Khamis, 24 Januari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Jojo Rakit 'syurga' kaki pancing

Posted:

Jojo Rakit 'syurga' kaki pancing

Jojo Rakit 'syurga' kaki pancing

OLEH FARIK SALLEH

LANGIT membias warna kemerah-merahan sambil diiringi kepulan awan yang berarak perlahan. Berhembus pula angin sepoi-sepoi bahasa yang nyata membuatkan waktu petang begitu mendamaikan.

Matahari yang sedang terbenam mencetuskan satu fenomena yang indah di kaki langit dan mata seakan-akan enggan melepaskan pemandangan tersebut.

Bunyi kocakan air laut yang menampar binaan pelantar terapung Jojo Rakit melengkapkan suasana indah percutian di rumah rakit tersebut.

"Saya sudah lama merancang untuk bersantai bersama keluarga di Jojo Rakit. Pelbagai kisah menarik saya dengar daripada rakan-rakan yang pernah menginap di sini.

"Apabila merasai sendiri pengalaman tersebut, terasa sangat berbaloi. Sambil memancing, kami dapat menyaksikan keindahan langit pada waktu siang.

"Suasana pada waktu malam juga tidak kurang hebatnya, terutamanya dengan limpahan lampu dari kapal-kapal dagang yang berlabuh di sekitar kawasan ini," kata Lajis Jalil, 50-an, dari Felda Bukit Besar, Kulaijaya, Johor, mengenai penginapan ala homstay berkenaan.

Dia yang datang bersama keluarga tidak melepaskan peluang memancing dan menikmati sesi barbeku. Anak-anaknya turut gembira kerana dapat turut serta menguji umpan joran selain berkaraoke.

Lokasi impian

Terletak di perairan Kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi, kira-kira 12 kilometer (km) dari Bandar Kota Tinggi dan 30km dari Bandar Penawar, Desaru, Jojo Rakit kian menjadi sebutan ramai sekali gus pilihan lokasi impian buat komuniti kaki pancing.


SEISI keluarga seronok bersantai sambil menikmati suasana malam yang mendamaikan.


Kedudukannya yang dibina di atas paras air laut membuatkan kaki joran mudah melepaskan 'gian' memancing. Pada masa yang sama, minat tersebut dapat dikongsi bersama ahli keluarga yang dibawa bersama.

Pengunjung boleh memancing di sekitar Jojo Rakit tanpa mengira masa termasuklah menyewa bot untuk memancing di sekitar kawasan berkenaan.

Lebih menarik, lokasinya strategik kerana kawasan berkenaan merupakan lubuk bagi spesies ikan seperti kerapu, pari, unga, sembilang, merah dan siakap.

Hati pasti berbunga riang apabila berjaya menaikkan ikan-ikan berkenaan. Bukan setakat teruja pada cabaran 'beradu' kekuatan dengan ikan yang menyentap umpan, lebih daripada itu, ikan yang akhirnya berjaya dinaikkan menjadi menu utama semasa sesi barbeku.

Ikan yang segar pasti membuatkan pengunjung terbuka selera waktu mencicipi isinya.

Setelah puas dan penat memancing, penginap di Jojo Rakit boleh berehat di gazebo, menonton televisyen, menyerlahkan bakat nyanyian di ruang karaoke mahupun bersiar-siar menaiki bot.

Bukan itu saja, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti seperti menjaring, menjala, merawai, menaikkan bubu serta bento (ketam).


JOJO RAKIT diapung menggunakan 200 tong pelampung mampu memuatkan sehingga 200 pengunjung.


Keselesaan

Dengan hanya membayar kos penginapan mengikut keselesaan, pengunjung boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

Bagi mereka yang hadir berkeluarga, kelainan pasti dirasai apabila momen istimewa percutian diisi dengan aktiviti memasak dan makan bersama sambil ditemani orkestra samudera.

Bagi yang ingin menikmati hidangan masakan masyarakat tempatan, pakej serendah RM5 hingga RM15 membabitkan menu sarapan hingga makan malam turut disediakan.

Pengurus Jojo Rakit, Syed Ben Bella Alhabshee Syed Agil berkata, Jojo Rakit yang diilhamkan daripada apungan 200 tong pelampung mampu menerima kedatangan antara 80 hingga 200 orang pengunjung pada satu masa.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Bella berkata, Jojo Rakit mempunyai 11 buah bilik dan empat bilik air dengan kadar sewa mengikut saiz iaitu bilik besar mampu memuatkan lima individu berharga RM120, sederhana untuk empat orang (RM80) dan RM70 untuk bilik kecil yang boleh memuatkan tiga orang.

"Setiap bilik dilengkapi katil, kipas dan televisyen malah pengunjung boleh menonton kira-kira 20 saluran Indonesia, Singapura dan Malaysia dengan jelas.

"Kami turut menyediakan pakej bot untuk memancing dengan kadar bayaran RM180 hingga RM220 bergantung kepada muatan bot.

"Kadar sewaan bot laju yang memuatkan seramai enam hingga lapan orang untuk tujuan bersiar-siar pula ialah RM300 sementara kayak pula boleh disewa pada kadar RM15 sejam," katanya.


PERSEMBAHAN tarian zapin dan inang turut disajikan kepada para pengunjung.


Seronok

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Noraziani Mohd. Naim, 29, berkata, dia berasa seronok kerana pertama kali beriadah bersama keluarga di atas rumah rakit.

Dia yang datang bersama 50 ahli keluarga dari Ayer Hitam, Batu Pahat mengakui jatuh cinta pandang pertama sebaik melihat keadaan dan suasana persekitaran di Jojo Rakit.

"Kehadiran kami disambut dan diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan zapin dan inang. Kebetulan, kami turut mengadakan doa selamat dan tahlil sempena menyambut hari ulang tahun kelahiran tiga ahli keluarga kami di sini.

"Dapat berkumpul beramai-ramai sambil berkaraoke dan barbeku membuatkan percutian di sini satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya pasti akan menceritakan detik-detik manis sepanjang berada di sin ikepada rakan-rakan yang lain," katanya.

Resort salji di pergunungan Almaty

Posted:

Resort salji di pergunungan Almaty

Resort salji di pergunungan Almaty


BEGINILAH pemandangan memukau Chimbulak iaitu resort ski yang terletak di Almaty dan menjadi kunjungan jutaan pelancong setiap tahun.


SEBAIK sahaja juruterbang Air Astana membuat pengumuman pesawat Boeing 757 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty di Almaty, Kazakhstan perasaan teruja penulis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melihat panorama indah, salji tebal meliputi gunung-ganang dan bukit-bukau yang memutih di sebalik tingkap kecil pesawat, sememangnya ia amat menakjubkan kepada penulis selepas melalui perjalanan selama lapan jam.

Lawatan itu adalah jemputan khas Kerajaan Republik Kazakhstan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-21 negara itu yang diraikan setiap 16 Disember.

Semasa lawatan selama dua minggu di negara bekas Kesatuan Soviet itu, yang merangkumi dua bandar raya utama iaitu Astana dan Almaty, ia benar-benar menakjubkan.

Udara yang sejuk sehingga menusuk ke tulang sumsum dapat dirasai sebaik melangkah keluar dari kabin pesawat, walaupun lengkap berbaju tebal, bersarung tangan dan berkasut but.

Bagaimanapun pengembaraan tidak terhenti di Almaty. Penulis sebenarnya dalam persinggahan penerbangan ke Astana kerana tiada penerbangan terus dari Malaysia. Penerbangan dari Almaty ke Astana mengambil masa satu jam 45 minit.

Setibanya penulis di Astana bersama kumpulan wartawan Malaysia yang lain, kehadiran kami disambut Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia, Jamaaiah Che Ross dengan senyuman.

"Sejuk sangat di sini (Astana) kalau di Malaysia memang tidak dapat rasa cuaca macam ini, lagipun bulan Disember memang sejuk. Selamat datang ke Kazakhstan," katanya.

Ketika dalam perjalanan ke hotel yang jaraknya kira-kira 30 kilometer dari lapangan terbang, pemandangan bangunan yang indah dan unik berhampiran jalan raya menyambut kedatangan kami walaupun dilitupi sedikit kabus.

Astana bandar moden

Kazakhstan mempunyai penduduk seramai 17 juta orang terdiri daripada 140 suku etnik yang menganuti agama Islam, Kristian dan lain-lain.

Kira-kira 64 peratus penduduk terdiri daripada bangsa Rusia manakala selebihnya terdiri daripada Uzbekistan, Kyrgyzstan, Jerman, Ukraine dan Korea. Astana adalah bandar raya moden diilham kerajaan pimpinan negara itu, Presiden Nursultan Nazarbayev. Pembinaan bandar moden yang terancang menjadi satu simbol kebanggaan negara, malah mempamerkan Kazakhstan sebagai pilihan utama masyarakat antarabangsa dan dunia.


STIK daging kuda antara menu yang sempat dicuba oleh penulis.


Menara Baiterek

Hati penulis tertarik kepada seni bina di kebanyakan bangunan yang terdapat di Astana yang unik dan mempunyai kelas tersendiri antaranya ialah Menara Baiterek. Ia secara simboliknya berbentuk pokok poplar yang terdapat telur dan sarang burung samrud.

Menara setinggi 105 meter itu paling sesuai untuk melihat pemandangan dan landskap bandar Astana.

Uniknya menara itu di bahagian paling atas terdapat satu plak emas berbentuk tapak tangan kanan Nursultan.

Penulis turut berkesempatan menunaikan solat di Masjid Nur Astana, yang juga masjid terbesar di Asia Tengah dan mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid itu, adalah satu daripada 2,000 masjid yang terdapat di negara Kazakhstan. Ia turut dibuka setiap hari kepada mereka yang bukan beragama Islam kecuali pada hari Jumaat. Lebih 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam, yang majoritinya mengamalkan Mazhab Hanafi.

Sebut sahaja Almaty, ibu negara Kazakhstan sehingga 1998, sudah pasti terbayang keindahan semula jadi gunung-ganang bersalji dan tasik. Ia adalah bandar raya terbesar di Kazakhstan dan jauh berbeza dari Astana.

Ini kerana, Almaty lebih terkenal dengan destinasi pelancongan seperti Shymbulak atau Chimbulak iaitu sebuah resort ski terletak 25 km dari Almaty di Lembah Medeu, kira-kira 2,230 meter di atas paras laut.

Untuk ke puncak, pengunjung perlu menaiki kereta kabel malah, dapat melihat sendiri stadium sukan luncur ais terkemuka di dunia di sekitar kawasan itu.

Hidangan daging dan susu kuda

Di Kazakhstan, penulis berpeluang menikmati beberapa masakan tempatan. Antaranya ialah Beshparmak, sejenis hidangan popular di negara itu yangn diperbuat daripada daging kambing, biri-biri atau kuda.


SEKITAR 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam.


Daging itu akan direbus dalam kasan, sebuah periuk besi yang digunakan secara tradisi di Kazakhstan.

Direbus selama beberapa jam bersama rempah seperti parsli, ketumbar, bawang dan lada hitam, daging itu kemudiannya akan direneh sehinggalah menjadi sup. Ia kebiasaannya dimakan bersama kentang dan mi yang menyerupai kepingan lasagna sangat nipis.

Pengalaman pertama penulis mencuba hidangan haiwan kuda adalah satu pengalaman pelik, tetapi menyeronokkan. Secara peribadi, penulis terbayangkan seolah-olah seekor kuda sedang berlari semasa pertama kali mencuba daging kuda.

Rasanya? Sama seperti daging lembu atau kambing tetapi agak liat, manakala susu kuda pula kurang lemak dan tidak pekat seperti susu lembu.

Green Bazaar

Tidak lengkap rasanya jika tidak membawa pulang buah tangan dari negara orang sebagai tanda kenang-kenangan. Justeru penulis bersama kumpulan wartawan yang lain dibawa membeli-belah di sebuah bazar dikenali sebagai Green Bazaar, di Almaty yang menjual pelbagai jenis produk makanan, kraf tangan dan bunga segar antaranya ros dan tulip.

Sepanjang berada di bazar itu penulis tertarik melihat sehelai baju T yang tertulis perkataan Astana. Timbul masalah apabila peniaga wanita itu tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan situasi tawar-menawar sukar dijalankan.

Walaupun mempunyai masalah komunikasi, tetapi peniaga wanita itu masih tetap tersenyum dan sabar melayan kerenah pelanggannya yang tidak memahami bahasa Kazakhstan.

Akhirnya, penulis membeli baju T berkenaan dengan harga istimewa iaitu dua pasang pada harga 2000 Teng (RM40). - Bernama

Kota indah pilihan penulis

Posted:

Kota indah pilihan penulis

Kota indah pilihan penulis


MELBOURNE menggabungkan seni bina moden dan lama dalam landskap kota yang tersusun.


MELBOURNE merupakan pusat tumpuan pelancong yang meminati bidang kesusasteraan. Bandar yang popular dengan pengangkutan trem awam dan budaya seni itu turut diiktiraf sebagai Bandar Kesusasteraan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain menjadi tempat tinggal sebahagian daripada para penulis terbaik Australia, ia juga merupakan pengeluar terbesar bagi sektor penerbitan di negara tersebut. Rekod itu secara tidak langsung menjadikannya pusat budaya pembaca dan penulisan serta kalendar tahunan bagi acara berkaitan sastera.

Antara acara tersebut termasuk Festival Penulis-Penulis Melbourne yang diadakan saban tahun antara bulan Ogos hingga September. Pada tahun 2012, ia berlangsung meriah dengan kehadiran pelakon, pengarah dan penulis British, Simon Callow, serta penulis dan wartawan kelahiran Melbourne yang prolifik, Germaine Greer.

Turut menyampaikan ucapan ialah kakitangan kanan bahagian pengarang majalah, The New Yorker. Sebanyak 350 acara diadakan sempena penganjuran festival tersebut termasuk acara menyelami sejarah sastera Melbourne.


BANYAK bangunan lama yang dipulihara untuk dijadikan perpustakaan.


Festival Puisi yang dianjurkan pada Disember dan Festival Penulis-Penulis pada Mei atau Jun merupakan antara acara terbesar yang menjadi tumpuan pelancong.

Bandar buku

Keghairahan orang ramai terhadap sastera tidak berhenti di situ sahaja. Kampung bersejarah Clune juga telah dianugerahkan status Bandar Buku Antarabangsa oleh Organisasi Bandar Buku Antarabangsa pada April 2012.

Clune adalah bandar kecil pertama mendapat anugerah berkenaan di Hemisfera Selatan dan ke-15 di dunia. Pada Mei setiap tahun, Clune bertukar wajah menjadi sibuk dengan kehadiran para penjual buku dari seluruh Australia. Para penjual buku itu membuka kedai masing-masing di dalam bangunan bersejarah di bandar berkenaan.

Bagaimanapun, pada bila-bila masa, peminat-peminat buku boleh mengunjungi Perpustakaan Negeri Victoria. Bangunan kurun ke-19 itu menyimpan koleksi lebih dua juta naskhah buku, ratusan ribu gambar, surat khabar, peta, manuskrip dan bahan-bahan multimedia. Ia jelas menggambarkan budaya masyarakat Victoria sejak lebih 150 tahun lalu.

Bilik bacaan The La Trobe dengan siling berbentuk kubah merupakan lokasi yang wajib dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke perpustakaan berkenaan.


BILIK bacaan The La Trobe bertempat di bawah seni bina kubah yang hebat.


Selain itu, perpustakaan tersebut menempatkan Wheeler Centre, pusat pertama seumpamanya ditubuhkan di Australia yang menempatkan buku-buku, hasil penulisan dan idea.

Dibuka pada 2010, pusat berkenaan menjadi medan penulis dan organisasi sastera bertemu seperti Writers Victoria, Express Media, Australian Poetry Centre dan penganjur bagi beberapa acara sastera.

Peningkatan penjualan buku secara dalam talian dan penutupan beberapa rangkaian gedung buku telah membantu kebangkitan semula kedai buku persendirian. Antaranya, termasuk Embiggen, Hill of Content, The Paperback Store, Metropolis, Kay Craddock Antiquarian Booksellers, Avenue Bookstore dan Coventry Bookstore.

Terdapat juga kedai-kedai buku khusus seperti Books for Cooks, Travellers Bookstore dan Artisan Books serta The Haunted Bookshop.

Melbourne turut terkenal dengan kafe dan bar yang sesuai untuk melepaskan penat dan mengisi perut. Mr. Tulk di Perpustakaan Negeri, Moat Bar and Cafe di ruangan bawah Wheeler Centre atau Journal Cafe di Perpustakaan Bandar Melbourne menawarkan suasana yang selesa untuk menjamu selera kepada para pembaca buku.

Bagi mendapatkan maklumat sastera hingga ke peringkat akar umbi, para pelawat perlu mendapatkan khidmat jurupandu. Mel Tours menawarkan dua jam lawatan sastera merangkumi laluan pejalan kaki di Melbourne dan arked perniagaan mulai 2 petang pada Selasa dan Khamis dengan bayaran AUS$39 (RM124).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved