Khamis, 21 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fezrul, Intan hadapi tekanan

Posted:

Fezrul, Intan hadapi tekanan

Fezrul, Intan hadapi tekanan

MERAIH peluang untuk memegang watak utama dalam sebuah filem yang bertemakan percintaan yang agak berat, pelakon Fezrul Khan merasakan tawaran berlakon dalam filem Aku Pilih Kamu itu tidak harus dilepaskan sama sekali.

Tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam filem berkenaan tetapi Fezrul memberitahu, dia terpaksa berhadapan dengan tekanan pada peringkat awal sewaktu hendak memulakan penggambaran sekitar bulan Mac lalu.

"Mungkin ramai tidak tahu yang saya pernah hampir menolak untuk membintangi filem ini memandangkan isteri saya ketika itu sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk melahirkan cahaya mata sulung kami.

"Ketika itu perasaan saya berbelah bahagi sama ada mahu terima atau tolak kerana mengenangkan isteri di rumah. Selain itu, saya cukup risau sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada produksi," ujarnya ketika memulakan bicara.

Bagaimanapun, dengan sokongan yang diberikan isteri tercinta, akhirnya dia menerima tawaran tersebut dan Eyra Rahman selaku pengarah filem itu pula bersetuju untuk memberi kelonggaran dan memahami situasi yang melanda dirinya saat itu.

INTAN mengakui ditawarkan membintangi filem Aku Pilih Kamu, tiga hari sebelum penggambaran bermula.


Menceritakan lebih lanjut tentang pembabitannya dalam filem tersebut, pelakon yang memegang watak Mohd. Alif itu menyatakan, dia terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Cameron Highlands memandangkan penggambaran dilakukan di sana.

Mengakui langkah sedemikian membuatkan dirinya berasa penat dan boleh menjejaskan tumpuan lakonannya, dia menganggap bahawa ia merupakan satu pengorbanan yang cukup besar sepanjang bergelar pelakon.

"Saya mula terbabit dalam penggambaran sejak hari pertama lagi di Cameron Highlands. Sebaik sahaja selesai saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan sudah ditakdirkan isteri saya bersalin pada keesokan harinya.

"Kemudian saya sempat meluangkan masa bersama anak dan isteri selama sehari sahaja sebelum pergi semula ke Cameron Highlands untuk menyambung penggambaran sehingga selesai," ujar ayah kepada Farrell Khan yang kini sudah mencecah usia lapan bulan itu.

Aku Pilih Kamu yang mula ditayangkan di pawagam sejak 14 November lalu mengisahkan tentang Qesya lakonan Intan Ladyana yang kurang mendapat perhatian setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya pula sibuk dengan kerjaya sebagai pegawai tentera.

Apabila dewasa, timbul konflik antara hubungan anak dan bapa apabila dia dijodohkan dengan Alif, sedangkan pada masa yang sama dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri iaitu Iskandar (Zain Hamid).

Berkenaan dengan wataknya sebagai Alif pula, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Jelatang itu memberitahu, mainan emosi dalam karakter yang dibawakannya itu merupakan satu lagi cabaran yang harus ditempuhinya.


WALAUPUN sibuk di lokasi penggambaran filem Aku Pilih Kamu, namun Fezrul sering terbayang wajah isteri dan anaknya di rumah.


"Kalau boleh saya mahu lakonan yang ditampilkan itu nampak asli dan penonton dapat merasai emosi yang ada dalam diri Alif. Namun begitu, adakalanya saya lari seketika daripada karakter yang dimahukan oleh pengarah tetapi saya sudah lakukan yang terbaik.

"Saya tidak nafikan ia berlaku apabila fikiran saya sedikit terganggu apabila terbayangkan isteri dan anak di rumah.

"Bagaimanapun, saya anggap ia satu pengalaman bermakna serta cabaran yang paling getir pernah dilalui sepanjang menjadi pelakon," ujarnya.

Produksi luar

Biarpun sudah agak lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan semakin mendapat pujian ramai pihak, Fezrul tidak pernah dilihat tampil dengan produksi luar, selain Metrowealth untuk layar perak.

Ujarnya, dia sendiri sebenarnya mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja dengan produksi luar, malah Metrowealth sendiri memberi galakan kerana ia dilihat sebagai langkah mendapat pengalaman yang lebih luas.

"Kalau diikutkan saya sudah kerap berlakon dengan produksi luar untuk drama bersiri atau telemovie tetapi peluang dalam filem pula masih lagi belum tercapai setakat ini.

"Sebenarnya sudah beberapa kali saya memperoleh tawaran daripada syarikat luar, namun saya terpaksa menolaknya kerana bertindih dengan jadual lain. Kalau ada peluang lain serta bersesuaian dengan watak, saya bersedia untuk menerimanya," jelas Fezrul.

Mengenai perkembangan terbaharunya pula, Fezrul bakal membintangi sebuah lagi filem baharu berjudul Kitai bersama beberapa pelakon popular lain seperti Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

Saat akhir

Selain Fezrul, seorang lagi bintang utama dalam filem Aku Pilih Kamu iaitu Intan Ladyana menceritakan, dia turut berhadapan dengan tekanan memandangkan tawaran diterima pada saat-saat akhir.

Menurut Intan, dia hanya ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan kira-kira tiga hari sebelum penggambaran bermula kerana terpaksa menggantikan pelakon asal yang mempunyai komitmen lain.

"Sudah tentu tempoh yang saya ada sangat singkat dan persediaan untuk menghayati karakter sebagai Qesya juga kurang. Memang terdapat sedikit tekanan yang dirasai tetapi itu semua tidak menjadi penghalang buat saya melakonkannya dengan sebaik mungkin.


FEZRUL dan Intan banyak terbabit dalam permainan emosi bagi menghidupkan karakter mereka menerusi filem Aku Pilih Kamu.


"Walaupun ini kali pertama saya berlakon bawah arahan Eyra, namun dengan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kami membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah," ujarnya.

Berkongsi cerita mengenai watak yang dibawakannya itu pula, Intan memberitahu, antara cabaran yang agak menarik adalah mewujudkan perasaan benci terhadap Alif yang dibawakan oleh Fezrul.

Ia disebabkan pada peringkat awal penceritaan dalam filem berkenaan memaparkan kebencian Qesya yang mendalam terhadap Alif gara-gara dipaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak dicintainya.

"Sepanjang berada di lokasi penggambaran Fezrul selalu menyakat saya sehingga timbul sedikit kebencian terhadapnya. Jadi, perasaan benci itu turut terbawa-bawa semasa penggambaran," selorohnya sambil turut memberi pujian terhadap lakonan yang ditampilkan Fezrul dan Azhan Rani.

Bagaimanapun, Intan menyatakan menerusi filem ini penonton akan melihat sisi lain lakonannya yang sebelum ini lebih banyak tampil dalam filem yang bergenre komedi, aksi dan seram.

Boy Iman saman ustaz RM3 juta

Posted:

Boy Iman saman ustaz RM3 juta

Boy Iman saman ustaz RM3 juta

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

MEMBERI notis saman malu sebanyak RM3 juta, ironinya, Boy Iman masih tidak menandatangani sebarang kontrak bersama Alfalfa Group selaku duta mereka.


BARU-BARU ini, pelakon dan penerbit AFS Consortium, Norul Iman A Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman telah mengemukakan notis saman malu terhadap pihak Alfalfa Group.

Notis saman yang berjumlah RM3 juta itu dikeluarkan atas alasan menanggung malu serta pengingkaran kontrak oleh Alfalfa Group yang mengambil Boy Iman sebagai duta projek perumahan mereka.

Boy Iman yang hadir bersama peguam Mohd. Faizul Nasir memberitahu bahawa pihaknya akan memberi notis selama 14 hari kepada pihak Alfalfa untuk memberi respons.

Walaupun belum menandatangani kontrak menjadi duta, namun Boy Iman akan tetap meneruskan saman bagi menanggung kos yang telah dikeluarkannya sepanjang terlibat dengan projek perumahan tersebut.

Ikuti penjelasan Boy Iman ketika mengadakan sidang akhbar yang bertempat di Bora Ombak, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh ceritakan dengan ringkas tentang kes ini?

BOY IMAN: Sidang akhbar ini dibuat untuk memberitahu yang saya ingin mengemukakan notis saman malu terhadap pemilik Alfalfa Group, Ustaz Norsham Abd. Aziz. Ini kerana dia telah mengingkari kontrak tentang pelantikan saya sebagai duta projek perumahan banglo mampu milik dan membuat kenyataan yang memalukan saya di Facebook. Dengan ini, saya memberi beliau notis selama 14 hari bagi penyelesaian di luar mahkamah. Jika tiada maklum balas, maka kes ini akan saya failkan di mahkamah.

Sejauh mana perkenalan anda dengan bersama pemilik syarikat Alfalfa itu?

Saya sebenarnya tidak berapa mengenali Norsham. Saya ada berurusan perniagaan dengan beliau. Saya ada menguruskan majlis yang mana saya menggunakan kanopi dan katering daripada beliau. Saya kenal beliau sejak tahun 2005 lagi.

Bila pihak Alfalfa memberikan tawaran kepada anda menjadi duta syarikat mereka?

Tawaran itu dibuat pada bulan April 2013, sekembalinya beliau (Norsham) daripada menunaikan umrah. Norsham memberitahu saya yang beliau berminat untuk mengambil saya bagi projek ini.

Sewaktu menerima tawaran tersebut, anda tidak selidik dahulu latar belakang pihak Alfalfa?

Ketika beliau menawarkan kepada saya, sudah tentu saya selidik dahulu. Jadi, memang bagi saya tidak logik untuk sebuah rumah banglo hanya bernilai RM89,000. Kami sudah fikirkan perkara tersebut, namun kami punya cara untuk siasat dan mendapati apa yang dikatakannya memang benar. Jadi, saya pun bersetuju untuk menjadi duta syarikat tersebut. Bukan sahaja duta syarikat, malah saya juga menjadi perancang acara dan media.

Jika melihat latar belakang anda, hanya hiburan. Namun, anda melibatkan diri dalam bidang hartanah dan mungkin pengalaman juga kurang. Mengapa anda tidak fikir risiko yang akan ditanggung, tambahan pula menjadi duta syarikat yang anda sendiri masih ragu-ragu?

Sebenarnya sebelum ini memang saya buat pelbagai perniagaan termasuk pemasaran. Saya juga punya produk sendiri, produksi serta beberapa perniagaan lain. Jadi, ketika ditawarkan oleh syarikat tersebut, saya fikir ia merupakan satu bidang baharu bagi syarikat kami. Apa yang saya fikirkan, mungkin jika tentang pemasaran, maka insya-Allah kami mampu lakukan. Saya fikirkan perkara ini merupakan satu permulaan untuk saya belajar tentang bidang yang baharu pula.

Selepas kenyataan memalukan anda yang dibuat di laman sosial Facebook Ustaz Norsham Abd. Aziz, adakah anda cuba untuk menghubungi pihaknya?

Memang ada. Setelah dia mengeluarkan kenyataan di Facebook, saya telah menghubungi dan berbincang secara baik dengannya tapi dia marah saya semula. Ada sedikit pertikaman lidah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mengapa jumlah saman yang dikemukan sehingga mencecah RM3 juta dan berapa sebenarnya jumlah kerugian yang dialami anda sendiri?

Jumlah kerugian yang saya alami ialah sebanyak RM520,000. Sebanyak RM500,000 untuk menjadi duta dan RM20,000 untuk kos pemasaran yang saya keluarkan. Bagaimanapun, saya telah gunakan tenaga saya untuk membantunya dalam projek tersebut. Tambahan pula saya tertekan dengan keadaan tersebut. Reputasi dan maruah saya juga tercalar.

Momentum dua dekad Ning

Posted:

Momentum dua dekad Ning

Momentum dua dekad Ning

Oleh IZWAN MOHD. ISA


PERJALANAN Konsert Pelangi Untukmu sarat dengan emosi yang bercampur baur antara gembira dan duka hasil alunan lagu-lagu penuh impak Ning.


SUASANA tenteram di dalam auditorium Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu bertukar hingar-bingar tatkala penyampai radio Suria FM, Linda Onn naik ke atas pentas menandakan bermulanya perjalanan Konsert Pelangi Untukmu oleh penyanyi bersuara saprano, Ning Baizura.

Bertindak sebagai pengacara, Linda begitu sinonim dengan kepetahan tutur bicaranya berinteraksi dengan para peminat bagi membangkitkan lagi kemeriahan atmosfera auditorium tersebut.

Usai pengacara memperihalkan perjalanan konsert dan beberapa peraturan yang perlu diikut oleh para penonton, alunan muzik yang dipimpin oleh Alwin Santiago mula berkumandang rancak mengiringi kemunculan Ning Baizura yang berjalan keluar dari celah-celah penonton menuju ke atas pentas.

Bak primadona, penyanyi yang berusia 38 tahun itu tampak begitu anggun mengenakan busana malam berwarna biru kobalt rekaan Shime Mandagie, adik kepada pereka fesyen terkemuka tanah air, Jovian Mandagie.

Konsert untuk peminat dan anak

Mempertaruhkan Asmara sebagai lagu pembukaan, Ning seakan-akan membawa penonton yang hadir terbang ke zaman awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.

Segmen pertama diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu seperti Kau Dan Aku, Kembali, Selagi Ada, Mama Papa dan Bukan Sebarangan.

Sebelum mendendangkan lagu Teguh, Ning terlebih dahulu menyuarakan rasa terima kasihnya kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya selama 20 tahun dia bergelar anak seni.

"Kalau tak kerana anda, saya tidak akan berdiri teguh di sini," katanya tersenyum.

Peranan Ning sebagai ibu sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan Konsert Permata Untukmu. Rangkaian lagu-lagu seperti A Mother's Prayer, Ibu, Pelangi Untukmu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Erti Pertemuan memenuhi segmen kedua yang ditujukan khas buat anak lelakinya, Ryan Sky Dalton.


NING menujukan lagu A Mother's Prayer buat anak sulungnya, Ryan Sky Dalton.


"Saya sering menyanyikan lagu A Mother's Prayer untuk Ryan dan dia sangat menyukainya. Lagi tinggi suara saya, lagi besar matanya terbuka," seloroh Ning.

Sebelum mengalunkan lagu A Mother's Prayer, suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton naik ke atas pentas sambil mendukung anak mereka, Ryan.

"Lagu ini khas untuk kamu sayangku," ujar Ning lagi.

Sebak

Turun naik adrenalin para penonton akhirnya sampai ke kemuncak apabila Ning membuka segmen terakhir dengan lagu 'berhantu'nya, Curiga.

Rendisinya pada kali ini kedengaran lebih bertenaga, ditambah dengan kesungguhan para peminat yang ikut menyanyi bersama.

Antara lagu-lagu popular lain yang turut disampaikan menerusi segmen terakhir ini termasuklah Pasti, Ke Sayup Bintang, Bila, Penjara Kasih, In Another Life, Antara Kita dan Awan Yang Terpilu.

Namun, mood ceria pada malam itu bertukar sedih apabila Ning selesai melantunkan lagu Dugaanku. Dia seakan-akan tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh kerana terlalu sebak mengenangkan persamaan kisah hidupnya dengan penceritaan lagu tersebut.

"Banyak halangan dan pancaroba yang terpaksa saya harungi demi memahat nama sebagai insan seni," keluh Ning sambil menyeka air mata yang jatuh.

Bijak menangkis permainan emosi, Ning kembali ceria dengan mengambil permintaan lagu daripada peminat dan menyanyikannya secara spontan.

Antara lagu-lagu yang dinyanyikan secara ringkas termasuklah Aku Cinta Kamu, I'll Be There, I Will Always Love You dan Sayang Disayang.

Selesai menyanyikan 23 buah lagu, Ning mendendangkan lagu yang terakhir, Bukan Wanita Sempurna hasil ciptaan Alwin Santiago sebagai melabuhkan tirai konsert pada malam tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved