Khamis, 13 Mac 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Resipi tradisi sengkuang calit

Posted:

Resipi tradisi sengkuang calit

Resipi tradisi sengkuang calit

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SENGKUANG calit ini enak dimakan begitu sahaja.


SEKEPING sengkuang yang disapu sos calit pasti menambat selera sesiapa sahaja. Apabila dimamah, gabungan hidangan sengkuang bersama sos memberi rasa yang menyegarkan.

Kacang tanah yang ditumbuk halus ditabur di atas sengkuang yang disapu sos calit itu menambahkan lagi rasa makanan tradisi tersebut.

Dijual pada harga RM2 sekeping, kios kecil Old Time Sengkuang sering menjadi tumpuan pelanggan.

Pemiliknya, Amru Hisham Mohd. Arsad, 42, dan isterinya, Ameliza Abu Yazid, 39, merupakan dua tunjang utama yang giat mempromosikan hidangan sengkuang calit menerusi perniagaan francais Old Time Sengkuang.

Meminati sengkuang calit sejak di bangku sekolah, pasangan tersebut cuba untuk mempopularkan kembali makanan itu secara kecil-kecilan, enam tahun lalu.

Namun, pasangan itu mula serius kira-kira empat tahun lalu selepas berhenti kerja.

Amru Hisham memberitahu, cawangan pertama Old Time Sengkuang dibuka di tapak Uptown Puchong Permai, Puchong, Selangor mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan.


AMELIZA (tengah) bersama Falah Fitra Fitri (kiri) dan pelanggan mereka, Endera Faizal Abdul Khalil menunjukkan sengkuang calit di kios Old Time Sengkuang, Taman Puchong Permai, Puchong, Selangor baru-baru ini.


"Bagi saya, sengkuang calit merupakan hidangan makanan yang mengimbau kenangan ketika era 1970-an dan 1980-an. Saya dan isteri telah melakukan penambahbaikan pada resipi sos sengkuang, Old Time Sengkuang untuk disesuaikan dengan cita rasa remaja masa kini," jelasnya juga merupakan salah seorang peserta dalam program bimbingan perniagaan francais Permodalan Nasional Berhad.

Resipi

Tambah Ameliza pula, dia mempelajari resipi pembuatan sos calit dan rojak daripada ibu saudaranya di Perak yang dipanggil Aminah.

Menurutnya, Aminah pernah menceritakan bahawa penduduk Tanah Melayu ketika di bawah jajahan Jepun sekitar tahun 1940-an sering menikmati sengkuang calit.

"Rekaan kios Old Time Sengkuang juga bercirikan gambar-gambar klasik orang dahulu menikmati hidangan sengkuang calit. Ia merupakan cara terbaik untuk mengembalikan nostalgia tersebut menerusi hidangan tradisi ini," jelas ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Dengan slogan Buat Sedap Sedap!!, Old Time Sengkuang menawarkan dua perisa sos iaitu sos calit asli istimewa berwarna merah dan sos rojak pedas. Pada harga sama, pelanggan juga boleh mencampurkan kedua-dua sos tersebut untuk hidangan sekeping sengkuang.

Sengkuang merupakan sayur-sayuran daripada spesies ubi. Sayur itu mengandungi pelbagai khasiat yang bertindak sebagai pelawas, menyejukkan badan dan baik untuk tenaga batin bagi orang lelaki.

AMRU HISHAM meletakkan sos pada sengkuang sebelum ditabur kacang tumbuk.


Cawangan

Old Time Sengkuang kini mempunyai 50 cawangan kios di sekitar Lembah Klang, Pahang, Perak dan sedang merancang meluaskan cawangan di Johor.

Selain itu, Old Time Sengkuang juga merupakan perniagaan pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem francais penjualan sayur itu.

Seorang peniaga kios Old Time Sengkuang Calit di bulatan Universiti Tenaga Nasional, Bangi, Falah Fitra Fikri Mohamad Amin, 26, memberitahu, selain keuntungan yang berganda, perniagaan tersebut juga mudah dikendalikan.

"Peniaga yang berdaftar, akan diberikan peralatan perniagaan yang lengkap seperti kios mudah alih, sengkuang, sos dan peralatan dapur. Peniaga boleh memulakan perniagaan dengan segera asalkan mempunyai tapak yang sesuai untuk berniaga.

"Di tapak perniagaan saya, dianggarkan sebanyak 400 keping sengkuang calit habis dijual setiap hari. Selain sengkuang yang segar dan resipi sos, pelanggan juga menggemari kacang tumbuk yang rangup ditabur di atas sayur itu," jelasnya yang juga bekerja sebagai pemandu trak tunda.

Manfaat kepada bukan Islam

Posted:

Manfaat kepada bukan Islam

Manfaat kepada bukan Islam


PERBANKAN Islam memudahkan peminjam dalam urusan pinjaman daripada bank tanpa kadar faedah dan riba - Gambar hiasan


TERDAPAT perbezaan yang jelas antara sistem perbankan Islam dan konvensional yang berpaksikan sistem faedah yang merupakan hasil atau lebihan daripada jumlah pinjaman atau hutang yang diberikan oleh pihak bank. Ia diharamkan dalam Islam.

Kontrak syariah yang diguna pakai dalam setiap produk perbankan Islam adalah berbeza dengan produk perbankan konvensional. Perbezaan jelas terdapat dalam operasi yang melibatkan kontrak yang dimeterai antara pihak bank dan pelanggan sungguhpun operasi perbankan secara umumnya adalah sama seperti dalam aspek pengurusan modal, risiko dan sebagainya.

Dalam konteks keuntungan, perbankan Islam memperoleh keuntungan dengan cara yang tidak bercanggah dengan Islam. Keuntungan terhasil daripada kontrak jual beli, perkongsian untung rugi (pelaburan) dan beberapa kontrak lain yang diiktiraf oleh syariah.

Contohnya, produk deposit, perbankan Islam menstruktur produk tersebut dengan menggunakan kontrak Wadi'ah Yad Dhamanah iaitu simpanan dengan jaminan. Ia berbeza dengan produk akaun simpanan di bank konvensional apabila setiap pemegang akaun dijanjikan pulangan tertentu untuk simpanan yang dibuat. Ini mengakibatkan berlakunya riba kerana pihak bank telah meminjam duit yang disimpan pelanggan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaannya.

Kontrak syariah

Sementara itu, kontrak pembiayaan pula, perbankan Islam menstruktur produk tersebut dengan menggunakan pelbagai kontrak syariah seperti Murabahah, Musyarakah, Ijarah, Istisna dan sebagainya. Ia berbeza dengan perbankan konvensional yang berteraskan konsep menerima hutang hasil pinjaman wang daripada bank berserta keuntungan yang berdasarkan kadar faedah atau riba.

Contoh lain, dalam kontrak pelaburan, perbankan Islam menggunakan kontrak seperti Mudarabah (perkongsian keuntungan) atau Musyarakah (perkongsian untung rugi), yang bertepatan dengan kaedah fiqah yang bermaksud 'setiap pulangan adalah dengan risiko'. Dana yang terkumpul boleh dilaburkan oleh pihak bank ke dalam aktiviti-aktiviti perniagaan lain seperti pembiayaan rumah, kenderaan dan peralatan mengikut undang-undang syariah sebagai usaha mendapatkan keuntungan.

Urusan perbankan ada kaitan dengan soal halal dan haram. Melalui perbankan Islam, urusan perbankan seorang Muslim itu tidak hanya sekadar mendapat manfaat di dunia tetapi juga di akhirat. Dengan melanggan produk yang telah disahkan patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah di peringkat bank dan di peringkat Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, segala produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu membantu para pelanggan dalam transaksi harian mereka.

Golongan bukan Islam juga mendapat manfaat yang lebih dalam urusan kewangan mereka. Nilai pulangan untuk wang dan pengurusan risiko dalam perbankan Islam merupakan antara faktor utama mengapa ramai pelanggan bukan Islam memilih perbankan Islam.

Manfaat

Antara kajian yang pernah dilakukan ke atas pelanggan daripada golongan bukan Islam yang melanggan produk dan perkhidmatan perbankan Islam, terdapat tiga manfaat utama yang menyebabkan mereka memilih perbankan Islam. Antaranya, perkhidmatan yang cemerlang, kecenderungan mencuba produk baharu dan pulangan yang menguntungkan.

Produk pembiayaan lebih menjadi pilihan pelanggan bukan Islam kerana manfaat dalam bentuk material daripada skim yang ditawarkan dan hal ini berkait rapat dengan galakan pihak kerajaan dalam mempromosi pembiayaan kewangan Islam dengan memberikan insentif seperti pengecualian duti setem 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan kewangan Islam.

Antara perkara penting yang menarik para pelanggan lain ialah unsur kepastian dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam menghadapi kadar faedah yang tidak menentu.

Contohnya, jika perbankan konvensional, walaupun kadar pinjaman rendah, pelanggan tidak dapat mengelak daripada risiko kenaikan kadar pinjaman asas (BLR) seperti tahun 1998 apabila kenaikan itu mencecah antara 14 hingga 15 peratus setahun.

Sejak tahun 1993, pergerakan BLR sentiasa berubah dari tahun ke tahun, sementara kadar pinjaman yang dikenakan ini tidak termasuk margin tambahan yang biasanya dikenakan bagi pinjaman perbankan konvensional.

Namun, perbankan Islam, kewujudan harga jualan pada awal kontrak sedikit sebanyak memberi kepastian kepada para pelanggan tentang jumlah ansuran dan pembayaran yang akan dibuat sepanjang kontrak.

Malah, pelanggan juga 'boleh menikmati 'ibra' (rebat) ke atas harga jualan sekiranya pembiayaan itu diselesaikan lebih awal daripada jadual pembayaran balik tanpa dikenakan sebarang penalti.

CCM semai semangat cintakan alam

Posted:

CCM semai semangat cintakan alam

CCM semai semangat cintakan alam


ANTARA murid-murid sekolah yang terlibat dalam program RAS menunjukkan hasil lukisan yang bertemakan alam sekitar.


PENGILANG barangan farmaseutikal generik dan baja kompaun, Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) baru-baru ini mengukuhkan usaha tanggungjawab sosial korporatnya melalui penganjuran Program Rakan Alam Sekitar 2014 (RAS) di Keningau, Sabah.

Program yang bertujuan memperkasa dan menyemai semangat tanggungjawab para pelajar dalam melindungi alam sekitar, khususnya sumber air semula jadi itu melibatkan lima buah sekolah serta sebuah tadika di daerah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kebulu, SK Delayan, SK Sinua, SK Dalit, SK Sook dan Tadika Kemas Keningau.

Pengarah Bahagian Kimia CCM, Mohd. Nazmi Sallehhudin berkata, RAS yang menerapkan aktiviti bersifat eksperimen menyediakan pengetahuan teori dan pembelajaran secara terus terhadap usaha pemuliharaan sumber air dalam komuniti.

"Kami percaya penglibatan anak-anak muda ini akan memberi kesan yang besar dalam membentuk sikap positif terhadap penjagaan alam sekitar dan apabila mereka dewasa kelak," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup telah menyempurnakan pelancaran program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah.

RAS yang telah dimulakan pada tahun 2010 di Keningau turut melibatkan sekolah-sekolah terpilih di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved