Sabtu, 5 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Matlamat kahwin, karier 2013

Posted:

Matlamat kahwin, karier 2013

Matlamat kahwin, karier 2013

FIGURA jelita ini mengakui sekarang ini dirinya kekal solo tanpa lelaki yang bergelar kekasih di hatinya.


PERTEMUAN pada lewat petang usai siaran langsung Indonesia Mencari Bakat musim ketiga (IMB 3) hujung minggu lalu membuahkan secebis bicara bersama pemilik nama Rini Fatimah Jaelani atau nama pentasnya, Syahrini, 33.

Tidak tertanggung gelak dan tawa sepanjang sesi bicara, Syahrini adakalanya cuba menyusun buah kata yang terpacul daripada kuntuman manis bibirnya bertutur menggunakan slanga Melayu berbanding bahasa ibundanya, bahasa Indonesia.

Katanya, pengalaman bercinta lebih setahun dengan pemuda kelahiran Malaysia, Bubu membolehkan dirinya bertutur menggunakan slanga Melayu biarpun sekadar bertaraf amatur.

"Walaupun tak sempat menjadi warganegara Malaysia, saya faham dan boleh berbicara sedikit sebanyak menggunakan bahasa Melayu. Nyata sekali tidak jauh bezanya," lantunnya berseloroh.

Memiliki sisi peribadi yang sentiasa ceria dan tidak lekang senyuman, Syahrini yang ditemui di stesen televisyen Trans TV (Televisi Transformasi Indonesia), Jakarta, Indonesia baru-baru ini tidak lokek berkongsi cerita terbaharunya termasuk kisah cinta.

Perpisahan dengan usahawan jual beli emas dari Malaysia, Bubu atau nama sebenarnya, Raja Mohamad Syazni Raja Mohamad Rashid bermula awal tahun 2011 menambahkan keakraban dan kedekatan Syahrini dengan Malaysia.

Biarpun usia percintaan mereka tidak berpanjangan, kata Syahrini, sekurang-kurangnya dia sempat mempelajari adat, budaya dan sosioekonomi Malaysia.

"Kami berpisah secara baik dan saya tidak ada masalah untuk terbang ke Kuala Lumpur jika terdapat sebarang urusan di sana, kerana Malaysia juga seperti rumah kedua saya," jawabnya ketika ditanya mengenai kesudian bertandang ke negara bekas kekasihnya itu.

Cinta

Melanjutkan bicara, ujar pelantun lagu Kau Yang Memilih Aku itu, selepas perpisahannya dengan Bubu dia masih belum memikirkan soal mencari pengganti lain atau berkahwin.

"Sehingga saat ini belum ada lagi lelaki lain yang bertakhta di hati saya. Fokus saya pada karier nyanyian sahaja," katanya yang menolak faktor usia yang barangkali menjadi kewajipan untuk berumah tangga dalam masa terdekat.


PERCINTAANNYA dengan Bubu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap naluri Syahrini.


Bagaimanapun, Syahrini memohon agar pihak luar termasuk peminat menghormati privasi dan memberi ruang kepadanya.

"Ada sisi kehidupan kita sebagai manusia biasa yang tidak sesuai diberitahu kepada semua dan mohon supaya menghormati privasi itu. Benar saya seorang figura umum tetapi tidak semua hal perlu saya maklumkan," getus penyanyi kelahiran Bogor, Jawa Barat itu.

Ironi situasi yang menjadi punca perpisahan dirinya dan Bubu, Syahrini mengakui, limpahan pendedahan dan populariti yang datang mendadak membuatkan hubungan tersebut tidak kekal lama.

Sebelum menjalinkan hubungan dengan Bubu, Syahrini pernah dikaitkan dengan penyanyi merangkap komposer terkenal, Anang Hermansyah serta beberapa lelaki lain.

Ditanya mengenai kriteria pasangan yang ingin dicarinya, jawab Syahrini dia tidak menetapkan sebarang syarat.

Ujarnya: "Tiada kriteria spesifik untuk mencari pasangan hidup, sesiapa sahaja boleh. Jika latar belakang lelaki itu terdiri daripada golongan berada, itu semua rezeki yang Tuhan aturkan."

Karier

Syahrini antara selebriti yang meraih sukses dalam karier sepanjang tahun 2012. Kemunculan album keduanya berjudul Semua Karena Cinta pada awal bulan Disember lalu menyuntik sedikit lonjakan kerjaya seni suaranya.

Album yang mengandungi 10 buah lagu antaranya Aku Tak Biasa, Taubatlah Taubat, Sesuatu dan Tatapan Cinta itu melibatkan kerjasama dengan komposer seperti Risna Ories, Pasha Ungu dan Anang sendiri.

Menariknya, Syahrini umpama seorang selebriti pencetus trend semasa kepada peminat memandangkan percakapan, gaya rambut serta fesyennya sering menjadi ikutan ramai.

"Saya amat bersyukur karier berjalan lancar sepanjang tahun 2012. Jika boleh untuk tahun 2013 saya mahu bikin album baharu, sebuah konsert mini dan sikap yang lebih baik," jelas Syahrini.

Selain itu, kesihatan menjadi prioriti kepada Syahrini untuk kekal aktif sebagai anak seni. Biar belum bertemu jodoh hingga kini, dia turut menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

"Tahun ini saya mahu kekal sihat, lebih matang dan dewasa sikap, mudah-mudahan tahun ini juga saya bertemu jodoh dan diharapkan jejaka itu orang senegara. Kalau tidak, susah juga nak buat majlis kahwin antara dua negara," tuturnya tertawa mengekeh.

Zzati nafi manipulasi Wan Zack Haikal

Posted:

Zzati nafi manipulasi Wan Zack Haikal

Zzati nafi manipulasi Wan Zack Haikal

Oleh NOR SYARIZA MUHD. TAHIR


HUBUNGAN Zzati dan Wan Zack baru berusia kira-kira setahun.


KALI pertama mendengar namanya, pasti ramai yang bertanya siapakah gerangan Zzati Rashid ini.

Mungkin ada yang menyangka gadis berusia 19 tahun ini merupakan seorang pendatang baharu yang mula bertapak dalam industri seni.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat gambar mesranya bersama pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Noor, pasti ramai yang tersenyum apabila mengetahui gadis ini sebenarnya merupakan teman wanita pemuda tampan itu.

Jangan terkejut kerana Zzati sebenarnya seorang penyanyi yang bernaung di bawah label MVM Production Sdn. Bhd. sejak tahun 2010 dan telah pun merakamkan tiga buah single.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama dengan gadis yang berasal dari Bandar Jengka, Pahang ini.

Kosmo!: Ceritakan sedikit mengenai sejarah perjalanan karier Zzati dalam bidang nyanyian.

ZZATI: Saya bermula sebagai penyanyi di funfair sekitar tahun 2009 sehingga 2011. Pada ketika itu, saya sering membuat persembahan di funfair seluruh Malaysia. Selain itu, saya sering membuat persembahan di majlis-majlis korporat memandangkan ayah saya merupakan seorang perunding majlis. Pada tahun 2009, saya merakamkan single pertama saya secara independent yang berjudul, Bukan Sombong.

Bagaimanakah Zzati mulai serius dalam bidang ini?

Selepas lagu Bukan Sombong mula dimainkan di corong-corong radio, syarikat rakaman MVM mula 'melamar' saya untuk dijadikan artis rakaman produksi itu, dan seterusnya menerbitkan dua buah lagi single iaitu Akan Ku Nanti dan Cintaku Hanya Padamu pada tahun 2010. Pada bulan November lepas, saya baru sahaja mengeluarkan single terbaharu yang berjudul, Malu Malu Mahu.

Boleh ceritakan tentang sambutan terhadap single terbaharu Zzati itu?

Sambutan yang diberikan memang menggalakkan dan saya berasa gembira kerana mempunyai peminat sendiri yang sering mengikuti perkembangan semasa diri ini.

Namun, kenapakah lagu anda jarang kedengaran di radio dan ramai yang masih belum mengenali anda?

Saya rasa mungkin disebabkan faktor status diri ini sebagai seorang pelajar. Saya perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan nyanyian dan hanya menerima undangan nyanyian pada waktu senggang sahaja. Selain itu, saya lebih banyak menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat berbanding konsert terbuka.

Baru-baru ini, ramai yang memperkatakan tentang gosip mengenai hubungan cinta anda dengan pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal. Setuju tak kalau dikatakan bahawa orang lebih mengenali anda sebagai teman wanita Wan Zack berbanding sebegai seorang penyanyi?

Saya tidak menafikan bahawa gosip itu turut menjadi faktor untuk orang lebih mengenali saya. Kini orang lebih mengenali siapa itu Zzati Rashid.

Adakah ini bermakna bahawa Zzati memanipulasikan populariti Wan Zack sebagai platfom untuk lebih dikenali dalam bidang nyanyian?

Itu tidak benar sama sekali! Saya berkawan serius dengan Wan Zack sebelum namanya menjadi bualan ramai lagi, iaitu sejak setahun yang lepas. Saya pula sudah mula merakamkan single dengan MVMProduction pada tahun 2010. Kami berada dalam bidang yang berbeza dan mempunyai pengikut masing-masing.

Tetapi kenapakah baru kini, selepas nama Wan Zack berada di puncak, Zzati tiba-tiba muncul untuk mempromosikan lagu-lagu anda? Kenapa tidak daripada dahulu?

Seperti yang saya katakan tadi, sebelum ini saya mempunyai kekangan dari segi masa memandangkan ketika single pertama dan kedua diterbitkan oleh MVM Production, saya sedang belajar di tingkatan lima. Sehingga kini, barulah saya berkesempatan untuk memberikan tumpuan kepada promosi meskipun masih lagi bergelar seorang pelajar dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tidakkah risau a hubungan cinta Zzati dan Wan Zack akan mengalami masalah memandangkan anda berdua kini telah pun dikenali ramai?

Saya percaya dengan ketentuan takdir dan jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Hubungan cinta kami pun masih baru lagi dan saya hanya boleh katakan bahawa kita hanya mampu merancang, namun takdir yang menentukan segalanya. Apa yang pasti, kami saling menyokong karier masing-masing dan menjaga kelakuan kami agar tidak timbul gosip-gosip yang kurang enak didengar.

Ogy tinggalkan dunia seni

Posted:

Ogy tinggalkan dunia seni

Ogy tinggalkan dunia seni

Oleh HARYATI KARIM


IMPIAN Ogy untuk membuka sebuah restoran kini tercapai. Banyak masanya kini dihabiskan di sini.


PELAKON dan pengacara sensasi, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy memberitahu, dia tekad mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada restoran yang baru dibukanya. Restoran itu dinamakan sebagai Ogy D'Greenwood.

Kata Ogy ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran itu yang terletak di Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan tersebut diambil bukan kerana tidak mendapat sebarang tawaran lakonan tetapi memiliki sebuah restoran merupakan impiannya sejak dahulu lagi.

"Saya bukan merajuk atau sudah tiada tawaran lakonan tetapi membuka restoran memang impian saya dari dahulu lagi. Terus terang saya katakan bahawa saya telah ketepikan dunia seni sejak Mei tahun lalu untuk menghadiri kursus perniagaan dan persiapan membuka restoran.

"Lagipun sejak restoran mula beroperasi November lalu, masa saya banyak dihabiskan di sini dan diri ini tidak ada masa untuk ke lokasi penggambaran," katanya yang merancang untuk membuka restoran itu sejak setahun setengah yang lalu.

Sungguhpun begitu, jelas anak kepada Allahyarham Ahmad Daud dan Saadiah itu, darah seni yang mengalir dalam dirinya tidak akan pernah luput.

Jika ada tawaran yang benar-benar menarik dan sesuai dengan jadual waktunya, tawaran itu akan dipertimbangkannya.

Meskipun pernah melalui jatuh bangun perniagaan menerusi syarikat penerbitan Ogy Production yang diusahakan sejak sekian lama, pengalaman pahit itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

"Jatuh bangun dalam perniagaan itu adat. Pengalaman itulah yang menjadikan saya kuat seperti hari ini. Saya bersyukur kerana keluarga dan rakan kongsi banyak membantu," tuturnya.

Selain itu, restoran itu akan menjadi peninggalan buat anak angkat Ogy, Nur Aminah Aishah yang kini berusia lima tahun.

"Ketika saya masih aktif dengan dunia seni dahulu, dia selalu memahami kesibukan saya. Sekarang tibalah masa untuk saya membayar semula hutang masa saya kepada dia. Apa yang saya lakukan sekarang adalah demi masa depannya juga.

"Sejak menghabiskan lebih banyak masa dengannya, kehidupan diri ini lebih tenang, teratur dan bahagia. Jadi pada usia 50 tahun, saya bukannya muda lagi. Rasanya sudah tiba masanya untuk saya bertukar corak kehidupan," luahnya yang berazam untuk menjadi ibu yang berdedikasi buat anaknya itu.

Ogy D'Greenwood mula dibuka pada pukul 12 tengah hari sehingga 12 malam itu menghidangkan masakan Thai, Barat, mi kuah Singapura, rojak Singapura dan paling istimewa, mi udang resipi arwah bapanya, Datuk Ahmad Daud serta hidangan nasi Arab.

Setakat hari ini sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan, malah pihak Ogy tidak menang tangan menerima tempahan perkhidmatan katering.

"Sambutan setakat ini sangat menggalakkan kerana pihak Ogy D'Greenwood bukan sahaja menyediakan perkhidmatan katering tetapi juga menyediakan tempat untuk majlis pertunangan, perkahwinan dan juga pelbagai acara lain," jelasnya.

Bukan itu sahaja, menariknya Ogy D'Greenwood turut menawarkan kursus dalam bidang masakan termasuklah pastri, bakeri, pramusaji, kecantikan, keusahawanan dan seni persembahan.

Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.ogydgreewood.com.my. Selain itu, Ogy juga sedang merancang untuk membina sebuah studio yang boleh disewakan untuk penggambaran berdekatan dengan restorannya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved