Khamis, 9 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

Posted:

Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

BILIK darjah mereka hanya beralaskan tikar getah yang dihampar di bawah landasan kereta api yang ditinggikan. Papan hitam yang digunakan untuk mengajar ialah segi empat tepat yang diwarnakan hitam di dinding konkrit.

Guru mereka pula terdiri daripada pemilik kedai dengan tidak mempunyai latihan formal, tetapi berkeyakinan bahawa pendidikan adalah satu-satunya harapan mereka.

Suasana di dalam 'kelas' itu agak meriah. Di satu sudut, sekumpulan kanak-kanak kelihatan tekun menyiapkan kerja masing-masing. Ada yang menulis, ada yang membaca dan ada juga yang berbincang sesama sendiri.

Sesekali ada yang mengangkat tangan untuk bertanya kepada guru yang berada di hadapan mereka. Selain itu, terdapat beberapa murid menyalin nombor yang tertulis di papan hitam.

Bagi sebahagian daripada berpuluh-puluh anak-anak pekerja asing miskin di bandar New Delhi ini, sekolah terbuka itu sahaja yang mereka ada walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Malah, mereka yang pernah belajar di sekolah-sekolah kerajaan yang sentiasa sesak turut datang ke sana semata-mata untuk menuntut ilmu.

Akta Hak Pendidikan India yang dijanjikan percuma, mewajibkan persekolahan kepada semua kanak-kanak berusia antara enam hingga 14 tahun, sepatutnya berkuat kuasa sepenuhnya pada 31 Mac lalu.

Sekolah tidak formal

Bagaimanapun, berjuta-juta kanak-kanak masih tidak mahu ke sekolah dan ramai yang melakukannya hanya untuk pendidikan rendah.

Setiap pagi, lebih 50 kanak-kanak akan berkumpul di bawah jambatan selama dua jam untuk belajar daripada sekolah tidak formal kendalian Rajesh Kumar.

Mereka akan menyapu rata kotoran dan membentang tikar untuk duduk, hanya beberapa meter dari kawasan semak terdapat beberapa lelaki telah membuang air besar sebelum itu.

Pelajar yang bersekolah berusia antara empat hingga 14 tahun. Mereka mempelajari semuanya daripada asas membaca dan menulis sehingga kepada Teorem Pythagoras.


KUMAR (kiri) sentiasa membantu pelajarnya dalam menyelesaikan masalah berkaitan subjek yang tidak difahami.


Sekolah bawah jambatan Kumar merupakan bukti semangat untuk belajar dalam kalangan mereka yang sama ada ketinggalan sistem persekolahan atau kecewa dengannya, masih ada.

Kumar berkata, satu hari pada tahun 2008, dia ternampak sekumpulan kanak-kanak bermain kotor ketika berjalan menuju ke stesen kereta api. Kemudian, dia bertanya kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut mengapa mereka tidak berada di sekolah.

Jawab mereka, sekolah terlalu jauh dan anak-anak perlu melintasi lebuh raya berbahaya untuk sampai ke sana. Jika Kumar mengambil berat tentang pendidikan mereka, dia harus mengajar anak-anak tersebut.

Keesokan hari, Kumar datang kembali untuk mengajar buat kali pertama kepada lima orang kanak-kanak yang begitu teruja untuk belajar. Dalam tempoh enam minggu, kelasnya bertambah kepada 140 pelajar.

Kebanyakan pelajar Kumar merupakan anak-anak pekerja pembinaan, pemandu beca, buruh ladang dan peniaga jalanan serta pekerja asing miskin yang datang ke bandar kerana peluang pekerjaan di kampung mereka lebih teruk.

"Ramai ibu bapa yang buta huruf dan tidak mampu menulis nama mereka. Justeru, untuk mengubah masa hadapan kanak-kanak ini, pendidikan adalah satu-satunya senjata yang sangat berharga.

"Jika mereka pergi ke mana-mana sahaja di dunia ini, jika mereka mempunyai pendidikan, apa sahaja boleh dicapai. Tanpa pendidikan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa," tegas Kumar.

Seorang dermawan India yang melihat esei bergambar Associated Press di sekolah, telah memberi kanak-kanak yang belajar di situ stoking, kasut dan beg Angry Birds.

Dia mengupah pekerja untuk membersihkan tanah di kawasan bawah jambatan dan membelikan tilam getah untuk mereka.

Kumar, 42, yang mengajar pada hari Isnin hingga Sabtu dan tidak memberi cuti, berdiri di sebelah papan hitam dan dalam nada suara berlagu, dia mengajar pelajarnya dalam menyelesaikan masalah Matematik.

Dia akan memanggil pelajar ke dinding untuk membuat latihan kira-kira mudah dan dengan lembut mengusap pipi Pammi, seorang kanak-kanak perempuan apabila dia berjaya menjawab dengan betul. Kemudian, Pammi berlari ke tempat duduknya dengan wajah berseri-seri tanda puas hati.

Setiap beberapa minit, kereta api akan melintasi kawasan tersebut, namun mereka yang berada di bawah jambatan itu tidak menghiraukan bunyi bising yang terhasil.

Pelajar celik huruf

Pammi yang kini berusia 12 tahun, seperti kanak-kanak miskin India yang lain, hanya menggunakan satu nama. Dia sebelum ini buta huruf dan tidak pernah bersekolah sehinggalah dia datang ke sekolah Kumar kira-kira enam bulan lalu.

"Kini, saya sudah boleh membaca dan menulis," ungkapnya sambil tersenyum.

Seorang lagi pelajar, Nishu, 5, pergi ke sekolah kerajaan selama sebulan, tetapi menangis sepanjang masa dan memberitahu ibu bapanya bahawa cikgu telah memukulnya.


MESKIPUN belajar dalam keadaan serba kekurangan, para pelajar sekolah ini tetap bersemangat untuk menuntut ilmu.


Selain itu, dia juga terpaksa melintas lebuh raya untuk sampai ke sekolah.

"Bimbang dengan keadaan itu, keluarganya mengambil keputusan supaya Nishu berhenti sekolah dan menghantar ke sini," terang neneknya, Rekha, 60, yang menjual sayur-sayuran dari bakul yang dijunjung di kepala.

"Cucu saya sangat bijak. Saya tidak mahu di pergi ke mana-mana. Saya mahu dia belajar menulis dan membaca di sini."

Selain mengajar, Kumar juga berusaha mendaftarkan para pelajarnya di sekolah-sekolah kerajaan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang lebih baik.

Sejak lima tahun lalu, 130 daripada pelajarnya telah dimasukkan ke sekolah yang berlandaskan sistem pendidikan negeri.

"Di sana, mereka boleh mendapat pendidikan sempurna hingga ke peringkat ijazah. Di sini, saya tidak boleh memberikan semua itu pada mereka," tuturnya.

Ironinya, kebanyakan pelajar yang dihantar ke sekolah tersebut, akan datang semula untuk belajar dengan Kumar.

Perkara ini diakui oleh Bharat Mandal, seorang remaja berusia 15 tahun yang akan bangun pada pukul 3 pagi setiap hari untuk membantu ibu bapanya di ladang bunga ros selama empat jam.

Selepas itu, dia akan ke sekolah kerajaan di sebelah tengah hari. Bagaimanapun, pada sebelah pagi dia akan mengambil masa hadir ke sekolah Kumar.

"Saya dapat jawapan terhadap semua soalan saya di sini. Di sekolah, terdapat ramai pelajar dan guru-guru pula hanya datang kemudian pergi. Jadi, banyak soalan saya tidak terjawab," luahnya.

Kumar bak Dewa

Sementara itu, seorang ibu kepada empat orang anak, Noorbano, 32, mengakui dia gembira dan bersyukur dengan inisiatif Kumar menubuhkan sekolah tersebut.

"Bagi anak-anak saya, mereka menganggap Kumar sebagai Dewa kerana jasanya yang tidak terhingga," terang Noorbano sambil mengalirkan air mata.

Dalam pada itu, Kumar bimbang projek yang dilakukannya akan terjejas kerana pertambahan pelajar di sana membuatkan dia memerlukan lebih ramai guru sukarela. Namun, dia tidak tahu di mana untuk mendapatkannya.

Lebih teruk lagi, sekolahnya juga tidak berdaftar dan dibangunkan di atas harta kereta api.

"Apabila saya diminta untuk meninggalkan tempat ini, tidak dapat tidak, saya perlu akur. Buat masa ini, kanak-kanak masih belajar. Saya tetap akan mengajar selagi mana ia boleh dilakukan.

"Setiap kesempatan waktu yang ada ini, akan saya manfaatkan sebaik mungkin," ujar lelaki budiman itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Sembang Santai Perpaduan erat hubungan penduduk

Posted:

Sembang Santai Perpaduan erat hubungan penduduk

Sembang Santai Perpaduan erat hubungan penduduk


SEBAHAGIAN penduduk yang menyertai program Sembang Santai Perpaduan KRT di Kondominium Mutiara Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.


PERPADUAN. Program Sembang Santai Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Blok B dan Blok E di pekarangan Kondominium Mutiara Bandar Perda, Bukit Mertajam berlangsung dengan meriah di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kira-kira 300 penghuni dari kedua-dua kawasan menghadiri program tersebut yang bertujuan mewujudkan komuniti yang harmoni dan saling mengenali antara satu sama lain sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Othman Saad ketika merasmikan program itu berkata, usaha yang sama perlu dicontohi oleh KRT lain.

"Penting bagi setiap penduduk KRT untuk peka dengan isu-isu semasa dan sentiasa ambil tahu masalah sosial, alam sekitar dan jenayah," katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan, Fatimah Ahmad dan Penggerak Perpaduan Masyarakat daerah SPT, Mohd. Fauzi Hussin.

Pelajar UKM sertai PPKI di SMK Sungai Manggis

Posted:

Pelajar UKM sertai PPKI di SMK Sungai Manggis

Pelajar UKM sertai PPKI di SMK Sungai Manggis


SEBAHAGIAN pelajar UKM bergambar selepas menyertai PPKI di SMK Sungai Manggis, Banting, Selangor baru-baru ini.


PENGALAMAN. Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) teruja dengan pengalaman mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manggis, Banting, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Bertemakan Program Transisi Kerjaya, pelajar tahun tiga itu turut berpeluang merasai pengalaman menguruskan pelajar berkeperluan khas dalam pengisian program termasuk simulasi masakan dan jualan.

Kerjasama yang diadakan bersama Jabatan Pelajaran Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pemulihan Dalam Komuniti Bukit Changgang, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pusat Giat Mara itu juga dilihat mampu mendedahkan pelajar mengenai alam pekerjaan serta memberi peluang merasai pengalaman bekerja.

Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan daripada pelajar seperti nyanyian solo, tarian, sajak dan koir.

NIOSH, SK Kantan Permai anjur kempen keselamatan jalan raya

Posted:

NIOSH, SK Kantan Permai anjur kempen keselamatan jalan raya

NIOSH, SK Kantan Permai anjur kempen keselamatan jalan raya


LAM THYE (tengah) bersama guru dan sebahagian murid-murid SK Kantan Permai menunjukkan isyarat bagus pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya 2013 di Kajang, Selangor baru-baru ini.


KESEDARAN. Sebanyak 1,600 pelajar dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kantan Permai, Kajang, Selangor menyertai kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat sekolah bagi meningkatkan kesedaran keselamatan di jalan raya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelajar sekolah didedahkan dengan kempen keselamatan jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Penganjuran kempen ini adalah satu langkah bijak kerana kesedaran para pelajar mengenai kepentingan keselamatan jalan raya adalah amat penting.

"Keselamatan jalan raya bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah. Jika para pelajar tidak mempunyai pengetahuan mengenai keselamatan di jalan raya ia boleh mengundang bahaya," ujarnya.

Kempen berkenaan mendapat kerjasama daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor, Jabatan pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Perbadanan Putrajaya.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena kempen tersebut seperti pameran, demonstrasi penunggang basikal berhemah dan ceramah mengenai keselamatan jalan raya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Parti Golkar kembang sayap di Malaysia

Posted:

Parti Golkar kembang sayap di Malaysia

Parti Golkar kembang sayap di Malaysia

ABURIZAL (berdiri, tengah) bersama sebahagian masyarakat Indonesia yang tinggal di Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Parti tertua Indonesia, Golkar menjalankan kempen awal untuk menghadapi pilihan raya Indonesia tahun depan dengan mendekati rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia.

Ketua Umumnya, Aburizal Bakrie yang berada di Malaysia selama dua hari bermula Ahad lalu cuba memperkukuhkan kedudukannya sebagai calon Presiden Indonesia bagi parti berkenaan seperti diputuskan mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu tahun lalu.

Menurut Aburizal, kehadiran beliau ke Malaysia menunjukkan Golkar serius mendekati rakyat Indonesia dan membantu mereka walaupun berada di luar negara, seterusnya melayakkan parti itu mendapat mandat sebagai kerajaan.

Katanya, masyarakat Indonesia di Malaysia yang berjumlah lebih dua juta orang seharusnya mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya republik itu dengan mengundi secara pos. Beliau berharap lebih ramai akan berbuat demikian berbanding hanya 150,000 orang pada tahun 2009.

"Selepas ini, Golkar melalui Ketua Parti Golkar Luar Negara (PGLN) Malaysia-Brunei, Musthafa Bakri akan ke Hong Kong, Jepun, Korea dan meminta perwakilan Golkar di sana untuk memberitahu masyarakat Indonesia mengenai rancangan Golkar jika memenangi pilihan raya dan pilihan raya Presiden Indonesia nanti," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tak sempat tanam mayat budak

Posted:

Tak sempat tanam mayat budak

Tak sempat tanam mayat budak

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
berita@kosmo.com.my


Nur Amyliana Shuhada


KLANG – Seorang kanak-kanak menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila mayatnya bukan sahaja dibuang di kawasan tempat letak kereta, malah mangsa disyaki dirogol oleh penjenayah tidak berhati perut dalam kejadian di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini kelmarin.

Mayat Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor, 11, yang cuba ditanam pembunuhnya ditemui terbaring oleh seorang gadis di kawasan lapang di situ pada pukul 10.30 malam sebelum dia menghubungi polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar bermain pada pukul 12 tengah hari dan tidak pulang sehingga malam.

Jarak antara rumah keluarga mangsa dengan tempat kejadian kira-kira 200 meter.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan ke atas tubuh mangsa menemui kesan pendarahan pada kemaluannya.

"Kita mengesyaki mangsa telah dirogol berdasarkan kesan pendarahan tersebut dan percaya kanak-kanak itu dibunuh di tempat lain sebelum diletakkan di tempat letak kereta ini.

"Polis turut menjumpai alat penyodok tanah berhampiran tempat mangsa ditemui dipercayai digunakan untuk menanam mangsa tetapi mungkin tidak sempat apabila ada orang melalui kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan lanjut kemudian telah menahan dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun di sekitar kawasan tersebut pada pukul 6 pagi semalam bagi membantu siasatan kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Operasi dalam banglo mewah

Posted:

Operasi dalam banglo mewah

Operasi dalam banglo mewah

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my


ANGGOTA dan pegawai polis memerhatikan sebahagian daripada 85 individu yang diberkas kerana terlibat dalam kegiatan penipuan di Kuching semalam.


KUCHING – Tindakan satu sindiket Macau Scam menjadikan sebuah banglo mewah sebagai pusat untuk menjalankan kegiatan penipuan antarabangsa sejak Februari lalu terbongkar apabila diserbu di Jalan Green dan Jalan Bampfylde di sini semalam.

Serbuan pukul 10.30 pagi itu berjaya menahan 85 individu berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang terdiri daripada warga China, Taiwan dan seorang lelaki tempatan selepas polis mendapat maklumat daripada pihak berkuasa dari dua negara tersebut.

Daripada jumlah itu, 48 merupakan lelaki manakala bakinya wanita.

Sumber berkata, banglo itu dijadikan sebagai pusat panggilan untuk menghubungi mangsa yang rata-ratanya terdiri daripada warga asing.

"Modus operandi suspek itu ialah menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank republik China sebelum memberitahu akaun mereka terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram.

"Suspek kemudian akan mengarahkan mangsa memindahkan wang ke dalam akaun tertentu. Bagi meyakinkan mangsa, seorang lagi ahli sindiket akan menghubungi mangsa yang sama dengan menyamar sebagai anggota polis atau pegawai bank dan memberikan arahan yang serupa," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Smashies Burger bertapak di Malaysia

Posted:

Smashies Burger bertapak di Malaysia

Smashies Burger bertapak di Malaysia

RESTORAN Smashies Burger menjanjikan hidangan yang menyelerakan.


PERNAHKAH anda melihat burger dengan padanan warna roti selain perang?Jika tidak, anda pasti teruja untuk mencuba burger di restoran Smashies Burger yang baru dibuka pada Mac lalu di Metro Genting, Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur.

Restoran Smashies Burger menawarkan lima jenis roti yang terdiri daripada perisa bamboo charcoal yang berwarna hitam, pandan (hijau), oren dan dal (kuning) serta red east (merah).

Bukan itu sahaja, bagi mereka yang hanya makan sayur-sayuran, restoran Smashies Burger menyediakan menu burger portobella yang berinti cendawan gedang untuk memenuhi permintaan para pelanggannya.

Fenomena burger

Pemilik restoran Smashies Burger, Soh Meng Hui berkata, konsep jenama burger tersebut baru diperkenalkan di Malaysia diinspirasikan daripada fenomena burger daging hancur yang terkenal di New York, Amerika Syarikat.

"Restoran Smashies Burger ini merupakan cawangan yang pertama dibuka di Malaysia, kami menawarkan pilihan burger dalam bentuk set atau mengikut kehendak pelanggan.

"Pelanggan boleh memadankan roti kegemaran mereka dengan daging segar yang diimport dari Australia, ayam atau cendawan gedang," katanya pada majlis pra-pelancaran Smashies Burger baru-baru ini.

Selain burger, restoran tersebut juga menghidangkan kentang goreng dan minuman ringan kepada pelanggan.


BURGER dengan pilihan roti Bamboo Charcoal (kanan) dan Oren sedia untuk dimakan.


Terdapat dua saiz burger yang disediakan iaitu saiz biasa dan baby bun yang bersaiz separuh daripada saiz burger biasa khas untuk kanak-kanak dan pelanggan yang gemar makan dalam kuantiti kecil.

Sebiji burger yang dijual di restoran Smashies Burger berharga antara RM10.99 hingga RM18.99.

Menurut Meng Hui, pekerjanya menggunakan mesin khas untuk menghancurkan daging tersebut dan tiada pengawet digunakan.

Seorang pelanggan, Fakhrul Razi Zahari, 24, menyukai rasa Smashies Burger yang enak.

"Dagingnya masih berjus dan secukup rasa membezakan burger ini daripada burger lain yang pernah saya makan.

"Pelanggan juga mempunyai banyak pilihan dan menariknya mereka yang hanya memakan sayur-sayuran juga boleh berkunjung ke sini," ujarnya. - NADIA SHAIFUL BAHARI

Cinta selepas kematian isteri

Posted:

Cinta selepas kematian isteri

Cinta selepas kematian isteri

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


FILEM 99 Kali Rindu banyak menampilkan plot yang bermain dengan emosi.


MENARIK pada minggu ini, sebuah filem romantik Islamik berjudul 99 Kali Rindu lakonan mantap Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan Fizo Omar.

Filem arahan Azhari Mohd. Zain itu menceritakan kehidupan Attar selepas kematian isterinya, Saidatul Nafisa yang kemudiannya telah bertemu dengan dua orang wanita lain, Fatin Qalbie dan Zazlena.

Selain itu, Layar Perak minggu ini juga menampilkan sebuah filem aksi ngeri berjudul Vehicle 19. Filem itu membariskan Paul Walker dan Naima McLean sebagai tonggak utama.

Turut menemui penonton, filem berbahasa Mandarin lakonan hebat Chu Ko Liang berjudul David Loman.

Menerusi filem itu, David yang berasal dari sebuah keluarga sederhana secara tidak sengaja telah terbabit dengan dunia jenayah dan dilantik menjadi ketua kumpulan samseng.

Bagaimanapun, tanpa disangka-sangka David didatangi suara aneh yang memintanya supaya lebih berjaga-jaga. Apakah tindakan yang akan dilakukan oleh David selepas ini?

99 Kali Rindu

Tarikh tayangan: 9 Mei 2013

Genre: Romantik

Durasi: 1 jam 40 minit

Pengarah: Azhari Mohd. Zain

Pelakon: Aeril Zafrel, Wawa Zainal, Adey Syafrien, Fizo Omar, Diana Amir dan Siti Aziz

Sinopsis: Filem 99 Kali Rindu menceritakan kisah lelaki bernama Attar yang baru kematian isterinya, Saidatul Nafisa. Selepas kehilangan isterinya, Attar mengambil keputusan berhijrah untuk menghilangkan kesedihan yang ditanggungnya. Namun, dalam penghijrahannya itu dia bertemu dua wanita iaitu Fatin Qalbie dan Zazlena.

Pertemuan antara Attar dan Zazlena berlaku sewaktu Attar menyeberangi jalan. Ketika itu Zazlena memandu kereta dengan laju dan melanggar Attar.

Rasa bersalah Zazlena menyebabkan Attar dirawat di rumahnya sehingga sembuh. Pada masa yang sama, Miqdad abang Zazlena telah menceritakan kepada Attar mengenai penyakit dihadapi adiknya.

Fatin Qalbie, seorang DJ radio pula diserang orang yang tidak berpuas hati dengannya. Namun, Fatin Qalbie bernasib baik kerana Attar menyelamatkannya. Sejak pertemuan itu timbul bibit rindu Fatin Qalbie terhadap Attar. Akhirnya siapakah yang akan bertakhta di hati Attar atau adakah Hilma Aqila datang menuntut cintanya kembali?

Vehicle 19

Tarikh tayangan: 9 Mei 2013

Genre: Ngeri

Durasi: 1 jam 25 minit

Pengarah: Mukunda Michael Dewil

Pelakon: Paul Walker, Naima McLean dan Gys de Villiers

Sinopsis: Filem Vehicle 19 adalah sebuah filem aksi berlatarbelakangkan negara Afrika Selatan. Filem lakonan Paul Walker itu mengisahkan Michael Woods yang baru keluar dari penjara dan secara tidak sengaja telah diberikan sebuah kereta sewa yang salah. Dia hanya menyedarinya selepas mendapati seorang perempuan bernama Rachel (Naima McLean) berada di bonet belakang keretanya dengan tangan terikat. Rachel adalah seorang individu yang bertanggungjawab dalam satu kes perbicaraan berhubung kes rasuah pihak polis. Secara tidak langsung, Paul perlu menolong Rachel daripada diburu dan pada masa yang sama perlu membersihkan namanya.

David Loman

Tarikh tayangan: 9 Mei 2013

Genre: Aksi, komedi

Durasi: 1 jam 38 minit

Pengarah: Chiu Li-kwan

Pelakon: Chu Ko Liang, Tony Yang, Amber Kuo

Sinopsis: David Loman seorang lelaki biadap yang secara tidak sengaja menjadi ketua samseng. Sepuluh tahun berlalu dan kehidupannya normal dengan hanya menyelesaikan masalah harian orang ramai selain mendapat yuran perlindungan. Sehinggalah pada suatu hari muncul satu suara memberitahu David bahawa dia perlu berwaspada dengan kemungkinan buruk pada masa akan datang.

Zanjeer

Tarikh tayangan: 10 Mei 2013

Genre: Aksi

Pengarah: Apoorva Lakhia

Pelakon: Ram Charan Teja, Priyanka Chopra, Sanjay Dutt, Prakash Raj dan Mahi Gill

Sinopsis: Dengan kos mencecah AS$14 juta (RM42 juta) Zanjeer merupakan sebuah filem yang dilakonkan semula dalam versi baharu berdasarkan filem dengan tajuk dan jalan cerita yang sama pada tahun 1973. Diarahkan oleh Apoorva Lakhia, Zanjeer dibintangi Ram Charan Teja yang berlakon sebagai watak utama Bollywood untuk kali pertama. Heroin jelita, Priyanka Chopra pula memainkan watak wanita utama. Menariknya filem bertemakan aksi itu turut dipersembahkan dalam dua bahasa serentak iaitu Hindi dan Telugu.

Ia mengisahkan mengenai seorang lelaki, Vijay yang mahu membalas dendam atas pembunuhan kedua-dua ibu bapanya semasa dia kecil. Tidak mengenali wajah pembunuh tersebut, Vijay bagaimanapun masih mengingati loket tertulis Zanjeer yang tersemat di leher pembunuh itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Lapan maut kapal kargo rempuh menara

Posted:

Lapan maut kapal kargo rempuh menara

Lapan maut kapal kargo rempuh menara

SEBUAH kren digunakan untuk memindahkan runtuhan menara kawalan di Pelabuhan Genoa.


GENOA - Sebanyak lapan orang dikhuatiri mati selepas sebuah kapal kargo hilang kawalan lalu melanggar menara kawalan di Pelabuhan Genoa di sini semalam.

Pelabuhan Genoa merupakan yang paling sibuk di Itali.

Menara setinggi 50 meter itu runtuh dalam pelanggaran itu yang berlaku pada waktu malam.

Pihak bomba berkata, beberapa orang tercampak ke dalam air, manakala sebahagian lagi terperangkap di dalam sebuah lif yang terjunam ke dalam laut.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang lelaki berusia 50 tahun dari bawah runtuhan menara itu 12 jam kemudian.

Mangsa kini dirawat di hospital.

Setakat ini, sebanyak tujuh mayat ditemui di dalam laut oleh pasukan penyelam dengan seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Ketika kejadian, kapal kargo Jolly Nero sedang bergerak dengan mematuhi protokol pelayaran ke arah menara kawalan tersebut. Kapal itu sepatutnya membelok ke arah lautan luas untuk menuju ke bandar Naples.

Namun, Jolly Nero yang dibina pada 1976 itu hilang kawalan dan merempuh menara kawalan.

"Tidak banyak yang kami tahu tentang punca kemalangan ini. Ia sungguh di luar jangkaan dan sukar untuk diterangkan," kata Daniele Bo yang merupakan jurucakap pemilik kapal berkenaan, firma Messina & Co.

"Kapal itu membawa beberapa kenderaan industri, sebuah treler dan sejumlah kontena," tambahnya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa membuka kertas siasatan kemalangan tersebut dan kapten kapal kini ditahan polis untuk disoal siasat.

Kapal tersebut cuma mengalami kerosakan kecil dalam pelanggaran itu.

Jolly Nero merupakan kapal sepanjang 200 meter dengan lebar 30 meter dan boleh membawa muatan melebihi 40,500 tan. - AFP

Selipar terbuang dikitar semula jadi barang bernilai

Posted:

Selipar terbuang dikitar semula jadi barang bernilai

Selipar terbuang dikitar semula jadi barang bernilai


ANAK patung haiwan yang dihasilkan daripada selipar terpakai di Nairobi, Kenya.


NAIROBI, Kenya - Sebuah syarikat kitar semula di sini mengambil inisiatif mengumpul selipar terpakai di sekitar perairan pantai Timur Afrika bagi menghasilkan pelbagai produk kitar semula yang menarik.

Syarikat itu, Kenya's Ocean Sole turut berperanan membersihkan beberapa kawasan pantai di Timur Afrika dan mengumpul barangan terpakai untuk dikitar semula terutama selipar getah.

Pengasas syarikat tersebut, Julie Church berkata, matlamat pihaknya adalah untuk menghasilkan beberapa produk yang bernilai yang boleh dujual semula.

Para pekerja di syarikat itu akan menghasilkan 100 jenis produk berbeza daripada selipar getah yang dikitar semula.

Produk-produk menarik yang dihasilkan ialah replika buatan tangan seperti zirafah, gajah dan babi hutan.

Pada 2008, syarikat tersebut telah menghantar sebuah replika zirafah setinggi 5.4 meter ke Rom, Itali untuk dipamerkan pada satu acara fesyen.

Para pekerja akan membasuh selipar getah yang dikutip dan membaiki barang lusuh tersebut Selipar yang pelbagai warna itu kemudian digam, diukir dan diproses mengikut bentuk yang dikehendaki dan dibasuh sekali lagi sebelum diproses menjadi pelbagai barangan termasuk permainan kanak-kanak. - AP

Angka kematian bangunan runtuh lepasi 800 orang

Posted:

Angka kematian bangunan runtuh lepasi 800 orang

Angka kematian bangunan runtuh lepasi 800 orang


ANGGOTA penyelamat dan askar menggunakan jentera berat untuk membersihkan lokasi bangunan runtuh di Savar, Bangladesh kelmarin.


DHAKA - Angka kematian akibat bencana industri terburuk di Bangladesh melepasi 800 orang semalam selepas pasukan penyelamat mengeluarkan berpuluh-puluh lagi mayat dari bawah timbunan bangunan sembilan tingkat yang runtuh dekat sini bulan lalu.

"Angka kematian kini mencecah 803 orang dengan 790 mayat ditemui di bawah runtuhan dan 13 mangsa meninggal dunia di hospital," kata pegawai koordinasi bantuan bencana tersebut, Leftenan Mir Rabbi.

Kira-kira 3,000 pekerja sedang bertugas di dalam Plaza Rana sebelum bangunan itu runtuh.

Bangunan tersebut menempatkan lima buah kilang pakaian yang mengeluarkan jenama terkenal Barat seperti Primark dan Mango.

Pegawai penyelia operasi bencana, Jeneral Siddiqul Alam Sikder berkata, sejumlah 2,437 orang terselamat dalam bencana tersebut yang berlaku di bandar Savar.

Menurutnya, bau busuk mayat-mayat yang masih terperangkap di tingkat bawah bangunan tersebut menandakan angka kematian akan terus meningkat.

"Kami menjangka lebih banyak lagi mayat ditemui memandangkan operasi mencari masih belum sampai ke bahagian bawah bangunan," kata pegawai berkenaan.

Tambahnya, usaha mengenal pasti identiti mangsa menjadi sukar kerana mayat-mayat itu mulai reput. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Azizan akan jalani pembedahan kaki esok

Posted:

Azizan akan jalani pembedahan kaki esok

Azizan akan jalani pembedahan kaki esok

09/05/2013 7:17pm

GEORGE TOWN - Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak akan menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya esok untuk mengelak jangkitan kuman, kata Setiausaha Akhbarnya Mohd. Helmi Khalid.

"Doktor menasihatkan supaya kedua-dua belah kaki Azizan dipotong dari bawah paras lutut. Kedua-dua isteri dan anak-anak beliau akur dengan nasihat itu selepas perbincangan dilakukan," katanya di sini hari ini.

Azizan, 69, yang juga pesuruhjaya Pas Kedah dan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin.

Keadaan beliau yang dilaporkan kritikal semalam kini stabil.

Anggota Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melawat Azizan di Hospital Pulau Pinang meminta semua umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar Azizan cepat sembuh.

Turut menziarah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. - Bernama

Kapten Aston Villa yang menderita leukemia umumkan persaraan

Posted:

Kapten Aston Villa yang menderita leukemia umumkan persaraan

Kapten Aston Villa yang menderita leukemia umumkan persaraan

09/05/2013 7:07pm

LONDON - Kapten Aston Villa, Stilyian Petrov yang sedang bertarung dengan leukemia telah mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak pada hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu disahkan menghidap penyakit itu pada Mac tahun lalu sekali gus memaksanya melupakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Aston Villa, Petrov berkata, "Saya sangat berat hati untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara pada hari ini."

Bekas pemain tengah antarabanga Bulgaria itu akan terus mendapat rawatan pakar untuk melawan penyakit tersebut.

Petrov yang berpindah ke Aston Villa dari Celtic ialah seorang pemain bola sepak popular kerana penyokong tuan rumah akan memberikan tepukan semangat setiap kali perlawanan rasmi kelab itu di Villa Park pada minit ke-19. - AFP

Amerika mahu kekalkan sembilan pangkalan tentera di Afghanistan

Posted:

Amerika mahu kekalkan sembilan pangkalan tentera di Afghanistan

Amerika mahu kekalkan sembilan pangkalan tentera di Afghanistan

09/05/2013 7:06pm

KABUL - Presiden Afganistan, Hamid Karzai yang berikrar untuk memperjuangkan hak bersama Amerika Syarikat (AS) dalam satu rundingan untuk menandatangani perjanjian keselamatan memberitahu bahawa pihak Washington mahu mengekalkan sembilan buah pangkalan tenteranya di negara itu.

Selepas lebih 11 tahun tentera AS melakukan campur tangan hal ehwal Afghanistan, kedua-dua negara itu sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengehadkan jumlah tentera AS selepas gabungan antarabangsa tamat tahun hadapan.

Menurut pegawai AS, jumlah tentera keseluruhannya masih belum mendapat persetujuan rasmi. Jumlahnya berkemungkinan antara 2,500 hingga 12,000 orang askar sahaja kerana sentiment peperangan di Afghanistan semakin tidak popular di AS.

"Kami sedang berusaha secara serius dalam rundingan bersama pihak AS. AS mahukan kepentingan sendiri, mereka mahu sembilan pangkalan tentera di seluruh Afghanistan, dan kami juga mempunyai misi tersendiri," ujar Karzai dalam satu majlis di Universiti Kabul. – AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sokong kesedaran antibuli

Posted:

Sokong kesedaran antibuli

Sokong kesedaran antibuli

IKUT hati mati, ikut rasa binasa. Perumpamaan yang paling tepat menggambarkan situasi kes buli dalam kalangan pelajar sekolah yang tidak pernah surut sejak dulu lagi.

Seolah-olah satu endemik yang menular tanpa sempadan sejajar dengan kepesatan negara membangun, kes buli tidak terlepas dikaitkan dengan faktor pengaruh filem dan drama.

Terbaharu, kes buli yang membabitkan tiga orang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 4 Mac lalu difahamkan ada kena-mengena dengan pengaruh filem Juvana yang telah disiarkan pada awal bulan Februari lalu.

Dibantu dengan laman sosial YouTube, tindakan membelasah seorang pelajar lelaki akibat berang kerana ketua tingkatan itu mahu membuat laporan kepada guru setelah mendapati tiga pelajar itu membawa telefon bimbit ke sekolah itu tersebar dengan lebih pantas.

Menerusi rakaman itu, kedengaran dialog salah seorang pelajar terbabit menyebut sebaris ayat yang diungkapkan oleh watak Sharnaaz Ahmad daripada filem Juvana berbunyi; "Nama aku Lan. Panggil aku Lan Todak."

Mengulas mengenai hubungkait filem Juvana dan kes buli di sekolah, ujar salah seorang pelakon filem itu yang terkenal dengan watak Botak, Johan As'ari, dia kecewa.

Katanya, tanggungjawab harus dimainkan oleh semua pihak untuk menyelesaikan perkara tersebut dan tidak seharusnya menuding jari terhadap satu pihak sahaja.

"Apabila perkara ini terjadi dan dikaitkan dengan saya, rasanya tidak adil. Perkara yang berlaku adalah tanggungjawab bersama dan kes buli contohnya, adalah kes minoriti.

"Majoriti pelajar di Malaysia memang bertaraf baik dan seperti yang diketahui ramai juga antara anak muda berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Cuma apabila perkara yang segelintir ini berlaku, kita tidak boleh biarkan.

"Jika kita biarkan, ia ibarat menjadi nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama Karlos di Restoran Bora Asmara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

PENGARAH drama Karlos, Feroz Kadir (dua dari kanan) bersama barisan pelakon (dari kiri), Nur Fisteena, Syazwan Zulkifli, Johan As'ari dan Jay Iswazir.


Ceramah kesedaran

Tambah Johan, sebagai seorang rakyat Malaysia dia ingin membantu untuk menyelesaikan masalah kerana enggan kejadian sama terjadi kepada keluarganya kelak.

"Saya juga ada pergi ke sekolah hanya suka-suka dan tiada bayaran, untuk memberi ceramah kepada anak-anak muda ini tentang banyak perkara dan memberi kesedaran kepada mereka melalui pengalaman hidup saya.

"Tindakan ini saya buat sebelum tersebar video kes buli itu lagi. Saya sedar saya banyak berlakon watak ganas, dan saya ingin memberitahu kepada mereka di luar sana bahawa itu bukan perwatakan sebenar saya.

"Itu hanyalah lakonan semata-mata. Saya hanya berkongsi pengalaman saya sepanjang jadi pelakon dan azam saya dalam hidup.

"Jadi terpulang kepada mereka jika mahu ikut atau tidak kerana saya akui saya bukan seorang penceramah, saya hanya ingin berkongsi pengalaman hidup," jelas Johan yang kini menjadi duta Dewan Pemuda Masjid Malaysia selepas pulang mengerjakan umrah sebulan lalu.

Pesan Johan kepada remaja yang mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir tidak sihat di sekeliling mereka: "Jauhi perkara yang mendatangkan mudarat pada masa hadapan.

"Walaupun kita punya kelebihan, jangan membuli mereka yang lemah dan haruslah menjadi antibuli. Kita perlu mengambil dan menerapkan nilai yang positif.

"Jika benar ingin menggunakan kemahiran yang ada, masuk kelas yang bertauliah dan pilih guru yang tepat.

"Tidak dinafikan ilmu pertahanan penting dan perlu digunakan di jalan yang benar," kata Johan yang kini bertekad untuk tidak melakonkan babak-babak intim bersama wanita dalam setiap produksi lakonannya.

Hamil kali kedua

Posted:

Hamil kali kedua

Hamil kali kedua

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


KELUARGA bahagia. Rebecca bersama Nor Azam serta tiga anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya ini.


BARU lmelahirkan cahaya mata sulung, Nor Anggun Raverra pada 2 November tahun lalu, pelakon Rebecca Nur Al-Islam kini kembali berbadan dua. Dia dijangka melahirkan anak keduanya itu pada awal bulan Oktober ini.

Perbezaan umur 11 bulan antara kedua-dua anaknya itu bagaimanapun tidak memenatkan pelakon berusia 27 tahun itu sebaliknya dia teruja dan tidak sabar menanti kelahiran anak keduanya itu.

Rebecca berkongsi rasa dengan Kosmo! mengenai kehamilan keduanya itu.

Kosmo!: Tahniah Rebecca kerana mengandung kali kedua. Berapakah usia kandungan anda?

REBECCA: Terima kasih. Kandungan saya sudah masuk 18 minggu (empat bulan lebih).

Bagaimanakah rasanya hamil kali kedua? Ada sebarang alahan?

Sama sahaja seperti ketika mengandung anak sulung dahulu. Cuma di peringkat awal, saya mengalami muntah-muntah tetapi tidak teruk.

Adakah anda mengharapkan untuk mendapat anak lelaki pula selepas memperoleh anak sulung perempuan?

Tidak. Saya tidak kisah anak kedua ini lelaki atau perempuan. Sebabnya, saya sendiri sudah mempunyai anak (dua lelaki dan seorang perempuan) hasil perkahwinan suami saya (Nor Azam Datuk Ismail) sebelum ini.

Berapakah usia anak sulung anda sekarang?

Anggun sudah berusia enam bulan

Sebelum ini, adakah anda jangka bakal mengandung semula dalam masa terdekat?

Ya, saya menjangkakannya kerana saya tidak merancang kehamilan. Saya juga tidak mengambil pil atau memasukkan alat khas ke dalam tubuh untuk merancang kehamilan.

Tidak penatkah anda mengandung lagi sedangkan Anggun baru hendak membesar?

Tidak. Kalau boleh, saya mahu ramai anak sebelum umur mencecah 40 tahun. Selepas itu, baru fikir mahu cari duit banyak-banyak pula.

REBECCA berazam untuk mempunyai ramai anak sebelum usianya mencecah 40 tahun.


Berapa orang anak yang anda mahukan?

Kalau ikutkan suami saya, dia mahu 11 orang anak. Setakat ini, saya sudah ada lima orang anak termasuk tiga orang anak daripada suami sebelum ini. Jadi, cuma tinggal enam orang lagi untuk saya cukupkan permintaan suami. Kalau paling sedikitpun, kami mahu anak seramai tujuh orang.

Tidak takutkah mahu melahirkan sehingga 11 orang anak?

Tidak. Adik-beradik saya sendiri seramai lapan orang.

Tidak risau tubuh anda berubah selepas melahirkan 11 orang anak nanti?

Tidaklah. Alhamdulillah semasa melahirkan anak sulung dahulu, bentuk badan saya kembali kepada asal dalam masa 44 hari sahaja. Ketika pantang saya jaga betul-betul dan ikut apa yang disuruh.

Sudah buat persiapan untuk kelahiran anak kedua anda ini?

Belum lagi. Masih di peringkat awal. Tetapi ada beberapa nama sudah dipilih untuknya. Kalau boleh saya mahu nama anak kedua saya itu lebih kurang sama dengan nama anak pertama.

Adakah anda sudah berhenti berlakon?

Tidak. Saya masih berlakon cuma berehat seketika sepanjang kehamilan ini. Buat masa ini saya 100 peratus suri rumah dan mengurus anak sambil dibantu oleh pembantu rumah.

Media Malaysia dihentam

Posted:

Media Malaysia dihentam

Media Malaysia dihentam


YUNA (dua dari kiri) semasa membuat persembahan pada majlis pelancaran album EP terbaharunya, Sixth Street di Los Angeles, Amerika Syarikat semalam.


TIDAK ke mana seseorang artis itu tanpa sokongan daripada media dan tidak dinafikan bahawa sinergi antara media dan artis umpama aur dengan tebing - saling memerlukan.

Namun apabila timbul ketidakpuasan hati terhadap penulisan media, seseorang artis tidak seharusnya mudah melenting dan menyelar tugasan rakan wartawan yang melakukan kerja mereka.

Biarpun kritikan atau komen pedas itu bukan datang secara terus daripada artis, adakalanya individu yang paling rapat atau bersangkut paut dengan artis tersebut secara tidak langsung mewakili sebahagian imej seseorang artis.

Hal terbaharu berlaku kepada penyanyi terkenal yang melakar nama di Los Angeles, Amerika Syarikat dan baru mengeluarkan sebuah album EP berjudul Sixth Street semalam.

Tidak lain tidak bukan penyanyi yang dimaksudkan adalah Yunalis Zarai atau Yuna!

Hakikat yang terjadi, pada malam semalam sekitar pukul 10.30 malam waktu Malaysia, teman rapat Yuna yang turut terbabit dengan pembikinan muka hadapan album EP penyanyi itu, Julian Schratter melalui akaun Instagramnya, throughjuleslens menyelar tindakan media Malaysia.

Tindakan itu dilakukan atas alasan ulasan yang telah ditulis oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada awal minggu ini kurang mengancam dan memberikan respons yang negatif.

Menerusi penggunaan frasa 'overdone and uninventive' atau diterjemahkan sebagai tidak berdaya cipta dan keterlaluan, Julian dengan mudah membuat kesimpulan dengan memberikan konotasi negatif terhadap petugas media Malaysia.

Katanya melalui gambar salinan skrin artikel terbabit yang telah dimuat naik menerusi akaun Instagramnya itu dalam bahasa kasar: "Saya terkesima seketika kemudian saya sedar bahawa saya membenci semua media Malaysia dan saya tidak ambil pusing apa yang mereka ingin katakan."

Siapa Julian?

Tidak salah untuk memberikan komen pedas seandainya hasil kerja itu tidak selari dengan penulisan media tapi sedarlah bahawa tanpa media, Yuna tidak akan terkenal dan popular hingga ke Hollywood.

Malah, adalah tidak adil untuk menghakimi keseluruhan media Malaysia atas satu ulasan yang dirasakan tidak enak didengar. Prejudis dan terlalu cepat menilai tanpa bukti sahih sebenarnya.

Bagaimanapun, gambar tersebut telah dikeluarkan daripada laman sosial Instagram milik Julian.

Julian merupakan jurufoto rasmi Yuna sepanjang berada di Los Angeles dan sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia bersama Yuna pada pertengahan bulan Februari lalu.

Julian dan Yuna juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta namun mereka belum pernah mengesahkan akan dakwaan tersebut.

Sepanjang Julian berada di Malaysia ketika itu, dua keping gambar pemuda tersebut mengenakan busana baju Melayu lengkap bertanjak dan bersampin tersebar menerusi akaun Instagram pereka fesyen kegemaran Yuna, Hatta Dolmat.

Dalam pada itu, Julian dan Yuna rancak memuat naik gambar bersama sepanjang berada di Los Angeles dan ketika Yuna meluangkan masa bersama keluarga Julian.

Lancar EP

Sementara itu pada pagi semalam, Kosmo! diberikan kesempatan menerusi syarikat rakaman Universal Music Malaysia untuk menyaksikan sendiri majlis pelancaran album EP Yuna terbaharu Sixth Street secara langsung dari Indie Pop Studio, Los Angeles secara live streaming di laman web Stage It.

EP Sixth Street merupakan album pertama Yuna di bawah syarikat gergasi muzik antarabangsa Verve Records yang dikendalikan oleh komposer tersohor David Foster dan dijual dalam bentuk digital.

Pelancaran EP itu dibuat secara serentak seluruh dunia dan menerusi majlis khas itu, Yuna mempersembahkan lima buah lagu yang dipetik daripada album itu.

Dimulakan dengan lagu I Wanna Go hasil ciptaan gitaris berbakat dari kumpulan Incubus, Mike Einziger. Bunyi yang segar dan muzik yang sedikit rancak menarik pendengar untuk terus kekal menyusuri lagu-lagu seterusnya.

Yuna diiringi tiga orang pemain instrumen seterusnya memperdengarkan empat buah lagu berikutnya iaitu Right Again, Young, Let Love Come Through (duet bersama Kyle) dan Musician.

Secara keseluruhannya, album EP itu mengandungi pengaruh muzik Alanis Morissette dan sesuai dengan vokal unik Yuna. Pastinya ramai yang menantikan album penuh penyanyi tinggi lampai itu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved