Isnin, 2 Disember 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Berani mengharungi cabaran bisnes

Posted:

Berani mengharungi cabaran bisnes

Berani mengharungi cabaran bisnes

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

KETIKA masih belajar di sekolah menengah, Nurfuryna Mohd. Azmeer atau lebih mesra dengan panggilan Feena, tidak melepaskan peluang membantu ibunya yang memiliki salon kecantikan dan butik pengantin Allya Touch di Greentown Mall, Ipoh, Perak.

"Allya Touch diusahakan sekitar tahun 1998 hingga 2008 dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur.

"Ilmu yang dipelajari di sana dan melihat sendiri bagaimana ibu gigih mengusahakan perniagaan itu daripada seluruh aspek termasuk cara melayan pelanggan dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan telah membuatkan saya ingin melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan kecantikan," katanya mengenai penglibatan awal beliau dalam arena perniagaan.

Mengambil langkah berani pada tahun 2009, wanita yang kini berusia 28 tahun itu telah membuka perniagaannya sendiri.

"Pada ketika itu, saya bersama seorang rakan membuka sebuah spa di Ipoh yang bernama Spa Que. Tetapi perniagaan itu kini dikendalikan oleh rakan tersebut memandangkan saya mempunyai perniagaan lain di Kuala Lumpur," ujarnya.

Wanita hari ini sanggup menghabiskan wang yang banyak agar tampil menawan. - Gambar hiasan


Bagi anak kedua dari tiga beradik ini, kecantikan merupakan satu hubungan yang rapat dengan setiap wanita kerana dia melihat sendiri bahawa semua kaum hawa amat menitikberatkan penampilan mereka bukan sekadar untuk memenuhi kepuasan peribadi tetapi juga untuk suami bagi mereka yang sudah berkahwin.

"Penampilan diri yang menarik mampu meningkatkan tahap keyakinan seorang wanita," ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu sambil tersenyum.

Menurutnya, pada masa ini, kecantikan menjadi obsesi wanita, terutamanya wanita urban yang amat mementingkan gaya sehingga ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit semata-mata untuk kelihatan menarik.

Pengolah penampilan

Sungguhpun demikian, Feena menyarankan agar rejim penjagaan kulit dimulakan seawal peringkat remaja bagi mendapatkan kulit yang cantik berseri di masa hadapan.

"Berbelanja demi kecantikan bukanlah satu tindakan yang salah. Namun, pastikan perbelanjaan itu mengikut kemampuan diri.

"Lebih penting, suatu kecantikan itu bukan hanya terletak di bahagian luaran bahkan dalaman iaitu mempunyai hati yang bersih, sentiasa berfikiran positif, mengurangkan sifat-sifat negatif seperti hasad dengki dan tidak sombong. Perkara paling mudah dan mujarab untuk mendapatkan penampilan yang menarik ialah sentiasa tersenyum," jelas Feena mengenai pendekatan yang turut diambilnya sendiri.

Mengakui bahawa perniagaan dalam bidang kecantikan penuh dengan pancaroba dengan persaingan sengit dan cabaran dalam memenuhi kehendak pengguna yang sering berubah, Feena memaklumkan, dia sebelum ini pernah memperkenalkan beberapa jenama produk kecantikan di pasaran.

Usaha perniagaannya membuahkan hasil apabila tahun lalu dia berjaya menemui sebuah syarikat tempatan yang giat melaksanakan usaha penyelidikan dan pembangunan sehingga tampil dengan produk suplemen yang kini dilihat sebagai antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran iaitu Aurawhite Collagen.

"Pada mulanya saya dan suami, Saiful Safwan, 30, memulakan perniagaan ini secara dalam talian di laman blog aurawhitebeauty.blogspot.com. Kami tidak menyangka ia diterima baik pengguna.

MINAT Nurfuryna atau Feena dalam dunia perniagaan dan kecantikan terbentuk sejak di bangku sekolah menengah.


"Mungkin kerana kesannya yang mujarab dan orang ramai mula sedar tentang kepelbagaian manfaat produk ini. Sejak diperkenalkan pada Februari lalu, ia terus mendapat permintaan tinggi," katanya sambil menunjukkan produk Aurawhite Collagen yang kini dijual oleh syarikat pasangan ini, Aura White Beauty Sdn. Bhd. (Aura White Beauty).

Lazimnya apabila memperkenalkan sesuatu produk baharu di pasaran, membina keyakinan pengguna terhadap produk tersebut merupakan usaha paling mencabar kepada peniaga, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan produk suplemen kecantikan yang banyak terdapat di Malaysia.

Resipi kejayaan

Namun, Feena amat bernasib baik, kerana menerusi duta produk Aurawhite iaitu selebriti dan pelakon, Hanez Suraya dan usaha-usaha pengiklanan berserta testimoni ikhlas pengguna yang sering dikongsi bersama, usahanya berjaya, sekali gus mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap produk berkenaan.

Dengan permintaan yang terus meningkat saban hari, Feena tidak hanya berlapang dada dengan pencapaian itu. Malah, syarikat berkenaan secara berterusan menjalankan kerja-kerja promosi dan pengiklanan agar jenama Aurawhite tidak tenggelam di pasaran.

Bagi wanita ini, pengenalan Aurawhite dalam pasaran ialah atas tujuan menggalakkan penjagaan awal dalaman dan luaran pengguna.

"Suplemen ini mempunyai 20 jenis ramuan semula jadi seperti ekstrak buah-buahan terpilih, sel stem tomato, roselle, sarang burung, lemon, lobak putih dan sisik ikan tilapia. Ramuan-ramuan ini penting dalam membantu mengatasi masalah kulit, masalah lenguh-lenguh otot dan memberikan tenaga.

"Bukan itu sahaja, pengambilan kolagen ini juga mudah dan enak. Ia ditawarkan dalam perisa beri atau coklat bagi memenuhi selera pelanggan," katanya.

Sungguhpun dianggap masih baharu dalam dunia perniagaan, Feena beranggapan ia sebagai satu perjalanan penuh pembelajaran untuk memastikan syarikatnya tersebut bertapak kukuh di masa hadapan.

"Perkara penting ialah memastikan penawaran produk berkualiti yang mampu memberi kepuasan pada pelanggan," ujarnya.

HANEZ selaku duta produk Aurawhite, mengakui keberkesanan Aurawhite Collagen selepas mencubanya untuk dua minggu.


Antara langkah diambil ialah melantik seorang duta produk.

Berbicara lanjut mengenai duta produk Aurawhite Collagen, Hanez Suraya, Feena akui wanita itu seorang yang sangat komited tentang kerjanya. Gadis jelita itu memenuhi kriteria yang dikehendaki bukan sahaja mempunyai penampilan yang menarik tetapi juga bersifat mulia.

"Haneez mencuba minuman tersebut selama dua minggu dan bersetuju menjadi duta selepas mengalami perbezaan positif.

"Dia berkata kulitnya lebih lembap dan cerah, rekahan kaki berkurangan dan lebih bertenaga memandangkan dia seorang yang sangat sibuk dengan aktiviti rakaman," jelas Feena.

Menganggap personaliti popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sebagai wanita yang ingin dicontohi, katanya, penampilan menarik penyanyi tersohor negara itu diserlahkan melalui keperibadian penuh budi bahasa.

"Saya pernah bertemu beliau sebanyak beberapa kali dan wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman walaupun berhadapan dengan pelbagai perkara," katanya sambil menyenaraikan Wanita Besi, Datuk Dr. Maznah Hamid sebagai idolanya.

Pelabuhan imej pelayar klasik

Posted:

Pelabuhan imej pelayar klasik

Pelabuhan imej pelayar klasik


JALUR signatur tetap menjadi pertaruhan Nautica sempena musim luruh/sejuk 2013.


NAUTICA berlayar pulang ke daratan bersama inspirasi rona dan gaya berbeza dari seluruh dunia. Palet-palet segar, jalur-jalur signatur, penegasan rekaan dan stail inovatif bercantum indah menghasilkan koleksi baharu label fesyen Nautica, seraya mengemudi kemas penampilan sepanjang musim luruh/sejuk tahun ini.

Menerusi koleksi Seafarer, tradisi dipertemukan dengan ciri fungsional bagi menyerlahkan jalinan menawan antara rona putih dan biru navy bersama percikan warna terang. Baju panas (sweater) Fisherman dengan cetakan halus menggunakan teknik fair isle yang merupakan cara kait tradisional dihamparkan dalam rona-rona terang, sekali gus menjadi penegas kepada keseluruhan gaya.

Perincian yang melibatkan potongan nilon, berlapik penuh dan kebolehan merintang angin pada helaian itu juga menjadikan ia istimewa. Tambahan pula, teknik anyaman dipilih sebagai nilai versatil untuk koleksi baharu itu lengkap dengan rekaan berkotak besar, tidak menyerap air dan warna-warna kontra.

Mainan warna

Jaket kemeja kembali membuat kemunculan pada koleksi kali ini dan masih mengekalkan mainan blok warna.

Koleksi Shoreline pula memaparkan gabungan warna-warna lembut dan tona-tona gelap untuk jiwa yang lebih kasual. Asas kepada penampilan tersebut ialah biru indigo, refleksi terhadap air yang menghempas pantai dan palet lembut merah dan hijau.


PADUAN palet terang dan lembut memberikan penegasan unik terhadap stail si jejaka.


Fabrik dikait klasik dalam warna dan cetakan asli bersama pengenalan rekaan baharu seperti kemeja bercetak imej bot dan tali serta kemeja cetakan bandana.

Barisan sweater yang diperbaharui dapat dilihat pada chevron cable toggle dan kardigan berona blok sementara item berkait mendapat komposisi segar seperti baju-T polo kashmir. Blazer beacon dan bedford cord pula menjadi kunci gaya dalam komponen koleksi tersebut agar si pemakai kekal sofistikated sepanjang hari.

Kembara meredah lautan pasti bermakna bersama gaya daripada koleksi Seaborne. Warna tradisional dengan campuran benang berongga dan fabrik kait lebih tebal memberikan penampilan maskulin yang unggul. Bayangan rona biru navy gelap, hitam arang, hitam, tona berkilau dan ungu mewah membantu si jejaka tampil sederhana pada skala tertinggi.

Teknik fair isle, tulang hering dan rekaan mikro geometri bagi membentuk cetakan pada baju panas kait yang ditambah kolar sebai dan siluet kardigan menjanjikan tata gaya elegan.

Dimensi baharu rambut jejaka

Posted:

Dimensi baharu rambut jejaka

Dimensi baharu rambut jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR


KESEMUA produk rambut Elite berasaskan air bagi memudahkan ia dibilas.


HAMPIR semua jejaka mengutamakan gaya rambut harian. Kaum Adam lazimnya banyak memperuntukkan waktu berdandan terhadap rambut. Minyak rambut, gel atau wax antara jenis produk rambut pilihan lelaki. Namun kebanyakannya sekadar tahu penggunaan asas tanpa mengambil berat perihal kesesuaian gaya rambut mengikut panduan rasmi penampilan.

Ada juga yang kurang arif membentuk stail mengikut jenis dan kepanjangan rambut. Tabiat lelaki, khususnya di Malaysia, potong rambut di kedai mamak dan sapu gel agar kemas sudah memadai untuk tampak maskulin.

Kelompok remaja dilihat lebih bijak bereksperimen dengan potongan rambut moden dan unik. Tiada lagi gentar terhadap tatapan sinis masyarakat atau perlian orang. Asalkan bijak mengimbangi penampilan keseluruhan dan tidak terlalu keterlaluan, gaya rambut berselera urban mampu menarik pesona umum.

Minyak rambut dan gel yang dulu pernah mengisi kemestian dalam senarai barangan penjagaan peribadi lelaki kini beransur-ansur dilupakan. Wax atau clay menyusul bagi menggantikan dua jenis item tradisional itu. Ia lebih ringan dan efektif dalam membentuk gaya rambut idaman dan paling penting menjadikan rambut tampak semula jadi, tidak keras atau berkilat.

Namun lambakan wax dan clay dalam pasaran menyukarkan misi memilih jenis paling sesuai dengan rambut masing-masing. Belum lagi ditambah masalah menyingkirkan produk tersebut selepas seharian melekat pada rambut, biarpun telah dicuci. Syampu dan perapi rambut memainkan peranan penting bagi membersihkan rambut daripada wax atau clay secara menyeluruh.

Pengenalan jenama Elite kepada rangkaian produk rambut di bawah Elite Edgy EFX menjadi penyelamat. Tidak keterlaluan dikatakan, ia satu-satunya produk daripada jenis wax, clay, mud, fiber dan gel berasaskan air yang memberi keselesaan maksimum kepada pengguna.

Baru-baru ini, pendandan rambut eksklusif tanah air, Bambang Soteto sempat memaparkan teknik penggayaan rambut menggunakan beberapa produk Elite Edgy EFX di salon miliknya, Hairkunst di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

LELAKI sangat mengutamakan penjagaan dan penggayaan rambut.


Berikut tiga gaya ringkas yang sempat dikongsikan Stailo buat rujukan pembaca:

1 Cacak (spiky):

Tonjolkan sisi nakal menerusi gaya rambut cacak. Bagi mendapatkan stail remaja ini, colek wax ELITE Edgy EFX Rugged Matte menggunakan jari dan letakkan pada tapak tangan. Gosok wax tersebut dengan kedua-dua belah tapak tangan sebelum diaplikasikan pada rambut.

Pastikan setiap bahagian rambut menerima wax dan tarik rambut menghala ke atas. Kemaskan gaya dengan memintal halus hujung rambut agar ia dapat bertahan lama. Sesuai untuk acara sosial ringkas atau berlibur pada malam minggu.

2 Santai

Ramahkan wajah, luhurkan penampilan sesederhana mungkin dengan gaya rambut santai. Bebaskan tekstur rambut anda menerusi clay Elite Edgy EFX Wavy Loose.

Sebelum menyapu clay ini pada rambut, pastikan rambut anda tidak kering sepenuhnya. Ia sangat efektif apabila diaplikasikan pada rambut basah agar gaya rambut kebasahan dapat diserlahkan secara semula jadi.

Sisir rambut menggunakan tangan. Jika anda menggunakan sikat, ia akan membuatkan rambut tampak terlalu rapi. Lelaki yang sukakan gaya rambut serabut sesuai mencuba stail ini tambahan pula ia membuatkan anda kelihatan comel pada pandangan wanita.

3 Formal

Kebolehan gel Elite Edgy EFX Extreme Cool menata gaya rambut formal jejaka wajar dirasai sendiri oleh golongan lelaki. Tidak seperti kebanyakan gel, ia mengatur helaian rambut secara seragam tanpa menampakkan kekerasan atau kilatan murahan.

Kurang melekit dan mudah dibilas, gel ini melekat ringan pada rambut sekali gus membuatkan penampilan kekal kemas dan selesa sepanjang hari. Sempurna digayakan pada majlis-majlis rasmi atau mereka yang bekerja dalam ruang pejabat korporat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved