Sabtu, 1 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Trauma mangsa dera

Posted:

Trauma mangsa dera

Trauma mangsa dera

Oleh NOR IDAYU BOSRO
dan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
ahad@kosmo.com.my


TEKANAN perasaan yang dilalui seawal usia kanak-kanak boleh menjejaskan proses pembelajaran.


SESI persekolahan yang baru sahaja bermula awal bulan lalu mungkin meninggalkan pengalaman pahit buat Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan rakannya, Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith.

Manakan tidak, kedua-dua murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai, Perak itu terpaksa berdepan detik-detik memalukan apabila mereka dilayan seperti seekor lembu dalam kejadian yang berlaku pada 16 Januari lepas.

Mereka yang masing-masing berusia 10 tahun bukan sahaja diarah memakai loceng di leher malah turut dipaksa makan rumput hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Hukuman denda yang disifatkan keterlaluan itu dibuat oleh seorang guru lelaki yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Sebelum diperlakukan sedemikian, guru berusia 26 tahun itu terlebih dulu didakwa merotan tapak tangan pelajar tersebut sebanyak dua kali.

Tidak cukup dengan itu, guru terbabit turut mengugut mangsa untuk memuat naik gambar mereka menjadi 'lembu' yang diambil menggunakan telefon bimbit ke laman Facebook.

Ibu kepada salah seorang mangsa, Siti Aisyah Hashim, 32, berkata, anaknya mengalami trauma dan malu dengan kejadian tersebut apabila terdapat rakan-rakan mengejek mereka dengan panggilan 'lembu'.

Katanya, guru terbabit mengakui anaknya merupakan seorang murid yang pandai, namun akibat perbuatannya, anak kedua daripada enam beradik itu kini fobia untuk ke sekolah.

"Saya terkilan kerana kita hantar mereka ke sekolah untuk belajar tetapi guru pula tunjuk contoh yang tidak baik," kata Siti Aisyah.

PENDERAAN fizikal menyebabkan mangsa berasa takut.


Kesan psikologi

Trauma yang sama turut dirasai Isaac Chan Yi Bing apabila dia dipukul oleh guru tuisyen di Sri Gombak, Selangor sehingga mengalami luka dan lebam di beberapa anggota badan.

Dalam kejadian pada 27 Januari lalu itu, kanak-kanak berumur empat tahun itu turut dicakar selain dirotan guru wanita yang sarat mengandung tersebut.

Dia terpaksa menjalani hukuman itu setelah didapati gagal menghafal abjad dengan lancar.

Ibunya, Ong Mei Li, 30, berkata akibat perbuatan guru itu, belakang badan anak tunggalnya didapati bercalar dan berdarah, selain lebam di tangan, telinga serta pipi.

"Dia pulang daripada pusat tuisyen dalam keadaan menangis dan ketakutan," ujarnya.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon berkata, penderaan baik dalam bentuk fizikal, emosi mahupun seksual biasanya akan meninggalkan kesan psikologi kepada mangsa.

Menurutnya, emosi mereka akan lebih mudah terganggu, berasa tertekan serta cenderung mengalami kemurungan dalam jangka masa panjang.

"Emosi yang terganggu sering kali ditunjukkan dalam pelbagai cara. Secara umumnya, mereka akan menunjukkan perubahan dari segi kelakuan.

"Ada yang memberontak dan bersikap agresif. Ada juga yang sedih, suka menyendiri, sering berasa takut, mengalami mimpi ngeri serta sering mengadu sakit tanpa sebab," jelasnya.


MANGSA akan berasa malu dan fobia untuk berdepan dengan rakan-rakan di sekolah.


Memori episodik

Bertutur lanjut, Zainal memberitahu, emosi yang terganggu akan menjejaskan pembentukan identiti diri serta memberi kesan kepada prestasi akademik kanak-kanak terbabit.

Katanya, mangsa dera lazimnya didapati hilang keyakinan diri selain memiliki konsep serta penghargaan kendiri yang rendah.

"Situasi ini boleh mempengaruhi persepsi terhadap diri sendiri dan menjejaskan pembelajaran di sekolah," ujarnya.

Zainal berkata, mangsa dera kanak-kanak yang tidak dibantu juga akan mengakibatkan mereka mengalami krisis dan trauma sepanjang hayat.

Jelasnya, pengalaman trauma menjadi memori episodik yang kekal dalam tempoh masa lama kerana kesan penderaan akan berada dalam minda separa atau bawah sedar mangsa dera.

"Memori ini akan muncul kembali apabila mangsa didedahkan dengan cerita yang seakan-akan serupa atau melihat orang lain menjadi mangsa dera.

"Bagaimanapun, proses terapi atau khidmat kaunseling yang memberi peluang kepada mangsa meluahkan perasaan terpendam dapat membantu mereka menghadapi kehidupan dengan lebih baik," katanya.

Menurut Zainal, kaedah psikodinamik yang menggunakan teknik perkaitan bebas adalah antara cara yang dapat membolehkan mangsa meluahkan pengalaman serta perasaan terpendam.

"Pendekatan secara insan melalui teknik terapi ekspresif juga boleh membantu mangsa membina semula identiti kendiri," ujarnya.

Azizah ajar banduan menjahit

Posted:

Azizah ajar banduan menjahit

Azizah ajar banduan menjahit

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my


BERKHIDMAT sebagai tenaga pengajar, Azizah teliti dalam memastikan latihan yang diberikan dapat dilaksanakan secara teori dan praktikal.


SETIBANYA kru Jurnal di Zieza Training Centre (ZTC) di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, kami dijemput untuk menikmati juadah makan tengah hari yang secara kebetulan disediakan untuk peserta pusat latihan kemahiran jahitan itu.

"Mari makan dulu. Lepas kenyang baru seronok nak bercerita.

"Lauk-pauk ini anak lelaki saya yang masak," kata pengurus ZTC, Siti Azizah Syed Musa.

Hidangan ayam masak lemak cili padi bersama ikan keli masak sambal serta sayur kubis goreng itu cukup membangkitkan selera.

Selesai sahaja menjamah makanan, sesi temu bual bersama wanita berusia 46 tahun itu berlangsung dalam keadaan bersahaja sementelah dia yang lebih mesra disapa Azizah bijak menutur kata ketika diminta menceritakan dirinya.

Menurut ibu kepada empat orang zuriat itu, beliau minat menjahit sejak kecil lagi.

30 tahun

Oleh sebab minat yang begitu mendalam, pemegang Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang itu mengusahakan sebuah butik pakaian di Medan Mara, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

"Saya memulakan bisnes dengan menerima tempahan menjahit manik dan sulam serta busana tradisional seperti baju kurung dan kebaya.

"Dalam tempoh itu, saya turut mengambil beberapa kursus untuk menjadi tenaga pengajar bertauliah bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Tahap 1, 2 dan 3," katanya.

Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang fesyen dan jahitan, wanita kelahiran negeri Melaka ini berpeluang menyalurkan ilmunya melalui pelbagai program anjuran kerajaan.

Azizah memberitahu, antara program yang pernah disertai termasuklah Program Rakyat Termiskin Negeri Sembilan, kursus jahitan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta beberapa aktiviti di bawah Giat Mara.


KURSUS jahitan manik dan pakaian wanita ditawarkan kepada para pelajar.


Bagaimanapun, kenangan menjadi tenaga pengajar untuk kursus jahitan selama lima hari di Penjara Wanita Kajang, Selangor kira-kira lima tahun lepas masih segar dalam ingatannya.

Beliau yang pada masa itu turut berkhidmat sebagai perunding Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengakui hatinya diselubungi perasaan takut serta bimbang ketika pertama kali menjejakkan kaki ke dalam tirai besi itu.

"Perasaan waktu itu bercampur-baur. Hati rasa berdebar-debar namun dalam pada masa yang sama amat teruja dengan peluang yang diberikan," ujarnya.

Cerita anak sulung daripada tiga adik-beradik ini, seluruh tubuhnya diperiksa terlebih dulu oleh pegawai bertugas sebelum dibenarkan masuk ke dalam penjara.

Penjara

Menurutnya, kakitangan penjara lain pula ditugaskan mengira jumlah peralatan menjahit yang dibawa masuk sebagai salah satu langkah keselamatan.

"Saya tidak dibenarkan membawa masuk apa-apa barang termasuk telefon bimbit, beg tangan atau dompet. Bahkan pin yang dikenakan pada tudung juga disuruh buka," ujarnya.

Bertutur lanjut, Azizah berkata, sistem sekuriti di sebalik tembok batu dan jeriji besi itu juga dikawal ketat serta diawasi dengan rapi oleh warden penjara.

Manakan tidak, loceng akan dibunyikan setiap dua jam sekali sepanjang lapan jam kursus tersebut berlangsung sebagai tanda peserta akan diperiksa dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

"Peralatan menjahit seperti benang, gunting dan jarum juga dikira secara teliti supaya apa-apa barang yang hilang boleh dikesan dengan cepat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Malah, setiap banduan yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan turut diletakkan di bawah pengawasan kakitangan penjara sepanjang masa," jelasnya sambil memberitahu, kursus itu bertujuan mempelbagaikan kemahiran tahanan wanita selain memberi peluang kepada mereka melengkapkan diri sebelum berhadapan dengan masyarakat.

Kini, Azizah komited untuk melahirkan lebih ramai pelajar dengan membuka akademi jahitan yang lebih besar dan kondusif.

Beliau yang turut bertanggungjawab dalam pembikinan manual pembelajaran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (Noss) 2014 berkata, beliau menerima banyak permintaan mengajar terutamanya dari negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Saya bercadang untuk membuka pusat latihan beserta kemudahan asrama bagi memudahkan pelajar khususnya yang tinggal di luar ibu negara," katanya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan lima tahun lalu, pusat latihan itu telah melahirkan lebih 5,000 pelajar yang mempunyai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"ZTC menawarkan kursus menjahit manik, pakaian wanita, baju Melayu, tudung, langsir dan cadar pada harga yuran yang berpatutan selain menjadi pusat latihan bertauliah bagi mendapatkan SKM," katanya.

Semangat Tahun Kuda

Posted:

Semangat Tahun Kuda

Semangat Tahun Kuda


TAHUN KUDA kali ini dikaitkan dengan unsur kayu.


TEPAT pukul 12 malam, dentuman bunga api yang memecah kesunyian pada Jumaat lalu memberi petanda kedatangan tahun baru mengikut kalendar lunar.

Pada detik itu jugalah, tangisan suara bayi lelaki Singapura pertama yang lahir pada Tahun Baru Cina, Ashden Tee memecah kesunyian dewan bersalin Hospital Raffles di Kota Singa.

Uniknya, kelahiran anak kedua pasangan Dennis Tee Jyh Eng dan Lee Bab Ing itu melengkapkan lagi kehidupan mereka bertiga sekeluarga sebagai individu berzodiak Tahun Kuda.

"Dia bayi yang sangat aktif sejak di dalam kandungan lagi.

"Selalu bergerak dan menendang seperti seekor kuda ketika berada di dalam perut ibunya," ujar Jyh Eng, 35, yang gembira menyambut kelahiran anak lelakinya itu seperti yang dilaporkan portal berita Straits Times.

Tanggal 31 Januari lalu itu juga menjadi hari pertama kedatangan Tahun Kuda selepas ia disambut 12 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2002.

Ini kerana zodiak tahun binatang mengikut kalendar kaum Cina mengambil tempoh kitaran 12 tahun sekali.

Ia sekali gus menjadi petanda pemergian Tahun Ular pada tahun lalu.

Bagi masyarakat Cina, tahun kelahiran mengikut zodiak binatang mempunyai signifikan tertentu dalam kehidupan mereka.

Bijak

Mereka yang lahir dalam Tahun Kuda dikatakan memiliki aura tersendiri yang disifatkan sebagai seorang yang bertenaga dan memiliki sifat bijak yang turut dikenali sebagai Qianli Ma.

Qianli Ma bermaksud kuda yang meliputi seribu li sehari. (satu li bersamaan dengan 500 meter).

Malah, mereka yang lahir pada Tahun Kuda ini juga dikatakan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan seronok untuk berada dalam satu kehidupan yang mendapat perhatian orang ramai.


INDIVIDU Tahun Kuda dinasihatkan supaya lebih berwaspada pada tahun ini kerana keseimbangan unsur yin-yang mungkin terganggu.


Secara umumnya, mereka yang tergolong dalam tahun tersebut dikatakan seorang yang ceria, terkenal, berbakat dan menghiburkan.

Bukan itu sahaja, mereka juga dikaitkan dengan unsur kejayaan dan tidak mampu menghadapi kegagalan dalam hidup.

Sungguhpun memiliki beberapa elemen kekuatan dalam diri individu yang lahir pada Tahun Kuda ini, terdapat beberapa kekangan yang mungkin menjadi konflik dalam diri mereka.

Dalam feng shui, biarpun individu Tahun Kuda dikatakan seorang yang berbakat besar, namun mereka sebenarnya tidak sabar dan mudah marah.

Lebih buruk lagi apabila mereka menghadapi kegagalan, ia akan menjadikan seseorang yang lahir pada Tahun Kuda itu berubah menjadi seorang yang bersikap pesimis.

Individu Tahun Kuda juga dikatakan sebagai golongan yang kurang baik dalam pengurusan kewangan selain sukar menempatkan diri dalam kerjaya berprofil tinggi.

Di samping itu, kelahiran individu pada Tahun Kuda juga dikaitkan dengan sifat tidak suka mendengar nasihat daripada orang lain.

Kuda kayu

Mengikut ilmu astrologi Cina, kalendar lunar memiliki empat unsur iaitu, kayu, besi, api, air dan tanah.

Namun, pada tahun ini, masyarakat Cina menyambut Tahun Kuda dengan padanan unsur kayu.

Biarpun mereka yang lahir pada Tahun Kuda dikatakan seorang individu yang memiliki karakter yang bertenaga dan tahan lasak, mereka dinasihatkan supaya berhati-hati.

Memandangkan tahun 2014 merupakan tahun kuda kayu, unsur kayu itu sendiri dikatakan berkait rapat dengan kemajuan dan perancangan untuk terus bergerak maju ke hadapan.

Justeru itu, menurut The Feng Shui Society, individu kelahiran Tahun Kuda perlu berhati-hati dengan kemunculan elemen tenaga api yang terdapat dalam seekor kuda.

Mereka diminta supaya berwaspada dan sentiasa mempunyai perancangan sokongan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selain itu, individu Tahun Kuda juga dikatakan perlu bijak mengawal emosi yang tidak stabil.

"Anda boleh membuat keputusan untuk bertindak seperti seorang yang sedang mengawal pergerakan kuda yang ditunggangnya," lapor laman The Feng Shui Society.

Yin-yang


ZODIAK binatang mempunyai signifikan tertentu dalam masyarakat Cina.


Sementara itu, seorang pakar feng shui di Sydney, Australia, Lok Tin memberitahu, individu yang menyelusuri tahun binatang yang sama dengan zodiak tahun kelahirannya akan menghilangkan konsep keseimbangan dalam falsafah yin-yang.

Mereka dikatakan melalui perjalanan Benming Nian (Tahun Lahir) yang akan menyinggung perasaan Taisui, iaitu dewa kekayaan.

Oleh sebab itu dari segi kewangan, individu Tahun Kuda diramal berkemungkinan mengalami sedikit gangguan.

Maka, mereka yang lahir pada itu perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dalam mengawal sebarang bentuk tekanan dan halangan yang dihadapi pada tahun ini.

Sebaliknya, bagi individu yang bukan dilahirkan pada Tahun Kuda, mereka diramal akan mendapat kekayaan dan kesihatan sepanjang tahun.

Dalam pada itu, menurut Tin, elemen api yang terdapat dalam kuda juga akan membawa kemungkinan kepada beberapa kejadian bencana alam yang melibatkan unsur api.

"Ini kerana kuda kayu dipercayai mewakili unsur kuasa tenaga api," ujarnya seperti yang dilapor portal berita The Sydney Morning Herald.

Katanya, dalam ilmu feng shui, mereka percaya elemen api yang terdapat dalam kuda itu sendiri telah sedia kuat dan mungkin akan memberi gangguan kepada unsur kayu.

Tenaga api yang dimaksudkan berkemungkinan melibatkan kejadian letusan gunung berapi ataupun insiden tunjuk perasaan bersenjata.

Dalam pada itu, katanya, bagi mereka yang mahu membentuk ikatan perhubungan dengan seseorang, kelompok individu yang lahir daripada tahun harimau, kambing dan anjing dikatakan bersesuaian.

Biarpun apa jua ramalan yang terdapat dalam astrologi Cina, setiap kali tahun baru, negara-negara yang memiliki penduduk Cina yang ramai seperti Hong Kong, China dan Malaysia akan menyambutnya dengan penuh meriah.

"Ia lebih kepada sambutan untuk ahli keluarga berkumpul dan makan bersama-sama

"Inilah masanya untuk mereka berjumpa semula dan menguatkan lagi hubungan kekeluargaan," ujar Pengarah Pusat Pengajian Cina, Universiti Sydney, Australia, Prof. Kerry Brown.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved