Isnin, 28 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Keperibadian Habib cairkan Diana

Posted:

Keperibadian Habib cairkan Diana

Keperibadian Habib cairkan Diana

WAJAH berseri penuh dengan ketenangan setelah saat cinta disatukan dalam ikatan sah untuk melayari bahtera cinta jelas terpancar pada wajah ayu dan anggun Diana Amir dan si jantung hatinya, Mohd. Habib Bullah apabila selamat diijabkabulkan.

Tepat pukul 9.30 pagi, pasangan dua sejoli ini telah sah bergelar suami isteri. Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim mengalirkan air mata pada saat Habib melafazkan akad nikah.

Dengan sekali lafaz jelas sinar seri pengantin terpancar pada wajah mereka.

"Sebelum melangkah masuk ke pekarangan masjid jantung saya berdegup kencang, tapi saya berselawat untuk menenangkannya.

"Walaupun sebelum ini saya bertemu dengan ramai orang, namun perasaan kali ini cukup berbeza. Alhamdulillah syukur kepada Ilahi kerana mempertemukan kami dan mempermudahkan segala urusan," luah Diana mengenai perasaan ketika ditanya pihak media.

Majlis akad nikah bertemakan taman kristal hasil ilham daripada penaja dekorasi Saiful Sin. Bersesuaian dengan konsep tersebut, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Precint 3, Putrajaya dipilih sebagai lokasi ikatan bahagia terjalin.

Pasangan mempelai mengenakan busana indah hasil cetusan idea Ezuwan Ismail. Habib mengenakan baju Melayu putih bersamping songket merah jambu sedondon dengan Diana bergaun merah jambu.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu dalam kalangan rakan media, rakan artis, sahabat dan juga saudara-mara kedua-dua belah pihak.

Bicara Habib pula, perasaan gemuruh dan gementar tetap ada walaupun dari segi luaran jelas nampak tenang. Tanggungjawab dirinya kini lebih besar untuk menjadi pemimpin kepada isteri tercinta.

"Ketika melangkah masuk ke dalam masjid, hati saya berdebar-debar. Namun dengan doa dan semangat yang diberikan oleh keluarga tercinta saya dapat tenangkan.

"Doa ibu ayah dan kawan-kawan banyak membantu saya untuk bertenang. Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar," ujar Habib.


DIANA bersyukur kerana kini bersuamikan Habib dan teruja untuk bergelar ibu.


Berkongsi keistimewaan pasangan masing-masing, tutur Diana memulakan kisah perkenalan mereka berdua, dia tertarik dengan kebijaksanaan, kesabaran serta pengetahuan agama Habib.

"Saya mula kenal Habib ketika kami bertemu dengan tidak sengaja. Pada ketika itu, kawan saya yang merupakan seorang pereka fesyen memperkenalkan kami berdua. Saya tertarik dengan penampilan dan keperibadian Habib.

"Selepas kami bertemu, saya mula menjejaki keperibadian Habib. Saya dapat tahu dia seorang yang mempunyai pengetahuan yang tinggi. Saya tertarik dengan apa yang dia miliki. Dari situ, saya mula berkomunikasi dengan Habib. Tidak sangka dia seorang yang baik hati.

"Ini jodoh kami. Kami memutuskan untuk mengikat tali pertunangan tahun lepas. Dari situ, saya banyak mengenali hati budi suami saya. Dia seorang yang penyabar dan bijak.

"Habib banyak memberi sokongan kepada saya. Dia begitu yakin dan percaya dengan saya," cerita Diana mengimbas kembali detik manis pertemuan mereka.

Habib yang sentiasa dengan senyuman manisnya itu menyambung bicara, dia pada mulanya tidak mengetahui bahawa dia akan diperkenalkan dengan seorang artis jelita.

"Saya tahu Diana merupakan seorang artis. Tetapi sebelum kami bertemu, saya tidak mengetahui dengan siapa saya akan diperkenalkan. Bila dah jumpa saya agak terkejut dapat berkenalan dengan Diana," tutur Habib sambil tersenyum memandang isteri tercinta.

Jelasnya lagi, dia yakin dengan ketentuan Ilahi. Diana merupakan satu anugerah Allah buat dirinya. Diana ialah amanah Allah kepada Habib. Ini merupakan tanggungjawab besar.

Selain itu, Habib terpesona dengan perwatakan lembut Diana. Diana banyak membantunya untuk memilih jalan untuk mereka disatukan. Dia memberi sokongan yang baik.

Berbicara tentang perancangan masa hadapan, mereka berdua tidak mempunyai masalah untuk melayari bersama bahtera perkahwinan.

Jelas Diana, mereka akan tinggal di Shah Alam, Selangor memandangkan Habib sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di situ.

Habib berhenti menjadi pensyarah di UiTM, Merbok, Kedah untuk memberi fokus kepada pengajiannya di UiTM, Shah Alam.

Sebagai seorang isteri, dia sentiasa memberi sokongan kepada suami untuk mendalami serta mencari pengetahuan ilmu yang berguna pada masa hadapan.

Menurut Habib pula, dia sentiasa inginkan yang terbaik buat isterinya dan tidak menghalang Diana untuk terus dengan karier sebagai artis dan usahawan.

"Saya sentiasa memberi sokongan kepada isteri saya. Asalkan perkara yang dilaksanakan itu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain serta kepada agama," tutur Habib dengan penuh tenang.

SETAKAT ini pasangan mempelai belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.


Ketika ditanya soal cahaya mata, kedua-dua mempelai ini tersenyum manis sambil memandang antara satu sama lain.

Mereka jelas telah bersedia untuk bergelar ibu bapa pada bila-bila masa. Anak merupakan penyeri rumah tangga di samping mengeratkan ikatan kekeluargaan.

"Diana merupakan seorang yang suka kepada budak. Jadi jika diizinkan Allah kami mendapat cahaya mata dalam masa terdekat ini, ia merupakan rezeki kami berdua," jelas Habib.

Diana dalam pada itu sempat berceloteh ketika ditanya tentang anak.

"Setakat ini kami belum ada perancangan untuk berbulan madu kerana masing-masing sedang sibuk menguruskan bisnes dan pengajian," ujar Diana menjawab soalan yang ditanya.

Dalam sibuk melayan pertanyaan pihak media, Diana sempat merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada peminat kerana sentiasa memberi sokongan yang positif terhadap diri dan kariernya.

"Saya berharap peminat mendoakan kebahagian buat mereka dalam melayari bahtera cinta kami. Saya rasa sangat bertuah kerana disayangi ramai orang. Harapan saya silaturahim yang terjalin akan kekal selamanya.

"Selain daripada itu, terima kasih dan penghargaan saya kepada pihak pengurusan MIG terutamanya David Teo yang banyak membantu memberi sokongan. Saya terharu dengan keprihatinan David. Ikatan kami ibarat satu keluarga," tutur Diana.

Sebelum mengakhiri bicara, pasangan mempelai mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir bagi memeriahkan majlis yang sederhana namun penuh makna.- SHARKAWI LONDING

Adam nafi rumah tangga goyah

Posted:

Adam nafi rumah tangga goyah

Adam nafi rumah tangga goyah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


ADAM pada hari pernikahannya dengan Fiza yang diapit oleh dua orang anaknya baru-baru ini.


MENGUCAP panjang apabila membaca kisah rumah tangga pasangan pengantin baharu, Adam AF2 dan isterinya Fiza (bekas anggota kumpulan Elite) yang kini dikatakan sedang goyah tersenarai dalam sebuah akhbar tempatan keluaran Ahad lalu.

Penulis akhbar tersebut mendakwa memperoleh berita tersebut (rumah tangga Adam, Fiza goyah) daripada seorang sumber yang juga kru penerbitan sebuah produksi baharu.

Antara yang terkandung dalam artikel akhbar tersebut menyebut Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman, 30, cemburu apabila melihat isterinya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 32, berbual dengan bekas kekasih ketika mereka secara kebetulan bertemu di sebuah stesen minyak.

Pergaduhan yang disifatkan penulis itu seperti 'perang dunia ketiga' bermula apabila pasangan tersebut pulang ke rumah.

Sumber kepada penulis itu juga memaklumkan, semasa pertelingkahan antara Adam dan Fiza terjadi, penyanyi yang kini mempunyai sebuah pusat perubatan Islam sendiri iaitu Nur Khalifah Al-Hasani di Kota Damansara, Selangor itu sempat mempertikaikan kisah silam isterinya itu dengan dakwaan negatif.

Akibatnya, mereka bergaduh besar sehingga terkeluar perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang isteri kepada suaminya.

Sumber tersebut juga menyebut, Fiza telah memaki Adam kerana tidak puas hati dengan sikap suaminya yang kuat cemburu itu. Akibatnya, rumah tangga pasangan suami isteri yang berlangsung kira-kira sebulan lalu itu goyah.

Adam dan Fiza, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pada 26 September lalu.

Enggan peminat membuat pelbagai andaian buruk, Kosmo! cuba menghubungi Adam untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut.

Adam yang sedang menjamu selera bersama isteri dan dua anak tirinya, Ferra Arynna, 5, dan Feeeya Adyrra, 4, ketika dihubungi, tersentak tatkala diberitahu akan hal itu.

Kosmo!: Adam, sila komen mengenai dakwaan yang mengatakan rumah tangga anda kini sedang goyah?

ADAM: Apa yang terjadi antara kami (Adam dan Fiza) tidaklah sehingga rumah tangga menjadi goyah.

Jadi, adakah benar pertelingkahan terjadi selepas Fiza bertemu dan berbual dengan bekas kekasihnya di sebuah stesen minyak?

Ya, memang ada pertemuan berlaku tetapi apa yang terjadi selepas itu bukan pergaduhan, sebaliknya perbincangan atau muzakarah antara suami dan isteri. Saya sekadar menasihatinya (Fiza).


ADAM tidak reda dengan apa yang ditulis oleh wartawan sebuah akhbar yang melaporkan tentang rumah tangganya bersama Fiza kini goyah.


Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan Fiza maki anda kerana sikap kuat cemburu anda?

Itu semua fitnah! Seorang isteri tidak akan buat macam itu (maki) kepada suaminya.

Apakah perasaan anda apabila cerita-cerita tidak benar mengenai anda dan isteri ditulis?

Saya tidak reda dengan apa yang ditulis oleh wartawan itu. Dalam setiap rumah tangga, Allah akan berikan ujian. Kalau benar sekalipun pergaduhan terjadi, ia tidak perlu dihebah-hebahkan.

Jangan kerana mahu menjual akhbar sanggup memporak-perandakan rumah tangga orang. Bayangkan akhbar tersebut dibeli beratus-ratus ribu orang dan kisah rumah tangga saya dibaca.

Apakah tanggapan mereka? Baru kahwin tetapi sudah dilanda masalah. Berita seperti ini yang saya tidak mahu.

Apakah tindakan anda selepas membaca dakwaan tersebut?

Saya mahu sumber iaitu kru penerbitan sebuah produksi baharu yang dimaksudkan penulis itu tampil ke depan. Saya mahu sumber dan penulis akhbar tersebut sama-sama tampil ke depan membuktikan kesahihan cerita yang dikeluarkan.

Adakah anda pelik bagaimana seorang kru penerbitan sebuah produksi boleh bercerita tentang rumah tangga anda? Dari mana dia peroleh cerita hal dalam rumah tangga anda?

Disebabkan itu, saya mahu mereka tampil ke depan bukti kesahihan cerita tersebut.

Apakah perkembangan seni anda dan isteri sekarang?

Saya masih fokus dengan pusat perubatan Islam milik saya. Pada masa yang sama, single terbaharu saya berjudul Pengodam Jiwa sedang dimainkan di corong- corong radio.

Itu adalah lagu rancak terakhir saya. Selepas ini, saya tidak lagi menari ketika membuat persembahan.

Sekadar menyanyi sahaja. Lagu-lagu saya selepas ini juga akan lebih santai seperti konsep lagu-lagu Anuar Zain.

Fiza pula, masih lagi berlakon. Cuma watak-watak yang diterima mestilah menjaga batas-batas seorang isteri. Tiada sebarang sentuhan walaupun berlapik atau tercuit. Buat masa ini, Fiza sedang menjalani penggambaran drama berjudul Istiraj untuk TV Alhijrah.

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

Posted:

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

VANIDA bakal melakonkan watak Puteri Sulung.


SELEPAS kali pertama dipentaskan sembilan tahun lalu, makyung kini kembali ke Istana Budaya. Sehubungan itu, makyung dijangka mendapat nafas baharu dengan penggunaan teknologi terkini yang ada di Istana Budaya.

Kali pertama dipentaskan dengan judul Raja Tangkai Hati, ketika itu ia dilakonkan oleh Juhara Ayub. Namun, kali ini dengan judulnya, Kesaktian Anak Raja Gondang, cukup menarik sekali apabila ia menampilkan dua nama besar dunia lakonan tanah air iaitu Vanida Imran dan Sofea Jane.

Langkah mempertaruhkan dua pelakon terkenal itu dilihat satu percubaan dalam menarik lebih ramai peminat untuk mencintai warisan budaya Melayu ini terutamanya generasi muda.

Menariknya, Vanida yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu menyahut cabaran untuk menggalas watak Puteri Bongsu dalam Kesaktian Anak Raja Gondang.

Bukan mudah untuk seseorang itu menjiwai kesantunan lenggok dialek Kelantan berlatarkan alunan dialog yang begitu puitis. Ia memerlukan satu jiwa yang indah untuk mendalaminya. Itu cabaran yang disahut Vanida dalam meluaskan lagi karier seni budaya warisan Melayu.

Sementara itu, anak kacukan Melayu-Inggeris dan aktres berpengalaman, Sofea Jane turut menguji daya lakonannya dalam teater ini menerusi watak Puteri Sulung.

Penglibatan Sofea Jane menerusi pementasan ini dilihat sebagai satu langkah baik dan merupakan satu kebanggaan terhadap kesenian budaya warisan Melayu.

Mana tidaknya, Sofea yang dilahirkan di London dibesarkan dalam suasana budaya yang berbeza, namun itu tidak menghalang dirinya daripada membabitkan diri dengan teater yang turut memerlukan dirinya berdialog dalam dialek Kelantan.

SOFEA JANE bakal berdialog dalam dialek Kelantan.


Pihak Istana Budaya ternyata ada alasan tersendiri dengan penampilan Vanida dan Sofea Jane menerusi Kesaktian Anak Raja Gondang.

"Kita menggunakan khidmat dua nama besar dalam industri hiburan sebagai langkah untuk menarik minat lebih ramai penonton ke Istana Budaya terutamanya generasi Y.

"Ramai yang menganggap persembahan tradisional sudah ketinggalan zaman.

"Usaha murni pihak Istana Budaya untuk memartabatkan kesenian budaya warisan Melayu ini ke mata dunia jelas kita dapat lihat ia bukan satu kesenian yang ketinggalan zaman tetapi ia merupakan satu identiti warisan Melayu", ujar Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Batak terbang

Selain Vanida dan Sofea Jane, turut menguatkan daya lakonan teater ini ialah pelawak dan anak kelahiran Kelantan, Sabri Yunus yang memegang watak Peran Muda Negeri 1. Merupakan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Sabri dianggap sebagai seorang penggiat seni yang begitu optimis untuk memberi nafas dalam menghidupkan lagi teater makyung ini.

Vanida, Sofea Jane dan Sabri bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut, namun pelakon watak utama teater ini, Rosnan Rahman mempunyai persepsi tersendiri tentang pementasan itu.

Dia memikul tanggungjawab untuk menghidupkan tiga watak iaitu Pak Yong, Batak dan Anak Raja Gondang.

Katanya: "Kalau sebelum ini kita lihat persembahan makyung menggunakan pentas yang statik, kali ini ada kelainan dan berbeza daripada persembahan lepas yang mana watak Raja Gondang dan Batak yang saya mainkan boleh terbang.

"Ini merupakan satu lagi cara untuk menghidupkan jalan cerita. Tetapi kita masih mengekalkan kostum tradisional, muzik iringan dan gerak tari serta jalan cerita makyung."

Pengarah teater, Fatimah Abdullah ternyata begitu teruja apabila makyung sekali lagi melakar sejarah untuk dipersembahkan di pentas teater.

"Ini antara penglibatan paling besar saya dalam mengarah teater. Kalau sebelum ini, teater kita bawakan makyung dengan unsur-unsur seperti bangsawan dan cerita-cerita masyarakat, namun kali ini kita bawakan satu kelainan," jelas Fatimah.


MOHAMED JUHARI (dua dari kanan) bersama dua tenaga penting pementasan makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, Fatimah dan Rosnan.


Fatimah merupakan tonggak utama dalam melatih Vanida Imran dan Sofea Jane serta pelakon lain teater ini dalam menjiwai tutur dialek daerah dan gerak tari makyung.

Tambahnya, masyarakat harus membuka minda bahawa makyung bukan satu seni yang berunsurkan mistik atau pemujaan.

"Makyung merupakan satu seni drama tarian yang menggabungkan unsur-unsur spiritual yang membangkitkan semangat persembahan, lakonan cerita, muzik vokal dan instrumental," ujarnya.

Secara ringkasnya, Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan dan penjelajahan Raja Gondang ke negara luar untuk meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman dalam kehidupannya.

Sebelum Raja Gondang memulakan hasratnya itu, dia telah menyuarakan pesanan kepada bondanya, Puteri Gak Petera. Sekiranya pohon selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istananya itu layu pada sebelah kiri ertinya dia berada dalam kesusahan.

Jika pohon itu segar maknanya dia berada dalam kesenangan. Apakah kesudahannya?

Tiket bagi menyaksikan naskhah yang dijadualkan dipentaskan dari 29 November hingga 2 Disember ini dijual pada harga dari RM33 hingga RM253.

Untuk maklumat lanjut tentang teater ini, sila hubungi Istana Budaya, Jalan Tun Razak menerusi talian 03-4026 5555 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved