Khamis, 26 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Mereka tiada prinsip'

Posted:

'Mereka tiada prinsip'

'Mereka tiada prinsip'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HAIRUDDIN (kanan) antara pemain yang didakwa terlibat dengan 'pusingan U'.


SENARIO 'pusingan U' dalam kalangan pemain bola sepak negara dilihat menjejaskan reputasi yang ada pada pemain itu sendiri.

Sebaik Pahang menutup tirai bola sepak tempatan dengan menjuarai Piala Malaysia 2013, cerita mengenai penghijrahan pemain-pemain dalam Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) mula menjadi tumpuan.

Bermula dengan insiden 'pusingan U' pertama musim ini, kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan tonggak pertahanan, Nor Fadzly Alias dikatakan telah menandatangani borang C-03/2 bersama Felda United.

Pengendali The Settlers, Irfan Bakti Abu Salim naik berang apabila kedua-dua pemain tersebut mengambil keputusan untuk kekal bersama The Gladiators musim depan meskipun sudah menandatangani surat persetujuan.

Begitupun, tiada tindakan susulan daripada pihak Irfan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Felda tidak mengemukakan kes tersebut kepada pihaknya.

Terbaharu, pemain tengah Tok Gajah, Amirulhadi Zainal didakwa melakukan perbuatan sama apabila bekas pemain Selangor itu dikatakan sudah menjadi milik Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk aksi Liga Super 2014.

Apa yang pasti, peminat-peminat setia Tok Gajah jelas kecewa dengan tindakan Amirulhadi yang dikatakan telah disenaraikan dalam skuad Pahang musim depan, mengambil keputusan meninggalkan Pantai Timur menerusi perjanjian 'pintu belakang'.

Rasa kecewa itu juga tidak terkecuali buat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyifatkan pemain yang melakukan 'pusingan U' adalah satu perbuatan yang tidak berprinsip.

Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menetapkan garis panduan bagi perpindahan pemain tetapi pemain-pemain terbabit masih gagal mematuhi perjanjian tanpa merujuk dengan majikan lama.

"('Pusingan U') melambangkan perbuatan tidak profesional bagi pemain. Kamu tidak boleh salahkan FAM atau persatuan-persatuan bola sepak (negeri atau kelab).

"Ini kerana pemain yang berprinsip tidak akan melakukan sebegini dan perkara ini bukanlah baharu dalam bola sepak negara kita.

"Biarpun tidak ramai pemain bersikap sebegini tetapi perbuatan segelintir pemain (yang membuat 'pusingan U') jelas memburukkan senario bola sepak negara)," titah baginda kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Istana Abdul Aziz kepada 300 anak-anak mangsa banjir di kawasan Kuantan, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, status Amirulhadi menjadi tanda tanya selepas menyertai pasukan Harimau Selatan untuk musim depan.

Difahamkan, Amirulhadi telah mengikat kontrak selama dua tahun bersama Tok Gajah sebelum berhijrah ke Johor DT.

Tambah Tengku Abdullah, baginda berharap kemelut Amirulhadi dapat diselesaikan dengan cara lebih berhemah.

"Saya berharap ketiadaan pemain itu dapat digantikan dengan individu yang memahami konsep perjanjian," titah baginda.

Dalam perkembangan sama, legenda Kelantan, Dali Omar turut senada dengan Tengku Abdullah dengan memberitahu, 'kuasa wang' tidak dapat memberikan manfaat untuk membangunkan bola sepak negara.

Jelasnya, beliau berharap FAM akan tampil lebih tegas dalam isu 'pusingan U' dengan memperkenalkan satu undang-undang yang lebih ketat.

"FAM dan persatuan negeri atau kelab tidak salah. Persatuan hanya mahu mendapatkan khidmat pemain-pemain terbaik.

"Namun, jika pasaran pemain tidak dijaga dengan elok, berlakulah satu isu baharu iaitu 'pemain melebihi harga sebenar (overprice).

"Jika boleh biarlah sepadan dengan harga. Pemain-pemain kita harus tahu standard dan harus bersikap lebih jujur serta tidak boleh mengejar duit sahaja.

"FAM perlu buat satu garis panduan lebih ketat berhubung pemain yang didapati melanggar kontrak," katanya.

'Jangan lepaskan Kim Swee'

Posted:

'Jangan lepaskan Kim Swee'

'Jangan lepaskan Kim Swee'


KIM SWEE dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawabnya menerajui skuad bola sepak negara.


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak mahu melepaskan khidmat jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Shukor memberitahu, FAM pasti kerugian jika membenarkan Kim Swee meninggalkan badan induk bola sepak negara itu memandangkan dia memiliki kualiti tersendiri dalam mengendalikan skuad bola sepak remaja negara.

Jelas bekas pemain Pulau Pinang tersebut, beliau berharap Kim Swee dapat mengharungi detik-detik sukar sejurus kegagalan mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 yang melabuhkan tirainya di Myanmar, Ahad lalu.

Katanya, beliau berharap Kim Swee bakal menjadi individu lebih matang dan tabah jika diberikan peluang untuk memperkemaskan skuad kebangsaan.

"Saya sangat menyokong FAM. Jangan sesekali melepaskan Kim Swee. Kita tiada jurulatih berwibawa, cuma kita ada Kim Swee.

"Mungkin pada Kim Swee, kegagalan di pentas Sukan SEA 2013 memberikan impak kepadanya.

"Mungkin sebab itu beliau terasa (untuk melepaskan jawatan sebagai pengendali kebangsaan).

"Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau. Kim Swee adalah pengendali yang merendah diri dan pada pendapat saya, jangan benarkan dia meninggalkan skuad negara," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, FAM masih menaruh kepercayaan penuh terhadap bekas pemain Sarawak dan Melaka itu untuk menerajui skuad kebangsaan.

Sebelum ini, Kim Swee memberikan bayangan untuk melepaskan 'kerusi panas' dengan Harimau Muda A itu.

Mengulas lanjut, Shukor menggesa Kim Swee mengambil pendekatan lebih realistik kerana FAM serta peminat-peminat bola sepak negara masih menagih sentuhan magisnya.

"Skuad Harimau Muda A beraksi tanpa lapan tonggak utama pada Sukan SEA lalu antaranya Wan Zack Haikal Wan Nor. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan kegagalan itu kepada Kim Swee sahaja.

"Beliau telah banyak membuat perubahan dalam bola sepak negara. Saya berharap kita jangan menggangu tugasan terbaharu Kim Swee iaitu sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.

"Biarpun skuad Harimau Malaya memiliki peluang tipis untuk layak ke pentas Piala Asia 2015, sama-sama kita memberikan sokongan padu kepada Kim Swee," katanya.

Masalah ditanggung sendirian

Posted:

Masalah ditanggung sendirian

Masalah ditanggung sendirian

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


SKUAD pelayaran negara tetap berjaya membawa pulang kejayaan walaupun berdepan pelbagai masalah ketika mengharungi Sukan SEA 2013.


TERKILAN. Mungkin itu ayat terbaik dalam menterjemahkan perasaan skuad kapal layar negara sepanjang tempoh mengharungi cabaran Sukan SEA Myanmar yang melabuhkan tirai pada 22 Disember lalu.

Bukan saja kejayaan membawa pulang dua emas, tiga perak dan tiga gangsa tidak diraikan oleh pegawai tertinggi kontinjen Malaysia di sana, semangat pelayar negara hampir terpadam selepas berdepan pelbagai masalah melibatkan bot dan kelengkapan pelayaran sejak hari pertama tiba sana.

Selepas berdepan kontena yang membawa peralatan serta bot baharu yang dibawa khas dari New Zealand enggan dilepaskan oleh pihak imigresen Myanmar, pasukan negara sekali lagi diuji apabila beberapa peralatan `hilang' daripada senarai penerimaan.

"Saya tidak pasti bagaimana ia boleh berlaku tetapi selepas kontena yang membawa peralatan itu diterima, kami dapati beberapa kelengkapan bot tiada.

"Memang keadaan pada waktu itu cukup sukar memandangkan kita telah kehilangan masa yang cukup banyak kerana melayan kerenah imigresen Myanmar tetapi kehilangan kabel gear yang mengawal kelajuan bot, betul-betul membuatkan kami tertekan," jelas pengurus pasukan, Mohd. Afendy Abdullah.

Afendy juga menjelaskan, tanpa beberapa peralatan penting termasuk kabel tersebut, skuad kapal layar negara terpaksa melakukan penyesuaian sendiri bagi membolehkan mereka bersaing.

"Secara jujur, dengan apa yang terjadi termasuk peluang meraih emas lebih banyak yang terlepas begitu saja, saya dan pelayar sangat kecewa.

"Banyak perkara yang sepatutnya boleh dielakkan tetapi nasib tidak begitu baik. Malah, ia akan menjadi pengajaran terbaik buat kami pada masa depan," katanya yang turut menjelaskan rata-rata pelayar agak berpuas hati dengan kualiti lapan bot baharu yang diterima mereka ketika di Myanmar tempoh hari.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi saingan musim 2014, Afendy memberitahu mereka akan membuka tirai tahun depan dengan menghadapi kejohanan kapal layar di Auckland, New Zealand pada Januari nanti.

"Kita tidak berehat panjang selepas Sukan SEA kerana perlu bersedia menghadapi beberapa kejohanan sebelum beraksi di Sukan Asia pada September nanti.

"Dalam pada waktu itu, Jelajah Eropah juga akan menjadi medan pemanas badan di mana ia akan menjadi persiapan untuk menghadapi Piala Dunia," ujar Afendy.

Lebih menarik, skuad kapal layar juga bercadang untuk membeli bot di Eropah bagi memudahkan pelayar negara berlatih di benua tersebut.

"Bot yang dibeli tersebut, kami akan simpan di Greece atau Croatia kerana di sana terdapat pusat penyimpanan bot. Ia memudahkan pelayar kita berlatih apabila berada di sana memandangkan Eropah adalah tempat utama acara pelayaran."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved