Khamis, 13 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lonjak industri permainan video

Posted:

Lonjak industri permainan video

Lonjak industri permainan video

Golongan muda Pakistan berjaya mencipta pelbagai perisian yang berjaya melonjakkan nama Pakistan dalam dunia permainan video.


Suasana studio We R Play di Islamabad.


LAHORE terkenal sebagai sebuah bandar bersejarah dan berbudaya. Bagaimanapun, generasi baharu berjaya memberikan satu lagi identiti menerusi penciptaan permainan video untuk telefon mudah alih sekali gus mewujudkan Lembah Silikon di Pakistan.

Berkonsepkan pejabat terbuka, pasukan inovasi negara itu bekerja dalam suasana pejabat yang selesa dan menyeronokkan.

Seorang usahawan muda, Babar Ahmed berjaya melonjakkan industri teknologi maklumat di negara itu yang kini bernilai sekitar AS$2.8 bilion (RM9.2 bilion).

Babar, 33, mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera litar di Austin, Texas dan menubuhkan sebuah syarikat perisian, Studio Mindstorm di bandar timur Pakistan pada tahun 2006 dengan saudara lelakinya, Faraz.

Pada hari ini, studio tersebut mempunyai 47 orang pekerja dan menghasilkan beberapa permainan video terkenal seperti Whacksy Taxi, yang pernah menduduki carta teratas paling banyak dilanggani oleh pelanggan dari 25 buah negara di Apple AppStore. Permainan video lain termasuklah Mafia Farm dan Power Cricket, yang menjadi permainan rasmi Piala Dunia 2011.

"Idea-idea ini dicetuskan bagi melonjakkan nama Pakistan dalam dunia permainan video," kata Babar yang mengambil keputusan itu setelah bosan bercakap di dalam bilik lukisan dalam kalangan ekspatriat di Amerika Syarikat.

Mindstorm adalah salah satu daripada beberapa buah studio pembangunan permainan video di Pakistan yang berpangkalan di Lahore. Studio tersebut juga mempunyai cawangan di Islamabad dan Karachi bagi tujuan mengembangkan dan menjayakan permainan video yang dicipta.

"Selepas iPhone dilancarkan, takrif tentang permainan video turut berubah. Peminat permainan video turut berubah sekelip mata," kata Babar.

SERAMAI 24,000 orang bekerja dalam bidang perisian termasuklah penciptaan permainan video di Pakistan.


Modal

Permainan video tradisional biasanya dimainkan pada sistem konsol rumah atau komputer memerlukan berpuluh-puluh pasukan penciptaan perisian dengan modal berbilion.

Bagaimanapun, bagi permainan video untuk telefon pintar, modalnya jauh lebih rendah.

"Ekoran itu, negara-negara di Timur Eropah, Pakistan dan Filipina menjadi antara destinasi untuk perisian penyumberan luar perniagaan," kata Ketua Pegawai Operasi Tintas, Jazib Zahir. Tintas merupakan salah satu studio berpangkalan di Lahore untuk permainan video Fishing Frenzy.

Menurut kerajaan negara itu, seramai 24,000 orang bekerja di bahagian eksport perisian, termasuklah bidang umum seperti perisian kewangan dan penjagaan kesihatan.

"Salah satu kelebihan Pakistan ialah kami mempunyai masyarakat yang terlatih, berkebolehan dan minat yang tinggi dalam membangunkan perisian serta seni. Semua kelebihan itu kemudian digabungkan," tambah Zahir yang juga merupakan seorang wartawan sambilan.


MINAT golongan muda dalam membangunkan industri perisian bantu melonjakkan ekonomi Pakistan.


Di We R Play, sebuah studio yang berpangkalan di Islamabad di pinggir bandar, satu barisan pereka permainan video berusia 20-an sedang sibuk membuat kerja menggunakan komputer masing-masing dalam suasana dikelilingi poster berwarna-warni, mainan mewah dan angka tindakan.

Syarikat tersebut ditubuhkan pada 2010 oleh Mohsin Ali Afzal dan Waqar Azim dengan menggunakan konsep ruang pejabat moden.

"Sejak mula membuka studio ini, kami sudah sepakat untuk tidak meletakkan pembahagi di antara ruang meja dan saya juga tidak mempunyai pejabat yang besar.

"Kami mahu pekerja duduk bersama-sama. Kami turut memberikan wang kepada mereka untuk menghias meja masing-masing," kata Afzal yang kembali dari UC Berkeley pada tahun 2010.

Santai

Ruang kerja dan santai dilihat sebagai 'kunci' di CaramelTech, sebuah studio di Lahore yang ditubuhkan pada tahun 2011 oleh seorang pemuda bernama Saad dan Ammar Zaeem.

Mereka bertanggungjawab untuk pengekodan permainan video popular di dunia pada tahun 2011, Ninja Fruit, yang mempunyai lebih 500 juta muat turun di beberapa platform studio di Australia.

Pejabat tersebut mempunyai bilik permainan yang dilengkapi set meja pool, permainan bola sepak meja dan X-box.

"Setiap hari pada pukul 4 petang mereka akan meninggalkan kerja dan melakukan aktiviti santai di tingkat atas. Kami mahu mencipta budaya orang ramai bukan sahaja bekerja tetapi juga bergembira," kata Ammar.

Selain suasana bekerja yang harmoni, perkara yang turut mencuri tumpuan adalah kesaksamaan jantina di dalam ruang pejabat perisian tersebut.

Jumlah jantina kakitangan yang seimbang membuktikan persepsi penolakan penglibatan kaum wanita dalam pekerjaan telah ketinggalan zaman.

Dalam pada itu, cara pemakaian kakitangan di studio berkenaan juga tidak formal. Mereka hanya memakai seluar jean, baju-T dan bertudung.

Bagi segelintir kakitangan, dengan berpakaian seperti itu mereka menghadapi masalah lain seperti sukar menyakinkan keluarga tentang jenis pekerjaan dan membuktikan mereka mempunyai pekerjaan 'sebenar'.

"Pada awalnya, ibu bapa saya menganggap saya bermain sepanjang hari dan menjadi seorang yang tidak berguna," seloroh ketua We R Play di Jabatan Jaminan Kualiti, Saadia Zia, 24. Dia mengetuai kumpulan yang ditugaskan untuk menghapuskan virus.


SALAH satu ciptaan Studio Mindstorm, Whacksy Taxi mendapat sambutan di 25 buah negara.


Rintangan

Dalam usaha meraih kepercayaan keluarga, mereka turut berhadapan dengan pelbagai isu dan rintangan seperti gangguan kuasa elektrik yang kerap serta rusuhan awam.

"Elektrik tidak berfungsi. Anda perlu melakukan sesuatu untuk menanganinya," kata Babad dari Mindstorm yang merancang untuk menjana kuasa elektrik studio menggunakan panel solar.

Mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah talian telefon yang rosak, ancaman keselamatan dan rasuah di Pakistan.

"Pernah suatu ketika, seorang pemandu mati ditembak di hadapan pejabat kami. Itulah risiko yang terpaksa diambil. Bagaimanapun, risiko itu berbaloi dengan ganjaran diberi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved