Khamis, 4 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tunku Ismail letak jawatan

Posted:

Tunku Ismail letak jawatan

Tunku Ismail letak jawatan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

TUNKU ISMAIL (dua dari kiri) meletak jawatan sebagai Presiden PBNJ berkuat kuasa semalam.


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa semalam.

Dalam satu kenyataan kepada media, baginda bertitah, keputusannya itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, dan juga hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

"Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama, saya juga adalah TMJ, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mentadbir PBNJ sebagai Penaung berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini.

"Ini kerana mengikut protokol, saya sebagai TMJ selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ," titah baginda.

Titah baginda, menjawat jawatan sebagai Penaung akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta memberi kelebihan kepada dirinya untuk mentadbir urus persatuan dalam pelbagai aspek.

Antaranya, pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga para pemain.

"Di samping itu, saya dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini," titah baginda.

Sehubungan itu, berkuat kuasa semalam, Tunku Ismail mengumumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dilantik sebagai Presiden PBNJ yang baharu.

"Saya berharap, anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau, kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai TMJ," katanya.

Titah Tunku Ibrahim lagi, baginda akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bola sepak negeri Johor daripada peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak negeri Johor di seluruh pelosok tanah air yang mana telah bersusah payah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan bola sepak negeri Johor selama ini.

"Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai, dan saya harapkan agar ia berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bola sepak tanah air," titah baginda.

Johor DT yang kini sudah mengumpul 19 mata dan Johor FA (22 mata), masing-masing menghuni kedudukan ketiga carta Liga Super dan Premier.

Kalau bagus, sambung...

Posted:

Kalau bagus, sambung...

Kalau bagus, sambung...

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan tempat yang selamat untuk mencari rezeki.

Tiada siapa yang kekal lama dengan badan induk sukan bola sepak negara itu kecuali individu berkenaan merupakan 'Master Yes Man'.

Jurulatih skuad bola sepak negara ketika ini, Datuk K. Rajagobal boleh dianggap bertuah kerana bertahan agak lama dengan FAM.

Begitupun, beliau tetap tidak senang duduk ekoran pelbagai tekanan daripada pihak tidak berkenaan yang berhasrat untuk menjatuhkannya.

Boleh dikatakan, masa depan Rajagobal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya kini seakan-akan sudah hampir ke penghujungnya.

Kontrak jurulatih berusia 57 tahun itu dijangka berakhir pada Disember depan, namun tatkala Rajagobal dihimpit dengan kontroversi berhubung Artikel 88 Statut FAM, kini timbul pula desas-desus bahawa beliau mungkin akan digantikan dengan jurulatih dari luar negara.

Nasib seperti ini bukan sekadar dialami oleh Rajagobal, malah ia dialami oleh semua jurulatih yang 'makan gaji' dengan FAM sebelum ini.

Antaranya, B. Sathianathan, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Norizan Bakar dan ramai lagi.

Tidak mustahil, jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee bakal menjadi mangsa FAM selepas ini.

Pemecatan atau menamatkan khidmat jurulatih sudah menjadi perkara biasa dalam FAM dan akibatnya, pembangunan bola sepak negara terus terbantut.

Begitupun, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam menyangkal spekulasi tersebut, sebaliknya menegaskan bahawa kontrak jurulatih tersebut dengan skuad Harimau Malaya akan ditentukan berdasarkan merit dan kejayaan pasukan kebangsaan dalam mencapai misi yang telah ditetapkan.

"Ini semua adalah khabar angin dan ada banyak lagi khabar angin yang kita dengar sejak akhir-akhir ini," jelas Tengku Abdullah pada sidang akhbar Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2013 di Hyatt Regency Resort, Kuantan semalam.

"Saya ingin jelaskan bahawa masa depannya (Rajagobal) sebagai jurulatih negara masih selamat sehingga kontraknya berakhir Disember depan, jadi kita akan nilai semula sama ada melanjutkan kontraknya atau tidak, berdasarkan merit dan prestasi semasa skuad negara.

"Kalau bagus, kita akan sambung (kontrak) tetapi semuanya bergantung kepada merit dan prestasi yang akan dikaji oleh semua ahli majlis FAM," ujarnya lagi.

Kenyataan Tengku Abdullah itu dilihat seperti satu peringatan kepada Rajagobal bahawa masa depannya kini bergantung kepada prestasi skuad negara di pentas antarabangsa, terutamanya pada kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Setelah hampir dua tahun skuad negara dilanda kemarau kejayaan, sejak kali terakhir memenangi gelaran Piala Suzuki AFF 2010, skuad negara gagal mempertahankannya pada edisi 2012 apabila tersingkir dalam peringkat separuh akhir kepada Thailand 3-1 secara agregat.

Kini, hanya kempen kelayakan Piala Asia sahaja dilihat sebagai 'talian hayat' terakhir buat pengendali kelahiran Selangor itu.

Ketika ini, Harimau Malaya menghuni tangga ketiga Kumpulan D kempen tersebut dengan tiga mata selepas tewas 0-2 kepada Qatar pada aksi pertama dan menang 2-1 ke atas Yemen pada aksi kedua bulan lepas.

Ditanya sama ada nasib Rajagobal banyak bergantung kepada kejayaan Malaysia mara ke pusingan akhir di Australia pada 2015, Tengku Abdullah berkata: "Semuanya masih belum pasti lagi. Seperti yang saya jelaskan tadi, kita akan kaji me- ngikut pencapaian semasa sepanjang tahun ini, kalau bagus kita sambung.

"Namun, isu mengenai kontrak Rajagobal bukan diputuskan oleh saya seorang sahaja, ia terletak di tangan ahli majlis FAM. Kita tunggu dan lihat saja nanti," ujarnya lagi.

The Catalan ditimpa malang

Posted:

The Catalan ditimpa malang

The Catalan ditimpa malang

MESSI tidak akan bermain pada aksi Liga Sepanyol di gelanggang sendiri menentang Real Mallorca, Sabtu ini.


PARIS - Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura menyuarakan kebimbangan mengenai kecederaan yang dialami Lionel Messi ketika skuad The Catalan seri 2-2 dengan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc des Princes awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, penyerang sensasi Argentina itu meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-38 tetapi PSG berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Zlatan Ibrahimovic minit ke-79.

Barcelona kembali di depan selepas Xavi Hernandez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 tetapi Blaise Matuidi berjaya menyelamatkan maruah PSG daripada diaibkan di hadapan penyokong sendiri apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Jaringan Matuidi itu meleburkan impian pendahulu Liga Sepanyol tersebut untuk membawa bekalan lebih selesa menjelang pertemuan kedua di gelanggang sendiri pada 10 April ini.

Kejayaan menjaringkan dua gol di tempat lawan memberi kelebihan kepada Barcelona untuk memburu slot ke separuh akhir pertandingan berprestij di Eropah itu.

Namun, kecederaan yang dialami Messi dan pemain tengah, Javier Mascherano merencatkan kegembiraan anak- anak buah Tito Vilanova itu.

"Messi mengalami kecederaan hamstring tetapi tidak serius. Mascherano pula mengalami kecederaan ligamen lutut yang memerlukan dia berehat selama enam minggu.

"Kami akan minta pihak perubatan membuat pemeriksaan lebih lanjut esok (hari ini)," kata Roura.

Roura berkata, mereka akan memastikan kecederaan yang menimpa Messi tidak memberi kesan kepada pasukan menjelang pertemuan suku akhir kedua di Stadium Nou Camp itu.

Sementara itu, Roura mengecam keputusan kontroversi pengadil perlawanan apabila mengesahkan gol pertama PSG kerana beliau menganggap Ibrahimovic berada dalam posisi ofsaid. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved