Selasa, 21 Januari 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bangkok di ambang darurat

Posted:

Bangkok di ambang darurat

Bangkok di ambang darurat

Reuters
PENUNJUK perasaan antikerajaan berhimpun di pekarangan Bank Simpanan Kerajaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand membuat pertimbangan 'amat serius' untuk melaksanakan perintah darurat selepas kota raya ini dicemari keganasan pada hujung minggu lalu, kata ketua keselamatan semalam.

Sejak lebih dua bulan lalu, ibu kota Thailand ini menjadi lokasi perhimpunan tunjuk perasaan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Walaupun bilangan penunjuk perasaan itu semakin berkurang, mereka berjaya menutup sebahagian bangunan kerajaan dan memaksa Yingluck memindahkan pejabatnya.

"Kami sedia melaksanakan perintah darurat. Setiap pihak terlibat termasuk polis dan tentera menimbang secara serius pilihan ini tetapi kami masih belum mencapai persetujuan," kata ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattantabutr selepas menemui Yingluck.

"Penunjuk perasaan pernah berkata, mereka akan menutup pejabat- pejabat kerajaan. Setakat ini, penutupan tersebut cuma simbolik. Mereka pergi ke pejabat-pejabat kerajaan dan kemudian beredar. Namun, jika mereka mengubah taktik dengan menutup bank atau menutup pejabat kerajaan secara kekal, peluang kekacauan berlaku meningkat dan kami akan menguatkuasakan undang-undang darurat," jelas Paradorn.

Dekri darurat itu memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk melaksanakan perintah berkurung, menahan suspek tanpa pendakwaan, menapis kandungan media dan melarang perhimpunan melebihi lima orang serta menutup beberapa kawasan kepada orang awam.

Dalam pada itu, seorang lelaki terbunuh manakala berpuluh-puluh orang cedera apabila beberapa butir bom tangan dilontar ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di sini pada Jumaat lalu dan kelmarin.

"Pada pendapat saya, siri serangan itu dirancang sebagai provokasi untuk mengundang campur tangan tentera," kata pengarah penyelidikan Institut Hal Ehwal Asia Tenggara di Chiang Mai, Paul Chambers.

Sekiranya perintah darurat dikuatkuasakan, kata Chambers, Suruhanjaya Pilihan Raya berhak menolak untuk mengadakan pilihan raya pada 2 Februari depan seperti yang diumumkan Yingluck tetapi diboikot oleh pembangkang.

Demonstrasi di sini yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 64 tahun, Suthep Thaugsuban berpunca daripada langkah Yingluck cuba memberikan pengampunan kepada abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada tahun lalu.

Penunjuk perasaan tersebut menuduh Thaksin mengamalkan rasuah dan mahu menghapuskan pengaruh keluarganya.

Keganasan kali ini merupakan episod terbaharu dalam konflik lapan tahun antara penduduk kelas sederhana di sini dengan masyarakat miskin yang menyokong Thaksin dan adik perempuannya. - Reuters

45,000 penduduk Jakarta berpindah akibat banjir

Posted:

45,000 penduduk Jakarta berpindah akibat banjir

45,000 penduduk Jakarta berpindah akibat banjir


AFP
KANAK-KANAK bermain di sebuah kejiranan yang dilanda banjir di Jakarta semalam.


JAKARTA - Jumlah penduduk yang berpindah akibat banjir di ibu kota Indonesia di sini meningkat kepada hampir 45,000 orang semalam.

Namun, cuaca cerah memberi harapan banjir di kota raya yang dihuni oleh 10 juta penduduk ini akan surut.

Hujan lebat sejak beberapa minggu yang lalu menyebabkan air banjir memasuki tingkat dua sebahagian kediaman di sini.

Sehingga kini, pihak berkuasa membuka hampir 200 masjid, khemah, sekolah dan bangunan majlis perbandaran di seluruh bandar raya ini untuk dijadikan pusat perlindungan sementara.

Semalam, sejumlah penduduk di beberapa kejiranan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan bot getah manakala jalan raya yang tidak ditenggelami air sesak teruk apabila warga kota mencari jalan alternatif menuju ke pusat bandar.

Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam beberapa kemalangan berkaitan banjir sehingga kini.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, banjir kali ini mengakibatkan kerugian sekitar AS$80 juta (RM263 juta). - Agensi

Gempa bumi kuat gegar New Zealand

Posted:

Gempa bumi kuat gegar New Zealand

Gempa bumi kuat gegar New Zealand

WELLINGTON - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala ritcher menggegarkan New Zealand semalam menyebabkan beberapa bangunan rosak dan perkhidmatan kereta api terpaksa dihentikan.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memberitahu bahawa gempa yang melanda pukul 3.52 petang waktu tempatan itu berpusat di Pulau Utara Island, kira-kira 115 kilometer dari sini.

Pusat gempa dikesan pada kedalaman 27 kilometer di bawah tanah. Gempa bumi tersebut dirasai di seluruh Pulau Utara dan Pulau Selatan dengan disusuli beberapa gegaran susulan.

Seorang penduduk bandar Eketahuna, Brian Smith berkata, dia dan jiran-jiran yang lain ketakutan apabila kediaman mereka bergegar tetapi tiada sebarang kerosakan berlaku.

"Isteri saya yang berada di taman ketika kejadian tidak boleh berdiri dan terpaksa duduk kerana gegaran yang sangat kuat," katanya.

Pihak polis berkata, tingkap beberapa bangunan dan rumah di pekan kecil itu pecah tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Semua perkhidmatan kereta api di Wellington juga terpaksa dihentikan buat sementara akibat gempa berkenaan.

New Zealand pernah dilanda gempa kuat berukuran 6.3 pada skala Ritcher pada 2011 menyebabkan seramai 185 maut di bandar Christchurch. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved