Sabtu, 8 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Gabungan pertama selepas 20 tahun

Posted:

Gabungan pertama selepas 20 tahun

Gabungan pertama selepas 20 tahun

SAAT cahaya lampu yang menerangi Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur dimalapkan tanda bermulanya persembahan, gema sorakan penonton yang memenuhi ruang persembahan itu baru-baru ini kedengaran semakin memuncak tatkala alunan muzik mula dimainkan.

Selang beberapa minit, kelibat penyanyi dan pelakon, Erra Fazira yang begitu anggun mengenakan busana berona emas muncul di atas pentas sambil membawakan lagu Yang Terindah Hanya Sementara.

Usai melantunkan lagu tersebut sebagai pembuka tirai persembahan, penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain kemudiannya mengambil alih pentas sambil mendendangkan lagu Puncak Kasih sebelum diselangi dengan persembahan Awie yang membawakan lagu Bara.

Persembahan pembukaan ketiga-tiga penyanyi itu merupakan simbolik bermulanya bahagian satu penganjuran Konsert Teaterikal Suara Kita yang mendapat sentuhan daripada pengarah terkenal, Erma Fatima.

Vokal Erra masih berbisa

Trio yang turut bergelar pelakon itu bijak dalam memilih rangkaian lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang bahagian satu berlangsung.

Sekembalinya Ziana Zain ke atas pentas, peminat yang hadir disajikan dengan lagu-lagu malar hijau sesuai untuk memberi gambaran seterusnya bagi bahagian dua konsert tersebut. Dalam segmen itu, Ziana memperdengarkan lagu-lagu hitnya seperti Kekal, Fatalistik dan Bersama Akhirnya.


TRIO Ziana Zain, Erra Fazira dan Awie mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan mereka.


Awie yang muncul dengan pakaian serba ringkas berjaya memukau penonton menerusi persembahan bersahajanya dengan lagu-lagu tribute seperti Layang-Layang Terputus Tali, Nurnilam Sari dan Bujang Senang. Walaupun vokalnya kedengaran kurang memberangsangkan, namun, dia bijak dalam mengawal hubungan emosinya bersama penonton.

Tidak dinafikan, kemunculan yang paling dinantikan pada bahagian satu Konsert Teaterikal Suara Kita ialah persembahan daripada ratu filem Malaysia, Erra Fazira.

Sejujurnya, walaupun sudah lama tidak beraksi di atas pentas, Erra masih mampu melontarkan suaranya dalam menyanyikan rangkaian lagu-lagu seperti Pertemuan, Pasrah dan Jendela dengan baik.

Membuktikan bahawa penglibatannya dalam bidang seni tidak tertumpu pada dunia lakonan sahaja, persembahan Erra pada malam itu boleh dikatakan antara persembahan terbaiknya sepanjang menceburkan diri dalam industri hiburan.

Rangkuman lima filem

Tamat bahagian satu, persembahan pada malam itu diteruskan dengan bahagian dua yang menampilkan lakonan teater Erra, Ziana dan Awie berdasarkan lima filem yang pernah dilakonkan oleh mereka.

Filem-filem seperti Sembilu 1 dan Sembilu 2 diolah menjadi persembahan pembukaan turut menampilkan lagu-lagu runut bunyi yang pernah popular bersama filem-filem tersebut.

Paling menarik perhatian, babak yang disunting daripada filem Maria Mariana dihidupkan kembali dengan penampilan istimewa pengarah dan pelakon terkenal, Datin Ziela Jalil.

Terdapat juga beberapa elemen humor yang turut diselitkan sepanjang babak itu dilakonkan.

Dari segi mutu lakonan, Ziana tampak begitu menonjol berbanding Awie dan Erra terutamanya menerusi babak yang dipetik daripada filem Sembilu dan Maria Mariana. Karakter 'gedik' yang dimainkan ternyata mampu membuatkan penonton tertawa sepanjang pementasan berlangsung.

Persembahan bahagian dua Konsert Teaterikal Suara Kita ditutup dengan lagu baharu ciptaan Erma Fatima berjudul Makrifat Cinta. Lagu istimewa yang pertama kali diperengarkan pada penonton itu dicipta khas sempena persembahan tersebut.


NOSTALGIA Erra dan Awie daripada filem Sembilu diangkat ke pentas secara langsung di Istana Budaya.


Babak tergantung

Secara keseluruhan, rangkuman lima filem yang dijadikan sebuah persembahan pentas ini boleh dianggap sebagai satu idea bernas. Selain mencipta sesuatu yang bersifat baharu, ia turut sama membawa penonton mengimbau kembali nostalgia serta memori lama bersama ketiga-tiga pelakon tersebut.

Namun begitu, tiada kesinambungan dilihat antara kelima-lima babak yang cuba ditampilkan oleh pengarah. Setiap kali bertukar babak, penonton seperti meneka-neka daripada filem apa adegan tersebut diambil.

Selain itu, babak terakhir sering dibiarkan tergantung tanpa pengakhiran. Mungkin penonton yang merupakan peminat setia filem-filem Awie, Erra dan Ziana mampu untuk menikmati pementasan ini secara keseluruhan.

Bagaimana pula peminat yang masih muda dan tidak dibesarkan dengan filem-filem lakonan mereka? Sudah pasti mereka kurang faham intipati sebenar pementasan teaterikal berkenaan.

Bagaimanapun, unsur-unsur muzik yang ditampilkan dari awal hingga akhir dapat menyeimbangkan perjalanan persembahan tanpa membiarkan penonton berasa bosan menunggu saat tamatnya bahagian kedua itu.

Berhijab, Hazlin ingat mati

Posted:

Berhijab, Hazlin ingat mati

Berhijab, Hazlin ingat mati

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


BEKAS peserta program Gadis Melayu 2 ini mempunyai ramai rakan yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.


MENELADANI pedoman yang lebih positif, citra penyampai berita Buletin Utama dan pengacara rancangan 999, Hazlin Hussain kini berubah.

Tampil dengan imej bertudung, Hazlin, 31, atau lebih mesra disapa Lin kelihatan lebih tenang.

Sementelah program televisyen yang dikendalikan, karakter tegas sebelum ini lebih banyak mencerminkan sisi sebenarnya.

Hazlin popular menerusi rancangan penyiasatan jenayah TV3, 999 selepas bakatnya dicungkil menerusi program pencarian bakat, Gadis Melayu musim kedua.

Dia yang ditemui dalam program khidmat masyarakat sempena Anugerah Bintang Popular di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor baru-baru ini berkongsi perjalanan hijrahnya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hazlin.

Kosmo!: Alhamdulillah Hazlin sudah berhijab sekarang, mungkin boleh dikongsikan serba sedikit perjalanan awal hijrah anda?

HAZLIN: Alhamdulillah saya mula bertudung pada hari Selasa (25 Februari 2014). Semuanya bermula apabila saya mendapat berita kematian kawan yang paling rapat, Mohd. Faris Zaidi pada 19 Februari lalu akibat serangan jantung. Setelah kehilangan dia yang saya kenal selama 13 tahun, saya merasakan satu kehilangan besar dalam hidup hingga tiada tempat bergantung. Terdetik dalam hati saya cuma Allah yang saya ada dan hanya Dia tempat saya mengadu, bergantung harap sekarang dan rasa selamat.

Sudikah Hazlin jelaskan dengan lebih lanjut?

Terlintas dalam fikiran saya, bila-bila masa saja saya boleh mati tanpa saya sangka. Saya jadi takut dan saya kena berubah. Perkara pertama adalah menjaga hubungan saya dengan Allah.

Apakah perkara terbesar yang dipelajari apabila berhijab?

Saya dapat merasakan sesuatu yang lain pada diri saya yang mungkin tiada sebelum ini. Saya rasa lebih dihormati dan terhindar daripada gangguan orang. Kalau dahulu, saya sendiri memberikan peluang untuk anasir negatif mengganggu saya, contohnya gangguan berbaur seksual tapi insya-Allah sekarang mohon dijauhkan.

Bagaimanakah perasaan hari pertama berhijab?

Hari Selasa lepas, saya mahu keluar rumah untuk membeli pakaian baharu untuk berhijab tapi apabila hendak keluar rumah tiba-tiba tercetus dalam hati mungkin ajal saya pula selepas ini. Saya takut mati. Kemudian saya cari apa saja yang ada di dalam rumah untuk disarungkan ke kepala. Alhamdulillah selepas itu saya rasa segala urusan dipermudahkan, senang mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai sekarang.

Bagaimanakah pula sokongan orang sekeliling Hazlin?

Produksi 999 sangat menyokong perubahan saya dan apabila pertama kali berhijab saya sentiasa menangis. Tambah pula dengan ucapan yang diterima secara peribadi atau di laman sosial sampaikan saya tidak menyangka sebegitu hebat penerimaan orang ramai terhadap imej baharu saya.

Ada sesetengah artis atau selebriti yang selepas berhijab menjual atau sedekahkan semua pakaian yang sedia ada untuk mencari pakaian baharu yang lebih sopan dan sesuai dengan imej. Bagaimana pula dengan Hazlin?

Ada juga pakaian saya masih boleh dipakai dan disuai padankan dengan pakaian lain yang lebih sopan. Selepas saya memuat turun foto saya bertudung di laman Instagram dan Facebook, Alhamdulillah, ada yang menawarkan untuk memberi hadiah selendang, tudung dan pakaian yang bersesuaian dengan syariat Islam. Begitu juga gambar-gambar lama, yang lepas biarlah lepas. Matlamat saya adalah sekarang dan masa hadapan.

Adakah mungkin hijrah Hazlin akan membataskan kerjaya anda sebagai wartawan jenayah yang banyak beraksi lasak seperti sebelum ini?

Saya masih sama cuma perlu menjaga adab, tatasusila dan aurat. Tiada alasan untuk saya tidak bekerja dan tidak perlu untuk malu kerana saya bukan buat kerja haram. Selama ini pun, ramai kawan saya yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan yang bertudung, jadi kalau masuk kelab pun kerana melakukan serbuan. Insya-Allah, saya masih berusaha untuk menyesuaikan diri.

Bagaimanakah pendekatan Hazlin untuk beristiqamah dalam keputusan yang telah diambil?

Saya belajar daripada kawan-kawan dan orang yang berilmu. Syukur kerana saya dikelilingi teman yang sentiasa menasihati dan membimbing saya dalam banyak perkara. Selain itu, saya ada rujukan sendiri ke arah mendalami ilmu agama Islam contohnya kelas agama sebagai suntikan baharu buat diri sendiri.

Imej baharu Bront untuk

Posted:

Imej baharu Bront untuk <i>Antara</i>

Imej baharu Bront untuk Antara

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

BRONT menaikkan berat badan daripada 62 kilogram kepada 74 kilogram.


DEMI menjayakan watak seorang jurulatih menyelam bernama Harris dalam filem terbaharu lakonannya, Antara, Bront Palarae sanggup mengubah penampilannya terutama potongan gaya rambut.

Kata Bront, 35, dia telah melalui proses tujuh jam semata-mata untuk mengubah gaya rambut terkini.

Usahanya itu dirasakannya berbaloi untuk mencari kelainan untuk Antara yang mula menjalani penggambaran pada 28 Februari lalu.

"Sekarang, saya dapat rasa bagaimana pakai rambut palsu. Bayangkan, saya perlu bersabar selama tujuh jam untuk potong, sambung, kerinting, potong balik dan mewarnakan rambut ini sehinggalah hasilnya seperti sekarang.

"Saya juga perlu tambah berat badan daripada 62 kilogram menjadi 74 kilogram atas arahan pengarah.

"Semoga usaha kali ini memberikan kelainan kepada penonton nanti," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Antara di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hampir lemas

Selain itu, Bront mengakui banyak belajar perkara baharu sepanjang proses latihan sebelum penggambaran filem itu termasuk belajar teknik menyelam dengan betul.

"40 peratus babak saya dalam filem ini adalah di dalam air, sama ada menyelam atau melakukan aktiviti seumpamanya.

"Sebagai sebuah filem yang menitikberatkan aspek teknikal seperti penggambaran di dalam air, kami dikehendaki mengikuti kelas menyelam untuk mempertajamkan kemahiran sebelum betul-betul dicampak dalam air nanti," kata Bront yang ditawarkan peranan itu Oktober tahun lalu.


BARISAN empat pelakon utama filem Antara (dari kiri), Bront Palarae, Izzaty Abdullah, Aisyah Hasnaa dan Remy Ishak.


Filem arahan Jason Chong itu akan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Tioman, Pahang.

Selain Bront, filem itu menampilkan Remy Ishak, Ezzaty Abdullah dan Aisyah Hasnaa sebagai pelakon utama.

Sementara itu kata Remy yang akan melakonkan watak Kamar, dia mengakui cuak menantikan babak yang memerlukannya hampir lemas dalam air.

"Ada salah satu babak yang perlukan saya berlakon hampir lemas dalam air, sepanjang latihan saya akui memang memenatkan dan memerlukan lebih banyak tenaga. Silap hari bulan saya mungkin betul-betul lemas," jelasnya.

Banyak draf

Remy pada mulanya menolak tawaran membintangi filem terbitan Grand Brillance Sdn. Bhd. itu kerana terdapat kelonggaran daripada segi pembangunan karakternya namun selepas digarap beberapa kali dia menyahut cabaran tersebut.

"Skrip filem ini melalui banyak suntingan sebelum sampai peringkat sekarang dan jalan cerita pun ada perubahan. Saya akui saya memilih naskhah yang boleh mencabar saya untuk menjadi pelakon yang lebih bagus.

"Saya tidak mahu mengulangi watak serupa yang pernah saya lakonkan sebelum ini dan rasanya saya ada hak untuk berkata tidak untuk perkara itu," tegasnya.

Filem bergenre drama cinta itu mengisahkan takdir yang mempertemukan Kamar dan Alya yang membesar bersama seperti pasangan adik-beradik.

Perkongsian kasih sayang yang dibentuk berubah menjadi cinta apabila masing-masing dewasa sehingga Alya memilih untuk keluar daripada lingkungan selamat Kamar dan mengenali Harris yang baru ditemuinya dengan lebih serius.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved