Sabtu, 9 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


200 CCTV pantau kilang emas

Posted:

200 CCTV pantau kilang emas

200 CCTV pantau kilang emas

PENERBANGAN dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang mengambil masa selama 40 minit bagaikan tidak terasa. Ia mungkin disebabkan perasaan teruja untuk melawat sebuah kilang emas iaitu peluang yang jarang diperoleh.

Di dalam hati sudah membayangkan si tukang emas mengerjakan jongkong emas hingga menjadi rantai, gelang dan cincin. Apatah lagi barang kemas itu mahal harganya sekarang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, penulis dijemput pengasas kilang dan peruncit emas Hana Gold, Datuk Hairulazwan Tamam. Hana Gold ialah sempena nama anak sulung beliau iaitu Humairah.

"Sebenarnya saya berasal dari Ampang, Selangor. Ayah saya hanya seorang pemandu teksi manakala ibu suri rumah sepenuh masa," Hairulazwan membuka cerita ketika kereta yang dipandunya bergerak perlahan menuju ke tempat penginapan penulis di ibu negeri Pulau Mutiara itu.

"Sejak berumur lima tahun lagi saya berniaga makanan secara kecil-kecilan selain mengambil upah mencuci pinggan di kantin sekolah," sambung Hairulazwan.

Pendidikan lelaki ini pernah terhenti pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum beliau menyambung pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah universiti di Australia beberapa tahun kemudian.

Melawat kilang Hana Gold di Jalan Sungai Pinang, George Town memberikan pengalaman yang berbeza. Seperti yang dikatakan tadi, bukan semua orang dapat memasuki tempat yang amat bernilai ini.

Kamera tersembunyi

Modal untuk membuka kilang itu sahaja sekitar RM5 juta, dan pasti ia didatangkan sekali dengan ciri-ciri keselamatan tahap tertinggi.

Hairulazwan memberitahu, aspek keselamatan itu meliputi faktor logistik, sistem dan pengurusan yang efektif.


EMAS akan dileburkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas acuan di kilang Hana Gold di Pulau Pinang.


"Seperti kebanyakan kilang lain, pelawat dan pekerja perlu mengambil pas lawatan di bilik pengawal. Kemudian, mereka akan melalui beberapa pintu pagar besi yang terbuka secara automatik.

"Di sini, terdapat 200 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang bagi memantau pergerakan pekerja dan keadaan di sekeliling bangunan

"CCTV pula ada yang boleh dilihat dengan mata kasar selain ada yang tersembunyi tanpa disedari pekerja. Kamera ini aktif 24 jam," tegas beliau.

Kilang itu terletak berdekatan dengan lapangan terbang, balai polis serta beberapa buah kilang emas yang lain.

Boleh dikatakan tiada gambar yang boleh dirakam di premis ini khususnya gambar pekerja dan keseluruhan bangunan kilang dua tingkat itu.

Pekerja Hana Gold pula dikehendaki mematuhi peraturan yang agak ketat.

"Contohnya, jika pihak syarikat memberikan 200 gram emas mentah untuk diproses, barang kemas yang terhasil juga mestilah dalam lingkungan berat yang telah ditetapkan.

"Dengan kata lain, pekerja kilang emas tidak akan dapat membawa keluar walaupun 1 gram emas," ujarnya sambil memberitahu, kebanyakan pekerja syarikat itu mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Teruja menceritakan proses penghasilan barang kemas, Hairulazwan berkata, kandungannya perlu 91.6 dan 99.0 peratus emas.

"Itu standard yang ditetapkan mengikut piawaian dunia," katanya.

Harga semasa emas 999 (24K) ialah RM156.71 bagi 100 gram manakala emas 916 (22K) RM143.90 bagi 100 gram.

Pelakon terkenal Hollywood, Nicole Kidman pernah memakai rantai leher antara yang termahal di dunia iaitu bernilai RM4 juta. Rantai emas yang disaluti berlian 2.5 karat itu dipakai semasa dia berlakon filem Moulin Rouge pada tahun 2001.

Menurut Hairulazwan, rekaan setiap barang kemas dibuat menggunakan aplikasi komputer.

"Kemudian, pekerja kilang akan melebur kepingan-kepingan kecil emas seberat 5 kilogram (kg) menggunakan mesin khas pada suhu sekitar 1000 darjah Celcius.

"Selesai tahap itu, emas yang dilebur akan dimasukkan ke dalam bekas acuan berbentuk batang dan jongkong sebelum disejukkan menggunakan air sabun dan air paip dalam tempoh kurang seminit.

Pembelian pukal

"Kemudian, batang dan jongkong tadi dipotong dan dibentuk oleh pekerja menggunakan mesin mengikut rekaan yang diminta pelanggan," katanya.

Kaedah lain untuk menghasilkan barang kemas ialah menggunakan replika pokok yang diperbuat daripada lilin dan tanah liat. Pokok itu kelihatan seperti bunga emas yang dijadikan ufti semasa zaman raja-raja Melayu dahulukala.


MEMILIKI aksesori emas seperti gelang, rantai dan cincin sememangnya menjadi idaman setiap wanita.


"Daun-daun pokok itu akan dibuat katalah dalam bentuk cincin. Biasanya ada kira-kira 100 helai bunga cincin pada sebatang pokok. Selepas itu, bunga-bunga cincin tadi disadurkan dengan emas. Setelah cincin emas terbentuk, proses seterusnya ialah menyingkirkan lilin dan tanah liat menggunakan mesin khas.

"Ini bagi memastikan emas, tembaga dan platinum sahaja yang menjadi bahan asas barang kemas berkenaan.

"Selepas dikeringkan, cincin itu selalunya akan terus berkilau," katanya.

Menurut Hairulazwan, tiada tempoh tertentu untuk seorang tukang emas mahir menghasilkan aksesori emas kerana kebanyakan proses tersebut menggunakan peralatan moden.

Tambahnya, seramai 60 pekerjanya mendapat ilmu daripada tukang emas terdahulu.

Hairulazwan juga sempat berkongsi kisahnya menghasilkan gelang dan rantai sendiri untuk diberikan kepada isterinya pada ulang tahun kelahiran wanita itu.

"Siapa tak sayangkan isteri, hadiah itu agak kecil berbanding pengorbanannya," ujarnya berfalsafah.

Difahamkan, Hana Gold menjual barangan kemas tersebut di 14 cawangan kedai emasnya mengikut harga semasa. Apa yang menarik, ia tidak mengenakan kos upah seperti yang diamalkan kebanyakan pengusaha kedai emas lain.

Menurut Pengarah Pemasaran Hana Gold, Nadia Yahaya, pihaknya tidak mengenakan caj upah memandang setiap kali membeli emas mentah, mereka membelinya sehingga 100 kilogram secara pukal dari pasaran dunia semasa harganya agak kompetitif.

"Jadi kos tersebut dapat diserap tanpa perlu caj tambahan ke atas pembeli," katanya.

Bagi pemilik Hana Gold cawangan Putrajaya, Dayangku Ramlah Awang Win, 38, berniaga emas banyak kelebihannya.

"Wanita sememangnya menggemari emas. Tambahan pula, barangan kemas rekaan Hana Gold boleh dikatakan cantik-cantik tetapi berharga lebih murah. Jadi inilah masa yang sesuai untuk wanita di luar sana membeli barang kemas sama ada untuk dipakai atau dijadikan pelaburan," katanya.

Harapkan jaga, jaga rompak tuan

Posted:

Harapkan jaga, jaga rompak tuan

Harapkan jaga, jaga rompak tuan

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my


PENGAWAL keselamatan perlu mempunyai lesen senjata api bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kawalan bersenjata.


IRWAN Kamarudin, 37, tidak menyangka perbualan menerusi telefon bimbit bersama isterinya, Norazita Abu Talib pada pukul 5.15 petang, 23 Oktober lalu bakal menjadi kenangan terakhir mereka.

Apa tidaknya, kira-kira sejam selepas membuat panggilan, Norazita yang bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah bank mati dalam keadaan menyayat hati selepas ditembak oleh pengawal keselamatan di premis itu.

Lebih memilukan, ibu kepada dua orang anak itu ditemui berlumuran darah dalam keadaan terbaring dengan separuh daripada kiri wajah dan kepalanya pecah akibat ditembak dari jarak dekat dengan senjata api jenis pump gun.

"Lemah kaki dan menggigil badan saya apabila mengetahui wanita yang mati ditembak di dalam bank tersebut ialah isteri saya," kata Irwan.

Kejadian yang berlaku di Subang Jaya, Selangor itu tercetus ketika mangsa bersama empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan untuk melakukan rompakan.

Hasil siasatan polis mendapati suspek yang berjaya melarikan wang berjumlah RM450,000 daripada bank tersebut menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Ardi Hamza dan dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Belum pun selesai kes itu, negara sekali lagi digemparkan dengan jenayah rompakan melibatkan seorang lagi pengawal keselamatan kali ini di sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

Pengawal keselamatan kedai emas terbabit bertindak mengacukan pistol kepada pengurus kedai dan enam pekerja lain sebelum melarikan satu dulang barang kemas yang disusun di dalam cermin pameran premis itu.

Suspek yang dikenali sebagai Hikman Jacob itu juga berkemungkinan warga Filipina yang menyamar sebagai rakyat Malaysia dan menggunakan kad pengenalan palsu.


RAKYAT asing hanya dibenarkan bertugas sebagai pengawal keselamatan tanpa bersenjata di negara ini. - Gambar hiasan


Warga asing

Menurut Presiden Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib, hampir 30,000 pengawal keselamatan yang digaji oleh pemilik premis di sekitar Lembah Klang adalah pekerja tidak berdaftar.

Katanya, sebahagian daripada pekerja tidak sah itu merupakan pendatang haram dari negara Bangladesh, Nepal, India, Sri Lanka, Vietnam dan Myanmar.

"Pemilik premis gemar menggaji warga asing kerana gaji yang perlu dibayar lebih murah malah majikan tidak perlu membayar caj lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja," katanya.

Majikan juga seolah-olah tidak ambil peduli apabila memberi kepercayaan kepada jaga warga asing untuk menjadi pengawal bersenjata sedangkan tugas itu hanya boleh dijawat oleh pengawal tempatan.

Justeru, syarikat kawalan keselamatan perlu membuat semakan latar belakang calon pekerja secara teliti dan terperinci semasa proses pengambilan pekerja dilakukan.

"Mengikut Akta Agensi Persendirian 1971, seorang pengawal perlu terlebih dulu melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Dia (pengawal) harus sihat tubuh badan, waras, bebas daripada rekod jenayah lampau dan tidak menagih dadah sebelum diambil bekerja," tegas Presiden Persatuan Keselamatan Profesional Asia (APSA), Datuk Seri Mustapa Ali.


SEBAHAGIAN daripada pengawal keselamatan warga asing yang ditahan dalam Operasi Khas Pengawal Keselamatan pada 7 November lalu.


Senjata api

Bertutur lanjut, Mustapa memberitahu, pengawal juga perlu mempunyai lesen senjata api dan lesen membawa serta menggunakan senjata api bagi membolehkannya menjalankan aktiviti kawalan bersenjata.

"Mereka juga perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan dalam pengendalian senjata api seperti yang telah ditetapkan dalam Peraturan Tetap Operasi (PTO) yang dikeluarkan KDN bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor, memberitahu, senjata api yang digunakan untuk menjaga keselamatan premis mesti didaftarkan di balai-balai polis setiap daerah.

Katanya, lesen senjata api hendaklah diperbaharui setiap tahun mengikut tarikh yang ditetapkan.

"Lesen itu juga perlu didaftar semula di balai-balai polis di kawasan senjata itu digunakan.

"Menerusi cara ini, pihak polis dapat memantau penggunaan senjata api tersebut," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved