Isnin, 17 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Et rentas dari China ke Pakistan

Posted:

Et rentas dari China ke Pakistan

Et rentas dari China ke Pakistan

Dalam tempoh 37 hari, Et yang berkelana sejauh 6,077 km merentas China hingga ke Pakistan hanya membelanjakan RM2,000, malah berjaya melewati lebuh raya paling bahaya di dunia.


GAMBAR wanita tua duduk di ruang tamu dalam sebuah gua yang menjadi tempat tinggalnya di Ghizer, Pakistan.


SEBAIK sahaja redup bayang-bayang senja melatari landskap gua batu dan padang gurun di bandar purba itu, Siti Noridah Ab. Rahman, 30, merasakan ada sesuatu yang tidak kena sewaktu dia berjalan kaki melewati kawasan tersebut.

Rupa-rupanya ada seekor anjing meluru ke arahnya membuatkan wanita itu berlari sambil menggalas beg seberat 12 kilogram (kg) untuk menyelamatkan diri.

Pengalaman lucu yang mendebarkan itu dialami di Dunhuang, China masih terpahat kemas dalam ingatannya ketika mengembara secara solo selama 37 hari merentasi bumi China hingga ke Pakistan. Pengalaman manis dan pahit disimpan kemas dalam lipatan kenangan agar menjadi pedoman bagi pengembaraan akan datang.

Siti Noridah yang selesa dipanggil Et merupakan pegawai teknologi maklumat di institusi swasta di ibu negara. Dia memulakan misi kembara solo melalui Laluan Sutera dari Chengdu di China merentasi beberapa bandar sebelum menamatkan perjalanan di destinasi terakhir iaitu Islamabad di Pakistan.

Apa yang memeranjatkan, wanita kental itu memberitahu, dia hanya menghabiskan kira-kira RM2,000 bagi kos perbelanjaan berkelana sejauh 6,077 kilometer (km).

Seperti pengembara lain, Et menyediakan perancangan rapi sebelum memulakan pengembaraan tersebut. Tidak ketinggalan, dia turut mendapatkan insurans perjalanan daripada syarikat AIA bagi perlindungan keselamatan.


ET merakam gambar kenangan dengan penduduk setempat di Gupis, Pakistan.


Tidak mudah

Namun, misi yang ditempuh tidak semudah yang diharapkan. Lebih-lebih lagi apabila maklumat mengenai laluan yang ingin diredah tidak banyak terdapat di internet terutamanya tentang Pakistan.

"Selain maklumat yang agak terhad, saya menghadapi masalah ketika membuat permohonan visa di Suruhanjaya Tinggi Pakistan (STP) yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Saya perlu melampirkan surat jemputan dan salinan pasport kenalan dari Pakistan bagi memastikan permohonan visa diluluskan. Ia melambatkan proses permohonan kerana syarat tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam borang yang disediakan," ujarnya yang perlu menghadiri sesi temu duga dikendalikan oleh STP bagi melengkapkan permohonan tersebut.

Pengembaraan Et bermula dengan penerbangan selama empat jam 25 minit ke Chengdu yang terletak di Wilayah Sichuan, barat daya China. Di Chengdu, dia menginap di rumah couchsurfer (CS), Jiang yang merupakan wanita tempatan.

CS merupakan gelaran kepada pemilik akaun laman sosial Couchsurfing. Laman tersebut menyediakan ruang kepada ahlinya untuk mencari atau menjadi hos penginapan kepada pelancong dari seluruh dunia secara percuma.


ET dijamu oleh masyarakat tempatan di Pakistan dengan hidangan capati dan ikan goreng ketika dipelawa ke rumah mereka.


Kebanyakan CS yang dikenalinya sangat arif dengan lokasi makanan halal dan banyak membantunya untuk bergaul dengan masyarakat setempat.

"Ada satu tempat yang saya kunjungi merupakan pekan kecil yang tiada komuniti Islam. Saya terpaksa makan makanan segera atau mi sahaja selama 12 hari," ceritanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bandar Chengdu dihiasi dengan landskap bandar yang moden seperti bandar-bandar utama dunia. Biarpun bandar tersebut besar dan maju, penduduknya kelihatan agak tenang dan santai. Mereka gemar melakukan senaman aerobik di taman-taman terutama pada waktu petang.

Laluan Sutera

Lain pengembara, lain cita rasa kembaranya. Et memilih untuk menjelajah Laluan Sutera kerana sangat berminat untuk melihat perbezaan etnik dan gaya hidup masyarakat terutama di kawasan pedalaman.


BEGINILAH pakaian yang dipakai wanita di Kashgar pada setiap hari.


Selepas Chengdu, Et meneruskan pengembaraan ke bandar Xi'an, wilayah Shaanxi, China dengan menaiki kereta api selama 16 jam. Setibanya di bandar yang didiami kira-kira 5.25 juta penduduk itu, Et memilih tempat penginapan ala asrama bagi menjimatkan kos.

Tatkala Et memberitahu pengalamannya berkunjung ke muzium Tentera Terracotta, Xi'an yang dibina sejak 2,222 tahun lalu, terbayang-bayang gerakan kung fu bintang ternama China, Jackie Chan yang beraksi di muzium tersebut menerusi filem The Myth pada tahun 2005.

Muzium tersebut dipenuhi 8,000 patung tentera, 520 kuda dan 150 pasukan tentera berkuda. Matanya seakan-akan terpaku melihat keunikan setiap patung yang dihasilkan daripada tanah liat kerana tidak ada satu pun patung yang serupa antara satu sama lain.

Menurut sejarah, sekumpulan pekerja menjalankan kerja mengorek perigi di luar bandar Xi'an pada 1974. Tanpa diduga, satu penemuan arkeologi terbesar di dunia terbenam di lokasi berkenaan. Ia tidak ubah seperti lautan askar yang sedia bertempur di medan perang.

Melalui tulisan sejarah mahkamah, Siam Qian, askar tanah liat itu dibina dengan kerahan tenaga 700,000 hamba atas titah Maharaja Qin Pertama. Titah tersebut bertujuan untuk melindungi maharaja berkenaan di alam akhirat selepas kemangkatannya.

Tambah Et, bandar Xi'an disifatkan sebagai kota penuh bersejarah dan ia dikelilingi dengan tembok lama sepanjang 13.74km dan setebal 12 hingga 16 meter (m).

"Selagi anda berada dalam kawasan yang dikelilingi tembok, itu bermakna anda masih di dalam bandar Xi'an," tambahnya yang gemar menjelajah ke kawasan terpencil berbanding pusat bandar.


MASYARAKAT di Kashgar, Xinjiang, China masih mengamalkan sistem perniagaan ala barter melibatkan haiwan ternakan, pakaian dan barangan kraf.


Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu menggemari aktiviti mendaki semasa mengembara. Dia sentiasa membawa kelengkapan seperti kasut, sandal, selipar, beg tidur dan lampu kepala mengikut keperluan destinasi yang dituju.

Formasi gunung

Biarpun belum puas menerokai keunikan di segenap 'bandar tembok' tersebut, Et meneruskan jua pengembaraan Laluan Sutera sejauh 1,150 km (12 jam) ke bandar Zhangye. Di sana, terbentang luas pemandangan menakjubkan formasi gunung berwarna-warni yang dipanggil Batu Warna-warni Danxia.

Matanya terpaku melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Ia seolah-olah kanvas lukisan tiga dimensi yang dilimpahi ledakan warna terang pada gugusan gunung batu kapur seluas 73,945 hektar.

Sepanjang perjalanan merentasi beberapa bandar, Et menghadapi masalah komunikasi kerana rata-rata masyarakat di China tidak boleh berbahasa Inggeris terutama penduduk di kawasan pedalaman.

Menyedari hakikat tersebut, Et mencari jalan penyelesaian dengan meminta bantuan pekerja hostel untuk menulis perkataan atau nama tempat dalam bahasa Cina. Dia menunjukkan kertas tersebut kepada penduduk tempatan untuk memudahkan mereka berkomunikasi.

"Mereka memang tidak pandai langsung berbahasa Inggeris dan tidak memahami tulisan rumi. Pada masa sama, saya ada juga belajar perkataan-perkataan asas dalam bahasa Cina.

"Contohnya, ayat seperti 'berapa harga ini?' (barang atau tiket) dan perkataan stesen bas serta kereta api," jelasnya.

Seterusnya, Et menyambung kembara solonya ke lima bandar China lain iaitu Dunhuang, Urumqi, Kashgar, Karakul dan Taskurgan sebelum ke Pakistan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Mayat pegawai tadbir terapung

Posted:

Mayat pegawai tadbir terapung

Mayat pegawai tadbir terapung

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

PASUKAN keselamatan mengusung mayat Wan Hariff untuk dibedah siasat di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas ditemui mati di Sungai Terengganu di Kampung Tajin, Kuala Berang di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mayat Wan Hariff Rafany Wan Muda (gambar kecil), 35, ditemui terapung di sungai itu pada pukul 10.30 pagi oleh tiga remaja lelaki yang memancing di sungai berkenaan sebelum melaporkan kepada polis.

"Mayat masih lengkap berpakaian kemeja-T berwarna oren serta berseluar trek. Kita percaya mayat berkenaan ialah mayat mangsa yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh ahli keluarga mangsa," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian mangsa yang ketika ditemui sudah kembung selepas dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada 24 jam.

"Pemeriksaan polis ke atas mayat mangsa menjumpai kunci kereta jenis Audi di dalam poket seluarnya," kata beliau lagi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Berang sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Disambar api ketika leka mewarna

Posted:

Disambar api ketika leka mewarna

Disambar api ketika leka mewarna

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat Nurul yang ditemui di sebuah bilik di rumah kayu yang terbakar di Jalan Rozhan, Cheruk Tokun, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang leka mewarna buku lukisan ditemui mati rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Rozhan, Cheruk Tokun di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa, Nurul Adryana Lateesya Mohammad Asyri berada dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah itu bersama abangnya, Danial Mukhriz, 4.

Ketika itu, nenek kedua-dua beradik itu, Siti Zanyah Yaakob, 74, pula berada di tingkat atas rumah untuk menunaikan solat sunat Duha.

"Selepas selesai menunaikan solat sunat pukul 10.45 pagi, saya berasa bahang dari belakang selain turut terhidu bau asap. Sebaik menoleh ke arah tangga, saya nampak api merebak dari tingkat bawah.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api begitu pantas menyambar rumah. Saya juga tidak dengar cucu (Nurul) meraung meminta tolong menyebabkan saya yang panik keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan apa-apa," cerita warga emas itu semasa ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pemandu teksi bawa pembunuh pengasas AmBank miliki pistol, peluru dipenjara

Posted:

Pemandu teksi bawa pembunuh pengasas AmBank miliki pistol, peluru dipenjara

Pemandu teksi bawa pembunuh pengasas AmBank miliki pistol, peluru dipenjara

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

SIANG CHEE dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan ke atas pemandu teksi yang membawa suspek pembunuh pengasas kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi (gambar kecil) atas dua tuduhan memiliki pistol dan empat butir peluru.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Chew Siang Chee, 46, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a) akta sama kerana memiliki pistol dan empat butir peluru pada Ogos 2013.

Dalam penghakimannya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Siang Chee melampaui keraguan munasabah sehingga akhir pembelaan tertuduh.

"Pembelaan oleh tertuduh bersifat penafian semata-mata dan hanya difikirkan kemudian. Mahkamah mendapati tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap senjata tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Jangan hina Harimau Muda A!

Posted:

Jangan hina Harimau Muda A!

Jangan hina Harimau Muda A!

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KHAIRY (kanan) kesal dengan dakwaan media Asutralia yang menganggap skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie.


JANGAN kerana hanya nila setitik, habis rosak susu sebelanga! Demikian bidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung laporan negatif yang menuduh skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie yang akan menyertai Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bermula 8 Mac nanti.

Menurut beliau, ia satu pandangan yang tidak adil memandangkan penyertaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di sana mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Australia dan pengurusan liga NPL.

"Jangan hina pasukan kita. Ini skuad muda kita.

"Walaupun ada setitik nila dalam kalangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket (bookie) antarabangsa sebelum ini, janganlah kata begitu.

"(Penyertaan Harimau Muda A) dalam NPL hanya bagi kemudahan dan pendedahan, jadi saya rasa ia satu pandangan yang tidak adil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Tahunan Jelajah Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM Tour Yearbook) 2013 di Kelab Golf Kinrara, Puchong, Selangor semalam.

Turut hadir Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Kelmarin, media Australia iaitu Brisbane Times melaporkan bahawa kehadiran skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara akan membuka ruang lebih besar buat sindiket bookie untuk mengatur perlawanan di NPL Queensland.

Laporan itu turut mengimbas beberapa insiden yang berlaku termasuk ketika penjaga gol kelab Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura 2012.

Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur perlawanan, pihak media Australia itu percaya bahawa kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland.

Namun, ia jelas membangkitkan kemarahan Kim Swee yang menyifatkan laporan sedemikian mengarut, biadap dan tidak masuk akal.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, gejala mengatur perlawanan merupakan masalah universal dan bukan sekadar berlaku di Malaysia.

"Ia isu sejagat, negara lain pun ada juga. Takkan mana-mana pasukan Piala Dunia yang ada sejarah kes rasuah kita akan tuduh bukan-bukan?

"Jadi, ia satu pandangan keterlaluan dan tidak berasas," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Khairy juga mengesahkan bahawa Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN) yang sepatutnya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac depan terpaksa ditunda kerana ia bertembung dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

"Ia masih di trek yang betul, jadi satu tarikh baharu akan dikenal pasti. Mungkin ia (PPBSN) akan dilancarkan pada penghujung Mac ataupun awal April," jelas beliau.

'Harimau Muda A bersih daripada rasuah'

Posted:

'Harimau Muda A bersih daripada rasuah'

'Harimau Muda A bersih daripada rasuah'


HAMIDIN mempertahankan reputasi Harimau Muda A yang bersih daripada gejala tidak bermoral.


SKUAD Harimau Muda A tidak pernah terbabit dengan gejala rasuah seperti yang didakwa oleh media Australia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terkejut dengan dakwaan tersebut tampil mempertahankan reputasi skuad remaja negara itu yang tidak pernah terlibat dengan gejala tidak bermoral itu.

Dua tahun lalu, skuad Harimau Muda A pernah beraksi dalam Liga Singapura dan mereka tidak pernah terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, pihaknya sangat kecewa dengan tohmahan yang dilemparkan oleh media Australia yang mendakwa kedatangan skuad kendalkan Datuk Ong Kim Swee yang bakal beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queenlands pada bulan depan, bakal memberikan ruang buat sindiket perjudian untuk mengatur perlawanan di liga tersebut.

Mengulas lanjut, Hamidin berharap pihak pengurusan NPL Queensland dapat menjelaskan perkara sebenar kepada media mereka agar tidak lagi mencetuskan suasana tidak harmoni kepada pasukan muda negara yang akan beraksi di NPL pada 8 Mac nanti.

"Ia satu dakwaan yang saya sangat kesalkan. Bagi saya, ia lebih kepada spekulasi tetapi di pihak FAM, ia satu tuduhan yang amat serius.

"Untuk rekod, barisan pemain Harimau Muda A tidak pernah terlibat atau disiasat dengan skandal mengatur keputusan perlawanan ketika beraksi di Singapura.

"Sudah tentu ia tidak adil buat pihak kami dengan tuduhan tersebut kerana skuad Harimau Muda A adalah 'bersih' daripada gejala yang tidak bermoral itu.

"Kami akan mengusulkan laporan media ini kepada pihak NPL Queensland. Kami tidak mahu kedatangan kami ke sana tidak senangi oleh peminat-peminat mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, satu laporan media Australia, Brisbane Times menyifatkan, kedatangan skuad bawah 23 tahun (B-23) bakal memberikan 'ruang' lebih besar buat sindiket perjudian untuk mengatur perlawanan di NPL.

Laporan tersebut memetik kembali beberapa insiden termasuk rekod-rekod bookie yang mana penjaga gol Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A pada aksi Liga Singapura 2012.

Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur keputusan perlawanan, pihak media Australia itu percaya, kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland.

Di sebalik tanggapan negatif dari media luar, Hamidin menegaskan FAM tidak akan sesekali menarik diri daripada beraksi di NPL Queensland.

Katanya, kerjasama beraksi di NPL Queensland telah mendapat kebenaran dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Seperti yang saya katakan tadi, ia lebih kepada spekulasi media luar sahaja dan kami tetap akan beraksi di NPL Queensland.

"Mengapa harus tarik diri sedangkan FAM telah mendapat kebenaran daripada FIFA dan AFC untuk beraksi di NPL Queensland?

"Jadi, saya tidak nampak mengapa Harimau Muda A harus tarik diri dan persiapan skuad muda negara adalah lebih penting daripada memikirkan tanggapan negatif media Australia," katanya.

Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak

Posted:

Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak

Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak

REPUTASI yang dimiliki Kelantan sebagai juara bertahan Piala FA tidak lagi mengundang resah pengendali skuad Selangor PKNS, Wan Jamak Wan Hassan.

Kejayaan merobek gawang The Red Warriors sebanyak dua kali ketika tewas 2-3 pada pertemuan aksi suku akhir pertama Piala FA di Kota Bharu minggu lalu sudah cukup bagi membuktikan kesungguhan barisan pemain The Red Ant menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Justeru, Wan Jamak menuntut persembahan terbaik barisan pemainnya malam ini sekali gus menjamin slot ke separuh akhir.

"Reputasi Kelantan tidak lagi perlu dipertikai namun pada masa sama, skuad PKNS juga berhak dihormati.

"Jadi, saya harap pemain PKNS mampu mencari gol awal sekali gus memberikan tekanan kepada Kelantan esok (malam ini)," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Wan Jamak juga enggan menjadikan kelebihan gol di tempat lawan disifatkan satu kelebihan buat skuad kendaliannya malam ini.

"Kelebihan dua gol di tempat lawan tidak akan memberikan sebarang makna jika kami sekadar seri atau tewas (malam ini).

"Jadi, kami akan bermain bermati-matian supaya keputusan memihak kepada kami," kata Wan Jamak.

Beliau juga enggan mengundang risiko mengamalkan corak permainan menyerang malam ini biarpun penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho kembali pulih daripada kecederaan selain kehadiran semula Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara mengutip kad kuning kedua.

"Saya akui menyerang merupakan strategi pertahanan yang paling baik, namun saya tidak mahu PKNS terjerat dengan kekuatan Kelantan yang tampak utuh di bahagian tengah.

"Kredibiliti yang dimiliki kapten Kelantan, Badhri Radzi pastinya mengundang padah buat kami jika terlalu ghairah menyerang.

"Jika perlu, saya akan menggandingkan Ronaldinho bersama (Karlo) Primorac namun segala-galanya akan ditentukan sebelum perlawanan nanti," kata beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tapak pelupusan sampah Kubang Pasu terbakar

Posted:

Tapak pelupusan sampah Kubang Pasu terbakar

Tapak pelupusan sampah Kubang Pasu terbakar

17/02/2014 10:40pm

JITRA - Tapak Pelupusan Sampah Kubang Pasu seluas kira-kira dua hektar di Batu 13, Paya Kemunting di sini terbakar dalam kejadian petang tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.40 petang itu menyebabkan asap tebal dapat dilihat dari jarak kira-kira 10 kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Sufian Hassan berkata, kawasan yang terjejas setakat ini adalah kira-kira dua hektar daripada kawasan keseluruhan 5.22 hektar.

"Anggota bomba terpaksa berdepan dengan beberapa kekangan untuk mengawal api di sini termasuk kekurangan sumber air dan kawasan sampah yang luas.

"Lebih membimbangkan apabila kawasan terjejas ini terletak berdekatan ladang kelapa sawit yang mana jaraknya dengan pokok terdekat adalah sekitar 500 meter sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah beliau, kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran dijangka memakan masa beberapa hari untuk memastikan api padam sepenuhnya. - KOSMO!

Kementerian Kesihatan akan tambah pakar di Hospital Langkawi

Posted:

Kementerian Kesihatan akan tambah pakar di Hospital Langkawi

Kementerian Kesihatan akan tambah pakar di Hospital Langkawi

17/02/2014 10:01pm

LANGKAWI - Kementerian Kesihatan akan menambah bilangan pakar perubatan di Hospital Daerah Langkawi sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, berkata sebagai permulaan, pihak kementerian akan menambah seorang pakar Kecemasan dan Traumatologi pada Mac ini, menjadikan bilangan pakar 10 orang.

"Dengan penempatan doktor pakar, pesakit akan mendapat rawatan awal tanpa perlu dirujuk ke hospital di tanah besar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ambulans Laut Hospital Langkawi di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun lepas 299 kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, 79 kes memerlukan penggunaan pengusung pesakit, manakala 118 kes memerlukan inkubator bayi semasa proses rujukan (memindahkan pesakit ke hospital di tanah besar).

Mengenai ambulans laut, Dr. Hilmi berkata, perkhidmatan itu akan memberi keselesaan di samping menjimatkan kos memindahkan pesakit ke tanah besar untuk mendapat rawatan kecemasan.

Menurutnya, pesakit yang dirujuk ke hospital di tanah besar sebelum ini terpaksa menaiki feri penumpang biasa dalam keadaan tidak selesa di samping jadual bertolak yang tidak menentu selain terdedah di khalayak awam. - Bernama

104 penuntut USIM redah perjalanan 12 jam akibat letusan gunung berapi

Posted:

104 penuntut USIM redah perjalanan 12 jam akibat letusan gunung berapi

104 penuntut USIM redah perjalanan 12 jam akibat letusan gunung berapi

17/02/2014 9:58pm

JAKARTA - Sejumlah 104 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpaksa mengharungi perjalanan selama 12 jam menaiki bas ke sini, berikutan Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto di Yogyakarta ditutup susulan letusan Gunung Berapi Kelud di Jawa Timur, Khamis lepas.

Mereka terpaksa meredah perjalanan yang lama itu untuk ditempatkan di Dewan Malaysia Jakarta (MHJ) dua hari lepas (Sabtu), sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Kesemua pelajar berkenaan yang turut diiringi tiga pegawai dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) itu, sepatutnya berlepas pulang ke tanah air dari lapangan terbang berkenaan pada 15 Feb.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh, berkata pihaknya mengambil inisiatif memindahkan kesemua peserta rombongan itu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.

Mengikut jadual asal, katanya rombongan itu sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur melalui lapangan terbang itu sebaik selesai menjayakan Program Pengembaraan USIM GISO 2014: Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Yogyakarta selama enam hari.

Bagaimanapun, beliau berkata, berikutan debu akibat letusan Gunung Berapi Kelud menutupi ruang udara Yogyakarta, lapangan terbang tersebut ditutup dan semua penerbangan dibatalkan sehingga kini.

Katanya, semua anggota rombongan akan berlepas pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini, dalam tempoh terdekat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Peguam Morsi keluar mahkamah

Posted:

Peguam Morsi keluar mahkamah

Peguam Morsi keluar mahkamah

GAMBAR bertarikh 28 Januari lalu menunjukkan Morsi diletakkan di dalam kandang berkaca di sebuah mahkamah di Kaherah.


KAHERAH - Barisan peguam yang mewakili bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi bertindak keluar dari sebuah mahkamah sebagai bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa meletakkannya di dalam kadang berkaca yang kalis bunyi.

Beberapa stesen televisyen tempatan melaporkan, Hakim Shaaban el-Shamy mengarahkan perbicaraan berehat sebentar selepas barisan peguam Morsi bertindak keluar dari mahkamah.

Morsi diletakkan di dalam kurungan berkenaan selepas beliau dan beberapa tertuduh yang lain sering mengganggu perbicaraan apabila mereka berbalah dengan hakim.

Kurungan kaca itu membolehkan hakim mengawal keadaan dan hanya membenarkan tertuduh bercakap apabila diarahkan.

Morsi semalam dihadap ke mahkamah atas tuduhan mengintip dan melancarkan serangan di negara ini.

Morsi dan 35 tahanan lain termasuk pembantu serta bekas beberapa pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin didakwa mengintip untuk organisasi antarabangsa.

Antara organisasi antarabangsa itu ialah pergerakan Hamas di Palestin.

Mereka juga didakwa melancarkan aktiviti keganasan di negara ini dengan menyerang harta negara, institusi dan penjawat awam bagi mencetuskan keadaan huru-hara.

Jika didapati bersalah, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati.

Morsi turut menghadapi perbicaraan kerana membunuh pemimpin penunjuk perasaan pada Disember 2012 dan satu lagi perbicaraan atas tuduhan melarikan diri dari penjara pada tahun 2011.

Beliau juga bakal dibicarakan atas satu lagi tuduhan kerana menghina badan kehakiman.

Sepanjang pemerintahan Morsi, hubungan antara Kaherah dan Hamas yang memerintah di Genting Gaza semakin erat.

Bagaimanapun, beliau digulingkan tentera yang melakukan rampasan kuasa pada Julai tahun lalu.

Pihak tentera menuduh Hamas menyokong Morsi dan Ikhwanul Muslimin serta melancarkan serangan ke atas Mesir.

Morsi digulingkan selepas rakyat negara ini membantah beberapa dasar beliau antaranya adalah keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah. - AFP

NASA selesaikan isu batu misteri

Posted:

NASA selesaikan isu batu misteri

NASA selesaikan isu batu misteri

GAMBAR fail menunjukkan seketul batu (dalam bulatan) berada dekat kenderaan Opportunity di Marikh pada 8 Januari lalu.


CHICAGO - Sekumpulan saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyelesaikan kehadiran seketul batu misteri berbentuk kuih donat yang tiba-tiba muncul di depan kamera kenderaan penjelajah di planet Marikh.

Pada 26 Disember tahun lalu, batu tersebut tidak berada di depan kamera kenderaan Opportunity itu.

Namun, pada 8 Januari lalu, sekeping gambar yang dihantar kenderaan tersebut menunjukkan terdapat batu berkenaan.

Batu itu selebar empat sentimeter dan berwarna putih.

Para saintis itu kemudian merungkaikan misteri itu dengan menyatakan bahawa ia merupakan serpihan batu yang telah dilanggar kenderaan Opportunity.

Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Penyiasat Prinsipal Opportunity, Ray Arvidson di Universiti Washington di sini pada Jumaat lalu. - AFP

Sotong gurita cuba curi kamera di laut AS

Posted:

Sotong gurita cuba curi kamera di laut AS

Sotong gurita cuba curi kamera di laut AS


MURRAY dan sotong itu saling 'berebut' kamera.


MONTEREY, California - Seekor sotong gurita yang mempunyai lapan kaki cuba mencuri sebuah kamera milik seorang penyelam di dasar laut Point Lobos di Carmel baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku ketika penyelam tersebut, Warren Murray menyelam bersama seorang rakannya, David Malvestuto.

Murray yang sedang merakamkan gambar di dasar laut tidak menyangka kehadiran sotong tersebut kerana warnanya hampir sama dengan warna batu karang di dasar laut.

Namun, sotong tersebut gagal untuk melarikan kamera itu kerana Murray bertindak memegangnya dengan kuat walaupun ia cuba dirampas haiwan tersebut dengan menggunakan kakinya.

Sotong itu kemudian bergerak meninggalkan Murray selepas ia gagal untuk melarikan kamera itu.

Berita tersebut mendapat liputan berita NBC News pada 14 Februari lalu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kak Engku bantai Fathia

Posted:

Kak Engku bantai Fathia

Kak Engku bantai Fathia

KAYANYA teater bangsawan terletak pada penceritaan, ada magis, ada manis, ada fantasi dan tersirat pengajaran. Perihal itu disampaikan menerusi pementasan teater Bidasari yang telah mula dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.

Teater itu dilakonkan oleh Nur Fathia sebagai Bidasari, Aiman Hakim Ridza (Tengku Indra), Hairul Azreen (Tengku Iskandar) dan Raja Azura (Permaisuri Laila Sri) sebagai tunjang utama.

Malangnya, hal yang harus diakui bahawa watak Bidasari yang dilakonkan oleh Fathia kurang menyerlah ketika pementasan pertama bersama media pada 10 Februari lalu.

Memandangkan Bidasari sendiri diangkat sebagai subjek cerita dan fokus utama, kekurangan itu dilihat sebagai satu percaturan yang salah apabila menenggelamkan karakter utama yang dinanti-nantikan penonton.

Sebaliknya, watak Permaisuri Laila Sri lakonan Raja Azura atau popular disapa Kak Engku jauh lebih berkualiti dan berjaya membawa penonton menerokai perjalanan kisah penglipurlara Melayu itu.

Kak Engku mencuri perhatian menerusi lantunan suaranya yang lantang dan karakter kejam permaisuri yang berjaya disampaikan secara bersahaja.

Selain itu, ada beberapa babak yang melibatkan Kak Engku memukul Nur Fathia yang melakonkan watak Bidasari secara bersungguh-sungguh hingga mengundang jeritan teruja penonton.

Snow White Melayu

Naskhah Bidasari atau sering disamakan dengan Snow White versi Melayu itu menceritakan seorang gadis cantik yang menjadi saingan semua wanita termasuk Permaisuri Laila Sri.


LAKONAN Raja Azura dalam Bidasari dikatakan lebih menyerlah berbanding Nur Fathia.


Bidasari merupakan anak angkat seorang saudagar yang berkongsi nyawa dengan seekor ikan. Dek cemburu, permaisuri jahat itu mengumpan Bidasari untuk tinggal di istana dan 'menidurkannya' menerusi nyawa ikan tersebut.

Akhirnya, hikmah seutas kalung telah berjaya membuka semula sumpah itu dan menghidupkan kembali Bidasari sekali gus menghapuskan Permaisuri Laila Sri.

Kenapa sering disamakan dengan pengkisahan Snow White? Salah satunya jalan cerita watak utama ditidurkan dan dihidupkan semula menerusi magis, adanya karakter permaisuri jahat dan hero yang menyelamatkan si puteri.

Permaisuri jahat pasti akan melengkapkan sesebuah cerita tentang penganiayaan seorang gadis cantik dan baik. Begitu juga teater Bidasari yang telah melonjakkan keupayaan pemain watak itu, Raja Azura.

"Perempuan jahat memang selalu orang nampak walaupun satu babak. Kalau ditonton menerusi filem hitam putih Bidasari, karakter permaisuri kurang menyerlah.

"Jadi, saya menyuntik semua elemen yang sewajarnya mengikut pemahaman saya sendiri menjadi lebih dramatik, berkuasa dan kejam.

"Saya tidak suka menciplak karakter itu satu persatu tapi saya menaik tambah, selain menggambarkan watak itu dalam masa sama penonton akan terhibur," ujarnya yang menyuntik humor semasa terutama babak membabitkan dayang-dayang.

BIDASARI merupakan pementasan teater pertama yang menggandingkan Nur Fathia bersama Aiman.


Bersilat

Kali terakhir berlakon di pentas teater menerusi teater muzikal Sinbad pada tahun 2008, Raja Azura menyifatkan lakonannya kali ini mengubat kerinduan dan platform untuk dia lepas geram.

"Penonton lihat saya menyerlah mungkin kerana pengalaman, kalau dulu sayalah ratu di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lepas satu-persatu saya berlakon.

"Drama Pendekar kemudiannya melatih saya untuk mahir berpencak silat, dilambung tinggi-tinggi, diikat, ditolak, terbang dari pokok ke pokok dan kerana itu juga saya kebal untuk beraksi sekali lagi.

"Selepas datang menonton teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang tahun lalu, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) mengajak saya untuk berlakon sekali lagi dalam teater ini dan saya tidak boleh berkata tidak kerana saya juga peminat naskhah ini.

"Diberi pula watak permaisuri jahat, memanglah makanan saya. Ibaratnya kalau sudah lama tidak berlakon, saya menjadi kemaruk dan melepaskan segala yang terpendam selama ini," jelasnya.

Ditanya adakah teater Bidasari berjaya membuka ruang hatinya untuk kembali berlakon selain menjadi penyampai radio sepenuh masa di Sinar FM ketika ini, jawab Kak Engku dia akan menerima sekiranya ada tawaran watak yang menarik.

"Takbir Suci arahan Rashid Sibir adalah telefilem terakhir yang saya berlakon. Memang rindu tapi jujur saya katakan jadual saya penuh sampai bulan Jun, risau tidak dapat memberikan komitmen dan menyusahkan pihak lain," katanya.


PEMENTASAN Bidasari berlangsung dari 10 Februari lalu dan bakal berakhir pada hari ini, 17 Februari.


Tambah Kak Engku, menariknya mengenai teater bangsawan contohnya Bidasari kerana tersurat adab dan perilaku bangsa Melayu yang ramah serta santun.

"Ramai yang tidak mengetahui cara untuk bercakap depan raja, generasi sekarang pun tidak mengerti makna sopan-santun, dengan adanya pementasan teater ini secara tidak langsung mampu mendidik penonton," ujarnya.

Dalam pada itu, aspek teknikal pementasan teater itu harus diberikan pujian. Permainan cahaya, audio, koreografi pentas, susunan plot, kualiti props gergasi, grafik, busana dan ensemble (penari dan pemuzik) yang mengalir sempurna melengkapkan teater Bidasari.

Rabecca lebih tenang berhijab

Posted:

Rabecca lebih tenang berhijab

Rabecca lebih tenang berhijab

Oleh IZWAN MOHD. ISA

RABECCA sangat bersyukur kerana hatinya kini sudah terbuka untuk berhijab.


PELAKON Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, atau Rabecca Al-Islam pernah dikecam hebat kerana sering berpenampilan seksi. Para peminat kepada aktres yang berusia 28 tahun ini turut membandingkan imej berani wanita itu dengan keindahan namanya yang nyata sangat jauh berlawanan.

Bagaimanapun, usai mengerjakan ibadah umrah pada minggu lalu, Rabecca sekali lagi mengejutkan para peminatnya apabila dia mengambil keputusan mengenakan busana menutup aurat serta mengenakan hijab.

Dia yang pernah popular menerusi drama bersiri Dejavu Di Kinabalu itu mengakui, kini dirinya berasa lebih tenang setelah tampil dengan imej baharu. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Rabecca menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Tahniah kerana Rabecca tampil dengan imej baharu. Mengapa anda mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya?

RABECCA: Setelah hampir dua minggu berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah, saya berasa kekok jika tidak mengenakan hijab di Kuala Lumpur. Perasaan tenang ketika berada di sana begitu kuat dirasai hingga ke hari ini. Insya-Allah, saya akan terus berpenampilan sebegini sehingga bila-bila.

Bagaimana Rabecca boleh terbuka hati untuk mengerjakan ibadah umrah?

Keluarga sebelah suami merancang untuk ke Mekah secara berkumpulan. Jadi, dia mengajak saya untuk turut serta. Namun, saya agak sibuk dan jadual kerja pula sangat padat. Bagaimanapun, ibu saya yang banyak menggalakkan dan memberi nasihat kepada saya untuk ikut serta bagi mengerjakan ibadah umrah. Katanya, ramai orang yang boleh bercuti ke luar negara tetapi tidak mampu untuk ke Mekah. Menyedari hakikat itu dan peluang yang sudah ada di depan mata, saya pun bersetuju untuk mengikuti rombongan tersebut.

Apakah persediaan Rabecca sebelum menjejakkan kaki ke Mekah?

Saya banyak mengikuti kursus serta membaca buku-buku berkaitan ibadah umrah.


HAMPIR dua minggu, Rabecca bersama suami mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini.


Apakah perkara yang paling Rabecca rindu setelah pulang ke tanah air?

Saya sangat rindu untuk melihat Kaabah kerana saya berasa sungguh tenang ketika berada di sana. Saya juga rindu untuk bersembahyang di Madinah. Apa yang membuatkan saya begitu gembira ketika berada di sana ialah kelancaran untuk beribadah. Saya sangat bersyukur kerana diberi ketenangan sebegitu oleh Allah S.W.T.

Bagaimanakah reaksi suami apabila melihat perubahan Rabecca?

Suami saya cukup terkejut apabila melihat saya pulang dari pejabat dengan memakai hijab. Namun, dia merupakan seorang suami yang sangat memahami dan menyokong setiap keputusan saya.

Sebelum ini, Rabecca terkenal dengan imej yang seksi. Apakah yang anda ingin lakukan terhadap baju-baju yang anda miliki?

Setakat ini, saya hanya ada sedikit koleksi baju yang menutup aurat, jadi saya harus mencari baju-baju baharu untuk menggantikan baju lama. Bagi baju-baju yang seksi, saya mengambil keputusan untuk menjualnya menerusi akaun Instagram saya. Jika berminat, mereka boleh membeli dengan potongan harga sehingga 80 peratus.

Adakah Rabecca ingin meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah berhijab sepenuhnya?

Ya, saya tetap akan berlakon. Minat saya terhadap bidang seni sememangnya tidak pernah padam. Saya sangat suka berlakon dan akan terus bergelar sebagai seorang pelakon. Saya juga ingin mencuba untuk menjadi pengacara rancangan berunsur dakwah jika diberi peluang.

Apakah perkembangan terbaharu karier Rabecca?

Saya sekarang dalam proses untuk memulakan bisnes pengaturcaraan majlis bersama kakak saudara. Perniagaan ini juga melibatkan dekorasi pelamin untuk majlis perkahwinan. Buat masa ini, kami beroperasi di Kelantan tetapi saya masih cuba untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.

Liyana Jasmay pilihan Sam

Posted:

Liyana Jasmay pilihan Sam

Liyana Jasmay pilihan Sam

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

ADA sebab kenapa Shaheizy Sam memilih Liyana Jasmay untuk berkolaborasi menerusi single, Bangun.


PADUAN vokal dua ikon industri hiburan tanah air, Shaheizy Sam dan Liyana Jasmay menerusi single terbaharu mereka, Bangun ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Dihasilkan menerusi kempen Nescafe On Sam, single ciptaan terbaharu komposer terkenal Audi Mok itu merupakan sebuah naskhah yang berkisar tentang perjalanan hidup Sam sepanjang kariernya sebagai penggiat seni lakonan dan nyanyian tanah air.

Penghasilan Bangun tercipta melalui percambahan idea kira-kira 50,000 peminat Sam yang menghantar cadangan lirik sepanjang dua bulan kempen Nescafe On Sam berlangsung.

Menurut Sam yang popular menerusi single duetnya bersama Yana Samsudin berjudul, Begini Caranya itu, dia sudah lama berhasrat untuk menyampaikan lagu hasil sumbangan lirik daripada peminatnya.

Sam menambah, melalui penghasilan lagu itu, ia dapat merapatkan hubungan antara peminatnya.

Selain itu, dia merasakan lagu tersebut sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak membantunya untuk terus bertahan dalam dunia hiburan ini.

"Saya sungguh bersyukur menerusi penghasilan lagu itu, walaupun lahirnya saya dalam bidang hiburan bukan daripada bidang nyanyian, saya berusaha untuk menyampaikan lagu tersebut dengan cara saya sendiri.

"Saya senang bekerja bersama Audi Mok kerana dia memahami saya. dia tidak pernah mengkritik malahan memberi saya motivasi untuk terus bernyanyi," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Talent Lounge, Pusat Dagangan Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Sam, dia tidak bercadang untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai profesion utamanya.

LIYANA JASMAY dijadual melahirkan anak sulungnya menjelang bulan April ini.


Namun hero filem Adnan Sempit itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang nyanyian.

"Berlakon merupakan karier saya, dan bidang nyanyian adalah salah satu cabang seni yang saya minati," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Liyana Jasmay sebagai artis duetnya, Sam berkata, dia memilih Liyana disebabkan penampilan dan gaya Liyana yang dikatakan berlainan daripada artis lain.

"Saya memilih Liyana sebagai artis duet disebabkan dia mempunyai gaya dan attitude yang tersendiri.

"Bagi saya, kesempurnaan vokal tidak penting. Apa yang penting, lagu tersebut dapat disampaikan dengan cara kami tersendiri.

"Selain itu, kami rasa senang bekerja bersama disebab sudah kenal lama sejak zaman persekolahan lagi," ujar Sam yang bakal membintangi filem baharu, Adnan Sempit Sawadikap.

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon comel, Liyana Jasmay kelihatan ceria apabila ditanya mengenai penglibatannya dengan single Bangun.

"Saya rasa ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bekerjasama dengan Sam dan Audi Mok, memandangkan ini merupakan projek yang pertama antara kami. Saya rasa amat selesa bekerjasama dengan mereka," ujarnya yang kini sarat mengandung anak pertama yang dijangka lahir pada bulan April ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perniagaan Minuman Nestle, Jasmmine Wong berkata, pemilihan konsep tersebut bertujuan memberi ruang kepada peminat Sam untuk lebih rapat bersama idola mereka di samping mengembangkan bakat nyanyiannya.

"Kami menerima maklum balas yang amat positif daripada peminat Sam sepanjang dua bulan kempen tersebut berlangsung.

"Ia merupakan satu penghormatan kepada kami untuk terus menjadi orang kuat di sebalik perjalanan karier nyanyian Sam pada masa akan datang," katanya.

Penonton yang ingin melihat klip video Bangun boleh melayari YouTube dengan kata kunci Bangun - #NescafeOnSam.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved