Ahad, 18 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


NAAM bela nasib belia India

Posted:

NAAM bela nasib belia India

NAAM bela nasib belia India

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD

SARAVANAN (tiga dari kanan) komited melahirkan usahawan daripada belia India termasuk dalam sektor pertanian.


MALAYSIA ketika ini dianggarkan mempunyai kira-kira 13.7 juta golongan belia yang mampu membekalkan tenaga kerja yang memberikan impak tinggi kepada ekonomi negara.

Sayangnya, kebolehan yang dimiliki golongan itu tidak digunakan sepenuhnya hingga menyaksikan kira-kira 10.9 peratus belia berada dalam paras kemiskinan.

Punca utama situasi itu berlaku disebabkan kekurangan pengetahuan, sumber, kewangan, rangkaian dan peluang yang masih membelenggu golongan berkenaan.

Bertitik-tolak daripada masalah itu, Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM)) telah ditubuhkan pada 3 Januari 2014 yang bertujuan memperkasa ekonomi belia dan beliawanis terutama daripada kaum India.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, NAAM berhasrat melahirkan kira-kira 100,000 usahawan golongan belia, khususnya kaum India, terutamanya dalam sektor pertanian untuk tempoh empat tahun dari 2014 hingga 2017.

Platform

Saravanan berkata, yayasan itu bakal menjadi platform menghubungkan golongan belia dan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi mereka dengan fokus kepada kumpulan berpendapatan rendah.

"Dalam tempoh itu, NAAM akan berusaha meningkatkan penglibatan belia India dalam bidang perniagaan, pertanian, penternakan dan perusahaan bagi melahirkan masyarakat berdaya saing dan maju.

"Kumpulan sasar program ini melibatkan belia lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mereka yang berkelulusan rendah, komuniti setempat dan pekerja yang tidak memiliki sijil kemahiran.

"Tumpuan khas juga akan diberi kepada kategori belia berisiko tinggi, misalnya mereka yang keciciran dalam persekolahan," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saravanan yang juga Pengerusi NAAM menjelaskan, terdapat beberapa kaedah ditetapkan bagi mengukur pencapai yayasan tersebut seperti mencipta peluang pekerjaan, kebolehpasaran graduan India dan meningkatkan daya saing golongan itu.

Indikator lain ialah mengasimilasikan belia India ke dalam arus perdana pembangunan negara di samping membina komuniti digital.

Dalam usaha memantapkan lagi peranan yayasan itu, pihak NAAM akan mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan beberapa kerjasama yang boleh dimainkan di peringkat negeri.

Antara agendanya termasuk usul pajakan tanah milik kerajaan negeri untuk kegunaan pertanian bagi belia kaum India.

Sebagai permulaan NAAM akan berbincang dengan enam negeri dahulu iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Melaka sebelum ke negeri-negeri lain.


PENINGKATAN penglibatan golongan belia India dalam sektor perniagaan turut menjadi agenda NAAM.


Pajak tanah

Tanah yang dipajak daripada kerajaan negeri itu akan dibahagikan kepada kawasan-kawasan yang lebih kecil untuk diusahakan oleh golongan belia yang menyertai NAAM.

Yayasan itu juga akan mengusulkan cadangan kepada kerajaan negeri yang berminat menyewakan tanah kepada petani-petani muda untuk tempoh tertentu, misalnya antara empat hingga lima tahun.

Mereka yang berumur antara 18 hingga 40 tahun boleh menjadi ahli pertubuhan belia NAAM, manakala mereka yang berusia 40 tahun ke atas digalakkan menyertai pertubuhan NAAM.

Bagi meluaskan lagi fungsinya, NAAM akan membuka pejabat cawangannya di setiap negeri pada bulan Jun ini bagi menarik lebih ramai lagi penyertaan belia India.

Menurut Saravanan, NAAM telah menerima lebih 20,000 permohonan daripada golongan belia untuk menyertai pertubuhan itu sejak ia ditubuhkan Januari lalu.

Katanya, sebagai projek perintis, seramai 5,000 peserta bakal dipilih menyertai program yang dilaksanakan oleh NAAM tahun ini.

"Usaha ini amat penting memandangkan Malaysia hanya mempunyai tujuh tahun lagi untuk mencapai status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Disebabkan itu, NAAM harus selangkah ke hadapan bagi memastikan golongan belia tidak tercicir dalam menikmati hasil pembangunan yang dikecapi negara," ujar beliau.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai NAAM boleh mendapatkan borang di pejabat NAAM dan MIC di seluruh negara.

Nafas baharu seni reka seramik

Posted:

Nafas baharu seni reka seramik

Nafas baharu seni reka seramik

Oleh MOHD SHAZWAN YUSOP


SENIMAN muda ini bersama seramik badak sumbu.


PERKEMBANGAN seni reka seramik di negara ini sedang mengalami satu revolusi baharu ke arah lebih moden dan menarik.

Seramik merujuk kepada semua bentuk tanah liat. Bagaimanapun, istilah moden meluaskan penggunaannya untuk merangkumi bahan bukan logam dan bukan organik.

Antara contoh seramik yang popular di negara kita ialah pasu, pinggan mangkuk, tembikar, batu-bata dan jubin.

Atas nama seni kontemporari, seramik telah mula digubah menjadi sesuatu yang lebih menarik dan unik.

Itulah yang dilakukan oleh Al-Khuzairi Ali, 30, salah seorang artis seramik tempatan yang sedang meningkat naik.

Menurut graduan jurusan Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, seramik mempunyai kelainan tersendiri berbanding medium lain seperti kayu dan besi.

"Saya memilih untuk berkecimpung dalam seni seramik kerana ia mempunyai keistimewaan.

"Malah, saya juga dapati medium ini masih kurang diceburi oleh artis-artis tempatan," katanya yang menjadikan artis seramik tempatan, Umibaizurah Mahirismail sebagai mentornya.

Ujar anak kelahiran Kuantan, Pahang itu lagi, kebanyakan seramik hadir dalam bentuk tradisional seperti pasu dan pinggan mangkuk.

Namun, bagi memberi nafas baharu yang lebih moden dan menarik, dia memilih untuk menghasilkan seramik dalam bentuk robot dan kerangka haiwan.

Kesemua hasil karya ini mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

Ia bermula daripada proses pemilihan tanah liat yang sesuai sebelum dibentuk mengikut rupa yang dikehendaki. Kemudiannya, tanah liat tersebut perlu dibakar pada suhu 900 hingga 1,200 darjah celcius. Ujarnya lagi, bagi artis seramik sepertinya, istilah pecah merupakan sesuatu yang normal.


GALERI ini turut mempamerkan karya enam pelukis baharu berbakat besar.


Belajar

"Pecah merupakan perkara biasa bagi seorang artis seramik. Namun daripada kegagalan itulah kami belajar," katanya.

Al-Khuzairi merupakan salah seorang artis yang terlibat dalam pameran Remark yang sedang berlangsung di galeri Artcube, Landmark, Kuala Lumpur.

Empat karya terbaharu beliau sedang dipamerkan pada pameran yang berlangsung dari 1 hingga 31 Mei itu, antaranya Rise of Machine II dan Rise of Machine III.

Sementara itu, menurut pemilik galeri Artcube, Azhar Ahmad, pameran tersebut menampilkan lima pelukis baharu berbakat besar seperti Azad Daniel, Anniketyni Madian, Azrin Mohd. Daud Rahim, Dhavinder Singh dan Al-Khuzairi.

"Pameran ini khusus untuk pelukis baharu yang sedang meningkat naik serta menggunakan teknik serta medium yang berlainan dalam menghasilkan karya seperti seramik, warna pensil, ukiran dan cetakan tiga dimensi.

"Walaupun mereka masih baharu, namun di sini kita boleh lihat kebanyakan karya yang dihasilkan adalah bertaraf dunia," katanya.

Tambah Azhar lagi, dia berharap kesemua karya tersebut dapat dijual sebelum 31 Mei.

Ujarnya, setakat ini beberapa karya telah dibeli oleh beberapa orang pengumpul walaupun pameran itu masih belum dibuka secara rasmi.

Orang ramai yang berminat untuk melihat atau membeli karya-karya seni bermutu tinggi dari pelukis muda tempatan ini bolehlah berkunjung ke galeri tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved