Isnin, 16 September 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera bunuh 51 gerila MNLF

Posted:

Tentera bunuh 51 gerila MNLF

Tentera bunuh 51 gerila MNLF

MAYAT seorang gerila MNLF diletakkan ke dalam sebuah trak tentera di Bandar Raya Zamboanga, selatan Filipina semalam.


ZAMBOANGA - Tentera Filipina membunuh atau menangkap hampir 100 gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menahan sejumlah tebusan selama seminggu di bandar ini.

Pihak berkuasa menyatakan, perkembangan itu berlaku ketika tentera kerajaan meneruskan operasi untuk menawan semula beberapa penempatan yang dikuasai pemberontak di sepanjang kawasan pantai dekat selatan Filipina.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, masih terdapat lebih 100 gerila MNLF di beberapa kawasan di pinggir bandar raya ini.

"Mereka menjadikan orang awam sebagai tebusan," katanya.

"Namun, kami semakin berjaya dan meneruskan kemaraan," tambah Zagala.

Sejumlah tebusan telah melarikan diri atau dibebaskan tetapi bilangan keseluruhan mereka yang ditawan MNLF masih tidak dapat dipastikan.

Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar pula memberitahu, pemberontak MNLF masih menawan kira-kira 40 tebusan di sebuah kawasan dekat sini.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 51 pemberontak telah dibunuh manakala 42 lagi ditangkap ketika cuba melarikan diri melalui kawasan pantai.

"Mereka membuang pakaian seragam dan memakai pakaian orang awam," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.

Menurutnya, tentera Filipina turut menemui dua mayat gerila MNLF yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita semalam.

Sebanyak enam anggota polis dan tentera bersama empat penduduk kampung terbunuh dalam konfrontasi itu yang bermula Isnin lalu apabila pemberontak cuba menaikkan bendera MNLF di bangunan Dewan Bandar Raya Zamboanga di sini.

"Walaupun tentera mendapat momentum, kami masih belum pasti bila konfrontasi ini akan berakhir," kata Roxas.

Menurutnya, lebih 67,000 penduduk telah melarikan diri sejak MNLF melancarkan serangan ke atas bandar raya ini pada minggu lalu.

Kumpulan MNLF semakin terdesak sejak beberapa bulan lalu apabila mereka dipinggirkan oleh kerajaan Filipina.

Manila sebaliknya memilih untuk berunding dengan seteru MNLF, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam rundingan damai yang ditaja oleh Malaysia.

Rundingan dengan MILF diadakan bagi menamatkan penentangan orang Islam sejak beberapa dekad lalu yang meragut sebanyak 150,000 nyawa di selatan negara itu. - AP

Kos apungkan Costa Concordia RM3.6 bilion

Posted:

Kos apungkan Costa Concordia RM3.6 bilion

Kos apungkan Costa Concordia RM3.6 bilion


SEORANG budak lelaki melihat bangkai kapal persiaran Costa Concordia dekat pelabuhan Giglio Porto, Itali semalam.


PULAU GIGLIO - Pihak berkuasa Itali melakukan persiapan terakhir semalam untuk mengapungkan kapal persiaran Costa Concordia.

Kapal seberat 114,500 tan metrik itu separa karam dan tersadai di perairan pulau tersebut.

Sejumlah pekerja dilihat memasang rantai dan kabel besi gergasi dalam usaha mengapungkan kapal sepanjang 290 meter atau seluas tiga buah padang bola sepak itu hari ini.

Ketua operasi berkenaan, Nick Sloane berkata, tindakan itu perlu dilakukan sekarang kerana badan kapal berkenaan semakin lemah dan mungkin patah pada musim sejuk.

Projek mega tersebut setakat ini menelan belanja lebih AS$798 juta (RM2.6 bilion) dengan sebuah syarikat insurans memberitahu, kos operasi berkenaan dijangka mencecah AS$1.1 bilion (RM3.6 bilion).

Apabila kapal Costa Concordia berada dalam keadaan menegak, ia akan ditunda untuk dileraikan pada awal tahun hadapan.

Kapal berkenaan berada dalam keadaan hampir terbalik di perairan pulau itu sejak melanggar batu semasa membawa 4,229 penumpang dari 70 buah negara pada Januari 2012.

Nahas itu didapati berpunca daripada kesilapan kapten kapal berkenaan, Francesco Schettino.

Seramai 32 orang terbunuh dalam tragedi itu. - AFP

Dua wanita cedera terkena peluru sesat anggota polis

Posted:

Dua wanita cedera terkena peluru sesat anggota polis

Dua wanita cedera terkena peluru sesat anggota polis


SEORANG wanita rebah selepas terkena sebutir peluru sesat dalam insiden tembakan di New York kelmarin.


NEW YORK - Polis tertembak dua wanita ketika cuba menangkap seorang lelaki yang mengamuk di luar Terminal Bas Pihak Berkuasa Pelabuhan di sini kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, sebutir peluru sesat itu mengenai kaki seorang wanita manakala mangsa kedua cedera di punggung.

Beberapa saksi berkata, seorang anggota polis melepaskan tiga das tembakan selepas terdengar jeritan bahawa suspek membawa senjata api.

Kedua-dua mangsa yang kebetulan berada di tempat kejadian kemudian dibawa ke dua hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah persimpangan yang sibuk di sini sejurus selepas pukul 9.30 malam (waktu tempatan).

"Seorang lelaki berlari memasuki simpang empat itu. Dia seperti meminta supaya kenderaan yang lalu-lalang melanggarnya," kata seorang saksi, Fabiola Ferere.

"Sebuah trak melanggarnya tetapi dia bangkit kembali sebelum dirempuh pula oleh sebuah kereta," tambah wanita berusia 30 tahun itu.

Seramai tujuh anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian cuba menahan lelaki tersebut.

"Dia berlari-lari di sekitar lokasi kejadian untuk cuba mengelak daripada ditangkap," kata saksi sama.

Menurut beberapa saksi lain, ketika polis berjaya merebahkan suspek, lelaki itu kelihatan seperti cuba mengeluarkan sesuatu dari dalam poketnya.

Ketika itu, seorang pejalan kaki menjerit: "Dia bersenjata!".

"Saya kemudian mendengar tiga das tembakan dilepaskan manakala polis mengosongkan lokasi kejadian selepas itu," kata seorang pelancong, Arkem Assam.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan nama suspek, anggota polis yang melepaskan tembakan dan dua mangsa berkenaan. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved