Rabu, 5 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bawa anak, tinggal suami

Posted:

Bawa anak, tinggal suami

Bawa anak, tinggal suami

KELUARGA bahagia Wardina dan Ikhwan.


WALAUPUN nama aktres dan pengacara terkenal, Wardina Safiyyah kurang menjadi bualan dalam kalangan peminat seni tempatan tanah air sejak akhir-akhir ini, namun bagi wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, dia berasa tenang dengan keadaan sebegitu.

Sinonim dengan imej seorang ibu yang sering menjadi ikutan ramai remaja wanita dan ibu muda, Wardina kini dilihat sebagai ikon yang mempunyai kelas yang tersendiri.

Bahagia bersama suami, Ikhwan Johari, 39, dan tiga anak tercinta, Wardina menjadikan ikatan kekeluargaannya sebagai kekuatan dirinya untuk menjalani tugas sebagai seorang anak seni, sekali gus sebagai ikon yang disegani ramai.

Kosmo! berpeluang bertemu dengan pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, itu pada majlis pelancaran Himpunan Eksklusif Set Tilam Terbaharu Goodnight di Hotel Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas terpancar ekspresi ceria pada wajah pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Madinah itu apabila ditebak dengan soalan berkaitan kehidupan dan perjalanan karier seninya.

Siapa sangka, walaupun telah bergelar seorang ibu kepada tiga cahaya mata - Amna Nafeesa, 11, Azra Sareera, 8, dan Imran Arrazi, 5, Wardina telah mengatur strategi dan perancangan rapi dalam kehidupannya.

Dia kini sudah setahun bergelar seorang pelajar di salah sebuah universiti swasta di ibu kota. Mengambil pengkhususan dalam bidang psikologi, ujar Wardina, dia terpanggil untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Jika kita lihat dalam tempoh jangka panjang dan di negara maju, bidang psikologi merupakan bidang yang sangat penting. Di samping itu, niat ingin membantu masyarakat terutamanya memberi khidmat kaunseling juga merupakan salah satu sebab saya mengambil jurusan ini," ujar figura berdarah kacukan Acheh-Australia ini.

Dalam perkembangan yang sama, Wardina juga kini sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajiannya di Brisbane, Australia.

Wardina yang baru sahaja mempunyai masa terluang untuk menyambung pengajiannya berkata, dia akan membawa ketiga-tiga cahaya matanya ke Australia.

"Saya akan membawa ketiga-tiga orang anak saya dan mereka akan bersekolah di sana. Saya hanya mahu untuk mereka belajar mengenal kehidupan dan cara hidup yang baharu.

"Di sana (Brisbane) kami akan tinggal bersama datuk saya. Suami saya akan tinggal di Malaysia selama saya dan anak-anak di sana dua tahun. Saya juga akan berulang-alik sekiranya mempunyai urusan di Malaysia," ujar duta tilam Goodnight itu.


WARDINA berbincang dengan suaminya terlebih dahulu sebelum memberikan persetujuan untuk menjadi duta tilam Goodnite.


Kaunseling

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Wardina berkata, dia kini sibuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan khidmat sosial dan kemasyarakatan.

"Saya kini bernaung di bawah sebuah organisasi kemasyarakatan yang dikenali sebagai Yayasan Mizan. Ia merupakan sebuah organisasi yang membantu golongan yang mempunyai masalah sosial.

"Komuniti ini bertindak untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam memberi mereka motivasi, mendengar masalah dan memberi nasihat.

Terpanggil untuk membantu golongan tersebut, Wardina selesa menjadi seorang kaunselor.

Menurutnya, dia terkejut apabila peminat dan masyarakat menghubunginya melalui laman sosial dan menjadikan dia sebagai rujukan mereka.

"Saya terkejut apabila ramai orang telah menghantar pesanan melalui laman sosial Facebook saya dan bercerita mengenai masalah mereka.

"Apa yang mampu saya buat ialah cuba menyelesaikan masalah mereka dengan merujuk kepada badan-badan yang berkuasa dan mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut," ujarnya.

Wardina juga bercadang untuk membuka pusat kaunseling dan asuhan sekiranya berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang psikologi kelak.

"Saya bercadang untuk membuka pusat kaunseling dan sebuah yayasan untuk membantu golongan ini kerana kita lihat, semakin negara kita menuju ke arah kemajuan, masalah sosial semakin bertambah.

"Sekurang-kurangnya setelah saya mempunyai kelulusan kelak, saya dapat membantu mereka. Saya rasa ia merupakan tanggungjawab saya untuk membimbing golongan yang memerlukan," ujarnya.

Menurut Wardina lagi, dia kini sedang sibuk menyiapkan buku keduanya yang berjudul, Mama Saya Nak Solat selepas buku pertamanya keluaran MPH Bookstores, Mama Saya Lapar mendapat sambutan yang menggalakkan.

Duta tilam

Mengulas mengenai penerimaannya untuk menjadi duta tilam Goodnight, Wardina memberitahu, keputusan tersebut diambil setelah pihak pengurusan menerima syarat-syarat yang telah ditetapkannya.

"Memandangkan imej saya yang bertudung, saya agak memilih terutamanya apabila dirisik oleh mana-mana syarikat untuk dijadikan duta.

"Saya menetapkan syarat termasuk tidak boleh memakai pakaian seksi, ketat dan tidak mahu menggayakan bentuk badan. Alhamdulillah, pihak syarikat tersebut bersetuju dengan semua syarat yang telah ditetapkan.

"Setelah saya berbincang dengan suami, saya bersetuju untuk menerima tawaran ini memandangkan pihak syarikat memahami keadaan saya," katanya yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan syarikat pengeluar tilam Goodnight.

Dalam perkembangan yang sama, Wardina berkata, dia bersama syarikat tersebut akan mengadakan jelajah ke seluruh pelosok negara dalam mempromosikan tilam keluaran terbaharu syarikat tersebut.

Aiman mahu kembali menyanyi

Posted:

Aiman mahu kembali menyanyi

Aiman mahu kembali menyanyi

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

AIMAN mengakui teruja untuk meneruskan langkah dalam dunia lakonan teater selepas pertama kali muncul menerusi pementasan, Bidasari.


LANGKAH bermula menerusi program pencarian bakat nyanyian, Mentor 5 pada tahun 2011, Aiman Hakim Ridza kini nampak selesa mencongak kerjaya dalam arus dunia lakonan.

Seperti meminggirkan kerjaya nyanyiannya, harus diakui kredibiliti Aiman di pentas seni suara tidak secerah kualiti dalam bidang nyanyian.

Atas dasar itu, keselesaan itu barangkali menjadi bekal untuk protege Rahim Maarof itu untuk terus berkelana dalam dunia yang lebih terjamin dan mudah meraih populariti itu.

Paras rupa dan ketinggian sebagai bonus buat anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mencipta fenomena tersendiri.

Selepas drama bersiri Vanilla Coklat, Indera Joned, Friday I'm In Love, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, Diandra dan terkini, Projek Memikat Suami, mungkin Aiman sendiri sudah sebati dengan dunia lakonan.

Aiman yang ditemui pada acara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini menerangkan lebih lanjut mengenai prioriti dalam kerjayanya.

Ikuti temu bual pelakon tinggi lampai ini bersama Kosmo!.

Kosmo!: Selepas satu persatu drama lakonan Aiman dan terbaharu selesai pementasan teater bangsawan Bidasari, apa pula selepas ini?

AIMAN HAKIM RIDZA: Kalau boleh setiap hari saya mahu belajar perkara baharu, tidak kira teknik berlakon atau kemahiran untuk menguasai pelbagai emosi berbilang watak. Insya-Allah, kalau ditawarkan untuk berlakon teater lagi saya akan terima sebab sudah mula rasa seronok. Buat masa sekarang, saya berehat seketika selepas tamat pementasan teater Bidasari pertengahan bulan Februari lalu.

Apakah pengalaman berharga yang dikutip daripada pementasan teater bangsawan Bidasari sepanjang tujuh hari?

Hari pertama memang huru-hara, sukar untuk saya biasakan diri dengan pentas. Memang ada kritikan saya terima, tapi hari demi hari saya perbaiki kekurangan daripada pihak saya. Puasnya teater kerana sarat dengan ilmu seni yang tidak dapat melalui penggambaran drama.

Berlakon dengan pelakon teater yang sudah berpengalaman, adakah mungkin Aiman hilang fokus apabila mereka boleh memanipulasi keadaan dengan mudah berbanding Aiman sendiri?

Mereka nama-nama besar seperti Raja Azura dan Datuk Jalaludin Hassan yang boleh 'makan' saya kalau terleka. Sepanjang 10 kali pementasan selama tujuh hari saya sedikit sebanyak boleh menggenggam apa maknanya pentas dan mengenalpasti corak permainannya.

Ke arah manakah pementasan teater itu membawa hala tuju karier Aiman sendiri?

Sejujurnya, teater ini telah mengembalikan keyakinan yang hilang ketika menyertai Mentor 5 sebelum ini. Itulah ilmu percuma yang saya tidak dapat sebelum ini. Teater ini permulaan semula untuk saya kembali aktif dalam bidang nyanyian dan memang menyanyi adalah cita-cita saya yang tidak akan saya ketepikan. Malah, single pertama saya berjudul Buatmu Cinta menjadi runut bunyi drama Projek Memikat Suami yang sedang ditayangkan sekarang.

Apakah lagi drama lakonan Aiman yang sedang ditayangkan di kaca televisyen sekarang dan projek lain yang sedang diusahakan anda?

Projek Memikat Suami ditayangkan di Astro Ria), 7 Suami (TV9) dan Antara Laut China Selatan (TV2). Selain itu, saya sedang mengusahakan bisnes keluarga iaitu sebuah studio jamming, penerbitan iklan dan pengurusan acara di Ara Damansara, Selangor.

Apabila watak lakonan Aiman dilihat hampir sama dalam setiap drama dan telefilem, apakah impian Aiman untuk melihat perubahan corak karakter pada masa akan datang?

Saya akui kebanyakan karakter yang saya lakonkan kelihatan hampir sama dan mungkin juga pada skripnya. Ia bukan soal duit tapi lebih pada niat saya untuk belajar lebih banyak lagi. Teringin juga saya melakonkan watak seorang wartawan dan orang gila selepas ini.

David Foster dan Cakra Khan pilihan Siti

Posted:

David Foster dan Cakra Khan pilihan Siti

David Foster dan Cakra Khan pilihan Siti

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI


SITI dikelilingi para pelukis yang terbabit dalam pameran An Iconic Exhibition of Datuk Siti Nurhaliza.


HASRAT penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk berkolaborasi bersama idolanya, komposer tersohor kelahiran Kanada, David Foster tercapai setelah kedua-dua ikon tersebut bakal berkolaborasi dalam konsert terbaharu Siti di Pusat Seni Persembahan The Star, Singapura.

Tambah menarik apabila Foster bakal mengiringi Siti dengan petikan piano pada konsert dikenali sebagai Datuk Siti Nurhaliza Live in Singapore yang bakal berlangsung pada hari ini, 5 Mac.

Siti yang begitu teruja dengan kolaborasi bersama idolanya itu menyifatkan ia merupakan satu pengiktirafan buatnya.

Selain itu, ia juga memberi memori indah yang tidak dapat dilupakan bagi penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

"Sudah tentu saya teruja apabila diberikan peluang untuk berkolaborasi dengan David Foster. Perasaan tersebut sama ketika diberi peluang berduet dengan pemenang 10 kali anugerah Grammy, Babyface sebelum ini (pada tahun 2013).

"Dari segi susunan dan pemilihan lagu segalanya akan ditentukan oleh pihak David dan saya berharap konsert itu nanti dapat dijayakan dengan sebaiknya," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran An Iconic Exhibition of Datuk Siti Nurhaliza di Galeri Artelier Solaris Dutamas, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Siti yang pernah berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia seperti Krisdayanti turut ditawarkan untuk berduet dengan Cakra Khan dalam album terbaharunya.

Projek tersebut merupakan permintaan daripada pihak pengurusan penyanyi kacak Indonesia itu.

Setelah beberapa perbincangan diadakan, Siti bersetuju untuk berduet dengan penyanyi yang tersohor menerusi single Harus Berpisah itu.

"Memandangkan saya pernah berkolaborasi dengan dia (Cakra Khan) sebelum ini iaitu pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM), saya rasa ia tidak menjadi masalah.

"Buat masa sekarang, pihak kami masih lagi dalam proses mencari lagu yang sesuai sebelum memasuki studio.

Pemilihan dan komposisi lagu penting untuk memastikan vokal kami dapat diserasikan dalam lagu itu nanti," ujarnya.

Pameran

Dalam pada itu, Datuk Siti Nurhaliza telah menjadi pilihan 17 pelukis dari seluruh pelosok dunia termasuk Iran, Indonesia dan Malaysia dalam menzahirkan bakat menghasilkan potret penyanyi yang pernah membuat persembahan di Dewan Philharmonik London itu menerusi pameran An Iconic Exhibition of Datuk Siti Nurhaliza.

Pelbagai teknik digunakan seperti semburan, cat, media baharu dan media campuran digunakan para pelukis untuk menggambarkan pandangan masing-masing terhadap penyanyi yang popular menerusi lagu Cindai itu.

Pameran tersebut berlangsung sejak 26 Februari dan akan berterusan selama sebulan.

Antara pelukis yang terlibat dalam projek tersebut termasuk Andrian Torres dari Sepanyol, E.M Night Watcher (Iran) serta lima pelukis Malaysia terdiri daripada Haffendi Anuar, Azizi Latif, Faiz Yunus, Zizan Osman dan Nazmi Ismail.

Lukisan tersebut dipamerkan untuk dijual kepada orang ramai yang berminat dengan harga antara RM1,500 sehingga RM75,000.

Melalui penjualan lukisan tersebut, dana akan dikumpulkan untuk disalur kepada organisasi milik penyanyi tersebut iaitu Yayasan Nurjiwa.

Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu sempat memberitahu, beliau sangat tersentuh dengan lukisan yang dihasilkan.

Pada masa yang sama, suaminya, Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K juga meminati karya seni tersebut.

Siti dan Datuk K turut bercadang membeli salah sebuah lukisan yang dipamerkan di Galeri Artelier Solaris Dutamas, Publika, Kuala Lumpur itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved