Selasa, 30 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kecacatan bakar semangat Daus

Posted:

Kecacatan bakar semangat Daus

KAWASAN sekitar pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pagi itu agak sesak. Kebetulan, ia merupakan cuti hujung minggu, pastinya kesempatan itu digunakan warga kota untuk bersiar-siar dan membeli-belah.

Di satu sudut kedengaran suara seorang lelaki berkerusi roda sedang leka memberi arahan.

"Rapat sikit lagi. Hai, dah kahwin pun takkan masih malu-malu lagi," usik Mohamad Firdaus Abdul Latif, 27, kepada pasangan di hadapannya.

Selepas beberapa ketika, lelaki yang mesra dengan panggilan Daus itu pantas melihat skrin Lensa Refleks Tunggal Digital (DSLR) jenis Nikon D300 miliknya.

Satu persatu gambar yang tersimpan rapi dalam memori kameranya dibelek. Kepuasan jelas terpancar daripada riak wajahnya, ternyata sesi penggambaran itu berjalan lancar seperti diharapkan.

"Seorang jurugambar memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi untuk memastikan gambar yang diambil cantik dan mempunyai makna di sebaliknya.

"Saya mempunyai konsep tersendiri ketika mengambil gambar. Ia mestilah mempunyai nilai dan menarik perhatian pelanggan," katanya.

Tragedi menyayat hati

Sambil membetulkan kedudukan di atas kerusi roda, Daus, anak tunggal kepada pasangan Abdul Latif Nordin, 60, dan Azizan Buyong, 57, memulakan kisahnya.

"Jika tidak bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) mungkin saya hanya tahu membaiki penyaman udara seperti yang dipelajari ketika menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur dahulu," ujarnya.

Memorinya pantas berputar mengingati kisah yang berlaku pada pagi 12 Disember 2004.

Dia yang berusia 19 tahun ketika itu sedang menuntut di IKM. Seperti kelaziman, dua minggu sekali dia akan pulang bercuti hujung minggu ke rumahnya di Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim, Perak.

KECACATAN bukan penghalang untuk Daus menzahirkan rakaman foto yang cantik dan kreatif.


"Saya sengaja memilih laluan jalan lama, Kuala Lumpur-Rawang ke Tanjung Malim kerana lebih dekat dan kurang sesak berbanding lebuh raya.

"Namun, takdir Tuhan sebaik tiba di sekitar kawasan Hutan Simpan Templer, motosikal saya telah dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang.

"Akibatnya, saya tercampak bersama motosikal ke dalam gaung bersebelahan dan tidak sedarkan diri," ceritanya.

Malang bagi Daus kerana pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri. Tambah malang, lokasi tempat dia terjatuh yang dikelilingi gaung sedalam 30 meter menyebabkan kejadian itu tidak disedari oleh pengguna jalan raya yang lain.

Selepas 30 jam tidak sedarkan diri, kelibatnya hanya disedari oleh pekerja pemotong rumput yang kebetulan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

Katanya, dia hanya tersedar selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.

"Ketika mahu bangun saya rasakan seluruh badan sakit, kebas dan sukar bergerak.

"Dalam keadaan mamai, saya diberitahu saya cedera parah. Kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga ke paras atas lutut, lebih malang saya juga disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kecederaan saraf tulang belakang," katanya.

Pada peringkat awal, Daus sukar menerima kenyataan. Dia menjadi murung, suka menyendiri dan sering menangis.

Bagaimanapun, keadaan Daus berubah ketika menjalani rawatan susulan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bangkit semula

Sepanjang di HKL, Daus menyaksikan keadaan pesakit-pesakit lain yang menjalani rawatan. Ada kes sepertinya dan ada juga kes kritikal kerana pesakit hanya mampu terbaring kaku di atas katil.

"Tidak semena-mena timbul rasa insaf dan syukur di dalam diri, sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik berbanding orang lain.

"Lagi pun saya masih dikurniakan akal dan kudrat untuk bergerak, malah kedua-dua belah tangan saya juga langsung tidak terjejas," kata lelaki yang masih bujang itu.

Enggan menoleh ke belakang, Daus menggunakan kemahiran yang dipelajari sebelum itu dengan mengambil upah membaiki telefon.

Seterusnya, dia mula bekerja di pusat siber dan kedai komputer. Di situ dia mahir membaiki komputer sehingga mampu membuka perniagaan sendiri, Filara Enterprise pada tahun 2009.

DAUS kini boleh berbangga kerana mampu memiliki perniagaan membaiki komputer sendiri di bawah syarikat Filara Enterprise.


"Pelanggan saya terdiri daripada jiran tetangga, kenalan dan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Itulah punca pendapatan saya sekarang, setakat ini ia berjalan lancar, malah jumlah pelanggan juga semakin meningkat," jelasnya.

Pada masa yang sama, Daus turut berjinak-jinak dalam bidang fotografi selepas seorang rakan meminjamkan kamera DSLR kepadanya.

Sejak itu, dia semakin meminati hobi baharunya itu. Jika ada kelapangan, dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam di sekitar kampungnya untuk mengambil gambar.

Mengakui tidak mempunyai asas dalam bidang itu, Daus tekad berguru dengan kenalannya yang dikenali sebagai Cikgu Zul, mengenai aspek teknikal kamera termasuk mempelajarinya menerusi internet.

Daus mengubah fasa daripada hanya sekadar hobi kepada satu tugas apabila dia diminta mengambil gambar perkahwinan salah seorang sepupunya.

Sejak itu, dia bertekad meneruskannya sebagai kerjaya sampingan selain menguruskan perniagaan sedia ada.

Katanya, kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi.

Biarpun pergerakannya agak terbatas berbanding jurugambar yang lain, namun dia mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai seni yang tinggi.

"Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi penggambaran.

"Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan kreativiti dan kemampuan diri," katanya.

Di bawah kelab fotografi, Fotoshutter, Daus mengembangkan bakatnya, malah dia kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan, fotografi potret individu dan berkumpulan serta majlis-majlis korporat di seluruh negara.

"Sebagai jurugambar, saya perlu melahirkan idea serta-merta ketika merakam gambar. Ia terhasil daripada pengalaman dan persiapan awal yang dilakukan sebelum sesuatu tugasan.

"Saya suka merujuk kepada gambar-gambar terbaik dalam media cetak dan mengkaji teknik atau gaya fotografi terkini. Kemudian saya menyesuaikannya dengan idea dan gaya sendiri," katanya.

SELEPAS mempunyai lesen memandu, Daus berhasrat membeli kereta khas untuk golongan OKU sepertinya.


Adakah dia akan terus meneruskan minatnya di dalam bidang itu? Daus berkata, fotografi adalah kerjaya yang benar-benar sesuai dan sebati dengan jiwanya selain memberikan beliau kepuasan hidup," ujarnya penuh makna.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Mahu jadi pemilik terawal

Posted:

Mahu jadi pemilik terawal

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SAMBIL menggalas sebuah beg di bahu, seorang lelaki pertengahan usia menjadi orang pertama yang beratur dalam satu barisan khas. Dirinya tenang menunggu sementelah di belakangnya terdapat puluhan lagi individu yang juga sabar berbaris.

Sesekali matanya melirik ke arah jam yang tersarung di tangan kanannya yang menunjukkan pukul 8.45 pagi. Itu bermakna, masih ada 1 jam 15 minit waktu yang perlu ditunggu sebelum pukul 10 pagi. Namun, riak wajahnya masih sama dan bersahaja seolah-olah berdiri di situ sejak pukul 7 pagi bukan satu masalah besar buatnya.

Sebaik pengacara majlis mengumumkan siri jelajah pertama Samsung Galaxy Note II di Malaysia yang berlangsung di Centre Court, pusat beli-belah MidValley dibuka kepada orang ramai, dia yang memegang kertas tertera nombor 1 segera ke kaunter.

Dalam masa beberapa minit, prosedur jual beli selesai dilaksanakan. Gajet canggih yang dijual pada harga RM2,299 seunit itu akhirnya berada di tangan Edison Liew sekali gus merupakan antara pelanggan terawal yang memilikinya dalam pasaran di negara ini.

"Sejak Samsung Galaxy Note II diperkenalkan di Berlin, Jerman bulan lalu, hati saya sudah tertawan dengan peranti ini. Saya amat teruja dengan skrin yang besar dan fungsi yang pelbagai apabila membaca tentang keistimewaan gajet ini di internet.

"Justeru, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi antara individu terawal yang memiliki Galaxy Note II apabila ia dipasarkan di Malaysia.

"Kini, ia sudah berada di dalam genggaman saya. Saya tidak sabar untuk meneroka keupayaannya," ujar Edison yang merupakan Pengurus Sumber Manusia di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Selain itu, Edison bersama 100 pelanggan pertama telefon pintar tersebut turut menerima beberapa hadiah istimewa termasuk kit bateri tambahan telefon, pengecas bateri melalui komputer meja, kulit pelindung telefon boleh lipat dan baucar minuman Starbucks.

Ambil cuti

Bagi seorang pekerja swasta, Rasdan Rashid, 28, dia mengakui sanggup mengambil cuti untuk menyertai siri jelajah sulung itu sekali gus mendapatkan gajet tersebut.

Bagaimanapun, jelas Rasdan, itu merupakan pengalaman pertamanya beratur hampir tiga jam demi menjadi antara individu terawal memiliki produk berkenaan.

"Apabila mengetahui Galaxy Note II akan dilancarkan di Malaysia, saya sudah mula menyimpan sedikit wang untuk mendapatkannya. Ketika sampai di MidValley kira-kira pukul 7.15 pagi, saya ingat akan jadi orang pertama yang beratur. Rupa-rupanya sudah ada orang lain yang sampai dahulu.

"Tetapi tidak mengapa, kerana saya merupakan pelanggan kedua. Rasa seronok kerana dapat merasai pengalaman sebegini," jelas Rasdan yang menetap di Shah Alam dan keluar rumah pada pukul 6.45 pagi untuk ke Mid Valley.

KOMUNITI pencinta gajet canggih lazimnya mempunyai rangkaian kenalan terdiri daripada mereka yang memiliki minat serupa.


Apa yang pasti, Edison dan Rasdan antara contoh golongan yang obses terhadap gajet canggih. Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbaris panjang bagi mendapatkan produk idaman mereka.

Walaupun hakikatnya, mereka boleh sahaja membeli telefon yang mempunyai pelbagai ciri komputer tablet itu pada hari-hari biasa yang lain, namun itu bukan pilihan mereka.

Tukar setiap tahun

Sementara itu, minat yang mendalam terhadap gajet telekomunikasi canggih membuatkan Khairul Anuar Abdul Rahman, 33, sering bertukar-tukar telefon bimbit bagi mengetahui dan meneroka kehebatan peralatan tersebut.

Jika dihitung sejak mula memiliki telefon bimbit pada tahun 1996, konsultan teknologi dalam kejuruteraan pengurusan sistem itu mengakui sudah menukarnya sebanyak 18 kali manakala telefon pintar pertama yang dibeli ialah 02 XDA IIS pada 2004.

"Saya mula berjinak-jinak dengan gajet digital sekitar 10 tahun lalu, namun hanya serius sekitar tujuh tahun kebelakangan ini.

"Walaupun saya meminati gajet tetapi saya tidak pernah obses untuk memiliki setiap keluaran terkini. Ini kerana agak mustahil untuk mengejar kemajuan teknologi terutama evolusi gajet digital.

"Bagi saya, selagi saya boleh menggunakan aplikasi atau ciri yang terdapat pada sesuatu gajet itu tanpa sebarang kekangan, saya akan terus gunakannya," terangnya yang turut memiliki set radio amatur portable dan beberapa set walkie-talkie.

Kesan negatif

Bagi golongan yang obses pada gajet canggih, mereka mempunyai pelbagai alasan untuk memiliki rangkaian teknologi itu mengikut kapasiti dan keperluan masing-masing. Begitupun, ada sesetengahnya yang terlalu mengikut trend semasa hingga melampaui batas kemampuan sendiri.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail berkata, golongan yang bersifat obses terhadap sesuatu perkara biasanya banyak membawa kesan negatif pada diri mereka.

Ini termasuklah soal pembaziran dan rasa bangga diri yang wujud lantaran berjaya memiliki gajet-gajet tertentu berbanding orang lain yang tidak mampu untuk membelinya.

"Apa yang pasti terdapat dua ciri manusia yang obses. Pertama, untuk kepuasan dan rasa seronok, mereka sanggup beratur panjang atau menunggu sejak awal pagi agar menjadi antara individu terawal memilikinya.


ORANG ramai beratur dalam keadaan sabar sambil menanti giliran mereka tiba untuk urusan pembelian.


"Yang kedua pula golongan yang obses untuk mendapatkan barangan tersebut pada bila-bila masa yang mereka mahu selepas ia dilancarkan. Ini membuatkan mereka sanggup mengikat perut dan berjimat semata-mata untuk membeli barang yang diidamkan," tutur Khaidzir.

Tambah beliau, dalam aspek psikologi manusia, sifat obses sebenarnya berkait rapat dengan persekitaran yang pernah dilalui golongan terbabit ketika zaman kecil mereka.

Contohnya, anak-anak di peringkat prasekolah sudah mempunyai ciri-ciri dan sifat kepunyaan dalam diri apabila inginkan sesuatu.

"Namun, jika persekitaran tidak membantu atau dalam erti kata lain ibu bapa mungkin tidak mampu membeli barang yang dimahukan, apabila dewasa mereka pasti akan mengumpul duit untuk memilikinya," ungkapnya.

NX210 semudah kamera kompak

Posted:

NX210 semudah kamera kompak

MODEL kamera Samsung NX210 mudah untuk diterokai kerana mempunyai ciri yang pelbagai dan menarik.


MEMPUNYAI reka bentuk yang membolehkan pengguna memegangnya umpama sebuah kamera kompak, kamera Samsung, NX210 mampu merakam foto yang berkualiti.

Paparan AMOLED pada kamera itu memudahkan pengguna membuat komposisi gambar selain senang merakam dengan sudut yang berbeza.

Ciri Penangkapan Berkelajuan Tinggi NX210 meringkaskan kaedah imej dirakam dalam keadaan yang betul-betul fokus. Sistem AF dengan kadar berturutan untuk lapan bingkai setiap saat dapat menangkap gambar objek yang bergerak pantas tetapi masih dalam keadaan jelas.

Sistem iFunction 2.0 pula membolehkan tetapan kamera diubah dengan hanya menggunakan satu butang. Gelungan bacaan meter yang terletak pada lensa juga membolehkan pengguna mengawal parameter dengan menggunakan lensa itu sendiri.

Samsung NX210 juga mempunyai ciri ISO julat lebar yang membolehkan pengguna merakam gambar walaupun pada waktu malam. Julat NX210 sehingga 12,800 boleh mengurangkan noise dan kabur pada bawah lampu malap.

Model NX210 juga mempunyai keupayaan merakam gambar 3D Panorama. Jadi, pengguna hanya perlu memilih mod 3D bagi merakam gambar format tersebut dengan mudah

Satu lagi perkara menarik mengenai NX210 ialah ciri 'gambar berbunyi' yang dapat merakam audio selama 10 saat pada apa-apa gambar. Ia membolehkan mesej bergambar boleh menjadi lebih peribadi.

Pengembaraan penuh aksi

Posted:

Pengembaraan penuh aksi

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI

WAR yang merupakan salah seorang daripada Four Horsemen of The Apocalypse telah dijatuhkan hukuman matiakibat konspirasi.


HACK AND SLASH merupakan satu genre permainan video yang sangat diterima dalam kalangan masyarakat gamers. Permainan video God of War, Dante's Inferno dan Devil May Cry ialah antara contoh permainan video bergenre hack and slash.

Dibikin oleh Vigil Games dan diterbitkan oleh THQ, Darksiders II boleh didapati di pasaran bermula 13 Ogos lalu untuk platform PlayStation 3, XBOX 360 dan juga Microsoft Windows.

Permainan video Darksiders II ini juga telah dirancang untuk dibawa masuk ke platform Wii U pada hujung tahun 2012.

Plot

Tidak seperti jangkaan ramai komuniti gamer, Darksiders II bukan sambungan kepada siri sebelum ini iaitu Darksiders. Jika pemain pernah dan tamat bermain Darksiders, pemain pasti ingat bahawa watak utama siri iaitu War adalah salah seorang daripada kumpulan Four Horsemen of The Apocalypse, yang bertanggungjawab mengekalkan keseimbangan antara tiga dunia - dunia manusia, syurga dan neraka.

Namun, dalam Darksiders II, pemain akan mengawal Death, iaitu salah seorang daripada Four Horseman of The Apocalypse selain War, Strife dan Fury.

Selepas diarahkan untuk membunuh kaum mereka sendiri, iaitu Nephilim, War telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati. Mengesyaki adik beliau menjadi mangsa konspirasi, Death mengingkari arahan Charred Council dan mengembara untuk mencari bukti.

Mekanisme permainan

Darksiders II secara asasnya adalah sebuah permainan video gabungan beberapa genre termasuklah hack and slash, action role-playing dan juga action-adventure. Dengan gabungan genre inilah Darksiders II berjaya mendahului permainan video lain dengan genre yang sama.

Dunia permainan adalah dunia terbuka dan pemain boleh sama ada berjalan kaki ataupun mengembara dengan menunggang kuda milik Death, iaitu Despair. Di Overworld, terdapat daerah yang boleh diterokai dengan lebih mendalam seterusnya membolehkan pemain untuk menjalankan misi utama ataupun misi sampingan.

Pemain juga mampu melompat masa (warp) ke beberapa lokasi tertentu di Overworld. Sepanjang permainan, pemain akan sentiasa diberi bantuan oleh Dust, iaitu seekor burung gagak yang akan menunjuk jalan kepada Death ke objektif seterusnya.

Senjata dan kemahiran

Death menggunakan sabit di kedua-dua belah tangan sebagai senjata. Sepanjang permainan pemain akan diberi experience dan setiap kali pemain menaiki peringkat seterusnya, poin kemahiran akan diberikan untuk meningkatkan ataupun mempelajari kemahiran baharu.

Death juga mempunyai senjata sampingan seperti tukul, kapak dan juga penumbuk. Setiap senjata mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Pemain digalakkan untuk menguji setiap senjata bagi menentukan senjata yang terbaik untuk stail mereka.

Di samping mengumpul experience point pemain juga boleh mengumpul stonebites, iaitu sejenis batu yang tersembunyi di sepanjang permainan. Dengan memperdagangkan stonebites dengan seorang karakter bernama Blackroot, pemain dapat meningkatkan status secara kekal.

Namun, pemain harus ingat bahawa apabila sudah memiliki tiga jenis stonebites, kombinasi yang berbeza diperlukan untuk setiap jenis statu Death.

Grafik

Darksiders II mempunyai grafik yang mantap dan boleh diterima. Walau bagaimanapun, grafik masih tidak setanding dengan permainan video seperti Final Fantasy XIII dan juga Uncharted 3, iaitu siri permainan video yang sering digunakan sebagai penanda aras untuk grafik di PlayStation 3.

Namun, grafik di platform PC masih di tangga teratas. Walaupun mekanisme permainan sedikit sebanyak seperti siri God of War, Darksiders II masih berjaya menarik minat ramai pemain.

Ini kerana Darksiders II mempunyai cara penyampaian yang lebih menarik atau mungkin ia memberi nafas baharu kepada genre hack and slash.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Bekas pelajar SMKPW bercuti di Grand Lexis

Posted:

Bekas pelajar SMKPW bercuti di Grand Lexis

DELI RASITA (berdiri empat dari kanan)bergambar bersama bekas pelajar SMKPW di Port Dickson baru-baru ini.


MERIAH. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putri Wilayah (SMKPW), Kuala Lumpur yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1981 mengadakan majlis pertemuan semula dan percutian di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program itu ditaja salah seorang bekas pelajar, Deli Rasita Abd. Rahman merangkap ketua dalam percutian tersebut.

Menurut Deli Rasita, majlis pertemuan semula itu akan dijadikan acara tahunan bagi mengumpulkan lebih ramai bekas pelajar SMKPW yang sudah terputus hubungan sejak sekian lama.

Katanya, tujuan perjumpaan semula itu adalah untuk mengeratkan hubungan serta mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan.

Pemuda UMNO Arau anjur pameran kerjaya BN 2012

Posted:

Pemuda UMNO Arau anjur pameran kerjaya BN 2012

ROZABIL (tengah) melihat sekumpulan belia mengisi borang tawaran pekerjaan pada 'Kerjaya BN Youth Job Fair 2012' di Arau, Perlis baru-baru ini


KERJAYA. Pergerakan Pemuda UMNO Arau menganjurkan 'BN Youth Job Fair 2012' yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan di Dewan Majlis Perbandaran Kangar, Arau, Perlis baru-baru ini.

Seramai 3,000 belia dari Kedah dan Perlis hadir mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan lebih 20 syarikat swasta dan agensi kerajaan yang terlibat dalam karnival kerjaya itu.

Antara syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat iaitu Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Sumber Manusia, Western Digital, The Store Sdn. Bhd., OSK Investment Bank, CIMA Berhad dan Sho Rubber.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang merasmikan karnival tersebut menyatakan, golongan belia di Perlis perlu berani dan gigih mencari rezeki walaupun perlu merantau di tempat lain.

Arosan FC juara Futsal 1Malaysia Parlimen Tenggara

Posted:

Arosan FC juara Futsal 1Malaysia Parlimen Tenggara

PEMAIN pasukan Arosan FC dan Sayong FC bergambar sebelum perlawanan akhir Kejohanan Futsal 1 Malaysia Parlimen Tenggara 2012 di Kulaijaya baru-baru ini.


TERBAIK. Pasukan Arosan FC dari Bandar Tenggara, Johor muncul juara kategori lelaki manakala Tenggara FC dari Taman Anggerik mengungguli kategori wanita Kejohanan Futsal 1 Malaysia Parlimen Tenggara 2012 yang berlangsung di Gelanggang Futsal 1Malaysia Felda Bukit Besar, Kulaijaya baru-baru ini.

Arosan FC menewaskan Sayong FC dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir untuk merebut piala pusingan, hadiah wang tunai RM1,000 dan pingat manakala Sayong FC menerima RM700 dan pingat.

Tenggara FC memenangi kategori wanita selepas menundukkan S2 Bandar Tenggara 1-0 pada perlawanan akhir untuk merebut piala pusingan, wang tunai RM500 dan pingat manakala S2 Bandar Tenggara menerima RM300 dan pingat.

Hadiah disampaikan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Syafik Saprawi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Stok makanan bertahan lima hari

Posted:

Stok makanan bertahan lima hari

Oleh IKHWAN IDERIS
dan NUR HANANI AZMAN
berita@kosmo.com.my

NUR AMIRAH (kiri) bersama Suraida dan Farah Nadia (kanan) menikmati sarapan di pangsapuri mereka di New York semalam.


KUALA LUMPUR - Taufan Sandy bukan sahaja memberi impak kepada warga Amerika Syarikat di New York tetapi juga menguji ketabahan kira-kira 2,700 rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di dalam kegelapan di rumah berikutan bekalan elektrik terputus sejak kelmarin manakala jalan raya pula digenangi air.

Daripada 2,700 rakyat Malaysia yang menetap di New York, seramai 1,200 orang adalah pelajar.

Antaranya ialah Nabilah Fahana Yahya, 21, pelajar Sistem Informasi di Institut Teknologi Stevens yang menetap di sebuah pangsapuri bersama tiga lagi rakannya, Nur Amirah Rahim, Suraida Alias dan Farah Nadia Muhammad Sabri.

Mereka kini bimbang mengenai bekalan air bersih serta stok makanan yang cuma bertahan lima hari.

"Kami tidak sempat untuk menyimpan stok air bersih yang secukupnya kerana terputus bekalan elektrik dan tidak menyangka taufan menjadi seteruk ini," kata Nabilah yang juga anak kelahiran Selangor menerusi e-mel kepada Kosmo! semalam.

Untuk hidangan semalam, dia hanya sempat memasak nasi dengan berlaukkan telur goreng.

Seorang lagi pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknologi Stevens, Muhammad Hazim Ab. Fatah pula menceritakan, dia serta rakannya yang lain menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kenalan di New York serta keluarga di Malaysia.

Katanya, ia disebabkan bekalan elektrik di kediaman mereka di New Jersey telah terputus sejak pukul 10 malam kelmarin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Taufan Sandy badai New York, musnahkan kota ikon AS

Posted:

Taufan Sandy badai New York, musnahkan kota ikon AS

PASUKAN penyelamat membantu membawa keluar mangsa banjir selepas New York dilanda taufan Sandy semalam.


NEW YORK - Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kota raya New York dan menjadikan Sandy sebagai taufan paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga bandar raya yang menjadi ikon Amerika Syarikat itu terputus bekalan elektrik.

Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang kelmarin akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.

"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam kelmarin.

Dia yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu berkata, air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumah.

Dia yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bayar STB1M mulai Januari 2013

Posted:

Bayar STB1M mulai Januari 2013

AHMAD ZAHID (tengah) menerima cek sumbangan daripada ahli perniagaan, Wong Doh Seng (kanan) pada majlis makan malam sempena Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di Sibu semalam.


SIBU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus (one-off) kepada 234,500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat di seluruh negara.

Menurut beliau, Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M) itu akan dibayar mulai Januari 2013 dan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM234.5 juta.

"Sumbangan ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)" katanya semasa melancarkan STB1M pada majlis makan malam Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di sini malam kelmarin.

Penerima atau veteran itu terdiri daripada mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun, bersara awal dan tidak berpencen, telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, manakala tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Norshahrul terbaik

Posted:

Norshahrul terbaik

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

DARI kiri, Rozaimi, Khairul Fahmi, Aidil Zafuan, Norshahrul, Sathianathan dan Safiq memegang trofi masing-masing pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 di Shah Alam semalam.


JIKA Kelantan gah dengan gelaran trebel musim ini, skrip yang sama juga boleh digunakan untuk penyerang prolifik mereka dan pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha apabila mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai buat tahun ketiga berturut-turut pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor semalam.

Norshahrul, 26, menewaskan empat pemain lain dalam dua kategori iaitu pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norfarhan Mohamad (Kelantan) bagi kategori Penyerang Terbaik manakala bagi kategori Pemain Paling Bernilai, dia mengalahkan Mohd. Badri Radzi (Kelantan) dan Hairudin Omar daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan buat kali ketiga berturut-turut ini dan jutaan terima kasih kepada juri yang memilih saya untuk memenangi anugerah ini.

"Kemenangan ini juga boleh dianggap hadiah peribadi saya kepada isteri dan keluarga serta untuk anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan buat seluruh peminat yang menyokong kerjaya saya selama ini," kata Norshahrul.

Selain itu, Norshahrul turut memberitahu bahawa perkara terpenting yang perlu ada dalam diri seorang pemain bola sepak untuk berjaya adalah kemahuan serta disiplin yang tinggi.

"Bagi saya, apa yang penting adalah latihan yang berterusan serta sentiasa berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik pada setiap masa," katanya yang enggan mengulas mengenai spekulasi perpindahan ke pasukan Johor musim hadapan.

Katanya lagi, dia kini hanya menumpukan kepada kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 dan jika ada sebarang keputusan rasmi, dia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Selain itu, bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, pemain Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut mempertahankan gelaran tersebut yang dimenanginya tahun lalu apabila mengatasi dua rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan, Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Norazlan Razali (Selangor).

Kategori Pertahanan Terbaik dimenangi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM), Pemain Tengah Terbaik pula dimenangi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim (Selangor) manakala bintang muda Sabah, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman meraih anugerah Pemain Harapan Terbaik.

Dalam pada itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik, ia dimenangi oleh B. Sathianathan serta kategori baharu diperkenalkan, Pemain Import Terbaik dimenangi Marlon Alex James yang kedua-duanya mewakili pasukan ATM.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan berjaya memenangi anugerah Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik, Sime Darby FC pula meraih gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik manakala Kelab Penyokong Bola Sepak Terbaik dimenangi oleh ATM.

Bagi Anugerah Khas Bola Sepak Kebangsaan 2012, ia diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan Anugerah Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan diberikan kepada Bahagian Pembangunan Sukan Kementerian Pelajaran manakala Pengadil Terbaik dimenangi Nafeez Abd. Wahab.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal serta Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Anugerah anjuran FAM yang mendapat kerjasama 100PLUS serta Astro Arena itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya.

11 jenis sukan bawah 'RtR 2016'

Posted:

11 jenis sukan bawah 'RtR 2016'


AHMAD Shabery mengumumkan 11 jenis sukan yang dikenal pasti untuk program 'RtR 2016'.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti 11 jenis sukan untuk disenaraikan di bawah program pembangunan Olimpik 'Road to Rio (RtR) 2016', demikian menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan supaya tiga lagi acara sukan dimasukkan dalam program pembangunan Olimpik itu.

"Secara umum, 11 jenis sukan dikenal pasti tetapi tidak khusus lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Difahamkan, 11 jenis sukan itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program 'RtR 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road to London 2012' yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

Ahmad Shabery berkata, tiga jenis sukan yang dicadangkan untuk disenarai dalam program 'RTR 2016' ialah golf, ekuestrian dan tinju.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan diambil kira sebelum menyenaraikan tiga jenis sukan berkenaan, antaranya dari segi kos membiayai sukan itu serta sama ada ia berpotensi untuk bersaing pada peringkat Olimpik.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan dibentuk untuk mengenal pasti atlet yang layak disenarai dalam program itu yang bukan hanya bagi tempoh empat tahun, sebaliknya menjangkau sehingga lapan tahun.

"Sebab itu kita masukkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016).

"Ertinya, kami perlu memikirkan untuk tempoh lapan tahun. Hubungan kami bukan sahaja dengan MSN tetapi dengan sekolah sukan di negeri-negeri untuk melahirkan bakal atlet bersaing pada Olimpik.

"Kita perlu pendekatan menyeluruh. Sekolah-sekolah sukan ini akan menjadi kilang awal dalam melahirkan bakal atlet Olimpik dan kita akan melihat keperluan dan kemudahan yang ada di sekolah- sekolah itu," katanya.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini, pihaknya tidak menetapkan sasaran pingat pada Sukan Olimpik 2016, sebaliknya sedang meneliti pendekatan yang boleh menghasilkan pingat emas pertama negara, jumlah pingat boleh dimenangi serta bilangan atlet kebangsaan yang layak secara merit bersaing pada temasya berkenaan.

Beliau berkata, kementerian juga mengalu-alukan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 pada 28 September lepas.

Di bawah program 'Road to London', sebanyak RM20 juta diperuntukkan dan Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong menerusi acara terjun 10 meter platform.

Empat pemain bakal digugur

Posted:

Empat pemain bakal digugur

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SEKURANG-KURANGNYA empat pemain dijangka digugurkan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dalam masa terdekat sebelum sepak mula kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 bulan depan.

Nama keempat-empat pemain tersebut dijangka diketahui hari ini ataupun selepas siri aksi persahabatan antarabangsa selepas ini.

Satu sumber memberitahu Kosmo!, 'pengecilan operasi' skuad kebangsaan itu begitupun bukan sesuatu yang asing sebenarnya.

"Ia sesuatu yang normal memandangkan hanya 22 pemain sahaja yang bakal didaftarkan pada kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

"Buat masa ini, sekurang-kurangnya empat pemain akan digugurkan dan ia dijangka diketahui esok (hari ini) ataupun selepas aksi persahabatan antarabangsa nanti, manakala senarai sebenar skuad juga akan diumumkan sebelum saingan bermula," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, seramai 28 pelatih telah mula menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 22 Oktober lalu.

Selain 28 pelatih itu, tujuh lagi pemain pelatih 'KIV' juga bakal dipanggil bila-bila masa bagi menggantikan mana-mana 28 pemain yang tercedera menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

Apa pun, keempat-empat pemain tersebut pastinya 'kempunan' menimba pengalaman berguna sepanjang siri persahabatan antarabangsa selepas ini jika mereka benar-benar digugurkan hari ini.

Ia ekoran Harimau Malaya bakal berdepan Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Sabtu ini sebelum diuji Thailand di Chiang Mai (7 November) sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November.

Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Harimau Malaya diundi bersama Indonesia, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November ini, diikuti berdepan Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia, 1 Disember depan.

Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand manakala aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mudahnya buku MPHOnline

Posted:

Mudahnya buku MPHOnline

Oleh ADLAN JAAFAR

APLIKASI MPHOnline memudahkan pelanggan memuat turun buku elektronik kegemaran masing-masing.


JOSEPTH NG baru berusia 21 tahun, tetapi dia telah mengarang beberapa cerpen yang dikumpulkan dalam sebuah buku berjudul Death and Other Thing.

Walaupun mempunyai minat yang berbeza dengan kawan-kawan sama generasi, penuntut di Kolej SEGi, Kota Damansara, Selangor itu mempunyai cara tersendiri dalam memasarkan hasil karyanya dengan kenalan lain.

Dia memasarkan bukunya secara dalam talian melalui aplikasi MPHOnline yang dirasmikan di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor bulan lalu.

"Buku dalam talian bukan sahaja boleh didapati dengan mudah dan cepat, malah saya mendapat maklum balas seperti bilangan buku yang dibeli dengan cepat," kata Josepth.

Selain Josepth, buku hasil tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Doctor in the House turut dipasarkan dalam aplikasi tersebut selain karya selebriti Amber Chia dan Sarimah Ibrahim.

Aplikasi MPHOnline merupakan hasil kerjasama antara pengeluar telefon pintar, Samsung dengan kedai buku, MPH.

Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon Samsung atau peranti yang menggunakan sistem operasi Android. Ia boleh didapati dalam Samsung Apps store.

Sebaik dimuat turun, pembaca boleh memuat turun buku elektronik (e-buku) kesukaan dan ia dipindahkan terus ke tempat simpanan peribadi pengguna.

Tajuk-tajuk baharu dikemas kini dalam senarai tajuk buku setiap hari. Genre buku pula meliputi pelbagai jenis seperti romantik, fiksyen, fantasi, perniagaan, kesihatan, pengurusan dan undang-undang.

Kepelbagaian format bahan bacaan itu kelak diharap dapat memberikan ruang yang lebih luas dalam pemilihan bahan bacaan selain membolehkan perkembangan ruang pasaran.

Kini, para pembaca dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia boleh membeli buku Doctor in the House pada harga yang lebih murah kerana tiada caj penghantaran dan dalam masa yang sama boleh didapati serta-merta. Semua harga buku dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).

"E-buku merupakan langkah seterusnya dalam evolusi buku dan penerbitan. Kita semakin mendekati dunia tanpa sempadan kerana internet.

"Ia tidak bermakna MPH akan menjadi digital sepenuhnya, tetapi saling melengkapi kedai buku sedia ada seiring dengan perkembangannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Ng Tieh Chuan.

Selain murah dan cepat, e-buku menjimatkan ruang pada rak buku, malah semua buku elektronik boleh dimuatkan dalam sebuah peranti yang kecil.

Bengkel memasak bersama Saji

Posted:

Bengkel memasak bersama Saji

Oleh ADLAN JAAFAR



PADA hujung minggu lalu, kira-kira 100 orang yang kebanyakannya berumur 30 hingga 50 tahun memenuhi ruang dewan Saloma Bistro, Kuala Lumpur bagi menghadiri Bengkel Memasak Saji bersama Chef Kamarul dan Rempah Mak Dara.

Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir bengkel yang memberi peluang kepada kaum wanita untuk belajar secara terus dengan chef profesional, Chef Kamarul Hasni Che Ros. Bengkel itu telah menjelajah ke tujuh destinasi bermula di Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah pada 21 April lalu.

Acara bermula apabila pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shiub muncul untuk berkongsi tip bersama para hadirin untuk kekal langsing walaupun usianya sudahpun mencecah lebih 60 tahun.

Apabila peluang untuk bertanyakan soalan dibuka, orang ramai begitu ghairah mahu mengetahui rahsianya. Selain mengamalkan jamu sejak muda, Halimah berpesan kepada kaum wanita supaya sentiasa menjaga aspek pemakanan.

"Makanan yang berlemak, manis dan masin perlu dikurangkan, malah jangan minum air sejuk kerana tidak elok untuk wanita," nasihatnya pada petang itu.

Amalan senaman juga wajib dilakukan setiap hari. Jika terlalu sibuk, berlari setempat sebanyak gandaan 50 kali setiap pagi perlu dilakukan, saranannya.

Bengkel yang diacarakan oleh penyanyi lagu Matahari, Maya, itu bermula dengan Chef Kamarul menunjukkan cara memasak bruschetta makanan laut, beriani ketam dan diakhiri dengan ayam masak kelapa muda.

Sepanjang sesi demonstrasi memasak, Chef Kamarul sempat berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan oleh orang ramai di rumah.

Sambil dibantu oleh peserta yang terpilih, Chef Kamarul berkata, makanan laut seperti sotong dan udang adalah lebih baik tidak dipotong awal.

"Potong apabila sudah tiba masa untuk dimasak bagi mengekalkan kesegaran," katanya sambil menuang sotong ke dalam kuali ketika memasak bruschetta.

Petua menarik

Bagi masakan yang memerlukan penambahan krim, susu UHT boleh menjadi pengganti, cuma letakkan sedikit tepung untuk memekatkannya.

Nasihat Chef Kamarul, disebabkan bruschetta menggunakan pelbagai jenis keju seperti parmesan dan mozarela, penggunaan garam perlu dikurangkan.

Satu lagi petua menarik yang dikongsi Chef Kamarul adalah ketika dia melakukan demonstrasi memasak beriani ketam.

Dia menggantikan gula batu yang memberi rasa manis dalam masakan dengan buah kurma yang dikisar.

"Saya mendapat cara ini apabila melihat orang kampung memasak dalam kuantiti banyak untuk majlis perkahwinan," terangnya.

Selepas bengkel memasak, para peserta program disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Maya selain demonstrasi memakai tudung oleh pengendali blog tudungpeople.com.

Pada bahagian akhir bengkel masakan Saji, acara memotong kek para peserta yang jatuh pada hari tersebut diadakan sebagai memeriahkan lagi suasana.

Walaupun kebanyakan peserta terdiri daripada suri rumah pertengahan usia, terdapat seorang wanita muda turut menyertai bengkel tersebut.

Jana Juliana Jamakuddin, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak pernah menyertai sebarang bengkel masakan. Dia berasa tertarik untuk mengetahui ilmu yang boleh didapati pada program sedemikian.

"Saya mahu melihat sendiri manfaat yang boleh didapati dengan menyertai bengkel seperti ini. Tambahan pula, saya memang suka memasak," katanya yang bekerja dalam bidang perakaunan.

Selepas tamat bengkel, para peserta yang hadir diberi peluang untuk merasa ketiga-tiga resipi yang diajar oleh Chef Kamarul sepanjang sesi demonstrasi berlangsung.

Bengkel turut dihadiri oleh Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang majalah Saji, Noor Joha Ahmad.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Polis rampas 177,000 rim sport curi, tahan 3 lelaki

Posted:

Polis rampas 177,000 rim sport curi, tahan 3 lelaki

30/10/2012 7:09pm

SHAH ALAM — Polis merampas 177,000 unit rim sport kereta bernilai RM160,000 yang dicuri dari sebuah kontena di Bukit Puchong serta menahan tiga lelaki dipercayai suspek kes itu, di sebuah restoran di Taman Meranti Jaya, Puchong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, rampasan rim sport buatan China itu dilakukan di beberapa lokasi sebaik polis memberkas ketiga-tiga suspek terbabit yang berumur antara 27 dan 48 tahun.

Beliau berkata, rampasan pertama membabitkan 1,581 unit rim sport yang disembunyikan dalam sebuah treler berwarna biru yang diletakkan di kawasan Putra Perdana, Puchong kira-kira pukul 3 pagi hari yang sama.

"Rampasan kedua dilakukan di sebuah kedai aksesori kereta di Batu Caves kira-kira sejam kemudian dan menemui 196 unit rim sport.

"Manakala operasi di Taman Kinrara, Puchong membabitkan sebuah kontena kosong pada pukul 2.30 petang hari yang sama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd. Adnan berkata, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai telah memindahkan kesemua rim sport yang dicuri dari kontena asal ke dalam treler berwarna biru yang ditemui ketika rampasan pertama dilakukan.— BERNAMA

Main bunga api: 2 penyokong Kelantan didenda

Posted:

Main bunga api: 2 penyokong Kelantan didenda

30/10/2012 6:49pm

SHAH ALAM — Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mendenda dua penyokong pasukan bola sepak Kelantan masing-masing RM100 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana bermain bunga api 'hand flare' semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Shah Alam di sini 20 Oktober lepas.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menjatuhi hukuman denda di bawah Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 itu terhadap pembantu restoran, Nurazaha Muhammad Nur, 39, dari Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya dan Ahmad Shahir Daud, 19, dari Kampung Pantai Sabak, Kota Bharu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.— BERNAMA

2 kakitangan syarikat insuran cedera ditikam penyamun

Posted:

2 kakitangan syarikat insuran cedera ditikam penyamun

30/10/2012 6:16pm

GEORGE TOWN — Dua kakitangan syarikat insuran cedera apabila ditikam oleh seorang lelaki dipercayai penyamun di Lebuh China, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, pada kejadian pukul 7 malam, mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat itu, T. Shankar, 30, parah terkena tikaman pisau di perut selain kepalanya dipukul sementara pengurusnya, Loh Wei Lian (he), 46, cedera di pergelangan tangan kanan.

"Sebelum kejadian, mangsa mendekati seorang lelaki yang didapati berkelakuan mencurigakan untuk bertanya apa tujuannya berada berdekatan pejabat mereka.

"Namun, kedua-duanya dicederakan suspek terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis telah menahan seorang lelaki berusia 53 tahun tidak lama selepas kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Enggan jaja kisah peribadi

Posted:

Enggan jaja kisah peribadi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

HAZAMA menunjukkan bakat lakonannya menerusi filem sulungnya, Apa Celop Toqq yang kini sedang ditayangkan di pawagam.


KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang.

Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu.

Ketika hadir menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan.

"Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu.

"Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan," ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.

Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai.

Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya.

"Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu.

"Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat," jelasnya.

Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan.

Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya.

"Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu," ujarnya.

Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin.

Ada kekasih

Mengenai status dirinya sekarang, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Teragung itu mendedahkan bahawa dia memang mempunyai kekasih yang sudah dikenalinya sejak sebelum menyertai AF lagi.

"Kami sudah bercinta selama enam tahun dan memang ada perancangan untuk berkahwin. Ia bagaimanapun bukan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan sebelum bergelar suami.

"Kekasih begitu memahami keadaan saya sekarang yang sedang berusaha keras dalam kerjaya. Jadi, dia tidak pernah memaksa saya dan kami tetap selesa dengan keadaan sekarang," jelasnya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu ramai pihak salah sangka apabila mengaku sudah mempunyai kekasih, sedangkan dia bertekad untuk tidak mahu mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.

"Rasanya tidak salah kalau beritahu yang saya sudah lama ada kekasih sebagai seorang artis yang menjadi public figure, sudah tentu pergerakan saya akan selalu diperhatikan.

"Jadi, kalau ada orang lihat saya keluar bersama kekasih sudah tentu mereka tidak akan bercerita yang bukan-bukan.

"Lagipun saya tidak mahu dedahkan identiti kekasih saya kepada umum semata-mata mahu menarik perhatian," tegasnya.

Pengalaman berlakon

Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi, kini Hazama melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila muncul sebagai seorang pelakon yang akan tampil menerusi filem sulungnya berjudul Apa Celop Toqq.

Ujarnya, ketika ditawarkan berlakon oleh Ahmad Idham dia sendiri mengaku agak terkejut, apatah lagi membawakan watak yang besar serta menjadi pelakon utama dalam filem tersebut.

"Saya akui pada mulanya seperti tidak percaya kerana langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan. Apabila difikirkan sudah tentu saya yang akan rugi kalau menolaknya kerana peluang sebegini tidak datang selalu.

"Apa pun saya puji dengan tindakannya yang berani mengambil risiko dengan menawarkan saya berlakon. Maka, saya perlu membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan menampilkan lakonan yang terbaik," jelasnya berasa gugup ketika hari pertama berlakon.

Menurut Hazama, sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan selama sebulan, beberapa tawaran nyanyian yang diterima terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi sepenuh komitmen.

Ujarnya, dia tidak mahu bersikap tamak dengan melakukan terlalu banyak kerja dalam satu masa kerana ia boleh mengganggu tumpuan sehingga menjejaskan kerja-kerja yang dilakukannya.

"Memandangkan kali pertama saya berlakon filem sudah tentu saya perlu memberikan komitmen seratus peratus kerana inilah masanya untuk membuktikan apa yang saya lakukan tidak sia-sia.

"Kalau saya tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggambaran, tidak mustahil akan ada lagi tawaran yang datang. Buktinya, saya sekarang diberi peluang berlakon filem kedua saya berjudul Lari," ujarnya.

Bukan galakkan bersekedudukan

Posted:

Bukan galakkan bersekedudukan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


FILEM Istanbul Aku Datang menggandingkan Lisa Surihani dan Berto Kusyairy buat pertama kali di layar perak.


KETIKA menonton filem Istanbul Aku Datang bersempena majlis malam gala yang diadakan di Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, boleh dikatakan ia merupakan sebuah filem romantik komedi yang cukup menarik.

Filem terbitan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Red Films itu mengisahkan tentang seorang gadis bernama Dian (lakonan Lisa Surihani) yang berkunjung ke Istanbul, Turki terpaksa tinggal serumah dengan Haris (Beto Kusyairy) setelah ditipu oleh seorang lelaki tempatan.

Di sebalik lakonan mantap yang ditampilkan oleh dua orang pelakon utamanya itu, filem tersebut menimbulkan persoalan.

Ini kerana ia memaparkan kisah lelaki dan wanita bukan muhrim tinggal serumah dan dilihat sebagai sesuatu yang agak kurang sesuai dengan agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Pengarahnya, Bernard Chauly berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menggalakkan perbuatan bersekedudukan kerana apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah situasi seorang gadis yang tidak mempunyai pilihan lain apabila ditipu ketika hendak menyewa rumah.

"Bagi saya, terpulang kepada persepsi penonton terhadap jalan cerita filem ini, namun sebagai pengarah, saya ingin menegaskan penceritaan yang ingin disampaikan ialah mengenai insiden lucu yang terjadi membabitkan watak Haris dan Dian.

"Lagipun mereka cuma tinggal di dalam satu pangsapuri yang sama, tetapi berlainan bilik dan apa yang berlaku adalah disebabkan keadaan terpaksa yang dialami oleh Dian apabila ditipu dan semua wangnya habis," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang idea untuk menghasilkan filem berkenaan, pengarah yang sebelum ini popular menerusi filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur menyatakan, semuanya bermula ketika kali pertama berkunjung ke Istanbul.

Menurut Bernard lagi, pada Januari tahun lepas, dia bersama penulis skrip Istanbul Aku Datang, Rafidah Abdullah dan penerbit Red Films, Lina Tan melancong ke Istanbul.

"Melihatkan pelbagai keunikan sepanjang berada di sana, akhirnya telah timbul idea dan kami mencapai kata sepakat untuk menghasilkan sebuah filem yang bercorak romantik komedi.

"Kemudian apabila pulang ke Malaysia, Rafidah terus menghasilkan skrip dan selepas itu kami telah berbincang dengan pihak Grand Brilliance untuk menjalinkan kerjasama sehinggalah penggambaran bermula pada September 2011," jelasnya.

Mengenai pemilihan para pelakon pula, pengarah berkenaan memberitahu, dia memilih Lisa, Beto dan Tomok sebagai teraju utama kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk memainkan watak yang diberikan.

Ujarnya, dia sendiri mengakui sangat berdebar semasa kali pertama menonton filem arahannya itu, namun sangat berpuas hati dan memuji para pelakon yang telah menampilkan lakonan yang menarik dan memuaskan.

"Tidak dinafikan terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui memandangkan ia 100 peratus dilakukan di Istanbul, namun saya tetap menyahut cabaran yang dilalui semata-mata mahu menghasilkan sebuah filem yang mampu menghiburkan penonton," jelasnya.

Kelas lakonan

Bagi memastikan para pelakon dapat menjiwai watak yang dibawa dengan berkesan, para pelakon telah menghadiri kelas lakonan selama dua minggu yang dikendalikan oleh Bernard dan penolongnya iaitu Umi Salwana Omar sebelum bertolak ke Istanbul menjalani penggambaran.

Bagi Beto, kelas lakonan yang dianjurkan itu sememangnya banyak membantu dirinya untuk memperkukuhkan lagi asas dan mutu lakonan agar watak yang dibawakan itu dapat menarik perhatian penonton.

"Walaupun saya sudah mempunyai banyak pengalaman berlakon, tetapi menerusi kelas lakonan tersebut banyak perkara yang saya belajar terutama menghayati watak sebagai Haris dalam filem ini.

"Berkenaan dengan watak saya pula, sudah tentu ia menampilkan banyak kelainan berbanding watak romantik yang pernah saya lakonkan sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Lisa yang membawakan watak Dian pula mengakui berlakon dalam filem tersebut memberikan pengalaman yang berbeza dan gembira kerana dapat bekerjasama dengan satu pasukan produksi yang mantap.

"Mengenai gandingan dengan Beto dan Tomok langsung tidak mendatangkan masalah besar. Misalnya, Beto memang sudah berpengalaman luas dalam lakonan, manakala Tomok pula telah menampilkan lakonan yang baik dan berkesan," ujarnya.

Istanbul Aku Datang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia menjelang 8 November ini.

Que akui selektif

Posted:

Que akui selektif

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA

KELUARGA bahagia. Que dan Linda bersama tiga permata hati mereka, (dari kiri) Ratu, Qalif dan Cleopatra.


BAKAT Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau lebih mesra disapa Que Haidar dalam bidang lakonan tidak perlu disangkal lagi.

Kehebatannya beraksi dalam filem-filem pecah panggung seringkali meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat. Antara filem-filem popular lakonannya termasuklah KL Menjerit 1, Zombie Kampung Pisang, Castello dan Cinta.

Walau bagaimanapun, selepas mengakhiri zaman bujangnya dengan pereka tari terkemuka, Linda Jasmine kira-kira dua tahun yang lalu, pelakon yang pernah menerima anugerah Aktor Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 ini mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam bidang lakonan.

Keputusan yang diambil olehnya ketika itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuklah penggiat industri filem tanah air dan juga para peminatnya. Ada yang mengatakan Que 'memilih bulu' dan hanya akan bekerja dengan orang-orang tertentu sahaja.

Ada juga cakap-cakap nakal yang menuduh Que agak cerewet dalam pemilihan skrip yang ditawarkan kepadanya.

Ikuti penjelasan Que mengenai isu berkenaan ketika ditemui di majlis cukur jambul anak keduanya yang kini berusia kira-kira tujuh bulan, Tengku Cleopatra Haidar.

Majlis yang berlangsung di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur kelmarin itu turut dihadiri dua lagi anak mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 tahun, dan anak Linda daripada perkahwinan terdahulu, Qalif Khan, 12 tahun.

Kosmo!: Benarkah Que cerewet dalam memilih skrip filem?

QUE: Memang tidak dinafikan, saya agak selektif dalam pemilihan skrip. Saya kini telah bergelar bapa kepada tiga orang cahaya mata, jadi saya harus peka dengan beberapa perkara sebelum saya menerima tawaran berlakon sesebuah filem. Antara perkara yang harus diambil kira termasuklah waktu penggambaran, lokasi serta jalan cerita itu sendiri.

Jadi, adakah itu sebab utama Que menghilangkan diri selama ini?

Tidak juga. Walaupun saya jarang muncul di kaca TV dan layar perak, saya sebenarnya masih aktif di belakang tabir. Saya agak sibuk mengajar di bengkel serta kelas lakonan. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Adakah Que akan terus berhenti berlakon selepas bergelar usahawan?

Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya harus meneliti sesebuah skrip itu terlebih dulu sebelum saya menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan muncul dengan filem Rock 2, arahan Mamat Khalid yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem tersebut?

Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai Amy Mat Piah yang tidak mempunyai bakat tetapi menyimpan impian dan bercita-cita tinggi untuk bergelar seorang penyanyi.

Setelah lama menghilang, mengapa Que memilih untuk berlakon filem di bawah arahan Mamat Khalid?

Setelah membaca skrip filem Rock 2, secara peribadi, saya rasakan filem ini adalah antara filem terbaik garapan Mamat Khalid. Dari situ, saya berasa teruja dan timbul minat untuk berkerjasama dengannya buat kali kedua.

Bagaimana kehidupan setelah bergelar seorang bapa?

Alhamdulillah, saya seronok menjadi seorang bapa. Kehidupan saya sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Kini, keluarga menjadi fokus utama bagi saya.

Boleh ceritakan hubungan Que dengan Qalif?

Saya menganggap Qalif seperti anak saya sendiri. Dia rapat dengan saya dan kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Qalif sangat sukakan cabaran. Jadi, saya selalu membawanya keluar melakukan aktiviti-aktiviti riadah termasuklah berkhemah di dalam hutan.

Bagaimana pula hubungan Ratu dan Cleo?

Ratu sangat 'gilakan' adiknya Cleo. Di rumah, dia seolah-olah badut dan sering membuat Cleo ketawa.

Sebagai seorang ketua keluarga, bagaimana Que menghabiskan masa bersama-sama isteri dan anak-anak?

Sudah menjadi tradisi, pada setiap malam Jumaat, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton televisyen bersama-sama. Bagi saya, itu adalah masa yang sesuai untuk bertukar-tukar cerita dan bermesra dengan anak-anak.

Apakah pandangan Que jika anak-anak mahu mengikut jejak langkah Que dan Linda?

Saya rasa setiap kanak-kanak haruslah diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan perkara yang mereka suka. Jika anak-anak saya cenderung ke arah bidang hiburan, saya pasti akan menyokong seratus peratus. Anak kedua saya, Ratu yang kini berusia tiga tahun sangat suka menari. Jadi, saya dan Linda bercadang untuk mendaftarnya masuk ke kelas tarian ballet tahun hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved