Sabtu, 8 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Muzik keras cara TDWP

Posted:

Muzik keras cara TDWP

Muzik keras cara TDWP


SETIAP bait lirik TDWP dalam lagu yang disampaikan turut sama dinyanyikan oleh 1,500 penonton yang hadir.
DARI kiri: Mike, Jeremy, Chris, Andy dan Daniel yang menganggotai TDWP teruja membuat persembahan pertama kali di Kuala Lumpur.




DARI kiri: Mike, Jeremy, Chris, Andy dan Daniel yang menganggotai TDWP teruja membuat persembahan pertama kali di Kuala Lumpur.


JERITAN penonton mula menggegarkan suasana dalam ruang konsert KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Sabtu lalu sebaik sahaja kelibat sang vokalis, Mike Hranica yang memakai jersi pasukan hoki ais Ohio bernombor 47 melangkah masuk ke atas pentas.

Tanpa menunggu lama, kumpulan The Devil Wears Prada (TDWP) memulakan rantaian persembahan pada malam itu dengan lagu Gloom yang dipetik daripada album terbaharu mereka bertajuk 8:18.

Lagu pembukaan itu ternyata memberi energi awal kepada penonton yang setia menanti mereka sejak petang lagi. Jeritan nada tinggi nyanyian Mike yang diselangi dengan alunan melodi gitar, bass dan dram dalam lagu itu seolah-olah meresap lalu merasuk jiwa penonton.

Hempas mikrofon

Seperti tahu apa yang harus dilakukan, penonton terus memulakan aksi mosh iaitu sejenis tarian yang dilakukan dalam formasi bulatan yang sinonim dalam konsert atau persembahan muzik metal.

Tatkala gitaris kedua kumpulan TDWP, Jeremy DePoyster menyanyikan rentak melodi pada bahagian korus dalam setiap lagu yang dipersembahkan, suara penonton turut sama membingitkan lagi suasana ruang persembahan itu.

Insiden masalah teknikal pada pertengahan set sehingga menyebabkan Mike menghempas mikrofon ternyata tidak merencatkan rentak kumpulan itu sehingga ke akhir persembahan.

Interaksi Mike dengan penonton sepanjang persembahan wajar diberi pujian. Kata-katanya yang menjadi pembuka bicara sebelum memulakan sesebuah lagu ternyata menceriakan penonton.

"Penonton Malaysia lebih sporting berbanding ketika kami mengadakan persembahan di Indonesia dan Singapura," laung Mike pada pertengahan set sehingga mendapat sorakan gemuruh daripada kira-kira 1,500 penonton yang hadir.

Selain Mike dan Jeremy, TDWP yang turut ditunjangi oleh Chris Rubey (gitar utama), Andy Trick (bass) dan Daniel Williams (dram) memberikan persembahan bertenaga sepanjang sejam beraksi di pentas.

TDWP menghidangkan sebanyak 13 lagu dalam konsert itu. Antaranya ialah Assistant To The Regional Manager, Outnumbered, Born To Lose, First Sight, Danger:Wildman dan Dead Throne.

Kerancakan muzik TDWP pada malam itu bagaikan tidak mampu dihentikan. Sebaik sahaja lagu terakhir bertajuk Hey John, What's Your Name Again? dipersembahkan, penonton masih lagi tidak berganjak dan berharap TDWP menyambung persembahan mereka.

Persembahan pemanas badan daripada tiga kumpulan dari Malaysia iaitu Oh Chentaku, Massaccre Conspiracy dan The Padangs sebelum kemunculan TDWP di pentas ternyata menghangatkan suasana KL Live pada malam itu.

Usaha Fat Boys membawa kumpulan itu dalam konsert The Devil Wears Prada Live In Kuala Lumpur merupakan penamat kepada penantian peminat tegar mereka di negara ini.

Di sebalik 8:18

Nama TDWP bukanlah satu nama asing bagi peminat muzik genre Metalcore di Malaysia. Kumpulan yang berasal dari Dayton, Ohio, Amerika Syarikat ini ternyata mempunyai pengikut tersendiri sejak kemunculan album pertama mereka berjudul Dear Love:A Beautiful Discord pada tahun 2006.

Tahun lalu, album 8:18 yang diedarkan di bawah rekod label gergasi, Roadrunner Records membuktikan muzik aliran keras yang menjadi signatur kumpulan itu masih mendapat tempat di hati peminat muzik aliran Metalcore di seluruh dunia.

Ketika berpeluang menemu bual TDWP beberapa jam sebelum konsert tersebut berlangsung, Mike yang mewakili kumpulan itu berkata, banyak perkara yang dipelajari oleh mereka ketika menyiapkan album Dead Throne lalu disuntik sewaktu membikin 8:18.

"Sewaktu merakamkan lagu-lagu untuk album Dead Throne beberapa tahun yang lalu, banyak perkara yang kami pelajari terutamanya tentang penulisan lagu dan lirik. Ia termasuk dari segi teori penulisan serta cara menggubah bagi menjadikan lagu-lagu yang dirakam untuk 8:18 kedengaran lebih menarik.

"Walaupun kami menggunakan formula yang sama ketika menulis lagu, ia tidak bermaksud bahawa kami tidak mempelajari sesuatu yang baharu setiap kali kami mengeluarkan album. Tetapi, pengalaman menulis 8:18 ternyata berbeza berbanding sesi penulisan yang sebelum ini," ujarnya.

Lebih serius

Sebelum ini, TDWP cukup terkenal dengan tajuk-tajuk lagu yang pelik serta tidak selari dengan lirik yang ditulis oleh mereka. Tetapi, setelah muncul dengan 8:18, mereka tampak lebih matang dan serius dalam mempersembahkan lagu-lagu ciptaan mereka.

Melanjutkan perbualan, Daniel memberitahu, mereka gemar meniru band-band kegemaran mereka sewaktu pertama kali muncul menerusi album Dear Love: A Beautiful Discord.

"Ketika itu, kami baru sahaja menapak dalam dunia nyanyian. Tajuk-tajuk lagu yang pelik itu dianggap sebagai salah satu cara untuk kami bereksperimentasi dengan haluan muzik kumpulan kami.

"Kami juga cuba untuk tampil dengan cara yang berbeza berbanding band-band yang ada ketika itu. Jika kami mengikut apa yang sedang menjadi ikutan pada ketika itu, kami juga akan tergolong dalam kumpulan yang dikategorikan sebagai melakukan perkara yang sama sahaja," ujarnya.

Ulang tahun ke-15

Sempena ulang tahun band itu yang ke-15 tahun hadapan, Mike dan ahli kumpulan yang lain mempunyai perancangan yang tersendiri dalam menyambut hari yang bersejarah itu.

"Kami mula menyanyi di lapangan tempat orang ramai bermain papan lungsur di Ohio. Jadi, tidak salah rasanya kembali menyanyi di sana sambil disaksikan oleh peminat yang setia mengikuti perjalanan karier kami sejak dulu," katanya.

Shukur sokong karier Farawahida

Posted:

Shukur sokong karier Farawahida

Shukur sokong karier Farawahida

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

ABDUL SHUKUR dan Farawahida merancang berbulan madu ke Jepun.


MENJADI suami kepada penyanyi Farawahida, bukan tiket untuk Abdul Shukur Mohd. Zain menghalang isteri yang dikenalinya selama lebih lapan tahun itu untuk meneruskan kariernya.

Segak mengenakan sut hitam dengan tali leher berwarna merah pada majlis resepsi kedua yang diadakan di Dewan N'dah Catering Shah Alam, Selangor malam Rabu lalu, Abdul Shukur, 30, yang merupakan seorang usahawan menyokong sepenuhnya kerjaya Farawahida namun dalam masa yang sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

"Keluarga tidak pernah mengongkong saya. Jadi, saya juga mahu membiarkan apa yang sepatutnya dilakukannya. Tuhan bagi kelebihan untuk dia menyanyi.

"Sebagai suami saya hanya menjalankan tanggungjawab menegur mana yang boleh dilakukan dan mana yang tidak boleh," ungkapnya sambil memandang Farawahida.

Tidak menolak berdepan dengan cabaran hebat menjadi suami kepada seorang selebriti, Abdul Shukur, mengambil pendekatan positif.

Katanya: "Ia satu cabaran yang cukup kuat. Perkara yang menimpa dia selama ini, membuatkan saya sentiasa berada di belakangnya. Saya banyak bagi nasihat. Saya juga cuba memahaminya.

"Saya ambil pendekatan positif. Mana yang kurang saya tegur. Mana yang negatif pula saya akan tenang menghadapinya dan tidak mudah melatah. Saya juga kena faham kerjayanya sebagai selebriti."

Tambah Abdul Syukur lagi, untuk mengharungi masa depan bersama Farawahida pula, dia tidak tahu apa yang bakal dihadapi mereka tetapi akan mengharunginya kerana percaya kepada jodoh mereka.

Sederhana

Indah dengan persalinan busana warna lavender dan merah, Farawahida pula mengakui bersyukur dengan kehadiran Abdul Shukur dalam hidupnya.

Berjanji menjaga maruahnya sebagai isteri, jelas Farawahida lagi, dia juga cuba untuk menjadi isteri terbaik kepada suaminya.

"Saya rasa sangat bersyukur. Dia seorang lelaki yang sangat sederhana. Mungkin itu membuatkan percintaan kami lama," luahnya.

Mengangkat tema musim luruh pada resepsi di Shah Alam itu, ujar Farawahida, suaminya itu juga tidak cerewet dalam soal makanan.

"Saya seorang yang menjaga kesihatan. Saya suka makan tempe goreng. Dia pandai masak. Kalau dia masak saya boleh makan sehingga dua atau tiga pinggan," ujar Abdul Syukur pula sambil menguntum senyuman kepada Farawahida.

Jepun

Berkongsi mengenai destinasi bulan madunya, kata Abdul Syukur, dia lebih suka berbulan madu di Malaysia dan kemudiannya baru memilih lokasi bulan madu di luar negara pula.

Sebaliknya, bagi Farawahida, dia merancang untuk bercuti di Jepun.

"Ada perancangan ke Jepun sebab bapa saya tinggal di sana. Jadi, ia menyenangkan kami. Tetapi, sekarang musim sejuk. Jadi terpaksa tunggu dulu," ulas Farawahida yang menjemput kira-kira 400 tetamu ke majlis resepsinya di Shah Alam itu.

Berkongsi momen menjadi isteri kepada Abdul Syukur pula, Farawahida memberitahu, masih menyesuaikan diri tinggal berdua.

"Selama ini saya tinggal dengan keluarga. Jadi, sekarang saya kena sesuaikan diri tinggal berdua. Kadang-kadang dia sibuk bekerja sampai balik pukul 3 atau 4 pagi. Rasa sunyi dan takut juga bila kena tinggal bersendirian," ulasnya lagi.

Majlis resepsi Farawahida yang berlangsung di Shah Alam pada 5 Februari lalu itu turut dihadiri oleh beberapa selebriti seperti Fara Fauzana dan Nassier Wahab.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved