Ahad, 2 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pemandu pelancong Tahun Baharu Cina

Posted:

Pemandu pelancong Tahun Baharu Cina

Pemandu pelancong Tahun Baharu Cina

JELITAWAN berketurunan Tionghua, Debbie Goh sedang dalam perjalanan untuk menikmati makan malam bersama teman-temannya semasa dipelawa untuk berkongsi kebahagiaan serta percaturan karier yang sedang dijalaninya di Kuala Lumpur.

Bekas Miss Malaysia Chinese International 1998 itu ternyata menyimpang daripada telahan penulis. Sebelum ini, ada kerisauan dan bimbang bersembunyi di hati.

Manalah tahu kalau-kalau permintaan untuk mencuri masa disebalik kesibukannya membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina membuatkan Debbie terganggu.

Telahan penulis meleset. Tanpa pernah mengenali dirinya secara dekat mahupun bertemu mata, kami berbual bagaikan sudah kenal lama.

Perbualan dari hujung talian itu tambah mengujakan apabila Debbie langsung tidak kekok berbahasa Melayu. Tuturnya lancar penuh keramahan.

Tahun Kuda - rindukan kakak

"Ya, apa yang boleh saya bantu untuk memudahkan temu bual ini. Bagaimana dengan gambar-gambar? Saya boleh kongsikan dengan anda beberapa keping gambar saya yang belum pernah disiarkan," katanya selepas penulis memperkenalkan diri dan menyatakan, hasrat untuk menjadikan kisahnya sebagai penghias muka depan Sensasi Bintang sempena minggu perayaan ini.

Melangsungkan perbualan, Debbie mengakui suasana sambutan Tahun Baru Cina tahun ini terlalu berbeza. Jika sebelum ini dia akan mencuri waktu untuk pulang ke Johor Bahru (JB) bagi meraikannya bersama-sama keluarga, tahun ini pula sebaliknya.


DEBBIE GOH atau nama sebenarnya, Goh Seok Sim pernah membina nama sebagai pelakon yang mengikat kontrak bersama stesen TVB di Hong Kong.


"Saya pulang ke JB seminggu sebelum Tahun Baru Cina kerana urusan kerja. Jadi pulang sahaja dari JB, ibu menelefon saya agar tidak perlu susah-susah balik beraya.

"Mereka sebaliknya mahu sambut tahun baharu di Kuala Lumpur sahaja. Banyak rancangan kami sepanjang cuti ini. Ia lebih seronok kerana saya boleh bawa keluarga makan angin di sini.

"Ramai orang Kuala Lumpur pulang bercuti, jadi saya mahu suasana jalan raya yang lengang ini dapat dinikmati dengan tenang," ujar Debbie yang menjadikan stimbot sebagai menu wajib Tahun Baru Cina.

Setiap kali tahun baharu juga, Debbie pasti merindui kakak dan abangnya yang sudah bertahun-tahun menetap di luar negara.

"Sudah enam tahun saya tidak bertemu dengan kakak yang tinggal di Kanada. Tahun ini, dia ada sedikit masalah kesihatan dan perlu dibedah. Lagipun tarikh cuti di sana tidak sama dengan Malaysia. Lebih-lebih lagi, tahun ini Tahun Kuda iaitu tahun kelahiran kakak saya.

"Jadi bila cakap pasal Tahun Kuda, saya hanya akan ingat kakak saya itu," akui Debbie yang kurang arif untuk menterjemahkan kepercayaan dan metafora mengenai tahun-tahun kelahiran dalam kalendar Cina.

"Saya cuma mengharapkan kebahagiaan, diberikan kesihatan yang baik, keseimbangan dalam apa juga yang dilakukan serta lebih sukses dalam kerjaya. Setiap tahun itulah yang saya harapkan," tambah Debbie.

Tengok wayang agenda wajib

Melenturkan lagi bicaranya, pelakon berusia 36 itu menjelaskan: "Lebih seronok lagi, kawan saya yang juga pelakon di Hong Kong datang bercuti ke Kuala Lumpur kali ini.

"Pendek kata, saya jadi pemandu pelancong yang paling seronok sepanjang cuti ini. Bawa mereka jalan-jalan dan tengok wayang, kebetulan saya ada filem baharu yang akan ditayangkan.

"Jadi, saya akan beli tiket untuk tengok wayang dengan keluarga dan kawan-kawan."

Bercakap tentang Hong Kong, sebelum pulang ke Malaysia beberapa tahun lalu, Debbie pernah menetap sekitar enam tahun di sana.

PADA usia 36 tahun, Debbie tidak merasakan dia harus segera menamatkan zaman solo.


Karier seni lakonannya bermula sebagai pengacara sebelum mendapat tawaran lakonan daripada sebuah stesen televisyen Hong Kong.

"Selepas menang ratu cantik, mula-mula saya jadi pengacara program hiburan di sana. Dari situlah karier lakonan saya bermula.

"Ketika itu saya langsung tiada pendidikan formal dalam lakonan," katanya yang sudah dua kali meraih anugerah Pelakon Wanita Paling Popular Golden Awards terbitan ntv7 iaitu pada tahun 2010 dan 2012.

Masih berlegar dalam likat emosi Tahun Baru Cina, Debbie menyambung cerita. Katanya, suasana Tahun Baru Cina tahun ini bukan sekadar sebuah perayaan untuk diraikan bersama keluarga bahkan bersama semua pihak yang telah banyak berkongsi idea dan kreativiti sepanjang dia terlibat dalam industri hiburan.

"Sebagai ahli keluarga yang belum berkahwin, saya memang boleh kutip angpau daripada orang lain, tetapi sebagai anak saya tetap kena sediakan duit angpau untuk ibu bapa. Saya juga berikan angpau kepada sesiapa sahaja yang pernah bekerja dengan saya termasuk jurusolek atau jurukamera saya.

"Itu satu penghargaan daripada saya buat mereka yang banyak membantu pencapaian saya selama ini," ujar Debbie yang bakal muncul dengan filem Bullet Over Petaling Street minggu depan.

Menyifatkan filem sebagai fokus utama kariernya, Debbie mampu mengukir janji.

Katanya, biarpun industri perfileman, baik Melayu ataupun Cina, penonton mahukan sebuah filem yang bukan sahaja untuk berhibur tetapi kemas penceritaannya.

Sebagai pelakon yang terbabit dalam bisnes filem Cina, sengaja soal penerimaan masyarakat Cina terhadap filem tempatan penulis ajukan.

"Jualan tiket filem sama ada filem Melayu atau Cina semakin tidak menentu, ada yang merudum. Filem berbahasa Cina juga begitu. Bagi saya penonton tidak salah.

"Dalam lima tahun kebelakangan ini, banyak orang buat filem untuk duit semata-mata.


TAYANGAN filem terbaharu lakonannya, Bullet Over Petaling Street semasa Tahun Baru Cina kali ini memberikan kebahagiaan berganda buat Debbie Goh.


"Bagi saya, memang penonton mahukan sebuah filem yang macam filem Hollywood, tapi untuk filem tempatan, tak kiralah bahasa apa, penceritaan harus ada kualiti. Saya cari kualiti itu dalam setiap filem yang saya lakonkan.

"Sebab itu saya terima tawaran untuk filem Claypot Curry Killers, sayangnya filem itu diharamkan tayangan ke pawagam.

"Saya tahu skripnya cukup kejam, bagi saya itu cabaran," jelas Debbie yang akan terbang ke Bali, Indonesia pada 6 Februari ini untuk satu penggambaran kulit majalah di sana.

Membawakan watak bintang filem yang kemudiannya dipilih sebagai ketua kongsi gelap dalam Bullet Over Petaling Street, filem yang bakal ditayangkan pada 13 Februari itu juga satu kegembiraan berganda buatnya.

"Cuti raya Tahun Baru Cina kali ini semuanya mengenai kerja. Tahun ini banyak kebetulan yang menarik. Filem saya ditayangkan bermula 13 Februari iaitu sehari sebelum hari ke-15 iaitu hari terakhir sambutan Tahun Baru Cina.

"Sehari selepas itu ada sambutan Hari Kekasih. Ia semacam sambutan dan kebahagiaan yang berganda buat saya. Walaupun saya kena bekerja semasa perayaan, tapi saya tidak penat.

"Selagi ada banyak kerja yang hendak saya buat, itu bermakna karier saya sedang meningkat," ujar Debbie yang mengharapkan kelak kredibiliti lakonannya berkembang dan memasuki arus perfileman Melayu pula.

Mahar emas Anuar Zain

Posted:

Mahar emas Anuar Zain

Mahar emas Anuar Zain


LEBIH 30 tahun dalam industri muzik tempatan, Anuar Zain kini dengan bergaya mengumumkan persembahan Minggu Setiausaha anjurannya sendiri yang bertemakan Terindah... Anuar Zain.


MELETAKKAN harga tiket serendah bernilai RM480 sementara tiket termahal RM1,380 seorang untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang berdurasi 45 minit, ternyata ia percaturan paling bergaya pernah dilakukan Anuar Zain.

Selama ini, penyanyi hanya diundang sebagai pengisi persembahan sempena Minggu Setiausaha yang sering dianjurkan oleh hotel-hotel atau penganjur berpengalaman. Bagaimanapun, untuk tahun 2014, Anuar telah membuka mata banyak pihak.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini itu muncul sebagai satu-satunya artis berkredibiliti yang sanggup mengambil risiko besar apabila memutuskan untuk menganjurkan sendiri persembahan Minggu Setiausahanya.

"Selama ini saya hanya membuat persembahan Minggu Setiausaha anjuran pihak lain. Niat untuk menganjurkan sendiri persembahan sebegitu pernah ada tetapi saya rasa belum mampu melaksanakannya.

"Cuma selepas berjaya mengadakan konsert sendiri, keyakinan saya semakin kuat. Didorong pasukan pengurusan dan publisiti yang berpengalaman, saya mahu melakukannya," jelas penyanyi berusia 44 tahun itu tersenyum bahagia.

Anuar juga tidak gentar saat harga tiket setinggi RM1,380 dikatakan sebagai tiket termahal untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang disambut pada April setiap tahun.

Harga tersebut juga dikatakan dua kali ganda nilainya berbanding konsert yang dilakukan pada tahun lalu dengan harga tiket paling tinggi sebanyak RM698 sahaja.

"Saya percaya semua artis bekerja keras untuk meletakkan diri ke tempat yang sepatutnya mereka berada. Saya rasa harga itu berbaloi dengan skala persembahan yang bakal saya adakan.

"Projek ini satu eksperimental dan juga cabaran besar untuk saya sendiri. Berdasarkan pengalaman lepas, peminat sanggup membayar harga tiket untuk artis yang mahu mereka saksikan.

"Untuk konsert ini, saya boleh janjikan kepuasan ekstra dan satu pengalaman yang membahagiakan buat semua. Saya percaya ramai lagi artis Malaysia boleh jual tiket mahal tetapi harus bersandarkan bagaimana mereka mencorakkan karier mereka selama ini," kata Anuar Zain yang menganjurkan konsert berkenaan menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn. Bhd.

Untuk satu-satunya persembahan besar yang dirancangkan pada tahun 2014, Anuar menyifatkan kerja sekali setahun itu tiada misi lain selain mahu melakukan sesuatu yang teristimewa untuk setiap orang yang berkongsi momen itu bersamanya.

"Mungkin persembahan itu akan jadi satu-satunya persembahan besar saya tahun ini. Saya juga terpaksa menolak sehingga lima tawaran besar yang lain kerana mahu memberikan yang terbaik untuk persembahan saya nanti.

"Ia bukan sahaja tentang muzik tetapi jiwa dan rasa itu yang lebih penting. Ia sebuah persembahan yang bukan pertunjukan semata-mata," tambah Anuar.

Ibarat mahar emas yang harus dipersembahkan untuk menonton persembahan eksklusif untuk 1,500 tetamu itu, Anuar tidak mahu bajet besar yang bakal dihabiskan untuk penganjuran Minggu Setiausaha berkenaan dikongsi khalayak.

Di sebalik tema Terindah...Anuar Zain yang dipilih, Anuar juga meluahkan pendiriannya mengapa bajet sedemikian besar tidak dijadikan dana melebarkan pengaruh ke luar negara.

"Biarlah orang kata hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Saya tidak rasa peribahasa itu relevan dengan industri muzik, saya mahu biarlah hujan emas itu negeri sendiri," tutupnya Anuar.

Selain lagu Terindah dan beberapa lagu popular, Anuar turut menyediakan undian menerusi laman Facebooknya untuk menentukan lagu mana yang peminat mahukan sempena persembahan yang akan berlangsung pada 8 April nanti.

Bakal mengambil tempat di One World Hotel, Petaling Jaya, tiket-tiket Terindah...Anuar Zain akan dijual bermula 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-317 7476 atau 012-464 2030.

Hero epik jadi monyet

Posted:

Hero epik jadi monyet

Hero epik jadi monyet

WAJAH Donnie ketika muncul di Kuala Lumpur, tahun lalu.


OKTOBER tahun lalu, aktor kelahiran Guangzhou, China, Donnie Yen membuang imej klasik lakonannya apabila muncul sebagai perisik polis menerusi filem aksi Special ID. Dalam jelajah promosi filem berkenaan, Donnie pernah singgah di Kuala Lumpur untuk bertemu peminat dan media tempatan.

Special ID juga menjadi satu-satunya filem aksi moden buat Donnie dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini. Dalam filem berkenaan, Donnie memegang watak Zilong Chen, seorang pegawai polis yang menyamar dan menjadi sebahagian daripada sebuah kumpulan gengster paling kejam di China.

Masuk musim perayaan Tahun Baru Cina 2014, hero epik yang unggul dalam filem-filem pertarungan seperti Bodyguards and Assassins, Ip Man, Ip Man 2, Legend of the Fist: The Return of Chen Zhen dan Dragon itu kembali semula ke liga filem epik.

Kali ini pelakon berusia 51 tahun itu mengubah wajah apabila muncul dalam epik purba berjudul The Monkey King.

Sering ditampilkan dengan imej lelaki yang biasa memakai kostum pahlawan, kali ini dia harus memakai topeng dan menjadi seekor monyet. Donnie akan menerokai dunia pengembaraan sebagai Raja Monyet atau Sun Wukong yang cukup terkenal dalam hikayat klasik orang Cina yang bertajuk Journey to the West.

Kepada peminat filem atau drama dari Hong Kong, kisah Raja Monyet yang menerima hukuman daripada Dewa Syurga itu bukan sesuatu yang asing. Tahun lepas, filem daripada hikayat yang sama juga pernah diarahkan oleh Stephen Chow dengan judul Journey to the West: Conquering the Demons.

EPIK purba The Monkey King.


Teletah anak

Membawa watak Raja Monyet yang memiliki kuasa luar biasa namun dihukum atas kenakalan dan kejahatan yang pernah dilakukan pada masa silam, Donnie yang bermula sebagai pelakon watak ngeri dalam filem Shaolin Drunkard (1983) itu juga tahu bahawa watak itu sudah banyak kali dilakonkan oleh pelakon lain.

Di Hong Kong, filem berkenaan ditayangkan bermula Khamis lalu. Ia dijangka mencapai kejayaan besar gara-gara musim cuti perayaan Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Cina di seluruh dunia.

Seperti dalam hikayat asal, Raja Monyet lakonan Donnie akan mengiringi seorang Sami Buddha ke India untuk menghantar manuskrip suci. Selain menjadikan karya terdahulu sebagai rujukan, Donnie lebih suka menjadikan anak lelakinya yang berusia tiga tahun sebagai inspirasi untuk melakonkan watak Raja Monyet mengikut pemahamannya sendiri.

"Ketika penggambaran belum lagi dijalankan, saya selalu memerhatikan telatah anak lelaki saya yang gemar melompat-lompat di segenap penjuru rumah. Dia juga terloncat-loncat dari sofa ke sofa, dia anak yang sangat aktif.

"Dari situ saya terfikir, itulah inti pati yang harus ada dalam diri seekor Raja Monyet. Sesuatu yang masih terpelihara dan naif. Raja Monyet itu sangat kebudak-budakan," jelas Donnie ketika ditemu ramah media di Hong Kong.

Biarpun mengambil teletah anak sendiri sebagai inspirasi wataknya, membawa karakter Raja Monyet sebenarnya tidaklah seronok sangat sebagaimana yang disangka.

Donnie harus menyarungkan kostum serta topeng muka yang sangat menyukarkan dirinya untuk berekspresi bahkan dia makan makanan yang disukai sepanjang wajahnya masih dalam karakter berkenaan.

"Perkara paling sukar ialah saya tidak boleh makan secara normal. Saya tidak boleh minum jika tidak menggunakan straw," cerita Donnie yang kini bahagia bersama Cecilia Wang serta dua orang anak mereka Jasmine, 10, dan James, 7 tahun.


DONNIE (kiri) bersama pengarah filem, Woo-ping Yuen ketika sidang media pengumuman filem sekuel Crouching Tiger Hidden Dragon II - The Green Destiny pada Festival Filem Antarabangsa Cannes tahun lalu.


The Monkey King

Filem yang diarahkan oleh Soi Cheang itu memulakan penggambaran di Beijing pada 18 Oktober 2010 dan disunting dalam format IMAX 3D.

Filem terbitan bersama beberapa produksi besar seperti Filmko, Mandarin Films dan Global Star Productions itu memang direncanakan sebagai sebuah filem bajet mega untuk tujuan pasaran Amerika Syarikat dan Asia.

Selain Donnie Yen, bintang lain yang terlibat dalam filem berkenaan termasuklah Chow Yun Fat (Kesatria Langit), Aaron Kwok (Raja Iblis Kerbau), Joe Chen (Puteri Kipas Besi), Peter Ho (Erlang Shen), Kelly Chen (Dewi Kwan Im) dan ramai lagi.

Semasa berkongsi pengalamannya memegang watak Zilong Chen dalam filem Special ID, Donnie pernah mengakui bahawa dia lebih gemarkan filem aksi moden berbanding filem aksi sejarah.

"Gaya berlawan filem aksi moden lebih bebas berbanding aksi sejarah. Ia juga tidak menyebabkan saya terikat dengan watak.

"Untuk filem itu, saya sendiri yang mengatur koreografi untuk babak aksi setiap pelakon malah saya melakonkan babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri," memetik ungkapan Donnie semasa mempromosikan Special ID di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

Bakal hero Crouching Tiger

Semasa Festival Filem Antarabangsa Cannes di Perancis pada Mei 2013, Donnie Yen diumumkan sebagai salah seorang pelakon yang memegang watak utama dalam sekuel kedua Crouching Tiger Hidden Dragon berjudul Crouching Tiger Hidden Dragon II - The Green Destiny. Dia bakal bergandingan bersama Michelle Yeoh yang masih membawa watak Yu Shu Lien.

Baru-baru ini, sebuah portal hiburan menyatakan bahawa tempat Donnie dalam filem seni mempertahankan diri itu akan digantikan pelakon lain iaitu Andy Lau.

DONNIE YEN bersama isterinya Cecilia Wang serta dua orang anak mereka, Jasmine dan James.


Perkara itu dikatakan berpunca daripada kegagalan pihak produksi memutuskan soal bayaran tinggi yang diminta oleh Donnie.

Desas-desus itu bagaimananapun dinafikan oleh Donnie Yen. Ditemu bual wartawan semasa tayangan perdana filem The Monkey King di Hong Kong, Donnie memaklumkan bahawa dia masih sebahagian daripada filem berkenaan.

"Filem itu masih dalam proses pembangunan skrip," kata Donnie.

Filem Crouching Tiger Hidden Dragon II - The Green Destiny dijangka memulakan penggambaran Mei nanti. Penafian tentang pengunduran Donnie daripada filem berkenaan juga disokong oleh oleh syarikat produksi, The Weinstein Company yang mengeluarkan satu kenyataan media khas berhubung perkara itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved