Jumaat, 3 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Hanya berehat sepanjang Ramadan’

Posted:

'Hanya berehat sepanjang Ramadan'

'Hanya berehat sepanjang Ramadan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
sukan@kosmo.com.my

AFANDI memberi jaminan bahawa jadual Liga Malaysia musim ini tidak akan dipinda.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan merombak jadual perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2014 biarpun dilanda kehangatan 'demam' Piala Dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sebaliknya saingan

Liga M 2014 hanya akan direhatkan seketika bagi menghormati bulan Ramadan.

Ini kerana, beliau yakin sambutan penonton terhadap liga tempatan tidak akan terjejas biarpun bertembung dengan pusingan akhir Piala Dunia di Brazil kelak.

"Saingan liga hanya direhatkan sepanjang Ramadan (seperti mana sebelum ini).

"Perbezaan masa di sini dan Brazil juga bukannya sama, jadi saya percaya bulan itu bakal menjadi 'bulan bola sepak' buat kesemua peminat," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tahun ini, tarikh 1 Ramadan 1435 Hijrah bakal disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pada 28 Jun iaitu 16 hari selepas tirai Piala Dunia 2014 disingkap di Arena Sao Paulo, Brazil yang menemukan tuan rumah dengan Croatia pada 12 Jun.

Perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pula dijadual pada 13 Julai sementara umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai iaitu lima hari selepas tirai temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dibuka.

Mengulas lanjut, Afandi yang juga Naib Presiden FAM turut mengesahkan tiada sebarang pindaan jadual liga domestik dibuat menjelang temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dari 19 September hingga 4 Oktober.

"Ketika itu hanya saingan Piala Malaysia sedang berlangsung, jadi kita akan semak semula jika ia menjejaskan persiapan skuad Harimau Muda A yang akan beraksi di Piala Asia nanti.

"Buat masa ini, kesemua perlawanan kekal berlangsung seperti mana jadual asal," jelas beliau.

'Tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib'

Posted:

'Tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib'

'Tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
sukan@kosmo.com.my

TEKA-TEKI sama ada bekas penjaga gol Kuala Lumpur, Azizon Abdul Kadir layak beraksi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib terlebih dahulu.

"Jika dia (Azizon) tidak bersalah, dia tidak perlu menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka semula Mac depan," katanya kepada pemberita semalam.

Kelmarin, pengendali baharu PDRM, Dollah Salleh berharap supaya Azizon terlepas daripada sebarang hukuman dan mendapat 'lampu hijau' beraksi bersama skuad itu mengharungi saingan Liga Premier musim ini.

Ini kerana Azizon ketika ini sedang disiasat Jawatankuasa Tatatertib FAM atas dakwaan terlibat dengan isu rasuah dan gejala mengatur perlawanan semasa menyarung jersi Kuala Lumpur musim lalu.

Selain Azizon, pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM juga telah mengambil keterangan seorang lagi pemain Kuala Lumpur, Benedict Martin pada 27 Disember lalu.

Tiga lagi pemain Kuala Lumpur iaitu Syazwan Rani, J Mugilan Kartik dan Azwan Jatin juga dikatakan telah tampil memberikan keterangan semalam manakala dua lagi pemain, S Sivaraj dan Amirul Asraf Mohd Noor pula hanya akan memberi keterangan pada 7 Januari ini.

Kelmarin, Taufek juga mengesahkan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas kesemua pemain berkenaan selesai memberikan keterangan.

Pada 21 Disember lalu, tiga pegawai dan lima pemain Kuala Lumpur musim lalu digantung seumur hidup selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati semua tertuduh gagal menjawab surat pertuduhan atau tidak memberikan butir-butir pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky; penolong pengurus Rosli Omar; pegawai pasukan Saari Jani dan lima pemain iaitu Jeremy Danker, Khairul Anuar, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar serta Phoo Kai Lun masing-masing digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup dan didenda RM20,000 setiap seorang kerana kesalahan menerima rasuah dan mengatur perlawanan.

Tonggak import jadi penentu

Posted:

Tonggak import jadi penentu

Tonggak import jadi penentu

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


FORKEY Doe antara tonggak import yang akan memperkuatkan skuad Kelantan dalam saingan liga musim ini.


BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meramalkan tonggak import bakal menentukan hala tuju skuad The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Annuar berkata, kombinasi yang dibentuk antara Mohammad Shawky, Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe bakal menjadi tunjang kekuatan pasukan untuk mengharungi saingan Liga M yang akan bermula pada 17 Januari ini.

"Soal keserasian saya fikir ia tak menjadi masalah kerana mereka pernah beraksi bersama-sama ketika mewakili Kelab Mesir, Al-Ahly pada tahun 2010.

"Malah saya yakin dan percaya mereka bakal mencongak kekuatan pasukan selain membentuk gandingan mantap bersama pemain tempatan musim ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, kehadiran Steve Darby yang menggantikan Bojan Hodak juga dilihat mampu melonjakkan prestasi The Red Warriors dalam menghadapi saingan liga.

Annuar memberitahu, Darby memerlukan lebih banyak aksi persahabatan bagi membentuk kombinasi terbaik antara pemain.

"Jurulatih baru nak kenal barisan pemain, jadi saya fikir kita perlu memberikan masa dan peluang dulu kepadanya. Saya nampak sekarang dia lebih bersedia," ujarnya.

Ditanya mengenai prestasi hambar Kelantan dalam beberapa perlawanan persahabatan, Annuar berpendapat bahawa skuad tersebut belum menurunkan barisan terkuat dalam aksi tersebut.

"Kelantan masih belum menurunkan skuad utama kerana semua pemain import diberikan cuti. Mereka tidak pernah beraksi lagi sehingga sekarang.

"Dua minggu terakhir ini amat penting bagi Kelantan untuk memantapkan keserasian dalam kalangan pemain.

"Oleh itu, saya difahamkan beberapa perlawanan

persahabatan telah diaturkan dengan Perlis dan sebuah kelab dari Thailand untuk memastikan Kelantan bersedia untuk perlawanan pertama liga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jersi The Red Warriors yang akan dilancarkan pada 15 Januari ini ditaja oleh dua syarikat berasingan iaitu Umbro dan Warriors.

"Jersi jenama Warriors akan dilancarkan di Kota Bharu manakala jersi jenama Umbro untuk piala AFC belum diputuskan, tetapi mungkin di Kuala Lumpur," katanya

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved