Ahad, 23 September 2012

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Bekas pelatih Kemas tubuhkan alumni

Posted:

Bekas pelatih Kemas tubuhkan alumni

HASSAN (duduk, empat dari kiri) bersama sebahagian ahli jawatankuasa Alumni Bekas Pelatih ILKSI di Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.


BERSATU. Bekas pelatih kursus Fesyen dan Pakaian Wanita Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Seri Iskandar (ILKSI), Perak telah menubuhkan alumni mereka baru-baru ini.

Majlis perasmian penubuhan alumni itu dianggotai seramai 447 bekas pelatih itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Hassan Malek.

Presiden Alumni Bekas Pelatih ILKSI, Jisry Hamzah berkata, penubuhan persatuan tersebut bertujuan untuk memperkukuh lagi rangkaian jaringan perhubungan di antara lulusan institut tersebut dan pengurusan Kemas.

"Rata-rata bekas pelatih ILKSI yang ditubuhkan sejak tahun 2007 terlibat dalam industri fesyen dan pembuatan pakaian wanita dan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan," katanya.

Mangsa kebakaran dapat bantuan

Posted:

Mangsa kebakaran dapat bantuan

ABDUL KARIM (tiga dari kanan) dan Sahrein (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Parang, Asajaya, Sarawak baru-baru ini.


PRIHATIN. Nasib mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Parang, Asajaya di Kuching, Sarawaki mendapat perhatian Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang menghulurkan bantuan kepada tiga buah keluarga yang hilang tempat berlindung dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

Bantuan disampaikan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah sementara Bernas diwakili oleh Eksekutif Komunikasi Korporat Beras Corporation Sdn. Bhd. Sarawak, Sahrein Maloh.

Menurut Sahrein, sumbangan barangan keperluan tersebut merupakan salah satu inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat Bernas kepada komuniti di negeri itu.

"Program yang dinamakan Nur Ikhlas Bernas dijalankan sepanjang tahun. Kita turut menyasarkan seramai 1,500 orang golongan kurang bernasib baik akan menerima sumbangan daripada Bernas pada tahun ini," katanya.

Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan, Ismail Hanis dan Pegawai Daerah Asajaya, Rubiah Wang.

Menurut Abdul Karim, langkah Bernas perlu dicontohi oleh pihak swasta lain di Malaysia.

YPK tampung pembiayaan beli van SMK Lailatul Shahreen

Posted:

YPK tampung pembiayaan beli van SMK Lailatul Shahreen

SHAHIDAN (tengah) memotong riben sebagai simbolik penyerahan van yang disumbangkan kepada SMK Lailatul Shahreen, Kangar baru-baru ini.


SUMBANGAN. Yayasan Pok dan Kassim (YPK) melaksanakan tanggungjawab sosialnya apabila menanggung sebahagian besar pembelian sebuah van bernilai RM63,000 bagi kegunaan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis baru-baru ini.

YPK membiayai sebanyak RM45,000 manakala bakinya RM18,000 dikumpulkan melalui sumbangan oleh ibu bapa serta pinjaman daripada guru bagi membeli van jenis Toyota itu.

Pihak sekolah terhutang budi dengan sumbangan yang diberikan oleh YPK itu dan akan memanfaatkan kenderaan terbabit untuk kepentingan pelajar.

Pengerusi YPK, Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan kunci replika van terbabit kepada pihak sekolah dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPK, Azihani Ali dan Pegawai Jabatan Pelajaran Perlis, Zulkifli Daraof.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Mungkinkah KOM berubah pimpinan?

Posted:

Mungkinkah KOM berubah pimpinan?

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SHAHIDAN akan mempertahankan jawatannya pada AGM KOM yang berlangsung di Dewan Komanwel, MSN, Bukit Jalil hari ini.


SAMA ada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bertukar pemimpin atau tidak, semua- nya akan terjawab pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu hari ini.

Pada AGM kali ini, sebanyak tiga jawatan akan dipertandingkan iaitu satu kerusi bagi merebut jawatan Presiden, Timbalan Presiden (satu) dan Naib Presiden (empat).

Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti akan lebih terarah kepada persaingan bagi merebut jawatan selaku pemimpin No. 1 dan No. 2 KOM.

Pada awalnya, persaingan merebut jawatan Presiden KOM akan membabitkan persaingan tiga penjuru.

Penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim akan dicabar oleh dua lagi calon iaitu Presiden Persa- tuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Bagaimanapun, Danyal telah menarik diri selepas mendakwa AGM kali ini tidak sah kerana tidak mengi- kut perlembagaan baharu yang telah ditetapkan KOM.

Situasi itu sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan Shahidan dan Zainal.

Berdasarkan pencalonan yang diterima, Shahidan dijangka tidak berdepan masalah besar untuk terus mempertahankan jawatannya kerana menerima empat pencalonan iaitu Persatuan Olahraga Amatur Kuala Lumpur, Persatuan Olahraga Amatur Pahang, Persatuan Olahraga Amatur Perak dan Persatuan Olahraga Amatur Perlis.

Zainal pula hanya menerima satu pencalo- nan iaitu daripada Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan.

Sementara itu, Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim tetap dibenarkan bertanding pada AGM kali ini biarpun laporan penuh berhubung kes siasatan yang dijalan- kan ke atasnya sudah selesai tetapi belum didedahkan.

Pada Jun dan Julai lalu, satu jawatankuasa siasatan yang diketuai bekas Hakim Mahka- mah Rayuan, Tan Sri V.C George telah menjalankan siasatan ke atas Karim.

Ia berikutan tindakan sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa badan itu sebelum ini.

Pada AGM kali ini, Karim akan dicabar oleh dua lagi calon iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor, K. Yogeswaran.

Karim dijangka mendapat tentangan sengit apabila beliau berkongsi dua pencalonan dengan Wan Hisham.

Beliau menerima pencalonan daripada daripada Persatuan Olahraga Amatur Melaka dan Persatuan Olahraga Amatur Sabah manakala Wan Hisham dicalonkan oleh Persatuan Olahraga Amatur Terengganu dan Persatuan Olahraga Amatur Perak.

Dalam pada itu, lapan calon sah akan bertanding bagi merebut empat jawatan Naib Presiden KOM dengan tumpuan bagi satu kuota untuk wanita antara penyan- dang jawatan, Datuk Mumtaz Jaafar dan Ra- jemah Sheikh Ahmad.

Seramai 45 ahli iaitu tiga wakil daripada 15 ahli gabungan KOM akan mengundi pada AGM kali ini yang akan diadakan di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

'Jangan bertindak mengikut emosi'

Posted:

'Jangan bertindak mengikut emosi'

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

"JANGAN terlalu cepat menghukum." Itu nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika diminta mengulas isu hukuman terhadap juru- latih Terengganu, Peter James Butler oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) baru- baru ini.

Tengku Abdullah turut menzahirkan rasa bimbang dengan fenomena sukan negara pada masa kini yang dilihat baginda bertindak mengikut emosi.

"Saya tidak begitu suka melihat mana-mana pihak yang menjatuhkan hukuman tanpa kita berusaha memperkukuhkan kelemahan yang terdapat dalam sistem kita ini.

"Banyak pihak yang terlalu beremosi dalam sukan terutama bola sepak tetapi itu tidak bermakna kita boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan emosi," kata Tengku Abdullah kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Johor Bahru semalam.

Menurut Tengku Abdullah, dalam kes Butler, baginda percaya jurulatih kelahiran England itu telah menjalankan tugasnya sekadar mampu dengan menyatakan apa yang benar.

Katanya, perbuatan Butler mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa balik perempuan ke bilik tempat mereka menginap ketika berada di Kedah pada 1 September lalu tidak lari daripada skop tugasannya sebagai jurulatih.

"Jurulatih tersebut (Butler) telah membuat sekadar mampu dan menyatakan apa yang sebenar. Namun, jika itu didapati bersalah, mungkin sukar untuk mencari juru- latih lain yang dapat bertindak sedemikian (mengawasi pemain)," katanya.

PBSNT pada 17 September lalu memutus- kan Butler digantung selama enam bulan selain didenda RM4,000 berikutan kenyataannya kepada pihak media berhubung tuduhan salah laku terhadap dua pemain Terengganu iaitu Mohd. Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari.

Akibatnya, khidmat Butler bersama Terengganu secara automatik telah ditamatkan kerana mengikut peraturan FAM, pemain dan pegawai bola sepak akan terbatal kontrak jika mereka digantung lebih 30 hari.

Bagaimanapun Tengku Abdullah menjelaskan, FAM akan mengkaji semula keputu- san PBSNT sekiranya Butler membuat rayuan kepada badan bola sepak induk negara itu.

"PBSNT mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik buat pasukan dan itu adalah hak mereka.

"Namun, keputusan tersebut pasti ada implikasi dan mungkin Butler akan membuat rayuan.

"Sekiranya FAM menerima surat rayuan tersebut, kami akan perhalusi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdul- lah berkata, FAM akan mengekalkan syarat yang ada dengan hanya dua pemain import dibenarkan beraksi dalam satu pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"FAM harus berlaku adil kerana bukan semua pasukan mampu untuk membayar sehingga tiga pemain import.

"Tambahan pula, kami tidak mahu seba- rang masalah yang timbul kerana sebelum ini pernah terjadi isu apabila gaji pemain import tertunggak.

"Buat masa ini, biarlah kita kekal dengan dua pemain import sahaja," katanya.

Abu Samah terima anugerah UCI

Posted:

Abu Samah terima anugerah UCI

ABU SAMAH (tiga dari kiri) bergambar bersama delegasi dari Asia selepas menerima anugerah UCI Merit 2012 di Limburg, Belanda semalam.


MALAYSIA terus meraih pengiktirafan tertinggi apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menganugerahkan UCI Merit 2012 sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan yang ditaburkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab kepada sukan berbasikal di benua Asia.

Ketika menyerahkan pengiktirafan tersebut selepas berakhirnya mesyuarat kongres UCI di Limburg, Belanda semalam, Presiden UCI, Pat MacQuaid berkata, Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) banyak berjasa kepada sukan berbasikal pada peringkat Asia Tenggara dan Asia.

"Bagi pihak UCI, kami amat berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan beliau sejak awal tahun 1990-an lagi. Saya harap merit itu setimpal dengan jasa yang telah ditabur oleh beliau," kata Mac- Quaid.

Abu Samah adalah personaliti ketiga di negara ini yang pernah menerima anugerah UCI Merit. Selain beliau, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Presiden ACC, Tan Sri Darshan Singh juga pernah menerima anugerah tersebut.

Dr. Mahathir menerima merit tersebut kerana sumbangan besar beliau dalam penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

MacQuaid berkata, Abu Samah yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung ACC adalah antara personaliti di Asia yang banyak memberi sumbangan idea dan buah fikiran dalam menaikkan kualiti pelumba trek khususnya Malaysia, Jepun, Hong Kong dan China sejak awal 2000.

"Abu Samah juga telah meyakinkan banyak persatuan berbasikal di Asia bahawa pelumba benua tersebut boleh bersaing dan menewaskan pelumba Barat yang jauh lebih besar badannya dalam mana-mana perlum- baan trek," katanya.

Abu Samah dalam satu kenyataan pula berasa terharu atas anugerah yang diterimanya itu.

"Saya sama sekali tak menjangka akan menerima anugerah itu kerana saya bekerja secara ikhlas dan sukarela.

"Saya memang terlalu sayangkan dunia basikal di Malaysia khususnya dan Asia amnya. Namun, saya tetap tak berpuas hati kerana Malaysia belum lagi menang pingat pada Sukan Olimpik.

"Negara lain seperti China, Jepun dan Hong Kong telah berjaya mengharumkan nama benua Asia apabila menang pada Olimpik 2012 di London dan Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

"Selaku Presiden PKBM, saya tidak akan berhenti berusaha selagi kita tak menggapai sebarang pingat Sukan Olimpik," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Imigresen tahan 70 PATI di pusat urut

Posted:

Imigresen tahan 70 PATI di pusat urut

23/09/2012 2:41am

KUALA LUMPUR — Seramai 70 rakyat asing yang bekerja di premis perniagaan pusat urut dan refleksologi (SPA) di sekitar Jalan Kuchai Lama, di sini ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi Jabatan Imigresen semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata rakyat asing yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu terdiri daripada 31 rakyat China, Vietnam (20) Thailand (sembilan), Indonesia (lima), Filipina (dua), Myanmar (dua) dam Kemboja (satu).

"Antara kesalahan yang dikesan ialah pas pekerjaan tidak sah, tiada dokumen perjalanan yang sah dan berniaga menggunakan lesen perniagaan milik orang lain," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata sebanyak 40 premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu oleh jabatan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis yang dijalankan berikutan aduan orang ramai.

DBKL mengeluarkan enam kompaun mengikut undang-undang Establishment Kecantikan dan Kesihatan kerana premis berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah dan enam kompaun lagi dikeluarkan di bawah undang-undang iklan kerana mempamer iklan tanpa lesen, katanya.

— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


17 terbunuh di Pakistan dalam protes ganas

Posted:

17 terbunuh di Pakistan dalam protes ganas

SEORANG penunjuk perasaan menghayunkan sebatang kayu berhampiran sebuah kenderaan polis yang terbakar dalam satu protes membantah filem anti-Islam di Karachi, Pakistan kelmarin.


ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 17 maut dan 229 yang lain cedera dalam satu demonstrasi ganas di Pakistan pada Jumaat ketika protes dilihat terus tercetus di negara-negara Islam bagi membantah filem Innocence of Muslims serta karikatur terbitan majalah Charlie Hebdo di Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Seramai 12 orang maut di Karachi dan lima di Peshawar. Di Karachi, seorang anggota polis maut kerana ditembak ketika pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan supaya bersurai.

Setakat ini, seramai 19 orang mati di Pakistan dalam protes yang berlanjutan lebih seminggu. Sementara di Libya, protes ganas membunuh empat orang warga Amerika Syarikat termasuk dutanya, Chris Stevens.

Para penunjuk perasaan dikatakan tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya mengadakan demonstrasi aman pada hari yang diisytiharkan sebagai hari cuti kebangsaan bagi menghormati Nabi Muhammad SAW.

SEKUMPULAN sukarelawan dan seorang pegawai polis membantu membawa seorang penunjuk perasaan yang cedera parah ke hospital di Karachi, Pakistan kelmarin.


Saksi-saksi memberitahu, dianggarkan seramai 45,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Pakistan. Pihak polis bertindak balas dengan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ketika penunjuk perasaan membakar dan mencuri di pawagam, bank, kedai serta restoran-restoran di Karachi.

Penunjuk perasaan membaling batu serta menjerit "Orang Amerika ialah anjing" dan "Kawan Amerika ialah pengkhianat".

Washington memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak pergi ke Pakistan, selain membelanjakan AS$70,000 (RM213,430) untuk menyiarkan amaran tersebut di televisyen. - AFP

Pesawat Ann Romney mendarat cemas

Posted:

Pesawat Ann Romney mendarat cemas

ANN Romney berucap pada satu majlis mengumpul dana di Dallas Texas, sambil diperhatikan oleh Romney.


WASHINGTON - Sebuah pesawat yang membawa isteri calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Mitt Romney terpaksa membuat pendaratan cemas selepas kabinnya dipenuhi asap.

Bagaimanapun, tiada yang cedera apabila pesawat tersebut berjaya mendarat di Colorado. Ann Romney dikatakan menelefon suaminya selepas beliau dapat mendarat dengan selamat.

Ann kemudian terbang ke California dengan sebuah jet lain. Romney yang ketika itu berkempen di Nevada terbang ke San Francisco pada lewat Jumaat.

Jurucakap Romney, Andrea Saul menghantar sekeping gambar ke akaun Twitter yang menunjukkan sepasukan bomba bergegas menaiki pesawat menggunakan tangga.

"Punca pendaratan cemas dikatakan kerana kebakaran elektrikal," tweet Saul. Ini merupakan insiden kedua melibatkan pesawat Romney dalam tempoh satu minggu di Colorado. - AFP

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

Posted:

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

PONDOK menjual tiket kelihatan kosong berikutan pintu masuk Zoo Bronx ditutup selepas seorang lelaki cedera parah diserang harimau.


NEW YORK - Seorang lelaki yang melompat dari sebuah monorel dan masuk ke dalam kawasan harimau di Zoo Bronx di sini cedera parah apabila diserang oleh haiwan buas tersebut.

Menurut jurucakap Jabatan Polis New York, Leftenan Don Grimpel, lelaki berusia 25 tahun itu diserang selama hampir sepuluh minit oleh seekor harimau jantan berumur 12 tahun.

"Bahu dan kakinya patah. Kakinya juga berlubang kerana digigit," kata Grimpel. Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Pusat Perubatan Jacobi.

Pengarah Zoo Bronx, Jim Breheny memberitahu kakitangannya menggunakan pemadam api untuk menghalau harimau itu.

"Jika bukan kerana tindakan pantas dan kemampuan kakitangan bertindak dalam situasi kecemasan, insiden ini mungkin berakhir dengan kematian" tambah Breheny. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved