Sabtu, 14 September 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Muda juara

Posted:

Harimau Muda juara

Harimau Muda juara

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Muda muncul juara Pestabola Merdeka 2013 selepas menang bergaya 2-0 ke atas Myanmar pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam tadi.

Skuad Harimau Muda ternyata mendominasi permainan pada separuh masa pertama perlawanan dengan melancarkan serang bertali-arus ke kubu Myanmar.

Seawal minit kedua, penyerang, Md. Rozaimi Abdul Rahman gagal menyambar bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung.

Selepas itu, peluang Harimau Muda menghasilkan gol pada minit kelapan turut gagal apabila seorang lagi penyerang negara, A. Thamil Arasu melepaskan rembatan padu ke arah gawang lawan namun, penjaga gol lawan, Phyo Aung bijak menafikannya.

Pada minit ke-11, peluang tiba lagi, kali ini menerusi sepakan percuma yang diambil oleh kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail.

Mohd. Irfan melepaskan sepakan lencong menarik dan penjaga gol Myanmar hanya mampu menumbuk bola keluar namun Syahrul Azwari Ibrahim yang membuat susulan sekadar melepaskan rembatan liar.

Selepas itu, pada minit ke-17, Harimau Muda terus bernafsu mencari gol pendahuluan menerusi Putera Nadher Amarhan, namun rembatannya sedikit tersasar.

Memasuki minit ke-19, giliran Myanmar pula mendapat peluang namun asakan mereka mudah dibaca benteng pertahanan Harimau Muda.

Pada minit ke-28, Myanmar mendapat satu lagi peluang, kali ini menerusi satu sepakan percuma dan ketua pasukannya, Kyaw Zayar Win yang mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya.

Gol yang dicari-cari skuad Harimau Muda akhirnya muncul berpunca daripada larian pantas pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-29.

Wan Zack yang berjaya melepasi dua pertahanan Myanmar kemudian melepaskan rembatan padu ke arah gol Myanmar yang gagal ditangkap kemas penjaga golnya.

Rozaimi yang berada di depan gol tidak mensia-siakan peluang dan penyerang berasal dari Sabah mudah menyempurnakannya untuk membolehkan Harimau Muda mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Harimau Muda sekali lagi menampilkan aksi garang dan pada minit ke-54, Wan Zack sekali lagi membuat larian menarik daripada sebelah kanan dan dia berjaya menggelecek tiga pertahanan Myanmar bagaimanapun rembatannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-57, Thamil Arasu turut mendapat satu peluang di depan gol Myanmar namun penjaga golnya berjaya menepis keluar.

Penyerang Myanmar, Kyaw Ko Ko mendapat peluang terbaik pada minit ke-59 namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol negara, Mohd. Izham Tarmizi.

Pada minit ke-61, Ko Ko sekali lagi menguji Mohd. Izham menerusi rembatan padu namun penjaga gol utama Harimau Muda itu sekali lagi menampilkan kecekapannya dengan melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.

Memasuki minit ke-71, skuad negara hampir menambah jaringan berpunca daripada hantaran lintang Mohd. Irfan namun tandukan Mohd. Fadhli Shas sekadar menggegar palang gol.

Mohd. Izham sekali lagi tampil sebagai watak penyelamat dan kali ini pada minit ke-74 dia sekali lagi melayangkan badannya untuk menepis tandukan padu Kyi Lin.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Junior Eldstal yang menerima umpanan cantik daripada D. Saarvindran tidak mensia-siakan peluang untuk gol kedua Harimau Muda bagi menghadiahkan kejayaan gemilang dengan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Johor DT berjaya ikat Pablo Aimar

Posted:

Johor DT berjaya ikat Pablo Aimar

Johor DT berjaya ikat Pablo Aimar

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


TUNKU Ismail (kiri) bersama Aimar pada majlis memperkenalkan pemain baharu Johor DT itu di Johor Bahru semalam.


SELEPAS lebih setahun nama Pablo Aimar dikaitkan dengan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), akhirnya bekas pemain kebangsaan Argentina itu kini sah menjadi milik skuad Harimau Selatan.

Semalam, pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Johor DT dalam satu majlis ringkas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Pada majlis sama, Aimar turut diperkenalkan secara rasmi kepada pemberita dan ratusan penyokong setia Johor DT.

Menurut Tunku Ismail, dalam perjanjian tersebut, Aimar akan beraksi bersama skuad Harimau Selatan selama dua tahun manakala baki tiga tahun lagi digunakan untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri ini.

"Aimar adalah pemain hebat dan sangat berbakat. Dengan pengalaman dan bakat yang dia ada, saya harap dia dapat membantu skuad Johor DT dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

"Dengan adanya Aimar, dia menjadi pelengkap kepada pasukan ini. Dia juga akan menjadi sebahagian akademi skuad remaja di sini," titah baginda pada sidang akhbar semalam.

Tunku Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan nilai kontrak pemain terbabit namun menjelaskan, Aimar akan menyarung jersi No. 10 untuk musim hadapan.

Dalam pada itu, Aimar mengakui dia bangga kerana dapat menyertai Johor DT yang dianggap sebuah pasukan yang sedang meningkat naik.

"Saya mempunyai pengalaman indah di Malaysia terutama di Johor. Tambahan pula, PBNJ telah membuat tawaran yang sukar untuk saya tolak.

"Saya dapat melibatkan diri dalam ruang yang lebih besar iaitu sebagai pemain dan juga untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri ini," katanya.

Aimar pernah beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika mewakili Argentina pada Piala Dunia Remaja 1997 dan menyumbat gol kemenangan ketika menewaskan England 2-1 pada pusingan kalah mati.

Argentina muncul juara kejohanan itu. Dia juga pernah beraksi pada Piala Dunia FIFA pada 2002 dan 2006.

Dia yang pernah menjadi antara pemain muda terbaik Argentina, memulakan kariernya bersama River Plate pada tahun 1995 sebelum menyertai Valencia pada 2001-2006, Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica pada tahun 2008.

Bagi saingan musim hadapan, Aimar bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain import baharu Johor DT, Braulio Nobrega Rodriguez dari Sepanyol yang terlebih dahulu mengikat kontrak bersama PBNJ bulan lepas.

Johor DT juga bakal memiliki pengurus dan ketua jurulatih baharu musim hadapan selepas berjaya mendapatkan khidmat Cesar Ferrando Jimenez.

Kontroversi KBS dengan PSM

Posted:

Kontroversi KBS dengan PSM

Kontroversi KBS dengan PSM

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


SKUAD sepak takraw lelaki negara tetap mampu menyaingi gergasi Asia meskpun berlatih dalam keadaan yang serba kekurangan.


GAJAH sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Itulah peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan situasi semasa yang sedang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Permusuhan dalam media antara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail dilihat lebih banyak mengundang keburukan daripada kebaikan terhadap sukan tradisi negara itu.

Selepas dituduh 'biadap' kerana mahu menyekat peruntukan kewangan berjumlah RM1 juta setahun yang diperoleh PSM, Khairy turut menggunakan media untuk mendesak Ahmad supaya 'insaf' melihat kemerosotan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa.

Beliau menuduh pemimpin PSM memiliki kelemahan dalam menangani kemerosotan prestasi skuad kebangsaan yang terus dilanda kekalahan memalukan sejak kebelakangan ini.

Khairy juga dilaporkan mahu peruntukan kewangan kepada PSM dibelanjakan secara berhemah dan perlu ada akauntabiliti dalam aspek pengurusannya.

Ahmad pula mendakwa KBS tidak pernah membantu PSM terutamanya untuk menjayakan program pembangunan di peringkat akar umbi sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya akan mengundang lebih banyak masalah kepada acara sukan tradisi orang-orang Melayu ini dan tindakan Khairy menyekat dana yang diberikan kepada PSM dilihat sebagai langkah yang kurang bijak.

Selain menjejaskan operasi dan perancangan persatuan, pemain-pemain negara turut menerima tempiasnya.

Tanpa suntikan kewangan daripada kerajaan, PSM yang selama ini dilabel sebagai persatuan sukan paling miskin di Malaysia bakal berdepan masalah besar dan tidak mustahil akan berkubur suatu hari nanti.

Bagi PSM, situasi tersebut ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Selepas Telekom Malaysia (TM) Berhad menamatkan penajaan pada tahun 2006 lalu, PSM terpaksa 'mengemis' untuk merencanakan segala program yang membabitkan sukan tersebut.

Meskipun terpaksa menjadi peminta sedekah, PSM tidak pernah gagal untuk membentuk skuad elit lelaki dan wanita serta skuad pelapis bagi meneruskan kelangsungan sukan ini.

Sepanjang tempoh itu juga, PSM masih mampu mengadakan beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan selain menghantar pasukan beraksi di luar negara.

Namun, kontroversi terbaharu ini ibarat 'bom jangka' yang hanya menunggu masa untuk meletup.

Bagi mengelak situasi ini menjadi lebih buruk, Khairy dan Ahmad perlu mengetepikan ego dan sentimen peribadi serta duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi meningkatkan pencapaian pemain-pemain.

Kontroversi ini memasuki fasa baharu apabila ia turut membabitkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.

Mengimbas kontroversi itu, Khairy meluahkan kekecewaannya selepas Malaysia mengalami kekalahan memalukan 0-3 kepada Korea Selatan pada final Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di New Delhi, India awal bulan ini.

Situasi itu memaksa Khairy menggunakan kuasanya untuk menyekat peruntukan RM1 juta kepada PSM selagi mereka tidak mengemukakan pelan pemulihan.

Selain itu, Khairy juga dikatakan akan menghalang permohonan peruntukan berjumlah RM8.8 juta yang diminta terus oleh PSM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hajat saya memang mahu bangunkan semula sukan tradisi orang-orang Melayu ini. Kami hanya mahu melihat soal pentadbiran sukan itu dijalankan dengan baik," katanya.

Khairy berkata, tidak ada keperluan untuk beliau dan Ahmad 'berperang' dalam media semata-mata mahu mengulas kemerosotan prestasi skuad sepak takraw negara.

Bagaimanapun, Khairy mengakui, beliau menunggu masa yang sesuai untuk berjumpa Ahmad selepas meneliti beberapa aspek.

"Saya mahu jumpa dengan beliau. Saya telah minta supaya kajian yang mendalam dibuat sebelum saya berjumpa dengan beliau sebab terlalu banyak pandangan dan aduan yang menyatakan kepincangan dalam perkara ini," katanya.

Khairy berkata, walaupun PSM meminta peruntukan terus daripada Perdana Menteri dan bukan melalui KBS, beliau akan meminta supaya peruntukan tersebut tidak diberikan.

Namun, Ahmad turut mempunyai alasan yang tersendiri berhubung semua kontroversi ini.

Ahmad berkata, PSM hanya akan mengikuti arahan KBS jika semua permintaan badan induk sukan sepak takraw negara itu sejak beberapa tahun lalu ditunaikan.

Antara permintaan PSM ialah mendapatkan khidmat pegawai psikologi sepenuh masa dan mesin khas yang mampu membantu meningkatkan keupayaan pemain ketika menerima servis lawan.

"Saya sudah minta bantuan daripada ISN untuk memberikan kami pegawai psikologi sepenuh masa pada 2006 tetapi kami hanya dapat (pegawai) sambilan. Jadi bagaimana kami hendak membantu pemain-pemain menguatkan mental.

"Empat tahun lalu, saya juga sudah memberikan cadangan untuk menghasilkan mesin yang boleh 'menembak' bola takraw seperti sukan tenis dan kami juga telah berjumpa individu yang mahu mencipta mesin itu.

"Zolkples sudah memberi sokongan tetapi untuk menghasilkan mesin prototaip itu menelan belanja RM100,000.

"Jadi, bolehkah KBS bantu? Jika boleh, kami akan tampil dengan pelan baharu," kata Ahmad ketika ditemui pemberita di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahmad berkata, sebelum ini mereka menerima bantuan penuh daripada ISN dan hasilnya skuad takraw negara berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA 2005 di Manila.

Bagaimanapun, kini mereka terpaksa berkongsi kepakaran ahli psikologi dengan acara sukan lain.

Berhubung peruntukan kewangan berjumlah RM1 juta setahun yang diterima PSM, Ahmad berkata, bukan semua wang itu masuk ke kantung PSM.

"Sebenarnya tidak sampai RM1 juta dan bukan semua peruntukan itu kami terima.

"Sebanyak RM400,000 dibelanjakan untuk penginapan para pemain, RM150,000 (elaun atlet) dan RM120,000 (peralatan latihan) dibayar terus kepada MSN.

"PSM hanya membelanjakan RM150,000 untuk pemain-pemain negara yang beraksi dalam Liga Sepak Takraw Thailand .

"RM150,000 lagi membabitkan penyertaan pemain negara dalam lapan kejohanan antarabangsa dan dua kejohanan tempatan," jelasnya.

Ahmad berkata, faktor kemerosotan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa seperti mana yang berlaku pada final Siri Istaf awal bulan ini mempunyai hubung kait dengan bayaran elaun rendah.

Baginya, elaun sebanyak RM500 sebulan yang diterima oleh pemain negara pasti membebankan terutamanya bagi pemain yang tidak mempunyai pekerjaan.

Selain perbelanjaan harian bagi pemain yang sudah berkeluarga, taraf hidup yang semakin meningkat turut membebankan, sekali gus menyukarkan mereka untuk memberikan tumpuan penuh pada latihan.

Malah, ada pemain yang terpaksa menggunakan kasut sekolah untuk menjalani latihan kerana tidak cukup duit.

"Bayangkan, mereka hanya terima elaun RM500 sebulan dan bagaimana pemain yang tidak ada pekerjaan lain serta mempunyai tanggungan yang banyak? Adakah mereka mampu tanggung semua ini?

"Jadi, kalau berdepan masalah seperti ini bagaimana mereka boleh beri tumpuan sepenuhnya? Mereka juga manusia biasa.

"Jadi, saya minta supaya orang ramai memahami perkara seperti ini. Bila jiwa tidak tenang, bagaimana hendak berikan tumpuan terutamanya apabila berada jauh daripada keluarga," katanya.

Bagaimanapun, kemarahan Ahmad kepada Khairy memuncak selepas beliau cuba untuk menghalang usaha PSM mendapatkan suntikan kewangan berjumlah RM8.8 juta daripada Perdana Menteri.

"Pada saya, kenyataan beliau itu biadab, semua sukan dihentam, apa sukan yang beliau bantu? Mana program sukan, saya tidak pernah tengok sejak beliau menjadi menteri.

"Saya ingin rakyat faham dan sedar mengenai perkara ini. Malah apa kuasa beliau untuk menghalang kami berjumpa dengan Perdana Menteri yang juga Penaung PSM bagi membentangkan anggaran kos dan program-program bernilai RM8.8 juta itu.

"Ini program kami selama 17 bulan (bermula Ogos lalu) sehingga Disember tahun depan yang merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan, pentadbiran, pertandingan, akar umbi dan sebagainya.

"Saya membuat dua salinan kertas cadangan itu. Satu, saya akan berikan kepada Perdana Menteri dan satu lagi saya akan berikan kepada beliau (Khairy).

"Namun, beliau menolak bulat-bulat kertas cadangan itu sebelum melihatnya. Jadi, untuk tujuan apa perlu saya berikan kepadanya. Belum tengok lagi beliau sudah tolak," kata Ahmad.

Ketika ini, skuad negara sedang membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Sepak Takraw Raja Thai dan Siri Super Istaf di Thailand serta Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved