Ahad, 5 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


'Kami mulakan hidup baharu'

Posted:

'Kami mulakan hidup baharu'

'Kami mulakan hidup baharu'

SEORANG kanak-kanak perempuan berambut ikal mayang leka menguis timbunan papan yang tersekat pada sebatang pokok kecil.

Tangan si comel berkulit sawo matang itu berharap dengan berbuat demikian dia dapat menemui semula sampul surat yang disimpannya sejak dua tahun lalu.

Paling tidak pun, dia boleh menemui semula beberapa barangan berharga miliknya ataupun ahli keluarga di sebalik dinding rumah yang musnah dihanyutkan bah besar pada 3 Disember lalu.

Bagaimanapun, usaha Saidatul Syamira Sukri, 8, hanya sia-sia. Dia gagal menemui semula sampul surat yang mengandungi wang tunai simpanan duit raya berjumlah RM1,000 yang dikumpulnya sejak dua tahun lalu. Di sudut hati anak kecil itu, wang tersebut mungkin boleh membantu meringankan beban keluarganya yang dilanda musibah banjir.

Bahkan, barangan berharga lain juga gagal ditemui selepas kediamannya yang terletak di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu ranap dihanyutkan arus deras ekoran banjir setinggi kira-kira empat meter melanda kampung berkenaan.

Cebisan dinding

Apa yang tinggal hanyalah cebisan-cebisan dinding rumah hanyut sejauh 50 meter sehingga menyebabkan tapak asal rumah pusaka tidak kelihatan seperti pernah berdiri kukuh di situ.

Biarpun masih kecil, Saidatul Syamira mempunyai semangat kental dan mampu mengukir senyuman sambil menyembunyikan kesedihan di benak sanubari.

Dalam pada itu, ayahnya Sukri Ahmad, 40, tidak mampu untuk menyembunyikan rawan hatinya.


SAIDATUL SYAMIRA berdiri di atas tapak rumah keluarganya sambil mendongak ke langit melihat awan hitam membawa hujan lebat.


Sambil memikul kayu cebisan rumah, Sukri merenung jauh mengenang nasib keluarganya. Renungan mata lelaki itu terus menumpukan perhatian ke arah kawasan rumahnya yang tinggal struktur bilik air masih melekat di tapak asalnya.

"Ketika diberitahu penduduk kampung tentang keadaan rumah, sebak di hati dan air mata tidak mampu ditahan. Saya sama sekali tidak menduga bencana kali ini begitu teruk sehingga meranapkan rumah yang menjadi tempat berlindung buat saya sekeluarga.

"Saya memang tidak jangka keadaan akan jadi seteruk ini," katanya yang bertambah tertekan kerana isterinya bakal melahirkan anak keempat mereka dalam tempoh kira-kira empat bulan lagi.

Menurut Sukri, dia buntu dan hampir berputus asa untuk memulakan semula kehidupan keluarganya tetapi sebagai ketua keluarga dia perlu tabah serta tidak boleh sesekali meletak titik noktah dalam memastikan survival kehidupan mereka sekeluarga.

"Jika diikutkan hati, saya memang hendak berpindah sahaja ke tempat lain dan biarkan sisa-sisa runtuhan ini tetapi tidak tergamak," ujarnya.

Menurut Sukri, saban hari selepas banjir surut, dia banyak menghabiskan masa di kawasan semak di belakang rumah jirannya mencari sisa-sisa barang milik keluarga yang hanyut.

"Saya jumpa semula mesin basuh dan set kerusi tapi sudah rosak. Saya juga jumpa album keluarga tetapi saya hanya boleh tengok sekejap sahaja kerana gambar-gambar tersebut sudah pudar.


WAN KAZIAR (kanan) bersama Yusuf Salleh, 50, pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor membersihkan persekitaran sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.


"Barang yang rosak banyak saya biarkan sahaja tetapi barang elektrik seperti mesin basuh saya terjumpa tersangkut di pangkal pokok saya ambil semula. Untung-untung boleh dibaiki semula," katanya dengan nada kecewa.

Jelas Sukri, pada masa terdekat selain rumah, dia harus memikirkan nasib dua anaknya yang bakal memasuki tingkatan tiga dan darjah tiga pada tahun ini selepas semua keperluan persekolahan mereka turut musnah

Kata bapa kepada tiga orang anak itu, kehidupan keluarganya perlu bermula dari kosong semula tetapi dia bersyukur kerana tidak ada nyawa terkorban dalam bencana itu.

"Saya reda dan kami akan mulakan hidup baharu semula," katanya cuba mengumpul semula semangat yang hilang.

Pusat pemindahan

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir mengimbau kembali detik cemas, Norhayati Jusoh, 38, memang tidak menjangka air boleh naik setinggi itu dan jauh melebihi paras air bah tahun lalu yang pada awal dianggap banjir terbesar pernah berlaku di kampung tersebut.

"Bila air naik pada 2 Disember lalu di Kampung Teladas kami tidak begitu risau sebab biasanya rumah saya tidak dinaiki air. Lagi pun, banjir besar tahun lalu pun air tidak masuk rumah," katanya.

Namun, sangkaannya meleset kerana keesokan harinya air naik secara mendadak menyebabkan mereka yang tidak bersedia agak cemas.

Ketika itu air di hadapan rumah mencecah paras pinggang dengan arus sangat kuat. Katanya, dia dan keluarga tidak dapat berlindung di pusat pemindahan banjir yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari rumah.

"Jalan terakhir yang kami nampak untuk selamatkan diri ialah dengan memecahkan pintu pejabat pos yang terletak di depan rumah supaya kami dapat berlindung di tingkat dua bangunan itu," katanya.

Pada saat itu, dia dan ahli keluarga yang seramai 20 orang nekad menyelamatkan diri. Namun, pengalaman bermalam di pejabat pos dalam keadaan air semakin meningkat selain terputus bekalan elektrik mengundang perasaan gusar di hati mereka.

"Kami hanya mampu menenangkan sesama sendiri malah masing-masing takut melelapkan mata. Ini kerana hujan terus mencurah-curah dan paras air semakin meninggi sehinggalah hujan berhenti.

"Pada masa itu, air mencatatkan ketinggian satu meter sebelum mencecah tingkat dua tempat kami berlindung," ujarnya.

Sementara itu, Rohana Bakar, 52 memberitahu, dalam tempoh bermalam di dalam bangunan tersebut dia cuba menghubungi pasukan penyelamat tetapi usahanya sia-sia.

"Pada waktu itu saya sangat marah kerana bantuan lambat tiba, namun beberapa hari selepas itu kami dapat maklumat bahawa banjir kali ini sangat dahsyat dan ia melibatkan banyak kawasan.


SEORANG wanita memilih pakaian yang masih elok selepas rumahnya ditenggelami air di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu.


"Saya faham keadaan ketika itu sangat kritikal dan pasukan penyelamat terpaksa memindahkan ribuan mangsa sekali gus selain masalah komunikasi yang berlaku menyebabkan bantuan lambat tiba," katanya.

Jelas Rohana, bantuan akhirnya tiba selepas air mulai surut. Impak bah yang melanda kali ini meninggalkan kesan sangat mendalam kerana terlalu banyak kemusnahan berlaku.

"Kedai makan tempat saya mencari rezeki sejak lebih sepuluh tahun lalu juga roboh dan pelbagai barang di dalam kedai semua hanyut," katanya.

Menurut Rohana, apa yang dilihat selepas bencana itu hanya kemusnahan yang sangat dahsyat. Antara yang jelas kelihatan ialah rumah berlumpur dengan kebanyakan perabot dan alatan elektrik mengalami kerosakan.

Ditenggelami air

"Saya rasa hampir 90 peratus kereta penduduk kampung ini juga turut ditenggelami air termasuk kereta milik saya dan suami. Kami perlu mulakan hidup baharu selepas ini," katanya sebelum menutup perbualan.

Apa yang dikatakan penduduk Kampung Air Putih itu hanya sebahagian kecil kisah daripada lebih 10,000 penduduk di daerah Kemaman yang terjejas akibat bencana tersebut.

Di sepanjang jalan dari Chukai hingga ke kampung tersebut yang jaraknya hampir 30 kilometer, kesan banjir besar itu masih jelas kelihatan dengan pemandangan kereta yang ditenggelami air tersadai di bahu-bahu jalan.

Selain itu, peralatan rumah yang hanyut dibawa arus deras masih kelihatan tersangkut di tepi pagar, pokok dan longkang.

Di beberapa buah kampung lain, kebanyakan penduduk hanya melonggokkan pelbagai peralatan rumah yang rosak dan pakaian dipenuhi lumpur di hadapan rumah.

Mangsa banjir dari Kampung Seberang Tayor, Wan Kaziar Tun Ali, 48 menjelaskan, kesan banjir kali ini terlalu dahsyat dan barang-barang yang sudah diletakkan di tempat lebih tinggi juga turut rosak.

"Kami memang akan ambil masa yang lama mungkin selepas beberapa bulan baru kami akan selesai untuk menghilangkan kesan banjir ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved