Rabu, 25 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Lentera Timur cukup hebat

Posted:

Lentera Timur cukup hebat

Lentera Timur cukup hebat

DIALAH mustika hati rakyat Malaysia, pencinta sejati irama tradisional dan dialah Datuk Siti Nurhaliza. Hadir mempersembahkan rendisi irama nusa bangsa berpaksi tradisional dalam olahan segar, Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) suatu kejayaan besar!

Overture Sedayung Pak Yong dan Ala Donde membuka tirai persembahan Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza kali ini. Mungkin bagi peminat tegarnya yang mengikuti perkembangan Siti menjelang konsert di laman sosial Instagram dapat melihat beberapa siri latihan bersama kumpulan Makyung yang dipimpin oleh Rosnan Rahman.

Ya, benar bagai ditelah, penonton dapat menyaksikan aksi Siti ber'Makyung' pula menyarung persalinan lengkap persembahan teater tradisional itu.

Ironi membuka alunan sulung lagu yang pernah menjulang namanya dalam dunia irama tradisional pada tahun 2003, Siti menyusun langkah dari puncak pura lentera seperti mana judul konsert yang dipilihnya kali ini.

Sesuai dengan makna Nirmala itu sendiri yang bermakna suci bersih dan tidak ternoda, lagu pertama yang dipetik daripada album Sanggar Mustika itu membawa penonton kali ini melalui fasa demi fasa bersama warna gemilang sehingga penghujung konsert dua jam itu.

Sentuhan kenangan

Buat penonton yang pernah menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza In Concert At Royal Albert Hall London tahun 2005, persembahan lagu Kurik Kundi, Mahligai Permata dan seleksi Joget Kasih Tak Sudah serta Joget Pahang mampu mengimbau kembali momen indah itu.

Cuma kali ini Siti menghadiahkan lebih lagi kepada peminatnya di Malaysia dalam erti kata dinamik vokal dan kemeriahan persembahan yang diiringi Artistana Istana Budaya dan Badan Seni Budaya PDRM.


GANDINGAN Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk M. Daud Kilau dalam sebuah duet, cukup memberi makna yang besar buat portfolio Siti kerana beliau cukup mengagumi Raja Gelek tersebut.


Menerusi lagu Bunga Melur yang dijadikan paduan medley, kata Siti itu lagu bidalan dirinya oleh arwah bapanya, Tarudin Ismail: "Ini lagu kegemaran arwah ayah Siti. Katanya, Bunga Melur adalah diri Siti dan setiap kali menyanyikan lagu ini Siti akan terkenangkan arwah."

Melankolika malam Konsert Lentera Timur ditusuk pilu dengan medley Orang Merajuk disusun indah dalam rona lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan yang menurut Siti merupakan kegemaran ibunya sendiri, Siti Salmah Bachik.

Konsert kali ini jujur, hadiah daripada hati Siti Nurhaliza kepada peminat yang bersifat peribadi. Lantas kata Siti, pilihan lagu yang dibuat menyemai kenangan yang ingin dikongsikan kepada pendukung karier seninya selama ini.

"Siti menyampaikan lagu yang lebih ada kenangan dalam hidup Siti, biarpun banyak lagi rangkaian lagu Melayu asli dan tradisional yang serasi dengan nama saya seperti Seri Mersing tapi inilah 35 buah lagu hadiah Siti kepada peminat," ujarnya.

Buluh Perindu

Siti selesa berinteraksi dengan peminat. Usai konsertnya beberapa bulan lalu di Dewan Filharmonik Petronas ada mungkin peminat sama yang hadir ketagih dengan pesona dan aura yang dibawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa itu.

Jika ditanya bagaimanakah suara buluh perindu, barangkali Sitilah rujukan paling ideal. Ia tersemat magis serta notasi indah yang bisa meruntun hati pendengar, tambahan pula dialun dalam puitis lirik lagu-lagu irama tradisional yang serba indah.

Menarik mengenai konsert ini, Siti menyampaikan tiga buah medley dalam konsep muzikal hasil kreativiti Pengarah Persembahan, Lokman Ghani. Dimulakan dengan medley Masri Manis, Kaparinyo dan Sulam Sembilan, kemudian diiringi medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Pahang.


SITI, kepakarannya tidak sekadar memukau khalayak dengan lemak merdu bak buluh perindu vokalnya tetapi juga membuat khalayak teruja dengan kebolehannya bermain instrumen tradisional.


Akhir sekali medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama. Mencuri tumpuan juga kemunculan empat wanita berkebaya nyonya yang tampil dalam rangkaian lagu-lagu medley itu serta lagu yang dipetik daripada album Seri Balas bersama Noraniza Idris, Ketawalah Lagi.

Klimaks persembahan barangkali boleh diberikan kepada kemunculan Datuk M. Daud Kilau sekembalinya penonton di tempat duduk usai rehat seketika. Menerusi lagu Cek Mek Molek, penyanyi berusia 74 tahun itu memukau penonton dengan gimik persalinan baju demi baju selang setiap rangkap.

Mungkin ada antara penonton yang mahukan Datuk M. Daud Kilau berduet bersama Siti menerusi lagu Anak Seni tapi pemilihan lagu Laksamana Raja Di Laut pun tidak asing dalam kalangan pencinta lagu-lagu Melayu asli.

Rendisi baharu

Siti terus mengulit penonton. Selain kata-katanya, ada sebuah kejutan yang Siti sajikan kali ini. Biarlah Rahsia, ditulis sendiri liriknya digubah iramanya bersama Melly Goeslow dan dimuatkan dalam salah satu album terbaiknya sepanjang hayat, Transkripsi, Siti menjadikan lagu itu dalam rendisi baharu iaitu tradisional!

Satu langkah bijak untuk Siti menangkap deria pendengar yang terlebih lewat mengenalinya dalam muzik pop untuk lebih menghayati petikan dan paluan alat-alat muzik tradisional. Malah, Siti dalam pada itu turut menyanyikan balada patriotisme, Bahtera Merdeka dengan cara tersendiri.

Cuma mungkin penonton mahukan penyanyi nombor satu negara itu menyarung persalinan tradisional atau paling tidak pun busana yang diadun sedikit elemen klasik seperti yang dipersembahkan di buku cenderamata. Tidak perlu dress meleret tapi berikan peminat keanggunan dan seri Melayu itu sendiri.

Menutup tirai persembahan konsert, medley Balqis dan Ya Maulai antara suntikan puncak terbaik dalam konsert ini. Mengingatkan kembali keunggulan Siti dalam siri Anugerah Juara Lagu tahun 2000 dan 2001 biar dipetik daripada album sama, Sahmura.

Sudah pasti Cindai, lagu yang memperkenalkan Siti Nurhaliza secara total kepada seisi Malaysia 16 tahun lalu menjadi juadah manis pencuci mulut terakhir Siti lantaran masih malar segar dan 'berhantu' hingga kini.

Popaleh Weh, single terbaharu Siti yang membawa makna terhebat dalam slanga negeri Pahang akhirnya menutup kisah sang lentera timur yang masih berkerdipan kilaunya dalam konsert terbesarnya tahun ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun bias cinta Siti Nurhaliza akan selamanya kekal menginap ruang hati pemuja muzikaliti beliau.

Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Posted:

Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


ADAM mengaku, pada awal perhubungannya dengan Fiza, ibunya kurang merestui hubungan mereka kerana status Fiza yang merupakan seorang ibu tunggal dua anak.


TIADA ANGIN, tiada ribut, tiba-tiba sahaja keluar berita di sebuah akhbar semalam, penyanyi dan pengamal perubatan, Adam dan Fiza Elite akan bernikah pada 26 September ini pada pukul 10 pagi di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam dan sebuah majlis persandingan yang akan diadakan di kampung halaman Adam di Sabah.

Khabar gembira itu benar-benar mengejutkan banyak pihak kerana tidak pernah keluar cerita tentang percintaan mereka berdua sebelum ini.

Sebaliknya Fiza atau nama sebenarnya, Siti Saidatul Fiza Abdul Halim, 32, ibu tunggal kepada dua puteri, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, sebelum ini dikatakan kecewa kerana perkahwinan yang dirancang pada Jun lalu dengan seorang lelaki yang enggan didedahkan identitinya telah dibatalkan.

Adam atau nama penuhnya, Mohd Aizam Mat Saman, 30, pula juga sebelum ini dilihat berkawan dengan ramai wanita tetapi tidak pernah dikaitkan dengan Fiza. Sedar ramai yang terkejut dengan berita pernikahannya itu, Adam dengan tenang mengaku, Fiza adalah wanita pilihannya walaupun hubungan mereka hanya mula rapat sejak bulan Ramadan lalu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adam semalam.

Kosmo!: Benarkah Adam akan berkahwin dengan Fiza pada 26 September ini?

ADAM: Memang benar. Jika diizinkan insya-Allah saya akan bernikah dengan Fiza pada tarikh tersebut di bilik pelamin Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam.

Mengapa tiba-tiba ingin bernikah kerana sebelum ini tidak ada cerita kalian bercinta?

Dalam minda orang ramai kalau artis bercinta mesti keluar gosip terlebih dahulu. Ramai yang tidak terhidu hubungan kami dan kami tidak dedahkan ketika itu kerana belum ada apa yang ingin disahkan. Sekarang memang sah kami akan berkahwin, saya pun tidak mahu sorok-sorok kerana orang akan tahu juga.


ADAM melihat Fiza sebagai seorang wanita yang lemah lembut. Dia juga bersedia untuk menjadi bapa tiri kepada dua anak penyanyi dan pelakon tersebut.


Bagaimana hubungan kalian boleh terjalin?

Semuanya bermula pada bulan Ramadan lalu menerusi Blackberry Messenger (BBM). Waktu pertama kali saya berjumpa dengannya dia belum berhijab, kemudian saya lihat dia ubah gambar profil dengan memakai hijab, ingatkan watak dia bertudung dalam lakonan. Saya tegur dalam BBM dan dia kata, itu memang imejnya sekarang, sejak itulah kami mula rapat.

Adakah pernikahan ini tergesa-gesa kerana baru beberapa bulan sahaja kalian rapat dan terus ambil keputusan untuk bernikah?

Sebenarnya, sebelum ini saya sasarkan untuk berkahwin pada usia 28 tahun, sekarang umur saya sudah 30 tahun. Memang saya berdoa pada Allah untuk mendapat jodoh dengan segera, Alhamdulillah Allah bukakan hati saya untuk menerimanya. Hari kedua kami berjumpa, terus kami berbincang soal pernikahan. Saya sendiri hairan dengan keterbukaan hati saya, mungkin ini sudah jodoh saya.

Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada Fiza?

Dia seorang wanita yang lemah lembut dan memahami diri saya. Sejujurnya, sebelum ini saya pernah bercinta dengan beberapa orang wanita tetapi dengan Fiza perasaannya berbeza. Saya tidak pernah rasa perasaan ini dengan wanita lain, ketika itu saya tahu dialah wanita pilihan saya.

Sudahkah anda bersedia menerima Fiza yang berstatus ibu tunggal kepada dua orang anak?

Pada mulanya ketika saya suarakan hasrat untuk berkahwin dengannya, ibu saya membantah kerana statusnya.

Mampukah saya menjaga wanita dengan dua orang anak?

Selepas Fiza melawat keluarga saya pada hari raya lalu, mereka semua sukakan dia dan terus merestui hubungan kami.

Saya sendiri tidak kisah dengan statusnya kerana saya menerima diri dia seadanya.

Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Douglas beri ucapan buat Zeta-Jones

Posted:

Douglas beri ucapan buat Zeta-Jones

Douglas beri ucapan buat Zeta-Jones


MICHAEL DOUGLAS menjulang trofi kemenangannya sebagai Aktor Terbaik kategori mini siri berjudul Behind the Candelabra.


DILANDA banyak masalah terutama kisah rumah tangganya yang dilaporkan telah berpenghujung pada bulan lalu, bagaimanapun malam minggu lalu barangkali merupakan momen terbaik bagi aktor Michael Douglas.

Aktor tersebut telah dinobatkan sebagai Aktor Terbaik bagi kategori mini siri. Kemenangannya diperoleh menerusi mini siri berjudul Behind the Candelabra.

Sewaktu menerima trofi kemenangannya, aktor berusia 68 tahun itu terus mengucapkan terima kasih kepada penganjur, pihak produksi, rakan-rakan serta pesaingnya yang terdiri daripada Al Pacino, Toby Jones, Benedict Cumberbatch dan lawan mainnya di dalam mini siri tersebut iaitu Matt Damon.

"Anugerah ini saya ingin kongsi bersama Damon kerana tanpa dia, lakonan saya mungkin kosong," ujarnya yang berkongsi kemenangan tersebut bersama Damon.

Paling mengejutkan, Douglas tiba-tiba berkata: "Saya juga mahu mengucapkan terima kasih buat orang yang telah berkongsi hidup selama 13 tahun dengan saya iaitu isteri saya, Zeta-Jones dan anak-anak saya yang banyak menyokong karier saya selama ini."

Pada masa yang sama, Douglas juga melahirkan hasratnya agar dapat melawat anak sulungnya hasil perkahwinan pertama, Cameron, 35, yang kini dipenjarakan selama 10 tahun atas jenayah dadah.


ELTON JOHN antara penyanyi gred A yang membuat persembahan dalam anugerah berprestij, Emmy Awards 2013.


Selain Douglas, Emmy Awards 2013 menyaksikan kemenangan besar drama Breaking Bad, dinobatkan sebagai Drama Siri Terbaik dan Modern Family yang sudah empat tahun berturut-turut menguasai sebahagian besar anugerah yang dipertandingkan, termasuk sebagai Drama Komedi Siri Terbaik.

Antara lain, program realiti televisyen, The Voice turut diumumkan sebagai program realiti televisyen terbaik, menewaskan program The Amazing Race, Project Runway, So You Think You Can Dance, Top Chef dan Dancing With the Stars.

Heidi Klum pula menumpaskan pesaing-pesaingnya yang tidak kurang hebat seperti Ryan Seacrest dan Anthony Bourdain untuk muncul sebagai Hos Program Realiti Televisyen Terbaik.

Dalam majlis yang sama, penggiat seni Hollywood turut bertafakur memperingati rakan-rakan seperjuangan mereka yang telah meninggal dunia termasuk penghormatan buat pelakon Glee, Cory Monteith yang mati akibat kecanduan alkohol dan dadah pada 31 Julai lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved