Jumaat, 19 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Noor Aishah terharu Yusof masih dihargai

Posted:

Noor Aishah terharu Yusof masih dihargai

Noor Aishah terharu Yusof masih dihargai

NOOR AISHAH utuh menyimpan setiap pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof.


SENYUMANNYA terukir manis dan menawan. Lembut tutur kata dan sopan santun terangkum dalam diri wanita Melayu Singapura ini.

Bagi yang tidak mengenali Noor Aishah Md. Salim, mereka mungkin tidak percaya wanita itu sebenarnya isteri bekas Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak.

Kekal merendah diri tanpa dilimpahi sebarang publisiti media, Noor Aishah, 80, utuh menyimpan setiap kenangan pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof sejak mendirikan rumah tangga kira-kira 64 tahun lalu.

Bersama Noor Aishah, Yusof sering berkongsi cerita mengenai apa yang berlaku termasuk semasa mengendalikan akhbar Utusan Melayu yang menjadi suara perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada genggaman penjajah British.

Kini, Noor Aishah menikmati kehidupan bersama keluarga tersayang selepas dikurniakan tiga cahaya mata dan 10 cucu hasil perkongsian hidup bersama Yusof.

Kehadiran Noor Aishah di Taman Warisan Melayu, Istana Kampung Gelam, Sultan Gate, Singapura sempena Kembara Queen Street (KQS) bagi meraikan ulang tahun Utusan Melayu yang ke-75 baru-baru ini cukup sederhana.

Tanpa diiringi pihak berkuasa di sana, ia sesuatu yang cukup asing bagi mana-mana bekas Wanita Pertama.

Kecintaan Yusof

Menurut beliau, arwah suaminya seorang yang gemar bercerita biarpun terkenal dengan sikap yang tegas dalam kalangan pekerja Utusan Melayu ketika itu.

"Saya terharu dan bangga kerana walaupun Yusof sudah lebih empat dekad meninggal dunia, masih ada insan mengenang jasanya.

"Saya merakamkan jutaan terima kasih, apa yang hendak saya katakan di sini usaha yang dilakukan oleh insan-insan (warga Utusan Melayu) mulia ini amat saya sanjung.


ZAINUDDIN (depan dua dari kiri) menyampaikan buku yang ditulis beliau kepada Noor Aishah sambil diperhatikan Zaini (kiri) pada Konvoi Kembara Queen Street.


"Ditambah dengan sejarah perjuangan Allahyarham terhadap Utusan Melayu memberi erti cukup besar bagi saya," kata Noor Aishah yang membahasakan diri beliau dengan panggilan mami.

Malah, beliau turut berkongsi rasa kecintaan mendalam Yusof terhadap Utusan Melayu yang tetap mengikuti perkembangan akhbar itu meskipun menjadi Presiden Singapura.

"Yusof memang kuat bekerja. Dia sanggup tidur di pejabat semata-mata kerana teruja dengan mesin percetakan baharu yang boleh mencetak akhbar lebih pantas berbanding sebelum itu," cerita Noor Aishah.

Mungkin ramai dalam kalangan pembaca tidak tahu bahawa Yusof juga merupakan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British sebelum mengasaskan akhbar Utusan Melayu yang mula diterbitkan di Queen Street, Singapura pada 29 Mei 1939.

Yusof yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 12 Ogos 1910 merupakan Yang di-Pertuan Negara ketika Singapura bersama Malaysia dari tahun 1959 hingga 1965. Beliau kemudian menjadi presiden pertama republik itu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 23 November 1970 ketika berusia 60 tahun.

Wajah beliau juga masih boleh dilihat pada kepingan kertas dolar Singapura sekarang.

"Tanpa Yusof, tidak akan wujud akhbar Utusan Melayu," demikian kata ringkas namun cukup bermakna yang diungkapkan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin semasa ditemui pada majlis yang sama.

Dalam pertemuan singkat itu, Zainuddin turut berkesempatan menghadiahkan buku bertajuk Di Depan Api, Di Belakang Duri kepada Noor Aishah.

Menurut beliau, peluang menyampaikan buku karyanya yang menceritakan pengalaman pada zaman awal penubuhan Utusan Melayu di Singapura kepada bekas Wanita Pertama Singapura itu merupakan detik amat bermakna buatnya.

Malah, beliau mengakui terharu kerana Noor Aishah sanggup datang ke majlis tersebut meskipun tidak sihat dan diketahui jarang muncul dalam mana-mana majlis di negara itu.


UTUSAN Melayu diperbadankan di Singapura pada 18 Jun 1938 sebagai Utusan Melayu Press Limited.


"Ini merupakan hari yang cukup bermakna dan besar ertinya dalam hidup saya kerana sempat berkhidmat sebagai wartawan semasa era Allahyarham Yusof menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu.

"Apa yang saya dapat belajar, beliau merupakan seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja kerana bagi Allahyarham dengan cara itu sahaja dapat memajukan Utusan Melayu bagi membolehkan para pekerja bertugas bersungguh-sungguh," katanya.

Buku Di Depan Api, Di Belakang Duri setebal 512 muka surat nukilan Zainuddin kini berada di pasaran dan dijual pada harga RM62.

Mengulas lanjut, Zainuddin yang mesra dikenali dengan panggilan Zam turut berkongsi cerita mengenai cinta Yusof terhadap bidang kewartawanan biarpun telah bergelar Presiden Singapura.

Cabaran konvoi

"Pernah suatu ketika Yusof terserempak dengan wartawan (Ahmad Idris) dan jurugambar (Junid Juani) di tepi jalan. Biarpun sudah bergelar presiden, Yusof sebaliknya yang mengambil gambar mereka berdua dari dalam kereta.

"Yusof juga cukup pantang jika mengetahui ada wartawan tidak pergi ke kawasan liputan dan hanya mengambil berita daripada wartawan lain," cerita Zainuddin.

Terdahulu, konvoi yang diketuai oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan menziarahi pusara Yusof yang terletak di Keranji, Woodlands sambil menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah diikuti doa yang dipimpin oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Kamsari Nor.

Konvoi KQS merupakan projek sulung anjuran Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) bermula 6 Julai lalu sambil diiringi lapan pegawai dan anggota Bahagian Pengangkutan Jabatan Logistik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut serta dalam konvoi itu ialah Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Syed Agil Syed Jaafar; Ketua Editor Foto Utusan Melayu, Abdul Kadir Bachok; Pengarah Program Konvoi KQS, Asmaruddin Jamaluddin dan Presiden KKBUM, Mohd. Hazli Hassan.

WALAUPUN diuji dengan pelbagai cabaran, peserta konvoi Kembara Queen Street berjaya menyudahkan misi mereka.


Sepanjang tiga hari berkonvoi, para peserta yang terdiri daripada kakitangan Utusan Malaysia, Kosmo!, Unit Jurufoto dan beberapa jabatan lain dilihat cekal menempuh perjalanan keseluruhan merangkumi jarak lebih 800 kilometer (km).

Stamina peserta jelas diuji dengan cuaca tidak menentu, namun segala-galanya dapat diatasi apabila peserta dilengkapi dengan beg dehidrasi tajaan Deuter.

Peserta konvoi yang terpaksa meneruskan perjalanan dalam hujan lebat ketika di Rembau, Negeri Sembilan juga tidak terjejas apabila penglihatan mereka terjamin selepas menggunakan topi keledar keluaran khas M50.0 Malaysia Boleh yang ditaja Givi Malaysia.

Lebih menarik, kesemua peserta sempat merakamkan gambar kenangan menarik sepanjang perjalanan dengan kamera canggih tajaan pengedar kamera terkemuka, Canon Marketing (M) Sdn. Bhd.

Selain itu, peserta konvoi juga diiringi tiga buah motosikal Moto Guzzi tajaan SMS Autoworld Sdn. Bhd. serta tiga buah kenderaan Chevrolet model Colorado, Orlando dan Sonic yang ditaja Naza Quest Sdn. Bhd. bagi membantu melicinkan perjalanan konvoi.

Antara pihak lain yang turut berbesar hati bertindak sebagai penaja bagi merealisasikan kembara berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Rakyat, Felda, Kolej Poly-tech Mara, Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Nasional Berhad, Yayasan Pendidikan Cheras, Kerajaan Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak serta syarikat kosmetik, Jamu Mak Dara.

Kemeriahan Fiesta de San Fermin

Posted:

Kemeriahan Fiesta de San Fermin

Kemeriahan Fiesta de San Fermin


SELAMA sembilan hari, bandar Pamplona berubah wajah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan hiburan tanpa henti.


SETIAP tahun bermula dari 6 hingga 14 Julai, bandar raya lama Pamplona yang terletak di utara Sepanyol akan berubah wajah. Selama sembilan hari, seluruh bandar raya itu sesak dengan kehadiran ribuan manusia bagi meraikan sambutan Fiesta de San Fermin.

Menjelang tengah hari 6 Julai, puluhan mercun roket dilepaskan di hadapan Dewan Perbandaran Ayuntamiento.

Dikenali sebagai chupinazo, ia merupakan simbolik kepada pembukaan festival itu yang dimulakan sejak tahun 1591.

Terdapat pelbagai aktiviti disajikan kepada pengunjung, antaranya gerai jualan, persembahan hiburan dan kebudayaan yang berlangsung tanpa henti, 24 jam sehari.

Namun yang paling ditunggu-tunggu ialah acara larian lembu yang diadakan di Santo Domingo.

Pada acara itu, ratusan peserta berpakaian merah dan putih membanjiri kawasan lapang di situ sambil menunggu isyarat pintu pagar kandang lembu dibuka.

Sebaik sahaja isyarat dibunyikan, mereka akan berlari di hadapan sekawan lembu melalui lorong-lorong kecil di sekitar bandar raya itu membabitkan jarak sejauh 825 meter.

Biarpun tampak menyeronokkan, ia sebenarnya berisiko tinggi. Lebih-lebih lagi jika dirempuh lembu jantan yang besar dan ganas, pasti mengundang kecederaan parah malah kematian.

Selain larian lembu, pengunjung juga bakal terhibur menyaksikan persembahan laga lembu. Saksikan pertembungan satu lawan satu antara lelaki matador dengan lembu-lembu yang sedang naik minyak.

Biarpun sering dikritik oleh para pencinta haiwan di seluruh dunia, tradisi itu sukar dihentikan kerana ia sudah sebati dalam budaya masyarakat Sepanyol.

Festival itu mencapai kemuncak menjelang tengah malam 14 Julai apabila pengunjung berarak ke Dataran Dewan Perbandaran sambil membawa lilin dan menyanyikan lagu Pobre de mi.

Tamatnya telekomunikasi tertua di India

Posted:

Tamatnya telekomunikasi tertua di India

Tamatnya telekomunikasi tertua di India

SELAMA lebih 160 tahun, imej penghantar telegram yang berbasikal dan mengetuk pintu-pintu rumah atau pejabat begitu sinonim kepada warga India.

Bagi rakyat biasa, telegram lazim digunakan untuk membawa perkhabaran mengenai kelahiran dan kematian. Kerajaan pula menggunakannya untuk mengiklan jawatan kosong sementara bagi pasangan kekasih pula, ia selesa digunakan untuk melahirkan isi hati mereka.

Bagaimanapun, tengah malam 15 Julai lalu, perkhidmatan itu ditamatkan secara rasmi di India.

Ia berikutan pengumuman Bharat Sanchar Nigam Limited (BSNL), pengendali sistem telekomunikasi di negara itu untuk menghentikan perkhidmatan telegraf kerana kosnya terlalu tinggi dan tidak berdaya maju.

Perkataan terakhir pada sistem telekomunikasi tertua di dunia itu ditulis oleh SK Pandit, 35, seorang kakitangan swasta yang menghantarnya di pejabat Central Telegraph Office di New Delhi.

"Ketua saya mahu menghantar telegram kepada anak perempuannya sempena ulang tahun kelahirannya sebelum operasinya tamat.

"Dia mahu anaknya menjadi sebahagian daripada sejarah kewujudan telegram di negara ini," katanya.

Pandit, mengakui dia agak gementar kerana tidak pernah menggunakan telegram sebelum ini. Namun, selepas bercakap dengan beberapa rakan sekerjanya melalui telefon bimbit, dia pantas mengambil borang kosong yang tersedia sebelum menulis mesej seperti dikehendaki ketuanya itu.

Merudum

Perkhidmatan telegram dilihat mampu bertahan lama di India disebabkan kadar penembusan telefon bimbit yang agak perlahan terutamanya di kawasan-kawasan pendalaman.

Bagaimanapun, perkembangan rangkaian mudah alih pada hari ini menyaksikan telegram tidak lagi relevan mempunyai kelemahan dari segi kos, kelajuan dan kebolehcapaian.


PERKHIDMATAN telegram ditamatkan secara rasmi di India mulai 15 Julai lalu.


Caj yang dikenakan iaitu 27 rupee (RM1.40) untuk menghantar kira-kira 50 perkataan yang mengambil masa selama 48 jam sebelum tiba kepada penerimanya berbanding 10 paise (5 sen) untuk satu SMS yang diterima dalam tempoh sesaat sahaja menyebabkan ia tidak begitu popular, khususnya dalam kalangan generasi muda di India.

Pengurus Besar Kanan bagi perkhidmatan telegram BSNL, Shameem Akhtar berkata, penggunaan telegram semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pada tahun 2008, syarikat itu mempunyai kira-kira 22,000 pekerja, namun jumlah itu kini berkurangan kepada 980 pekerja.

Penghantaran telegram merudum kepada kira-kira 5,000 sehari, berbanding beberapa ratus ribu sekitar awal 1960-an dahulu selepas kehadiran mesin faks dan internet. Daripada jumlah itu, kira-kira 65 peratus telegram digunakan untuk urusan rasmi kerajaan.

"Setiap tahun syarikat menanggung kerugian kira-kira AS$23 juta (RM70 juta) akibat persaingan dengan telefon bimbit dan internet. Pemberhentian operasi telegram dilihat tepat pada masanya," katanya.

Sistem rangkaian telegraf diperkenalkan oleh Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1851 di Kolkata, merangkumi pemasangan kabel sepanjang 40 kilometer (km) dari Sungai Hoogly sehingga Pelabuhan Diamond.

Empat tahun kemudian, kabel sepanjang 6,400km telah dipasang beberapa lokasi sebelum sistem itu mula dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai.

Selepas seabad, jumlah kabel yang dipasang meningkat kepada kira-kira 202,000km merangkumi kawasan-kawasan pedalaman sekali gus menjadikannya alat telekomunikasi utama penduduk ketika itu.


KENANGAN. Seorang wanita Surjeet Kaur menunjukkan telegram ucapan hari lahir yang dihantar oleh suaminya pada tahun 1955.


Pada 1947 iaitu ketika kemerdekaan India, pejabat telegraf berjaya mengendalikan kira-kira 17 juta transaksi telegram yang dihantar di seluruh negara.

Permintaannya semakin meningkat sekitar tahun 1970-an dan 1980-an membabitkan urusan-urusan rasmi kerajaan, aktiviti perniagaan dan perdagangan di samping menyampai apa jua berita sama ada yang baik atau buruk.

Seorang ahli sosiologi, Abhilasha Kumari memberitahu, telegram memainkan peranan penting di tempat kelahirannya di Sitamau di tengah India.

"Ia merupakan satu-satunya sumber untuk mendapat berita dengan pantas. Melaluinya kami berpeluang mengetahui apa yang berlaku di sekeliling di samping berhubung dengan ahli keluarga atau kenalan yang menetap jauh di pedalaman," jelasnya.

Kumari berkata, dia masih mampu mengingati bagaimana dia sekeluarga berasa sedih apabila dimaklumkan mengenai kematian sepupunya akibat kemalangan melalui telegram.

"Telegram itu dihantar sendiri oleh ketua penghantar telegram di kampung saya. Saya masih mampu mengingati bagaimana dia mengetuk pintu rumah kami sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Telekomunikasi baharu

Sementara itu, seorang pesara operator telegraf di New Delhi, RK. Rai berbangga kerana menjadi sebahagian tenaga penting perkhidmatan telegram pada zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.


SETIAP transaksi telegram disimpan dan direkodkan bagi tujuan keselamatan.


Katanya, setiap hari beratus-ratus pekerja cuba mentafsir kod-kod Morse yang dihantar oleh orang ramai menggunakan mesin telegraf.

"Mesin telegraf tidak henti-henti berbunyi, hampir setiap minit. Pejabat kami tidak ubah seperti sebuah kilang," imbaunya.

Tambah Rai, bekerja dalam bidang itu memberi kebebasan kepada mereka mengakses pelbagai maklumat mengenai pelanggan.

"Melalui telegram yang diterima, kami mengetahui serba sedikit mengenai kehidupan dan latar belakang mereka. Perkataan privasi tidak wujud kerana kami terlebih dahulu mengetahui mengenainya," ujarnya lagi.

Rai bersara pada 2006, namun dia kerap melawat tempat kerjanya, Central Telegraph Office yang merupakan sebuah bangunan peninggalan era kolonial di tengah-tengah New Delhi.

Secara purata, pejabat itu menghantar kurang daripada 10 telegram sehari, walaupun sejak kebelakangan ini ia mula dibanjiri orang ramai yang mahu menghantar telegram sebagai kenang-kenangan sebelum perkhidmatan itu ditamatkan di India pada bulan ini.

Ketika ini, terdapat 75 pejabat telegraf yang masih beroperasi di seluruh India dengan jumlah pekerja kurang daripada 1,000 orang.

Difahamkan kesemua mereka yang terlibat diserap ke dalam beberapa jabatan dalam kementerian komunikasi negara itu.

Pada hari ini, Rai seperti juga jutaan generasi muda di negara itu, mengakui selesa menggunakan telefon bimbit untuk berhubung atau menghantar pesanan.

"Teknologi yang semakin pantas berkembang mengagumkan saya. Komunikasi ibarat satu permainan menguji kepantasan, siapa yang lebih pantas, ia akan memenanginya," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved