Jumaat, 2 Mei 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Jual pisang kumpul dana

Posted:

Jual pisang kumpul dana

Jual pisang kumpul dana

Oleh SITI NOOR KASANABILAH KAMARUL ZAMAN


SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang begitu teruja dengan pembukaan Pusat komputer komuniti kampung Lubuk Jaya.


TATKALA pintu pusat komputer komuniti Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor dibuka, kelihatan beberapa orang kanak-kanak begitu teruja memasuki pusat komputer komuniti (CCC) tersebut.

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman itu, wujudnya pusat tersebut menjadi satu anugerah yang besar nilainya.

Pusat komuniti yang dibina atas sebidang tanah yang diwakafkan seorang penduduk kampung merupakan projek komuniti Starbucks Malaysia (Starbucks) yang dimulakan pembinaannya April tahun lalu.

CCC yang baru sahaja dibuka pada 19 April lalu sangat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung itu khususnya kanak-kanak.

Bilik berhawa dingin yang dilengkapi 10 buah komputer merupakan usaha murni Starbucks bersama pelanggan-pelanggan yang menyumbangkan kira-kira RM100,000 untuk pembinaannya.

Bagi Nur Syarifah Suhadah Othman, adanya pusat komuniti tersebut memberi ruang kepada dirinya untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Gadis sunti berumur 15 tahun ini tidak sempat untuk meneruskan persekolahan, namun azamnya untuk mencari ilmu sangat tinggi.

Katanya, pusat komuniti tersebut membolehkannya belajar asas-asas komputer seperti menaip menggunakan perisian Microsoft Office serta melayari internet.

Belajar

Selain belajar kemahiran asas komputer dan teknologi maklumat, Nur Syarifah mahu memanfaatkan pusat komuniti ini sebagai akses untuk menimba ilmu.

Dia juga mahu mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk memajukan perniagaan kedai makan yang diusahakan ibunya berhampiran rumah.

Gadis ini juga tidak mahu melepaskan peluang mengikuti kelas komputer yang dikelolakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Kebajikan Hope Sedunia (Hope).

Hope akan menyediakan satu jadual khusus untuk kanak-kanak di kawasan tersebut termasuk mempelajari sistem e-Pembelajaran.

Pengarah Eksekutifnya, Katy Lee berkata, pihaknya akan menyediakan tenaga pengajar yang terdiri daripada warga tempatan yang akan mengajar kanak-kanak di kampung Lubuk Jaya itu.


PEMBUKAAN CCC yang dirasmikan 19 April lalu diharapkan membawa sinar baharu buat penduduk Kampung Lubuk Jaya.


HOPE juga akan menyediakan modul pembelajaran komputer kepada penduduk kampung untuk memastikan kanak-kanak khususnya dan masyarakat setempat mendapat kemahiran yang sepatutnya.

Sementara itu, bagi Shahril Othman pula, dia lebih bersemangat untuk belajar kerana mengulangkaji dengan komputer lebih seronok dan tidak membosankan.

Pembelajaran yang interaktif ini diharapkan mampu melonjakkan prestasi akademik dan memperbaiki kedudukannya dalam kelas, kata si cilik yang menduduki tempat kelima dalam kelasnya.

Dia yang berusia lapan tahun itu mahu meneroka ilmu sains dengan lebih mendalam melalui modul pembelajaran dalam talian yang bakal didedahkan kepadanya dan rakan-rakan nanti.

Baginya, belajar komputer di CCC pasti lebih menyeronokkan kerana mempunyai seseorang yang akan mengajarnya selain tidak perlu berebut-rebut dengan ramai rakan sekelas seperti di sekolah.

Sambil mata tidak berkelip menghadap skrin komputer, tangannya leka menaip sesuatu, dia memberitahu, cita-citanya untuk menjadi seorang angkasawan.

Shahril akan dihantar oleh ibunya ke pusat tersebut selepas waktu persekolahan untuk mengikuti kelas yang disediakan.

Pisang

Bagi Ketua Kampung Lubuk Jaya, E'Ajis Jaafar, usaha Starbucks mendirikan CCC tersebut perlu dipuji.

Mereka bukan sahaja melakukan khidmat komuniti malah turut memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk menambah pendapatan.

Katanya, bermula April tahun lalu penduduk kampung telah memulakan projek tanaman pisang berangan secara intensif yang dibeli pihak Starbucks secara pukal setiap hari.


STARBUCKS menyumbang kembali sebahagian daripada hasil jualannya kepada komuniti yang juga merupakan sumbangan daripada para pelanggannya.


"Dahulu kebanyakan penduduk kampung bergantung kepada tanaman kelapa sawit, tetapi sekarang tanaman pisang berangan gred A menjadi sumber pendapatan penting di sana.

"Starbucks telah menjadikan kampung tersebut sebagai perintis kepada program Connecting Communities (Menghubung Komuniti) sempena ulang tahunnya ke 15," ujar beliau.

Menerusi program tersebut, bekalan pisang dari kampung itu digunakan pihak Starbucks dalam menghasilkan pelbagai menu pastri dan biskut yang menggunakan bahan pisang di semua cawangannya di negara ini.

Hasil jualan biskut dan pastri ini di semua rangkaian Starbucks selama tujuh bulan kemudian disumbangkan semula untuk pembinaan CCC tersebut.

Beliau yang lebih mesra dengan nama Cikgu Ajis berkata, secara purata, pendapatan penduduk yang bertani telah meningkat kepada RM3,000 sebulan.

Usaha sama yang dijalinkan antara penduduk kampung dan Starbucks dalam projek tanaman pisang banyak mengubah landskap ekonomi dan gaya hidup penduduk kampung Lubuk Jaya.

Kawasan tanaman seluas 20 hektar itu akan ditambah sekali ganda menerusi bantuan benih dan baja serta nasihat daripada Jabatan Pertanian Selangor melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM76,000.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Azmir Firdaus Zamzuri yang turut hadir pada majlis perasmian itu berkata, pengeluaran pisang gred A di kampung itu kini mencecah 100 kilogram (kg) setiap hari.

Katanya, sehingga Disember tahun lalu sebanyak 83.5 tan pisang berangan gred A telah dipasarkan oleh penduduk kampung ini.

Epal pelengkap dua hidangan sehari

Posted:

Epal pelengkap dua hidangan sehari

Epal pelengkap dua hidangan sehari

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


SEBAGAI seorang selebriti, Sazzy (kiri) mengamalkan gaya hidup sihat.


BERSAMA dua rakan media yang lain, selebriti, Sazzy Falak, telah bersiap sedia dengan sebiji epal di tangan. Dengan kiraan tiga, ketiga-tiga mereka bertungkus-lumus cuba menghabiskan sebiji epal dalam masa seminit. Masing-masing mula menggigit bahagian yang dilihat paling menyelerakan iaitu tengah-tengah epal.

Namun, selepas seminit berlalu, dua daripada mereka hanya dapat menghabiskan separuh, manakala seorang lagi cuma makan suku daripada epal berkenaan. Aktiviti tersebut dijalankan bagi menggambarkan tabiat makan epal dalam kalangan kebanyakan orang.

Bagaimanapun, pakar nutrisi terkenal, Indra Balaratnam berkata, gaya tersebut merupakan cara yang salah untuk menikmati sebiji epal.

"Cara makan dengan menggigit bahagian tengah epal akan meninggalkan sisa isi epal yang masih banyak. Jadi, cara sebenar untuk menikmati sebiji epal tanpa meninggalkan sisa adalah dengan memulakan gigitan di bahagian bawahnya," jelasnya ketika bercakap mengenai khasiat epal di Hotel Aloft Sentral, Kuala Lumpur.

Ujarnya, dengan memakan sebiji epal, seseorang itu telah melengkapkan keperluan dua hidangan buah setiap hari. Buah epal kaya dengan serat potasium, vitamin A, C dan merupakan pembekal antioksidan, sekali gus dapat mengurangkan risiko penyakit berkaitan usus, kardiovaskular dan jantung.

Bahan tambahan

Harga sebiji epal jauh lebih murah walaupun khasiatnya setaraf dengan buah-buahan mahal seperti beri biru dan delima.

Tambahnya, khasiat dua kali ganda buah itu juga merupakan tip untuk wanita kelihatan langsing kerana ia tidak mempunyai kolesterol dan lemak.

Wanita moden dikatakan sering dilanda kebimbangan, terutamanya dalam mengawal diet seimbang dan berat badan berlebihan. Justeru, mereka sentiasa mencari dan mencuba makanan yang bukan sahaja kurang kalori, bahkan bebas lemak serta kolesterol.

Menyokong amalan makan buah epal sebagai seorang ibu, Sazzy turut berkongsi tip menanamkan tabiat sihat tersebut dalam pemakanan anak-anak.

Antara rahsianya adalah 'menyelindungkan' epal dalam makanan anak-anak dengan kaedah mengisar atau cincang dan mencampurkannya bersama makanan yang digemari anak.


BUAH epal kaya dengan serat potasium di samping mengandungi vitamin A dan C sekali gus mampu mengurangkan risiko penyakit berkaitan usus.


Sazzy juga menggunakan epal sebagai bahan tambahan dalam hidangan yang sihat dengan meletakkannya dalam masakan bagi menggantikan gula.

Menurut Sazzy, sebelum menjadi model kepada anak-anak, dia terlebih dulu telah dididik oleh keluarganya untuk makan buah-buahan.

"Ibu bapa saya memang mengamalkan tradisi makan buah-buahan sebelum makan kerana mereka memahami pentingnya khasiat buah-buahan untuk tumbesaran kanak-kanak.

"Jadi, kerana itu saya sangat meminati epal dan kini menyambung tradisi tersebut dalam keluarga saya," jelasnya yang memberitahu selain menikmati khasiat epal, amalan pemakanan sihat itu juga dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak dengan keseronokan menggigit buah rangup itu.

Dalam pada itu, Sazzy dan Indra turut menyediakan beberapa hidangan menggunakan epal jenama Washington sebagai bahan asas. Antara sajiannya ialah salad epal, snek buah-buahan dengan kekacang dan jus epal campuran kismis.

Antara sajian yang disediakan ialah salad epal, kekacang dan buah-buahan serta jus epal kismis. Sajian kekacang dan buah-buahan merupakan hidangan yang baik untuk kesihatan jantung. Antara bahan-bahannya ialah dua biji epal, anggur tanpa biji, kismis dan beri, kacang walnut dan gula kayu manis.

Sebagai pelengkap sajian, Indra telah menyediakan jus epal kismis. Minuman ini merupakan campuran bahan-bahan yogurt, jus epal tanpa gula, epal, serbuk oat dan kismis yang dikisar dengan sedikit ais batu.

Biarkan malu itu melingkungimu

Posted:

Biarkan malu itu melingkungimu

Biarkan malu itu melingkungimu


WANITA yang menjaga malunya sentiasa mempamerkan tata tertib dan kesopanan dalam setiap perilaku. - Gambar hiasan


SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Seorang rakan yang menetap Madinah mengadu betapa susah menyuruh anak perempuannya ke kedai membeli sebungkus tepung gandum ketika pulang bercuti di Malaysia.

Ini kerana kaum wanita yang bermukim di Arab Saudi jarang ke kedai runcit walaupun berhampiran dengan rumah.

Kebiasaannya hampir keseluruhan urusan luar di bawah tanggungjawab lelaki. Kata si ibu: "Susah betul mahu meminta Amira ke kedai membeli barang. Malunya melampau semacam tiada batang hidung."

Lain padang lain belalang. Kami tersenyum geli hati kerana ia memang perkara luar biasa jika berada di tanah air sendiri. Sudah menjadi lumrah anak remaja perempuan ke kedai runcit. Malah bukan kepelikan mereka menjamu selera beramai-ramai bersama rakan sekolah di restoran makanan segera. Tiada halangan.

Di Madinah, mereka tidak boleh begitu. Sejak kecil mereka diasuh untuk tidak berada di luar rumah sendirian. Umumnya, kaum wanita memerlukan mahram.

Seorang kakak yang mahu membeli-belah harus ditemani oleh adik lelaki walaupun adiknya baru berumur lapan tahun. Seorang ibu pula, harus dihantar oleh anak lelaki dengan kereta ke pasar atau klinik walaupun yang memandunya baru berusia 12 tahun. Semuanya harus ada yang menemani.

Pakaian rasmi

Agak saya, suasana tercipta menerbitkan rasa malu. Malah seluruh diri mereka terlindung di sebalik kelubung hitam yang menjadi pakaian rasmi. Ia seolah-olah menjadi pelindung daripada pandangan mata lelaki. Insya-Allah, ia boleh menyembunyi rasa malu yang tersemat di hati.

Duhai wanita yang menjaga malunya...Biarlah begitu. Jadilah wanita yang menjadikan malunya sebagai benteng bagi menjaga agamanya. Wanita yang menjaga malunya tidak akan bertepuk tampar atau berketawa berdekah-dekah dengan sebarangan orang. Tidak dengan kaum sejenis apatah lagi dengan lelaki.

Mereka membataskan pergaulan. Wanita yang menjaga malunya tidak mendedahkan aib diri di hadapan khalayak. Mereka menjaga tertib dan menjaga kesopanan. Lalu mereka tidak digemari oleh orang yang bebas laku. Hakikatnya mereka dicemburui di hati.

Duhai wanita yang menjaga malunya... Biarlah begitu. Jadilah wanita yang malu menceritakan aib diri atau orang lain. Mereka tidak perlu bergosip atau bermulut lembik. Mereka sebenarnya takut terhadap hukum Allah. Bukankah Allah SWT berfirman melalui ayat 12, surah al-Hujurat yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.…


WANITA seharusnya menjaga adab di tempat kerja sekali pun dengan kaum sejenis. - Gambar hiasan


Duhai wanita yang menjaga malunya... Biarlah begitu. Jadilah wanita yang malu melakukan perbuatan yang menyebabkan kemurkaan Allah. Jadilah wanita cantik yang malu berpakaian ketat menampakkan susuk badan, terdedah serta mencolok mata.

Jadilah wanita yang malu memperlihat perhiasan tubuh badan. Ia bukan untuk dipertontonkan. Jadilah wanita yang malu berwangi-wangian menusuk hidung lelaki di jalanan. Apakah perlu kita menggoda lelaki lain selain daripada suami?

Apakah kita mahu menarik perhatian orang ramai? Bukankah ia mengundang kemurkaan Allah? Itulah pelawaan atau bisikan syaitan yang mahu membuang rasa malu yang menjadi fitrah wanita solehah. Jangan. Jangan terpengaruh dengan ajakannya yang sudah pasti akan berada di neraka yang kekal abadi.

Menimba ilmu

Duhai wanita yang menjaga malunya...Sudah sampaikah di telingamu tentang bagaimana Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga akibat hasutan syaitan? Renungi surah al-A'raaf, ayat 27 yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).

'Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."

Duhai wanita yang menjaga malunya...Apakah kamu malu bertanya sesuatu yang tidak diketahui olehmu? Usah begitu. Jadilah wanita yang tidak malu-malu bertanya untuk menimba ilmu bagi mendekatkan diri kepada-Nya. Jadilah wanita yang tidak malu memperbaiki kelemahan diri bagi mendapat keredaan Ilahi. Jadilah wanita yang tidak malu memperbaiki bacaan al-Quran walaupun telah tua beruban.

Duhai wanita yang tahu meletakkan malunya di tempatnya...Jadikan malumu itu sebagai sempadan iman. Malu bukan menjadi penghalang untuk melakukan amal kebaikan yang diredai Allah SWT. Jadilah wanita yang tidak malu mengakui dosa-dosa lampau lalu merebahkan diri pada satu pertiga malam tersisa memohon keampunan Allah yang sentiasa bersifat Maha Penyayang lagi Maha pengampun.

Subhanallah...di mana sahaja kita berada, sama ada di Masjidil Haram, Masjid Nabawi, di sejadah, gedung perniagaan atau di pejabat sentiasalah malu kepada-Nya. Nanti Insya-Allah, Dia akan malu kepada hamba-Nya.

Jumpa lagi minggu hadapan. Salam sayang daripada saya sekeluarga di Rumah Kecil di Jabal Uhud.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved