Ahad, 13 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fasa peralihan status Misha Omar

Posted:

Fasa peralihan status Misha Omar

Fasa peralihan status Misha Omar

BUKAN sekali, tetapi dua kali hasratnya terhalang. Mungkin ketika itu apa yang direncanakan belum padan dengan apa yang tertulis oleh-Nya.

Sebagai insan yang begitu kerdil, penyanyi Misha Omar, hanya mampu tunduk dan akur dengan ketentuan yang ditetapkan ke atas dirinya.

Jika diimbas kembali laluan liku yang diredahnya, kali pertama, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terpaksa melupakan hasratnya berkahwin pada September 2013 atas faktor urusan peribadi dan kerjaya.

Perkara yang sama berulang kembali apabila majlis yang dirancang pada Februari lalu ditunda sekali lagi sebagai tanda penghormatan kerana ahli keluarga masih bersedih dengan pemergian arwah ayahnya pada November lalu.

Belum cukup dengan itu, tatkala jiwanya masih lara dengan apa yang berlaku, pelantun lagu Angin Syurga itu sekali lagi diuji.

Dituduh berstatus janda di saat diri bersedia melangkahkan kaki ke gerbang rumah tangga, Misha hanya mampu tunduk menekup muka. Entah dari mana angin jahat yang datang, ketika itu, statusnya gasak menjadi bualan mulut.

Biarpun badai melanda, pemilik nama sebenar Samihah @ Aisah Omar itu masih utuh teras dirinya. Dia tidak cepat melatah.

Buktinya, sewaktu pertemuan Sensasi Bintang bersama bakal mempelai itu di sebuah kafe di Shah Alam baru-baru ini, jambangan lega mekar dari wajahnya.

Masih diri Misha yang sama, cuma pada sua kali ini, Misha yang turut ditemani tunangnya, Firos Ezzwan Rossly, 32, nampak lebih teruja.

Mungkin juga aura bakal pengantin itu itu semakin deras alirannya. Gambaran diri yang dipamer Misha juga menunjukkan wanita itu kini semakin kuat. Kuat daripada segi persediaan mental dan fizikal untuk melangkah ke alam baharu.

Apatah lagi memikirkan tanggal 2 Mei yang bakal melakar sejarah hidupnya itu semakin hampir detiknya, wajah mereka turut terbias rasa teruja.

"Sebelum ini, ada sahaja cabaran. Macam-macam ujian yang datang. Itulah orang kata, mungkin belum tiba masanya lagi.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya dapat rasakan mungkin jalan itu sudah dibuka untuk kami. Segalanya dipermudahkan," tutur penyanyi yang kini sedang sibuk melayangkan kad perkahwinannya kepada tetamu undangan.


MISHA perlu banyak belajar untuk berdikari selepas berkahwin kerana dia tidak boleh lagi bergantung harap kepada kakaknya, Mimie terutama dalam menguruskan tugas seharian.


Dalam ke sana ke mari menyiapkan persiapan perkahwinan, terbit bayangan pada dirinya mengenai perubahan kehidupan yang bakal ditempuhinya nanti.

Berasingan daripada kakak

Bukan gusar, bukan takut. Tapi bagi anak keempat daripada tujuh beradik itu, katanya, tanggungjawab yang digalas, akan semakin berat.

Cuma mungkin, katanya, dia perlu lebih berdikari. Bukan lagi bergantung harap kepada kakak yang banyak membantunya dalam menguruskan dirinya selama ini.

"Itulah kadang-kadang terfikir macam mana (kehidupan) lepas ini. Macam sekarang ini, Mimie banyak tolong saya sejak awal pembabitan saya dalam bidang seni. Kalau ada dia, semua benda dia yang banyak uruskan.

"Kalau saya tak sempat nak hantar atau ambil Adam (anak angkat) dari sekolah, dia yang akan tolong. Lepas ini saya kena belajar urus sendiri, sebab nanti kami duduk berasingan," katanya yang merancang untuk tinggal di sebuah kediaman baharu di Cheras, Kuala Lumpur selepas berkahwin.

Membayangkan kehidupan bertahun-tahun lamanya bersama Mimie, Misha akui ia bukan satu fasa yang mudah untuknya melangkahkan kaki.

Jauh di sudut hati Misha, ada rasa sedih yang menjentik hiba. Mana tidaknya, di saat dia mahu membentuk penyatuan bersama insan yang disayanginya, ada perpisahan yang perlu dirasai.

Sungguhpun perpisahan itu hanya berbentuk secara zahir, ia sudah cukup meruntun hatinya walau sedar rohaninya, ikatan itu tidak pernah akan putus.

"Dia sudah lama menjaga saya. Kakaklah yang banyak bantu saya. Susah senang kami bersama. Ada duit bersama, tak ada duit pun kami bersama-sama," ada getar pada bicara Misha kali ini.

Barangkali sebak apabila mengenangkan bakal tinggal berjauhan dengan insan yang banyak menjadi teman untuk berkongsi kisah tawa dan duka.

Kata Misha, lebih membuatkan dirinya berada dalam fasa dilema apabila perkara sama turut akan dilalui oleh anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia lapan tahun.

Cerita Misha, dia bagai tidak sanggup untuk memisahkan dua hati antara Adam dan Kyra Arissa Abdullah yang merupakan anak angkat kepada kakaknya.

"Adam dan Kyra ini sudah macam adik-beradik. Mereka sama-sama membesar depan mata saya.

"Tak tahu nak cakap macam mana apabila mereka terpaksa juga berpisah. Lepas ini, Adam akan ikut saya. Kyra pula dengan Mimie.

"Rasa macam tak sanggup nak pisahkan mereka. Itulah kawan Adam bermain dan bergaduh bersama-sama," cerita Misha yang kini berusia 32 tahun.

Lebih meruntun dirinya, apabila menurut Misha, Adam dan Kyra juga seperti faham dengan apa yang bakal mereka tempuhi.

"Apabila saya beritahu yang mereka akan hidup berasingan, nampak muka Adam bersedih. Sekarang ini saya perhatikan mereka banyak meluangkan masa bersama," kongsinya.

BIAR badai melanda, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada bakal suaminya, Firos.


Dalam diasak perasaan yang berbaur, penyanyi Dedebu Cinta itu masih boleh dikira beruntung dek kerana mempunyai bakal teman hidup yang sentiasa berada di belakangnya.

Bagi Misha, dia juga bertuah apabila Firos sentiasa meletakkan kepercayaan terhadap dirinya.

"Tak perlu sangat nak jaga Misha. Saya tengok sekarang ini pun dia dah pandai jaga diri," seloroh Firos yang dari tadi lebih banyak berdiam sewaktu Misha berbicara.

Ditanya mengenai persediaan dirinya untuk bergelar suami kepada Misha, Firos memberitahu dirinya sudah lama bersedia.

"Sudah lama saya bersedia, sekarang tinggal tunggu nak praktikkan (peranan suami) sahaja," katanya yang akan sentiasa menyokong kerjaya Misha.

Berkongsi kisah perancangannya selepas berkahwin, Firos memberitahu, momen untuk berbulan madu itu terpaksa ditangguhkan dulu.

"Masing-masing sibuk dengan kerja. Kami tak sempat kalau nak terus berbulan madu lepas berkahwin. Lagipun cuti tak panjang.

"Cuma dia (Misha) beritahu saya, dia tak pernah pergi ke negara orang putih. Itu yang saya ada terfikir nak bawa dia pergi New York waktu musim luruh. Saya nak tengok dia pakai long boot," kongsinya berseloroh.

Lagu untuk MH370

Posted:

Lagu untuk MH370

Lagu untuk MH370


DARI kiri: Encik Mimpi, Aepul Drama Band, Ronnie HyperAct dan Nomad bergabung suara dalam lagu berjudul Hikmah Atas Segalanya.


SELURUH rakyat Malaysia masih meletakkan harapan agar kehilangan penerbangan MH370 milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu berjaya ditemui.

Dalam kesedihan mengenangkan nasib yang menimpa penumpang dan ahli keluarga, apa yang hanya mampu dititipkan ialah doa dan harapan.

Bagi penggiat seni hiburan, mereka juga memiliki cara tersendiri untuk melahirkan rasa sedih dan simpati dengan tragedi yang berlaku lebih sebulan lalu.

Seperti pelantun lagu Rindukanlah, Encik Mimpi, perasaan yang menyelubungi diri masyarakat di negara ini diterjemah menerusi penghasilan sebuah lagu khas yang ditujukan untuk insiden MH370.

Naskhah yang diberi judul Hikmah Atas Segalanya itu turut dialunkan dengan gabungan tiga suara lain iaitu, Nomad, Aepul Drama Band dan Ronnie HyperAct.

Menyentuh mengenai karya asal berkenaan, ujar penyanyi berumur 26 tahun itu, lagu tersebut sebenarnya dihasilkan beberapa tahun yang lalu.

"Melodi lagu itu saya hasilkan pada 2011 lagi. Cuma liriknya belum ada. Jadi, apabila kebetulan berlaku insiden MH370 itu, saya terus buat liriknya pula," jelas penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Encik Mimpi.

Bermula daripada situ, dia kemudian memuat naik lagu tersebut ke laman sosial YouTube kira-kira tiga minggu yang lalu.

Bagaimanapun, ujarnya, idea untuk berkolaborasi dengan tiga penyanyi lain itu tercetus selepas dia memaklumkan kepada pihak pengurusannya, Indigital Sdn. Bhd. mengenai sambutan awal yang diterima di laman sosial.

"Mereka (pihak pengurusan) kemudian mencadangkan kepada saya untuk menyanyi bersama tiga rakan artis yang dicadangkannya iaitu Nomad, Aepul dan Ronnie," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan penampilan muka bertopeng itu memberitahu, secara dasarnya, lagu tersebut lebih bersifat umum kerana berkonsepkan lagu ketuhanan.

"Lagu ini memang khas ditujukan untuk MH370, tetapi kalau kita hayati lirik lagunya, ia boleh dimainkan pada bila-bila masa.

"Ia berkisahkan pengharapan, pengorbanan dan kasih sayang yang banyak berkait rapat dengan isu-isu lain seperti pergolakan di Palestin," ujarnya yang memberitahu, lagu tersebut berentak pop balada.

Dalam pada itu, kata Encik Mimpi, penghasilan naskhah tersebut juga secara tidak langsung merupakan sebahagian daripada tanda keprihatinan yang mampu dilakukannya sebagai rakyat Malaysia.

"Jika ingin memberikan bantuan dari segi fizikal untuk pergi mencari ke laut sana memang tidak mampu. Jadi, sebagai penyanyi, ini sahaja yang mampu saya sumbangkan menerusi lagu.

"Sekurang-kurangnya ia menjadi tanda peringatan dan kenangan buat kita semua yang masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku," tuturnya yang memberitahu lagu tersebut berdurasi kira-kira empat minit.

Sebelum ini, komposer terkenal LY dan Baiduri antara individu terawal yang mengambil inisiatif untuk menciptakan sebuah lagu khas yang didedikasikan buat insiden kehilangan pesawat MH370.

Lagu berjudul Singkapkan Doa Kami itu dinyanyikan oleh bintang Akademi Fantasia 6, Riz Zaizizi.

Selain itu, penyanyi Awi Rafael juga ada menghasilkan sebuah lagu berjudul Jangan Takut yang mengisahkan tentang kesedihan dan pengharapan agar segala dugaan yang mendatang dapat dihadapi dengan tabah.

Lia impi watak cacat

Posted:

Lia impi watak cacat

Lia impi watak cacat

LIA mahu kehadirannya dalam industri hiburan dikenali atas dasar bakat yang dimilikinya.


DIA bak sebidang kain putih yang sudah dilakar, namun masih tidak berwarna. Mungkin itu analogi diri yang boleh dikaitkan dengan si empunya nama, Lia Natalia.

Lakaran karier seninya masih boleh dianggap belum ada warna walaupun sudah menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu.

Sungguhpun namanya bukan yang sering meniti di bibir peminat industri hiburan tanah air, anak kelahiran Tawau, Sabah itu masih ada sisi yang boleh dibanggakannya.

Melihat sahaja kepada jumlah angka kelibatnya di kaca televisyen, dia sudah ada deretan naskhah tertulis kemas dalam porfolionya. Bukan satu, bukan dua, tapi lebih daripada itu. Cuma bintangnya tidak begitu terang berbanding pelakon lain yang sezaman dengannya.

Katanya, biar malap, yang penting masih ada cahaya, bukan terus terpadam.

"Saya sebenarnya banyak berlakon dalam drama dan ditawarkan watak pembantu. Saya akui saya tidak popular seperti artis lain. Syukurlah, rezeki itu sentiasa ada.

"Lagipun, sasaran saya dalam industri bukan kejar populariti tetapi saya berlakon atas dasar minat dan bakat yang ingin saya ketengahkan," tutur Lia yang merupakan bekas peserta Pilih Kasih musim kedua.

Berkongsi kisah diri, kata Lia, dia sendiri sedar perjalanannya untuk bergelar anak seni bukan mudah. Ada ranjau yang perlu ditempuhinya. Apatah lagi mengenangkan usianya yang masih hijau, banyak yang perlu dipelajarinya.

"Saya bergerak sendiri. Tak ada orang yang uruskan. Kalau ingin dikenangkan waktu awal-awal dahulu, saya sendiri pernah kena tipu apabila produksi tak bayar gaji.

"Tapi, itu semua jadi pengalaman yang banyak mengajar saya untuk terus dalam industri ini," tutur si pemilik nama sebenar Alia Afiqah Abden itu.

Biarpun begitu, pelakon berusia 22 tahun itu merasakan timbangan rezekinya semakin berisi pada tahun ini.

"Banyak juga tayangan drama lakonan saya ditayangkan dalam jangka masa yang serentak.

"Contohnya sekarang ini, drama yang sedang dimainkan ialah Perempuan Dalam Pasungan dan Aku Isterinya," kongsi pelakon filem yang terlibat dalam filem Azura itu.

Bercerita mengenai watak lakonannya, ujar Lia, dia kerap ditawarkan watak-watak yang mempamerkan sisi baik.

"Selalunya saya pegang watak perempuan yang sopan santun dan lemah lembut. Karakter wanita baik seperti watak ustazah.

"Tetapi, sebenarnya karakter saya jauh berbeza. Di luar tabir, saya seorang kasar," ceritanya.

Tambah Lia, apa pun watak yang diberikan, dia akan menerimanya jika difikirkan bersesuaian dan mampu dilakukan.

"Apa yang penting, saya pastikan setiap watak itu dijayakan dengan terbaik agar mesej yang nak diberikan itu sampai," katanya.

Kongsi Lia lagi, dia sendiri pernah mengalami kecederaan sewaktu ingin melakonkan sesuatu babak yang melibatkan aksi kekerasan.

"Pernah sekali tengkuk saya lebam semasa melakonkan adegan dipukul dalam drama Perempuan Dalam Pasungan.

"Itu belum lagi watak ditampar. Memang betul-betul saya ditampar. Tapi saya tak kisah, saya anggap itu satu cabaran. Bagi saya apabila buat secara betul lakonan nampak lebih semula jadi. Setakat ini tidaklah sampai saya sakit teruk kerana berlakon," ujarnya.

Kongsi pelakon drama Jin dan Sudin itu juga, jika diberi peluang, dia mengimpikan untuk memegang watak sebagai wanita cacat.

"Mungkin kalau ada rezeki saya teringin nak bawa watak yang lebih mencabar seperti menjadi orang cacat.

"Bagi saya, bukan mudah untuk membawakan watak seperti itu sebab secara fizikal kita tidak seperti mereka. Jadi untuk menghayati watak itu pasti sukar.

"Perkara yang mencabar itulah yang saya ingin lakukan untuk tengok dan nilai kemampuan diri," tutup pelakon yang pernah membintangi drama Kitab Cinta itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved