Khamis, 16 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rancang tiga tahun lagi

Posted:

Rancang tiga tahun lagi

Rancang tiga tahun lagi

SUKI memberitahu, dia dan suami sepakat untuk hanya mempunyai cahaya mata dalam tempoh tiga tahun mendatang.


MENJADI satu perkara biasa bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga, perkara paling utama yang diimpikan pastinya ingin memiliki anak memandangkan ia merupakan anugerah yang tidak ternilai.

Namun begitu, tidak semua pasangan yang berkahwin mempunyai pemikiran yang sama. Bagi penyanyi Suki Low Sook Yee, 24, untuk mempunyai cahaya mata sendiri sebenarnya masih belum ada dalam perancangannya bersama suami, Jeremy Chong.

Alasan Suki yang berkahwin pada 12.12.12 yang lalu, dia ingin fokus kepada kerjaya terlebih dulu.

Berkesempatan bertemu dengan penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, ternyata dia sudah dapat menghidu persoalan yang bakal diajukan kepadanya.

Hadir bersama suami tercinta dalam sebuah majlis pada minggu lalu, Suki hanya ketawa apabila diajukan pertanyaan mengenai anak.

"Saya memang dapat jangka ini merupakan soalan yang ingin ditanyakan kepada saya. Tidak dinafikan sudah ramai yang bertanya mengenai perkara ini memandangkan sudah agak lama saya berkahwin.

"Bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan buat masa sekarang saya masih lagi tidak bersedia mempunyai anak kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama suami serta karier," tuturnya.

Tidak kisah untuk menceritakan lebih lanjut berkenaan cahaya mata, Suki menyatakan, sebagai seorang isteri dia memang ingin memiliki zuriat sendiri. Cuma, ketika ini dia beranggapan ia belum masa yang yang sesuai lagi buat dia dan suami.

Mengakui dia dan suami sebenarnya sudah mempunyai perancangan tersendiri berkenaan hal tersebut, Suki mendedahkan, mereka sudah berbincang dan sepakat untuk memperoleh anak dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Hasil perbincangan saya dan suami, kami mengambil keputusan memiliki anak sendiri dalam tempoh tiga tahun lagi. Semua ini dilakukan agar memastikan saya dapat terus fokus dengan karier nyanyian yang semakin berkembang sekarang.

"Sekiranya ditakdirkan mendapat cahaya mata nanti, mungkin saya akan berehat seketika daripada dunia nyanyian sama ada satu atau dua tahun. Selepas itu, barulah saya akan kembali semula menyanyi," jelasnya mengenai perancangan yang ingin dilakukannya itu.

Dalam pada itu, penyanyi tersebut meluahkan rasa gembiranya terhadap perkembangan kerjayanya sebagai artis sepanjang lapan tahun lantaran sokongan yang diberikan peminat selama ini.

Menurut Suki, pembabitannya dalam dunia nyanyian dengan merakamkan lagu-lagu berbahasa Melayu ternyata membuahkan hasil dan kebanyakan lagu nyanyiannya mendapat sambutan yang baik.

"Ketika ini saya sedang sibuk mempromosikan single berjudul Untuk Kamu yang kini selalu disiarkan di stesen-stesen radio, malah maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan.

"Berkenaan dengan album pula, secara jujurnya saya lebih selesa menghasilkan single sahaja sekarang. Mungkin kalau sudah banyak single yang saya hasilkan, barulah ia akan dikumpulkan untuk dijadikan album," ujarnya.

Jelasnya, sebagai seorang penyanyi berketurunan Cina, dia juga mengimpikan untuk merakamkan lagu-lagu berbahasa Mandarin dan ia merupakan salah satu perkara yang menjadi perancangannya pada masa akan datang.

Kecewa

Lumrah menjadi anak seni, impian mengembangkan lagi karier nyanyian sehingga ke peringkat antarabangsa, bukan perkara mustahil. Namun hal itu tergendala bagi Suki apabila bekas syarikat rakamannya, Galaxy Music Sdn. Bhd. tidak memenuhi tuntutan kontrak yang telah mereka persetujui.

Antara isi kontrak tersebut ialah memasarkan diri dan produknya ke pasaran China, Taiwan dan Hong Kong tidak dilaksana.

Apabila kontroversi dengan bekas syarikat tersebut diheret sehingga ke mahkamah, akhirnya nasib lebih memihak kepada dirinya apabila Galaxy Music diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM367,575 kepada penyanyi berkenaan pada tahun 2012.

Sewaktu ditanya sama ada syarikat itu sudah membayar jumlah ganti rugi seperti yang diarahkan mahkamah, Suki dengan nada kecewa menyatakan, dia masih belum mendapat sebarang bayaran sehingga kini.

"Ia sesuatu yang sangat mengecewakan memandangkan keputusan telah memihak kepada saya sebelum ini. Lagipun, saya tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan syarikat berkenaan sudah ditutup.

"Saya tidak pasti untuk terus membawa kes ini ke mahkamah semula atau sebaliknya dan seboleh-bolehnya tidak mahu perkara sebegini akan menjejaskan tumpuan terhadap karier saya pula," ujarnya.

Walaupun syarikat berkenaan kini sudah berkubur, Suki menyatakan hasratnya untuk terus melebarkan sayap ke luar negara tidak pernah terhenti dan berharap impiannya untuk mengembangkan kariernya di China, Taiwan dan Hong Kong akan direalisasikan.

Tahun Baru Cina

Sempena dengan kehadiran Tahun Baru Cina yang akan hadir tidak lama lagi, Suki turut ditanya tentang persiapan bersama suami serta sambutan mereka yang jatuh pada tahun kuda.

Jelas Suki, persiapan yang dilakukan hanya sederhana dan pada tahun ini mereka akan menyambutnya di kampung kelahirannya di Seremban, Negeri Sembilan.

"Berkemungkinan besar kami akan pulang ke kampung saya satu atau dua hari sebelum Tahun Baru Cina dan akan menyambutnya bersama ahli keluarga yang lain selama empat hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur semula.

"Sebelum ini, kami akan meraikannya di rumah keluarga suami di Pulau Pinang, tetapi kali ini mereka tidak menyambut Tahun Baru Cina memandangkan salah seorang ahli keluarga terdekat mereka telah meninggal dunia baru-baru ini," ujarnya.

Ujarnya, dia tidak dapat mengambil cuti dalam tempoh yang agak lama kerana terikat dengan komitmen kerja, termasuk bakal membuat persembahan sempena rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat nasional yang berlangsung di Taiping, Perak pada 8 Februari ini.

Aznil beri pendapat, bukan mengkritik

Posted:

Aznil beri pendapat, bukan mengkritik

Aznil beri pendapat, bukan mengkritik

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


JURI Mimbar Pencetus Ummah, dari kiri: Ustaz Kazim Elias, Habsah Omar (Abby Fana), Datuk Hassan Mahmud dan Datuk Aznil Nawawi.


BARU-BARU ini, pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Aznil dikritik hebat kerana penglibatannya sebagai juri dalam sebuah program realiti dakwah, Mimbar Pencetus Ummah (MPU).

Pada malam tersebut, Aznil dikatakan mengkritik salah seorang peserta final MPU iaitu PU Shahul.

Aznil pada penjuriannya mencadangkan agar tazkirah yang disampaikan PU Shahul diselang-seli dengan nada yang berbeza bagi memberi variasi di dalam ucapan, bukan menjerit dengan cara yang garang dan marah, walaupun ceritanya menarik iaitu tentang Rasulullah.

Tambahnya memberi pendapat, sepatutnya diberikan satu sisi yang lembut juga, bukan keras sepanjang masa.

Seandainya orang yang baru ingin mendekatkan diri dengan Islam, mungkin mereka akan rasa takut dengan pendekatan tersebut.

Ekoran itu, kebanyakan pengikut PU Shahul membidas komen yang dilontarkan kerana merasakan Aznil tidak layak untuk berkata sedemikian kepada peserta yang telah 15 tahun terlibat dalam pendakwahan.

Bagaimanapun, Aznil tidak cepat melatah dan mempunyai jawapan tersendiri dengan mengatakan, dia hanya memberi pendapat berdasarkan pengalaman diri yang telah 24 tahun berada dalam industri.

Jelas Aznil, tugasnya sebagai juri adalah untuk memberi penjelasan tentang cara penyampaian peserta kepada khalayak umum yang pelbagai. Namun, tidak sama sekali dia menyentuh isi tazkirah yang disampaikan.

Ikuti temu ramah Kosmo! bersama Aznil yang ditemui ketika majlis pelancaran program Lagi Riuh Macam-macam Aznil di Finas, Kuala Lumpur.

Kosmo!: Bolehkah Aznil komen tentang kritikan yang dilemparkan kepada anda. Apakah pendapat anda?

AZNIL: Saya hanya memberi komen tentang pengucapan awam. Sebagai seorang yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang ini selama 24 tahun, saya ingin curahkan ilmu yang ada dalam diri. Bukan niat saya untuk menjadi riak dengan ilmu yang ada dan tidak mahu menerima teguran. Saya rasa sebagai orang yang berpengalaman, saya tahu mana teguran dan tohmahan. Namun, saya anggap ini semua satu cabaran buat diri saya sahaja.

Jadi, apakah tugas anda dalam program MPU sebenarnya?

Saya ditugaskan bukan sebagai pengkritik, sebaliknya sebagai salah seorang juri. Tolong jangan samakan Pencetus Ummah, AF serta Maharaja Lawak. Di MPU, tugas juri adalah sebagai pembina ilmu pendakwah baharu.

Sebagai pembina ilmu, saya memegang disiplin pengucapan awam. Pada saya, yang terasa ialah pengikut serta peminat PU Shahul. Ini kerana mereka rasa saya mengkritik walhal ia tidak sama sekali. Sebagai seorang pendakwah, dia harus menakluki dunia. Justeru, dia harus hilangkan persepsi beberapa negara luar yang menganggap Islam itu agama pengganas. Saya cuma mencadangkan sahaja dan bukan mengkritik. Saya beritahu, mungkin pada masa yang akan datang boleh gunakan cara yang berbeza, wallahualam.

Adakah sebelum menjadi juri, anda sudah bersedia dengan komen-komen orang yang akan mengkritik anda?

Saya memang sudah tahu dan saya juga sedar tanggungjawab saya. Saya inginkan kemajuan dalam penyebaran syiar Islam. Saya mahu lihat pendekatan yang baharu seperti yang sedia ada.

Islam itu relevan pada setiap masa, umat manusia serta ilmu. Jadi mengapa kita tidak relevankan pendekatan kita dengan cara yang pelbagai. Kita tidak boleh hanya berucap pada satu skala sahaja, malah kita perlu punya variasi dan fleksibel kerana setiap orang berbeza. Bagi saya, jika saya ingin menjadi seorang Islam yang baik, saya perlu sebarkan ilmu yang saya ada dalam diri. Adalah tidak manfaat jika Tuhan berikan ilmu dan saya tidak kongsikan pada orang lain. Pada mula saya dijemput, saya kata Insya-Allah dan dengan izin Tuhan juga saya berada di sana. Mengapa perlu pertikaikan kerja baik? Bagi saya tiada yang negatif pada awalnya. Program itu juga merupakan gedung ilmu dan saya ingin turunkan ilmu saya. Apa yang pasti, tidak sama sekali saya menyentuh pengisian yang disampaikan oleh PU.

Mungkin pengikut PU Shahul tidak berpuas hati kerana merasakan dia sudah punya pengalaman selama 15 tahun dan diberi pula komen sedemikian?

Saya tahu latar belakang PU Shahul. Dia juga masuk program untuk menjadi yang lebih baik dan begitu juga niat saya. Mungkin dahulu khalayaknya berbeza tapi kini dia sudah dipancarkan dalam televisyen. Maka, khalayak dan sasaran dakwahnya sudah berubah. Jika begitu, dia perlu terima pembelajaran ini kerana saya sudah punya pengalaman itu. Saya tahu bagaimana untuk memperbesarkan PU Shahul kerana dia punya potensi dan ilmu yang tinggi. Jika caranya digabungkan dengan cara kontemporari, mungkin pengikutnya lebih ramai dan ini dikatakan dakwah.

Adakah PU Shahul berjumpa anda tentang perkara ini?

Tidak perlu berjumpa pun. Saya yakin saya lakukan tugas saya ini bukannya untuk riak namun untuk menambah baik.

Adakah selepas ini akan berasa serik untuk turut serta dalam program berdakwah atau seumpama ini?

Saya pandang cabaran dan dugaan yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW lebih besar daripada apa yang saya terima ini. Jika hanya dengan kata-kata begini saya mengaku kalah, maka rugi saya berada di dalam auditorium tersebut dan sepanjang hidup saya untuk mendengar cerita Rasulullah. Jika saya mengaku kalah, makanya saya bukanlah seorang muslimin yang baik kerana tidak menjalankan tanggungjawab saya untuk menyebarkan lagi dakwah dan syiar Islam.

RM5 juta tidak dikira pendapatan - Shila

Posted:

RM5 juta tidak dikira pendapatan - Shila

RM5 juta tidak dikira pendapatan - Shila

Oleh IZWAN MOHD. ISA

FIGURA ini tetap tabah walaupun dilanda pelbagai kontroversi.


BARU-BARU ini, nama penyanyi yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, Shila Amzah, 24, telah disenaraikan oleh sebuah akhbar sebagai antara lima selebriti wanita Malaysia yang menerima pendapatan melebihi RM1 juta sepanjang tahun 2013.

Menurut laporan tersebut, Shila dikatakan menerima pendapatan berjumlah RM2.5 juta hasil daripada perjanjian kontrak syarikat rakamannya di Shanghai, China, royalti daripada penjualan album dan lagu, serta bayaran sebagai duta produk kecantikan.

Bagaimanapun, ketika ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor semalam, Shila yang ditemani ibunya, Fauziah Sarman berkata, jumlah tersebut ternyata terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

"Saya akui, selepas memenangi pertandingan nyanyi Asian Wave dua tahun lalu, saya telah diberikan dana sebanyak RM5 juta oleh Shanghai Media Group (SMG) bagi memulakan karier nyanyian di sana.

"Bagaimanapun, dana tersebut tidak dikira sebagai pendapatan ataupun aset kerana ia digunakan untuk membiayai setiap kos yang diperlukan untuk penghasilan album dan lagu saya," kata Shila yang menerima bayaran di Shanghai bukan secara kontrak tetapi mengikut jumlah projek yang dijayakannya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu ini turut berkongsi, dia ada menerima tawaran untuk berlakon drama dan filem oleh pihak SMG tetapi terpaksa ditolak atas sebab ingin mengukuhkan jajahan muziknya di sana terlebih dulu.

"Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi biarlah orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi. Lagipun, saya harus memantapkan penguasaan bahasa Cina sebelum merancang sesuatu yang lebih besar," katanya yang baru-baru ini terlibat dalam sebuah lagi pertandingan nyanyian Sing for China yang berlangsung di Beijing bulan lalu.

Facebook palsu

Selepas berjaya menempa nama di China, anak gadis kepada penyanyi N.D Lala ini dilihat begitu sibuk memburu impiannya di peringkat antarabangsa. Namun, sebagai seorang penyanyi yang sedang meningkat naik, tuan empunya diri tidak pernah terlepas dihambat kisah-kisah negatif dan kontroversi.

Terkini, Shila yang baru sahaja pulang menjayakan konsert tahun baharu di China terpaksa berhadapan dengan individu yang menyamar sebagai dirinya dan memuat naik kemas kini palsu di laman sosial Facebook.

Individu itu bertindak menggunakan gambarnya yang sedang berpakaian pengantin dengan kapsyen: "I'm married". Tidak mahu namanya terus dipergunakan, Shila meminta agar pemilik akaun tersebut berhenti daripada mengemaskini status terkini tentangnya dengan menggunakan gambar-gambar daripada Instagram dan Twitter.

"Saya mengetahui tentang profil palsu yang menggunakan nama saya beberapa bulan yang lalu. Tetapi, kesabaran saya sampai ke kemuncak apabila dia menggunakan gambar saya berpakaian pengantin sambil mengaku bahawa saya sudah berkahwin.

"Padahal, saya menyarungkan pakaian itu sewaktu menjayakan segmen duet dengan James Morris-Cotterill menerusi konsert tahun baharu yang berlangsung bulan lepas.

"Bukan itu sahaja, pemilik akaun itu turut memuat naik berita-berita gosip artis lain yang tidak ada kena mengena dengan saya. Justeru, saya berharap agar individu itu tidak terus menggunakan nama saya untuk kepentingan diri sendiri," katanya yang menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan dan peguam untuk tindakan selanjutnya.

Elak cinta

Hubungan cinta penyanyi ini sering menjadi bahan bualan para peminatnya. Selepas beberapa kali terkandas dalam memadu kasih, Shila sekali lagi dikaitkan dengan seorang pelakon baharu yang dikenali sebagai Aman Nassim.

Ternyata terkejut dengan dakwaan itu, Shila berkata, dia langsung tidak mengetahui tentang cerita itu dan hanya menganggap Aman sebagai kawan biasa sahaja.

"Saya mengganggap dia sebagai kawan biasa sahaja. Saya juga turut berkawan dengan pelakon-pelakon lain seperti Azhan Rani, Beto Khusyairi dan Zahiril Adzim. Saya pun kurang pasti bagaimana gosip ini boleh tercetus," katanya.

Shila menegaskan, dia kini mahu memberi sepenuh perhatian terhadap kerjaya nyanyiannya sebelum memikirkan tentang cinta.

"Biarlah saya mengembangkan kerjaya saya sebelum memikirkan soal jodoh. Tetapi, jika ditakdirkan Tuhan dan ditemukan dengan seseorang pada masa akan datang, saya berharap agar lelaki itu mampu menjadi teman hidup yang terbaik untuk saya," katanya lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved