Jumaat, 6 September 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Ciri keselamatan ditingkatkan

Posted:

Ciri keselamatan ditingkatkan

Ciri keselamatan ditingkatkan

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

SETIAP pengeluar kenderaan pasti memiliki kekuatan tersendiri. Ada yang terkenal dengan aspek pengendalian. Banyak juga yang unggul dalam dunia perlumbaan.

Namun, cabaran sebenar bagi entiti-entiti itu bukan sekadar untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki, tetapi memberi nafas baharu kepada barisan model sedia ada.

Apa yang pasti, apa jua pembaharuannya, ia perlu dilakukan dengan segera. Andai tidak, apa nilainya jika ada pihak lain berjaya memintas barisan anda?

Volvo Car Corporation (Volvo Car) tidak terkecuali dalam berdepan dengan senario itu. Dikenali dengan jolokan peneraju dalam aspek keselamatan, sudah pasti itu bukan satu kerja mudah untuk terus mendahului industri.

Tahun lalu, Volvo Car telah memperkenalkan dua ahli keluarga terbaharunya iaitu V40 dan V40 Cross Country menerusi dua pameran berkelas dunia iaitu Geneva Motor Show dan Paris Motor Show.

Volvo V40 mengaplikasi bentuk huruf V pada bahagian bonet hadapan. Garis badan dan bumbung jentera itu mengambil inspirasi sebuah kereta coupe.


BUTANG pada bahagian konsol tengah kelihatan kemas dan bersih.


Reka bentuk V40 turut mengadun beberapa ciri klasik kenderaan Volvo sebelum ini. Antaranya adalah corak pintu belakang seperti model Volvo P1800 dan Volvo 1800 ES.

Bahagian belakang memaparkan reka bentuk moden dan kontemporari. Set lampu belakangnya memiliki rekaan unik, manakala garis badan pula menyerlahkan lagi keseluruhan wajah V40.

Bahagian kabin tampil kemas. Tarikan utama sudah pastinya panel instrumen meter. Tema skrin TFT meter V40 boleh ditukar mengikut selera pemandu.

Pilihan tema yang disediakan adalah Elegance, Performance dan Eco. Skrin akan bertukar warna dan paparan mengikut tema grafik yang dipilih. Untuk mengubah tetapan, anda perlu menggunakan tombol yang ditempatkan di belakang stereng.

Ruang dalaman menawarkan suasana lapang dan santai. Kejuruteraan ergonomik diberi penekanan agar pemandu dan penumpang menikmati suasana pemanduan yang mengasyikkan.

Material yang digunakan pada ruang kabin menyerlahkan keunikan V40. Papan pemuka dan konsol tengah diatur untuk memudahkan capaian oleh pemandu.

Pesaing segmen C

Kedua-dua model hatchback itu tergolong dalam segmen C. Pesaing utama sudah pasti BMW dan Audi. Tidak lupa juga kemunculan Mercedes-Benz A Class.

Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car, Stefan Jacoby tetap optimis model V40 akan memberi saingan sengit kepada pesaing sedia ada dalam segmen itu.

V40 adalah kenderaan pertama di dunia yang didatangkan bersama beg udara untuk pejalan kaki. Ciri keselamatan terbaharu itu dipasang di bawah hud enjin. Sistem akan diaktifkan sejurus sahaja sensor pada bampar mengesan pelanggaran.

Beg udara itu menggalas dua tugas utama. Pertama, menolak hud ke atas untuk mengurangkan impak pejalan kaki ke bahagian keras seperti enjin. Kedua, melindungi bahagian bawah cermin hadapan dan tiang A.

Bagaimanapun, beg udara pejalan kaki itu hanya didatangkan bersama model V40 keluaran kilang Volvo Car di Belgium.

Untuk pasaran Malaysia, sistem keselamatan beg udara pejalan kaki itu tidak ditawarkan. Agak menghampakan kerana Volvo adalah jenama yang sinonim dengan aspek keselamatan.

Model V40 dan V40 Cross Country yang ditawarkan di negara ini adalah produk pemasangan tempatan (CKD) di kilang Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Malaysia) di Shah Alam, Selangor.

Langkah memasang beg udara pejalan kaki itu dikhuatiri menaikkan lagi harga V40.

Situasi itu mungkin berubah jika ada permintaan kukuh daripada pelanggan tempatan untuk ciri berkenaan. Apa pun, keputusan itu terletak di tangan Volvo Malaysia.

Sungguhpun begitu, pelanggan tempatan akan menikmati beberapa sistem keselamatan yang ditingkatkan. Ciri yang dimaksudkan ialah Sistem Maklumat Bintik Buta (BLIS), Sistem Amaran Lalu Lintas Silang, City Safety dan beg udara pada bahagian lutut.

BLIS berperanan seperti sistem radar. Ia memantau kehadiran kenderaan lain di tepi dan belakang V40. Jika ada kenderaan menghampiri pada jarak kurang daripada 70 meter, bunyi amaran akan dihasilkan sebagai peringatan kepada pemandu.


DARI kiri: Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Keith Schafer dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Malaysia, Lee Ming Tiong pada majlis perasmian Volvo V40 dan V40 Cross Country di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Untuk keluar daripada tempat letak kereta, Sistem Amaran Lalu Lintas Silang akan memberi peringatan jika ada aktiviti lalu lintas atau kehadiran pemandu lain di bahagian belakang anda.

Sistem City Safety pula berfungsi memberhentikan kenderaan secara automatik jika jarak kereta berada terlalu dekat dengan kenderaan di hadapan.

Sebelum ini, had kelajuan maksimum untuk sistem ini berfungsi ialah 30 kilometer sejam (km/j). Untuk model V40, had laju ditingkatkan kepada 50km/j.

Perbezaan kosmetik antara kedua-dua model V40 tidak begitu signifikan. Secara ringkas, ia hanya melibatkan penggunaan beberapa komponen tambahan pada V40 Cross Country.

Berhubung saiz fizikal, V40 Cross Country 40 milimeter lebih tinggi berbanding model V40.

Pengguna tempatan diberi tawaran dua varian Volvo V40 iaitu T4 dan T5. Untuk jentera Cross Country pula, hanya varian T5 disediakan.

Bagi menarik perhatian bakal pembeli, Volvo Malaysia kini menawarkan servis dan jaminan percuma selama lima tahun.

Apa yang pasti, pengeluar kenderaan itu menunjukkan komitmen serius bagi menjayakan Wawasan Keselamatan Volvo.

Wawasannya ialah tiada sesiapa yang cedera parah atau terbunuh ketika menaiki kereta Volvo baharu menjelang tahun 2020. Semoga berjaya!

Tempahan Mitsubishi Attrage dibuka

Posted:

Tempahan Mitsubishi Attrage dibuka

Tempahan Mitsubishi Attrage dibuka



MITSUBISHI Motors Malaysia Sdn. Bhd. (MMM) kini telah membuka tempahan untuk model terbaharunya iaitu Mitsubishi Attrage. Ia akan dilancarkan pada bulan November depan.

Bagi 1,000 tempahan pertama, pelanggan akan menerima sebuah peranti sistem penentu kedudukan global (GPS) berjenama Garmin.

Attrage dihasilkan di kilang Mitsubishi di Thailand. Kereta segmen B itu menggunakan enjin 1.2 liter. Ia boleh menjana kuasa sehingga 80PS dan tork setinggi 106Nm.

Sebanyak empat varian ditawarkan dengan tiga daripadanya bertransmisi automatik (varian GL, GS dan SE). Satu lagi varian ialah GL dengan kotak gear manual lima kelajuan. Semua varian didatangkan bersama dua beg udara, ABS dan EBD.

Bagi model GS, pelanggan akan menerima sistem kemasukan tanpa kunci, butang push stop, stereng dan tombol gear dibalut material kulit dan sistem pendingin hawa digital.

Model tertinggi iaitu SE pula dipasang kit badan, lampu DRL LED, filem pelindung cermin, kerusi kulit, sistem audio skrin sentuh Double DIN dan banyak lagi.

Harga pengenalan atas jalan tanpa insurans bermula serendah RM59,000. Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Mitsubishi Attrage akan dipamerkan secara eksklusif di tingkat bawah Paradigm Mall mulai 6 hingga 8 September ini.

Maklumat lanjut, sila layari laman www.mitsubishi-motors.com.my.

Motard pertama Boon Siew Honda

Posted:

Motard pertama Boon Siew Honda

Motard pertama Boon Siew Honda


MOTOSIKAL ini menjanjikan keseronokan tunggangan kepada pemiliknya.


BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan motosikal motard pertama ke pasaran Malaysia. Model yang dimaksudkan ialah CRF250M dan tergolong dalam keluarga CRF.

CRF250M tidak jauh berbeza dengan jentera dwikegunaan Honda CRF250L yang diperkenalkan pada tahun lalu. Perbezaannya hanya melibatkan penggunaan komponen bagi menawarkan keseronokan tunggangan.

Motard tersebut dipasang rim berukuran 17 inci yang juga selesa untuk ditunggang di atas jalan tar.

Keupayaan cengkaman tayar ditingkatkan menerusi aplikasi tayar berprofail lebih lebar. Tongkat sisi yang digunakan juga lebih pendek berbanding model CRF250L.

Suspensi asal hadapan jenis Showa 43 milimeter (mm) diberikan talaan baru. Pegas gegelung jenis berat diadun bersama sistem suspensi untuk meningkatkan prestasi sewaktu tunggangan di atas jalan biasa.

CRF250M memperoleh kuasa daripada enjin jenis empat lejang DOHC silinder tunggal. Kotak gear enam kelajuan diberikan sebagai padanan. Haba yang terhasil daripada enjin dikawal dengan adanya sistem penyejukan cecair.

Penyampaian bahan api ke kebuk pembakaran dibuat menerusi sistem suntikan bahan api terancang Honda (PGM-FI). Rangkaian kuasa itu berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 17kW @ 8,500rpm, manakala kuasa torknya pula setinggi 22Nm pada 7,000rpm.

CRF250M menggunakan casis besi jenis buaian separuh kembar dan dipadankan dengan lengan ayun (swingarm) aluminium. Seperti mana-mana model terkini Boon Siew Honda, jentera itu turut mengaplikasi sistem Pro-Link pada penyerap hentak tunggal belakang.

Tugas membrek dan kawalan diserahkan kepada dua set brek cakera pada kedua-dua roda. Cakera roda hadapan yang berukuran 296mm diapit oleh angkup dwiomboh. Roda belakang pula menggunakan khidmat cakera bersaiz 220mm dengan omboh tunggal.

Harga rasmi bagi model Honda CRF250M akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang pasti, jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web: www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi nombor talian bebas Boon Siew Honda: 1800-88-3993.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved