Khamis, 23 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Brazil hadapi tekanan ekonomi

Posted:

Brazil hadapi tekanan ekonomi

Brazil hadapi tekanan ekonomi

BANDAR Sao Paulo di Brazil mempunyai populasi rakyat Itali yang besar. Justeru, tidak hairanlah jika banyak restoran dengan cita rasa Itali terdapat di sana. Namun, agak mengejutkan apabila beberapa pengusaha restoran di bandar tersebut mengumumkan bahawa mana-mana hidangan yang dibuat berasaskan tomato akan digugurkan daripada senarai menu yang ada.

Pengurus Restoran Nello, Augusto Mello membuat keputusan menggugurkan tomato sebagai bahan dalam sajian mereka sekali gus menarik perhatian agensi media tempatan dan antarabangsa.

"Kami lakukan ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Kami selalu membayar dua reais (RM2.96) untuk satu kilogram tomato segar. Tetapi kini, kami perlu membayar sehingga tujuh reais (RM10.37) untuk kuantiti serupa yang mana jumlahnya terlalu tinggi.

"Pengusaha restoran seperti kami biasanya membeli secara pukal iaitu kira-kira satu tan tomato setiap bulan," ujar Mello kepada agensi berita BBC.

Tindakan mengejut Mello itu dibuat rentetan krisis kenaikan harga tomato yang kini melanda Brazil dan berlarutan sejak setahun lalu.

"Saya sudah bekerja di restoran ini sejak 48 tahun dan ini merupakan harga paling teruk yang pernah dicatatkan," kata Walter Taverna, pemilik restaurant Conchetta di daerah bersejarah Itali Sao Paulo, Bixiga.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut beliau mengimport puri tomato dari Itali.

"Saya mempunyai empat buah restoran dan harga tomato yang meningkat menyebabkan kami mengalami kerugian yang banyak iatu sekitar 5 hingga 10 peratus setiap bulan. Ia suatu jumlah yang besar kepada seorang ahli perniagaan," luah Taverna dengan rasa kesal.

Pada satu ketika harga tomato direkod meningkat sehingga 150 peratus terutama pada pertengahan April lalu, menurut Institut Geografi & Statistik Brazil (IBGE).


MESKIPUN harga tomato naik berganda, rakyat Brazil masih memerlukan sayuran tersebut dalam menu harian mereka.


Isu kenaikan harga tomato ini membuatkan pengguna bertindak mengurangkan pengambilan tomato dalam menu harian mereka.

"Saya sudah lama tidak mengambil tomato dalam diet berasaskan sayuran kerana harganya semakin tinggi dan saya tidak mampu," tegas seorang guru muzik bersara, Mariliza Leitao.

Ironinya, peningkatan harga tomato bukan sekadar memberi kesan terhadap pengusaha restoran mahupun rakyat biasa, tetapi turut memberi tekanan kepada kerajaan Brazil untuk membendung masalah tersebut.

Cabaran besar

Peningkatan kadar inflasi merupakan satu isu yang sangat sensitif di negara terbesar di Amerika Selatan itu. Ini kerana Brazil pernah berdepan krisis inflasi paling teruk sekitar tahun 1990-an yang mencapai kenaikan harga sehingga 2,000 peratus.

Lantaran itu, Presiden Brazil, Dilma Rousseff berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya menjelang pilihan raya tahun depan.

Penganalisis tempatan daripada Persekutuan Agrikultur dan Ternakan, Leonardo Machado berkata, peningkatan harga tomato berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor.

"Masalah cuaca seperti hujan lebat, kenaikan harga minyak, permintaan yang tinggi dan paling penting pengurangan di kawasan yang digunakan untuk penanaman menjadi punca kepada kenaikan harga tomato," jelas Machado yang berpangkalan di negeri Goias, wilayah yang merupakan pengeluar terbesar tomato di negara itu.


Tomato bukan sekadar sayur di Brazil bahkan ia mempunyai kuasa dalam menentukan jatuh bangun ekonomi negara tersebut.


Selain itu, faktor kekurangan tenaga buruh atau pekerja di ladang-ladang turut menyumbang kepada kenaikan harga tomato.

Menurut Mauro Lopes, pakar pertanian di pertubuhan pemikir Yayasan Getulio Vargas yang bertapak di Rio de Janeiro, kebanyakan pekerja ladang terdiri daripada individu yang tiada kemahiran khusus.

Lantaran itu, apabila ditawarkan pekerjaan dengan suasana kerja yang lebih selesa dan mempunyai faedah-faedah perkhidmatan tertentu, sudah tentu mereka akan menerimanya.

"Bekerja di kedai-kedai yang mempunyai pendingin hawa pasti satu pilihan lebih baik berbanding berada di bawah panas terik matahari di ladang-ladang tomato," ujar Lopes.

Rumah hijau

Perkara itu diakui oleh seorang peladang tomato, Cyro Cury yang menanam 10 jenis tomato di sebuah ladang yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Sao Paulo.

Katanya, dia berminat untuk mengusahakan penanaman tomato di beberapa rumah hijau yang dimiliki untuk membantu memenuhi permintaan yang tinggi musim ini. Namun, dia gagal untuk mendapatkan pekerja tambahan yang sanggup menerima upah kira-kira AS$500 (RM1,500) sebulan.

Dalam pada itu, Cyro memberitahu, kenaikan harga tomato sebenarnya tidak menjadikan mereka kaya walaupun ramai yang menganggap pengeluar tomato pasti gembira dengan situasi tersebut.

Ia disebabkan perbezaan yang besar di antara harga pemborong dan pengguna. Biasanya, satu kotak tomato segar berharga 3.5 reais (RM5.18) tetapi, ia dijual empat kali ganda daripada harga asal di pasar raya tempatan.

Katanya, keuntungan kecil telah membataskan keupayaan peladang untuk meningkatkan pengeluaran walaupun kitaran harga yang sering meningkat berlaku setiap tahun.

"Ia sebenarnya tidak mengubah apa-apa. Jika kami tidak menerima polisi untuk skala kecil bagi tanaman dan makanan, kami akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam tempoh 10 tahun akan datang," ungkapnya.

Brazil kini merupakan pengeluar utama dunia untuk pasaran gula, tumbuhan citrus dan kopi. Malah, ia juga pengeksport utama ayam, itik dan daging di samping bakal menjadi antara negara teratas dalam pengeluaran soya.

Bagaimanapun, masalah kekurangan tanah untuk tanaman bukan eksport semakin meruncing. Data yang diperoleh daripada agensi IBGE menunjukkan bahawa kawasan yang ditanam dengan makanan ruji seperti kekacang dan padi telah menjunam kepada 30 peratus sejak tahun 1990 sedangkan populasi rakyat di negara itu mengecil kepada 25 peratus. Meskipun penganalisis menjangka inflasi akan kembali sederhana tahun ini, kenaikan harga memberi cabaran kepada Presiden Rousseff, yang berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negaranya.

"Kenaikan kadar inflasi telah mencetuskan penggera di dalam kerajaan memandangkan pengundi Rousseff sangat sensitif terhadap isu pekerjaan dan harga barang," jelas Profesor Sains Politik di Universiti Katholik Rio de Janeiro, Ricardo Ismael.

Tetapi, dalam perjuangan beliau mengatasi kenaikan harga tomato, Rousseff tidak bersendirian. Beliau telah disokong oleh mantan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang masih popular dalam kalangan jutaan rakyat miskin negara tersebut.

"Seorang pemimpin wanita yang berpengalaman seperti Dilma (Rousseff) tidak akan membenarkan isu kecil seperti tomato menghancurkan ekonomi dan negara yang mana rakyatnya telah belajar untuk hidup dengan inflasi kawalan," tegas Lula da Silva dalam satu majlis parti pemerintah baru-baru ini.

Dalam pada itu, banyak lawak jenaka mengenai kenaikan harga tomato di buat terutama di laman-laman sosial seperti Facebook.

Salah satu laman itu dipanggil Tomato caro atau bermakna Tomato mahal yang dipaparkan dalam bentuk kartun dan gambar montaj pada buah tersebut.

"Saya tidak mahu menjadi kaya, cuma tingkatkan penanaman tomato," komen seorang pengguna laman sosial berkenaan.

Ia satu jenaka yang perlu diharapkan kerajaan kerana seperti tomato itu sendiri, ia juga mempunyai jangka hayat yang singkat.

Dilma Rousseff mungkin merupakan antara presiden yang terkenal di dunia, namun peluang beliau untuk dipilih semula pada tahun hadapan dicabar oleh pesaing yang cukup berkuasa iaitu tomato.

Perarakan khas Hari Wesak

Posted:

Perarakan khas Hari Wesak

Perarakan khas Hari Wesak

SEBAGAI komuniti minoriti di Malaysia, masyarakat Sri Lanka atau dikenali Sinhalese di Malaysia lebih tertumpu di kuil-kuil Buddha sekitar Brickfields dan Sentul di Kuala Lumpur. Menjelang kedatangan bulan purnama penuh pada bulan ini iaitu pada 24 Mei, etnik Sinhalese paling aktif dalam menjayakan Hari Wesak.

Tertumpu di kuil Maha Vihara di Jalan Berhala, Brickfields dan Kuil Buddha Sri Lankan di Jalan Sentul, Sentul, Kuala Lumpur, elemen kebudayaan dan pengaruh Sri Lanka dilihat masih tebal di sebalik percampuran budaya tempatan.

Antara pengaruh Sinhalese dalam sambutan Wesak ialah kereta berhala yang melibatkan sekumpulan besar tenaga kerja, masa yang lama, kos dan kreativiti yang tinggi. "Kami memberi keutamaan kepada pembinaan kereta berhala kerana ia memainkan peranan penting sewaktu perarakan pada malam Hari Wesak.

"Selaku kuil Buddha utama, kuil Maha Vihara bertanggungjawab membina satu struktur yang bukan sekadar kegunaan perarakan tetapi menyebarkan mesej," kata Ven. Siridhamma yang bertanggungjawab dalam pembinaan struktur kereta berhala itu.

Melibatkan kos antara RM30,000 hingga RM35,000, kereta berhala yang didana oleh orang ramai, dibina dengan pimpinan tenaga kerja mahir dari Sri Lanka. Ia sekali gus mengekalkan sentuhan kebudayaan Sinhalese selain memberikan satu persembahan yang benar-benar hebat pada malam perarakan.

"Kedua-dua artis seni ini, bekerja pertama kali dengan Maha Vihara tahun lalu. Tujuan kami menjemput mereka selepas melihat hasil kerja mereka yang penuh ketelitian," tambah Siridhamma. Beliau berperanan sebagai penterjemah kepada kedua-dua artis yang hanya mampu berbahasa Sinhalese.

Leelasena Kalappreya, 68, dari selatan Sri Lanka membina kereta berhala sebesar 9 meter panjang dan 4 meter tinggi memberitahu, ia adalah satu pekerjaan tradisi yang diwarisi sejak zaman bapanya.

Berpengalaman lebih 35 tahun, Leelasena mengakui tugasnya itu memerlukan kesabaran dan minda yang tajam.


SUMITH dan Leelasena melakukan kerja-kerja waktu akhir iaitu memotong tulisan 'Happy Wesak' sebelum diwarna dan ditampal pada kereta berhala.


Membina struktur

"Saya belajar daripada bapa kerana sejak kecil saya melihat beliau melakukan kerja-kerja ini," kata Leela merujuk kepada kerja memasang papan dan besi, dekorasi dan membentuk struktur.

Walau bagaimanapun, di Sri Lanka budaya berarak menggunakan kereta berhala berhias pada hari Wesak bukan satu amalan. Di Sri Lanka, Leelasena memberitahu, tugasnya hanya melibatkan kerja membina struktur pintu masuk, dekorasi 'tidak bergerak' pada hari kebesaran lain dan struktur komersial.

"Perarakan kereta berhias di Sri Lanka diadakan pada sambutan-sambutan lain seperti Tahun Baru Sinhalese dan bukan untuk Wesak. Namun, saya dan seorang lagi pembantu tidak keberatan melakukannya di Malaysia kerana asas pembuatan sama," tambah Leelasena yang dibantu oleh Sumith Rajapssa, 33.

Sumith yang berasal dari selatan Sri Lanka dilihat lebih cenderung membuat kerja-kerja pertukangan manakala Leelasena pula mereka bentuk dan kreativiti.

"Saya tidak belajar daripada sesiapapun. Sebaik saya melihat sesuatu lakaran, saya sudah boleh membuat kerja pertukangan," jelas Sumith tentang kemahirannya.

Lelaki ini juga antara tukang kayu yang terkenal di Sri Lanka dan pernah membuat kerja pertukangan untuk upacara terkenal sama ada keagamaan atau komersial di negara itu.

Amalan membawa kereta berhala untuk perarakan pada hari Wesak menurut Sridhamma bermula sejak tahun 1950 lagi tetapi pada sekala kecil. Hanya sebuah patung tembaga berwarna keemasan diletakkan di atas kereta berhala beroda dan ditarik oleh penganut sepanjang perarakan.

Kini, ia berbeza apabila kuil-kuil besar menggunakan khidmat kenderaan seperti lori untuk menarik kereta berhala kerana saiznya yang lebih besar dan kepentingan lain seperti tenaga elektrik yang diperlukan untuk hiasan bercahaya.

"Tahun ini, struktur kami mengetengah sebuah patung angsa keemasan sebagai imej utama. Mesej di sebaliknya ialah haiwan ini berupaya mengasingkan susu dan air, oleh itu ia signifikan kepada sikap yang perlu ada pada manusia dalam mengasingkan perkara yang negatif daripada roh kita yang asalnya positif," kata Siridhamma.


Biarawan-biarawan tempatan serta dari Sri Lanka bertungkus-lumus menyiapkan kereta berhala di Kuil Budhha Sri Lanka di Sentul.


Imej Makara

Selain burung angsa putih, struktur itu juga dihias dengan pelbagai input seni halus Sri Lanka yang terkenal dengan seni imaginasi.

Antaranya imej daun Liyawala di sisi kereta berhala yang dipercayai mampu menghalau kejahatan. Imej sejenis makhluk bernama Makara yang menggabungkan enam elemen tubuh badan penting haiwan iaitu belalai gajah, telinga khinzir, mulut buaya, mata ikan, kaki singa dan badan ikan duyung juga turut dipasang. Imej tersebut juga satu imej mitologi Hinduisme yang mempunyai pengaruh besar terhadap Buddhisme.

Dekorasi lain termasuk bunga-bunga segar, pelita, dan pintu gerbang seperti di bilik pemujaan.

Pegawai Tadbir Kuil Maha Vihara, Hema Jayasinghe, 58, yang akan mengawasi hari Wesak di kuil itu memberitahu, Wesak yang jatuh pada hari Jumaat, hujung minggu, akan menerima kunjungan lebih ramai penganut. Mereka juga dijangka menyertai perarakan yang akan diadakan pada waktu malam sambutan Wesak.

Kira 30 kereta berhala pelbagai saiz dari kuil Maha Vihara serta kuil-kuil lain akan mengikuti perarakan sepanjang 12 kilometer. "Ia akan melalui Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Petaling, Jalan Yap Ah Loy, Jalan Hang Lekiu, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Abdul Samad dan kembali ke kuil," ujar Hema.

Dalam pada itu, Kuil Buddha Sri Lanka di Sentul pula memilih untuk membina kereta berhala yang ringkas, menggunakan kerja pertukangan sepenuhnya dengan kos yang kecil.

Ketua Paderi kuil tersebut, Ven. B. Sri Saranankara Nayaka Maha Thero ketika ditemui berkata, pihak kuil mengambil keputusan untuk mengadakan sambutan berskala sederhana dari segi dekorasi kereta berhala dan perarakan. Namun berharap supaya penganutnya melebihkan tiga pegangan murni Buddhisme iaitu 'thana' (derma), 'seena' (moral) serta 'bhavna' (meditasi).

"Sambutan Wesak kali ini lebih bersifat keagamaan berbanding festival seperti tahun-tahun lepas. Salah satu sebab, kuil kami hanya bertumpu di sekitar komuniti kecil Sentul di samping tujuan untuk berjimat," kata Saranankara.

Mesra alam

Kereta berhala kuil Sentul itu disiapkan oleh kira-kira 15 hingga 20 orang biarawan tempatan serta Sri Lanka yang datang untuk menyambut Hari Wesak di sini. Mereka merancang menempatkan patung Buddha utama berlatarkan stupa dan dikelilingi sembilan patung kecil dan lapan imej Buddha. Kerja-kerja mengecat, menghias dengan bunga segar dan lampu serta hiasan tambahan yang lain.

"Selama ini kami menggunakan lori untuk mengangkut kereta berhala, tetapi tahun ini kuil memberi peluang kepada penganut menarik sendiri kereta berhala yang siap dipasang dengan roda. Selain jimat dan mesra alam, ia juga untuk memenuhi permintaan penganut yang bernazar untuk menarik kereta berhala," ujar Saranankara.

LEBIH 25,000 penganut dipercayai mengikuti perarakan di samping beratus ribu yang menontonnya.


Dua buah kereta berhala kecil, diangkut oleh 10 orang setiap satu juga disiapkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang menjunjung patung Buddha yang dianggap satu jenis restu.

Tahun ini, Kuil Buddha Sri Lanka merancang mengadakan perarakan malam Jumaat iaitu pada 23 Mei meliputi jarak sekitar lima kilometer sahaja. Saranankara turut menambah elemen kebudayaan Sinhalese yang dipraktik semasa sambutan Wesak hanya kereta berhala dan tarian pooja. Walau bagaimanapun, beliau memberitahu tarian itu hanya satu nilai kebudayaan dan tidak ada dalam ajaran Buddha.

Saranankara juga menekankan pihak kuil sangat tegas dalam memastikan semua makanan pada hari Wesak diderma kepada penganut dan urusan berjual beli dalam premis kuil dihalang.

"Ramai penganut percaya, makanan itu sendiri satu restu daripada Buddha dan kami tidak mahu melibatkan nilai komersial walaupun ia boleh menjana duit," katanya.

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut

Posted:

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut

Myanmar giat memulihara landasan kereta api maut


LANDASAN kereta api di Sungai Kwai kini menjadi tumpuan pelancong asing.


KELIHATAN ramai pelancong sedang menyeberangi jambatan kereta api di Sungai Kwai, di wilayah Kanchanaburi, Thailand. Jambatan itu menjadi terkenal apabila sebuah filem Hollywood mengenainya diterbitkan pada tahun 1957 iaitu The Bridge Over the River Kwai.

Terdapat sebuah tanah perkuburan berhampiran jambatan yang dibina pada era Perang Dunia Kedua itu. Ia merupakan tempat persemadian ribuan tawanan perang yang mati ketika bekerja membina landasan kereta api maut.

Sebagai sebuah negara yang membangun, Myanmar mempertimbangkan untuk membaik pulih kawasan bersejarah Perang Dunia Kedua itu sebagai salah satu tarikan pelancongan. Selain itu, ia juga sebagai langkah membantu pembangunan di kawasan sempadan negara tersebut yang penuh dengan konflik dan kemiskinan.

Peperangan

Seorang petani tempatan, Myat Soe sedang memetik rumpai dan bunga di kawasan berdekatan Tanah Perkuburan Perang Thanbyuzayat di daerah Mon. Ia menempatkan 3,000 tentera bersekutu yang gugur di antara sempadan Myanmar dan Thailand itu.

"Selepas melawat tanah perkuburan ini, manusia pasti tidak mahu peperangan berlaku. Mati di medan perang sememangnya mulia tetapi amat menyedihkan," ujar Soe.

Banyak tugu yang mengandungi tulisan di tanah perkuburan itu dibiayai oleh Suruhanjaya Komanwel Tanah Perkuburan Perang yang beribu pejabat di Britain. Tulisan tersebut berbentuk lirik lagu dan sajak merupakan bukti yang menyayat hati tentang peperangan yang pernah berlaku di sana.

"Kami bukan ke medan perang untuk berpeluk tubuh. Kami meninggal dunia tanpa ucapan selamat tinggal," petikan daripada salah satu tulisan daripada Lans Koperal Sarjan Rejimen Askar Setia, Harry Dawes yang gugur di medan perang pada bulan September, 1943.

Keletihan, kelaparan, penyakit dan diseksa merupakan punca utama kematian askar-askar yang dipaksa oleh tentera Jepun untuk mengorek laluan kereta api melalui hutan tebal dan batu pejal pada Oktober 1942 hingga Disember 1943.

Kira-kira 13,000 tawanan perang yang ditangkap di Singapura, Semenanjung Malaysia dan Indonesia mati ketika pembinaan laluan tersebut. Selain itu, seramai 100,000 orang awam di kawasan tersebut turut dikerah bagi membina landasan kereta api berkenaan.

Seorang veteran dari Australia, Robert Goodwin yang bekerja dengan syarikat Hellfire Pass di sempadan Thai, memberitahu, kesemua yang terlibat dalam pembinaan laluan kereta api itu mengalihkan batu-bata menggunakan tangan.

"Sekiranya seseorang itu melakukan kerja dengan perlahan, mereka bukan sekadar memukulnya dengan tangan dan tukul malah menggunakan cemeti atau apa sahaja yang mereka pegang. Orang Jepun sememangnya kejam," katanya.

Di Thailand, segerombolan pelancong asing dilihat berduyun-duyun ke landasan dan jambatan yang masih beroperasi. Ia juga sama seperti yang digambarkan dalam filem The Bridge Over the River Kwai.

Kanchanaburi terletak kira-kira tiga jam dari Bangkok dan terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara tersebut. Menurut pegawai pelancongan Thailand yang enggan dikenali, negara itu memperoleh pendapatan sebanyak 2.4 juta bath (RM240,597) pada tahun lalu hasil pelancongan di Kanchanaburi.


UPACARA mengingati kematian tentera Perang Dunia Kedua diadakan pada setiap tahun.


Pembangunan pelancongan

Berdasarkan fakta tersebut, Myanmar turut berminat untuk membangunkan kawasan tenggara negara itu sebagai tarikan pelancongan.

Menurut seorang pegawai perkhidmatan kereta api Myanmar, kajian sedang giat dijalankan bagi mengesan laluan dari Thanbyuzayat hingga ke Three Pagodas Pass di sempadan Thai.

Pegawai Lembaga Pelancongan Myanmar, Phyoe Wai Yar Zar memberitahu, kawasan Landasan Kereta Api Maut mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan pelancongan di Myanmar.

Menurutnya, usaha pembangunan itu tidak semestinya fokus pada kisah-kisah lampau di situ. Sebaliknya ia harus mempamerkan warisan penduduk etnik minoriti tempatan.

Bagaimanapun, usaha untuk membangunkan kawasan tersebut turut mengundang keraguan.

Menurut Rod Beattie, pengkaji sejarah yang menjalankan kajian mengenai pembangunan Pusat Kereta Api Kanchanaburi's Thailand-Burma, pembinaan itu merupakan satu usaha yang tidak masuk akal kerana empangan hidro Thailand menghalang laluan asal landasan itu.

Laluan sepanjang 420 kilometer itu merupakan penghubung antara negara Thailand dan Myanmar. Ia digunakan untuk laluan askar Jepun dalam usaha melawan tentera British dan sekutu-sekutunya.

Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Kor Kadet IPK Pulau Pinang sertai perkhemahan

Posted:

Kor Kadet IPK Pulau Pinang sertai perkhemahan

Kor Kadet IPK Pulau Pinang sertai perkhemahan


ABDUL RAHIM (tengah) mendukung salah seorang peserta Perbarisan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-43 Kontinjen Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.


BERKUMPUL. Sebanyak 580 ahli Kor Kadet Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang berkumpul dalam satu perkhemahan sempena Perbarisan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-43 peringkat negeri yang diadakan di Pusat Ko-kurikulum Negeri, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada perkhemahan selama empat hari yang berakhir pada 21 Mei lalu, platun dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah dinobatkan sebagai platun terbaik bagi kedua-dua kategori putera dan puteri.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang hadir pada majlis penutup program itu berkata, kewujudan pasukan Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah bukan sahaja mampu meningkatkan disiplin pelajar tetapi turut mampu mengelak golongan itu daripada terjerumus dalam kegiatan jenayah juvana.

Pelajar UiTM terima diploma

Posted:

Pelajar UiTM terima diploma

Pelajar UiTM terima diploma


SEBAHAGIAN daripada pelajar Sains Komputer UiTM yang menerima diploma di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


GRADUASI. Sebanyak 915 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dianugerahkan diploma dan ijazah mengikut bidang pengajian pada sidang ke-16 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Selain pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, istiadat konvokesyen pada hari itu turut disertai graduan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Muzik yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Istiadat konvokesyen UiTM yang ke-78 diadakan pada 11 hingga 21 Mei lalu merangkumi 17 sidang keseluruhannya telah diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Kumpulan Go Girls mendaki Bukit Broga

Posted:

Kumpulan Go Girls mendaki Bukit Broga

Kumpulan Go Girls mendaki Bukit Broga


KUMPULAN Go Girls dan sebahagian ahli PNGL sebelum mendaki Bukit Broga, Semenyih, Selangor baru-baru ini.


CABARAN. Sebanyak 20 orang ahli kumpulan Go Girls yang bernaung di bawah komuniti Pemilik Nissan Grand Livina (PNGL) mendaki Bukit Broga, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Program pertama kali anjuran kumpulan tersebut bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar sambil melakukan aktiviti yang sihat.

Menurut Penyelaras Program, Syazana Aminolah, mereka mahu membawa satu kelainan dalam aktiviti-aktiviti PNGL yang banyak didominasi golongan lelaki semata-mata.

"Kali ini kita buat sedikit kelainan dengan mengumpulkan ibu-ibu dalam PNGL dan tunjuk kebolehan masing-masing tetapi mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kaum wanita atau ibu yang berminat menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Go Girls bolehlah melayari Facebook PNGL untuk mendaftar keahlian.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tian Chua ditahan polis di LCCT

Posted:

Tian Chua ditahan polis di LCCT

Tian Chua ditahan polis di LCCT

Oleh ZULHILMI JALIL
zulhilmi.jalil@kosmo.com.my

GAMBAR Tian Chua (tengah) ketika ditahan polis di Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang tersebar di internet.


KUALA LUMPUR – Polis menahan Ahli Parlimen Batu daripada parti PKR, Tian Chua di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini tengah hari semalam kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lepas.

Selain Tian Chua, dua aktivis pembangkang lain turut ditahan atas dakwaan sama.

Mereka ialah peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan ahli Pas, Tamrin Ghafar.

Haris Fathillah ditangkap ketika sedang makan tengah hari di Restoran Cina Yu Ai di Segambut, manakala Tamrin pula ditahan di Kafe Chawan di Bangsar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1948.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang untuk diambil keterangan.

"Kita lihat sejauh mana mereka bekerjasama.

"Polis berhak menahan mereka selama 24 jam yang pertama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Adam Adli dihadap ke mahkamah kerana menghasut

Posted:

Adam Adli dihadap ke mahkamah kerana menghasut

Adam Adli dihadap ke mahkamah kerana menghasut


ADAM ADLI (tengah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada minggu lepas.

Adam Adli, 25, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang dengan cara tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam 13 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding, Adam Adli yang berada di dalam kandang tertuduh tanpa digari kelihatan tenang.

Ketika memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebelum perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Harga minyak: Rakyat perlu syukur

Posted:

Harga minyak: Rakyat perlu syukur

Harga minyak: Rakyat perlu syukur

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR, NOR IDAYU BOSRO dan
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada kerajaan kerana mengamalkan sistem apungan terkawal bagi menentukan harga minyak petrol RON97, tetapi memberi subsidi bagi petrol RON95 yang digunakan oleh majoriti rakyat.

Pakar ekonomi, Prof. Amir Baharuddin berkata, komitmen kerajaan mengapungkan harga petrol RON97 pada masa sekarang dan mengawal harga RON95 jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup rakyat.

"Ini membuktikan kerajaan tetap mengutamakan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai penurunan harga petrol RON97 yang disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek kelmarin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Lelaki Poland terima muka baharu

Posted:

Lelaki Poland terima muka baharu

Lelaki Poland terima muka baharu

PEMANDANGAN sisi muka Grzegorz.- AP


WARSAW - Seorang lelaki berusia 33 tahun di Poland menjalani pembedahan pemindahan keseluruhan muka tiga minggu selepas wajahnya cedera akibat kemalangan di tempat kerja, kata beberapa doktor.

Mereka memberitahu, jangka masa tersebut merupakan yang paling pantas pernah dibuat untuk pembedahan seperti itu.

Sebelum ini, pemindahan muka adalah rumit dan memerlukan persediaan rapi dan menyeluruh.

Persediaan itu mengambil masa selama berbulan-bulan sehingga beberapa tahun.

Namun, beberapa doktor berkata, mereka perlu segera melakukan pembedahan tersebut terhadap pesakit berkenaan bagi mengelakkan keadaannya menjadi lebih teruk.

Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Grzegorz menjalani pembedahan tersebut di Pusat Kanser dan Institut Onkologi di Gliwice, Poland.

Dia menjalani pembedahan pemindahan muka dan tulang selama 27 jam pada 15 Mei lalu selepas seorang penderma mahu mendermakan mukanya.

Pembedahan itu bagi memulihkan muka dan tulang rahang soket mata lelaki tersebut.

"Pembedahan ini akan membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan normal," kata seorang ketua pakar bedah yang melakukan pembedahan tersebut, Adam Maciejewski.

"Dia akan bernafas, makan dan melihat seperti orang lain," tambahnya.

Lebih 24 pembedahan pemindahan muka atau sebahagian muka telah dilakukan di seluruh dunia setakat ini.

Pembedahan pertama melibatkan seorang wanita yang digigit anjing peliharaannya pada 2005 di Perancis. - AP

Lelaki Jepun berusia 80 tahun akan tiba di puncak Everest hari ini

Posted:

Lelaki Jepun berusia 80 tahun akan tiba di puncak Everest hari ini

Lelaki Jepun berusia 80 tahun akan tiba di puncak Everest hari ini


GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan Miura berehat selepas dia mendaki untuk menuju ke sebuah kem pada ketinggian 8,000 meter di Gunung Everest.


KATHMANDU - Seorang lelaki Jepun berusia 80 tahun yang mendaki Gunung Everest lima tahun lalu tetapi gagal mencatat rekod untuk menjadi lelaki tertua tiba di puncak dunia telah membuat percubaan buat kali kedua di Nepal semalam.

Warga emas itu, Yuichiro Miura diekori oleh lelaki tempatan berusia 81 tahun yang merupakan pemegang rekod tersebut, Min Bahadur Sherchan mendaki gunung tersebut.

Sherchan yang merupakan bekas askar Gurkha tiba di puncak gunung itu pada 2008 semasa berumur 76 tahun dan 340 hari.

Setakat semalam, Miura berada di zon curam berais yang kurang oksigen dan dia semakin hampir untuk tiba ke puncak gunung setinggi 8,850 meter itu.

Sherchan pula masih berada di bes kem dan bersiap sedia untuk mendaki puncak Everest pada minggu depan.

Di laman webnya, Miura berkata: "Saya mahu mencabar tahap keupayaan diri sendiri. Ia juga satu penghormatan buat ibu pertiwi."

Menurutnya, kejayaan mendaki puncak tertinggi di dunia itu akan meningkatkan lagi tahap pencapaian seseorang individu.

Miura kini berada dalam keadaan baik dan dijangka tiba di puncak Everest pada hari ini.

Namun, rekodnya hanya akan bertahan selama beberapa hari sahaja jika Sherchan dapat menakluki bumbung dunia itu pada minggu depan. - AP

Puting beliung Oklahoma lebih kuat daripada bom atom

Posted:

Puting beliung Oklahoma lebih kuat daripada bom atom

Puting beliung Oklahoma lebih kuat daripada bom atom


DUA orang berjalan di sebatang jalan raya yang dipenuhi dengan serpihan rumah yang ranap di Moore kelmarin.


WASHINGTON - Puting beliung yang melanda negeri Oklahoma pada Isnin lalu menghasilkan tenaga yang jauh lebih kuat daripada bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun.

Bencana tersebut membawa kemusnahan besar selepas ia melanda negeri Amerika Syarikat (AS) itu selama sejam.

Beberapa ahli meteorologi yang dihubungi agensi berita The Associated Press memberitahu, tenaga puting beliung tersebut ialah lapan hingga lebih 600 kali lebih kuat daripada bom atom.

Puting beliung tersebut selebar dua kilometer dan bergerak sejauh 27 kilometer selama 40 minit ketika ia melanda Moore di pinggir bandar Oklahoma.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberikan skala terkuat, EF-5 terhadap taufan itu berdasarkan kelajuan angin dan tahap kemusnahan yang berlaku.

Puting beliung tersebut dianggarkan bertiup selaju 320 kilometer sejam (km/j) hingga 337km/j.

Mengulas bencana tersebut, seorang pakar meteorologi AS, Harold Brooks berkata, kurang satu peratus daripada keseluruhan puting beliung yang melanda AS pada setiap tahun mendatangkan kemusnahan yang besar.

Puting beliung itu meranapkan sejumlah bangunan termasuk sekolah.

Angka kematian rasmi setakat ini ialah 24 orang selepas beberapa pegawai kelmarin menyatakan jumlah kematian mencecah sehingga 91 orang.

"Cuma sekitar 10 puting beliung tergolong ke dalam kategori kuat pernah melanda negara ini pada setiap tahun," kata Brooks.

Menurutnya, faktor iklim seperti angin panas dan kelembapan udara menyebabkan beberapa kawasan di tengah Oklahoma kerap dilanda puting beliung yang kuat.

Brooks berkata, saintis-saintis kini berusaha untuk menentukan sama ada kesan pemanasan global turut mempengaruhi pembentukan puting beliung. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


133,000 MyKad hilang dalam tempoh tiga bulan - Ahmad Zahid

Posted:

133,000 MyKad hilang dalam tempoh tiga bulan - Ahmad Zahid

133,000 MyKad hilang dalam tempoh tiga bulan - Ahmad Zahid

23/05/2013 9:24pm

PUTRAJAYA - Kehilangan 133,000 MyKad dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan jumlah itu agak tinggi, Ahmad Zahid berkata, kehilangan MyKad, walaupun tidak disengajakan, menyebabkan ia boleh diguna untuk tujuan jenayah.

"Apa yang membimbangkan kami ialah jika kehilangan itu mempunyai kaitan dengan sindiket. Kami khuatir MyKad ini diguna untuk pelbagai tujuan terutama jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati ada sindiket terlibat dalam menghilangkan MyKad dan menggunakannya untuk tujuan jenayah dan sebagainya, JPN perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan pemantauan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Saya yakin JPN mampu menyelesaikan masalah itu agar tidak berterusan," katanya.

Ahmad Zahid berkata bayaran denda mungkin akan ditingkatkan terhadap individu yang menghilangkan MyKad selepas ini.

"Saya minta Ketua Pengarah JPN mencadangkan (bayaran denda) kepada KDN dan saya akan bawa ke kabinet untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan daripada kabinet," katanya.

Pada masa ini denda kehilangan MyKad bagi kali pertama ialah RM100, RM200 kali ke-2 dan RM300 bagi kehilangan kali ke-3. - Bernama

Kementerian perlu siasat guru guna laman sosial fitnah kerajaan

Posted:

Kementerian perlu siasat guru guna laman sosial fitnah kerajaan

Kementerian perlu siasat guru guna laman sosial fitnah kerajaan

23/05/2013 8:37pm

KEMAMAN - Kementerian Pelajaran diminta menyiasat kegiatan guru yang menggunakan laman sosial Facebook, Twiter dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memfitnah kerajaan semasa kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai seorang pendidik, guru yang cenderung untuk berpolitik tidak seharusnya menyebarkan fitnah dengan memburukkan kerajaan.

"Saya rasa kesal kerana ada guru-guru yang menggunakan Facebook, Twitter, SMS (sistem pesangan ringkas) dan sebagainya mengeluarkan fitnah dengan memutarbelitkan kepada sesuatu yang tidak benar.

"Seterusnya saya dapat laporan terdapat guru-guru yang mempertikaikan keputusan PRU13 berhubung dakwat kekal, menyatakan ada 'black-out', bawa lari peti undi, bawa masuk pengundi Bangladesh dengan kapal terbang dan sebagainya yang semuanya itu adalah fitnah semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman di sini hari ini.

Ahmad berkata, seorang guru yang berfikiran sedemikian memberi gambaran bahawa golongan pendidik di negara ini belum matang dan mereka seharusnya membuat penilaian terhadap sesuatu berita yang terima atau hendak disampaikan. - Bernama

Ibu bersama anak perempuan maut dalam kemalangan

Posted:

Ibu bersama anak perempuan maut dalam kemalangan

Ibu bersama anak perempuan maut dalam kemalangan

23/05/2013 8:35pm

MUAR - Seorang ibu dan anak perempuannya berusia empat tahun maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah treler di KM 134.9 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, Muar semalam.

Ruzymah Sharin, 39, mati di tempat kejadian manakala anak perempuannya, Nurul Filzah Amirul, 4, mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada 10 pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kemalangan pada pukul 9.35 malam itu turut menyebabkan suami mangsa, Amirul Rashid, 40, dan bayi perempuan mereka berusia lapan bulan cedera ringan.

"Kereta yang pandu Amirul itu datang dari Kota Tinggi menuju ke utara dan melanggar bahagian belakang sebuah lori trelar yang berada di hadapan mereka menyebabkan bahagian depan kereta itu remuk teruk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suami mangsa yang merupakan pesara tentera dan bayi mereka diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Shahadan berkata pemandu treler itu juga cedera ringan dan telah membuat laporan polis hari ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Melangkah ke persada Hollywood

Posted:

Melangkah ke persada Hollywood

Melangkah ke persada Hollywood

"SAYA rasa lebih selesa sekiranya kita berbicara dalam bahasa Melayu sahaja. Lagipun Malaysia dan Indonesia menggunakan satu bahasa yang sama," ujar pelakon Joe Taslim, 31, ketika membuka perbualan bersama Kosmo! menerusi panggilan telefon yang dibuat dari Los Angeles, Amerika Syarikat.

Itu jawapan yang diberikan Joe atau nama sebenarnya Johannes Taslim apabila ditanya sama ada dia mahu perbualan dilakukan dalam bahasa Inggeris atau Melayu ketika temu bual secara eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Joe, ketika ini dia sedang sibuk menjalani promosi filem Hollywood iaitu Fast & Furious 6 yang menampilkan aktor popular seperti Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson dan Luke Evans.

Menceritakan tentang penglibatannya dalam filem tersebut, pelakon kelahiran Palembang, Indonesia itu berkata, semuanya bermula daripada filem lakonannya sebelum ini iaitu The Raid: Redemption yang ditayangkan pada tahun 2011.

"Ia merupakan sebuah filem yang diterbitkan di Indonesia dan turut dipasarkan di Amerika Syarikat. Tanpa dijangka, filem itu mendapat sambutan yang baik di sana.

"Atas kejayaan filem tersebut, salah seorang rakan telah mencadangkan supaya saya menjalani uji bakat untuk filem Fast & Furious 6 dan akhirnya saya berjaya," ujarnya yang membawakan watak sebagai seorang pembunuh upahan bernama Jah.

Mengenai pengalamannya sepanjang berlakon di samping pelakon hebat Hollywood yang lain, Joe meluahkan bahawa ia merupakan kenangan yang amat sukar untuk dilupakan.

Ujarnya, sepanjang menjalani penggambaran di London dan Los Angeles selama empat bulan bermula Ogos hingga November 2012, dia merasakan dirinya begitu kerdil berbanding pelakon-pelakon yang lain.

"Kalau ditanya tentang perbezaan bekerja dengan produksi Indonesia dan Hollywood, sudah tentu budaya kerja yang diamalkan serta teknologi yang lebih hebat.

"Namun begitu, apa yang membuatkan saya lebih kagum apabila para pelakonnya mempunyai sikap rendah diri yang tinggi dan sangat baik dengan pelakon baharu seperti saya," ujar pelakon berusia 32 tahun itu.


JOE di samping aktor Luke Evans yang merupakan antara pelakon penting Fast & Furious 6.


Menurutnya, Fast & Furious 6 juga menjadi batu loncatan buat dirinya untuk terus mengembangkan kerjaya di Hollywood setelah dia mengikat kontrak dengan syarikat pengurusan ICM Partners.

Ujarnya, dengan bernaung di bawah syarikat yang telah menguruskan ramai artis Hollywood popular, peluangnya berkelana di Amerika Syarikat akan menjadi lebih mudah.

"Selepas ini saya akan terlibat dengan beberapa lagi projek bersama produksi di Hollywood dan ini menyebabkan saya terpaksa berulang-alik antara Jakarta dan Los Angeles.

"Bagi saya, ia merupakan satu cabaran yang cukup tinggi, termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga.

"Bagaimanapun, ia bukanlah masalah besar kerana sekarang ini saya mampu berhubung dengan anak dan isteri menerusi telefon atau Skype," ujarnya.

Jelasnya, ketika ini dia mahu membuktikan kepada industri perfileman Hollywood bahawa para pelakon dari Asia Tenggara mampu meraih kejayaan yang besar sekiranya lebih banyak peluang yang diberikan.

Atlet judo

Apabila berbicara tentang karier lakonannya pula, Joe mengakui dia sendiri tidak menyangka untuk bergelar seorang pelakon kerana dia merupakan seorang atlet sukan.

Joe berkata, sebelum ini dia aktif dalam sukan Judo dan pernah mewakili negaranya, Indonesia dalam pertandingan peringkat antarabangsa termasuk Sukan SEA.

"Saya mewakili negara dalam sukan Judo sejak tahun 2001 dan pernah datang ke Kuala Lumpur ketika Sukan SEA. Kemudian saya terpaksa bersara kerana mengalami kecederaan pada tahun 2009.

"Selepas bersara saya mula berjinak-jinak dengan lakonan sehinggalah dua tahun kemudian saya ditawarkan untuk membintangi filem The Raid: Redemption," ujarnya.

Menurut Joe lagi, semasa zaman persekolahan dahulu dia memang sudah meminati bidang lakonan dan setiap minggu akan ke pawagam untuk menonton filem, terutamanya yang bergenre aksi.

"Sejak kecil lagi saya sudah berangan-angan dan mempunyai cita-cita menjadi seorang pelakon. Tidak sangka hasrat itu tercapai dan lebih menggembirakan apabila kini saya dapat menjejakkan kaki ke Hollywood," ujarnya.


AKSI Joe Taslim dalam satu babak Fast & Furious 6.


Kelas lakonan

Memandangkan ketika ini Joe bakal melebarkan sayap di Hollywood, pelakon itu menyatakan dia kini mahu lebih berusaha keras mempertingkatkan mutu lakonannya.

Ujarnya, dalam tempoh terdekat dia mahu mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan lagi cara lakonannya kerana dia tidak mempunyai sebarang asas dalam lakonan.

"Saya lebih dikenali sebagai seorang pelakon aksi menerusi The Raid: Redemption, Dead Mine dan Fast & Furious 6. Namun, saya tidak mahu terlalu stereotaip dan terikat dengan satu-satu genre.

"Bukannya mahu terlalu selektif atau mula rasa bangga kerana karier lakonan yang semakin berkembang, cuma tidak mahu kemampuan lakonan saya sekadar filem aksi sahaja," ujarnya.

Menurutnya, dia lebih berminat sekiranya ditawarkan berlakon dalam sesebuah karya yang berbentuk kekeluargaan atau romantik serta memegang watak yang lebih ringan.

"Tidak dinafikan pemilihan saya dalam filem bergenre aksi kerana mempunyai kelebihan dan asas dalam seni mempertahankan diri.

"Namun begitu, ia tidak bermakna saya akan berlakon filem aksi selama-lamanya. Sebagai pelakon saya pasti mahu mencuba pelbagai lagi watak dan tidak terikat dengan satu-satu karakter sahaja," ujarnya mengakhiri bicara.

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Posted:

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


HATTAN mahu kembali rujuk dengan bekas isterinya, Arianie selepas bercerai selama lapan tahun.


GAGAL dua kali dalam perkahwinan, penyanyi Biso Bonar, Datuk Hattan tidak pernah serik untuk berkahwin lagi malah, pemilik sebenar nama Mohd. Shukri Shahabudin itu bakal berkahwin semula dengan bekas isteri pertamanya iaitu Arianie Mohd. Abidin.

Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.

Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hattan selanjutnya berhubung perancangan pernikahannya bersama Arianie, selain mengenai projek terbaharunya bersama seorang rapper terkenal.

KOSMO: Bilakah anda bakal berkahwin dengan bekas isteri?

HATTAN: Saya rancang ingin menikahi dia (Arianie) pada 15 Ramadan ini. Tetapi saya ada juga terfikir untuk melangsungkan perkahwinan pada hari jadi anak kami, Adam, iaitu 21 Ogos.

Jadi manakah tarikh yang menjadi pilihan kalian?

Saya lebih suka kami berkahwin pada 15 Ramadan sebab mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama. Lagipun lebih elok jika kami berkahwin pada bulan Ramadan.

Boleh kongsikan persiapan perkahwinan anda?

Majlis sederhana sahaja. Tiada hantaran pun. Tetapi mungkin ada majlis makan-makan.

Kenapa bekas isteri menjadi pilihan semula?

Saya tidak jumpa wanita lain yang boleh dijadikan isteri. Kami juga sudah serasi bersama. Seluruh keluarga saya juga tidak mahu orang lain selain dia (Arianie).

Apakah harapan melalui perkahwinan kedua anda bersama Arianie?

Kami mahu lupakan perkara silam dan buka lembaran baharu untuk hidup bersama.

Apa kata Adam bila anda ingin berkahwin semula dengan ibunya?

Budak lelaki yang paling bahagia. Bila saya cakap mahu kahwin dengan ibunya semula, dia cuma cakap okay. Tetapi saya tahu dia sangat gembira.

Adam kini sudah berusia 15 tahun. Tidakkah dia mengikuti jejak langkah anda sebagai penyanyi?

Dia (Adam) suka muzik. Saya sokong apa juga keinginannya pada masa depan. Cuma kalau boleh saya mahu dia tumpukan pada pelajaran dan peroleh ijazah dahulu. Sebabnya, saya ini tiada ijazah jadi saya mahu lihat anak saya mempunyai ijazah.

Sudah lama tidak mengeluarkan sebarang single, apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang muzik?

Saya diberitahu yang Waris Rembau Most Wanted sangat meminati dan ingin berduet dengan saya. Saya setuju dan kini sedang dalam proses merakamkan lagu bersama dia (Waris) untuk dua buah lagu.

Apakah judul lagunya dan siapakah penciptanya?

Ada dua lagu iaitu daripada Waris sendiri dan Datuk M. Nasir. Lagu saya dengan Waris itu berjudul Ke Jelobak Ke Jolobu (nama tempat di Negeri Sembilan), manakala lagu M. Nasir itu masih belum mempunyai judul.

Anda seorang penyanyi otai. Adakah anda begitu selektif dalam pemilihan pasangan duet ataupun lagu?

Saya tengok Waris seorang penyanyi muda yang sangat kreatif. Saya percaya 300 peratus kreativiti dia.

Beralih pada soalan lain, ramai orang yang mengatakan begitu sukar untuk mengetahui perkembangan diri anda sama ada mengenai hal peribadi ataupun kerjaya seni anda? Adakah diri anda terlalu eksklusif?

Saya memang seorang yang tidak mengikuti perkembangan teknologi. Jadi, sehingga kini saya tidak mempunyai akaun Facebook atau Twitter. Pernah jugalah ada akaun Twitter sekejap, tetapi saya rasa bosan dan rimas lalu menutup akaun Twitter tersebut. Bagus juga saya tidak terlalu terdedah kepada peminat, sebab jika saya muncul nilai saya akan naik (ketawa).

Lee Seung-gi ingin jadi jahat

Posted:

Lee Seung-gi ingin jadi jahat

Lee Seung-gi ingin jadi jahat


LEE SEUNG-GI


PENYANYI, pengacara dan pelakon popular yang sentiasa tampil dengan imej bersih baik di layar kaca mahupun pada pandangan masyarakat, Lee Seung-gi berhasrat untuk bertukar menjadi jahat.

Katanya pada sidang media drama Gu Family Book baru-baru ini, dia teringin untuk memegang watak jahat pada masa hadapan.

"Saya ingin cuba memegang watak jahat pada masa depan bila saya sudah lebih berusia dan ingin menang anugerah.

"Aura dan pengalaman sangat penting sebab itu saya fikir saya mencuba watak jahat pada usia lewat 30-an atau 40-an," katanya yang kini berusia 26 tahun.

Sebelum ini pelakon tersebut telah memegang watak sebagai putera dalam drama The King 2 Hearts, watak pelajar dalam drama My Girlfriend is a Gumiho dan watak lelaki kaya dalam drama Shining Inheritance.

Kebanyakan wataknya menampilkan imej comel dan baik. Disebabkan itu, Seung-gi cemburu melihat lakonan yang diberikan aktor Yoo Dong-geun dalam drama tersebut.

"Kadangkala saya cemburu melihat Dong-geun membawakan wataknya yang mendapat kritikan dan perhatian ramai," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved