Selasa, 19 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lipat 7,000 sampul sebulan

Posted:

Lipat 7,000 sampul sebulan

Lipat 7,000 sampul sebulan

SAMPUL surat berwarna putih itu ditelitinya dengan rapi. Setiap lipatan di keempat-empat penjuru kertas bersaiz A4 itu kelihatan kemas seolah-olah dihasilkan oleh mesin mencecah jutaan ringgit.

Potongan di sepanjang bukaan sampul surat berbentuk segi empat tepat itu ditenung dalam-dalam sambil otaknya ligat mencari perkataan yang sesuai bagi menggambarkan ketelitiannya.

Berpandukan sekeping sampul surat, lelaki itu mencapai sehelai kertas lalu dilipat-lipatnya bagi menghasilkan bentuk yang sama. Bagaimanapun, selepas beberapa minit mencuba, dia hanya mampu mengeluh.

"Tengoklah hasil lipatan saya. Bukan saja tidak kemas, malah untuk melipat sehelai sampul surat pun mengambil masa lima minit. Cuba lihat hasil tangan mereka? Memang saya kagum," ujar Abdul Aziz Abas, 42, tatkala diberitahu mengenai latar belakang pengeluar sampul surat yang dipegangnya.

Sampul surat rasmi yang digunakan oleh Hospital Pekan sejak empat tahun lalu sebenarnya dihasilkan oleh 14 Orang Kelainan Upaya (OKU). Mereka beroperasi di sebuah bengkel kecil kendalian Persatuan Pemulihan Orang Cacat Sungai Lembing, (PPOC) Kuantan, Pahang.

Abdul Aziz, pembantu tadbir stor perubatan Hospital Pekan mengakui pada mulanya dia berasa sangsi dengan kemampuan syarikat berkenaan untuk menghasilkan sampul surat berkualiti. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui kesemua pekerja syarikat tersebut merupakan golongan OKU.

Keadaan bengkel yang hanya dilengkapi mesin dan fasiliti yang minimum turut menggugat keyakinan Abdul Aziz yang diamanahkan untuk mengawal selia proses pembelian sampul surat untuk kegunaan rasmi hospital.

"Sampul surat yang kami tempah akan digunakan untuk segala urusan rasmi antara hospital dengan pihak luar termasuklah orang ramai, justeru kami harus memastikan kualitinya dalam keadaan baik.


GOLONGAN OKU yang ingin bekerja di bengkel Sungai Lembing perlu menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan bagi menguji kemampuan mereka bekerja.


"Apa yang mengejutkan, sampul surat yang dihasilkan golongan OKU bukan sahaja menepati kehendak kami, malah setanding sampul surat yang dihasilkan syarikat-syarikat besar yang lain," ujarnya memuji inisiatif yang diambil oleh PPOC.

Selain institusi-institusi kerajaan, bengkel sampul surat milik PPOC turut bertanggungjawab menghasilkan sampul surat kepada beberapa buah universiti tempatan dan orang perseorangan.

Antara sampul surat yang dihasilkan di bengkel tersebut termasuklah jenis DL yang bersaiz 110mm x 220mm, C5 (separuh saiz A4), sampul surat bersaiz A4 dan bersaiz A3.

Dianggarkan setiap bulan, jumlah sampul surat yang mampu dihasilkan oleh bengkel berkenaan menjangkau 7,000 keping.

Punca pendapatan

Salah seorang pekerja yang paling lama berkhidmat di bengkel sampul surat berkenaan, Safianuddin Kassim, 52, memberitahu kewujudan bengkel berkenaan telah memberi peluang kepada golongan OKU untuk merasai kehidupan berdikari seperti individu normal yang lain.

"Kami bekerja sama seperti kebanyakan orang lain iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari kecuali hujung minggu. Dalam sehari, setiap seorang daripada kami mampu untuk menghasilkan kira-kira 100 hingga 1,000 keping sampul surat.

"Bayaran pula bergantung kepada jumlah sampul surat yang dihasilkan. Setiap keping sampul surat berharga dalam lingkungan antara 0.3 sen hingga 0.40 sen bergantung kepada saiz," ujarnya yang mampu menjana pendapatan sekitar RM700 sebulan.

Walaupun gaji yang diterima tidak mewah, dia yang mengalami kecacatan pada kaki kirinya sejak lahir berkata, bekerja di bengkel berkenaan seolah-olah memberi peluang untuknya merasai hasil titik peluh sendiri. Dengan wang yang dikumpul hasil pekerjaan tersebut, Safianuddin mampu membeli basikal, pakaian dan barangan keperluan yang lain.


BENGKEL Sampul Surat Sungai Lembing mempunyai kira-kira 1,300 ahlidi seluruh negeri Pahang.


"Ramai yang beranggapan golongan OKU tidak mampu berdikari dan hanya mengharapkan belas kasihan masyarakat, namun perkara ini tidak benar.

"Golongan seperti kami sebenarnya mampu mencari rezeki sama seperti orang lain. Apa yang kami perlukan ialah sedikit dorongan dan kepercayaan," luahnya melahirkan rasa kecewa dengan tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap individu sepertinya.

Safianuddin yang sudah dua dekad berkhidmat di bengkel berkenaan turut melahirkan rasa terima kasih kepada majikannya di atas layanan yang disifatkannya sebagai ibarat tinggal dengan keluarga.

"Kami bukan setakat bekerja di sini, malah kami turut tinggal bersama-sama di hostel yang disediakan. Segala-galanya dilakukan bersama-sama seperti memasak, makan dan beriadah. Kami ibarat sebuah keluarga," ujarnya yang tinggal bersama 14 OKU yang lain.

Terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan, bengkel milik PPOC yang dibina di kawasan seluas 0.4 hektar itu mempunyai beberapa bangunan utama termasuklah bengkel memproses sampul surat, rumah penyelia, dewan makan dan stor.

Layanan baik

Turut dibina di atas tanah yang sama, sebuah blok asrama yang menempatkan 14 OKU. Mereka terdiri daripada OKU yang mengalami kecacatan anggota badan dan kecacatan akal atau lembam.

Dua daripada 14 OKU yang bekerja di situ juga merupakan orang pekak dan bisu.

"Saya baru lima bulan bekerja di sini. Pada mulanya saya berasa sedikit kekok sewaktu cuba untuk menyesuaikan diri namun, layanan oleh rakan-rakan sekerja yang lain banyak membantu.

"Walaupun agak sukar untuk berkomunikasi memandangkan keadaan saya yang bisu dan pekak, rakan-rakan yang lain tidak pernah meminggirkan saya malah kami ibarat adik-beradik," ujar Mohd. Amree Ahmad Wizran, 19, salah seorang daripada pekerja di bengkel berkenaan.

SAMPUL surat merupakan salah satu medium komunikasi yang masih digunapakai masa kini. -Gambar hiasan


Bercerita dengan cara menulis di atas kertas, Amree mengakui kadangkala berlaku perselisihan faham antara pekerja-pekerja di bengkel berkenaan tetapi ia tidak pernah berpanjangan.

Kata pemuda bertubuh langsing itu, setiap seorang daripada mereka mempunyai perangai dan peribadi tersendiri, justeru mereka harus belajar bertolak ansur.

Pemegang diploma daripada salah satu institusi pengajian tinggi tempatan itu, sama seperti sebuah keluarga, si ibu memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan 'anak-anaknya' terjaga rapi dan dapat menangani semua masalah dengan bijak.

"Untuk kami yang menetap dan bekerja di sini, watak ibu haruslah dipegang oleh pengurus bengkel ini sendiri iaitu Puan Suhaili Abu Saari. Dialah yang banyak membantu dan melayan kerenah kami semua," luahnya sambil tersenyum.

Gadai nyawa demi emas

Posted:

Gadai nyawa demi emas

Gadai nyawa demi emas


PELOMBONG ini gigih memecahkan batu untuk mencari emas.


HERNAN PINEDA menggadai nyawa setiap hari dengan menggali emas di sebuah lombong tidak berlesen di sebuah perkampungan kecil di San Antonio, Columbia.

Rata-rata penduduk di San Antonio yang terletak di barat laut negara itu, menetap dalam pondok yang diperbuat daripada plastik atau kayu. Justeru, pendapatan lumayan hasil mencari emas sukar dilepaskan.

Kini, setelah penempatan itu didirikan kira-kira dua tahun lalu terdapat beberapa kemudahan yang membantu kehidupan harian mereka seperti kedai gunting rambut, kedai telefon bimbit, kedai perdagangan emas dan kelab malam.

Colombia mempunyai lebih 14,000 lombong emas dan 56 peratus daripadanya tidak berlesen, kata pihak kerajaan.

Dari Januari 2012 hingga Jun lalu, seramai 86 orang terkorban manakala 39 yang lain cedera dalam kemalangan di kawasan perlombongan emas, menurut kementerian perlombongan negara berkenaan.

Pineda, 40, bapa kepada lapan orang anak merupakan salah seorang daripada 4,000 pelombong termasuk wanita dan kanak-kanak yang melombong emas di kaki gunung Antioquia.


MELOMBONG emas menawarkan pendapatan yang sangat lumayan kepada penduduk di San Antonio sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa berdepan bahaya.


Sangat lumayan

Dia bekerja di lombong haram itu sejak berumur 13 tahun. Di San Antonio, dia memperoleh pendapatan berdasarkan emas yang ditemui setiap hari. Setakat ini, pendapatannya sangat lumayan.

"Saya melabur wang yang diperoleh dengan membeli gerudi dan bersama rakan kongsi, kami melombong emas di sini," katanya yang turut memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya untuk membeli bahan letupan bagi memudahkan kerja-kerja melombong emas.

Dia bersama sekumpulan 20 orang pelombong akan memasang bahan letupan bagi tujuan memecahkan tanah dan batu serta membuat lubang alur bagi memudahkan dan menjamin keselamatan mereka ketika kerja-kerja melombong emas dilakukan.

Kegilaan melombong emas tersebut telah menarik ramai pelombong dari luar Antioquia untuk mencari lebih banyak logam yang bernilai tinggi itu.

Pekerjaan tersebut memang teruk, namun hasil yang diperoleh sangat lumayan. Kadangkala, mereka mampu memperoleh pendapatan harian sebanyak $265 (RM848), iaitu kira-kira 30 hingga 40 peratus berbanding nilai emas tersebut.

Pineda pula memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding pelombong-pelombong lain di bawahnya. Dia mampu memperoleh sehingga RM40,408 sebulan. Dia kini menyewa sebuah apartmen kira-kira 30 kilometer dari lombong berkenaan dan setiap seminggu dia ke Medellin untuk berjumpa teman wanitanya.

Dia sedar akan bahaya pekerjaannya yang berdepan risiko kematian ekoran keadaan lombong yang kurang selamat.

"Melombong emas sememangnya bahaya. Justeru, kami akan berusaha untuk memperoleh emas sebanyak mungkin. Bilangan pelombong yang semakin ramai memerlukan kami bekerja lebih cepat," katanya lagi.

Selain itu, katanya, terdapat juga risiko kerajaan menutup lombong berkenaan. Malah, kerajaan telah mengumumkan kawasan tersebut berbahaya dan berhasrat mengeluarkan kesemua pelombong emas.


KAWASAN lombong yang curam ini amat berbahaya kepada para pelombong.


Gelombang seismos

"Ia adalah sebuah kawasan yang mempunyai banyak aktiviti gelombang seismos. Gunungnya curam dan sangat berbahaya. Makin ramai pelombong, makin lemah struktur gunung yang boleh menyebabkan risiko tanah runtuh," kata Cesar Hernandez, pengarah pengurusan risiko Antioquia.

"Penempatan penduduk di San Antonio tanpa infrastruktur pengurusan air yang baik menyebabkan banyak kawasan ditakungi air sekali gus memburukkan lagi keadaan," katanya lagi.

Selepas 27 tahun bekerja menarah permukaan perut bumi, Pineda telah menyaksikan banyak kemalangan yang membabitkan rakan-rakannya termasuk ada yang terbunuh, buta dan lumpuh seumur hidup.

Pineda berkata, dia juga mempunyai masalah paru-paru yang serius. Ekoran itu, dia berhasrat untuk berhenti melombong dan bekerja di kedai yang dibelinya di Medellin, wang hasil kerja perlombongan.

Tetapi ia adalah satu keputusan yang sukar, katanya: "Godaan emas adalah besar dan hebat." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved