Sama-Sama di Sepang semalam.


SEPANG - Gerakan mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masuk hari kesembilan semalam memasuki fasa baharu apabila Malaysia meminta kerjasama 11 buah negara yang terletak di kawasan koridor utara dan selatan bagi membantu negara ini menjejaki pesawat yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu.

Dengan penambahan 11 buah negara itu, operasi mencari dan menyelamat MH370 membawa 239 penumpang termasuk anak kapal kini bertambah daripada 14 buah negara kepada 25 buah negara semalam.

Negara-negara di koridor utara antaranya melibatkan Pakistan, Laos, Vietnam, Kyrgyztan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan manakala bagi koridor selatan pula melibatkan negara Indonesia dan Australia.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Simulator milik Kapten Zaharie disiasat pakar

Posted:

Simulator milik Kapten Zaharie disiasat pakar

Simulator milik Kapten Zaharie disiasat pakar


SIMULATOR penerbangan milik Kapten Zaharie diambil oleh pihak polis untuk diperiksa oleh pakar-pakar keselamatan.


SEPANG - Polis telah mengambil simulator penerbangan daripada rumah juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah untuk diperiksa oleh pakar-pakar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pakar kini sedang memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapat petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat tersebut.

"Kami telah ke rumah beliau petang semalam (kelmarin) dan mengambil simulator serta semua yang dapat membantu kami.

"Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami," katanya pada sidang media yang diketuai Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Teori pesawat dirampas guna 'telefon bimbit'

Posted:

Teori pesawat dirampas guna 'telefon bimbit'

Teori pesawat dirampas guna 'telefon bimbit'

LONDON - Pakar-pakar keselamatan bimbang kemungkinan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) dirampas menggunakan 'telefon bimbit', lapor akhbar Daily Express semalam.

Beberapa pakar perisikan percaya pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dikawal oleh sebuah alat kawalan jauh.

Akhbar Daily Express melaporkan bahawa kelajuan pesawat, ketinggian atau arah juga boleh ditukar menggunakan isyarat elektronik.

Mereka yang disyaki terlibat dalam rampasan itu kemungkinan kumpulan pengganas atau sebuah negara asing.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Alam inspirasi seni Faizal Suhif

Posted:

Alam inspirasi seni Faizal Suhif

Alam inspirasi seni Faizal Suhif

MOHD. FAIZAL ingin berkongsi karya seninya untuk memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang.


BERASAL daripada keluarga petani nyata memberi satu kelebihan kepada pelukis berbakat besar, Mohd. Faizal Md. Suhif, 30, dalam menghasilkan karya-karya seninya.

Ditambah pula, pengalaman berkunjung ke luar negara seperti Singapura, Beijing, China dan Bali, Indonesia mematangkan beliau dalam menjadikan alam semula jadi sebagai subjek utama karyanya.

Hasilnya, sebanyak 25 karya beliau dipamerkan di dinding Galeri G13, Kelana Square, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, Selangor. Pameran solo Mohd. Faizal berlangsung sehingga 22 Mac ini.

Sempena pameran itu, beliau turut melancarkan laman web peribadi iaitu www.faizalsuhif.com. Pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai anak muda ini dan mengikuti perjalanan seninya.

Mohd. Faizal yang berasal dari Muar, Johor, berkata, karya yang dihasilkannya adalah berdasarkan catatan lakaran dalam diari hariannya.

Menjadi saksi kepada tanah dan persekitaran luar negara menambahkan kematangan pelukis muda ini dalam pameran solo kali kelimanya yang bertemakan 'Stories From The Soil' itu.

"Berbekalkan pengalaman yang diperoleh telah banyak mengajar saya cara-cara untuk bergaul dengan kenalan baharu dari seluruh negara dan melihat keindahan ciptaan Ilahi.

"Saya berharap agar karya dihasilkan ini mampu memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang dan menjadi sebuah bentuk pemahaman bahawa kita harus sentiasa peka pada setiap masa, ketika dan di mana sekali pun kita berada," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


KREATIVITI seni Mohd. Faizal berkisar motif tanah dan alam banyak dipengaruhi latarbelakangnya yang berasal daripada keluarga petani.


Sentuhan alam

Hasil seni menggunakan teknik yang menarik dengan gabungan alam semula jadi diolah ke atas lukisannya. Selain itu, teknik lukisan yang menggunakan cat air yang dihasilkan oleh beliau sangat menarik kerana memberi makna di sebalik visual melalui citarasanya.

Menerusi pengalaman hidup anak keempat daripada enam beradik yang sedang mencipta nama di persada seni visual tempatan, Mohd. Faizal menghasilkan karya yang terdiri daripada pemerhatian terhadap alam semula jadi. Antara karya seninya yang dipamerkan di galeri itu berjudul Buka Tanah, Diari Anak Petani, Sebenih Sepi dan Sepetak Puisi.

"Buka Tanah mempunyai bentukan siput, benih dan dedaun serta ranting di atas tanaman. Daripada biji benih akan tumbuh pokok, batang, daun, buah yang berbeza-beza. Pengaruh alam sekeliling sememangnya dekat dengan kehidupan manusia dan saya zahirkan menerusi karya.

"Sebenih Sepi pula mengingatkan kita bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Pencipta dalam timbunan tanah liat kelihatan bersendirian dan sepi. Kejadian manusia dari tanah dan akan pulang ke tanah yang merupakan semaian yang tersirat dalam lukisan tersebut," ujarnya.

Simbolik diri

Pengisian karya beliau turut merencanakan apa yang ingin disampaikan kepada khalayak mengenai kepekaan manusia kepada alam. Di samping itu, karya seni dan tanah yang menghiasi ruang pameran adalah sebagai simbolik kepada dirinya untuk berbicara soal hati, keyakinan, ketaatan dan bagaimana setiap makhluk akan kembali kepada yang asal iaitu tanah.

"Saya gambarkan dalam karya apa yang telah dilalui selama ini iaitu lebih cenderung ke arah bercucuk tanam.

"Jika ia diuruskan dengan cara yang betul, maka ia bakal memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja,"tambahnya.

Dokumentasi diari visual dalam bentuk catan, lakaran visual dan nukilan puisi telah dilakukan di atas kanvas untuk dikongsikan bersama berdasarkan pengalaman selama berada di beberapa negara yang pernah dikunjunginya termasuk Bangladesh dan Jepun.

Nuri, Hercules dinaik taraf

Posted:

Nuri, Hercules dinaik taraf

Nuri, Hercules dinaik taraf

Oleh ZAKI SALLEH


HERCULES C-130 antara pesawat pengangkut taktikal terbaik dan paling banyak digunakan di dunia.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan menaik taraf dua pesawat pengangkutnya, iaitu helikopter Sikorsky S-61A4 (Nuri) dan Lockheed C-130H (Hercules) dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan operasi semasa.

Program Pemanjangan Jangka Hayat Pesawat ini dijalankan oleh firma selenggara pertahanan tempatan, Airod Sdn. Bhd. (Airod) bagi memastikan kesiap siagaan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Langkah itu selaras dengan program memobilisasikan aset ATM sedia ada termasuk melihat penggunaannya bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

Proses itu melibatkan pertukaran peralatan berteknologi baharu termasuk sistem kokpit digital dan kotak gear yang boleh digunakan untuk tempoh dua dekad akan datang.

Program menaik taraf Nuri telah pun bermula sejak penghujung tahun lalu secara berperingkat-peringkat dan dijangka berakhir pada tahun 2015 dengan menelan kos RM500 juta.

Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan hanya 15 daripada 30 buah helikopter Nuri sahaja yang akan dinaik taraf.

Pesawat Nuri buatan Amerika Syarikat yang digunakan sejak tahun 1968 perlu dinaik taraf bagi membolehkan aset tersebut signifikan dengan doktrin pertahanan negara terutama selepas kemasukan helikopter Eurocopter EC-725.

Jangka hayat

Sebelum ini, pesawat Nuri pernah dinaik taraf pada pertengahan tahun 1990-an oleh Airod dengan menggantikan beberapa komponen seperti sistem radar dan dipasang dengan sistem baharu navigasi serta sistem penjejak kedudukan global (GPS).

Program tersebut bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya terutama untuk menyokong keperluan operasi ATM terutama Tentera Darat.

Pesawat Nuri turut digunakan dalam tugas operasi mencari dan menyelamat, selain terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan semasa banjir dan penerbangan ihsan.

Ketika ini, tiga buah skuadron TUDM mengendalikan helikopter Nuri iaitu No. 3 Skuadron di Butterworth, No. 5 Skuadron (Labuan) dan No. 7 Skuadron (Kuching).


NURI turut digunakan dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan dan hutan belantara.


Sepanjang perkhidmatannya, sebanyak 18 kemalangan udara Nuri dilaporkan dengan catatan 95 kematian.

Namun begitu, Nuri masih diakui sebagai sebuah helikopter pengangkut tentera antara yang terbaik di dunia.

Selain TUDM, helikopter jenis ini turut digunakan pasukan tentera dan pasukan penyelamat di lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

Sementara itu, Hercules yang merupakan pesawat pengangkut taktikal TUDM mula digunakan pada tahun 1976 menggantikan pesawat DHC-4 Caribou.

TUDM mempunyai 15 buah pesawat Hercules termasuk lima buah C-130H-30 iaitu versi dipanjangkan kerangkanya sebanyak 4.5 meter yang mula digunakan TUDM pada tahun 1995.

Walaupun TUDM dijadualkan menerima empat pesawat pengangkut terbaharu jenis Airbus A400M yang bersaiz lebih besar bermula tahun hadapan, namun khidmat Hercules masih lagi diperlukan.

Hercules yang menggunakan empat enjin turboprop mempunyai kapasiti muatan yang tinggi sama ada membawa kargo sebanyak 20 tan, 128 penumpang atau 92 anggota payung terjun.

Jimat perbelanjaan

Pesawat-pesawat ini yang dikendalikan oleh No. 14 Skuadron di Labuan dan No. 20 Skuadron (Subang) juga merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika ditemui baru-baru ini berkata, langkah menaik taraf kedua-dua pesawat ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding membeli pesawat baharu.

Menurut beliau, meskipun usia helikopter Nuri melebihi 40 tahun, namun ia masih berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk membantu menambah kekuatan pasukan keselamatan negara.

"Pada pandangan ATM, Nuri masih kuat dan kental cuma perlu ditambah baik dari segi sistem dan avioniknya.

Kita sudah dapatkan Eurocopter EC725 dan ia akan saling melengkapi dengan pesawat Nuri yang sedia ada.

"Pada masa sama, sebahagian daripada pesawat Nuri juga akan ditugaskan dalam cabang Tentera Darat sebagai helikopter pengangkut dan pelbagai peranan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Keluarga penumpang MH370 di China diselubungi kebimbangan

Posted:

Keluarga penumpang MH370 di China diselubungi kebimbangan

Keluarga penumpang MH370 di China diselubungi kebimbangan

BEBERAPA saudara-mara penumpang MH370 mengikuti siaran langsung sidang akhbar Najib Tun Razak di Hotel Lido, Beijing semalam.


BEIJING - Saudara-mara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu menyuarakan perasaan bimbang dan ketakutan semalam selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kapal terbang itu telah menukar arah penerbangan secara sengaja semasa ia terbang ke Beijing.

Saudara-mara 153 warga China yang menaiki pesawat MH370 itu berhimpun di Hotel Lido di sini semasa mereka menyaksikan pengumuman Najib berhubung perkembangan pencarian pesawat tersebut yang masih gagal ditemui.

Penjelasan Perdana Menteri Malaysia itu memberikan sedikit kelegaan kepada saudara-mara penumpang tersebut.

Namun, terdapat sebilangan saudara-mara tersebut yang mengesyaki berlakunya perbuatan khianat berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu.

"Saya berpendapat MAS mempunyai peranan dalam insiden itu," kata Wen Wancheng yang merupakan bapa kepada seorang penumpang lelaki pesawat tersebut kepada pemberita.

Dia yang berasal dari wilayah Shandong menyuarakan keraguannya berhubung perkembangan terbaharu tersebut.

Wancheng menganggap terdapat konspirasi dalam kehilangan pesawat itu.

"Masa pesawat itu hilang sebelum ini ialah 1.21 pagi dan kini masa itu berubah kepada pukul 8.11 pagi," katanya.

Beberapa saudara-mara penumpang memberitahu agensi berita AFP, mereka berasa kecewa kerana kekurangan maklumat tentang lokasi sebenar pesawat yang hilang itu semasa pertemuan selama dua jam dengan wakil-wakil syarikat penerbangan tersebut di sini semalam.

"Saya berasa kecewa dengan mereka (wakil-wakil MAS)," kata seorang saudara kepada penumpang pesawat berkenaan yang merujuk kepada kerajaan Malaysia dan China.

"Mereka tidak memberitahu sebarang perkara baharu kepada kami," tambahnya.

Pesawat MAS itu membawa 227 penumpang dan 12 kru semasa ia hilang daripada dikesan radar pada awal pagi 8 Mac lalu. - Agensi

MH370 dipandu orang yang tahu cara elak dikesan radar

Posted:

MH370 dipandu orang yang tahu cara elak dikesan radar

MH370 dipandu orang yang tahu cara elak dikesan radar


SEORANG juruterbang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengkaji peta di dalam sebuah pesawat Pengawal Pantai Jepun dalam misi mencari pesawat MH370 yang hilang di Laut China Selatan semalam.


KUALA LUMPUR – Para penyiasat kini percaya bahawa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah dikemudikan oleh seseorang yang berkemahiran tinggi bagi mengelak pergerakan kapal terbang itu dikesan radar, kata seorang pegawai kanan tentera Malaysia kepada agensi berita AFP semalam.

Radar tentera Malaysia menunjukkan pesawat Boeing 777-200 itu telah mengubah arah semasa dalam penerbangan ke Beijing, China dan ia dipercayai menuju ke arah Lautan Hindi.

"Dia (juruterbang itu) seorang yang berkemahiran tinggi, cekap dan merupakan seorang juruterbang.

"Juruterbang itu mengetahui cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan radar. Dia telah membuat kajian tentang cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan (radar)," kata pegawai tersebut yang enggan namanya disiarkan.

Rumusan itu dibuat selepas agensi berita AP melaporkan kelmarin bahawa satelit Inmassat menerima lima atau enam isyarat 'ping' atau denyut elektronik selama empat jam dari pesawat tersebut

Akhbar Washington Post melaporkan, transponder pesawat itu yang menerima isyarat dari menara kawalan dimatikan 30 minit selepas berlaku komunikasi suara terakhir dari kokpit MH370.

Komunikasi dari pesawat itu ialah: "Baiklah, selamat malam."

Agensi berita AFP melaporkan, seorang pensyarah penerbangan di Politeknik Temasek, Singapura Paul Yap menyatakan terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan transponder itu dimatikan.

"Pertamanya, orang yang terlibat menutup transponder itu dengan sengaja ialah iaitu juruterbang dan orang yang bersengkokol dengannya.

"Kita turut berdepan dengan senario apabila para pengganas memaksa juruterbang itu mengubah arah haluan dan menutup transponder ketika dures (ancaman). Pengganas itu mungkin mengancam untuk membunuh penumpang," katanya.

Beberapa penganalisis berkata, transponder MH370 ditutup ketika pesawat itu berada pada paras altitud penerbangan yang membolehkan juruterbang pergi ke tandas atau menikmati minuman kopi.

Menurut akhbar New York Times, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya semalam menyentuh tentang kawasan komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit.

Najib berkata, komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan sebuah satelit mungkin berlaku di laluan koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand.

Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit itu juga mungkin berlaku di laluan koridor selatan dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.

Menurut Najib, pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.

Namun, akhbar itu melaporkan lalun koridor utara itu terletak berhampiran kawasan yang dianggap paling bergolak di dunia dan menempatkan kumpulan-kumpulan pemberontak.

Namun, laluan tersebut juga mempunyai rangkaian pertahanan udara yang dikendalikan tentera AS.

Laluan koridor utara itu turut meliputi Iran, Afghanistan, utara Pakistan, utara India, banjaran Himalaya dan Myanmar

Bagaimanapun, koridor utara itu mempunyai beberapa buah pangkalan tentera milik AS dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan yang wujud sejak lebih sedekad lalu.

Sebuah angkalan tentera yang terdapat berhampiran koridor utara itu adalah di Bagram, Afghanistan milik tentera AS.

Akhbar itu melaporkan laluan koridor selatan yang dinyatakan Najib itu bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.


BEBERAPA anggota Pengawal Pantai Jepun memeriksa tayar sebuah pesawat yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Kuala Lumpur untuk mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan semalam. - Reuters


Transponder

Menurut laporan akhbar tersebut, jika pesawat berkenaan melalui koridor selatan, ia akan melintasi kawasan dekat Kepulauan Cocos milik Australia.

Kepulauan kecil yang mempunyai penduduk kurang 1,000 orang itu mempunyai sebuah lapangan terbang kecil.

Justeru, seorang pengasas perkhidmatan pengesan global Flightradar24, Mkael Robertson menyatakan, cara komunikasi pesawat itu diputuskan menunjukkan terdapat penglibatan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbangan dan mengetahui laluan udara.

Menurut Robertson kepada akhbar tersebut, kepakaran penerbangan itu kemungkinan dimiliki oleh seorang kru pesawat.

Beliau berkata, signal transponder yang ditutup bagi mengelak pesawat tersebut dikesan radar selepas ia berlepas dari lapangan terbang menunjukkan terdapat seseorang yang sengaja melakukan perbuatan itu untuk sesuatu tujuan.

Akhbar New York Times melaporkan, seorang individu yang telah mendengar taklimat berhubung perkembangan siasatan pesawat tersebut menyatakan, kotak komunikasi yang terdapat di dalam pesawat MH370 itu merupakan generasi lama yang tidak dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS).

Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.40 pagi.

Komunikasi kali terakhir kapal terbang tersebut dengan menara kawalan trafik awam adalah pada pukul 1.21 pagi.

Kehilangan pesawat itu kemudian mencetuskan misteri kerana tiada serpihan badan Boeing 777-200 yang ditemui di Laut China Selatan dan Selat Melaka selepas operasi mencari kapal terbang berkenaan dilancarkan dengan melibatkan beberapa buah negara sejak 8 Mac lalu.

Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid, 27.

Dua penumpang Iran dikenal pasti menggunakan pasport curi yang menaiki pesawat itu ialah Pouri Nour Mohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29.

Pouri menggunakan pasport Austria manakala Delavar menggunakan pasport Itali yang telah dicuri di Thailand.

Penumpang lain yang menaiki pesawat itu ialah 38 warga Malaysia, tujuh orang penduduk Indonesia, enam warga Australia, lima warga India, empat rakyat Perancis, tiga warga AS dan dua warga New Zealand.

Turut menaiki pesawat MH370 ialah dua warga Ukraine, dua warga Kanada, Rusia (1), Taiwan (1) dan Belanda (1). – Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan ditutup sebelah malam

Posted:

Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan ditutup sebelah malam

Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan ditutup sebelah malam

16/03/2014 9:47pm

KUALA LUMPUR - Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan (haluan KL dan Petaling Jaya) akan ditutup sebelah malam mulai esok hingga 2 Mei.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation, Amir Mahmood Razak berkata, jalan itu akan ditutup dari 10 malam hingga 5 pagi sepanjang minggu dan dari 9 malam hingga 12 tengah hari pada hujung minggu.

"Berikutan penutupan ini, pengguna kenderaan di Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan dari Kuala Lumpur atau Petaling Jaya perlu mengambil laluan alternatif.

"Kami faham trafik cukup sibuk di kawasan ini, oleh itu untuk menentukan kesan minimum, penutupan hanya dilakukan di sebelah malam," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penutupan itu untuk membolehkan kerja-kerja penempatan semula utiliti dan pelancaran bagi stesen masa depan MRT Semantan. - Bernama

Malaysia berkongsi satu mata menentang Korea Selatan

Posted:

Malaysia berkongsi satu mata menentang Korea Selatan

Malaysia berkongsi satu mata menentang Korea Selatan

16/03/2014 9:42pm

IPOH - Hasrat Malaysia untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian selepas hanya seri 2-2 dengan Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah di sini malam tadi.

Pasukan kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah diuji pasukan kendalian Shin Seok Kyo sejak wisel permulaan lagi menerusi gandingan penyerang mereka.

Namun penjaga gol, Hafizuddin Othman bertindak cemerlang dengan menafikan percubaan Korea Selatan dengan menepis bola keluar melalui pukulan sudut penalti pada minit ke 5.

Malaysia yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda tersentak dengan gol Korea Selatan pada minit ke 10 perlawanan menerusi jaringan padang penyerang Oh Dae Keun.

Aksi pasukan kebangsaan yang kerap kehilangan bola menyaksikan permainan berat sebelah ditonjolkan dengan penguasaan bola banyak di pasukan Korea Selatan.

Malaysia yang gagal menyerap tekanan pasukan lawan sekali lagi dibolosi melalui jaringan padang oleh Dae Kuen pada minit ke 30.

Bersambung babak kedua, Malaysia bermula agresif dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Korea Selatan.

Malaysia nyata tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang diberi dengan menjaringkan gol melalui pemain no 26, Shahril Saabah pada minit ke 57.

Skuad kebangsaan yang berjaya memperkemaskan permainan memperolehi gol penyamaan yang dinanti-nantikan pada minit 65.

Gol yang berpunca daripada pukulan sudut penalti itu disempurnakan melalui pemain Faizal Saari melalui pukulan deras menewaskan penjaga gol Lee Myung Ho.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal mencari gol kemenangan sehingga tamat 70 minit masa perlawanan dan memaksa mereka berkongsi satu mata.

Sementara itu pada satu lagi perlawanan, juara bertahan, Australia sekali lagi bermula garang selepas membelasah Kanada dengan enam gol tanpa balas.

Australia yang tampil selaku pasukan pilihan mendahului dengan tiga gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Glenn Simpson pada minit ke 10, Jeremy Hayward (minit ke 26) dan Nicholas Budgeon (35).

Bermula separuh masa kedua, Australia mengukuhkan pendahuluan dengan menambah gol keempat menerusi gol padang oleh Russell Ford pada minit ke 46.

Jacob Whetton menambah derita Kanada dengan dua gol padang pada minit ke 53 dan 63 bagi memastikan mereka menang dengan 6 - 0. - KOSMO!

Muhyiddin rakam penghargaan kepada pasukan SAR pesawat MH370

Posted:

Muhyiddin rakam penghargaan kepada pasukan SAR pesawat MH370

Muhyiddin rakam penghargaan kepada pasukan SAR pesawat MH370

16/03/2014 8:24pm

KAJANG - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat dan mencari (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.

Beliau berkata, pasukan SAR yang berkerja siang dan malam untuk mencari pesawat itu perlu diberi penghormatan atas pengorbanan masa yang dicurahkan.

"Bagi menghargai pengorbanan mereka, kita mendoakan mereka diberi kesihatan dan keselamatan," katanya pada Majlis Program Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2024 bersama guru dan ibu bapa dan komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut merakamkan terima kasih kepada negara-negara luar yang tampil menghulurkan bantuan melalui penghantaran aset udara dan laut serta sokongan moral melalui telefon kepada pemimpin negara.

"Ini adalah kerana apabila negara-negara itu susah, kita telah menghulurkan bantuan dan apabila kita susah, mereka pula tampil menyalurkan bantuan," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Kesihatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Ukiran badan dermatografia

Posted:

Ukiran badan dermatografia

Ukiran badan dermatografia

SARAH Beal, 43, ketagih untuk melakar lukisan pada tangannya.


GUSAR hati Sarah Beal, 43, memikirkan penyakit misteri yang sedang dihidapnya sehinggakan seluruh kulitnya gatal-gatal.

Apa sahaja yang dilakukan serba tidak kena. Bukan sahaja mengalami kegatalan yang berpanjangan, malahan turut meninggalkan kesan garisan hodoh pada kulit apabila digaru.

"Pada mulanya saya fikir keadaan ini berpunca daripada pertambahan usia yang menyebabkan kulit menjadi sensitif. Namun, lama-kelamaan saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

"Pernah sekali saya cuba menggores kulit di belakang badan. Ia bukan sahaja meninggalkan kesan calar yang agak besar, tetapi juga berwarna merah dan sangat sakit," kata pengusaha kedai kek ini kepada akhbar Daily Mail di Britain.

Lakaran kulit

Penderitaan ibu kepada lima orang anak tersebut berlarutan apabila kulitnya terasa bagaikan dicucuk jarum jika terkena sebarang jenis kain.

Misteri yang menghantui wanita dari Warkishwire, sebuah daerah kecil di England itu bagaimanapun terungkai kira-kira tiga tahun lalu selepas dia menemui sebuah artikel yang menceritakan mengenai penyakit dermatografia.

Dermatografia atau penyakit lakaran kulit merupakan sejenis penyakit gatal-gatal yang disebabkan oleh permukaan kulit yang sensitif.

Menurut seorang pakar dari Persatuan Dermatologi Britain, Matthew Gass, keadaan tersebut berlaku apabila sel-sel di bawah permukaan kulit yang membebaskan histamin, iaitu sejenis bahan kimia yang dikeluarkan dalam badan sebagai tindak balas terhadap alahan, mengeluarkannya dalam jumlah yang sedikit.

"Akibatnya, kulit akan meninggalkan kesan bengkak terutamanya apabila tergores sesuatu. Namun, kesan tersebut akan hilang secara automatik kira-kira sejam kemudian.

"Kegatalan juga dikatakan kerap terjadi apabila kulit bergeseran dengan sesuatu objek seperti menggosok atau mengusap kulit. Kesan daripada tindak balas tersebut, kulit akan meninggalkan garis-garis kasar berwarna merah," jelasnya.


DERMATOGRAFIA menyebabkan permukaan kulit menjadi sensitif.


Ujarnya, jika keadaan tersebut berlaku, individu boleh mengambil ubat Anthihistamin bagi menghalang kesan histamin dan secara tidak langsung mengurangkan kegatalan dan ruam-ruam.

Menurut Sarah lagi, sebaik mengetahui keadaan tersebut, dia bertindak menguji kulitnya dengan melakar bentuk hati di tangan menggunakan sebatang sudu.

"Tidak lama kemudian, objek hati terbentuk di tangan saya dan ia membuatkan saya teruja.

"Walaupun kulit mula gatal-gatal dan sakit, tetapi saya rasa perkara unik telah berlaku kepada saya," tambahnya.

Histamin

Disebabkan terlalu teruja, Sarah memuat naik lakaran tersebut ke dalam akaun Facebook miliknya dan perkara itu mendapat pujian dalam kalangan rakan dan sanak saudara.

"Penyakit ini membuatkan saya alah kepada barang kemas seperti rantai dan gelang.

"Lebih membimbangkan kerana saya ada membela dua ekor anjing. Saya risau kerana cakaran anjing menyebabkan kulit saya bertambah teruk," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kulit Klinik Ko di Klang, Selangor, Dr. Ko Chung Beng berkata, keadaan tersebut merupakan perkara normal yang berlaku terhadap individu tanpa mengira umur.

"Penyakit ini tiada kaitan dengan keturunan atau alergi terhadap apa-apa jenis makanan kerana keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh kekurangan pembebasan sel histamin di dalam kulit.

"Bagaimanapun, individu tidak perlu terlalu rungsing memandangkan kesan tersebut tidak berpanjangan dan akan hilang dalam tempoh yang singkat," katanya.

Tambah Chung Beng, Anthihistamin dan Steroin merupakan dua jenis ubat yang mampu memulihkan individu daripada penyakit tersebut.

"Buat masa ini tiada pembedahan yang dapat menyembuhkan penyakit tersebut sepenuhnya. Pesakit masih perlu bergantung kepada salah satu ubat tersebut jika mengalami kegatalan atau kesakitan yang melampau," katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

Buah-buahan punca gemuk

Posted:

Buah-buahan punca gemuk

Buah-buahan punca gemuk


KANDUNGAN fruktosa dalam buah-buahan menyumbang kepada kegemukan.


LAZIMNYA, individu yang ingin mengembalikan kelangsingan tubuh akan mengamalkan diet buah-buahan kerana selain daripada mendapat vitamin dan mineral yang diperlukan, ia turut mengandungi serat yang tinggi.

Namun begitu, kajian oleh seorang kaunselor kesihatan di Amerika Syarikat, Jacqueline Silvestri Banks mendapati, pengambilan buah-buahan secara berlebihan sebaliknya mampu merosakkan diet seseorang.

"Buah-buahan mengandungi gula sederhana jenis fruktosa dan karbohidrat, iaitu dua kandungan yang perlu dimakan secara sederhana oleh individu yang sedang berdiet.

"Jika seseorang memakan lebih daripada jumlah yang sepatutnya, ia boleh mengakibatkan peningkatan kadar insulin dan seterusnya menyebabkan tubuh sukar untuk membakar lemak," katanya.

Sumber fruktosa bukan sahaja terdapat dalam buah-buahan, malahan turut ditemui dalam madu dan makanan yang telah diproses seperti roti, yogurt, bertih jagung dan kordial minuman.

Fruktosa jika tidak digunakan segera akan bertukar menjadi lemak dan ini menjadi masalah besar buat mereka yang sedang berdiet.

Jumlah fruktosa yang dimakan perlu diambil kira terutamanya bagi penghidap diabetes memandangkan kemampuan mereka untuk mencerna gula menurun.

Jadi, bagi individu yang sedang berdiet, anda disarankan untuk membataskan pengambilan buah-buahan kepada dua hidangan sehari. Mereka digalakkan mengambil epal kerana kandungan fruktosa yang rendah tetapi tinggi serat.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta jatuh ke riba - Aisya Hasnaa

Posted:

Cinta jatuh ke riba - Aisya Hasnaa

Cinta jatuh ke riba - Aisya Hasnaa

IBARATNYA masih perawan tanpa dikotori noda-noda kontroversi, Aisya Hasnaa tanpa secalit ragu membingkiskan intuisinya. Dia bercerita tentang 'cinta' yang tiba-tiba melingkari perjalanan hidup saat ini. Peralihan fokus dirasai. Daripada bukan sesiapa dan tiada pekerjaan yang mampu memberikan kebahagiaan, langkahnya lancar bersulam gerak hati.

Terbukti, jalan seni yang dipilih sebagai laluan untuk masa depan sedang terukir baik. Lekuk-lekuk yang menambah pesona sedang disentuh, diwarnai agar mekarnya dirasai.

"Setiap hari, setiap kali hendak memulakan kerja, ada sahaja api yang menyala-nyala dan semangat yang berkobar-kobar dalam diri.

"Saya harap perasaan itu akan berterusan. Bermula daripada situ saya akan terus fokus dan bawa satu persembahan lakonan yang 'memberi'. Saya mahu jangka hayat saya sebagai pelakon akan bertahan lama," penegasan Aisya itu laju berbutir dari bibirnya.

Bertubuh mongel, si perawan dari Subang Jaya, Selangor itu gemar ketawa. Orangnya bersahaja manakala ramahnya ketara.

Ya, mungkin ada yang masih belum akrab menyebut namanya. Mungkin ada sangsi bagaimana mudahnya pelakon generasi baharu itu mendapat watak dalam sebuah drama bersiri mengisi waktu perdana. Sedangkan dari satu sisi, Aisya belum cukup dikenali. Mungkin juga ada yang melihatnya sebagai tukang masak yang kerap muncul di kaca televisyen sebelum ini.

"Itu Chef Anis, dia kakak saya. Saya adiknya," ujarnya yang semakin dikenali sejak drama bersiri Romie Cinta Julie menemui penonton.

Aisya pernah mempromosikan single dan mini album bawah naungan Wake The Baby.

Tumpang tuah

"Masa muncul dengan single Lagu Mahu Kamu dan mini album dahulu, saya baru berumur 19 tahun. Ketika itu saya masih belajar. Mungkin masa tak begitu mengizinkan saya untuk fokus kepada nyanyian walaupun ia adalah cinta pertama saya," katanya.

Graduan jurusan pengajian dalam bidang seni persembahan itu membenihkan cinta baharu buat Aisya. Tamat pengajian dia nekad untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

"Kalau ada yang masih ingat, saya bersama kakak-kakak saya menyertai program Dreams Sister. Saya memang bercita-cita mahu sambung belajar ke luar negeri tetapi kewangan tidak mencukupi. Jadi, saya kena cari duit.

BERSAIZ genit, Aisya tidak merasakan faktor fizikal akan menghalangnya untuk meraih tawaran lebih besar kelangsungan karier seninya.


"Cinta terhadap lakonan semakin membuak-buak. Dalam proses mencari kerja, banyak kali juga saya gagal, kemudian diterima masuk dalam filem Kabir Bhatia," sambung Aisya yang mulanya menganggap uji bakat dan lakonan dalam filem Dollah Superstar arahan Kabir Bhatia itu sekadar cerita pengisi dalam program Dreams Sister.

Aisya tidak menyangka filem itu turut menampilkan ramai pelakon popular termasuklah Awie, Rosyam Nor dan Neelofa.

Tidak lupa nyanyian

"Kiranya, itu filem pertama lakonan saya. Saya diberitahu bahawa filem itu akan ditayangkan tahun ini. Segala-segalanya berlaku macam dirancang-rancang. Saya belum pun setahun jadi pelakon," tambah anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Satu fakta yang menarik, Aisya beruntung kerana kerap disatukan bersama pelakon-pelakon yang sudah utuh dalam hati penonton. Salah seorang aktor yang sentiasa menjadi pilihan penerbit untuk disandingkan bersama Aisya ialah Beto Kushairy.

"Selang sebulan saya akan mengisi slot Cerekarama," katanya.

Aisya turut digandingkan bersama Beto dalam judul-judul seperti P.I, Cerita Satu Malam dan Nota Untuk Sang Awan.

"Itu antara penyebab mengapa saya bahagia, gembira dan seronok jadi pelakon. Berlakon dengan pelakon yang hebat akan berikan pengaruh yang hebat untuk orang baharu macam saya.

"Semua orang tahu lakonan Beto. Saya cukup kagum dengannya bukan hanya kerana kerja lakonan tetapi sikap Beto yang merendah diri, bersahaja dan sangat menghormati orang lain.

"Saya suka gila dapat berlakon dengan dia (Beto). Dia selalu ada benda nak diberinya dalam lakonan," ujar Aisya teruja.

Aisya juga tidak pernah menyangka kecintaannya terhadap bidang nyanyian memberi kelebihan saat lakonan menjadi fokusnya.

"Saya tak pernah kecewa dengan karier nyanyian saya terhenti seketika. Saya tetap akan menyanyi tetapi fokus kini lebih terhadap lakonan. Lagi satu, saya fikir nyanyian boleh menjadi satu kelebihan kepada saya. Saya pelakon yang mahu jadi versatil. Kalau dalam lakonan itu saya dikehendaki menyanyi saya terima. Saya pun pernah diminta menyanyi dalam lakonan dan tiba-tiba saya rasa itu momen yang hebat sebab saya lakukan dua kecintaan dalam satu masa," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem terbaharu terbitan Grand Brilliance yang berjudul Antara.

BERMULA sebagai penyanyi, Aisya Hasnaa kini mahu serius bakatnya dinilai menerusi lakonan.


Satu lagi keterujaan sedang memeluk impiannya, Aisya diapit dua hero Malaya, Remy Ishak dan Bront Palarae yang turut membintangi filem arahan Jason Chong tersebut.

"Saya galas watak pembantu sahaja. Saya jadi kawan baik kepada heroin filem berkenaan iaitu Ezzaty Abdullah. Sepanjang berlakon, saya rasa bertuah kerana selalu ada regu lakon yang best. Setiap hari rasa sentiasa nak pergi lokasi. Berlakon dengan Josiah Hogan dalam drama What If untuk 8TV pun best," kongsinya.

Tumpang rumah

Kecil tetapi besar cita-cita, Aisya mahu setiap lakonannya setidak-tidaknya mampu memberi impak kepada penonton, khususnya wanita.

"Saya gemarkan watak wanita yang kuat yang boleh dijadikan inspirasi. Saya bukan tak suka watak wanita yang lemah tetapi kalau diberi pilihan saya mahu watak-watak yang boleh beri impak," katanya punya enam saudara perempuan.

"Saya cuma ada seorang abang iaitu abang sulung, yang semua perempuan dan setiap seorang daripada kami ada karakter yang berbeza," katanya yang masih tinggal di kediaman keluarganya di Subang Jaya.

"Bagaimanapun, selagi belum kahwin kami adik beradik tidak dibenarkan tinggal di rumah sewa," tutupnya ceria tanpa membayangkan hatinya sedang dimiliki oleh mana-mana jejaka.

Bina badan demi Bidadari Hati

Posted:

Bina badan demi Bidadari Hati

Bina badan demi Bidadari Hati


BIDADARI HATI menampilkan Diddy dalam klip video yang mempesona.


TIGA tahun tenggelam daripada arus muzik tanah air, nama Diddy Hirdy akhirnya dipintas ramai penyanyi baharu. Rata-ratanya hadir bersama pakej suara dan populariti. Diddy sedar, jika mahu kembali menawan hati peminat, misi strategik harus digerakkan.

Tamat pengajian luar kampus Universiti Utara Malaysia dengan segulung ijazah cemerlang tahun lepas, Diddy kini bersedia memulakan semula karier nyanyian yang pernah diketepikan buat seketika. Kini dia perlu tampil dengan serba-serbi baharu termasuk penampilan dan material persembahan.

"Saya tidak pernah memakai singlet keluar dari rumah, kalau pakai pun hanya di bilik tidur, tetapi untuk video klip Bidadari Hati itu, saya kena pakai singlet. Dahulu, semasa dalam Akademi Fantasia, saya kurus kering dan orang asyik kata saya bongkok. Sekarang saya mahu perbaiki pandangan itu," ujar Diddy yang membuat penampilan sedikit seksi di atas katil dalam video klip single terbaharunya, Bidadari Hati arahan Khairul Hazwan.

Demi video klip rasmi yang pertama kali diterbitkan sepanjang bergelar penyanyi, lelaki berumur 29 tahun itu terpaksa masuk ke gimnasium untuk membina otot badan. Dalam video klip tersebut, pemilik nama penuh Syamsul Hirdi Muhid itu seumpama berkamarkan pantai dan debur ombak. Bahasa tubuhnya dirakamkan dalam sisi maskulin.

"Apabila diberitahu tentang konsep video klip berkenaan, saya memang kena masuk gim, bukan untuk bina badan tapi untuk mencantikkan dan memperkemaskan, bagi keluar otot-otot sikit. Saya sebenarnya segan, risau juga tapi itulah konsep yang dimahukan. Jadi, saya ambil masa tiga bulan untuk kelihatan sebagaimana dalam video itu," katanya mengunjungi gim sebanyak dua hingga kali seminggu sepanjang tempoh tiga bulan itu.

Menyempurnakan lagi teknik dan membetulkan kekurangan vokal, Diddy turut berguru dengan jurulatih vokal popular, Syafizawati Sharif.

"Pembelajaran saya bawah Cikgu Syafi (Syafizawati) sebenarnya sepanjang masa, cuma untuk lagu ini saya ambil tiga sesi latihan bersamanya," kata Diddy yang masih bernaung bawah syarikat pengurusan F-tersix Sdn. Bhd. itu.

DIIRINGI petikan gitar oleh Tam Spider, Diddy menyampaikan single terbaharunya secara akustik di hadapan media.


Bidadari Hati juga menjadi titik mula untuk bapa anak satu itu kembali aktif sebagai penyanyi. Kerjasama pertama kali dengan Tam Spider, Akid serta Poji sebagai penulis lirik dirasai oleh Diddy sebagai satu magis.

"Selama saya kurang menyanyi, orang pun lupa terhadap saya. Ada juga yang terjumpa dan menyapa saya sebagai Didie Alias. Kelakar pun ada tapi saya biarkan sahaja.

"Jadi sekarang, saya berterima kasih kepada Poji, Tam dan Akid kerana membuka peluang untuk saya masuk ke ruang mereka. Sebagai anak seni, lama tidak muncul dengan lagu baharu sebenarnya satu penyeksaan buat. Saya nyanyikan Bidadari Hati dari hati yang terdalam. Sebenarnya kami lalui dan menukar banyak versi lagu sebelum versi ini yang dikeluarkan," katanya.

Single Bidadari Hati yang bergerak atas jalur balada itu sudah pun dihantar ke semua stesen radio. Dalam perkembangan terbaharu, Diddy juga bakal muncul dengan sebuah filem seram berjudul Sunti sekitar pertengahan tahun nanti.

April ini, Diddy yang sudahpun berkahwin dengan Allen Nor Azah Musa pada tahun 2010 itu akan berlepas ke London, Britain bersama Syafizawati serta beberapa pelajar vokal yang lain untuk mengikuti pengajian jangka pendek di Royal College of Music selama sebulan.

Kecemerlangan akademik turut membuka peluang Diddy mendapat tawaran istimewa untuk terus menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Sekitar bulan Jun, Diddy akan kembali ke kampus untuk bertindak sebagai tutor sepanjang menyempurnakan pengajian berkenaan.

Radhi OAG nikah 4 April

Posted:

Radhi OAG nikah 4 April

Radhi OAG nikah 4 April

MAJLIS persandingan hanya akan berlangsung pada bulan Disember nanti selepas upacara pernikahan dilakukan pada awal bulan depan.


RADHI OAG melalui kehidupan yang penuh warna, hitam dan kelabu. Gagal dalam perkahwinan pertama dan pernah tercalar oleh penyalahgunaan dadah, namun sejak tahun 2012, lelaki yang tidak pernah hilang rona ceria pada wajahnya kembali menjadi kehidupan yang normal.

Dia mahu memulakan sebuah kehidupan yang normal. Soal terlambat atau tidak, sebagai manusia yang waras dan percaya kepada takdir, jalan terang Radhi semakin tiba ke pintu mahligai.

Tanpa mahu menyembunyikan kebahagiaan yang sedang dilalui, Radhi mengakui hubungannya dengan Shahira Ayu Zahiri, 20, bakal diikat dengan perkahwinan. Dia memilih tarikh 4 April depan sebagai hari pernikahan yang akan diadakan di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor.

"Memang saya dan Ayu akan berkahwin pada 4 April nanti. Niat hendak berkahwin sudah saya simpan sejak tahun lepas lagi, tetapi faktor kewangan menyebabkan saya kena tunggu waktu yang sesuai," jelas Radhi yang pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada tahun 2010.

Menurut Radhi juga, dia baru dua bulan diberi lampu hijau oleh keluarga Ayu agar mendahulukan syariat berbanding mengadakan majlis persandingan secara besar-besaran.

"Saya faham kemahuan keluarga Ayu, lagipun dia anak perempuan bongsu dan sudah tentu keluarga mahukan yang terbaik untuk Ayu, cuma saya sahaja yang tidak berkemampuan. Kalau boleh mereka mahu adakan majlis persandingan dalam waktu terdekat selepas akad nikah, tetapi atas persetujuan bersama majlis persandingan saya dan Ayu hanya akan berlangsung pada bulan Disember nanti. Jadi kami akan bernikah dulu dalam sebuah majlis yang sederhana," jelas

Radhi yang tidak mengikat tali pertunangan atau menghantar rombongan merisik Ayu sebelum ini.

BUKAN hanya sekadar kekasih, bakal isteri Radhi, Ayu Zahiri juga menjadi pengurus peribadi dalam menguruskan perjalanan karier seninya.


Tambah Radhi: "Saya bersyukur sebab Ayu sangat memahami, dialah tulang belakang saya selama ini. Bukan hanya kekasih malah dia juga seumpama pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier saya. Untuk persiapan perkahwinan nanti, Ayu tidak minta lebih bahkan tidak mahu membebankan saya."

Menurut Radhi juga, segala persiapan menjelang hari bahagianya sedang berjalan lancar termasuklah penetapan tema, baju nikah serta dulang hantaran.

"Kami yang mahu kahwin jadi segala persiapan dilakukan oleh saya dan Ayu. Pemilihan tema serta persediaan dulang-dulang hantaran juga dibuat sendiri oleh Ayu. Kami mahu jimatkan kos kerana lepas nikah nanti banyak lagi urusan lain menanti," tambah Radhi lega kerana sudah menyediakan bajet yang secukupnya untuk mas kahwin dan wang hantaran kepada bakal isteri.

Bercerita tentang perkembangan kariernya, ketika dihubungi, Radhi sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama berjudul Oh, My God! di Puncak Alam, Selangor.

"Selain nyanyian, saya ada berlakon. Saya juga terlibat dengan program Singing & Sharing bersama Persatuan Pengasih Malaysia. Tujuannya untuk berkongsi pengalaman dengan generasi baharu, ibu bapa serta pelajar sekolah," jelas Radhi yang menyifatkan perkongsian pengalaman sebagai satu bentuk terapi buatnya.

Dalam masa terdekat, Radhi bersama bakal isterinya Ayu juga merancang mengeluarkan jenama pakaian sendiri bawah label OAG.

"Setakat ini, saya lihat Ayu sudah matang dan memahami haluan karier saya. Insya-Allah kami akan sama-sama mencari kehidupan yang lebih baik," jelas Radhi yang merasa tenang kerana niat untuk kembali berumahtangga semakin menjadi realiti.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved