Selasa, 25 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Aktif sumbang dana bina masjid

Posted:

Aktif sumbang dana bina masjid

Aktif sumbang dana bina masjid


SEMUA bantuan yang diberikan oleh Ah Peng adalah bersifat ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.


KEHADIRAN seorang lelaki berjubah putih yang membawa tabung yang tertera tulisan Sumbangan Pembinaan Masjid Baharu tanpa disangka-sangka menyerlahkan keperibadian sebenar seorang pemilik kedai runcit yang dikenali sebagai Ah Peng. Pada masa itu, Ah Peng sedang menguruskan kedai runcit miliknya di Taman Kenari, Kulim, Kedah.

Perkenalan singkat itu memberi ruang kepada lelaki itu meluahkan kesukarannya untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai bagi membina sebuah masjid berhampiran taman perumahan tersebut.

Sikap pemurah Ah Peng atau nama sebenarnya Tan Khim Pheng, 46, mendorongnya untuk menderma permulaan sebanyak RM1,000 kepada lelaki tersebut.

Sebelum lelaki itu beredar, Ah Peng berjanji untuk membantunya mendapatkan dana tambahan.

Berpegang kepada janji tersebut, Ah Peng kembali menjalankan rutinnya seperti biasa sebagai pemilik Pasar Mini Wang Seng sambil memikirkan pelbagai kaedah untuk membantu lelaki tersebut.

Selepas berfikir beberapa hari, akhirnya Ah Peng diberi ilham. Ah Peng kembali menemui lelaki itu dan mengemukakan beberapa cadangan untuk mendapatkan dana.

Antaranya ialah mengambil 20 sen bagi setiap kampit beras seberat 10 kilogram yang dijual di kedainya dan menganjurkan karnival yang diberi nama karnival sayur.


AH PENG mengambil 20 sen bagi setiap penjualan beras 10 kilogram di kedainya untuk kerja-kerja kebajikan.


Karnival sayur

"Hasil daripada karnival sayur dan kutipan 20 sen bagi setiap penjualan beras 10kilogram selama tiga tahun, saya berjaya mengutip sebanyak RM15,000.

"Saya dapati sepanjang tempoh tersebut, pelanggan di kedai saya memberi kerjasama yang sangat baik tanpa mengira kaum dan agama," ujar figura yang dianugerahkan tokoh Maal Hijrah Bukan Islam Peringkat Daerah Kulim oleh Jabatan Agama Islam Kulim, Kedah pada tahun 2011 itu.

Mengulas mengenai konsep karnival sayur yang dicadangkan Ah Peng, dia memaklumkan bahawa karvinal itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengambil seberapa banyak sayur yang diingini.

Namun pada masa yang sama mereka harus menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

"Saya tidak kisah berapa banyak mereka ingin sumbangkan, walaupun RM1, ia tetap bernilai dan perlu dihargai," katanya sambil tersenyum mengingati peristiwa yang sudah berlalu lapan tahun lalu itu.

Menurut Ah Peng, pada malam selepas karnival tersebut, dia tertidur. Dalam tidurnya dia bermimpi berada di sebuah taman yang dihiasi bunga berwarna-warni dan di tengah-tengahnya mengalir sebatang sungai yang sangat bersih.

Sedang asyik melihat air sungai tersebut mengalir, Ah Peng didatangi oleh seorang lelaki berjubah putih dan menyampaikan ucapan terima kasih terhadap usahanya membantu mengumpul dana untuk pembinaan masjid yang bakal diberi nama Masjid Abu Bakar Al-Sidiq itu yang terletak di Taman Kenari, Kulim, Kedah.

"Mimpi itu membuatkan saya tidak dapat lelapkan mata selama beberapa hari kerana memikirkan makna di sebaliknya. Saya ada bertanyakan tentang makna mimpi tersebut kepada rakan-rakan yang beragama Islam, mereka hanya beritahu mimpi itu merupakan salah satu anugerah tuhan yang diberi kepada insan-insan terpilih," katanya.

Menurut anak jati kelahiran Kulim, Kedah itu, peristiwa tersebut menjadikannya lebih bersemangat untuk menghulurkan sumbangan kepada masjid, surau dan golongan kurang bernasib baik beragama Islam.

Ujarnya, walaupun dia merupakan penganut agama Buddha, namun itu bukanlah alasan untuk tidak membantu mereka yang berlainan agama denganya.


AH PENG turut menganjurkan karnival sayur untuk mengumpul dana pembinaan masjid.


Alunan zikir

"Saya tahu ramai orang yang salah anggap mengenai bantuan saya. Semua derma yang diberikan adalah ikhlas dan tidak ada sebarang niat untuk mendapat gelaran atau sebagainya," katanya sambil memerhatikan masjid baharu yang disiapkan sejak dua tahun lalu itu.

Selain menghulurkan derma, dia turut mempraktikkan serba sedikit gaya hidup sebagai seorang muslim seperti menutup aurat, mendengar alunan zikir dan memilih makanan halal.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, hobinya pada waktu lapang ialah mendengar alunan-alunan zikir sambil melakukan tugas sehariannya di kedai.

"Saya akan mendengar zikir bermula seawal pukul 5 pagi, jika tidak fikiran saya tidak tenteram dan semua kerja yang dilakukan pasti tidak menjadi," katanya yang meminati alunan zikir daripada Kumpulan Nasyid Hijjaz itu.

Menurut pemilik tiga buah pasar mini di sekitar daerah Kulim iaitu di Taman Kenari, Jalan Baju dan Paya Besar itu, pendapatan yang diperolehnya tidak menentu dan bergantung kepada hasil jualan setiap hari.

"Berniaga ini seperti roda, ada ketika kita di atas dan ada ketika kita di bawah. Walaupun begitu, saya tidak akan sama sekali berhenti daripada berniaga kerana ia merupakan warisan daripada keluarga saya," katanya.

Ujar Ah Peng, pada satu ketika kedainya pernah dirompak oleh pekerjanya sendiri, yang menyebabkannya mengalami kerugian sebanyak RM100.00. Walaupun rugi, namun dia tetap memberi sumbangan mengikut kemampuan semasa.

KEPUASAN jelas terpancar di wajah Ah Peng selepas masjid Abu Bakar Al-Sidiq, di Taman Kenari, Kulim, Kedah berjaya disiapkan pada tahun 2012.


Tambahnya, dia tetap menghulurkan sumbangan kerana percaya bahawa semua rezeki yang diperoleh bukanlah haknya, tetapi sebahagiaannya adalah milik orang lain yang lebih memerlukan.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangannya, dia bercita-cita untuk membuka kelas belajar membaca al-Quran secara percuma kepada kanak-kanak sekitar taman perumahan tersebut.

"Saya dapati ramai kanak-kanak di kawasan ini tidak menghadiri kelas mengaji, bila saya tanya, mereka beritahu sebab kena bayar, oleh itu saya bercadang membuka kelas mengaji tanpa mengenakan sebarang bayaran," katanya.

Menurut Ah Peng, dia sangat terharu terpilih untuk menerima anugerah tokoh maal hijrah meskipun berlainan kaum dan agama.

"Selepas menerima pengiktirafan ini, saya dapat bekerjasama dengan lebih erat dengan masyarakat Islam lebih-lebih lagi dalam membantu mereka yang memerlukan.

"Anugerah ini juga menyebabkan saya lebih dihormati dan dikenali oleh masyarakat sekitar," ujarnya yang mempunyai ramai kenalan dalam kalangan kaum Melayu.

Ah Peng juga bercadang mahu membina sebuah bangunan dua tingkat dengan menjadikan masjid di tingkat atas, manakala tingkat bawahnya dijadikan kedai.

Bagaimanapun, katanya cadangan tersebut mungkin tidak akan menjadi kenyataan jika orang ramai hanya berpeluk tubuh dan tidak mahu sama-sama berganding bahu menyumbang sesuatu terhadap perkembangan agama Islam.

"Sukar untuk saya melakukan ini bersendirian tanpa bantuan orang-orang yang lebih arif tentang agama Islam," katanya.

Menyelami kehidupan Ah Peng, dia merupakan seorang pelajar yang bermasalah ketika di zaman persekolahannya. Selepas tamat pengajian sehingga tingkatan lima dengan keputusan yang mengecewakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, dia mengambil keputusan untuk membantu ibu bapanya berniaga pasar borong di pekan Kulim.

Selepas mahir dalam selok-belok perniagaan, dia telah diberi kepercayaan untuk mengambil alih perniagaan tersebut daripada ibu bapanya. Ternyata kepercayaan itu tidak disia-siakan selepas Ah Peng berjaya mengembang perniagaan tersebut.

Kini, dia boleh berbangga apabila mempunyai kira-kira 20 orang pekerja yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

Usaha pemuliharaan kota lama Jakarta

Posted:

Usaha pemuliharaan kota lama Jakarta

Usaha pemuliharaan kota lama Jakarta


BANGUNAN bersejarah ini bakal berubah wajah dalam tempoh lima tahun.


KEGEMERLAPAN struktur megah semakin pudar dijilat cuaca panas sementara bangunan-bangunan era kolonial yang kosong itu menunjukkan tanda-tanda ibu kota lama Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai Permata Asia kini telah berdekad terbiar.

Pokok-pokok sawit tumbuh melalui runtuhan tingkap yang pernah menjadi pusat jana kuasa bagi para pembesar penjajah Belanda di Indonesia. Terdapat juga bangunan yang masih kukuh ditinggalkan kosong, terpampang jelas daki kotoran yang kelabu akibat hembusan gerombolan asap lalu lintas.

Biarpun usang, Gabenor terkenal Jakarta, Joko Widodo dengan penuh bersemangat dan nekad untuk mengubah salah satu daripada bandar metropolis yang tidak terurus di dunia itu. Beliau mempunyai perancangan baharu untuk membaik pulih pekan lama tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong.

Penulis Indonesia terkenal dan merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam memulihkan pekan lama, Goenawan Mohamad berkata, perkara tersebut perlu dilakukan atau ia akan menjadi semakin teruk.

"Masanya telah tiba," katanya.

Bangunan kolonial di Jakarta mengalami kerosakan teruk.


Simbol kegemilangan

Bagaimanapun, terdapat banyak keraguan tentang perkara itu akan berlaku. Perancangan lalu telah gagal dan dikhuatiri pemaju mungkin mengubah kawasan itu menjadi 'Disneyland' yang penuh dengan pusat beli-belah dan bukannya kawasan warisan yang dipelihara dengan baik.

Pada zaman moden di utara Jakarta, kota lama itu pernah menjadi pusat dagangan global dengan peniaga akan tiba untuk membeli dan menjual barangan dari seluruh kepulauan Indonesia, terutamanya rempah dari Eropah.

Dengan deretan bangunan bercat putih dan jalan yang berbatu, kawasan itu telah membangunkan nama bandar Jakarta. Kemudian ia dikenali sebagai Batavia atau Permata Asia oleh pelayar Eropah yang berlabuh di sana selepas pelayaran yang panjang.

Sebahagian kecil kawasan sudah dipelihara. Dataran Fatahillah, nadi kepada pekan lama dan kawasan yang paling kerap dilawati berada dalam keadaan baik dan penuh dengan peniaga yang menjual perhiasan kepada sebahagian kecil pelancong yang melintas.


BANGUNAN lama kini menjadi tempat tidur orang gelandangan di Jakarta.


Di dataran tersebut, terdapat bekas dewan bandar dan muzium pertunjukkan boneka Indonesia. Tetapi di luar kawasan kecil itu, kebanyakan bangunan mengalami kerosakan yang serius.

Widodo yang telah dilantik pada tahun lalu menjadi harapan agar simbol kegemilangan Jakarta dikembalikan semula.

Mereka percaya bahawa perancangan kali ini mempunyai peluang yang lebih baik disebabkan memandangkan organisasi yang melibatkan kerjasama pelbagai golongan masyarakat untuk mengawasi pembangunan semula telah dibentuk.

Organisasi itu terdiri daripada firma swasta, bekas menteri kerajaan dan kumpulan warisan. Usaha tersebut telah mendapat sokongan padu daripada pihak berkuasa Jakarta, yang telah menjanjikan bajet sebanyak 150 bilion rupiah (RM43.4 juta) untuk projek pembangunan semula.

Mereka juga berhasrat untuk mengubah suai sebanyak 85 bangunan bersejarah dalam tempoh lebih lima tahun, program rancangan berkenaan dikatakan mampu mewujudkan 11,400 peluang pekerjaan.


Peniaga tempatan mengangkut kandar menjual makanan di kawasan bangunan kolonial.


Kebimbangan

Bagaimanapun, segelintir daripada mereka menyuarakan kebimbangan terhadap keghairahan pembangunan mungkin memusnahkan keindahan pekan lama dan mengubah kawasan itu kepada kawasan yang dipenuhi dengan bangunan moden yang hodoh.

"Kota tua adalah sebuah bandar, bukannya Disneyland," kata Ella Ubaidi, pemilik bangunan era kolonial di bandar tersebut.

Kebimbangannya berpunca daripada profil pemegang amanah lembaga konsortium yang merupakan sebahagian daripada mereka adalah daripada syarikat hartanah terbesar di Indonesia.

Pada masa sama, terdapat juga orang awam yang kurang berminat terhadap pembaharuan tersebut. Sesetengah mereka menganggap pekan lama sebagai simbol penindasan si pemerintah.

Selain itu, warga Jakarta juga dilihat tidak berminat dalam mengekalkannya kerana ia merupakan sisa peninggalan Belanda pada lewat tahun 1940-an.

Walau tiada sokongan diperoleh, penyokong rancangan tersebut tetap optimis. Mereka percaya bahawa lebih ramai pelancong akan ke Jakarta pada masa akan datang setelah pekan lama kembali kepada zaman kegemilangannya seperti sedia kala. – AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved