Rabu, 28 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Andre, Audi hapus jurang kaum

Posted:

Andre, Audi hapus jurang kaum

Andre, Audi hapus jurang kaum

SENI dizahirkan daripada nuansa dan nurani mendalam untuk memberikan kesan kepada khalayak. Bersifat subjektif, namun mampu dihayati oleh pelbagai bangsa atau warna kulit.

Memetik contoh penyanyi legenda kelahiran Jamaica, Bob Marley yang berjaya mempopularkan muzik reggae setelah diadun daripada intipati muzik ska sekitar awal tahun 1970-an, berjaya menyebarkan mesej keamanan dan perpaduan daripada lirik-lirik lagunya.

Ketika dasar aparteid sedang bermaharajalela ketika itu, penyanyi kulit hitam itu sebenarnya berjaya mengurangkan jurang antara kaum melalui lirik dan alunan lagu yang menyentuh hati.

Sifat seni itu andai diteliti sememangnya mampu menjadi jambatan untuk menghubungkan masyarakat di dunia mengikut daya penghayatan masing-masing.

Contoh paling tepat adalah kumpulan bukan Melayu tempatan lewat era 1960-an, Alleycats yang diterima baik oleh peminat Melayu dan bukan Melayu. Cirinya sama, muzik bersifat universal dan menyatupadukan.

Datuk Andre Goh, penyanyi veteran lagu-lagu Melayu asli dipadukan dengan komposer serba boleh, Audi Mok. Kedua-duanya berketurunan Cina yang tega menyelongkar sisi seni dan budaya Melayu yang adakalanya dilupakan oleh orang Melayu sendiri.

Lagu Melayu asli

Berbeza latar belakang kaum tidak membataskan Andre mahupun Audi mengenali akar umbi Melayu. Bukan semata-mata mahu meraih pasaran pendengar atau peminat Melayu yang mendominasi bumi Malaysia tapi hakikat yang diakui mereka; kerana minat!

PERKEMBANGAN muzik rock & roll tidak mempengaruhi minat Andre dalam irama Melayu asli.


"Menyanyi minat saya, tidak terlintas saya satu-satunya penyanyi bukan Melayu yang masih menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.

"Muzik itu universal bukan, pernah saya menerima surat layang memaki hamun saya kerana kecenderungan ini dan ada yang memaki-maki saya di pusat beli-belah. Saya tidak dapat apa-apa juga tidak rugi apa-apa kalau masih menyanyikan lagu Melayu asli," kongsi pandangan Andre ketika ditemui di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perjalanan Andre dalam dunia lagu Melayu Asli sepanjang empat dekad sejak tahun 1972 meletakkan penyanyi dari keluarga Peranakan Melaka itu menghayati erti hitam putih kehidupan.

Andre, 66, telah didedahkan kepada hiburan Melayu sejak kecil melalui siaran Radio Malaya, gramofon dan pengaruh bapanya, Goh Tiam Leong yang sangat meminati Dondang Sayang.

"Ketika kecil setiap kali bapa saya memutarkan lagu Melayu asli, saya akan bingkas bangun daripada tidur dan segera duduk di ribanya mendengar dan memikirkan bagaimana muzik itu boleh kedengaran.

"Barangkali ada orang kecil-kecil menyanyi dari dalam gramofon. Apabila membesar, saya mula dipengaruhi oleh lagu-lagu bahasa Inggeris oleh abang-abang saya hingga menubuhkan band sendiri.


AKSI Andre Goh ketika Orkestra Konsert Kuala Lumpur tahun 2002.


"Entah kenapa, lagu Melayu asli juga masih melekat dalam fikiran saya. Sukar dibuang dan seolah-olah sebati dengan diri. Perjalanan hidup saya berubah apabila dicabar oleh kawan-kawan saya menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM tahun 1972," ceritanya yang pernah menjadikan Elvis Presley, Ricky Nelson dan penyanyi sezaman sebagai idola.

Asas lagu moden

Andre atau nama sebenarnya Goh Eng Boon mengakui dahulunya dia seorang pemalu dan takut untuk berucap. Berbeza daripada keluarga sebelah ibunya, Wee Teck Neo, yang mahir berpantun Melayu dan petah bermadah.

"Menyanyi lagu Melayu asli ibaratnya menyanyi lagu klasikal Inggeris. Ini asas lagu-lagu Melayu moden sekarang jadi kenapa perlu diketepikan?

"Bukan maksud saya untuk menghalang perkembangan lagu-lagu moden tapi sambil kita menyanyikan lagu-lagu moden, jangan ketepikan identiti kita.

Pesan Andre, jangan terlalu pentingkan keuntungan semata-mata. Anggap saja langkah memperkembangkan lagu Melayu asli sebagai sumbangan kepada negara dan bangsa sendiri.

"Saya terhutang budi kepada pencipta lagu Melayu asli dan tiada apa yang dapat dibalas. Mereka pengkarya terunggul!" simpulnya yang bakal mengadakan persembahan sempena Malam Melayu Klasik di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur 16 September nanti.

Muafakat seni artis pelbagai kaum

Posted:

Muafakat seni artis pelbagai kaum

Muafakat seni artis pelbagai kaum

KIM JIN SUNG


KEMERIAHAN dan kemakmuran industri hiburan tempatan turut diserikan dengan pembabitan artis bukan Melayu. Itu tanda perpaduan masih dipupuk biar negara sudah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun.

Jika diperhatikan sejak awal lagi, peluang artis bukan Melayu untuk berkecimpung dalam dunia hiburan diberikan sama rata antara yang masih diingati dan menjadi legenda dunia hiburan tempatan ialah pelakon mualaf Datuk Maria Menado dan pengarah terkenal L.Krishnan.

Menyusuri perjuangan seni dalam era pascamerdeka, peluang itu sebenarnya tidak pernah dipinggirkan malah kredibiliti artis bukan Melayu turut diberikan pengiktirafan melalui beberapa anugerah contohnya Anugerah Bintang Popular, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Festival Filem Malaysia dan Anugerah Seri Angkasa setiap tahun.

Kosmo! menyenaraikan beberapa artis bukan Melayu yang bersinar dalam bidang muzik, filem dan teater sekali gus memberikan warna serta nafas baharu dalam industri hiburan tempatan.

Angeline Tan

Tan Yoke Yeah mungkin nama yang tidak cukup komersial jika dibandingkan dengan Angeline Tan. Harus diakui tanpa watak Lucy sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang popular sekitar tahun 1990-an, khalayak tidak mengenali Angeline Tan. Berketurunan Tionghua, pelakon itu masih aktif hingga sekarang dan sering membuat kemunculan menerusi saluran RTM. Susan Lancaster dan Louisa Chong antara pelakon wanita bukan Melayu yang popular sezaman Angeline Tan.

SUSAN LANCASTER


Sathiya

Populariti yang diraih Sathiya sama seperti Angeline Tan, mula diberi perhatian menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu melalui watak Ravi. Sathiya atau nama sebenarnya Sathivel Periasamy popular dengan tagline 'Sudah Tukar Ka?' dan pernah terbabit dalam filem Libas, Setem, KL Menjerit dan Soal Hati. Pelakon dan pelawak itu dianugerahkan Artis Bukan Melayu Popular Anugerah Bintang Popular 1998, 1999, 2000 dan 2001. Selain Sathiya, Accapan adalah pelawak berbangsa India yang terkenal dalam industri seni tempatan.

Soo Wincci

Su Ying Zhi merupakan Miss World Malaysia tahun 2008 yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan masakan. Soo Wincci telah merakamkan sebuah single berbahasa Melayu berjudul Terus Teranglah pada tahun 2012 selepas melancarkan album berbahasa Cina pada tahun sama. Selain Soo Wicci, Amber Chia antara model Cina yang terjun dalam pasaran lakonan tempatan.

Suki Low

Pemenang program realiti One In A Million tahun 2006, Suki Low berjaya mengenepikan dua pencabar hebat Faizal Tahir dan Alif Satar ketika itu. Suki popular dengan lagu Berdiri turut merakamkan album berbahasa Melayu berjudul Akhirnya dan single terbaharunya, Terlalu Mencintaimu turut melayakkan penyanyi itu melangkah peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.

STEPHEN RAHMAN (kanan) bersama Tiara Jaquelina dalam satu babak pementasan teater Puteri Gunung Ledang.


Stephen Rahman

Fizikal dan bakat luar biasa Stephen Rahman Hughes mula diterokai menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang pada tahun 2006. Sumbangnya dalam dunia hiburan merangkumi pembabitan menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa dan siri televisyen The Kitchen. Kefasihannya berbahasa Melayu melayakkan Stephen merakamkan album pertamanya dua tahun lalu.

Kim Jin Sung

Kehadiran pelakon dari Korea Selatan ini adalah menerusi drama bersiri Autumn Di Hatiku yang disiarkan di portal gua.com.my. Kefasihannya berbahasa Melayu membolehkan Kim Jin Sung atau JS senang diterima oleh peminat tempatan.

Jaclyn Victor

Tidak disangkal vokal luar biasa Jaclyn Victor dari pembabitannya dalam Malaysian Idol 2004 membawa penyanyi berketurunan India itu pergi lebih jauh dalam arena hiburan tempatan. Sementara itu, Jac telah berjaya merakamkan enam buah album berbahasa Melayu dan memperoleh pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Malah, Jac juga pernah membintangi tiga buah filem iaitu Susuk, Talentime dan Appalam. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Sampah jadi sumber rezeki

Posted:

Sampah jadi sumber rezeki

Sampah jadi sumber rezeki


SEORANG pemungut sampat memenyekkan tin-tin minuman sebelum menjualnya kepada syarikat kitar semula.


SEBAIK bayang-bayang petang melatari lorong pejalan kaki di sebelah bangunan sekolah, bunyi derapan kaki yang sayup kedengaran menjadi petanda Doud Sebet telah sampai.

Doud memulakan tugasnya mengutip tin-tin minuman yang dibuang masuk ke dalam guni berwarna putih yang dibawanya. Sebelum itu, dia mengetuk tin-tin itu mengunakan batu-bata.

Pada masa sama, sebilangan pemungut sampah turut melakukan perkara yang sama iaitu menggeledah sisa buangan sampah. Ia dilakukan bagi meneruskan kehidupan dalam kemelut ekonomi yang melanda Sudan.

Sudan merupakan antara negara yang menduduki carta terbawah dalam bahagian Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Amerika. Indeks tersebut mengukur aspek pendapatan, kesihatan dan pendidikan penduduk di negara-negara yang terlibat.

"Penduduk di kawasan ini hidup serba mewah," kata Doud yang sedang mencari sampah di tempat kegemarannya iaitu di Khartoum 2 yang merupakan kawasan kediaman duta-duta asing dan ahli perniagaan.

Pemungut sampah di Sudan juga gemar mencari rezeki di kawasan restoran kerana mudah mendapatkan botol air plastik.

Bagaimanapun, pemungut sampah tidak hanya tertumpu di kawasan perumahan orang kaya kerana kawasan luar bandar seperti di Omdurman juga salah satu kawasan yang menguntungkan.

Ahli ekonomi Universiti Khartoum, Mohammed Eljack Ahmed berkata, semakin ramai penduduk menjadi pemungut sampah kerana dalam suasana ekonomi yang lemah pekerjaan itu menjadi pilihan terbaik buat mereka.


SAMPAH menjadi sumber pendapatan kepada penduduk Sudan yang miskin.


Inflasi

Penduduk Sudan bergelut menangani inflasi di samping keadaan mata wang yang semakin lemah semenjak Sudan Selatan dipisahkan dari Sudan pada Julai 2011.

Perpisahan itu mengakibatkan perkongsian kira-kira 75 peratus hasil minyak di negara Sudan Bersatu terputus.

Akibatnya, inflasi mencecah hampir 40 peratus manakala pengangguran pula melebihi 30 peratus.

"Kami menderita," kata Doud yang berumur lebih 60 tahun.

Dia mampu memperoleh 400 paun Sudan (RM298) sebulan dengan memungut dan menjual tin terus kepada syarikat kitar semula.

Setiap pagi Doud akan menaiki bas untuk menggeledah sampah penduduk elit di bandar Khartoum.

Apabila kerjanya selesai, Doud duduk di teduhan bayang-bayang bangunan sekolah bertentangan pangsapuri diplomat asing.

Dia menggoncang bekas air tin dan melihat ke dalamnya jika ia masih boleh diminum.

"Saya tidak mahu bekerja seperti ini," keluhnya.


BOTOL-BOTOL plastik turut menjadi sasaran pemungut sampah di Sudan.


Dalam pada itu, Mohammed Adam, 26, mengutip sampah sejak tujuh bulan lalu.

Seorang pemuda lain, Osman Haroun, 25, pula meraih pendapatan antara RM7.50 hingga RM11 sehari hasil memungut sampah.

Omar Muhajir, 56, menjadikan kerjaya mengutip sampah bagi menyara lima orang anaknya, namun dia berharap untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik.

"Saya tidak mahu mereka bekerja seperti ini, mengumpul benda-benda terbuang dari tong sampah. Bagaimanapun, ia lebih baik daripada hanya duduk diam tanpa sebarang pekerjaan," keluh Omar.

Dana Kewangan Antarabangsa menjangkakan ekonomi Sudan akan mendapat rangsangan positif pada tahun ini. Ia mungkin mencecah RM1.6 bilion.

Pada tahun 2014, dijangkakan pulangan hasil rangsangan ekonomi yang diperoleh Sudan di bawah perjanjian dua negara bersama Sudan Selatan ialah kira-kira RM6.57 bilion.

Ia hasil pendapatan daripada yuran minyak Sudan Selatan dan pakej pemberian pampasan kehilangan sumber minyak Sudan selepas pemisahan sempadan dilaksanakan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan

Posted:

Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan

Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

PERJALANAN menaiki bot ekspres dari Terminal Bot Ekspres Kuching menghala ke stesen penumpang di Sungai Rajang dekat Tanjung Manis, Sarawak menyebabkan perasaan kaki pancing termasuk pengamal media menjadi girang.

Apa tidaknya, fikiran masing-masing terbayang keseronokan beraksi bersama ikan yang tersangkut di mata pancing atau bertarung bersama ikan bersaiz XL di sekitar perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik di Tanjung Manis.

Sebagai medan menguji kehebatan, teman seangkatan sudah memastikan terlebih dulu semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu ladung, lampu suluh, pisau serta peralatan memancing lain disediakan.

Safari Memancing Tanjung Manis 2013 merupakan masa terbaik bagi kaki-kaki pancing tegar di Sarawak mempamerkan segala kemahiran yang dimiliki dalam menaikkan pelbagai saiz ikan.

Setelah hampir tiga jam perjalanan, bot ekspres akhirnya sampai ke destinasi. Ada dalam kalangan kaki pancing sudah tidak sabar untuk turun ke laut.

Keterujaan dan kehangatan pertandingan semakin dirasai sebaik kaki menjejak jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Tanjung Manis iaitu lokasi pelepasan para peserta safari memancing bagi kategori laut dalam dan pesisiran pantai.

Perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik, di Tanjung Manis sememangnya terkenal dengan ikan lautnya, jadi tidak hairanlah kaki-kaki pancing sudah bersiap sedia dengan joran masing-masing.


MENYAKSIKAN panorama matahari terbenam di Tanjung Manis menjadi satu memori indah kepada kaki pancing.


Bagi peserta kategori laut dalam, sebaik dilepaskan mereka berlumba-lumba ke tengah laut bagi mencari 'port' terbaik masing-masing.

Cabaran

Salah seorang peserta iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, setiap tahun beliau bersama rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keseronokan memancing di perairan Tanjung Manis.

Menurutnya, cabaran pertandingan tersebut memang dinanti-nantikan ekoran keseronokan dan hasil tangkapan yang lumayan selain pengalaman berdepan ribut di tengah laut.

"Apa jua rintangan serta cabaran sepanjang aktiviti memancing ini tidak kami endahkan. Keseronokan menumpaskan dan menaikkan ikan bersama rakan-rakan di tengah laut bukan semua orang boleh merasainya, tambahan pula ketika menyertai pertandingan seperti ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Umpan

Mohamed Khalid yang mula meminati aktiviti memancing ikan sejak di bangku sekolah menggunakan umpan sotong kurita kerana kebarangkalian untuk menangkap ikan besar seperti jenahak, merah, tanda dan kerapu lebih cerah.

MD. FAIZAL menunjukkan hasil tangkapan ikan kerapu seberat 15.05 kg sekali gus dinobatkan sebagai Raja Pancing dalam cabaran Safari Memancing Tanjung Manis 2013.


"Meskipun umpan sotong kurita berharga RM6 hingga RM8 seekor ia tetap menjadi pilihan kami kerana hasil yang dibawa pulang dari laut pasti tidak mengecewakan.

"Kami juga tidak ketinggalan membawa umpan seperti umpan hidup dan udang pasar terutama ketika ingin menaikkan ikan gelama" katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan aktiviti memancing merupakan hobi yang memerlukan belanja tinggi, namun ia mampu menghasilkan pulangan lumayan kepada kaki pancing terutama kumpulan yang gemar memasuki pertandingan.

Dalam pada itu, Safari Memancing Tanjung Manis 2013 di Sarikei pada 22 hingga 23 Jun lalu telah menarik penyertaan seramai 119 kaki pancing bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM28,550.

Penganjur, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) menyediakan pelbagai hadiah termasuk wang tunai, trofi dan hamper kepada peserta bagi pelbagai kategori laut dalam dan persisiran pantai.

Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM180 bagi kategori persisiran pantai dan RM250 untuk kategori laut dalam.

Suasana ketika pertandingan pula tidak ubah seperti sebuah pesta. Kesemua kaki pancing berlumba-lumba mencari lubuk ikan untuk mendapatkan hasil tangkapan yang lumayan.


TANGKAPAN hasil laut yang berjaya dipancing oleh peserta.


Pengajaran

Sementara itu, bagi pemancing cilik, Merichmanson Gason, 9, memberitahu, tidak ramai rakan-rakannya sanggup menunggu berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendapatkan ikan.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Buyuk, Tanjung Manis itu berkata, dia seronok menyertai pertandingan itu kerana dapat mengisi masa luang selain mengeratkan hubungan dengan keluarganya.

"Aktiviti luar sebegini tidak membuang masa saya sebaliknya ia memberi banyak pengajaran berguna seperti sikap sabar dan menghargai alam sekitar.

"Selain itu, satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-ata apabila ikan menyentap umpan dan ketika bertarung mendaratkan ikan," katanya.

Tambahnya, ibu bapanya tidak melarang menyertai aktiviti memancing malah memberi sokongan termasuk menyertai pertandingan seumpama itu.

"Walaupun tidak memenangi sebarang hadiah, saya tetap seronok kerana dapat berjumpa dengan ramai peserta yang mempunyai minat sama," katanya.

Penginapan tenang di Kuala Kangsar

Posted:

Penginapan tenang di Kuala Kangsar

Penginapan tenang di Kuala Kangsar

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


BERANDA bilik Suite dan Deluxe merupakan kawasan terbaik untuk melihat panorama Sungai Perak.


MELAWAT bandar Kuala Kangsar, Perak seolah-olah seperti berada di sebuah bandar lama. Binaan bangunan yang masih mengekalkan struktur asal sejak zaman pemerintahan British masih jelas kelihatan di segenap bandar diraja negeri Perak itu.

Selain itu, seni pembuatan labu di Kampung Sayong dan sulaman kain tekat merupakan antara produk industri kecil dan sederhana yang dihasilkan oleh penduduk di daerah itu. Ia menjadi cenderamata wajib bagi pelancong sekiranya berkunjung ke daerah yang terletak kira-kira 41 kilometer dari pusat bandar raya Ipoh itu.

Masjid Ubudiah di Bukit Candan yang dibina pada tahun 1887 atas permintaan Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah, untuk menunaikan nazar baginda pula merupakan struktur signatur terbesar di Kuala Kangsar. Tidak sah sekiranya pengunjung daerah itu tidak mendekati keindahan seni bina masjid tersebut.

Kebanyakan kawasan pelancongan di Kuala Kangsar tertumpu di kawasan berdekatan bandar. Ini membolehkan pelancong berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam ke setiap destinasi.

Bagi anda yang bercadang untuk bercuti ke daerah itu, hotel dan inap desa banyak ditawarkan di sekitar bandar mahupun di kawasan kampung. Sungai Perak Resort (SPR) merupakan salah satu pilihan buat untuk anda.


SUNGAI Perak Resort merupakan destinasi percutian popular untuk seisi keluarga di Kuala Kangsar.


Terletak di tebing Sungai Perak, SPR merupakan antara penginapan popular dalam kalangan pelancong ke Kuala Kangsar. Resort itu diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sebelum diswastakan kepada syarikat Awan Bayu Sdn. Bhd. pada tahun 2008.

Dari SPR ke pusat bandar Kuala Kangsar hanya mengambil masa selama lima minit dengan menaiki kenderaan.

Menawarkan empat bilik Suite, 24 bilik Deluxe, 32 bilik Superior dan lapan bilik asrama, pakej penginapan SPR mengutamakan keselesaan untuk para tetamu.

Daya tarikan

Pegawai Sumber Manusia SPR, Norhaniza Mohd. Rahni memberitahu, 60 bilik yang ditawarkan merangkumi empat pakej utama itu mendapat tempahan yang menggalakkan daripada pelancong terutama pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.

"Kedudukan SPR yang strategik dan berdekatan pusat bandar Kuala Kangsar merupakan faktor utama pelancong menginap di sini. Selain itu, panorama Sungai Perak yang menjadi laluan bot-bot pelancong merupakan salah satu daya tarikan bagi tetamu yang menginap di bilik Suite dan Deluxe," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


DEWAN Puteri menjadi pilihan utama para tetamu atau syarikat korporat mengadakan aktiviti berkumpulan.


Selain bilik penginapan, SPR juga menyediakan dua buah dewan seminar iaitu Dewan Bayu yang boleh memuatkan 60 orang dalam satu-satu masa manakala Dewan Puteri mampu memuatkan 300 orang untuk sebarang aktiviti korporat mahupun berkumpulan.

Menyediakan pelbagai hidangan masakan tempatan dan Barat, Coffee House, merupakan satu-satunya restoran di SPR. Ia dibuka pada pukul 9 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Selain itu, sebanyak 300 buah tempat letak kenderaan turut disediakan.

Para tetamu SPR juga boleh menikmati kemudahan seperti surau, taman permainan dan perkidmatan WiFi percuma.

Tambah Norhaniza, pihaknya turut mengadakan promosi resort itu di sekitar Kuala Kangsar.

Ia sebagai usaha menarik lebih ramai pelanggan menginap di resort tersebut.

"Pasar Minggu Kuala Kangsar di Lembah Sungai Perak pada setiap hari Ahad merupakan lokasi utama promosi.

"Kami mengadakan peraduan dan pelbagai hadiah berbentuk baucar penginapan untuk mereka," jelasnya.

Libur di Pulau Corfu

Posted:

Libur di Pulau Corfu

Libur di Pulau Corfu


HOTEL-HOTEL yang terdapat di Pantai Potamaki Corfu memudahkan para pengunjung menikmati keindahan pantai di pulau ini.


AIR laut membiru yang memukau, seni bina klasik zaman Renaissance, monumen bersejarah dan pelbagai warisan budaya tempatan membuatkan Pulau Corfu, Greece menjadi destinasi pelancongan kosmopolitan di laut Mediterranean.

Pulau Corfu terletak tidak jauh dari pantai barat Greece mempunyai iklim Mediterranean yang sederhana dan kaya dengan pepohon menghijau jika dibandingkan dengan pulau-pulau lain di Greece.

Antara tarikan utama di pulau tersebut ialah Bandar Kerkyra, Gunung Pantokrator, kawasan perkampungan Perithia, Istana Achillion dan Paleokastritsa.

Sebuah bandar lama yang dipanggil Old Town Carfu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu. Old Town menjadi kawasan yang menempatkan struktur seni bina klasik seperti baroque yang terkenal pada zaman Renaissance.

Berjalan kaki melalui jalan-jalan sempit, berbatu, mendaki anak tangga dan laluan berkubah yang dipanggil 'kantoúnia', akan membuatkan anda berasa seolah-olah mengembara ke Genoa atau Naples.


PELANCONG boleh menikmati minum petang yang santai di kebanyakan kafe di Bandar Corfu.


Selain itu, jangan ketinggalan mengunjungi bangunan lama dengan seni bina Perancis yang dikenali sebagai Spianáda di Balkans.

Anda pasti teruja menyaksikan keunikan binaannya malah bangunan itu masih terpelihara dan anda boleh menyaksikan perlawanan kriket serta konsert muzikal yang dianjurkan sepanjang tahun di situ.

Mercu tanda

Kunjungan anda kurang bermakna sekiranya tidak menjejakkan kaki di Liston yang merupakan mercu tanda Pulau Corfu. Suatu masa dulu, kawasan ini merupakan tempat golongan aristokrat menghabiskan masa petang mereka.

Latar belakang tiang arked di Liston mewujudkan suasana romantik sekali gus menarik kehadiran pasangan yang sedang bercinta. Sambil menikmati kopi di kafe mewah mereka menghayati suasana indah tersebut.


PARA pelancong terpesona dengan keunikan pantai di Corfu.


Jika bosan dengan kesibukan di Bandar Corfu, pelancong boleh berkunjung ke kawasan pinggir bandar seperti di Mandoúki, Garitsa dan Sarókos.

Bagi mereka yang ingin melancong ke Pulau Corfu, pastikan menempah tiket penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kapodistrias, Corfu di Greece.

Masa terbaik untuk ke sana ialah sepanjang musim panas iaitu sekitar bulan Mei hingga Oktober. Jadual penerbangan yang kerap di kebanyakan negara Eropah memudahkan anda merancang percutian.

Pelancong yang ingin meneroka Pulau Corfu dengan lebih dekat, memandu kereta merupakan alternatif terbaik.

Lokasi penginapan yang dicadangkan di Pulau Corfu ialah Vila Emilios di Kalami, Vila Andreas di Kassiopi dan Vila Eos di Kendroma dengan kadar sewa antara RM420 hingga RM470 semalam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Pertemuan 200 ahli keluarga Mokhtar - Sabariah

Posted:

Pertemuan 200 ahli keluarga Mokhtar - Sabariah

Pertemuan 200 ahli keluarga Mokhtar - Sabariah


LEBIH 200 anak dan cucu - cicit arwah Mokhtar-Sabariah mengadakan perhimpunan sempena hari raya di Bangi, Selangor baru-baru ini.


BERKUMPUL. Bagi memberkati Aidilfitri, keluarga Allahyarham Mokhtar Ahmad dan arwah isterinya, Sabariah Kamadin berjaya mengumpulkan hampir 200 saudara-mara mereka.

Majlis yang kali kedua diadakan itu dilangsungkan penuh meriah di rumah menantu arwah Mokhtar iaitu Rukiah Sulan bertempat di Jalan Sungai Merab, Bangi, Selangor.

Perkumpulan itu diadakan bagi mengeratkan silaturahim saudara-mara yang sudah lama tidak berhubung kerana tinggal berjauhan.

Selain jamuan mereka turut mengadakan majlis tahlil untuk kedua-dua arwah.

Majlis Aidilfitri Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia

Posted:

Majlis Aidilfitri Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia

Majlis Aidilfitri Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia


TETAMU mengambil juadah ketika hadir pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia di Hotel Marriot, Putrajaya baru-baru ini.


MERIAH. Lebih 60 orang ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Hotel Marriot, Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Presidennya, Jurey Latiff Rosli, pihaknya bersyukur kerana majlis itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli persatuan.

"Program ini diadakan untuk mendekatkan ahli persatuan bagi terus memajukan industri hiburan pada masa akan datang," katanya.

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia ditubuhkan pada tahun 2008 dan kini dianggotai 86 buah syarikat produksi tempatan.

Hard Rock Cafe Melaka rai penghuni Rumah Jalinan Kasih

Posted:

Hard Rock Cafe Melaka rai penghuni Rumah Jalinan Kasih

Hard Rock Cafe Melaka rai penghuni Rumah Jalinan Kasih


ANDERSON (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada penghuni Rumah Jalinan Kasih, Kerubong pada program Jalinan Kasih Hard Rock Cafe Melaka baru-baru ini.


PRIHATIN. Restoran Hard Rock Cafe Melaka menganjurkan majlis rumah terbuka yang dihadiri 32 kanak-kanak dari Rumah Jalinan Kasih, Krubong, Melaka baru-baru ini.

Pengurus Besar Hard Rock Cafe Melaka, Anderson K.Selva berkata, majlis rumah terbuka itu adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat restoran berkenaan.

Anderson memberitahu, kanak-kanak terbabit turut menerima sumbangan cenderamata selain dibawa melawat sekitar restoran terletak bersebelahan Sungai Melaka.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Surau kontroversi diroboh

Posted:

Surau kontroversi diroboh

Surau kontroversi diroboh

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

Sebuah jentolak digunakan untuk merobohkan sebuah surau yang mencetuskan kontroversi di sebuah pusat peranginan di Kampung Sedili Besar, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Kontroversi sebuah surau di pusat peranginan di Kampung Sedili Besar di sini yang mencetuskan kemarahan penduduk kerana membenarkan penganut agama Buddha melakukan upacara keagamaan dirobohkan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, surau tersebut dirobohkan oleh pemilik pusat peranginan itu sendiri.

"Kerja-kerja meroboh surau dimulakan dengan membuka bumbung diikuti dengan struktur utama bangunan termasuk kerja-kerja mencabut dan meleraikan sistem pendawaian elektrik," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, kerja-kerja merobohkan surau yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu terpaksa ditangguhkan pada pukul 3 petang semalam kerana hujan dan akan disambung semula hari ini.

"Surau tersebut sudah 80 peratus dirobohkan dan saya yakin isu ini sudah selesai," kata beliau.

Pada 12 Ogos lalu, beberapa akhbar mendedahkan klip video yang tersebar melalui Facebook mengenai aktiviti sekumpulan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di surau tersebut.

Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan pelbagai pihak sehingga seorang rakyat Singapura yang merupakan pemilik pusat peranginan itu dilucut taraf pemastautin tetap (PR) oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ibu derma organ anak mati

Posted:

Ibu derma organ anak mati

Ibu derma organ anak mati

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


TAHIRAH menunjukkan gambar anaknya Aliah yang meninggal dunia akibat kemalangan baru-baru-baru ini.


GEORGE TOWN – Demi melihat kanak-kanak lain yang mempunyai masalah organ hidup gembira semula, seorang ibu bersetuju mendermakan organ anak perempuannya yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kulim, Kedah.

Tahirah Sheikh Daud, 38, bersetuju mendermakan hati, buah pinggang dan jantung anaknya, Allahyarham Aliah Sofea Amran, 10, kepada Hospital Pulau Pinang (HPP).

Aliah, anak ketiga daripada empat beradik dirempuh kereta ketika melintas jalan untuk ke kedai yang terletak di depan rumah bapa saudaranya di Kulim pada 11 Ogos lalu.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian otak meninggal dunia pada 14 Ogos.

"Saya hanya fikir biar kanak-kanak yang memerlukan organ ini dapat kehidupan baharu walaupun pemergian anak saya adalah kehilangan besar yang cukup dirasai," kata Tahirah yang bekerja di sebuah kilang di sini.

Menurut ibu tunggal itu, pengalaman melihat kesengsaraan pesakit kanak-kanak semasa berada di HPP dengan ada yang meraung kesakitan menimbulkan keinsafan buatnya sebelum dia berbincang dengan ahli keluarga dan bersetuju menderma organ Aliah.

"Sebelum kemalangan itu, Aliah memberitahu dia bermimpi pergi ke Mekah dan berpesan kepada saya supaya tidak perlu risau mengenai dirinya kerana dia mampu urus diri sendiri," katanya yang percaya mimpi itu merupakan petanda kepadanya bahawa Aliah akan pergi selama-lamanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Angkara pemandu mengantuk

Posted:

Angkara pemandu mengantuk

Angkara pemandu mengantuk


ANGGOTA bomba dan polis menjalankan siasatan di tempat kemalangan yang mengorbankan lima beranak di Ledang dekat Muar semalam.


LEDANG – Perjalanan pulang lapan sekeluarga ke rumah mereka di Parit Bakar di sini selepas menziarahi saudara yang meninggal dunia di Kuantan, Pahang bertukar tragedi apabila lima daripadanya maut setelah terlibat dalam nahas ngeri semalam.

Kejadian pukul 5.30 pagi di Batu 8, Bukit Kangkar, Jalan Tangkak-Muar dekat sini itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mangsa merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

Kemalangan tersebut mengorbankan Ramlah Bakar, 66, Basiron Kasiran, 74, dan isterinya, Rokiah Osman, 62. Turut terbunuh ialah dua adik Rokiah iaitu Mahani, 56, dan Jasilah, 42.

MPV itu dipandu oleh Jasilah. Tiga anak Mahani, Siti Hajar Abdul Rahman, 20-an, kritikal manakala Siti Nur Ain, 21, dan Siti Nur Shuhada, 18, pula patah kaki.

Rokiah, Ramlah dan Jasilah maut di tempat kejadian manakala Mahani dan Basiron meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kejadian berlaku apabila pemandu MPV tersebut dipercayai mengantuk sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh treler tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Posted:

Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PENYERANG Selangor, Muhammad Afiq Azmi (kanan) dicabar pertahanan Sime Darby, Firdaus Faudzi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin yang menyaksikan pasukan Selangor tewas 0-3.


IMEJ Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) sekali lagi menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pemerhati dan peminat tempatan.

Semuanya gara-gara beberapa aksi meragukan dalam kempen Piala Malaysia yang baru berlangsung tiga perlawanan peringkat kumpulan membabitkan 16 pasukan.

Antara kejutan yang berlaku setakat ini sudah pasti melibatkan prestasi hambar beberapa pasukan elit, antaranya Lions XII dan Selangor.

Selaku juara Liga Super, Lions XII sekadar mampu meraih satu mata, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan D di belakang Perak, Sarawak dan Kedah.

Selangor yang tampil selaku juara Piala Malaysia 32 kali turut mengalami kemerosotan prestasi apabila terperosok dalam saingan Kumpulan A di belakang Sime Darby, Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berbeza pula dengan nasib dua pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS dan Sime Darby yang dilihat lebih bergaya apabila masing-masing mengungguli Kumpulan A dan Kumpulan B.

Elemen-elemen kejutan itu mula membuatkan sesetengah pihak membuat andaian bahawa arena bola sepak Malaysia kini kembali dilanda gejala rasuah sebagaimana tahun 1995.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat memberitahu, setakat ini belum ada mana-mana pemain atau pegawai bola sepak didakwa atas kesalahan gejala rasuah.

Sebaliknya, Aseh berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau aktiviti pemain dan pegawai pertandingan dari semasa ke semasa.

"Saya tidak dapat mengesahkan kesahihan (rasuah) tetapi saya terdengar 'cakap-cakap belakang' mengenai situasi bola sepak kita sekarang.

"FAM dan SPRM telah memantau perkembangan bola sepak negara dan buat masa ini, pihak kami tidak terima sebarang aduan berhubung kes rasuah," kata Aseh ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Aseh berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak supaya lebih berani tampil memberikan maklumat atau bukti kepada pihak berkuasa jika benar gejala rasuah berlaku.

"Kami sentiasa bersedia menerima maklumat daripada pihak pengadu atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat. Cuma saya minta pengadu itu harus bertanggungjawab dengan setiap maklumat yang diberikan.

"Ini bukan satu masalah baharu. Jangan jadi seperti baling batu tetapi sorok tangan di belakang. Perkara sebeginilah menyebabkan siasatan kami tergendala.

"Jangan risau, identiti dan keselamatan mereka kekal selamat dan itu janji saya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menambah, badan induk itu sentiasa memantau setiap perlawanan bagi mengelak daripada sebarang unsur rasuah.

"Sekiranya kami menerima maklumat sahih berhubung gejala rasuah, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.

"Buat masa ini, kami telah bekerjasama dengan pihak SPRM bagi membendung gejala rasuah daripada kembali menular dalam liga bola sepak tempatan," katanya.

Gergasi Merah semakin parah

Posted:

Gergasi Merah semakin parah

Gergasi Merah semakin parah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi genting yang dihadapi Selangor ketika ini apabila Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah.

Difahamkan, punca utama Irfan membuat keputusan mengejut itu ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kemuncak rasa kecewa Irfan sukar dibendung lagi apabila Gergasi Merah tumbang di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby apabila tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Lantas, Irfan percaya keputusan melepaskan jawatan itu adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan masa depan Selangor dalam mengharungi baki kempen Piala Malaysia musim ini.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Perak itu mengakui, kekalahan besar kepada Sime Darby antara faktor utama mengapa beliau melepaskan jawatannya.

"Saya akui kecewa dengan kekalahan semalam (kelmarin). Benar kekalahan sudah menjadi lumrah buat jurulatih tetapi kekalahan itu begitu 'menakjubkan'.

"Benar saya telah menghantar surat peletakkan jawatan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

"Mereka (FAS) menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Saya amat kecewa ketika ini tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

"Saya tidak salahkan kepada anak-anak buah saya kerana mereka telah memberikan aksi terbaik," jelas Irfan semalam.

Irfan menambah, pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam akan mengambil alih tugas beliau buat sementara waktu.

"Maniam akan mengambil alih tugas saya dan saya percaya beliau merupakan individu yang sesuai untuk meneruskan perjuangan Selangor dalam kempen Piala Malaysia

"Meskipun ada baki kontrak selama tiga bulan, saya sudah fikir masak-masak (untuk melepaskan jawatan)," katanya.

Irfan memulakan tugas bersama Selangor selepas mengambil alih tugas daripada K. Devan pada 2011.

Sebelum membimbing skuad Gergasi Merah, Irfan pernah mengendali beberapa pasukan tempatan, antaranya Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Yob makin bersemangat

Posted:

Yob makin bersemangat

Yob makin bersemangat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


AZLAN (kiri) muncul wira Perak ketika aksi menentang Lions XXI di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.


KEMENANGAN 1-0 ke atas Lions XII di gelanggang keramat - Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin merupakan tonik berharga kepada skuad Seladang bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Jaringan tunggal menerusi tandukan penyerang, Azlan Ismail pada minit kesembilan sudah cukup buat Perak meraih tiga mata berharga, lantas mengungguli saingan Kumpulan D dengan tujuh mata.

Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar kecil) berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang bijak memanfaatkan peluang menjinakkan juara Liga Super itu.

"Ini merupakan kemenangan yang indah dan saya cukup puas hati Perak berjaya menewaskan juara Liga Super. Apa yang penting misi untuk tidak keciciran mata di gelanggang sendiri setakat ini tercapai.

"Setelah menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan pertama, kali ini Lion XII pula dijinakkan," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.

Azraai turut memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain muda, M. Yoganathan pada perlawanan itu yang turut disaksikan lebih 25,000 penyokong skuad Kejor YobKejor.

Menurut beliau, persembahan ampuh pemain tengah yang dipinjamkan daripada skuad Piala Presiden Perak itu menjadi antara kunci kemenangan ke atas Lions XII.

"Dia (Yoganathan) semakin menunjukkan kematangan dan telah beraksi baik sehinggalah terpaksa ditukarkan dengan Hakim (Mohd. Norhakim Isa) akibat kecederaan pada babak akhir perlawanan," katanya.

Azraai berkata, beliau turut lega barisan pertahanan Perak yang dikemudi pemain kelahiran Brazil, Rafael Souza berjaya menyerap tekanan daripada barisan serangan Lions XII yang melakukan serangan bertubi-tubi terutama pada 10 minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, beliau meminta anak-anak buah tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana laluan ke suku akhir Piala Malaysia masih berliku.

"Belum selamat lagi, masih ada tiga perlawanan lagi yang perlu diharungi termasuk di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Sabtu ini.

"Apa pun alhamdulillah pasukan Perak pada waktu ini berada dalam motivasi tinggi untuk meneruskan misi Piala Malaysia kami," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Projek Singgit kerja amal cara baharu

Posted:

Projek Singgit kerja amal cara baharu

Projek Singgit kerja amal cara baharu

Oleh ADLAN JAAFAR

SUKARELAWAN Kindness Dot My yang diuruskan oleh Amir Effendi dan Muhammad (empat dari kiri) sentiasa mencari kaedah unik untuk melakukan kebaikan.


SEKITAR pukul 2.30 petang bulan Ramadan lalu, empat individu yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berkumpul di hadapan sebuah restoran makanan segera di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun itu memakai kemeja T dan berseluar jean.

Suasana di KL Sentral pada masa itu sibuk dengan kelibat pengguna yang bergegas mendapatkan pengangkutan awam.

Memandangkan ketika itu bulan puasa, keadaan di hab pengangkutan awam itu lebih sesak dengan warga kota yang mahu pulang awal untuk berbuka puasa di rumah.

Keempat-empat individu itu melihat keadaan sekeliling sebelum ketua mereka, Muhammad Kamarulazizi, 31, mengagih-agihkan beberapa keping wang kertas seringgit kepada orang ramai yang lalu lalang.

Pada setiap keping wang kertas itu dikepilkan sekeping nota berbunyi: "RM1 yang anda jumpa ini ialah duit raya anda! Selamat menyambut bulan Ramadan."

Dalam masa sejam, wang tersebut selesai diagihkan. Kaedah memberi wang RM1 itu berbeza daripada apa yang pernah dipraktikkan oleh kebanyakan badan kebajikan lain.

"Minggu lalu kami mengagih-agihkan not seringgit berjumlah RM100, tetapi minggu ini kami kurangkan kepada RM50 saja.

"Jumlahnya terlalu banyak. Kami keletihan mengagihkan wang tersebut kerana tidak ramai yang berminat mengambil bahagian," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


WANG RM1 diletakkan secara rawak di tempat yang tidak terlalu tersorok.


Reaksi penerima

Minggu sebelumnya, kata Muhammad, reaksi orang yang menjumpai wang tersebut amat mengejutkan.

"Mereka jumpa dan membaca nota yang dikepilkan, namun enggan mengambil wang tersebut," ujarnya.

Selepas selesai meletakkan wang RM1 di lokasi-lokasi strategik di KL Sentral seperti di atas meja restoran dan bangku menunggu, kumpulan berkenaan beralih strategi dan mengagihkan kotak-kotak kecil berisi buah kurma pula.

Kali ini, sasaran mereka ialah individu yang kelihatan seperti dalam perjalanan ke sesuatu tempat, terutamanya mereka yang membawa beg pakaian.

Secara logik, individu yang baru tiba di KL Sentral pada pukul 4 petang pasti akan berbuka di dalam kenderaan kerana tersekat dalam kesesakan trafik.

Maka, pemberian kecil berupa buah kurma itu dilihat cukup berharga kepada warga kota yang berpuasa. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengalas perut pada waktu berbuka.

Kotak-kotak kurma itu diberi secara terus kepada kumpulan sasar. Namun, hasil pemerhatian mendapati ramai pengguna yang menolak pemberian itu kerana menyangka kumpulan terlibat menjual barang atau meminta derma.

Namun, mereka tidak patah semangat dan meneruskan usaha murni badan sukarela yang dinamakan Kindness Dot My itu.

Kindness Dot My diasaskan Muhammad pada Mac lalu dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

Ia mengambil pendekatan baharu dalam menjalankan kerja-kerja amal.

Menurut Muhammad, pemberian RM1 secara rahsia itu dipanggil Projek Singgit, manakala Projek Kurma bagi pemberian buah kurma kepada orang ramai.

"Kami mahu mengajak orang ramai melakukan kebajikan, tetapi dengan cara berbeza. Pertolongan boleh diberikan walaupun dalam jumlah yang kecil.

"Saya percaya sedikit kebaikan yang diberi kepada orang yang tidak dikenali bukan sahaja menggembirakan mereka bahkan memupuk rasa ikhlas dalam diri kita sendiri," ujarnya.

Muhammad menegaskan, segala usaha yang dilaksanakan Kindness Dot My tidak mengharapkan sebarang balasan.

"Bagi setiap perbuatan yang dilakukan sama ada bersifat fizikal atau bantuan tenaga diniatkan kerana Allah," jelasnya.

Menurut Muhammad, program yang dijalankan Kindness Dot My itu dikenali sebagai random act of kindness yang membawa maksud berbuat baik secara rambang.

Ia bertujuan untuk membantu atau menggembirakan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Salah seorang sukarelawan yang terlibat pada hari itu ialah Dian Zahari, 21. Dian merupakan pelajar sepenuh masa Diploma Komunikasi Massa.

"Saya melibatkan diri dalam aktiviti ini kerana ia agak menarik dan dapat menggembirakan masyarakat," katanya.


ALIESH memegang kotak berisi buah kurma untuk diagihkan kepada orang ramai.


Bantu warga emas

Celah rakan sebayanya, Aliesh Mohd. Wahid, kerja sukarela itu amat bertepatan pada bulan Ramadan yang menggalakkan amalan bersedekah.

Dalam laman web www.wikihow.com, berbuat baik secara rambang dikatakan berasal daripada kata-kata penulis Amerika Syarikat (AS), Anne Herbert yang berbunyi: 'Amalkan kebaikan dan amalan kemanusiaan secara rambang. Kata-kata itu terpapar pada sekeping tikar di sebuah restoran di AS.'

Di negara itu, amalan ini telah lama dipraktikkan sehingga tertubuhnya The Random Acts of Kindness Foundation yang aktiviti mereka telah tersebar ke seluruh dunia.

Terdapat pelbagai perbuatan baik secara rawak yang boleh dilaksanakan. Antaranya, membantu warga emas tanpa mengenakan bayaran atau membayar harga kopi untuk pelanggan seterusnya.

Cerita Muhammad, terdapat sebuah video di laman YouTube yang memaparkan bagaimana seorang individu membayar harga kopi untuk pelanggan seterusnya di kaunter pandu lalu rangkaian Starbucks.

Atas rasa mahu memberi pertolongan seperti pemandu terdahulu, pelanggan kedua itu telah membayar pembelian kopi untuk individu berikutnya. Usaha itu berterusan sehinggalah kepada pelanggan yang ke-400.

"Disebabkan pelanggan terakhir enggan membayar harga kopi untuk orang seterusnya, maka perlakuan rawak itu terhenti.

"Bayangkan, tindakan individu yang mahu membayar harga kopi untuk seseorang yang tidak dikenali telah menyebabkan hati 400 orang berikutnya terbuka untuk melakukan kebaikan," ujarnya.

Pengasas bersama Kindness Dot My, Amir Effendi Abdul Rahim, 36, memberi contoh, membuka pintu untuk orang lain atau membayar tol kereta berikutnya sudah menepati konsep tersebut.

"Orang yang menerima tidak akan tahu siapa yang membantunya, kita juga tidak tahu siapa yang mendapat manfaat," katanya. Usaha Khairil Anuar Sapeia dan Wan Nazri Wan Shariman yang tergesa-gesa ke KL Sentral selepas waktu bekerja barangkali dipandang enteng kebanyakan orang.


PROJEK Singgit merupakan salah satu kaedah kreatif dalam memberi sumbangan secara rawak kepada individu.


"Kami datang ke sini semata-mata mahu menyertai program anjuran Muhammad Kamarulazizi selaku pengasas badan sukarela Kindness Dot My," kata Wan Nazri yang datang dari Damansara, Selangor.

Namun, susah payah mereka meredah kesesakan lalu lintas pada petang itu didorong oleh rasa ingin memberi kebahagiaan kepada orang lain. Pada nota yang dikepilkan bersama wang kertas RM1 itu disertakan sekali hashtag Kindness Dot My (#kindnessmalaysia) dan alamat Facebook (facebook.com/kindness) bagi memudahkan usaha itu disebarkan.

Kindness Dot My turut menjalankan banyak aktiviti seperti Projek Lima Kupang di Petaling Jaya iaitu projek memasukkan wang syiling ke dalam meter tempat letak kereta yang telah tamat tempoh tetapi kereta masih ada di petak.

Program lain termasuklah membawa anak-anak yatim menonton wayang dan memberi makanan kepada gelandangan.

"Dana datang daripada penaja yang kebanyakannya terdiri daripada orang perseorangan yang identiti mereka dirahsiakan," kata Muhammad.

Selepas selesai Projek Singgit dan Projek Kurma di KL Sentral, kumpulan ini telah bergegas ke Puchong, Selangor bagi meneruskan aktiviti amal mereka di sebuah rumah anak yatim di situ.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


AS sedia serang Syria pada bila-bila masa

Posted:

AS sedia serang Syria pada bila-bila masa

AS sedia serang Syria pada bila-bila masa

GAMBAR yang disiarkan Tentera Laut AS menunjukkan kapal perang USS Gettysburg (kiri) dan kapal induk USS Harry S. Truman belayar di Selat Gibraltar pada 3 Ogos lalu ketika menuju ke Laut Mediterranean.- AFP


BANDAR SERI BEGAWAN - Tentera Amerika Syarikat (AS) akan bertindak serta-merta jika Presiden Barack Obama memberi arahan untuk melancarkan serangan ke atas Syria, kata Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel semalam.

Persediaan itu dibuat selepas rejim Presiden Bashar Al-Assad didakwa menggunakan senjata kimia baru-baru ini.

"Kami telah menggerakkan segala aset tentera untuk memenuhi dan mematuhi apa sahaja pilihan yang ingin diambil oleh Presiden AS.

"Kami bersedia untuk bertindak," katanya ketika diwawancara oleh stesen televisyen BBC semasa melakukan lawatan ke Brunei.

Komen Hagel hadir sehari selepas Setiausaha Negara AS, John Kerry mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan ketenteraan mungkin diambil ke atas Syria.

Kerry menyatakan bahawa Obama percaya bahawa rejim Presiden Bashar Al-Assad perlu bertanggungjawab kerana menggunakan senjata kimia.

Dalam pada itu, Hagel berkata, persediaan ketenteraan itu susulan maklumat oleh perisikan AS tentang situasi di Syria.

Namun, beliau menyatakan, AS dan sekutunya termasuk Britain dan Perancis percaya bahawa serangan itu telah melanggar hak kemanusiaan antarabangsa . - Reuters

13 korban Ribut Fernand di Mexico

Posted:

13 korban Ribut Fernand di Mexico

13 korban Ribut Fernand di Mexico


ANGGOTA polis menemui mayat dua mangsa tanah runtuh akibat Ribut Tropika Fernand di Tuxpan, dalam negeri Veracruz kelmarin.


TUXPAN, Mexico - Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat akibat Ribut Tropika Fernand mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang di dalam negeri Veracruz, kata pihak berkuasa kelmarin.

Jurucakap pentadbiran negeri, Javier Duarte berkata, sembilan orang maut di bandar Yecuatla, tiga di bandar ini dan seorang lagi di bandar Atzalan.

Tanah runtuh membawa batu-batan dan lumpur merosakkan empat rumah di kampung Roca de Oro di Yecuatla dan mengorbankan mangsa yang sedang tidur.

"Kami sentiasa berwaspada kerana hujan masih turun," kata Duarte.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya 10 bandar terputus hubungan ekoran laluan terhalang akibat 16 kejadian tanah runtuh.

Menurutnya, lebih 400 orang ditempatkan di pusat perlindungan yang disediakan oleh pemerintah.

Sementara itu, di kawasan bandar metropolitan Veracruz dan Boca del Rio, para pekerja memulihkan bekalan elektrik yang menjejaskan 40 peratus penduduk di wilayah berkenaan.

Pihak berkuasa di sini menasihatkan agar 7.7 juta penduduk di situ tinggal di rumah dan sesi persekolahan turut digantung.

Fernand berpusat sekitar 125 kilometer (km) ke barat daya Tuxpan dan bergerak menuju ke arah barat laut dengan kelajuan angin sekitar 15 kilometer sejam. - AP

Ladang spirulina atas bumbung hotel

Posted:

Ladang spirulina atas bumbung hotel

Ladang spirulina atas bumbung hotel


SEBUAH ladang spirulina di atas bumbung sebuah hotel di Bangkok, Thailand.- Agensi


BANGKOK - Di atas bumbung sebuah hotel di sini terdapat berpuluh-puluh tong berisi cecair hijau mengandungi alga yang merupakan inovasi baharu pertanian bandar.

Dikenali sebagai spirulina, alga boleh dimakan ini mampu membantu menyediakan sumber protein yang mapan sebagai alternatif kepada daging.

Sebanyak tiga kali seminggu, seorang lelaki Patsakorn Thaveeuchukorn menuai alga itu di dalam beberapa buah tong.

"Rumpai hijau ini membesar dengan pantas. Kebiasaannya ia membesar dua kali ganda dalam tempoh 24 jam," kata Patsakorn yang bekerja untuk syarikat EnerGaia.

Syarikat tersebut menanam alga di atas bumbung beberapa buah bangunan di ibu kota Thailand di sini.

"Dengan tahap protein yang tinggi dan khasiat yang banyak, spirulina amat bermanfaat kepada kesihatan," kata Patsakorn.

"Jika dibandingkan dengan daging, makanan itu mengambil masa enam bulan untuk membesar hingga satu kilogram tetapi alga ini mengambil masa hanya seminggu," kata Patsakorn. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved