Selasa, 20 Mei 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Jual gajet tanpa modal

Posted:

Jual gajet tanpa modal

Jual gajet tanpa modal

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

TUKAR sarung pelindung telefon bimbit atau casing seperti tukar baju. Itu kegilaan jejaka tinggi lampai dari Alor Setar, Kedah yang bernama Mohd. Badrul Hisyam Ismail. Jika rata-rata pemilik telefon pintar mempunyai satu atau dua 'baju' bagi gajet kesayangan mereka, Mohd. Badrul Hisyam sanggup berbelanja lebih untuk memiliki aksesori kegemarannya.

Kebanyakan sarung pelindung yang dibeli bermotifkan watak adiwira kesayangannya dan setakat ini, jejaka berusia 23 tahun itu sudah memiliki 20 sarung pelindung iPhone berlainan jenis.

Penjawat awam di ibu negara ini dianggap beruntung kerana memperoleh aksesori berkaitan gajet dan telefon pintar pada harga istimewa dari Hulala Shop yang beroperasi sepenuhnya dalam talian.

"Saya boleh dianggap sebagai pelanggan setia di Hulala Shop kerana semua barang yang dijual adalah lebih murah berbanding harga pasaran.

"Tambah pula, pemiliknya selalu mengutamakan kepuasan pelanggan. Jika gajet atau aksesori yang dibeli rosak, saya tidak perlu risau kerana terdapat jaminan sehingga setahun dan wang pelanggan dikembalikan separuh harga," jelasnya.

Pembelian dalam talian bermaksud membeli barangan dan perkhidmatan penghantaran menerusi internet. Pelanggan mudah tertarik dengan pusat beli-belah alam maya bergantung kepada nilai barang, kualiti khidmat pelanggan, keselesaan, pengalaman terdahulu, jaminan bayaran dan maklumat peribadi serta perkhidmatan penghantaran yang dipercayai.

MOHAMMAD BASYEER bergambar di hadapan rak barangan gajet yang disimpan di kediamannya.


Kepercayaan

Pengarah Urusan Tera Trade, Mohammad Basyeer Mohammad Fauzi, 23, memberitahu, kedai gajet dalam talian, Hulala Shop yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu semakin dikenali dan berjaya meraih kepercayaan pengguna setelah ramai yang berpuas hati dengan layanan mesra yang diamalkannya.

Percaya atau tidak, Mohammad Basyeer menguruskan perniagaannya secara berdua sahaja dengan sepupunya, Mohd. Fitri Surizan, 22, dan mampu meraih pendapatan lumayan. Rahsia kejayaannya adalah menerusi strategi mencari seberapa banyak ejen jualan yang berminat untuk mempromosi barangan miliknya di laman sosial masing-masing.

"Ejen tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli stok aksesori telefon dan gajet. Mereka boleh lakukan promosi secara sambilan atau sepenuh masa.

"Mereka hanya perlu menggunakan kreativiti masing-maising untuk mencari pelanggan dan menghantar tempahan kepada saya menerusi e-mel. Tugas selanjutnya saya yang akan lakukan sehinggalah barangan selamat sampai kepada pelanggan," ujarnya yang kini sudah mempunyai 342 ejen di bawahnya dalam tempoh tujuh bulan.

Antara barangan yang dijual di Hulala Shop ialah aksesori audio, monopod, powerbank, pembesar suara, sarung pelindung telefon bimbit lasak dan kalis air serta lensa kamera telefon.

Kebanyakan pelanggan mengetahui tentang Hulala Shop menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan laman web rasmi kedai tersebut. Menjadi majikan kepada diri sendiri membuatkan Mohammad Basyeer lebih mudah menguruskan masa kerana tidak terikat dengan peraturan syarikat.

Bagaimanapun, beliau percaya dengan prinsip, jika ingin berjaya perlu disiplin terhadap masa. Rutin hariannya bermula seawal pukul 9 pagi dengan mencetak tempahan pelanggan ke slip penghantaran pos laju, membalas e-mel, mengambil stok barangan dan menghantarnya ke pejabat pos berdekatan.

BIARPUN Hulala Shop memiliki laman web sendiri, Mohammad Basyeer banyak menerima tempahan dari laman sosial Facebook dan Instagram.


Tidak menang tangan

Secara purata, Mohammad Basyeer perlu mengirim kira-kira 30 hingga 50 barang kepada pelanggan pada setiap hari. Beliau yang tidak menang tangan melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) pelanggan menunjukkan kepada Kosmo! jumlah mesej yang perlu dijawabnya pada setiap hari.

Jumlah keseluruhan mesej tersebut mencecah 4,000 pesanan yang dihantar secara SMS, aplikasi WhatsApp, WeChat dan laman Facebook. Jadi tidak hairanlah apabila lelaki yang masih bergelar pelajar itu kadang-kadang terlewat membalas mesej pelanggan.

Beliau merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Telekomunikasi di Universiti Malaya namun terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu.

Berkongsi mengenai pengalaman pahit sepanjang menjalankan perniagaan, beliau pernah dianiayai orang yang tidak dikenali sehingga terpaksa membuat laporan polis.

"Ada pelanggan mendakwa dia telah memasukkan RM2,000 ke dalam akaun saya untuk membeli telefon pintar namun kemudian menukar fikiran dan meminta saya memulangkan wang tersebut. Memandangkan memang ada wang sejumlah itu dimasukkan ke akaun saya, saya tidak syak langsung yang dia telah menipu.

"Rupa-rupanya, dia menggunakan nama dan akaun saya untuk menipu orang lain atas urusan jual beli emas. Setelah mendapati barangan yang dibeli tidak sampai-sampai, orang tersebut membuat laporan polis dan mendakwa saya telah menipunya walhal saya teraniaya. Saya terpaksa membuat laporan polis bagi melindungi diri," jelasnya.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim berkata, trend perniagaan dalam talian yang semakin mendapat perhatian pengguna secara tidak langsung mempengaruhi permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat pos terbesar negara itu.

"Pos Malaysia bukan sahaja memastikan kesediaan dari segi logistik, malah kesediaan produk dan perkhidmatan yang relevan, bermutu, berkualiti serta mengutamakan kepantasan proses penghantaran.

"Permintaan terhadap produk Pos Malaysia khususnya Pos Laju Prabayar menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Pengalaman luas dalam bidang kurier banyak membantu melicinkan proses pengurusan pos walaupun dengan peningkatan kuantiti yang ketara," jelasnya.

Sistem poskod merupakan tanda aras antarabangsa yang turut diguna pakai di negara ini. Sistem tersebut berperanan sebagai kaedah terbaik dalam menjadikan proses penghantaran lebih cepat dan tepat.

Pihak Pos Malaysia sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan barang yang dipos dikendalikan dengan cermat dan selamat sampai ke tangan penerima dalam keadaan sempurna.

Bagaimanapun, pihak peniaga disarankan agar bertanggungjawab bagi memastikan setiap pengeposan dibungkus sebaiknya supaya dapat melindungi kandungan daripada risiko rosak.

Peralihan monsun punca hujan lebat

Posted:

Peralihan monsun punca hujan lebat

Peralihan monsun punca hujan lebat


TANAH mendap ini berlaku di Pangsapuri Lestari, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur kelmarin.


HUJAN lebat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini merupakan situasi tipikal mengikut kitaran musim peralihan monsun yang berlangsung sehingga pertengahan bulan Mei ini.

Ia menyebabkan hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan terlibat pada sebelah petang hingga membawa ke awal malam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, keadaan cuaca tersebut adalah biasa sebelum berlakunya monsun Barat Daya yang bermula Jun hingga September.

"Kesan daripada hujan lebat dan ribut petir itu menyebabkan banjir kilat seperti yang berlaku di ibu kota dan kawasan lain," ujarnya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Semasa musim-musim peralihan monsun, angin pada amnya berkelajuan lemah dan arahnya berubah-ubah.

Banjir kilat yang berlaku baru-baru ini mengundang kepada beberapa kemalangan melibatkan pengguna jalan raya khususnya dan orang awam yang berdepan dengan masalah itu.

MANGSA dikatakan berada di tandas ketika bencana tanah runtuh berlaku di gudang perabot di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.


Dalam peristiwa itu, pengguna jalan raya terkandas lebih dua jam di beberapa laluan utama disebabkan jalan ditenggelami air dan pokok tumbang.

Antara laluan yang terlibat ialah Lebuh Raya Mahameru, Jalan Duta, Bulatan Cheras, terowong Jalan Tun Razak menghala ke Cheras, Jalan Raja Chulan, Jalan Cheras dari Batu 5 1/2 bertentangan pusat beli-belah Leisure Mall dan Jalan Maarof.

Menurut laporan Kosmo! sebelum ini, Jalan Chan Sow Lin berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) ditenggelami air setinggi tiga meter dan terpaksa ditutup sehingga pukul 6 petang.

Pada masa sama, sebatang pokok tumbang di tempat letak kereta berhampiran stesen minyak di Salak Selatan. Ia telah menghempap 10 buah kenderaan yang terletak di sekitarnya.

Terowong berhampiran Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak turut ditenggelami air.


RIBUT yang mengakibatkan pokok tumbang turut menghempap bangunan dan kereta milik orang ramai.


Korban jiwa

Tidak hanya melibatkan pengguna jalan raya, banjir kilat juga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah di kawasan berbukit.

Tanah runtuh berlaku disebabkan proses gelongsoran atau pergerakan tanah dari satu kedudukan tidak stabil. Ia berlaku secara pantas atau perlahan oleh tarikan graviti yang disebabkan agen pembawa seperti aliran air atau berkaitan.

Peristiwa yang berlaku di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh, Selangor Sabtu lepas pula mengorbankan seorang warga Bangladesh akibat tertimbus dalam tanah runtuh yang dipercayai disebabkan oleh hujan lebat.

Mangsa yang dikenali sebagai Abul Kassim, 43, tertimbus sedalam satu meter di bawah timbunan dinding zink yang turut memusnahkan sebuah gudang perabot.

Dalam pada itu, Che Gayah menasihatkan orang ramai untuk membuat persediaan bagi berdepan monsun Barat Daya yang bakal berlaku dalam masa terdekat.

"Ia menyebabkan cuaca kering di Malaysia terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak," katanya. Jika impak berada pada tahap sederhana dan kuat, cuaca akan lebih kering daripada biasa.

Monsun Barat Daya biasanya bermula pada penghujung Mei atau awal Jun dan tamat pada akhir September. Angin lazim pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah iaitu di bawah 15 knot.

Daun kaduk rawat tulang retak

Posted:

Daun kaduk rawat tulang retak

Daun kaduk rawat tulang retak


DAUN kaduk dipercayai mengandungi antioksida yang membantu melindungi tulang daripada penyakit osteoporosis.


PENYELIDIK dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli dan pasukan penyelidiknya mendapati bahawa daun kaduk atau Piper Sarmentosum mengandungi bahan penawar untuk mencegah tulang retak dan mempercepatkan penyembuhan retakan tulang.

Daun tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan masyarakat Asia Tenggara itu dipercayai mengandungi antioksida yang membantu melindungi tulang daripada penyakit osteoporosis.

Ia juga secara tradisi merawat pelbagai penyakit seperti keradangan, dermatitis dan sakit sendi.

Dr. Elvy Suhana memberitahu, daun kaduk berupaya menghalang ungkapan gen dalam tisu adipos dan tulang yang membuat struktur tulang menjadi rapuh.

Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan ciri-ciri antioksidan melalui sebatian flavonoid iaitu naringenin bertindak membantu sistem pertahanan antioksida endogen untuk melindungi tulang daripada osteoporosis.

Pasukan penyelidik terdiri daripada Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman, Prof. Dr. Farihah Suhaimi, Prof. Dr. Srijit Das, Prof. Dr. Ahmad Nazrun Shuid dan Dr. Siti Fadziyah Mohd. Asri.

Mereka memberi tumpuan kepada kesan penawar pati daun kaduk terhadap penyembuhan tulang retak pada tikus yang ovarinya dikeluarkan, selain kesan perlindungan terhadap tikus yang menghidapi osteoporosis akibat glukokortikoid.


DAUN kaduk banyak digunakan dalam makanan tradisi di Asia Tenggara.


Osteoporosis adalah suatu penyakit kehilangan jisim dan kekuatan tulang yang membawa kepada peningkatan risiko patah, ia biasa dihidapi oleh wanita telah putus haid.

Rawatan glukokortikoid adalah punca utama osteoporosis sekunder. Tindakan glukokortikoid dalam tulang bergantung kepada ungkapan jenis 1 enzim 11 Beta-Hydroxysteroi dDehydrogenase.

Keadaan kekurangan estrogen menyebabkan osteoporosis yang disebabkan peningkatan osteoclastogenesis oleh tekanan oksidatif sehingga membawa kepada penyerapan kalsium dan mineral lain daripada tulang ke darah.

Kajian terbaharu mendapati bahawa pati daun kaduk mempunyai keupayaan untuk menghalang ungkapan dan aktiviti 11-HSD1 dalam tisu adipos dan tulang, sekali gus memulihkan struktur tulang.

Ia juga mempercepatkan penyembuhan tulang patah apabila estrogen berkurangan melalui sifat antioksidannya.

Kos rawatan konvensional adalah tinggi, malah terdapat kesan sampingan dalam ubat-ubatan sedia ada di pasaran.

Dr. Elvy Suhana berkata, rawatan menggunakan herba mempunyai potensi dan perlu diterokai kerana ia bukan sahaja murah bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved