Selasa, 31 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Kematian akibat kanser dijangka meningkat

Posted:

Kematian akibat kanser dijangka meningkat

Kematian akibat kanser dijangka meningkat

JANGKITAN selesema babi pernah menjadi ancaman kesihatan paling mengerikan dalam sejarah perubatan kerana meragut banyak nyawa. - Gambar hiasan.


SELEPAS tahun 2013 melabuhkan tirainya semalam, masyarakat di seluruh dunia mendepani tahun 2014 dengan pelbagai azam dan semangat baharu.

Pada masa sama, cabaran terhadap dunia kesihatan pasti tidak kurang hebatnya sementelah semakin banyak kes kematian disebabkan oleh kanser menyerang pesakit di seluruh dunia.

Tidak dinafikan, serangan penyakit terutamanya daripada kanser tidak boleh dihalang. Jika bernasib baik, kanser boleh dikesan awal dan pesakit berpeluang sembuh.

Malangnya, seperti penyakit, ajal dan maut juga tidak boleh dihalang daripada berlaku.

Pegawai Perubatan Hospital Pakar Kuantan di Pahang, Dr. Normazila Muhammad berkata, statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2008 mendedahkan, kadar kematian disebabkan kanser adalah sebanyak 13 peratus iaitu melibatkan 7.4 juta kematian di seluruh dunia. Kadar tersebut dijangka meningkat kepada 13.1 juta menjelang tahun 2030.

"Pengamal perubatan harus peka dalam mengenal pasti golongan yang berisiko tinggi menghidap penyakit kanser seperti sejarah keluarga dan faktor persekitaran serta gaya hidup individu.

"Kami juga perlu lebih prihatin dalam mengikuti perkembangan pesakit yang menjalani pemulihan bagi mengurangkan kadar kematian disebabkan oleh kanser," ujarnya.

Wabak penyakit

Menurut laporan The Daily Beast dalam artikel bertajuk Resolusi Ancaman Kesihatan Menakutkan 2014 pada 16 Disember lalu, kerajaan perlu meningkatkan pemberian vaksin kuman Human Papilloma Virus (HPV) kepada kelompok sasaran dan menganjurkan kempen menggalakkan penggunaan berhemah antibiotik.


PENGAMBILAN suplemen tanpa preskripsi doktor juga boleh membahayakan nyawa pengguna.


Resolusi tersebut turut menekankan tentang kepentingan dalam menangani preskripsi ubat-ubatan secara berlebihan, menghapuskan polio dan pencegahan wabak penyakit berjangkit.

Kanser pangkal rahim yang dikesan dalam kalangan golongan wanita muda selalunya agak agresif disebabkan oleh jenis sel dan tisu yang terlibat. Ia mungkin berlaku disebabkan perubahan cara hidup dan aktiviti seksual dalam kalangan mereka.

Jangkitan kuman HPV berpunca daripada aktiviti seksual tanpa kondom juga telah dilihat sebagai faktor yang menambah kepada peningkatan kes kanser.

Dalam pada itu, pakar Perunding Obsterik dan Ginekologi di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Malaysia, Prof. Madya Dr. Sharifah Sulaiha Syed Aznal berkata, cabaran utama dalam dunia perubatan ialah menyuntik kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

Menurutnya, penyakit kanser juga dilihat semakin menular di setiap lapisan masyarakat di samping masalah kesihatan mental dan psikologi yang bertambah kritikal.

"Trend penyakit kanser dalam kalangan wanita seperti kanser payudara dan rahim semakin meningkat kerana semakin banyak kes yang dapat dikesan lebih awal dengan adanya teknologi moden.


BARAH pangkal rahim merupakan barah yang kedua paling tinggi menyerang wanita di negara ini.


"Ia juga berikutan lebih ramai wanita yang tampil untuk pemeriksaan atau pengesanan awal. Bagaimanapun, kanser pangkal rahim dilihat akan menular kerana masih ramai wanita yang enggan tampil melakukan ujian pap smear atas sebab-sebab tertentu," jelasnya.

Malangnya, masih terdapat segelintir besar masyarakat di negara ini kurang peka tentang kepentingan untuk mendapatkan rawatan awal. Walhal, kos rawatan kanser dan risiko kehilangan nyawa pada peringkat akhir adalah lebih tinggi.

Mencegah

Selain itu, kos perbelanjaan rawatan semakin mahal disebabkan peralatan rawatan dan pengamal perubatan mahir dalam bidang penyakit yang berkaitan.

Justeru, prinsip mencegah penyakit lebih baik daripada merawatnya harus sentiasa menjadi amalan setiap perawat dan yang dirawat.

Sementara itu, perunding radioterapi dan onkologi di sebuah pusat perubatan swasta ibu negara, Dr. Chong Kwang Jeat berpendapat, negara bakal berdepan dengan dua jenis kumpulan penyakit iaitu penyakit berjangkit dan tidak berjangkit pada tahun ini.

"Ancaman penyakit denggi dan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) antara penyakit berjangkit yang mudah merebak. Penyakit tidak berjangkit pula termasuk kanser, jantung dan diabetes yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal dari awal," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, corak pemakanan dengan amalan diet tidak seimbang, pengambilan suplemen tanpa nasihat doktor dan amalan gaya hidup tidak sihat merupakan antara penyumbang peratusan penduduk di Malaysia mudah terkena penyakit.

Inspirasi keindahan warna Mass Yusof

Posted:

Inspirasi keindahan warna Mass Yusof

Inspirasi keindahan warna Mass Yusof


KESEMUA lukisan yang dihasilkan oleh Mass Yusof diinspirasikan daripada dunia realiti dan nostalgia keindahan warna.


KEINDAHAN karya pelukis terkenal, Mass Yusof, kini menghiasi dinding Galeri Artiseri, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur melalui pameran sulungnya yang bertemakan Warna Kehidupan.

Pameran yang berlangsung pada 16 Disember hingga 29 Disember lalu itu dianjurkan bersempena persediaan program Tahun Melawat Malaysia 2014. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada para karyawan tempatan untuk mempromosikan karya mereka bukan sahaja kepada peminat seni tempatan bahkan pelancong asing.

Mass Yusof atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abdul Wahid berkata, pameran tersebut merupakan suatu penghargaan besar bagi dirinya memandangkan beliau menjadi pelukis pertama menganjurkan pameran solo di hotel terkemuka itu.

"Pameran Warna Kehidupan merupakan gambaran mengenai kehidupan di kawasan perkampungan yang membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pameran tersebut baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Pengurus Besar Hotel Seri Pacific, Mohamad Halim Merican dan pelukis tersohor negara, Yusof Gajah.

Menurut Mass Yusof, kesemua lukisan yang dipamerkan diinspirasikan daripada dunia realiti dan nostalgia keindahan warna. Antara judul lukisan yang dipamerkan ialah Akulah Juara, Saling Mengenal, Mencari Rezeki dan Kemesraan.


MASS YUSOF berharap peminat-peminat seni tempatan dapat menghayati maksud di sebalik setiap lukisan yang dipamerkan.


Mengimbau kembali

Pernah berkhidmat bersama Kumpulan Utusan selama 32 tahun, beliau menjelaskan, pameran itu bertujuan membawa peminat-peminat seni tempatan mengimbau kembali dan mendekati kehidupan kanak-kanak di sebuah kawasan perkampungan.

"Bermula dengan keindahan kiambang di atas air sehingga burung-burung berehat di atas seekor kerbau, warna-warna kehidupan digambarkan dengan jelas melalui karya yang dipamerkan.

"Kehidupan ini ibarat roda yang berputar, kadangkala di atas dan ada ketikanya di bawah. Saya mahu orang ramai, khususnya peminat seni menghayati maksud di sebalik setiap lukisan," ujarnya sambil memaklumkan lukisan-lukisan tersebut juga untuk dijual.

Harga setiap lukisan ditawarkan pada harga RM1,500 sehingga RM15,000 sebuah.

Pihak Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur juga akan menderma sebahagian daripada hasil penjualan lukisan Mass Yusof pada pameran itu untuk diberikan kepada mangsa-mangsa bencana banjir di Malaysia.

Selain itu, hotel tersebut juga akan menyumbang RM1 bagi setiap pengunjung yang berbelanja di restoran hotel itu sepanjang bulan Januari dan Februari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved