Isnin, 2 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bertahan tanpa album baharu

Posted:

Bertahan tanpa album baharu

Bertahan tanpa album baharu

JIKA dihitung pembabitan Ziana Zain dalam bidang seni, tempoh selama 22 tahun mungkin sesuatu yang agak sukar untuk dicapai oleh kebanyakan artis di negara ini.

Begitu juga dengan rentetan kejayaan yang diraih sehingga ke peringkat antarabangsa. Maka, sudah sewajarnya penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Madah Berhelah itu contoh kepada penyanyi generasi sekarang.

Meskipun dengan kemunculan lebih ramai penyanyi-penyanyi baharu, ia langsung tidak menenggelamkan populariti yang telah diraihnya selama ini.

"Saya bersyukur apabila masih lagi diterima ramai dan bukan mudah untuk terus bertahan memandangkan semakin ramai penyanyi hebat yang muncul di persada hiburan tanah air.

"Tawaran yang diterima seperti membuat persembahan nyanyian masih lagi tidak putus-putus. Ini semua berkat sokongan peminat yang tidak henti-henti kepada saya," ujarnya semasa ditemui dalam sidang akhbar program realiti pencarian Ratu Rania baru-baru ini.

Memandangkan dirinya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, Ziana turut ditanya tentang album baharu. Ini kerana kali terakhir dia menghasilkan album adalah pada tahun 2008 berjudul Dingin.

Menurutnya, bukan tidak pernah timbul keinginan untuk menghasilkan album baharu buat para peminatnya, namun dia menyatakan bukan mudah untuk mendapatkan lagu-lagu yang sesuai.

"Sebagai seorang penyanyi yang sudah senior, pastinya saya perlu lebih selektif untuk pemilihan lagu. Cuma, buat masa ini untuk mendapatkan lagu yang mampu menyentuh jiwa pendengar agak sukar.

"Kalau setakat saya hasilkan album semata-mata ingin memenuhi permintaan orang, rasanya itu tidak perlu dilakukan. Tanpa album baharu pun saya masih lagi terus bertahan sebagai seorang penyanyi," jelasnya.

ZIANA bersikap terbuka sekiranya ada di antara empat anaknya mahu berkecimpung di dalam bidang seni.


Akui Ziana, antara punca utama kekuatannya sehingga mampu kekal bertahan sebagai penyanyi sehingga sekarang adalah kekuatan kepada lagu-lagu lamanya.

Ujarnya, apabila diundang membuat persembahan dalam sesebuah acara, para tetamu lebih suka sekiranya dia menyanyikan lagu-lagu popularnya sekitar 90-an seperti Puncak Kasih dan Madah Berhelah.

"Apabila sudah lama tidak muncul dengan album baharu, mungkin ramai yang beranggapan saya sudah tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian.

"Sebenarnya saya tetap terus aktif seperti biasa dengan pelbagai tawaran membuat persembahan di merata-rata tempat, cuma belum tiba masa yang sesuai lagi untuk saya tampil dengan album baharu," ungkapnya.

Jelas Ziana, tidak semestinya kalau dia muncul dengan album baharu, lagu-lagu yang terkandung di dalamnya mampu memenuhi citarasa yang diinginkan pendengar.

Lakonan

Selain bergelar penyanyi, Ziana juga cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang seangkatan dengan seorang lagi artis yang dikagumi ramai iaitu Erra Fazira.

Beberapa filem lakonannya seperti Sembilu, Sembilu 2, Maria Marianna, Merah dan Qabil Khushry Qabil Igam pastinya terus diingati sehingga ke hari ini.

Bercerita tentang karier lakonannya, Ziana mengakui tawaran yang diterima agak banyak, tetapi dia terpaksa menolaknya lantaran komitmen terhadap keluarga.

"Ketika ini anak-anak pun sedang membesar dan sudah tentu mereka memerlukan perhatian daripada seorang ibu. Kalau saya berlakon, risau pula tidak dapat membahagikan masa kepada mereka.

"Lagipun suami juga seperti agak keberatan untuk mengizinkan saya aktif dalam dunia lakonan. Dengan jadual yang sudah padat sekarang ini, pastinya kehidupan saya akan bertambah sibuk lagi kalau saya berlakon," ujarnya yang kali terakhir berlakon dalam filem Magika pada tahun 2010.

ZIANA ZAIN tidak mahu melahirkan album atas dasar sekadar mahu memenuhi permintaan peminat. Sebaliknya dia mahu sebuah produk yang berkualiti.


Ikut jejak

Sepanjang 15 tahun bergelar seorang isteri dan ibu, ternyata Ziana melalui kehidupan yang cukup indah dan bahagia bersama suami, Armin Zaharin serta empat orang anaknya iaitu Muhammad Aiman, 13, Muhammad Amar, 10, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 4.

Apabila ditanya sekiranya ada di antara keempat-empat anaknya itu yang dilihat menunjukkan minat untuk mengikut jejaknya sebagai anak seni, penyanyi popular tersebut lantas tertawa.

"Daripada keempat-empat anak saya itu, rasanya cuma Nour Kaseh yang dilihat lebih menjurus kepada minatnya dalam seni kerana terlalu gemar menyanyi.

"Namun begitu, ia cuma persepsi awal saya sahaja kerana usianya pun masih lagi terlalu kecil. Kalau dia suka menyanyi, tidak semestinya kalau dah besar nanti dia betul-betul jadi penyanyi," ujarnya.

Bagaimanapun, Ziana menyatakan bahawa dia sendiri tidak kisah sekiranya ada di antara anak-anaknya itu yang ingin terjun ke dalam bidang lakonan atau nyanyian.

"Kalau ikutkan kepada zaman semasa mula-mula bergelar penyanyi dahulu, ayah saya sendiri tidak galakkan saya menyanyi. Sehinggakan saya terpaksa menyanyi tanpa pengetahuannya.

"Sekiranya itu sudah menjadi minat mereka, saya mungkin tidak mampu untuk menghalangnya. Cuma, sebagai ibu tanggungjawab saya adalah dengan memberikan garis panduan supaya mengikut langkah yang betul.

Dua kali gagal dalam AF, Fida enggan kecewa lagi

Posted:

Dua kali gagal dalam AF, Fida enggan kecewa lagi

Dua kali gagal dalam AF, Fida enggan kecewa lagi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

FIDA berharap pada kali ini percubaannya untuk menjadi salah seorang peserta AF berjaya.


PERCUBAAN pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau Fida yang telah menyertai ujibakat program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) serta layak ke peringkat seterusnya menimbulkan persepsi ramai pihak.

Ada yang menyokong usahanya itu untuk menyertai program berkenaan. Tidak kurang juga yang memandang sinis dan beranggapan artis yang sudah ada nama sepertinya tidak wajar terlibat.

Ketika bertemunya dalam majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, Fida menyatakan beliau mempunyai alasan tersendiri untuk kembali menguji bakat menyertai AF dan meletakkan harapan yang tinggi supaya namanya terpilih untuk konsert Prelude Top 24 pada 6 September ini.

Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Apo Kono Eh Jang itu, keinginannya untuk menyertai AF 2013 bukan semata-mata kerana populariti program berkenaan.

Kosmo! : Rasanya masih ramai yang tertanya-tanya tentang penyertaan Fida dalam AF 2013. Apakah alasan utama anda untuk menyertainya?

Fida: Bagi saya, AF bukanlah sekadar sebuah rancangan hiburan semata-mata kerana ia boleh dijadikan platform menimba lebih banyak lagi ilmu untuk menjadi seorang anak seni yang bagus.

Biarpun sudah ada nama dan semakin dikenali ramai dalam industri hiburan, saya rasa ilmu yang ada masih belum mencukupi. Jadi, saya akan gunakan pentas AF 2013 ini dengan sebaik mungkin sekiranya terpilih.

Adakah anda pernah menyertai uji bakat dalam mana-mana program realiti hiburan?

Ya. Sebelum ini saya pernah mencuba nasib melalui program realiti One In A Million dan kalau ada yang terlupa, saya telah dua kali menyertai AF iaitu menerusi AF 6 dan AF 7. Namun begitu, saya telah tersingkir pada peringkat awal lagi. Dan, secara jujurnya, saya mengaku pernah merasai kekecewaan apabila tidak layak menyertai AF dahulu. Ini kerana, sebelum menyertai AF 6, saya telah membuat persiapan selama dua bulan iaitu belajar vokal, namun saya tersingkir awal.

FIDA mengaku menyarung pakaian ketat ketika menjadi duta sebuah produk kecantikan.


Keputusan peserta yang layak ke peringkat prelude masih lagi belum diumumkan oleh pihak Astro. Adakah anda mempunyai keyakinan yang tinggi untuk terpilih?

Saya tidak mahu terlalu yakin untuk terpilih, tetapi secara jujurnya saya memang meletakkan harapan yang tinggi. Saya enggan dikecewakan lagi setelah gagal sebanyak dua kali dahulu. Kalau saya terpilih, peluang yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin dan komitmen 100 peratus akan diberikan. Lagipun sudah lama saya menantikan peluang sebegini dan rasa rugi pula kalau saya tidak fokus.

Bagaimanakah pula dengan persediaan ketika menjalani uji bakat AF 2013?

Tidak banyak persediaan yang dilakukan, cuma saya lebih banyak bertanya kepada ibu untuk meminta pandangannya. Saya gembira kerana ibu merupakan individu yang paling banyak memberikan sokongan.

Apakah harapan anda sekiranya dipilih sebagai salah seorang peserta?

Sudah tentu saya berharap supaya segala kelemahan yang ada dalam diri dapat diperbaiki lagi menerusi ilmu yang dicurahkan oleh tenaga-tenaga pengajar yang telah dilantik.

Selama ini saya sudah mendapat pelbagai komen sehingga ada yang melabelkan saya sebagai seorang pelakon 'kayu'. Selain mencungkil bakat-bakat baharu, AF juga mampu menjadi medan terbaik buat artis seperti saya untuk pergi lebih jauh.

Sejak kebelakangan ini Fida dilihat semakin berani dalam berpenampilan sehingga mengundang kritikan ramai. Bagaimanakah hala tuju fesyen Fida sekarang?

Tidak dinafikan sekarang saya memang suka mencuba sesuatu fesyen yang baharu. Mungkin ada fesyen yang ditampilkan itu kurang sesuai dengan imej saya yang bertudung.

Berkenaan dengan gambar yang tersebar menampilkan saya berpakaian ketat pula, ia sebenarnya dilakukan untuk satu sesi fotografi sebuah produk pelangsingan badan jenama Emorra dan saya dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Saya mengaku pakaian saya itu agak ketat, namun berharap agar tidak ada pihak yang salah sangka atau memberikan persepsi negatif.

Konsert irama tradisional sulung Siti Nurhaliza

Posted:

Konsert irama tradisional sulung Siti Nurhaliza

Konsert irama tradisional sulung Siti Nurhaliza

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SITI NURHALIZA teruja untuk mengadakan konsert irama tradisional pertamanya, Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari Istana Budaya pada 20 hingga 22 September ini.


SELAMA ini orang lebih mengenali Datuk Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi pop. Namun beliau juga terkenal sebagai penyanyi yang berjuang mempertahankan irama tradisional.

Buktinya, sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, Siti pernah melahirkan empat buah album tradisional iaitu Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.

Baru-baru ini, penyanyi tersohor negara itu mengumumkan bahawa beliau akan menjayakan sebuah konsert irama tradisional, Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari Istana Budaya pada 20 hingga 22 September ini.

Ujar Siti, keinginan untuk mengadakan konsert dengan persembahan lagu-lagu tradisional memang sudah lama dirancang. Akhirnya kini ia dapat direalisasikan.

"Apabila selesai menjayakan sesuatu acara hiburan seperti konsert, saya selalu ditanya oleh rakan-rakan wartawan tentang jenis konsert yang ingin dilakukan selepas itu.

"Saya cuma memberitahu tentang impian untuk mengadakan sebuah konsert irama tradisional memandangkan saya belum pernah melakukannya lagi. Akhirnya peluang ini telah hadir dengan kerjasama Istana Budaya dan OTM," ujarnya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai konsertnya itu, Siti memberitahu penonton akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu irama tradisional selama dua jam.

Ujarnya, sebanyak 35 buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley dan ia merangkumi pelbagai irama tradisional Melayu seperti joget, zapin dan keroncong.

"Sejak beberapa minggu lalu saya sudah kembali mendengar lagu-lagu irama tradisional dalam proses pemilihan lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan nanti.

"Selain itu, saya gembira kerana konsert ini turut mendapat sentuhan dua individu hebat seperti Lokman Ghani selaku pengarah serta Aubrey Suwito yang memberikan sentuhan terbaik dalam gubahan dan susunan lagu," jelasnya.

Meskipun ia konsert sulung irama tradisional yang dijayakannya, Siti menyatakan tentang beberapa kelainan yang akan ditampilkan dalam persembahan itu nanti.

Antaranya segmen khas iaitu Mak Yong dan Dikir Barat yang akan menampilkan kelainan dalam corak persembahan yang belum pernah dilakukan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.


SITI bersama Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan tenaga kerja konsertnya.


"Ketika ini saya sudah mula mempelajari tarian Mak Yong dan dilatih oleh Rosnan Rahman. Bagaimanapun, untuk mendalaminya bukanlah mudah seperti yang disangkakan," ujarnya.

Menurut Siti, ketika konsert itu berlangsung nanti dia tidak akan keseorangan kerana dua orang individu lain akan turut diundang untuk sama-sama menjayakannya.

Jelasnya, salah seorang individu tersebut ialah penggiat irama tradisional terkenal, Pak Ngah atau Suhaimi Mohd. Zain, manakala seorang lagi masih dirahsiakan sebagai elemen kejutan buat penonton.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai konsert tersebut dengan Siti sejak beberapa tahun lalu.

Ujarnya, penyanyi berkenaan pernah meluahkan hasratnya untuk tampil dalam sebuah konsert yang agak berbeza dan gembira kerana Istana Budaya menjadi pilihan Siti.

"Sudah tentu ia merupakan konsert yang begitu dinantikan para peminat. Jadi, janganlah lepaskan peluang untuk menonton konsert ini kerana ia akan memberikan kenangan tersendiri kepada penonton," ujarnya.

Mengenai jualan tiket pula, Juhari menyatakan tiket-tiket berharga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518 sudah mula dijual dan mendapat sambutan yang baik.

Bukan jaminan

Memandangkan Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) merupakan sebuah konsert yang besar, Siti menyatakan pihaknya berusaha untuk mendapatkan penaja.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Cindai, Balqis dan Ya Maulai itu mengakui usaha mencari penaja merupakan satu cabaran yang agak sukar.

"Sama ada seseorang itu mempunyai nama besar atau tidak, bukan mudah sebenarnya untuk dapat penaja. Saya juga akan turun padang untuk menarik lebih ramai penaja.

"Bagi saya perjalanan menjayakan konsert ini pastinya menjadi lebih mudah kalau ada penaja. Sekiranya tiada yang berminat saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk menganjurkannya," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved