Khamis, 9 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rasuah lagi...

Posted:

Rasuah lagi...

Rasuah lagi...

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TAUFEK mendedahkan empat lagi pegawai tertinggi KLFA akan disoal siasat berhubung skandal mengatur keputusan perlawanan.


LAGI-lagi rasuah bola sepak. Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah mengeluarkan 10 surat pertuduhan kepada pemain-pemain Kuala Lumpur yang didakwa terlibat dengan skandal mengatur perlawanan dalam saingan Liga Premier musim lalu.

Ia didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak yang turut menjelaskan bahawa surat pertuduhan membabitkan empat lagi pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) termasuk Timbalan Presiden, George Frederick dan Setiausaha Agung, Nokman Mustaffa juga bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sepuluh pemain yang dimaksudkan ialah Muhamad Rafeef Raya, Muhammad Syafiq Johari, Mohd. Badrul Hisyam Azmi, Mohamad Ar'Rauf Roslee, Hishamuddin Othman, Muhammad Hanis Mohtar, Mohd. Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd. Shukor, Ahmad Jihad Ismail dan Ahmad Dashila Tajudin.

Tambah Taufek, 10 pemain terbabit diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab surat pertuduhan tersebut sebelum kes mereka dibawa ke mesyuarat Tatatertib FAM dijadualkan pada 20 Januari ini.

"Surat pertuduhan kepada 10 pemain Kuala Lumpur ini telah dikeluarkan hari ini (semalam). Ini bermakna mereka memiliki masa sehingga pukul 12 tengah hari pada 16 Januari depan untuk menjawab surat pertuduhan tersebut.

"Surat pertuduhan kepada pegawai-pegawai KLFA pula akan menyusul selepas ini. Kami mahu menyelesaikan kes para pemain terlebih dahulu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah mengenakan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 kepada tiga pegawai KLFA dan lima pemain Kuala Lumpur.

Tiga pegawai tersebut ialah ketua jurulatih, Stanislav Lieskovsky serta dua pegawai pasukan, Rosli Omar dan Shaari Jani.

Manakala lima pemain yang terlibat ialah Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun.

Kelmarin, FAM menangguhkan mesyuarat Tatatertib FAM bagi mendengar pembelaan daripada tujuh pemain Kuala Lumpur iaitu Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Penangguhan tersebut adalah untuk membolehkan FAM menyiasat seluruh skuad Kuala Lumpur sebelum menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berjanji untuk menyelesaikan polemik yang melanda KLFA dengan cara yang lebih profesional.

"Kami berharap dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana sebelum ini, sudah tiga mesyuarat Tatatertib FAM telah ditangguhkan bagi menjatuhkan hukuman terhadap mereka," katanya.

'Hukuman FAM sahaja tak cukup'

Posted:

'Hukuman FAM sahaja tak cukup'

'Hukuman FAM sahaja tak cukup'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa membongkar kes rasuah yang didakwa membabitkan segelintir pegawai dan pemain skuad Kuala Lumpur (KLFA) sehingga boleh diheret ke muka pengadilan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bukti-bukti lengkap berhubung isu tersebut wajar dibongkar dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini kerana menurut beliau, ia perlu dibawa ke SPRM dan PDRM supaya memberikan mesej yang jelas berhubung kesalahan rasuah yang dianggap cukup serius.

"Hukuman FAM sahaja tidak cukup kerana mana-mana pemain yang didapati bersalah hanya digantung seumur hidup serta denda.

"Jadi, saya harap FAM dapat mengemukakan bukti sahih supaya ia dapat disiasat SPRM dan PDRM.

"Apabila pesalah dihadapkan dengan tindakan undang-undang, ia akan memberikan mesej yang jelas terhadap mana-mana yang terlibat termasuk bookie," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Paralimpik negara ke temasya Sukan Para Asean 2014 di Hotel Palm Garden Resort, Putrajaya semalam.

Pada Selasa lalu, FAM menangguhkan kes perbicaraan terhadap tujuh pemain Kuala Lumpur yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Tujuh pemain yang dimaksudkan itu ialah Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak memberitahu, tindakan itu dibuat selepas pihaknya telah dimaklumkan masih ada baki pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang terlibat dengan gejala tersebut.

Sebelum ini, jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky serta dua pegawai pasukan, Rosli Omar dan pegawai, Shaari Jani digantung seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak dan denda RM20,000 kerana didapati terlibat mengatur keputusan perlawanan.

Turut menerima nasib sama seperti tiga individu tersebut ialah lima pemain Kuala Lumpur iaitu Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun.

Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun memuji kesungguhan FAM membanteras gejala rasuah itu.

"Saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi menangani isu ini.

"Namun seperti yang saya katakan tadi, saya harap ia dapat dibawa ke SPRM dan PDRM untuk tindakan lanjut dan bukan semata-mata di peringkat FAM," jelas Khairy.

Jurulatih baharu Harimau Malaya

Posted:

Jurulatih baharu Harimau Malaya

Jurulatih baharu Harimau Malaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengumumkan jurulatih baharu skuad bola sepak Harimau Malaya selewat-lewat pada bulan depan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberitahu, pihaknya hampir mengenalpasti individu yang bakal dilantik memegang jawatan tersebut selepas menyemak latar belakang lima calon yang disenarai pendek untuk mengisi jawatan tersebut.

Begitupun, Hamidin enggan mendedahkan siapakah lima individu dalam senarai tersebut sebaliknya beliau berjanji hanya akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Apa yang boleh saya katakan, kami sudah semakin hampir untuk menandatangani kontrak perjanjian dengan jurulatih baharu itu. Sama ada dia jurulatih import atau tempatan, kita tunggu dan lihat.

"Jika tiada aral melintang, kami akan mengumumkan calon tersebut dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya pada Februari depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier yang dilaporkan berada dalam radar FAM, muncul sebagai calon pilihan untuk membimbing skuad bola sepak kebangsaan.

Difahamkan, pihak FAM telah mengadakan dua pertemuan dengan bekas pengendali FC Ryukyu itu di China pada Julai tahun lalu sebelum mengadakan rundingan susulan di London, baru-baru ini.

Selain Troussier yang dikatakan bakal menikmati pendapatan lumayan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun daripada FAM jika bersetuju melatih Harimau Malaya, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak; Robert Alberts; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly dan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Dalam masa yang sama, Hamidin sempat memperjelaskan tugasan Kim Swee yang telah menandatangani kontrak dua tahun bersama FAM.

Buat masa ini, Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya bagi menggantikan bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

"Kim Swee turut membantu jurulatih baharu Harimau Malaya nanti dan dalam masa yang sama, beliau akan terus kekal bersama Harimau Muda A tetapi akan memantau perkembangan Harimau Muda B dan Harimau Muda C.

"Saya percaya penglibatan Kim Swee dengan jurulatih baharu ini akan memberi peluang kepadanya untuk memantapkan pengetahuan dalam bidang bola sepak," katanya.

Sementara itu, Hamidin turut memberitahu, pihaknya bakal berkunjung ke Australia untuk memeterai perjanjian terhadap penglibatan Harimau Muda A beraksi di Liga Australia, National Premier League (NPL), minggu depan.

Harimau Muda A akan beraksi di NPL bermula Mac sehingga Ogos depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved