Rabu, 5 Februari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Keunikan kerongsang rekaan dua beradik

Posted:

Keunikan kerongsang rekaan dua beradik

Keunikan kerongsang rekaan dua beradik

NUR MARIANI (kiri) dan Nur Malissa memulakan perniagaan kerongsang sejak dua tahun lalu.


MELIHAT terlalu banyak cebisan kain daripada baju pelanggan yang dijahit telah memberikan idea kepada pasangan adik-beradik Nur Mariani Md. Isa, 27, dan Nur Malissa, 23, untuk menghasilkan kerongsang daripada cebisan fabrik berkenaan.

Pada mulanya usaha mereka bertujuan untuk pemakaian sendiri, namun ia berubah kepada sebuah perniagaan dalam talian selepas setiap rekaan menerima pujian daripada rakan dan saudara-mara.

Justeru, Nur Malissa memasarkan produk-produk yang dihasilkan menerusi laman sosial Facebook dan mendapat sambutan memberangsangkan terutamanya dalam kalangan pembeli berusia 16 tahun ke atas.

Nur Malissa yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak berkata, pelanggan pertama produk Flower Pin Lovely Brooch adalah dalam kalangan rakan mahasiswa di universiti berkenaan.

"Tarikan utama kerongsang ini ialah ia boleh digayakan mengikut kreativiti pembeli seperti pada tudung, diletakkan pada cekak rambut atau menyisipkannya pada ikatan rambut," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, penghasilan kerongsang bergantung kepada kreativiti dan kesesuaian pemakaiannya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga pelanggan yang lebih gemar memberikan lakaran kerongsang mengikut cita rasa masing-masing.

"Ketika memulakan perniagaan ini dua tahun lalu, saya dan kakak hanya menggunakan cebisan kain. Namun seiring peningkatan permintaan pelanggan hari ini, kami membeli kain yang lebih berkualiti.


MOTIF bunga menjadi tema utama koleksi Flower Pin Lovely Brooch.


"Antara material yang sering menjadi pilihan ialah sutera. Selain itu, kami turut menggunakan fabrik sifon dan satin dengan keperincian rekaan menggunakan labuci dan manik berwarna-warni," jelasnya.

Harga jualan adalah mengikut saiz kerongsang iaitu dari RM1.50 hingga RM4.50 sepasang.

Nur Malissa menambah, terdapat juga dalam kalangan pelanggannya yang membeli secara borong bagi tujuan menjualnya semula.

Perkembangan perniagaan

Pasangan adik-beradik itu mampu menghasilkan kira-kira 300 hingga 400 pasang kerongsang sebulan dengan melibatkan kos kira-kira RM200 hingga RM300.

Walaupun masih belajar, Nur Malissa bijak menggunakan masa terluang untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Memasang impian untuk membuka sebuah butik, mereka kini meningkatkan kemahiran dengan menceburi jahitan manik bagi pakaian bertunang dan perkahwinan.

Nur Mariani yang terlebih dulu berkecimpung dalam arena perniagaan mengakui bahawa dia tidak pernah terfikir untuk memasarkan kerongsang yang dihasilkan melalui internet.

"Selama ini sasaran saya hanya pelanggan dalam kalangan penduduk sekitar. Namun dengan bantuan Lisa (Nur Malissa), pelanggan makin ramai dan perniagaan semakin baik," katanya yang menetap di Selarong, Pengkalan Hulu, Perak.

Dia berkata, walaupun sering berkongsi idea, Nur Mariani menganggap adiknya lebih kepada usaha pemasaran manakala dirinya dalam penghasilan produk.

"Tempoh paling genting adalah ketika musim perayaan dan perkahwinan kerana tempahan akan meningkat. Waktu itu Lisa akan sibuk membuat rekaan di universiti dan saya di sini.

"Tetapi jika ia melibatkan pengurusan pelanggan, saya akan serahkan sepenuhnya kepada adik saya," katanya.

Beli-belah bersama duta Uniqlo

Posted:

Beli-belah bersama duta Uniqlo

Beli-belah bersama duta Uniqlo


TERPANCAR wajah kegembiraan pemenang peraduan #UOTW, Syifa sewaktu sesi membeli-belah bersama Nora.


ENAM pemenang bagi peraduan Uniqlo Outfit of The Week (#UOTW) baru-baru ini menerima layanan istimewa daripada duta Uniqlo, pelakon Nora Danish dan pembaca berita Mandarin 8TV, Owen Yap.

Keenam-enam mereka memenangi baucar beli-belah Uniqlo bernilai RM300. Paling menguntungkan apabila mereka berpeluang membelanjakan baucar kemenangan itu dengan ditemani Nora dan Yap.

Berlangsung selama enam minggu, peraduan #UOTW yang dijalankan menerusi laman Instagram itu menerima 387 penyertaan dengan lebih 1,000 gambar dikongsi dalam talian.

Setiap peserta perlu menampilkan tiga gaya berpakaian mengikut tema yang ditetapkan Uniqlo iaitu preppy, holiday dan street chic. Peserta kemudiannya dinilai dan dipilih sendiri oleh Nora dan Owen.

Intan Farida Adnan dan Chai Youhe merupakan pemenang bertuah bagi tema preppy. Gaya holiday pula menjadi milik Syifa Izzat dan Suzanna Ng Geok Hiew. Melengkapi senarai pemenang ialah Che Mohd. Alif Asyraf Che Abdullah dan Joanne Saw daripada kategori street chic.

Setiap daripada mereka dipilih berdasarkan keseimbangan personaliti dan kreativiti dalam bergaya dengan menekankan konsep suai padan mengikut tema masing-masing.

Nora memberitahu, memilih pemenang merupakan satu proses yang sukar manakala Yap pula berpendapat, pemenang yang dipilih sangat bijak bergaya malah dia turut meminta beberapa tip berpakaian daripada mereka.

"Saya turun ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk bertemu dengan kedua-dua duta ini. Ia merupakan pengalaman termanis untuk dikenang tambahan lagi apabila berpeluang meluangkan masa membeli-belah bersama mereka," ujar pemenang tema street chic, Saw.

Selain membeli-belah bersama, para pemenang turut diberi kesempatan menjamu selera bersama Nora dan Yap bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih dekat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved