Ahad, 16 Februari 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bencana Kelud dianggap bawa rahmat

Posted:

Bencana Kelud dianggap bawa rahmat

Bencana Kelud dianggap bawa rahmat

SEORANG lelaki menarik tali yang diikat pada kepala seekor lembu ternakannya untuk dipindahkan ke tempat lain di Malang semalam.- AFP


SIDOMULYO, Indonesia - Debu dan serpihan batu yang dihamburkan Gunung Kelud di Jawa Timur yang mula meletus pada pukul 10.56 malam waktu tempatan pada Khamis lalu dianggap oleh sebahagian penduduk sebagai rahmat kepada diri mereka.

Letusan kuat itu telah menyebabkan 200,000 orang yang tinggal berdekatan gunung berapi tersebut berpindah kelmarin manakala empat penduduk lagi terkorban dan tujuh buah lapangan terbang terpaksa ditutup.

Namun, seorang petani, Imam Choiri yang berusia 55 tahun berkata, debu dari gunung setinggi 1,731 meter itu boleh dijadikan baja untuk pokok sayur-sayurannya.

Kawasan penanaman sayur-sayurannya itu terletak hanya beberapa kilometer dari gunung tersebut.

Choiri berkata, penduduk tempatan percaya, debu tersebut boleh menyebabkan makhluk perosak tidak mendekati tanaman.

"Ia merupakan bencana yang membawa rahmat," katanya.

Debu itu telah berterbangan sejauh 600 kilometer dari gunung berapi tersebut.

Menurut agensi berita dpa semalam, mangsa keempat gunung itu ialah seorang wanita berusia 97 tahun yang mati ekoran masalah kesukaran bernafas.

Dua orang lagi terkorban selepas bumbung rumah mereka runtuh akibat dihempap debu gunung tersebut manakala seorang lagi mati kerana masalah kesukaran bernafas.

Semalam, beberapa saintis menyatakan, aktiviti di Gunung Kelud semakin berkurangan selepas ia mula meletus pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa air dari kawah gunung itu mungkin melimpah jika hujan turun sekali gus boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Penduduk dilarang untuk kembali ke rumah mereka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari gunung itu.

Namun, sebilangan penduduk sanggup keluar dari pusat perlindungan untuk memeriksa kehidupan haiwan ternakan selain membersihkan rumah mereka di kawasan berdekatan Gunung Kelud.

"Lembu-lembu kami perlu diberi minuman. Jika tidak diberi minuman, haiwan itu akan sakit dan mati," kata seorang lelaki berusia 45 tahun, Marjito yang menunggang sebuah motosikal dengan isterinya, Dinayah.

Selepas gunung itu didapati tidak lagi mengeluarkan letusan kuat, berjuta-juta penduduk membersihkan rumah mereka yang dipenuhi dengan debu Kelud.

Anggota-anggota polis dan askar menggunakan meriam air untuk membersihkan jalan-jalan raya yang dipenuhi debu setebal sehingga 10 sentimeter.

Para penyokong beberapa buah parti politik turut mengedarkan makanan kepada mangsa-mangsa gunung tersebut yang terpaksa mendapatkan perlindungan di beberapa buah pusat perlindungan selepas gunung berkenaan meletus.

Kali terakhir Kelud meletus adalah pada tahun 1990 apabila lahar dan asap gunung itu telah menyebabkan 30 orang mati.

Pada tahun 1919, letusan kuat yang boleh didengari ratusan kilometer dari gunung tersebut telah menyebabkan 5,160 orang terkorban.

Setakat ini, terdapat 130 buah gunung berapi di Indonesia.

Debu gunung itu boleh dijadikan simen.

Sebilangan penjual debu gunung tersebut menjualnya pada harga hampir dua kali ganda.

"Debu Kelud merupakan mata pencarian paling utama kepada saya dan keluarga saya," kata seorang penjual pasir dari kampung Ngancar, Harjito Huda yang berusia 30 tahun.

Dalam pada itu, empat daripada tujuh buah lapangan terbang di Jawa Timur telah dibuka semula selepas ditutup kerana letusan tersebut.

Lapangan Terbang Juanda di Surabaya turut dibuka semula pada pukul 6 petang semalam.

Bandar raya Surabaya terletak 90 kilometer ke utara gunung tersebut.

Tujuh buah lapangan terbang yang ditutup sebelum ini terletak di Surabaya, Bandung, Yogyakarta, Solo, Malang, Semarang dan di bandar Cilacap.

Lapangan terbang itu ditutup ekoran jarak penglihatan yang terhad disebabkan debu Kelud. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved