Selasa, 16 Julai 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pantau denyut jantung dari jarak jauh

Posted:

Pantau denyut jantung dari jarak jauh

Pantau denyut jantung dari jarak jauh

Oleh ADLAN JAAFAR

DR. SULAIMAN CHE RUS, 60-an, tidak sedarkan diri pada bulan Ogos tahun lalu ketika pulang selepas mengerjakan solat di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia disahkan menghidap penyakit arteri koronari dan telah menjalani pembedahan selama 12 jam. Sebuah peranti perentak jantung (pacemaker) turut dimasukkan ke dalam tubuhnya.

Selepas keluar dari hospital, dia dibekalkan dengan sebuah peranti yang dipanggil Merlin.Net untuk dipasang semasa dia sedang tidur.

"Alhamdulliah setakat ini, belum ada sebarang panggilan yang memerlukan saya ke hospital. Jika terasa lain, saya hanya perlu membuat panggilan ke hospital," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Merlin.Net di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Merlin.Net merupakan sebuah peranti pemancar (transmitter) yang membolehkan sebuah sistem pemantauan jarak jauh antara doktor dan pesakit dibuat.

Pemeriksaan berkala

Sulaiman yang bekerja sebagai Pegawai Perubatan di Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia berseloroh, dinding di IJN perlu selalu dicat kerana terdapat banyak kesan daki.

Kesan tersebut disebabkan oleh masalah masa menunggu yang kerap dihadapi pesakit menyebabkan pengiring mereka perlu bersandar atau meletakkan kaki di dinding kerana penat.

Sememangnya pesakit jantung memerlukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan jantung berfungsi dengan baik.

Peranti pacemaker perlu diperiksa pada waktu tertentu iaitu sehari selepas implan, sebulan kemudian, tiga kali setahun, dan dua kali setahun bagi tahun berikutnya.


MERLIN.NET merupakan sistem pemantauan menyeluruh jarak jauh yang mampu mengurangkan jumlah lawatan ke hospital.


Apabila pesakit berasa ada sesuatu yang tidak kena, mereka boleh ke IJN pada bila-bila masa.

Menurut Konsultan Kanan Pakar Kardiologi IJN, Datuk Dr. Razali Omar, lebih kurang 40 orang sehari membuat pemeriksaan di IJN, manakala kira-kira 200,000 pesakit luar melakukan pemeriksaan dalam tempoh setahun.

Bilangan tersebut dijangka terus meningkat berdasarkan data pesakit dan jumlah kunjungan ke IJN.

Dari tahun 1996 hingga 1999, IJN mempunyai pesakit seramai 990 orang dengan jumlah rawatan susulan sebanyak 4,478 kali, manakala terbaru, dari tahun 2006 hingga 2012, pesakit bertambah menjadi 2,938 orang dengan rawatan susulan 27,233 orang.

Bilangan pesakit yang bertambah seiring rawatan susulan itu menyebabkan masa seseorang pesakit banyak terbuang setiap kali menunggu.

Masa menunggu

Pesakit yang membuat pemeriksaan tanpa memerlukan rawatan mengambil masa purata 30 minit dan ia membentuk bilangan paling ramai.

Bagi yang memerlukan rawatan susulan pula mengambil masa paling kurang satu jam atau lebih, menyebabkan pesakit seterusnya menunggu lebih lama lagi.

"Sistem pemantauan jarak jauh membolehkan kami memberi fokus masa dan usaha untuk kumpulan pesakit yang berada pada tahap kompleks," ujar Razali pada majlis pelancaran Merlin.Net.

Sistem pemantauan Merlin.Net merupakan peranti yang dibangunkan oleh St. Jude Medical. Ia adalah rangkaian penjagaan kesihatan pesakit yang mengabungkan data daripada peranti seperti pacemaker dan kaedah implan implantable cardioverter defibrillator (ICD) dengan data pesakit sedia ada.

Sistem itu dapat mengesan data dengan tepat, informasi yang relevan dan membolehkan pakar perubatan mengesan trend serta membuat keputusan dengan cepat berdasarkan keperluan pesakit.

Sistem yang pertama kali digunakan di Malaysia itu secara keseluruhannya akan mengumpul dan menyimpan data sejak prosedur implan dijalankan diikuti setiap rawatan susulan yang dibuat serta data yang dipancarkan daripada peranti di rumah pesakit.

Pemindahan data melalui pemancar Merlin@home ke laman web dibuat dengan cara pakar perubatan memasukkan log masuk pada mana-mana peranti yang menyokong laman web.


PERENTAK jantung ini memberikan maklumat menggunakan Merlin@Home.


Amaran ketika kecemasan

Data-data dihantar daripada Merlin@home menggunakan talian telefon rumah ke sistem Merlin.Net di IJN.

Cara penggunaanya amat mudah, ia perlu dipasang berdekatan katil menggunakan bekalan elektrik selain talian telefon semasa pesakit tidur.

Pada waktu itu, pemancar membuat pemeriksaan secara automatik. Apabila peranti selesai dibaca, Merlin@home secara automatik mendail dan menghantar maklumat.

Ketika alat pemancar sedang menghantar data, pemanggil yang membuat panggilan ke talian telefon akan menerima isyarat sibuk, sama seperti panggilan telefon lain.

Ia tidak akan mengganggu sebarang penggunaan telefon biasa ketika pemancar berhenti menghantar data, jadi pesakit perlu biarkan ia masih berada di plug.

Jika berlaku sebarang kecemasan yang memerlukan perhatian doktor serta-merta atau mesin itu memerlukan penyelenggaraan, amaran akan dihantar ke sistem Merlin.Net. Ia seterusnya dipancar ke pakar perubatan berkenaan dengan menggunakan e-mel, faks atau SMS.

Sistem amaran Merlin.Net juga tidak terhad kepada kedua-dua situasi tersebut, tetapi boleh mengesan pemfibrilan atrium (AF), takikardia atrium (AT) dan segmen ST. Segmen ST merupakan perubahan pada rentak jantung elektrik.

Sistem bunyi digital kawalan iPhone

Posted:

Sistem bunyi digital kawalan iPhone

Sistem bunyi digital kawalan iPhone


SISTEM bunyi ini boleh disambung menggunakan teknologi wayarles.


TIDAK cukup sekadar mempunyai susunan pembesar suara berkuasa tinggi, ia perlu dilengkapi sistem bunyi digital terbaik.

Justeru, Bosch melancarkan sebuah sistem bunyi digital matriks Plena yang direka sesuai untuk semua persekitaran sama ada perniagaan, pendidikan mahupun bersuka ria.

Teknologinya dibangunkan untuk pengguna menikmati kualiti audio premium selain tidak berkompromi terhadap kualiti ucapan dan muzik.

Ia mudah dan cepat dipasang tanpa penggunaan gulungan wayar serta sambungan berpateri. Plena mempunyai sistem kawalan fleksibel antara pemprosesan isyarat digital (DSP) dan amplifier.

Bagi tujuan kawalan suara dan seleksi sumber lagu, panel kawalan boleh dipasang pada dinding, manakala bagi tujuan kawalan pelbagai zon secara serentak, antara muka untuk Windows yang mempunyai grafik memudahkan penggunaannya.

Selain kedua-dua cara kawalan itu, aplikasi mobil untuk iPad dan iPhone dapat memberikan kepuasan kawalan secara maksimum kepada pengguna.

Aplikasi mesej segera sampaikan ucapan

Posted:

Aplikasi mesej segera sampaikan ucapan

Aplikasi mesej segera sampaikan ucapan

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


KAD hari raya semakin terpinggir dengan kehadiran pelbagai kaedah menghantar ucapan yang lebih mudah seperti e-mel, SMS, Whatsapp, WeChat dan Facebook.


TRADISI kunjung-mengunjung sanak saudara dan sahabat handai ketika Aidilfitri telah diamalkan oleh umat Islam, bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia.

Amalan bermaaf-maafan menjadikan tradisi itu lengkap dan membawa pengertian sambutan hari raya yang sebenar. Namun, tidak semua insan yang bernasib baik dapat meraikan Aidilfitri bersama orang tersayang.

Ada yang terpaksa berjauhan daripada keluarga dan kampung halaman kerana tuntutan kerja serta terpaksa berhari raya di perantauan kerana melanjutkan pengajian.

Mereka yang tidak dapat bersama-sama keluarga pada Aidilfitri atau tidak dapat menziarahi rakan taulan yang tinggal berjauhan lazimnya akan menitipkan kad ucapan hari raya menerusi kiriman pos.

Penulis masih teringat betapa hangatnya tradisi menghantar kad raya sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Kebiasaannya, penerima pasti mengumpul kad yang diterima dan menggantungkannya pada ranting pokok hiasan di dalam rumah atau di dinding.

Ketika itu, kad raya menjadi sebahagian daripada hiasan perayaan. Setelah telefon bimbit mula digunakan secara meluas, ramai yang meninggalkan tradisi menghantar kad raya dan mula menghantarkan SMS sebagai tanda ingatan.

Bagi yang inginkan ucapan yang lebih interaktif, mereka boleh memilih untuk menghantar MMS.

Pelbagai hasil kreativiti dapat dilihat daripada ucapan raya berbentuk seloka malah imej yang dihasilkan menerusi penggunaan teks ASCII.

Semasa internet mula-mula diperkenalkan di negara ini, ramai yang menghantar e-mel yang dikepilkan dengan kad ucapan buatan sendiri.

Ada juga yang memilih menggunakan perkhidmatan kad ucapan elektronik percuma seperti di laman web www.123greetings.com.


TERDAPAT pelbagai aplikasi mobil mesej segera seperti LINE yang boleh menghantar teks dan audio.


Pelbagai medium

Kad yang lazimnya diselitkan dengan animasi dan lagu itu boleh dihantar dengan hanya memasukkan butiran penerima seperti alamat e-mel, nama dan ucapan yang ingin ditujukan khusus kepada penerima.

Dengan capaian jalur lebar bergerak 3G/HSDPA dan 4G pada waktu ini, aplikasi mesej segera, Whatsapp, LINE, BlackBerry Mesengger dan WeChat membolehkan pengguna menghantar ucapan tanpa sebarang kos tambahan kecuali kos akses internet itu sahaja.

Ia menjadi lebih menarik kerana ucapan yang dihantar bukan sekadar teks, sebaliknya pengguna boleh memilih untuk menghantar gambar, video atau audio ucapan hari raya.

Aplikasi seperti Skype pula membolehkan pengguna komputer, tablet mahupun telefon pintar membuat panggilan video kepada keluarga tersayang.

Ia pasti memberikan seribu makna terutamanya bagi mereka yang berada jauh di perantauan. Selain itu, ledakan rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi salah satu platform untuk umat Islam menyampaikan ucapan Aidilfitri dan memohon maaf daripada ahli keluarga dan teman-teman mereka.

Secara peribadi, penulis masih menyukai kad yang boleh disentuh berbanding kad maya. Ia lazimnya lebih dihargai berbanding ucapan yang dihantar secara talian.

Bagaimanapun, usaha yang diperuntukkan bagi menghantar sekeping kad hari raya fizikal melebihi usaha yang digunakan untuk menekan butang supaya kad maya sampai ke penerima pada masa nyata.

Namun begitu, selari dengan arus informasi dan perubahan teknologi, penulis terpaksa akur yang medium ucapan elektronik itu sememangnya memudahkan insan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada lebih ramai penerima dalam masa yang singkat tanpa mengira kedudukan geografi mereka.

Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa buat semua pembaca Kosmo! yang beragama Islam dan seterusnya meraikan hari kemenangan dengan ketibaan Syawal.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved