Isnin, 23 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penyokong tegar bukan samseng bola sepak

Posted:

Penyokong tegar bukan samseng bola sepak

Penyokong tegar bukan samseng bola sepak

SUASANA di Stadium Shah Alam, Selangor sewaktu perlawanan kelayakan bola sepak Piala Asia antara Harimau Malaya dan Qatar, November lalu kelihatan suram dengan kehadiran penonton tidak sampai 5,000 orang.

Namun, di satu sudut stadium kelibat sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan kuning mula memenuhi tempat duduk stadium sambil membawa kain rentang, mafela dan gendang.

Kehadiran mereka berjaya mencuri tumpuan penonton lain termasuk anggota polis yang ditugaskan mengawal keadaan.

Ketika pemain-pemain memasuki padang, salah seorang lelaki bertopeng itu bangun berdiri di atas kerusi penonton sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Demi Malaysia...oooo...Demi Malaysia!," jerit individu tersebut dan disahut oleh ahli kumpulannya sambil diiringi paluan gendang dan tepukan gemuruh yang memecah kesunyian stadium pada malam itu.

Kata-kata tersebut ternyata berjaya menaikkan semangat penonton lain yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Itulah antara usaha menarik yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya (UM).

Menurut seorang ahli UM, Iyzat Hamdan, 21, tujuan utama penubuhan kumpulan tersebut adalah untuk menjadi pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya dengan memberikan sokongan padu tanpa mengambil kira keputusan di atas padang.

"Kami menubuhkan kumpulan ini pada tahun 2007 selepas kekalahan memalukan pasukan negara pada kejohanan Piala Asia AFC.

"Prestasi pasukan negara yang tidak menentu ketika itu menyebabkan stadium bola sepak berubah menjadi kosong dan sunyi," katanya.


MAFELA merupakan item penting kumpulan Ultras Malaya.


Budaya ultras

Menurut Iyzat, budaya ultras atau penyokong tegar telah lama wujud dalam dunia bola sepak terutamanya di Eropah. Ia bermula di Itali apabila terbentuknya kumpulan penyokong bernama Fedelissimi Granata Torino pada tahun 1951.

Pada tahun 1960-an, budaya itu terus berkembang dengan kemunculan beberapa kumpulan lain.

Tambahnya, nama ultras mula digunakan buat pertama kali pada tahun 1969, apabila penyokong kelab Sampdoria dan Torino di Itali membentuk kumpulan Ultras Tito Cucchiaroni dan Ultras Granata.

Katanya, kumpulan ultras di luar negara lebih bersifat ganas, samseng dan memberontak. Namun bagi UM, mereka menerapkan budaya ketimuran tetapi agresif demi kebaikan sukan itu di negara ini.

"Kami tidak membaling botol, membakar mercun mahupun melakukan kerosakan harta benda kerana kami mematuhi undang-undang. Sokongan kami adalah bermaruah," tegasnya.

Menurut pemuda kelahiran Selangor itu lagi, pada ketika ini hanya terdapat dua pasukan kebangsaan di dunia yang mempunyai penyokong ultras iaitu Ultras Malaya dan Ultra Nippon di Jepun.

Iyzat juga menyatakan bahawa kumpulan UM adalah bersifat sukarela. Tiada yuran keahlian dikenakan. Mereka juga tidak menerima tajaan daripada pihak tertentu.

"Kami hanya memperoleh dana hasil daripada penjualan mafela dan baju. Kutipan akan digunakan bagi membaiki gendang yang rosak dan membuat kain rentang.

"Siapa saja boleh menyertai kami di sudut stadium yang digelar curva ultras dengan syarat mereka sanggup berdiri dan menyanyi sepanjang permainan berlangsung. Selain itu, mereka juga perlu berpakaian gelap dan membawa mafela," ceritanya lagi.

Jelasnya, UM juga boleh berbangga kerana dapat menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dengan satu matlamat iaitu menyokong pasukan Harimau Malaya.

"Kesan yang paling ketara apabila menyertai ultras ini ialah mereka dapat merapatkan hubungan yang terjalin.


BUDAYA ultras atau penyokong tegar juga wujud di luar negara termasuk di Jepun.


"Ultras sebenarnya lebih daripada pasukan sorak, kami sanggup melakukan apa saja untuk datang ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan negara," katanya.

Kehadiran kumpulan ultras ini turut dirasai oleh penyerang prolifik Harimau Malaya iaitu Safee Sali.

Menurutnya yang juga penyerang Johor Darul Takzim (JDT), kewujudan kumpulan UM ini merupakan perkara positif untuk sukan bola sepak kerana mereka sama-sama berdiri di belakang pemain ketika menang mahupun kalah.

"Kehadiran mereka ke stadium sangat dirasai dengan nyanyian lagu-lagu semangat dan paluan gendang sehingga menaikkan moral kami yang sedang bermain di padang," katanya.

Dalam keghairahan memberi sokongan, Safee juga menyeru agar kumpulan UM lebih berdisiplin dan tidak bertindak agresif terhadap apa jua keputusan seperti yang dilakukan kumpulan ultras di Jepun dan Eropah.

"Contohilah kebaikan kumpulan ultras di sana dan jangan sekali-kali membawa budaya yang negatif dari luar ke negara ini. Kita perlu mencari identiti sendiri" katanya.

Safee yang berpengalaman bermain dalam liga di Indonesia berkata, negara yang terkenal dengan jolokan Garuda itu turut mempunyai kumpulan ultras untuk kelab-kelab bola sepak tetapi mereka mempunyai disiplin yang tinggi sungguhpun pasukan yang disokong kalah.

Suasana lebih meriah

Sementara itu, menurut seorang penyokong tegar pasukan negara, Elmi Zulifan, 25, kehadiran kumpulan UM di stadium ketika perlawanan menjadikan suasana lebih meriah dan menarik.

Menurutnya, nyanyian lagu semangat dan paluan gendang daripada kumpulan itu dapat memecah kesunyian stadium dan menaikkan semangat penyokong-penyokong lain yang ada di dalam stadium.

"Lihatlah mereka, walaupun sedikit tetapi nyanyian mereka sangat kuat sehingga saya rasa seperti berada di dalam stadium yang penuh.


ULTRAS MALAYA sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan negara baik ketika menang atau kalah.


"Lagu-lagu semangat yang dinyanyikan juga sangat patriotik dan menarik sehingga penyokong lain turut menyanyi bersama," ceritanya.

Elmi juga bersetuju dengan gelaran UM sebagai pemain ke-12 kepada skuad negara.

Menurutnya, kumpulan UM sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara dan mereka datang ke stadium bukan hanya untuk menonton tetapi sama-sama berjuang.

Keadaan ini tidak seperti penyokong lain yang datang ke stadium hanya untuk menonton perlawanan.

Dia juga amat tertarik dengan formasi yang ditunjukkan oleh kumpulan UM ketika menyanyi seperti bertepuk tangan beramai-ramai dan mengangkat mafela bersama-sama.

"Gaya yang ditunjukkan ini sangat unik sehingga mampu menarik perhatian penonton lain," katanya.

Belakang kedai jadi Laman Seni

Posted:

Belakang kedai jadi Laman Seni

Belakang kedai jadi Laman Seni

Oleh NORHAYATI YAHAYA


ANTARA lukisan mural yang dihasilkan para pelajar UiTM, Shah Alam.


LUKISAN dinding dahulunya dikritik terutamanya oleh mereka yang tidak mengerti mesej yang ingin disampaikan. Ada juga yang melihatnya sebagai mencacatkan pemandangan malah satu perbuatan vandalisme.

Namun, di Amerika Syarikat, lukisan dinding yang dikenali sebagai mural itu merupakan karya seni yang begitu popular dan eksklusif. Ia menampilkan motif pendidikan dan budaya serta dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi.

Di Shah Alam, Selangor pula, sejajar usaha memperkasakan aktiviti seni dan budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan projek perintis Laman Seni yang menjadikan lorong belakang bangunan kedai di Seksyen 2, Shah Alam sebagai lokasi bagi golongan kreatif ini menterjemahkan karya masing-masing.

Dirasmikan pada 1 Disember lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, kewujudan Laman Seni itu adalah untuk menyediakan platform kepada orang ramai khususnya golongan pelajar menyerlahkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti persembahan, pameran dan seni lukisan mural.

Malah kata beliau, lokasi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan itu juga akan dijadikan sebagai lokasi tumpuan ramai khususnya golongan karyawan dan pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai seperti aktiviti deklamasi sajak, puisi dan persembahan pentas.

"Laman Seni ini juga akan membuka ruang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai.

"Selain itu, Laman Seni ini akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan sekali gus menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni," katanya baru-baru ini.

Naik taraf lorong

Mengulas lanjut, Mohd. Atan memberitahu, pihak MBSA turut mengindahkan lagi lorong belakang di kawasan komersial Seksyen 2 dengan kerjasama pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut beliau, melalui inisiatif itu, pelajar bersama pihak MBSA memperindahkan lagi dinding lorong belakang dengan lukisan mural pelbagai corak dan motif.

Tambahnya, MBSA juga bertindak menaik taraf lorong belakang tersebut dengan menurap jalan menggunakan kaedah pebble wash serta menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung.

HASIL seni tiga dimensi yang menggunakan peralatan yang biasa didapati di dalam bilik darjah.


"Projek ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar MBSA dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan wang tunai bagi menjayakan projek ini.

"Selain itu, komitmen yang jitu dan mantap daripada pelajar UiTM yang mengecat dan melukis mural dalam pelbagai motif turut menjadi penyumbang hasrat ini dapat direalisasikan," ujarnya.

Sementara itu, seorang pereka grafik di Seksyen 13, Ismail Badrul Hisham yang meluangkan masa melihat hasil karya di situ berkata, usaha MBSA itu merupakan langkah mengiktiraf golongan seni.

Malah bagi Ismail, 27, kewujudan lokasi seperti Seksyen 2 itu bukan sahaja dapat memberikan ruang untuk mereka yang kreatif menghasilkan karya bahkan sekali gus mengindahkan kawasan tersebut.

"Biasanya kami yang meminati seni lukisan ini akan melukis di mana-mana sahaja dan sering dimarah dan ditangkap kerana melakukan vandalisme.

"Namun, dengan adanya ruang dan lokasi khusus ini, ia bukan sahaja dapat memberikan kami kebebasan untuk berkarya malah hasil seni kami kini diiktiraf," katanya.

Memeriahkan

Nurshafiq Mohd. Shukor, 21, yang bekerja di syarikat seni grafik di Padang Jawa, Seksyen 16, pula bercadang untuk memeriahkan lagi karya lukisan di dinding tersebut.

Dia yang mahir melukis pemandangan dan seni jalanan menggunakan teknik lomografi mahu masyarakat lebih mengenali cabang seni lukisan sekali gus menghargainya.

"Laman Seni ini mungkin satu pemangkin untuk menyatukan peminat seni lukisan khususnya di Shah Alam dan tidak keterlaluan andai ia boleh diperluas ke kawasan lain selepas ini," ujarnya.

Seorang lagi pereka grafik, Farid Izzuddin Mohd. Fadzil, 21, yang mahir dengan teknik lukisan doodle iaitu ekspresi hati, mahu langkah MBSA itu dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di tempat lain.

"Ia bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan tersebut malah boleh dijadikan lokasi tumpuan orang ramai.

"Mungkin di sini juga boleh dijadikan sebagai lokasi pertemuan dan perniagaan golongan pencinta karya seni selain memberikan peluang pada peniaga di sini untuk membuka perniagaan di bahagian belakang bangunan masing-masing," katanya.

Perakuan diraja bantu lariskan produk British

Posted:

Perakuan diraja bantu lariskan produk British

Perakuan diraja bantu lariskan produk British


PEMILIK kedai jenama pilihan kerabat diraja ini menganggap pemberian perakuan diraja sebagai satu suntikan kepada perkembangan perniagaan mereka.


APABILA keluarga diraja Britain memperakui produk seperti teh atau ikan salmon, ia bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap firma terbabit malah menjadi pemangkin untuk menembusi pasaran global.

Perakuan Windsor itu memberi kelebihan kepada lebih 800 buah syarikat apabila mereka layak menggunakan label diraja, 'Diperakui' pada produk mereka.

"Ia satu tanda aras kualiti yang tinggi dan dianggap sebagai kelulusan antarabangsa," kata Andrew Leigh, pengasas syarikat ikan salmon salai Scotland, John Ross Jr. kepada AFP.

"Kami memakai perakuan diraja selama 24 tahun dan dalam tempoh tersebut, ia telah membuka pintu untuk kami mengembangkan perniagaan ini ke seluruh dunia," katanya.

Hari ini, syarikat itu mengeksport produknya ke 36 buah negara dan perakuan diraja itu membantu meningkatkan pasaran eksportnya kepada 30 hingga 35 peratus, kata Leigh.

Perakuan diraja itu akan terus menjadi faktor utama dalam perkembangan perniagaannya ke China, Jepun dan Asia Tenggara.

Perakuan diraja diberikan kepada orang perseorangan atau syarikat yang kerap membekalkan barangan untuk sekurang-kurangnya selama lima tahun berturut-turut kepada Ratu Elizabeth II, suaminya, Putera Philip atau anaknya, Putera Charles.

Syarikat-syarikat dengan perakuan itu terdiri daripada syarikat multinasional hingga firma kecil. Mereka mempunyai hak untuk memakai jata sokongan diraja pada bungkusan mereka.

Perakuan diraja adalah ciptaan baharu masa kini. Pekedai pada Zaman Pertengahan pernah ditawarkan dengan pengiktirafan rasmi, manakala sewaktu pemerintahan Raja Henry VIII sekitar 1509-1547, Thomas Hewytt dilantik sebagai 'Penghidang Angsa dan Burung Jenjang serta Burung Eksotik Istana'.

Tindakan itu diamalkan secara rasmi pada abad ke-19 berikutan penubuhan Persatuan Pemegang Perakuan Diraja pada tahun 1840.

JATA perakuan yang digunakan oleh pengeluar teh Twinings.


Tisu tandas

Hari ini, terdapat perakuan bagi barangan mewah seperti pembekal wiski tradisional Putera Charles dan jaket pemburu untuk aktiviti lasak golongan kerabat.

Bukan itu sahaja, perakuan turut diberikan kepada pasar raya dan pengilang tisu tandas.

Kebanyakan penerima perakuan ini berpusat di Britain, dengan pengecualian pembuat champagne di Perancis dan syarikat elektronik gergasi Samsung di Korea Selatan.

Perniagaan kecil turut menggunakan peluang berurusan dengan jenama global seperti teh Twinings atau minuman Schweppes.

Bagaimanapun, beberapa jenama memilih untuk menggugurkan jata diraja itu daripada pembungkusan mereka, misalnya jata daripada kotak gula-gula pudina After Eight setelah diambil alih oleh syarikat Nestle pada tahun 2009.

"After Eight ialah jenama global yang dijual di lebih 70 buah negara. Pada Disember 2009, Nestle mahu menyeragamkan pembungkusannya untuk memastikan kesesuaian dan konsistensi di semua negara.

"Ini mengakibatkan perakuan diraja itu digugurkan," kata jurucakap syarikat itu.

Simbol 'Pujian Ratu' itu walau bagaimanapun adalah satu penghormatan bagi kebanyakan syarikat, terutama bagi pengeluar barangan mewah.

Pembuat pakaian jenama Barbour mempunyai keistimewaan tersendiri apabila memakai perakuan itu yang diperoleh daripada Raja Philip (sejak 1972), Ratu Elizabeth II (sejak 1982) dan Putera Charles (sejak 1987).

"Perakuan itu diiktiraf sebagai simbol kualiti di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat hingga ke Eropah dan Asia," kata seorang jurucakap Barbour.

"Kami sentiasa berbangga apabila melihat gambar-gambar ahli keluarga diraja menggunakan produk kami," tambah beliau

Tarikan global yang berterusan terhadap monarki British tampil dengan imej yang umpama baru digilap menerusi kelahiran Putera George pada bulan Julai lalu hasil perkahwinan Putera William dan Kate Middleton pada tahun 2011, dan sambutan ulang tahun jubli berlian Ratu Elizabeth tahun lepas, sekali gus memberi promosi percuma kepada pemegang perakuan diraja Britain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved